lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Hadiah Gambar Jadi Kenangan Abadi
Hadiah Gambar Jadi Kenangan Abadi
MARANG, 28 September - "Ini bukan sekadar hadiah, tetapi merupakan tanda kenangan yang akan saya abadikan dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. "Terima kasih Menteri Besar Terengganu di atas hadiah yang sangat bermakna ini dan kunjungan yang dilakukan tempoh hari," ucap Mazlan @ Alias Salleh, 72, yang merupakan bekas Imam di Masjid Rhu Muda. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria di rumahnya untuk menyampaikan hadiah gambar berserta bingkai yang ditempah khas. Sementara itu, Sabri berkata, gambar ini dipilih oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai tanda kenang-kenangan yang dirakamkan ketika menziarahi bekas imam yang uzur itu di rumahnya beberapa bulan lalu. "Gambar ini menggambarkan seribu makna buat dirinya dan beliau sendiri telah memilih gambar ini dengan menandatangani untuk diabadikan. "Sebaik sahaja program ziarah Al-Mala' yang diadakan bagi menziarahi orang lama yang bertugas sebagai imam dan guru mengaji di sekitar Kampung Rhu Muda, salah satu gambar yang diambil ini telah menarik minatnya untuk dijadikan sebagai hadiah serta penghargaan kepada bekas imam ini," jelasnya. Mazlan @ Alias Salleh telah berkhidmat sebagai Imam dan bilal di Masjid Rhu Muda selama hampir lebih 20 tahun dan merupakan orang lama di dalam Cawangan Pas Seberang Marang. Terdahulu, Menteri Besar Terengganu telah menziarahinya yang kini uzur serta sakit tua di rumahnya bersama-sama isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
28 Sep 20
837
Peserta RTB 'Terkejut' Terima Borang 5A
Peserta RTB 'Terkejut' Terima Borang 5A
DUNGUN, 27 September  - Rata-rata peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) tapak rumah Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang tidak menyangka dan terkejut apabila terpilih untuk menerima Borang 5A. Seorang penerima Rosilawati Shafie, 56, berkata, dia sudah lupa sejak bila permohonan itu dibuat memandangkan ianya sudah memakan masa yang agak lama. "Saya minta lama dah, masa tu anak yang saya beri hak milik tak ada lagi, sekarang dia sudah berumur 29 tahun, tapi syukurlah, kalau sudah rezeki kita tu, tak ke mana, walaupun dulu kita minta tanah tempat lain, tapi dapat kat Tok Kah," ujarnya ceria.  Rosilawati yang kini seorang ibu tunggal ditemui wakil media Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Majlis Penyerahan Borang 5A Bagi RTB Tapak Rumah DUN Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini. Majlis yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu itu turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang.  Seorang lagi penerima, Asiah A. Rahman, 59, menceritakan dia sudah tidak berharap akan terpilih menerima Borang 5A kerana berasa tiada harapan. "Tetapi Alhamdulillah, akhirnya Allah rezekikan saya dapat juga, walaupun masa minta dulu tempat lain, hari ini kerajaan beri tempat lain, tidak apa, tidak kisah, terima kasihlah Yang Berhormat( YB) kita Cikgu Alias," katanya yang menerima Borang 5A RTB Tapak Rumah ByPas. Sementara itu ADUN Rantau Abang, Alias Harun di dalam ucapan alu-aluannya berkata seramai 209 orang menerima Borang 5A pada majlis penyerahan yang telah masuk kali kedua itu. " Hendak dapat tanah ini bukanlah mudah, saya sedar ramai di hadapan saya ini telah menunggu sekian lama, jadi harapan saya, penerima-penerima tidak ada hasrat hendak jual tanah yang tuan puan dapat ini, gunalah sebaiknya" katanya.
28 Sep 20
11481
160 Penghuni PUSPEN Besut Sertai Program Motivasi
160 Penghuni PUSPEN Besut Sertai Program Motivasi
BESUT, 28 September - Seramai 160 penghuni Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Besut menyertai program motivasi yang dianjurkan PUSPEN dengan kerjasama Pejabat Penyelaras Parlimen Besut di pusat berkenaan, baru-baru ini. Selain tazkirah dan motivasi yang disampaikan oleh Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor, program berkenaan turut menampilkan Azuar Mat Tasi (Zuar XPDC) bagi berkongsi pengalaman dan memberi kata-kata semangat kepada tahanan. Riduan berkata, para tahanan seharusnya tidak berasa tersisih, sebaliknya perlu manfaatkan sebaiknya masa di pusat itu untuk memperbaiki diri agar menjadi insan yang lebih baik di masa akan datang. "Tuan-tuan adalah insan yang terpilih oleh Allah untuk berada disini. Saya berharap agar tuan-tuan dapat menjalani ujian ini sebaik mungkin. "Masa depan negara di tangan tuan-tuan, pilihlah jalan yang baik untuk menguruskannya," ujarnya kepada pemberita selepas majlis berkenaan. Katanya, beliau turut berharap penghuni PUSPEN Besut tidak merasa tersisih berikutan kisah silam mereka dan masyarakat di luar sana perlu bersama-sama membantu untuk proses pemulihan. Program yang berlangsung selama sejam itu penuh dengan kata-kata semangat dan motivasi oleh kedua tetamu jemputan, malah kehadiran Zuar XPDC juga tambah menceriakan lagi majlis bersama lagu-lagu nasihat dibawanya.  
27 Sep 20
880
50 Penduduk Kampung Alor Belanga Sertai Program Sehari Bersama Komuniti
50 Penduduk Kampung Alor Belanga Sertai Program Sehari Bersama Komuniti
BESUT, 28 September- Seramai 50 orang masyarakat Kampung Alor Belanga menyertai program Sehari Bersama Komuniti yang bertempat di perkarangan Kompleks Tahfiz Annur, di sini semalam. Program anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Besut itu turut menjemput 20 sukarelawan paramedik dari badan bukan kerajaan (NGO) Muslimcare Malaysia Society. Program yang bermula dengan pemeriksaan kesihatan pada sebelah pagi diteruskan dengan gotong-royong baik pulih jalan kampung yang menghubungkan ke tahfiz dan menziarahi asnaf-asnaf pada sebelah petangnya. Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, pihaknya akan terus mengangjurkan program berkenaan untuk kepentingan rakyat. "Insya-Allah kita akan memastikan program cakna rakyat seperti ini akan diteruskan buat seluruh penduduk Besut khususnya. "Kita juga akan masuk ke kampung cari asnaf-asnaf untuk menghantar sumbangan buat mereka tanpa mengira latar belakang agar kita dapat melahirkan masyarakat yang harmoni. Sebagai pemimpin, kita kena peka dengan keadaan sekeliling," ujarnya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.  
27 Sep 20
431
Arnab Pedaging Kian Dapat Tempat
Arnab Pedaging Kian Dapat Tempat
KEMAMAN, 28 September - Penternakan arnab pedaging kian mendapat tempat bagi bakal penternak yang mendapat pendedahan dalam Kursus Asas Penternakan Arnab Siri-2 Peringkat Daerah Kemaman di Dewan PASTI Adam, Kampung Mak Chili, baru-baru ini. Sekitar 70 orang peserta yang baru berjinak-jinak untuk menceburi bidang penternakan arnab pedaging telah mengambil bahagian di dalam kursus ini. Program ini turut menarik minat peserta dari negeri Perak dan Kelantan yang hadir bagi mendapatkan sedikit sebanyak ilmu asas berkaitan penternakan arnab pedaging ini. Antara fokus utama yang diajar di dalam kursus ini adalah kaedah pengurusan dan pemeliharaan arnab. Selain itu, para peserta turut didedahkan tentang probation period, kesihatan dan kaedah pemasaran ternakan arnab pedaging. YB Hj Ab Razak selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih turut meluangkan masa hadir ke program ini. “Dengan adanya bidang penternakan arnab pedaging ini, sedikit sebanyak dapat membantu golongan muda menjana pendapatan” ucap beliau sewaktu merasmikan kursus ini. “Selain itu, saya juga berharap agar para peserta yang hadir ke kursus ini dapat memanfaatkan ilmu yang diperolehi dengan sebaiknya” ujar beliau lagi. Kursus ini merupakan anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Persatuan Penternak Arnab Pedaging Terengganu (APT) dan Arnab Pedaging Kemaman-Dungun.
27 Sep 20
698
Masyarakat Tionghua Bukit Besi Tidak Terpinggir
Masyarakat Tionghua Bukit Besi Tidak Terpinggir
DUNGUN, 28 September - Walaupun masyarakat Cina merupakan kaum minoriti di sini namun mereka tidak pernah dipinggirkan daripada menikmati pembangunan sama dengan kaum lain. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, malah kebajikan terhadap tujuh buah keluarga kaum Tionghua di DUN berkenaan sentiasa terjaga. "Jumlah mereka yang berbangsa Tionghua di sini seramai tujuh orang sahaja. Namun kita sangat menghargai keberadaan mereka di sini sebagai sebahagian penduduk yang tinggal secara harmoni bersama penduduk Melayu semenjak sekian lama. "Malah mereka dilihat begitu senang dengan corak kehidupan masyarakat disini sehingga apa yang kita makan pun mereka makan seperti nasi putih dengan lauk ikan singgang cicah budu dan sebagainya, mereka juga seperti kelaziman turut berniaga disini serta pelanggan utama mereka mestilah masyarakat di sini. "Ianya telah membentuk kehidupan yang harmoni serta saling bertoleransi," ujar beliau ketika ditemui pihak media selepas mengunjungi kaum berkenaan serta turut menyampaikan sumbangan kuih bulan sempena festival 'Moon cake' baru-baru ini. Seorang penduduk Kampung Nerang, Chiong Tong Hing sangat berterima kasih atas kunjungan berkenaan. "Sangat berterima kasihlah kepada Pegawai Penyelaras kerana sudi mengunjungi kita di sini dan memberikan Kuih Bulan yang sangat sinonim dengan masyarakat Tionghua dan selalunya diagihkan pada festival 'Mooncake'," ujarnya.  
27 Sep 20
496
Kursus Membaiki Mesin Basuh Peluang Tambah Ilmu Dan Sumber Pendapatan
Kursus Membaiki Mesin Basuh Peluang Tambah Ilmu Dan Sumber Pendapatan
DUNGUN, 27 September - Dalam usaha meningkatkan tenaga kemahiran khususnya dalam sektor pembaikian, Parlimen Dungun dengan kerjasama PADAT Dungun telah menganjurkan Kursus Asas Membaiki Mesin Basuh. Diadakan selama sehari di Kampung Pinang Merah, program tersebut disertai seramai 29 orang peserta yang terdiri daripada para pemuda serta penduduk kawasan sekitar. Paling menarik ianya diadakan secara percuma dan para peserta turut diberikan sijil penyertaan, t-shirt serta makan dan minum. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kursus tersebut bertujuan untuk melatih serta menambah ilmu para peserta disamping memberi peluang kepada para peserta untuk menambah sumber pendapatan. Katanya, objektif utama pihak kami menganjurkan kursus seperti ini adalah bagi membantu masyarakat Dungun secara khususnya bagi menambah pendapatan kerana kita juga faham, masih ramai diluar sana yang tidak stabil dari segi ekonominya semenjak COVID-19 melanda dunia," ujarnya. Beliau yang ditemui pemberita selepas selesai majlis penutup kursus tersebut turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Abam's Crew yang diketuai oleh Khairul Fazil kerana sudi memberi bimbingan dan tunjuk ajar secara berkesan kepada para peserta. Salah seorang peserta kursus, Abu Bakar, 51, menyatakan rasa syukur kerana dapat turut serta dalam kursus berkenaan.  "Saya amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana mengadakan program yang amat berguna seperti ini. "Sebelum ini saya hanya bekerja sebagai 'freelance', sejak pandemik COVID-19 merebak, secara jujurnya pendapatan saya juga turut terjejas,"katanya. Abu Bakar yang juga salah seorang penduduk sekitar kawasan berkenaan turut menyatakan hasratnya untuk menggunakan ilmu yang diperoleh sepanjang kursus berkenaan bagi membantu penduduk kampungnya selain menambah pendapatan.
27 Sep 20
874
Waspada Penyakit Tidak Berjangkit
Waspada Penyakit Tidak Berjangkit
HULU TERENGGANU, 27 September - Masih ramai rakyat Malaysia termasuk individu di Terengganu yang tidak sedar serta memandang remeh tentang penyakit tidak berjangkit dan risiko penyakit tersebut terhadap kesihatan mereka. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, rakyat perlu membuka mata bahawa pencegahan penyakit tidak berjangkit memerlukan komitmen yang tinggi daripada diri sendiri memandangkan peningkatan jumlah kes penyakit tidak berjangkit sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. “Antara penyebab kematian utama di Malaysia yang berpunca daripada penyakit tidak berjangkit ialah penyakit jantung dengan jumlah kes kematian sebanyak 18,267 pesakit mengikut data yang telah dikeluarkan oleh ‘’Ischaemic heart diseases (IHD). Beliau berkata demikian semasa membaca teks perasmian mewakili ucapan Timbalan Menteri Kesihatan 1, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Haji Noor Azmi Bin Ghazali dalam Program Sukarelawan KOSPEN & Sambutan Hari Jantung Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu semalam. Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dr. Nor Azimi Binti Yunus dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, YB Dr. Mamad Puteh. Tambah beliau, peningkatan jumlah pesakit bagi penyakit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan obesiti, berkait rapat dengan budaya pemakanan dan gaya hidup masyarakat yang tidak baik dan kurang bersenam. ‘’Dengan pengamalan gaya hidup sihat, penyakit jantung dapat dikawal dan dicegah,sekaligus mengurangkan risiko kematian pra-matang akibat penyakit jantung dan strok dalam kalangan rakyat Malaysia. “Sebagai rakyat prihatin terhadap kesihatan diri, kita hendaklah sentiasa mempraktikkan amalan pemakanan dan cara hidup sihat bagi mencegah penyakit-penyakit tersebut,”ujarnya. Menurutnya lagi, rakyat perlu menyahut seruan membuat pemeriksaan kesihatan bagi mengukur tahap kesihatan serta melibatkan diri dalam program-program yang khusus untuk mendapat kemahiran tentang pengamalan gaya hidup sihat.
27 Sep 20
434
Dua Keluarga Terharu Terima Sumbangan Barangan Elektrik
Dua Keluarga Terharu Terima Sumbangan Barangan Elektrik
DUNGUN, 27 September- “Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sura Gate, dan semua pihak yang membantu kami. Saya akan guna dan jaga barangan ini dengan sebaik mungkin,” kata Ahmad Fauzi Abd Halim, 32, yang menerima sumbangan di Kampung Sura Gate, baru-baru ini. Sumbangan barangan eletrik dan keperluan rumah itu adalah pemberian Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura dan disampaikan sendiri oleh ADUN berkenaan, Wan Hapandi Wan Nik. Ahmad Fauzi berkata, dia tidak menjangka dan begitu gembira apabila terpilih untuk menerima sumbangan tersebut yang dianggap terlalu bermakna. Seorang lagi penerima, Rohaini Awang, 59, begitu terharu atas sumbangan itu kerana ia membantunya menyelesaikan masalah untuk menyimpan barangan basah. “Kami terharu dan sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat apabila tahu akan mendapat peti sejuk.  Kalau dulu kami tiada peti sejuk, sekarang bila dah ada, barang basah dapat disimpan lebih lama,” ujarnya. Sementara itu, Wan Hapandi berkata, masalah yang dihadapi oleh setiap ahli qaryah akan cuba diselesaikan dengan sebaik mungkin.  “Kita sudah dapat maklumat berkaitan mereka yang memerlukan sumbangan seperti barang eletrik, tilam, almari dan lain-lain lagi. Kita akan turun ke setiap kampung untuk menyampaikan bantuan tersebut” katanya.  “Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga serta memudahkan kerja harian mereka,” ujarnya. 
27 Sep 20
1190
Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis
Kursus Pra Perkahwinan Perdana Manfaatkan Belia Dan Beliawanis
HULU TERENGGANU, 27 September - Seramai 131 peserta menghadiri Kursus Pra Perkahwinan Perdana peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun berkata, program yang diadakan selama dua hari mampu memberi pendedahan terbaik kepada peserta sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Katanya lagi, peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan berjumlah RM50, manakala lagi RM30 ditanggung penganjur yang mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Belia dan Beliawanis DUN bagi menjayakannya. "Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima pada kursus kali ini, golongan belia di daerah ini ternyata bijak mengambil peluang disediakan. "Tujuan utama juga ialah untuk memberi kemudahan dan meringankan beban golongan muda yang belum berkahwin mendapatkan sijil perkahwinan dengan hanya mengeluarkan sebahagian bayaran. “Semoga dengan penganjuran ini mampu membimbing peserta bagi menempuh hidup cabaran berumah tangga dengan berpandukan ilmu dan panduan yang dicurahkan sepanjang kursus ini,"katanya pada Majlis Perasmian Penutup kursus tersebut di Dewan Tuan Guru Harun Taib (KUDQI) Kubang Lembek.      Tambah beliau lagi, golongan muda yang ingin mendirikan rumah tangga juga perlu mencari pengetahuan tambahan di majlis-majlis ilmu agama bagi memastikan mahligai dibina diberi keberkatan Allah SWT. dan mendapat keluarga ‘sakinah’, ‘mawaddah’, dan ‘rahmah’.  “Pihak kami akan merancang pelbagai penganjuran program bermanfaat seperti ini pada setiap tahun agar lebih banyak ilmu mampu dicapai oleh masyarakat kawasan ini,” ujarnya.
27 Sep 20
744