Artikel "Komuniti" Terkini
10 Tahun Huni Rumah Tanpa Bilik
MARANG, 21 September - Penduduk Marang, Hamdan Mohd Nor, meluahkan rasa syukur setelah rumah yang didiaminya selesai dibaik pulih dalam Program Pakat Carre DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan.
Beliau bersyukur kepada Allah SWT atas keprihatinan kerajaan negeri terhadap kesulitan yang dihadapinya.
"Jika dahulu, selama 10 tahun saya tinggal di rumah usang yang tidak berbilik, tetapi kini kehidupan saya lebih selesa setelah menerima sumbangan baik pulih rumah di samping tambahan dua buah bilik yang baru.
"Terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Ustaz Sulaiman yang prihatin terhadap kebajikan kami," jelasnya ketika ditemui pemberita di sini kelmarin.
Dalam tumpuan sama, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong mengharapkan supaya bantuan dan program-program seumpama itu dapat diteruskan lagi dengan jayanya.
"Kita mengharapkan supaya bantuan dan program-program seumpama ini dapat dijayakan lagi bersama dengan Penyelaras Pemuda DUN dan Jabatan Amal Kawasan Marang serta agensi-agensi di DUN Pengkalan Berangan," ujarnya.
Proses baik pulih kediaman tersebut mengambil masa selama 10 hari untuk disiapkan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Marang, Irsyad Syafiq, Ketua Lujnah Kebajikan Unit Amal Kawasan Marang, Tajudin Ibrahim dan Ketua Unit Amal DUN Pengkalan Berangan, Shahrul Azmi Othman.
20 Sep 20
985
Tenpin Boling Erat Hubungan MPKK-Pegawai Daerah Dungun
KEMAMAN, 20 September - Kejohanan Tenpin Boling MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Bersama Pegawai Daerah Dungun di U-Bowl Mesra Mall, di sini semalam, berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 60 peserta dari lapan mukim daerah Dungun.
Fairul Hisyam Mat.
Ketua Penolong Pegawai Daerah Dungun, Fairul Hisyam Mat berkata, pertandingan yang dianjurkan Pejabat Daerah Dungun itu diadakan bagi mengukuhkan hubungan yang sedia terjalin antara kedua pihak.
“Hubungan antara MPKK dan kakitangan Pejabat Daerah perlu terus dipereratkan dan semoga kejohanan ini berterusan serta dapat diadakan lagi pada masa depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut.
MPKK yang terbabit melibatkan lapan mukim di seluruh Dungun termasuk dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Paka, Bukit Besi dan Rantau Abang.
Naib johan.
Dalam perkembangan sama, menurut Fairul, program itu merupakan acara tahunan bagi mengukuhkan kerjasama kedua pihak sekali gus menaikkan nama daerah Dungun ke tahap yang lebih tinggi.
Pemenang turut membawa pulang hadiah kemenangan selain semua peserta beroleh saguhati masing-masing.
20 Sep 20
473
Pemuda Paya Resak, Padang Tanjung Sertai Program Jaulah Di Tasik Kenyir
MARANG, 19 September – Seramai 65 orang pemuda telah mengikuti Program Jaulah di Rumah Bot (housebot) Tasik Kenyir, Hulu Terengganu anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Paya Resak dan MPKK Kampung Padang Tanjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, dia berharap supaya program sebegini akan meneguhkan lagi pemuda-pemuda yang ada dan sentiasa berpegang teguh dalam perjuangan.
"Selagi mampu, kita akan sentiasa berusaha mengadakan program sebegini supaya kita dapat melihat kebesaran Allah yang telah menciptakan keamanan dengan wujudnya alam yang memberikan kita ketenangan,”katanya..
Program selama 3 hari 2 malam, bermula Khamis lalu di dua rumah bot itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Mohd Nor.
20 Sep 20
556
Laksana Tanggungjawab Mengundi, Serlahkan Semangat Patriotik
DUNGUN, 20 September- Mendaftarkan diri sebagai pengundi kali pertama merupakan tanggungjawab yang mesti dijalankan oleh setiap rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun keatas sebagai menzahirkan jiwa patriotik yang mahu meletakkan negara berada didalam keadaan yang baik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata setiap rakyat perlu celik melihat kepentingan menjadi pengundi kerana sebagai sebuah negara demokarasi berparlimen cara demikian menentukan nasib pemerintahan negara.
"Semua orang sedar akan keadaan sepanjang Pakatan Harapan (PH) memerintah negara, setelah 22 bulan memberi kesan yang sangat buruk didalam sejarah pemerintahan negara mereka tiada visi untuk rakyat dan dalam keadaan politik yang tidak stabil ini maka sudah tentu mandat akan diserahkan kembali kepada rakyat, dan ini masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya.
"Jadi disini pentingnya tanggungjawab mendaftarkan diri sebagai pengundi, jangan hanya niat dengan hati sahaja untuk melihat negara stabil dari sudut politik sedangkan tanggungjawab sebagai pengundi tidak dijalankan, masih lagi tidak mendaftarkan diri terutama di kalangan anak muda yang sudah pun berusia 21 tahun," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pihak media selepas pelancaran jentera pilihan raya yang telah disempurnakan oleh Naib Yang DiPertua PAS Kawasan Dungun bagi peringkat DUN Bukit Besi, di Dewan Sivik Jerangau, semalam.
Kata Ghazali pihaknya telah berusaha sedaya upaya bagi memudahkan anak muda di DUN berkenaan tidak terlepas dari menjalankan tanggungjawab berkenaan.
"Dengan mana kita telah membuat secara 'rotate' bagi mengadakan Gerak Gempur Daftar Pemilih di setiap tempat yang menjadi tumpuan dengan kerjasama daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pasar-pasar awam, pasar minggu, pasar malam atau pelbagai lokasi yang kita fikir sesuai untuk memastikan pendaftaran sebagai pemilih atau pengundi dapat dilakukan dengan mudah.
"Anak muda perlu untuk didorong dan dicelikkan dengan politik dengan cara yang mudah dan senang, kerana golongan anak muda pada masa kini mereka dilihat mahukan segala-galanya dapat dilakukan dengan mudah dan senang, disamping perlu diberi penerangan dan pendedahan kepada mereka melalui media sosial secara berterusan agar dapat menyuntikkan kefahaman yang baik supaya mereka menjadi pengundi yang bijak bagi menentukan masa depan negara," ujarnya.
Selain itu katanya, PAS Bukit Besi telah melancarkan Jentera Pilihan Raya di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sebagai tanda persediaan bagi menghadapi pilihanraya di peringkat parlimen yang dijangka akan berlaku pada bila-bila masa sahaja.
20 Sep 20
1008
60 Bakal Mahasiswa Dirai
DUNGUN,20 September- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengadakan program Lambaian Menara Gading (LAMEGA) bagi meraikan 60 pelajar lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang berjaya melanjutkan pengajian ke menara gading.
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, program berkenaan bertujuan memberi penghargaan kepada pelajar yang berjaya menempatkan diri ke pusat pengajian tinggi.
"Tahniah kepada semua pelajar. Saya doakan agar semuanya dapat mengikuti pengajian sehingga habis dan mendapat keputusan yang cemerlang. Boleh dikatakan setiap kali anak-anak DUN Bukit Besi dapat menyambung pengajian ke universiti akan kita ambil kesempatan bagi meraikan mereka, meniupkan semangat serta menasihatkan mereka agar menjaga sahsiah diri.
"Serta belajar dengan penuh semangat patriotik, maksudnya belajar dengan bersungguh-sungguh serta berniat bagi menyumbang sesuatu kepada negara dan tidak akan sesekali melakukan perkara yang merugikan bangsa, agama dan negara,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program LAMEGA yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru ini.
Bagi Wan Nur Aqlima Wan Saifulbahrim yang berjaya mendapat tempat Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, nasihat dan pesanan yang diberikan Ghazali akan menjadi pendorong untuknya menempuhi alam universiti.
"Saya akan melanjutkan pelajaran ke dalam bidang Pengurusan Operasi. Peluang belajar ini tidak akan saya persiakanlah, rasa sangat gembira mempunyai pegawai penyelaras yang begitu cakna dan prihatin terhadap kami.
"Dengan sedikit bantuan yang diberi ini saya rasa sangat bersyukur sebab dapat menampung sedikit perbelanjaan ke universiti nanti," ujarnya.
Nur Shafika Imran yang bakal menlanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah dalam bidang Usahawan dan Pelancongan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) juga sangat berterima kasih diatas kecaknaan Ghazali.
"Sukalah sebab ada orang meraikan kita dengan bantuan diberikan dapatlah tampung serba sedikit bagi membantu mahasiswa seperti kami, serta diberikan nasihat serta tips yang sangat membantu kami agar lebih peka kepada alam baru di universiti yang pastinya lebih mencabar bagi memastikan kami lebih terjaga serta tidak terjerumus kepada perkara yang tidak baik.
"Bagi saya apabila tamat pengajian nanti tidak keberatan untuk kembali berkhidmat di DUN Bukit Besi," katanya.
20 Sep 20
487
Program Kacau Bubur Asyura Rapatkan Ukhuwah
DUNGUN, 19 September - Program Gotong-Royong Bubur Asyura yang dianjurkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sura Melati, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Melati dan Surau Al Ansar Jalan Melati berjaya merapatkan ukhwah di antara penduduk kampung.
Pengerusi MPKK, Haji Azahar Mohammad berkata, program itu disertai oleh mereka yang berbeza pandangan politik.
“Kita berharap dengan adanya program sebegini dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama kita.
Biarpun berbeza pandangan politik namun umat Islam seharusnya bersatu hati membina negara ini semula,”ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi KRT, Mohd Amran Che Mood berkata, beliau sangat gembira kerana program tersebut mendapat sambutan orang setempat.
“Saya sangat gembira dengan penerimaan warga Jalan Melati yang turun bergotong-royong menyiapkan bubur asyura.
Sebanyak empat kawah kami sediakan dimana bermula awal pagi dan siap jam 1 petang,” katanya
Program ini dilaksana bagi memupuk semangat kemasyarakatan bersama penduduk kampung.
19 Sep 20
679
Jangan Pindah Ternakan Elak Wabak Merebak
KUALA TERENGGANU, 19 September - Kerajaan negeri mengeluarkan amaran melarang sebarang aktiviti pemindahan ternakan dari kandang serta ladang yang dijangkiti penyakit hawar berdarah atau haemorrhagic septicaemia (HS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim menegaskan, tindakan berkenaan penting bagi memastikan kematian berskala besar tidak terus merebak ke kawasan lain.
"Mohon kerjasama daripada semua penternak, peraih atau sesiapa sahaja yang berkenaan agar tidak melakukan pemindahan ternakan dari daerah yang sedang dilanda wabak HS ke daerah lain tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu.
"Hari ini Penguatkuasa JPV Terengganu menahan sebuah lori dengan dua ekor kerbau yang disyaki cuba dipindahkan dari daerah berlaku wabak tanpa kebenaran Pengarah JPV.
"Kes disiasat mengikut Warta Kerajaan Negeri Terengganu, Perintah di Bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953, Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Penyakit Hawar Berdarah kerana melakukan pemindahan tanpa kebenaran Pengarah JPV Terengganu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, jika disabitkan kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000.
Sehubungan dengan itu ujarnya, larangan keras diambil tersebut perlu pihak diambil perhatian oleh semua pihak.
"Daerah yang terjejas sekarang ialah Marang dan Kuala Terengganu. Pemindahan ternakan dari daerah lain yang tak terlibat juga perlu mendapat kebenaran JPV," tambah beliau.
19 Sep 20
1023
Pintu Gerbang Kampung Cina Kemaman Dibina
KEMAMAN, 19 September - Sebuah mercu tanda pintu gerbang bagi masyarakat Tionghua akan dibina di Kampung Cina, Kemaman.
Pengerusi Majlis Perniagaan dan Perindustrian China Kemaman, Dato' Soh Kok Hiang mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan negeri yang menghadiahkan mercu tanda pintu gerbang tersebut buat mereka.
"Kemesraan dan semangat jiwa rakyat yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Hanafiah kita telah memupuk hubungan rapat di antara kaum Tionghua tempatan. Hal ini perlu dipuji dan disyukuri oleh kita semua," ujarnya.
Katanya lagi, dengan terbinanya pintu gerbang ini akan menjadi satu mercu tanda bagi masyarakat Tionghua di bandar Cukai ini.
Beliau berkata demikian ketika mewakili masyarakat Tionghua Kemaman dalam Majlis Perasmian Mercu Tanda Pintu Gerbang Kemaman, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Dalam ucapannya, beliau menjelaskan pemilihan tempat pembinaan di Kampung Cina itu disepakati oleh semua pihak setelah beberapa tempat yang dipilih sebelum itu tidak memenuhi kriteria atau syarat pembinaan yang diluluskan apabila dirujuk kepada beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya dan lain-lain.
"Pembinaan pintu gerbang ini merupakan salah satu janji kerajaan negeri jika PAS memenangi pilihan raya umum (PRU) yang lalu. Hari ini kerajaan negeri menunaikan janji tersebut," katanya.
Mercu Tanda Pintu Gerbang ini dijangka mengambil masa selama dua hingga tiga bulan untuk disiapkan serta melibatkan kos sebanyak RM360,000 dan ditaja oleh anak syarikat milik kerajaan negeri.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Pengerusi Dewan Perhimpunan Tionghua Kemaman, Mr. Lau Sin Tat serta Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Ramlan Mahmood.
19 Sep 20
3252
Pantai Terengganu Bebas Sampah Tanggungjawab Bersama
KEMAMAN, 19 September - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengharapkan semua pihak mengambil tanggungjawab bersama menjaga keindahan tempat-tempat pelancongan serta tumpuan awam terutama di pantai-pantai di negeri Terengganu supaya bersih dan bebas daripada sampah.
"Amalan menjaga kebersihan merupakan amalan penting dalam memacu kemajuan negara serta masyarakat. Ia juga wajar dibudayakan sebagai salah satu amalan hidup.
"Islam adalah cara hidup yang mencakupi semua pergerakan manusia dari mula bangun tidur sehingga kembali semula ke tempat tidur. Jika ibadat solat mensyaratkan setiap umat Islam mementingkan kebersihan, begitu juga tuntutan Islam supaya kebersihan dipelihara setiap masa dalam kehidupan," ujarnya.
Beliau yang jugaAhli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika berucap merasmikan program Kempen Bersih Pantai Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2020 di Pantai Teluk Mak Nik, hari ini.
Daerah Kemaman menjadi daerah pertama yang menjalankan program ini dan akan diikuti oleh daerah lain serentak pada 3 Oktober 2020.
Turut hadir memeriahkan program itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abdul Hamid, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Penolong Kanan Pegawai Daerah (Pembangunan Fizikal), Nurul Ain Husin serta Pengarah Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu, Ustaz Ramlan Mahmood.
19 Sep 20
909
Agih Bubur Asyura Secara 'Drive-Thru'
DUNGUN, 20 September- Sebanyak 300 pek bubur assyura diagihkan kepada penduduk Durian Mentangau secara ‘Drive-Thru’ atau pandu lalu bagi mengelakkan kesesakan orang ramai berkumpul.
Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Durian Mentangau, Suhaimi Muda berkata, pengagihan itu dibuat seusai solat Jumaat.
“Pada sebelah pagi kita bersama komuniti setempat mengadakan gotong-royong memasak bubur assyura ini dan membuat pengagihan selepas solat Jumaat,” katanya.
Jelasnya, kaedah ini dapat mengelakkan orang ramai berkumpul di khemah yang disediakan.
“Alhamdulillah, sekaligus kita dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam pengajuran program ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan selepas selesai pengagihan bubur asyura di perkarangan Masjid Durian Mentangau, baru-baru ini.
katanya, program berkenaan disambut baik oleh masyarakat setempat tidak kira tua dan muda.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada penduduk kampung serta semua yang bekerjasama membuat ‘sura’.
“Alhamdulillah semangat bergotong-royong ini masih kuat di Durian Mentangau,” ujarnya.
19 Sep 20
236