Artikel "Komuniti" Terkini
Kucar Sure Meriahkan DUN Air Putih
KEMAMAN, 19 September - Bersempena dengan ketibaan bulan Muharam, bulan pertama di dalam kalendar Hijriah Islam, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kawasan DUN Air Putih telah sepakat mengadakan program gotong-royong ‘Kucar Sure’ baru-baru ini.
Program gotong-royong bubur asyura atau lebih dikenali sebagai 'bubur sure' di kalangan masyarakat negeri Terengganu ini telah diadakan serentak di beberapa buah kampung di sekitar DUN Air Putih. Antara MPKK yang terlibat adalah MPKK Mak Chili, MPKK Kampung Batu 4 Binjai, MPKK Pengkalan Binjai, MPKK Jenang Baharu, MPKK Batu 14/ Kuala Tayor, MPKK Felda Seberang Tayor dan gabungan MPKK-MPKK Neram.
Seawal jam 7.30 pagi, para peserta gotong-royong kucar sure telah pun begitu lincah menyiapkan bahan-bahan untuk memasak bubur asyura ini. Antara bahan-bahan yang wajib ada bagi bubur asyura versi negeri Terengganu ini adalah kerisik, beras, ikan selayang, daging, ubi keledek dan gula kerek. Setiap kampung menyediakan sebanyak empat buah kawah bubur asyura untuk diagihkan kepada para penduduk setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan isteri turut meluangkan masa melawat tapak gotong-royong.
Beliau yang tidak melepaskan peluang mengacau bubur sure bersama penduduk kampung berkata, 10 Muharram adalah Hari Asyura. Antara tradisi masyarakat Melayu turun temurun apabila tiba tarikh ini, ia disambut dengan membuat dan mengadakan jamuan bubur asyura.
Beliau turut berpuas hati melihat kerjasama antara peserta gotong-royong.
"Program seumpama ini bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim di kalangan peserta gotong-royong, malah ianya juga dapat merapatkan jurang antara barisan MPKK bersama penduduk setempat,” ujar beliau lagi.
Sekitar jam 1.00 tengah hari, bubur asyura selamat diagihkan kepada para penduduk kampung. Ucapan tahniah dan ribuan terima kasih ditujukan kepada MPKK dan semua yang telah bertungkus lumus menjayakan program gotong-royong ‘Kucar Sure’ ini. Semoga ianya dapat dijadikan program tahunan bagi setiap MPKK di kawasan DUN Air Putih.
19 Sep 20
277
Terengganu Negeri Berkebajikan
KEMAMAN, 19 September - Kerajaan Negeri Terengganu prihatin terhadap kebajikan seluruh rakyatnya dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan bertepatan dengan temanya Terengganu, Maju, Berkat dan Sejahtera.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh menjelaskan perkara tersebut dalam satu program sumbangan untuk asnaf dan penyerahan kad SkimPAS di Kampung Sungai Mas kelmarin.
"Di samping bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), kerajaan negeri juga memperuntukkan lesen motosikal percuma, kad sejahtera untuk penama eKasih dan bantuan dari Tabung Darul Iman bagi mereka yang berpenyakit kronik dan ditimpa musibah.
"Selain itu, bantuan kaca mata percuma juga diperuntukkan oleh kerajaan negeri bagi mereka yang memerlukan dan bayaran premium tanah (Terkilan) yang rendah menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyatnya.
"Justeru rakyat Terengganu perlu mengambil peluang ini dalam memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan ini," ujarnya.
Beliau juga mengharapkan agar masyarakat faham dan tidak terjebak dengan berita-berita yang cuba memburukkan kerajaan.
"Kita mesti faham dan perlu mendengar penjelasan dari kedua belah pihak dan jangan mengambil pakai khabar angin daripada mereka yang cuba memburukkan dan mencalarkan imej kerajaan yang ada," ucapnya lagi.
Seramai 20 orang dari Kampung Sungai Mas dan Kampung Tebak hadir bagi menerima sumbangan barangan dapur di Pejabat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Mas/Tebak.
Turut hadir, Pengerusi Kebajikan DUN Kijal, Zawawi Mohamed dan Pegawai Kemasyarakatan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Zulkipli Mohamad.
18 Sep 20
798
Bertanjak Meriahkan Kemaman
KEMAMAN, 18 September - Daerah Kemaman dimeriahkan dengan kehadiran orang ramai memakai tanjak pada Program NGO (Badan Bukan Kerajaan) Kemaman Bertanjak bersempena Hari Malaysia yang berlangsung di Kemaman Centre Point (KCP), kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat melahirkan rasa syukur ke hadrat Ilahi di atas penganjuran program tersebut.
"Alhamdulillah, hari ini kita dapat bersama, bertemu dan beramah mesra dengan hadirin dari seluruh pelusuk daerah bagi negeri Terengganu dan juga luar negeri.
"Hari ini mengingatkan pada sejarah 70 tahun yang lalu di mana nenek moyang kita bangkit berjuang bagi memastikan negara yang sangat disayangi ini mencapai kemerdekaan," ujarnya.
Katanya lagi, orang Melayu pada hari ini perlu mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Dalam masa sama, beliau mengharapkan anak muda tidak melibatkan diri dengan perkara yang tidak baik seperti penglibatan dengan dadah dan lain-lain yang boleh merosakkan diri sendiri, agama, bangsa dan negara yang dicintai ini.
"Inilah harapan kerajaan negeri. Kami mengharapkan seluruh NGO dapat memainkan peranan supaya orang kenal kita sebagai orang Melayu yang mempunyai jati diri, akidah Islam yang tinggi dan menjadi contoh yang baik kepada bangsa-bangsa yang lain," ujarnya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika berucap merasmikan program tersebut.
Program tersebut melibatkan pelbagai NGO seperti Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA), Penyu Mas Muay Thai serta seluruh persatuan silat negeri Terengganu dan luar negeri.
Antara aktiviti yang diadakan pada program tersebut ialah Himpunan NGO Bertanjak, Himpunan Berbusana, Persembahan Silat, Deklimasi Puisi Patriotik, Pameran Senjata Melayu, Gerai dan Pameran Busana.
Turut hadir memeriahkan program itu, juara silat olahraga dunia dan selebriti, Master Ruzaidi Abdul Rahman yang lebih dikenali dengan panggilan mesra "Wak Didi".
18 Sep 20
1680
Skuad Cegah Sura Pantau Lokasi Panas
DUNGUN, 18 September - Skuad Cegah Sura akan sentiasa memantau lokasi panas di bandar Dungun dalam usaha membantu pihak berwajib membanteras maksiat di negeri ini.
Ketuanya Mahdi Hassan berkata, tumpuan diberikan di lokasi utama dibandar ini yang menjadi tumpuan segelintir individu untuk melakukan perbuatan tidak bermoral.
“Skuad Cegah ini berjalan hampir setiap malam dianggotai lebih dari 20 orang.
"Buat masa ini kami menfokuskan tempat tempat yang menjadi tumpuan utama untuk kami bergerak dan pantau,” katanya.
Menurut Mahdi, skuad terbabit memberi kesedaran sivik kepada orang ramai akan bahaya gejala tidak bermoral.
“Kami dari Skuad Cegah sentiasa meronda dan memberi kesedaran sivik kepada warga Dungun agar menjauhi perkara tidak bermoral.
"Disamping kita cegah, kita juga mengedar risalah kesedaran awam berkaitan masalah bahaya dadah, tutup aurat, solat berjemaah dan lain- lain lagi,” ujarnya.
Katanya,antara lokasi yang dipantau adalah sekitar Taman Poket Arena, Taman Riadah hadapan Imtiaz, sepanjang pantai Sura, bandar Dungun dan berapa tempat lagi.
“Sesungguhnya tiada permintaan lain yang kami inginkan melainkan Dungun ini bersih dari ‘wabak' yang tidak sihat dan yang merosakkan akal dan akhlak kita semua," ujarnya.
18 Sep 20
523
30 Buah Rumah Dibadai Ribut Dibaiki Segera
SETIU, 18 September - Sebanyak 30 buah rumah yang rosak di Jabi akibat dibadai ribut semalam akan dibaiki segera bermula hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, kejadian pada waktu asar itu menjejaskan beberapa buah kampung di sini.
"Ribut melanda beberapa kampung di Jabi waktu asar semalam disertai hujan lebat. Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Oh, Kampung Renek, Kampung Bharu Tok Dor, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Sri Aman dan beberapa kampung lain.
"Terdapat beberapa buah rumah ditimpa pokok tumbang. Tujuh batang pokok di atas pembahagi jalan Pekan Jabi turut rebah.
"Alhamdulillah, hanya atap, syiling dan sebahagian dinding sahaja yang rosak. Setakat ini, tiada kecederaan dan kematian yang dilaporkan akibat daripada ribut berkenaan," katanya.
Ribut turut merosakkan sawah padi.
Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke beberapa rumah penduduk di sekitar Jabi, petang semalam.
"Saya sangat berterima kasih atas tindakan segera kakitangan Pejabat ADUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) menyelesaikan apa yang perlu disegerakan terutama mengalihkan pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Kita buat operasi secara menyeluruh untuk baik pulih rumah yang rosak. Jumlahnya setakat dilaporkan sekitar 30 buah rumah. Harap bersabar semua," katanya.
Dalam pada itu beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Idustri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri berkata, beberapa ekar sawah padi di Baruh Kampung Oh Jabi juga ranap akibat angin yang kuat itu.
"Insya-Allah kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan sewajarnya melalui Tabung Bencana Pertanian Negeri," jelasnya.
18 Sep 20
866
Bekas Mekanik Terima Bantuan Kerusi Roda
DUNGUN, 17 September - Seorang bekas mekanik yang mengalami sakit dibahagian lutut menerima bantuan kerusi roda yang diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi berkata, masalah yang dihadapi oleh Afandi Muhammad dalam perhatian pihaknya.
“Kami dapat aduan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 48 memaklumkan ada seorang bekas mekanik perlukan sebuah kerusi roda.
"Dengan beberapa syarat yang dipenuhi, kami dapat menyumbang sebuah kerusi roda untuk kegunaan harian beliau,” katanya.
Wan Hapandi ditemui pemberita ketika program ziarah sebagai usaha menyantuni golongan yang memerlukan.
“Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga para penerima kerusi roda,” ujarnya.
Sementara itu, Afandi melahirkan rasa syukur dan terharu dengan sumbangan ini.
“Saya sangat bersyukur, gembira dan terharu dengan pemberian kerusi roda ini walaupun saya tidak pernah minta namun atas keperihatinan MPKK Batu 48 dan YB Sura, saya dapat merasainya.
Sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban kami sekeluarga,” ujarnya.
17 Sep 20
256
RM29,000 Untuk APSES
KEMAMAN, 18 September - Kerajaan menambah baik astaka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Puteh atau dikenali Ayer Puteh Secondary School (APSES) yang menelan belanja RM29,000.
Astaka APSES yang terbengkalai selama lapan tahun berubah wajah hari ini selepas peruntukan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid digunakan untuk menyiapkan astaka APSES.
Katanya, seramai 500 lebih orang murid di APSES mendapat manfaat.
"Selepas ini tidak perlu lagi pasang dan cabut kanopi setiap kali program diadakan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Astaka APSES semalam.
Gimik perasmian disempurnakan Che Alias dengan memecahkan ketulan air batu yang diselit kain rentang bergulung tertulis SMK Ayer Puteh, Astaka APSES dan berlatar belakangkan astaka yang siap dinaik taraf.
Sementara itu, Pengetua SMK Ayer Puteh, Mohd Sadri Tengah mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen yang sentiasa turun padang bersama masyarakat.
"Alhamdulillah atas kecaknaan Ahli Parlimen Kemaman, Astaka APSES mampu berdiri megah," ujarnya.
Astaka APSES dibina untuk mewujudkan suatu tempat kegiatan kokurikulum dan sukan bagi melahirkan murid-murid yang lebih aktif.
Majlis diadakan di Dewan Utama SMK Ayer Puteh. Hadir sama, Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Sekolah (PPD) Sektor Pengurusan Sekolah Menengah, Tajol Abidin Abdullah, Penghulu Mukim, Mohd Azlan Ibrahim, Yang Dipertua PIBG, Nazar Sidek dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Che Alias turut melawat Astaka APSES dan menandatangani plak perasmian disaksikan guru-guru dan pelajar-pelajar APSES.
17 Sep 20
1943
Dua Pesakit Terharu Terima Katil Wakaf
DUNGUN, 17 September - Seorang warga emas dan pesakit terlantar terharu menerima sumbangan katil wakaf yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, baru-baru ini.
Mereka ialah Abdullah Mohamad , 72, dari Kampung Sura Gate dan Wan Mohd Suffian W Mohamad, 43, Kampung Molek.
Wan Hapandi berkata, melalui konsep wakaf, orang ramai boleh menyumbang dan katil tersebut akan diserahkan kepada pesakit.
“Sumbangan katil wakaf ini bertujuan memastikan mereka selesa dan mudah diuruskan oleh anggota keluarga masing masing.
Pemberian ini sedikit sebanyak menceriakan dan meringankan beban keluarga,” katanya kepada pemberita.
Ini membuktikan keprihatinan ADUN Sura yang memberi fokus kepada usaha meringankan beban golongan kurang berkemampuan.
Sementara itu, salah seorang penerima berkata, dia terharu menerima sumbangan berkenaan.
“Katil baharu ini memberi keselesaan kepada saya. Kalau nak beli sendiri memang saya tidak mampu.
Terima kasih banyak Yang Berhormat (YB). Sedikit sebanyak mudahkan urusan kami sekeluarga,” katanya.
17 Sep 20
246
Ihsan Osman Terharu Dapat Rumah Baharu
DUNGUN, 17 September - Tiada apa yang dapat menggambarkan perasaan Ahmad Ihsan Osman apabila rumah yang didiami terbakar awal tahun lalu, kini berwajah baharu.
Beliau berkata, sebelum ini dia tidur tidak lena memikirkan keadaan rumah yang tidak sempurna.
“Rumah saya terbakar awal tahun lalu dan saya sangat sedih apabila mengenangkan tiada tempat tinggal.
Saya sangat terharu apabila permohonan rumah baharu di bawah program Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) diluluskan,” ujarnya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi penyerahan kunci rumah PPRT dirumahnya.
Ihsan memaklumkan yang impian untuk memiliki sebuah rumah telah tercapai walaupun sedih mengenangkan rumah asalnya.
“Saya sangat bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rumah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu merealisasikan impian ini termasuk YB Wan Hapandi, JKM Dungun, I-Mits Sura, kerajaan negeri dan semua,” katanya.
Sementara itu, majlis penyerahan rumah itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
17 Sep 20
578
Wan Sukairi Rai 102 Bakal Mahasiswa Dari DUN Wakaf Mempelam
KUALA TERENGGANU, 17 September – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah mengambil peluang meraikan 102 orang bakal mahasiswa dan mahasiswi dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri berkata, program ramah mesra ini bertujuan untuk meraikan kejayaan 102 orang pelajar terbabit melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA,IPTS) bersama ibu bapa mereka.
“Saya mengharapkan anak-anak kita ini akan membentuk masyarakat yang berilmu, dan menjadi pelapis dalam membangunkan kampung, daerah, negeri dan negara kita pada masa hadapan.
“Pada peringkat pertama kira-kira dua bulan yang lepas, kita telah sambut dari rumah ke rumah seramai 100 orang pelajar keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2019. Lawatan melalui 34 buah kampung itu untuk meraikan para pelajar yang bakal menyambung pelajaran ke pelajaran matrikulasi, asasi dan diploma,” ulasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Program ramah mesra ADUN Wakaf Mempelam bersama para pelajar ijazah pertama sesi 2020/21 di Dewan Camelia, Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, pagi ini.
Turut hadir, Ketua Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) Wakaf Mempelam, Radzali Abdul Ghani, kakitangan daripada I-MITS Wakaf Mempelam dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Mempelam
Katanya lagi, program peringkat kedua yang diadakan itu melibatkan 32 pelajar lelaki dan 60 pelajar perempuan yang bakal melanjutkan pelajaran dalam ijazah pertama di IPTA dan IPTS sesi 2020/2021.
“Selepas majlis hari ini, dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN, kita akan mengikuti perkembangan para pelajar melalui pembentukan kumpulan dalam aplikasi Whatsapp. Inisiatif ini berperanan sebagai satu saluran untuk para pelajar berkongsi perkembangan pembelajaran masing-masing.
"Selain itu, pihak kami turut merancang untuk berjumpa dengan anak-anak DUN Wakaf Mempelam di Universiti IPTA dan IPTS, untuk melihat perkembangan pelajaran mereka dan mengadakan pertemuan bersama pelajar-pelajar yang sedia ada di sana,” katanya.
17 Sep 20
698