Artikel "Komuniti" Terkini
Penting Dan Indahnya Kehidupan Bersyariat
KEMAMAN, 15 September - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat meluahkan harapannya kepada Sukarelawan Syariah Negeri Terengganu agar dapat memberi fokus kepada penting dan indahnya kehidupan bersyariat.
Katanya, di sinilah peranan Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat berhubung tanggungjawab dalam menyalurkan maklumat mengenai kesalahan syariah serta kesediaan masyarakat untuk tampil menjadi saksi dalam sesuatu kes terutama melibatkan kes jenayah syariah.
"Kerajaan sangat mengambil berat kekangan yang dialami oleh pihak penguatkuasa syariah dalam menguatkuasakan perundangan syariah, antaranya kerjasama daripada orang awam yang tidak mahu butiran didedahkan setelah menyalurkan maklumat tentang suatu kesalahan.
"Ia akhirnya boleh menyebabkan siasatan tidak lengkap dan pihak pendakwaan tidak dapat mengendalikan kes dengan baik di mahkamah.
"Menyedari kekangan tersebut, satu langkah telah diambil oleh Kerajaan Negeri Terengganu dengan mewujukan satu pasukan yang dinamakan dengan Sukarelawan Syariah yang telah dilancarkan pada 12 Mac yang lalu," ujarnya ketika berucap di hadapan 125 peserta dalam seminar tersebut di Dewan Darul Iman Terengganu Centre (DITC), Teluk Kalong, semalam.
Dalam perkembangan sama, tambah Hanafiah, tujuan penubuhan Sukarelawan Syariah antara lain adalah untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak penguatkuasa syariah dan bersedia tampil memberi keterangan di mahkamah.
Bagaimanapun, bidang tugas mereka tidaklah sehingga mengambil alih tugas pihak penguatkuasa syariah dalam usaha untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang syariah di dalam negeri ini akan berjalan lebih baik dari sebelumnya.
"Oleh kerana sukarelawan syariah ini akan bekerjasama secara langsung dengan pihak penguatkuasa syariah, mereka ini akan tertakluk sepenuhnya di bawah arahan dan kawalan Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Negeri Terengganu ataupun dibawah kuasa Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu agar semua tindakan sukarelawan syariah ini bertepatan dengan peruntukan undang-undang," katanya lagi.
15 Sep 20
250
Gelanggang Serbaguna Gong Gemia Kini Beroperasi
DUNGUN, 15 September- Gelanggang serbaguna di Gong Gemia kini mula beroperasi setelah siap dibangunkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat berkata, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Gemia telah menganjurkan pertandingan bakat baru tertutup sepak takraw 2020 sempena pembukaan gelanggang serbaguna berkenaan.
"Tahniah MPKK Gong Gemia atas penganjuran pertandingan bakat baru tertutup sepak takraw 2020 sebagai perasmian gelanggang serbaguna yang baru disiapkan walaupun dalam suasana norma baru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Tertutup Sepak Takraw 2020 di Gelanggang Serbaguna Gong Gemia, baru-baru ini.
Satiful mengharapkan pihak pemuda dan MPKK perlu sentiasa menghidupkan gelanggang berkenaan dengan aktiviti yang berfaedah kepada masyarakat setempat.
"Pihak pemuda mahupun MPKK perlu lebih kreatif untuk mengisi aktiviti khususnya pemuda-pemuda agar terisi waktu mereka dengan program yang lebih berfaedah dan bermanfaat," jelasnya.
15 Sep 20
560
Wanita B40 Teruja Mulakan Kelas Jahitan Sulam Tampal
KUALA TERENGGANU, 15 September – Para peserta kursus jahitan sulam tampal yang terdiri daripada wanita berpendapatan rendah (B40) di sekitar daerah ini sudah tidak sabar untuk memulakan pembelajaran mereka.
Kursus anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Nor itu dilaksanakan di bawah inisiatif Pelan Jana Semula Negara ‘Human Resources Development Fund’ (PENJANA HRDF) dan akan memberi manfaat kepada individu untuk jualan secara atas talian.
Wakil Richmind Legacy Sdn Bhd (penyedia latihan), Zuraina Ahmad berkata program ini dinamakan sebagai program jahitan ‘patchwork’ ataupun tampal cantum yang tidak memerlukan sebarang modal.
Zuraina Ahmad.
“Kita hanya menggunakan kain perca yang sedia ada seperti lebihan-lebihan kain jahitan dan kemudian dijadikan satu produk yang baru seperti beg ataupun kotak pensil, beg sandang, bakul dan sebagainya.
“Produk-produk ini boleh dijual dengan harga yang sangat tinggi, jadi kita berharap kemahiran baharu yang dipelajari oleh wanita B40 Kuala Terengganu ini dapat digunakan untuk menjana pendapatan dengan lebih lumayan kerana produk-produk ini dapat dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi walaupun tanpa menggunakan modal.
“Wanita-wanita ini asalnya sudah mempunyai kemahiran menjahit, jadi apa yang dilakukan ialah menambah kemahiran menjahit ke satu tahap yang baru,” ujarnya.
Zuraina berkata demikian ketika ditemui oleh pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Jahitan Sulam Tampal Untuk Jualan Secara Online Bagi Program Pembangunan B40 Daerah Kuala Terengganu di Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Wakaf Mempelam semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah, serta Pengarah Urusan Richmind Legacy Sdn Bhd, Ahmad Jafny Jusoh.
Menurut Zuraina lagi, daerah Kuala Terengganu adalah ‘pilot programme’ (program pertama) yang dijalankan.
Katanya, kejayaan program tersebut akan menjadi kayu ukur untuk dipertimbang dan dikembangkan ke daerah-daerah dan negeri lain.
ADUN Wanita bersama sebahagian peserta.
“Kami menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu terutamanya kepada ADUN Wanita yang menyambut baik program ini dan sebenarnya idea ini sudah lama, tetapi tidak dapat dilaksanakan sebaliknya kali ini, ADUN Wanita telah membantu merealisasikannya.
“Pihak mereka banyak membantu kami dari segi untuk mendapatkan dan mengenal pasti peserta yang layak sebab kita tahu, golongan B40 ini ramai tapi kita sasarkan golongan yang betul-betul memerlukan untuk dibantu, tambahnya lagi.
Beliau turut melahirkan harapan agar peserta dapat belajar dengan bersungguh-sungguh di samping dapat dilatih sebagai usahawan wanita yang boleh menjana pendapatan sendiri untuk keluarga tanpa perlu mengharapkan orang lain.
ADUN Wanita bergambar bersama peserta kursus.
15 Sep 20
938
Pembesaran Jambatan Gong Baru Akan Disegerakan
KUALA TERENGGANU, 15 September –Jambatan di Kampung Gong Baru akan diperbesarkan segera selepas proses permohonan bagi tujuan tersebut mendapat kelulusan pihak berkuasa.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Mohd Izzat Abdullah berkata, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Batu Buruk telah menghantar permohonan untuk meluaskan jambatan itu pada Ogos yang lalu.
"Insya-Allah perkara ini akan diambil tindakan susulan bagi memastikan ia dapat disegerakan demi kebaikan bersama,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Baru, Mohd Rashid Ibrahim memaklumkan isu ini telah dibangkitkan sejak 20 tahun lalu namun tidak ada tindakan susulan diambil.
"Penduduk kampung menghadapi kesukaran apabila melalui jambatan ini dan terbaru pihak bomba tidak dapat melaluinya ketika berlaku kebakaran di sini baru-baru ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak DUN Batu Buruk yang telah mengambil perhatian akan isu ini dan saya harap ia dapat disegerakan," katanya lagi.
Untuk rekod, berdekatan jambatan itu, sekitar 50 dan 100 meter terdapat dua lagi jambatan yang lebih luas untuk kemudahan masyarakat.
Jambatan tersebut merupakan infrastruktur penting bagi penduduk kampung kerana ia menghubungkan beberapa buah kampung di sekitarnya.
14 Sep 20
477
Warga Emas Sebak Bakal Terima Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 14 September - Warga emas, Shafie Mohd@Sulong, 74, sebak apabila diberitahu kerajaan negeri akan membina rumah baharu untuknya sekeluarga selepas kediaman lama musnah dijilat api baru-baru ini.
Rumah pusaka yang berusia 80 tahun terletak di Kampung Losong Haji Awang itu didiami bersama dua anaknya terbakar dalam kejadian jam 7 pagi.
Tragedi tersebut melibatkan kerugian hampir RM100,000 termasuk wang tunai RM20,000 hasil berniaga, barangan kemas dan dua buah motosikal.
Kata Shafie, buat masa ini, mereka sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara yang tinggal berhampiran.
"Setakat ini kami menumpang dahulu di rumah sanak saudara sehingga semuanya kembali seperti sedia kala," jelasnya semasa ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya bersetuju membina semula rumah milik Shafie di kawasan sama dalam tempoh terdekat.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri memaklumkan, pihak berkaitan akan menilai saluran mana yang diperlukan agar urusan itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
“Kita ada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Tabung Darul Iman dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Ketiga-tiga agensi ini saling berkait untuk menyalurkan bantuan.
“Berkaitan itu, pihak Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam sudah mengambil tindakan segera.
“Saya berharap kedua-dua mangsa tabah menghadapi ujian, tetapi sebaliknya tetap kena bersyukur kerana tiada kemalangan yang meragut nyawa,” katanya.
Dalam lawatan itu, Wan Sukairi dan pihak Manis FM menghulurkan sedikit bantuan.
14 Sep 20
952
Ghazali Santuni Warga Emas
DUNGUN, 14 September- Menyantuni golongan warga emas menjadi rutin wajib kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Baru-baru ini beliau berkesempatan menziarahi beberapa orang warga emas di DUN berkenaan yang berusia 85 tahun ke atas.
Menurut Ghazali, ziarah kebajikan berkenaan diadakan khusus bagi mendekati golongan yang telah lanjut usia bagi mengetahui hal ehwal serta keperluan mereka di dalam usia berkenaan.
"Dimana maklumat mengenai warga emas yang kita ziarahi ini diperolehi melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Diharapkan dengan ziarah ini mampu menghiburkan mereka dan sebagai tanda kecaknaan serta keprihatinan daripada saya yang telah diamanahkan sebagai Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi.
"Sepertimana program menjejaki warga emas yang berusia ini, dengan objektif dan matlamat supaya mereka sedar bahawa masih ada yang sayang kepada mereka dan semoga kesemuanya sentiasa berada didalam rahmat Allah SWT," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas mengadakan ziarah berkenaan.
Katanya mendekati golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, anak yatim merupakan program wajib diadakan pada setiap bulan dengan menyasarkan seramai mungkin untuk diziarahi.
14 Sep 20
316
Remaja Mengidap Kanser Tulang Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 14 September – Muhammad Amirin Sofi, 18, remaja yang menderita sakit kanser tulang sejak tahun lalu telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Dalam kunjungannya ke kediaman remaja berkenaan, baru-baru ini beliau menyatakan kesediaan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk untuk membantu melalui sumber yang ada dan setakat ini pusat khidmat DUN telah menyerahkan sumbangan segera bagi membantu keperluan Muhammad Amirin.
“Beliau kini memerlukan khidmat doktor pakar untuk menjalani pembedahan di bahagian lutut dan insya-Allah, kami di pihak DUN akan membantu sebaik mungkin bagi meringankan bebanan beliau sekeluarga,” kata Muhammad Khalil kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Ibu remaja terbabit memaklumkan, kanser tulang itu telah ‘memakan’ tulang beliau setiap hari dan memerlukan pembedahan yang segera. Muhammad Amirin Sofi bakal menjalani pembedahan pada Oktober nanti di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
13 Sep 20
939
Keprihatinan Kerajaan Negeri Terhadap Ibu Tunggal Dipuji
MARANG, 15 September - Keprihatinan kerajaan Terengganu bagi mengelakkan ibu tunggal yang layak menerima bantuan khas tercicir mendapat pujian Jabatan Pembangunan Wanita (JPW).
Pengarah JPW Terengganu, Raja Kamariah Raja Abdul Rahman berkata, ia terbukti apabila kebanyakan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu telah mengadakan taklimat berhubung Bantuan Khas Ibu Tunggal di Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Katanya, walaupun bantuan itu tidaklah terlalu besar, tetapi ia sangat membantu mereka yang kurang berkemampuan.
"Memang kerajaan hanya bagi sekali secara one-off sebanyak RM300, tetapi sebenarnya nilai itu sangat berharga dan besar bagi orang yang memerlukan.
Raja Kamariah Raja Abdul Rahman
"Di Terengganu, kita tidak mempunyai masalah dari segi kerjasama di DUN, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) yang menunjukkan keprihatinan dalam menjaga masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata ketika berucap dalam Program Taklimat Bantuan PENJANA Ibu Tunggal di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, di sini kelmarin.
Turut hadir, Penyelia i-MiTS Rhu Rendang, Mohd Embong, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Jalaluddin Awang.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan seramai 1,500 orang telah mendapat bantuan itu dalam fasa satu, dua dan tiga.
Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, program itu diadakan bagi memastikan semua ibu tunggal yang layak tidak tercicir.
"Itu tujuan kita, lebih-lebih lagi pada saat ini mereka golongan yang sangat memerlukan setelah terjejas dengan pandemik COVID-19.
"Selagi kita bergelar kerajaan, kita akan terus menjaga kebajikan masyarakat setempat, memberi maklumat dan menjadi pengantara atau orang tengah bagi memudahkan urusan rakyat," jelasnya lagi.
13 Sep 20
831
40 Kawah Bubur Asyura Sambut Bulan Muharam
KEMAMAN, 21 September - Sebanyak 40 kawah bubur asyura dimasak dalam Program Memasak Bubur Asyura Peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai sempena menyambut bulan Muharam.
ADUN Chukai, Hanafiah Mat berkata, antara objektif diadakan program tersebut adalah bagi merapatkan silaturahim di antara MPKK dan agensi kerajaan di Kemaman.
"Program ini diadakan bagi memastikan seluruh gerak kerja dilaksanakan dengan sebaiknya, bukan sahaja di peringkat lapangan tetapi di seluruh jabatan kerajaan," ujarnya.
Katanya lagi, setiap MPKK dan agensi kerajaan diberikan RM500 bagi membeli bahan-bahan untuk memasak bubur asyura dan sebagainya.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan turut mengambil bahagian dalam menjayakan program pada kali ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan gimik perasmian program yang berlangsung di pekarangan Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, baru-baru ini.
Sebanyak 40 kawah dimasak melibatkan 29 MPKK dan selebihnya melibatkan agensi-agensi kerajaan yang ada di Kemaman.
Antara agensi kerajaan yang terlibat ialah Pejabat Daerah Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, Pejabat Kesihatan Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan & Saliran, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan lain-lain.
Sebahagian bubur asyura yang dimasak telah diagihkan kepada pengguna jalan raya berhadapan Padang Astaka Kemaman. Manakala sebahagian lagi dibawa pulang oleh pihak MPKK untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan masing-masing.
Program tersebut turut menyediakan jamuan tengah hari dan pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk semua peserta yang hadir.
13 Sep 20
877
Skuad Amar Didik Pemilik Salun Kecantikan Jaga Aurat
MARANG, 12 September - Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar) mengedar risalah berkaitan batasan aurat kepada beberapa salun kecantikan wanita dan kedai perkhidmatan mengunting rambut di daerah ini.
Ketua Skuad Amar, Nasaruddin Samsudeng berkata, langkah itu bertujuan memberi penerangan jelas mengenai aurat, termasuk batasan antara lelaki dan wanita.
“Penerangan awal dengan edaran risalah yang diberikan ini adalah diharap dapat membentuk ke arah salon patuh syariah.
“Sejujurnya, bertemu mata dengan peniaga salon seperti ini lebih baik di mana kita boleh menyelami suasana harmoni dengan dakwah secara leih terperinci kepada mereka mengikut kesesuaian.
“Program dakwah jalanan yang dilakukan ini juga telah mendapat keizinan daripada Ahli Majlis Daerah Marang dari bahagian perlesenan dan juga Pegawai Penguatkuasa Syariah Daerah Marang.”
Beliau berkata sebaik sahaja selesai program edaran risalah bersama 10 orang sukarelawan skuad amar yang terdiri daripada golongan wanita bermula jam 11 pagi.
Menurutnya lagi, dalam kunjungan hari ini, kita dapati ada di kalangan mereka merupakan ibu tunggal yang berkerja keras demi menyara keluarga.
“Ada juga yang diuji dengan masalah kesihatan dan kewangan dalam tempoh pasca Perintah Kawalan Pergerakan ekoran daripada Pandemik Covid-19. Dengan itu kita juga turut memberikan sedikit sumbangan wang ringgit.”
“InsyaAllah, selepas ini pemantauan secara berkala akan dibuat bersama-sama PPS, Pihak Berkuasa Tempatan dan Ahli Majlis Dearah Marang,” ucapnya lagi.
12 Sep 20
473