lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Lebih 5,000 Bekas Bubur Asyura Diagihkan DUN Batu Buruk
Lebih 5,000 Bekas Bubur Asyura Diagihkan DUN Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 17 September – Dianggarkan lebih 5,000 bekas bubur Asyura telah diagihkan kepada masyarakat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk menerusi Program Kacau Bubur Asyura Perdana Peringkat DUN berkenaan, semalam. Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk itu telah dijalankan secara serentak oleh 21 buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kawasan terbabit. “Apa yang penting dalam membuat bubur Asyura ini ialah semangat kerjasama dan muafakat yang ditonjolkan antara petugas dalam menyiapkan bubur Asyura ini. “Sekiranya dalam perkara kecil ini kita dapat bermuafakat, lebih-lebih lagi apabila muafakat yang melibatkan perkara besar seperti perjuangan menegakkan Islam dan perjuangan menjaga hak umat Islam,” kata ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika turun meninjau perjalanan program tersebut di setiap MPKK. 
17 Sep 20
318
Mobile Team PPNT Santuni Peserta eKasih Kuala Terengganu
Mobile Team PPNT Santuni Peserta eKasih Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 September – Program Lawatan Mobile Team anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT) kali ini mengambil kesempatan turun menziarahi tujuh peserta eKasih di sekitar Kuala Terengganu. Wakil PPNT memaklumkan, para penerima bantuan daripada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Ladang, Wakaf Mempelam dan Bukit Payong menerima bantuan sara hidup, bantuan perubatan, bantuan elaun pekerja cacat dan bantuan pesakit terlantar. Program berkenaan merupakan aktiviti berkala dengan kerjasama Pejabat Daerah di mana Mobile Team PPNT akan turun ke setiap daerah bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penerima sumbangan. Bantuan disumbangkan melalui beberapa agensi seperti Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Sekretariat Tabung Darul Iman (STDI) dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Buruk.        
17 Sep 20
588
200 Sertai Jelajah Kasih Bersama YBC
200 Sertai Jelajah Kasih Bersama YBC
KEMAMAN, 17 September - Seramai 200 peserta memeriahkan konvoi motosikal Jelajah Kasih Bersama YBC (Yang Berhormat Cukai) sempena sambutan Hari Malaysia, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas kejayaan mengadakan program tersebut. "Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan program di antara agensi kerajaan bersama masyarakat bagi merapatkan silaturahim di antara satu sama lain. Mana yang jauh kita dekatkan dan yang dekat kita rapatkan demi mencapai keredhaan Allah S.W.T," ujarnya. Katanya lagi, selain daripada itu program yang diadakan ini bagi menyatakan jati diri kepada negara Malaysia yang aman dan makmur samada di bidang ekonomi, pendidikan, sosial dan juga politik. "InsyaAllah, kita mengharapkan kemakmuran yang ada pada hari ini merupakan nikmat yang diberikan oleh Allah S.W.T," ujarnya ketika merasmikan program tersebut sebelum pelepasan peserta konvoi di Pekarangan Pejabat Daerah Kemaman. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu. Konvoi motosikal tersebut menyaksikan para peserta memulakan perjalanan bermula dari Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman menuju ke Pantai Kemasik. Di sana seramai 50 orang fakir miskin menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur. Manakala, Hanafiah turut menyampaikan beberapa kotak mengandungi lampin pakai buang kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik untuk diagihkan kepada sebahagian mereka yang memerlukan. Selepas daripada itu, konvoi motosikal itu bertolak menuju ke destinasi terakhir iaitu di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai. Di sana seramai 50 orang anak yatim menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan cenderahati. Antara pihak yang turut terlibat dalam menjayakan program tersebut ialah Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Penerangan Malaysia, Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kemasik, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, Alternative Riding Club (ARC) Kemaman, Jabatan Amal Kemaman dan lain-lain.
17 Sep 20
1848
Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Cetusan Nostalgia Zaman Persekolahan
Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Cetusan Nostalgia Zaman Persekolahan
KUALA TERENGGANU, 17 September- Pertandingan Inovasi Beca Terengganu Secara Dalam Talian yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hasil cetusan idea Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Mohamed yang mengimbau nostalgia zaman persekolahan. Katanya, kenderaan beroda tiga itu merupakan pengangkutan yang selesa dan mengujakan. "Semasa saya bersekolah rendah sekitar 1970an, saya berulang alik setiap hari ke Sekolah Rendah Tengku Bariah menaiki beca arwah Pok Jaapor. Naik beca arwah Pok Wel 1978-1982 ke Sekolah Pusat Chabang Tiga. "Pok, tolong hantar saya nok gi pasor payang. Singgah bank dulu, pastu postopih (pejabat pos). Habis pasor payang nok round round (bersiar siar) dalam bandor dulu. Karang ator ah saya balik steseng bas," tulisnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook beliau. Katanya, pengangkutan ringkas dan mudah begini akan tetap menarik dan kekal relevan di masa hadapan sebagai penghubung antara suatu lokasi ke lokasi khususnya di dalam bandar. "Saya kerap menyantuni penarik beca di Kuala Terengganu yang rata-rata sudah berumur 70an. Orang muda tak minat. Kerja letih. "Ia perlu diinovasikan semula. Jadikan menarik, senang, selesa, tak perlu guna tulang empat kerat. "Kerana itu saya telah minta MOSTI anjurkan Pertandingan Inovasi Beca Terengganu secara dalam talian ini," ujarnya. Amzad berkata, diharapkan dengan adanya pertandingan tersebut akan muncul idea menarik, berdaya maju yang bakal menjadikan pengangkutan beca mempunyai nilai komersial yang lebih berpotensi selain tarikan pelancongan. "Mungkin guna teknologi solar, bateri, punya wifi,  atau skrin pilihan destinasi, mainkan lagu lagu menarik selang seli lagu identiti Terengganu seperti Teganung Kiter. Masih kekal beroda tiga. "Mungkin nanti ada perkhidmatan beca sebegini yang berulang alik hantar pengunjung dari Pasar Payang ke Menara Drawbridge," katanya. Difahamkan, pertandingan tersebut menawarkan hadiah yang cukup lumayan di mana Rekaan Terbaik akan ditawarkan Geran Pembangunan Maksimum RM200,000 dibawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) manakala 10 pemenang saguhati akan menerima Wang tunai RM1,000. Maklumat Lanjut di: http://iic innomap.my dan tarikh tutup penyertaan pada 20 September ini.
16 Sep 20
1185
Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020
Aksi Gaban Gamatkan Himpunan Bermotor Kota Putera 2020
KUALA TERENGGANU, 16 September - Aksi lagak ngeri bermotosikal Mohd Amirul Asy-Syahid Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Gaban berjaya menggamatkan suasana Himpunan Bermotor Kota Putera 2020. Sebagai seorang pelagak ngeri atau 'stuntman' bermotor, Gaban bermurah hati beraksi sebanyak dua kali dalam program anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera buat tatapan peminat sukan bermotor setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terbabit, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman memaklumkan, aksi Gaban tersebut merupakan salah satu acara yang dibawakan dalam program sempena sambutan Hari Malaysia ke-57, hari ini. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri berkata, program sehari itu turut menyajikan pelbagai pengisian bagi seluruh lapisan masyarakat setempat antaranya pertunjukan silat, dikir barat dan akan diakhiri dengan Forum Perdana bersama Ustaz Haslin Baharim, malam ini. "Alhamdulillah, hari ini kita berjaya mengadakan perhimpunan bermotor yang mana dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini anak muda lebih perlukan pengisian.  "Objektif kita adalah untuk melihat anak muda dari perspektif Islam. Kita beri peluang untuk mereka beraktiviti bersama kita supaya kita cakna dan dengar pendapat mereka dalam program ini yang kita selitkan dengan pengisian seperti tatacara mengambil wuduk dengan air yang terhad yang ditunjukkan sebentar tadi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi sembang santai bersama pengunjung dalam program yang berlangsung di Pantai Air Tawar Besut itu. Tambahnya, program terbabit mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 20 penaja dan kelab bermotosikal tampil memberikan sokongan melalui penyertaan dan penajaan. "Pada asalnya, kita sasarkan bawah 500 pendaftaran peserta bermotor, tetapi dimaklumkan lebih 800 peserta telah hadir namun terima kasih kepada petugas dan pihak berkuasa yang berjaya mengawal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya. Jelasnya, penganjuran program berkenaan di sambutan Hari Malaysia turut membawa mesej kepada masyarakat.  "Kadang-kadang kita cuti sahaja pada hari-hari tertentu tetapi kita tidak faham dan menghayati sebabnya. Kami adakan program ini supaya mereka menghargai apa yang dimiliki, kita juga paparkan ucapan kemerdekaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk berikan semangat patriotik kepada mereka," katanya.  
16 Sep 20
3461
'Kuca Sughe' Suburkan Budaya Gotong Royong
'Kuca Sughe' Suburkan Budaya Gotong Royong
DUNGUN, 17 September - Tradisi 'kuca sughe' apabila tiba bulan Muharram sebagai memperingati kisah Nabi Nuh dan kaumnya, berjaya menyuburkan budaya gotong royong di antara komuniti kampung. Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood berkata, kalau dulu gotong royong selalu dilakukan ketika kenduri kahwin tetapi kini semakin sukar dilihat. "Kalau dulu-dulu di mana-mana sahaja bila ada kenduri kahwin, orang kampung, sanak saudara dan sahabat handai berkumpul, datang nak tolong, ada yang kupas bawang, ada yang kupas kelapa, siapkan pelamin, semuanya pakat buat.  "Tetapi sekarang keluarga jauh datangpun masa nak kenduri, sebab apa, sebab tiada kerja nak kena tolong, tuan rumah dah tempah 'catering', tapi bila nak buat bubur asyura, masing-masing penduduk kampung datang nak tolong, menerusi tradisi kacau bubur asyura ini gotong royong masih berlaku," jelasnya. Beliau yang juga ahli jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA) berkata demikian ketika berucap di Majlis 'Kucha Sughe' di Kampung Burung Baru, baru-baru ini. Sebanyak empat kawah bubur asyura telah berjaya disediakan dan diedarkan kepada penduduk kampung tersebut.  Menurutnya, gotong royong  akan mendekatkan antara komuniti kampung dan seterusnya mengeratkan silaturahim sesama mereka.  "Ada kalanya, kita tidak pernah kenalpun, di situ kita berkenalan dan apabila dah kenal, rasa nak berkunjung ke rumah, akhirnya mesra macam keluarga pulak," ujarnya sambil berseleroh. 
16 Sep 20
344
Buang Sikap Tidak Ambil Peduli-Maliaman
Buang Sikap Tidak Ambil Peduli-Maliaman
HULU TERENGGANU, 16 September – Masyarakat perlu membuang sikap tidak ambil peduli terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka bagi bersama-sama menangani isu penyalahgunaan dadah yang kian menular dalam kalangan anak-anak muda masa kini. Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, sikap enggan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai penyalahgunaan dadah dalam kalangan generasi muda berdekatan dengan tempat tinggal mereka adalah tidak wajar. “Janganlah malu untuk melaporkan penagihan dadah kerana ia dapat mengelak mereka terjebak dengan lebih teruk. "Setiap ahli keluarga dan masyarakat perlu memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka dan melapor segera kepada pihak berkuasa sekiranya ada yang terbabit dengan dadah.Kita ketepikan masalah dengan jiran sekiranya kita mempunyai tanggungjawab untuk membanteras dadah," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Institusi Keluarga Bebas Dadah anjuran AADK bersama komuniti Kampung Pela., hari ini. Tambahnya, kesan penagihan dadah menyebabkan berlakunya kes-kes jenayah seperti samun, curi dan bunuh yang memberi impak kepada kehancuran generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara pada masa akan datang. Menurut beliau lagi, kerjasama erat daripada ibu bapa serta pihak sekolah termasuk masyarakat adalah amat penting bagi membanteras gejala penyalahgunaan dadah yang kian menular dalam kalangan remaja. Justeru itu katanya, AADK dan JKPD  mengambil langkah proaktif bagi menangani isu itu dengan melancarkan beberapa program yang menjurus kepada golongan sasar berkenaan.  “Melalui setiap program yang dilaksanakan, kita telah melakukan kajian dan menerusi usaha itu, kita dapat mengetahui masalah yang berlaku di peringkat komuniti seterusnya mengambil langkah proaktif bagi menanganinya.  “Saya yakin dan percaya agensi seperti AADK  berupaya menangani isu terbabit di peringkat awal lagi sekiranya sikap ambil peduli dipraktikkan didalam masyarakat sebelum  ia menjadi lebih parah,” ujarnya.   
16 Sep 20
1059
Taska Di Tempat Kerja Ringankan Beban Ibu Bapa Bekerja
Taska Di Tempat Kerja Ringankan Beban Ibu Bapa Bekerja
DUNGUN, 17 September - Inisiatif Kerajaan Terengganu menubuhkan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) berhampiran tempat kerja berjaya meringankan beban ibu bapa sekali gus memudahkan serta menjimatkan masa untuk menghantar anak mereka.  Perkara berkenaaan turut diakui, Subki Busu, 31, yang menghantar dua orang anak kecilnya berusia tiga tahun dan setahun lebih di TASKA Majlis Perbandaran Dungun (MPD) di bawah kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu yang baru beroperasi. "Yuran bulanan murah apatah lagi saya di beri subsidi, hanya RM50 seorang, jadi dua orang RM100," katanya yang bertugas sebagai pemandu di MPD.  Subki ditemui selepas Majlis Perasmian TASKA Permata Keluarga  Majlis Perbandaran Dungun (MPD) oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat di sini baru-baru ini.  Seorang ibu, Farahin Adnan, 29 turut memuji taska kelolaan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu itu yang mengenakan yuran yang murah. "Lagipun anak saya ini cerewet pasal makan tapi bila berada di taska ni, dia ok je makan, ini memudahkan, saya tidak perlu lagi susah fikir sarapan lagi, di taska telah disediakan," ujar ibu muda kepada seorang anak berusia empat tahun itu. Sementara itu Pengurus TASKA Permata Keluarga MPD, Zuraini Muhammad berkata, pendaftaran kanak-kanak ke taska berkenaan masih dibuka kepada kakitangan MPD. "Taska ini boleh menerima 33 orang kanak-kanak yang umurnya bermula tiga bulan sehingga empat tahun.  "Sehingga kini kanak-kanak ada 23 orang dengan guru seramai enam orang, yuran bulanan RM230 untuk kanak-kanak, kalau 'baby' RM250, untuk pendaftaran pula RM150," ujar guru muda itu. 
16 Sep 20
1964
Program Informasi Pertanian Bandar Galak Masyarakat Berkebun
Program Informasi Pertanian Bandar Galak Masyarakat Berkebun
KUALA TERENGGANU, 16 September - Program Informasi Pertanian Bandar yang dilaksanakan di Masjid Gong Tok Nasek pada hari Ahad lepas mampu menggalakkan penyertaan lebih ramai penduduk Bandar dan luar Bandar dalam aktiviti itu. Timbalan Pengerusi Masjid Gong Tok Nasek, Ustaz Soleh Jusoh berkata, inisiatif Biro Helwani Masjid tersebut merupakan platform  terbaik untuk menerapkan ilmu pertanian kepada masyarakat. “Ini sebagai medium penting bagi memberi pendedahan kepada semua orang tentang kaedah yang betul untuk bertani terutama bertani di kawasan rumah dalam skala yang kecil. “Rata-rata hadirin yang hadir menunjukkan minat bertani yang mendalam dengan pelbagai soalan yang diajukan sepanjang program berlangsung. “Tidak kurang juga masing-masing mengambil peluang mendapatkan air baja, baja dan anak benih yang dijual oleh usahawan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT),” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Katanya lagi, pihak masjid sentiasa mengalu-alukan kehadiran JPNT  dan agensi lain untuk mengadakan program seumpama itu pada masa akan datang. “Sudah tentu kita membuka tangan seluas-luasnya kepada semua pihak umtuk mengadakan aktiviti seperti ini. “Melalui program ini, ramai masyarakat menjadi lebih celik dan terbuka terhadap bidamh pertanian Bandar  sekali gus mampu memberi pendapatan tambahan kepada mereka selain mampu memanfaatkan masa dan tanah yang meraka ada. “Dalam masa yang sama dalam aktiviti pertanian ini boleh mengurangkan penggantungan kepada bekalan makanan yang diimport,” tambah beliau.    
16 Sep 20
517
Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan
Lima Jam Susuri Sungai Dengan Semangat Pahlawan
  HULU TERENGGANU, 16 September - Berbekalkan semangat pahlawan dan ulamak melayu yang memperjuangkan kedaulatan bangsa dan tanahair, Belia Sahabat Sejahtera Telemong dengan kerjasama Pusat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong telah menganjurkan Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu. Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata antara objektif program bagi menghidupkan kembali nostalgia berakit, menyelami pengorbanan generasi dahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan dalam serta menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan penduduk. Tambahnya, ekspedisi kali kedua yang diadakan ini akan bermula di kampung Dusun dan berakhir di kampung Mesah, Kuala Telemong.  “Ekspedisi berakit pada kali ini akan menyusuri Sungai Telemong dan Sungai Terengganu sejauh lebih kurang 30 kilometer yang mengambil masa hampir lima jam. "Seramai 150 peserta mengambil bahagian dengan menggunakan 25 buah rakit yang mengandungi enam orang peserta bagi setiap rakit  pada kali ini. "Ia melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan jabatan termasuk polis, bomba dan badan bukan kerajaan (NGO) dengan pematuhan norma baharu yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan akibat wabak pandemik Covid19,"katanya. Beliau berkata demikian selepas Perasmian Jejak Pahlawan Berakit Menyusuri Sungai Terengganu, di Kampung Dusun hari ini. Menurut Safari, setiap rakit dinamakan dengan nama-nama pahlawan dan ulama yang mempunyai jasa dalam perjuangan kedaulatan agama, bangsa dan negara. "Kita namakan rakit-rakit ini dengan nama mereka yang banyak berjasa antaranya Tok Gajah, Dato' Bahaman, Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Raja Ri dan Mat Kilau. Tambah beliau lagi, sejarah pernah membuktikan laluan yang dilalui pernah menjadi pusat perdagangan dan perniagaan penting daripada pedagang dahulu serta para tabligh dalam menyampaikan syiar Islam. Menurutnya kawasan itu perlu dibangunkan semula tanpa meminggirkan ciri-ciri tradisionalnya untuk tatapan pelancong dan generasi baharu mengenai sejarah kegemilangan lokasi berkenaan.
16 Sep 20
1309