Artikel "Komuniti" Terkini
DUAT Terengganu Turun Dekati Masyarakat
KEMAMAN, 1 Oktober - Akademi Didik Ulama AMILIN Terengganu (DUAT) turun mendekati masyarakat dengan program-program yang dianjurkan termasuk program DUAT Bersama Komuniti Harmoni, semalam.
Pengarah DUAT, Ustaz Ramlan Mahmood memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rahmat dan keizinan-Nya, program tersebut berjaya diadakan dalam suasana penuh ceria.
"Kami di Akademi DUAT sedang giat memperkasakan dan membentuk para pendakwah dan rakyat Terengganu dengan membawakan program-program dalam bermacam variasi kaedah dan uslub.
Seseorang pendakwah perlu mengetahui feqah dakwah yang berbeza pendekatannya dengan fekah hukum betul dan salah, halal dan haram," ujarnya.
Tegas beliau, tugas pendakwah itu lebih bertujuan menyelamatkan manusia bersama petunjuk Islam, termasuk terhadap umat Islam sendiri yang tenggelam dalam kejahilan agama yang diyakini dan disayanginya.
"Secara umumnya, penting bagi negeri darul iman ini untuk terus melahirkan modal insan yang seimbang yang memiliki penguasaan ilmu yang menyeluruh yang mana bakal menjadi pewaris kepada kepimpinan kerajaan negeri di masa hadapan," katanya lagi ketika berucap merasmikan program tersebut yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Puh.
Program tersebut diserikan dengan ceramah yang disampaikan oleh Pendakwah Bebas, Ustaz Aidiladha Tahir. Manakala, ianya turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai yang menyumbang beras dan barangan dapur kepada 100 orang fakir miskin.
Program itu juga turut mendapat kerjasama oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Perumahan Gong Pauh, Kampung Gong Pauh, Kampung Jaya dan Jalan Dato'.
30 Sep 20
1510
150 Mahasiswa Terima Bantuan Awal Pengajian
BESUT, 30 September - Seramai 150 bakal mahasiswa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh menerima bantuan awal pengajian dari Pejabat Penyelaras DUN berkenaan baru-baru ini.
Pegawai Penyelaras DUN, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, para bakal mahasiswa perlu memanfaatkan ilmu yang dipelajari untuk kesejahteraan rakyat setempat.
"Akhlak dan tingkah-laku sepanjang proses pembelajaran berlaku harus dijaga sebaik mungkin bagi memastikan ilmu yang diperolehi diberkati oleh Allah SWT.
"Generasi yang berilmu amat penting bagi memastikan kemajuan dan keamanan sesebuah negara dapat dijaga dengan sebaik mungkin.
"Para bakal mahasiswa perlu belajar dengan bersungguh-sungguh agar tidak menghampakan harapan orang ramai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Dewan Komuniti Kampung Padang Luas, Jerteh semasa meraikan kesemua bakal mahasiswa terbabit.
Bantuan awal ini merupakan salah satu usaha Pejabat Penyelaras agar dapat menarik minat orang awam untuk terus belajar menuntut ilmu.
29 Sep 20
723
Lesen Percuma, Anak Muda Tidak Lagi Risau
KUALA NERUS, 30 September - Pemberian lesen motosikal percuma oleh kerajaan negeri memberi kelegaan berganda kepada anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.
Penerima, Asiah Chik, 25, nyata gembira dengan peluang yang diperolehinya dan menyifatkan ia sebagai hadiah daripada kerajaan untuk golongan belia.
“Terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana memilih saya sebagai salah seorang penerima Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS).
“Kepada anak muda di luar sana, buatlah permohonan ini, insya-Allah ada rezeki kita akan dapat bantuan ini,” ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Program LMTS Tahun 2020 di Dewan Serbaguna Taman Permint Perdana kelmarin.
Sementara itu, Mohd Aidil Fizri, 24, dari Kampung Taman Permint Perdana pula melahirkan kegembiraan kerana permohonannya diluluskan.
“Syukur pada Allah, bantuan ini mungkin nampak kecil pada segelintir pihak, namun bagi kami para belia ia cukup bermakna.
“Kos bagi membuat lesen motosikal sudah tidak ditanggung kami lagi, dalam erti kata lain duit simpanan kami boleh kami gunakan untuk perkara lain seperti perbelanjaan sambung belajar.
“Dalam masa yang sama, ibu bapa juga tidak perlu mengeluarkan duit kepada anak-anak untuk tujuan ini kerana sudah dibayar kerajaan,” jelasnya.
Manakala seorang lagi penerima dari Kampung Telaga Batin, Siti Hajar, 30, memaklumkan, peluang sekali seumur hidup dimanfaatkan sepenuhnya.
“Alhamdulillah, sekarang saya dah sampai ke peringkat ujian berkomputer, terima kasih kepada semua pihak atas inisiatif yang berguna untk rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab, ia adalah salah satu komitmen kerajaan dalam menunaikan janji manifesto PAS pada PRU14 yang lalu.
Jelasnya, dengan adanya baucer itu, setiap keluarga dapat meringankan beban yang ditanggung sebanyak RM300.
MPKK Kampung Batin mencatatkan penerima tertinggi iaitu 50 penerima manakala MPKK Kampung Baru lapan penerima.
29 Sep 20
1686
Sehari Bersama Pelanggan Di Setiap Kawasan MPKK
DUNGUN, 29 September- Program sehari bersama pelanggan akan diadakan disetiap kampung mengikut kawasan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sekitar Sura.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, program seperti ini sangat penting kepada rakyat.
“Sebelum ini kita buat program sehari bersama pelanggan di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Sura.
Selepas kita bermesyuarat, keputusan sebulat suara, kita akan menjelajah di setiap kawasan MPKK,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Program Sehari Bersama Pelanggan di Perkarangan Surau Ashabul Kahfi, Kampung Nibong.
Katanya, melalui program sebegitu rakyat boleh mengadu pelbagai masalah.
“Warga Sura boleh terus mengadu, berjumpa dengan agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Maidam, Pejabat Kesihatan Dungun, I-MiTS, Pusat Khidmat Masyarakat dan lain-lain lagi.
"Saya juga akan turut berada bersama sepanjang program berlangsung,” ujarnya.
29 Sep 20
345
I-MiTS Bukit Besi Santuni Ibu Bersalin
DUNGUN, 29 September- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi mengadakan ziarah kepada ibu bersalin di DUN berkenaan.
Penolong Penyelia i-MiTS DUN berkenaan, Zakiah Alias berkata, setiap kali menerima perkhabaran mengenai kelahiran cahaya mata, pihaknya akan menziarahi keluarga terbabit.
"Kita akan terus ke rumah mereka bersama dengan Hal Ehwal Wanita i-MiTS, beliawanis dan juga Muslimat PAS. Dimana kita melihat program ziarah ini dapat menyentuh atau mengembirakan para ibu dan ianya menjadi salah satu kebajikan yang kita lakukan.
"Bagi memastikan lebih memaknai pertemuan dan sebagai tanda ingatan, sedikit hadiah dan cenderamata sebagai tanda kenang-kenangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, sejurus mengadakan ziarah ibu bersalin di sini, hari ini.
Zakiah berkata, maklumat berkenaan ibu bersalin didapati melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di seluruh DUN Bukit Besi.
"Program ziarah dilakukan dengan menyasarkan 10 orang setiap hari, dimana merangkumi bukan sahaja ibu bersalin malah turut menziarahi warga emas.
"Juga mereka yang diuji dengan kesakitan, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan sebagainya yang telah kita tetapkan sebagai wajib untuk kita ziarahi.
"Semoga program kebajikan yang kita lakukan ini menepati dengan kehendak kerajaan negeri didalam memastikan setiap rakyat berada didalam keadaan sejahtera," ujarnya.
29 Sep 20
444
Strategi Dakwah Perlu Dipelbagaikan
DUNGUN, 29 September- Strategi berdakwah kepada golongan bukan Islam perlu dipelbagaikan supaya ianya dapat diterima baik oleh mereka.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pendekatan dakwah yang dibawa oleh Rasulullah perlu dicontohi.
"Kerana itu sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah berdakwah melalui kata-kata dan juga akhlak, dimana kita ini sebagai orang muslim kena tunjukkan kepada mereka dahulu agar dilihat seiring dengan prinsip agama itu sendiri yang membentuk jati diri serta keperibadian yang unggul.
"Ziarah menziarahi, mengambil cakna serta melakukan kebajikan kepada mereka amat perlu agar mereka tersentuh hati melihat Islam itu sangat menganjurkan umatnya agar melakukan kebaikan bukan hanya sesama sendiri tetapi kepada seluruh umat manusia, kerana Islam tidak mengajar akan umatnya bersikap perkauman," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program menziarahi kaum Tioung Hua di Kampung Jerangau, semalam.
Katanya, sebagai umat Islam menyampaikan mesej mengenai Islam menjadi tanggungjawab setiap muslim namun samada ianya berjaya atau tidak itu Allah yang tentukan.
"Tugas kita cuma menyampaikan, yang mengurniakan hidayah adalah Allah SWT. Kerana itu perlunya kepada strategi dengan cara berhikmah dan perlu menyampaikan tanggungjawab berkenaan dengan penuh kasih sayang sesama umat," ujarnya.
Hasil daripada ziarah berkenaan katanya, hampir keseluruhan kaum Tionghua yang diziarahi didalam DUN Bukit Besi mengatakan selesa tinggal bersama muslim.
"Malah telah membentuk kejiranan yang baik, mereka juga tersentuh hati dengan masyarakat kampung yang baik, serta ada diantara ahli keluarga mereka telahpun memeluk Islam cuma yang mereka perlukan adalah sedikit masa, kita sebagai pendakwah perlulah memberikan mereka penerangan sedikit demi sedikit, serta meleraikan kekusutan yang mereka hadapi serta salah faham mereka terhadap agama Islam," ujarnya.
29 Sep 20
1163
Golongan Wanita Mesti Rebut Peluang Insentif, Bantuan Kerajaan
DUNGUN, 29 September - Golongan wanita mestilah merebut peluang pelbagai insentif dan bantuan yang disediakan oleh kerajaan untuk meningkatkan taraf kehidupan mereka.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun berkata, wanita muda dan ibu tunggal sewajarnya menyertai skim, insentif dan kursus-kursus yang disediakan oleh kerajaan menerusi agensi berkaitan.
"Sebagai contoh, di Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) ada kelas jahitan yang disediakan, tetapi sambutan tidak menggalakkan, begitu juga kursus 'home manager', untuk jaga anak-anak, orang tua di rumah majikan juga dibuka permohonan kepada golongan wanita", katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika berucap di dalam satu perjumpaan bersama Muslimat di Jalan Intan di sini baru-baru ini.
Menurut Alias, Kerajaan Terengganu juga sentiasa proaktif untuk membantu rakyat menjadi usahawan berjaya.
"Dengan menyediakan pinjaman-pinjaman untuk berniaga, antara agensi yang terlibat ialah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan YPKT, mohonlah, gunakan peluang yang disediakan kerajaan ini untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik, " katanya lagi.
29 Sep 20
213
Martabatkan Ilmu Al-Quran
BESUT, 28 September- Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor menyeru masyarakat Islam di daerah tersebut khususnya bersama-sama memartabatkan ilmu al-Quran.
Katanya, al-Quran adalah sebaik-baik petunjuk dan umat Islam perlu beramal dengan kalam Allah itu.
"Saya berharap agar anak-anak kita yang belajar di universiti, apabila mereka pulang suruhlah mereka pergi mengaji al-Quran.
"Dalam al-Quran banyak mukjizat yang kita tidak tahu, contonya surah Al-Fatihah mempunyai banyak kelebihannya, jadi belajarlah sebelum terlambat",ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Road Tour Al-Quran Bersiri Bersama Da'ie 2020 yang berlangsung di Dewan Seminar Masjid Hadhari Jerteh.
Program anjuran Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) itu telah dihadiri 150 peserta.
28 Sep 20
207
Lima Pesakit Terima Bantuan Kewangan
MARANG, 28 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah sempat meluangkan masa menziarah dan bertanya khabar lima pesakit yang kurang beekemampuan.
Pada masa sama ziarah itu bertujuan menyerahkan bantuan bulanan wang tunai RM200 kepada pesakit dan bantuan sama akan diteruskan pada bulan seterusnya.
Lima pesakit itu adalah dari Kampung Sena Rendang, Kampung Machang Lada, Kampung Mak Kemas dan Kampung Padang Paksu Man.
Mohd Nor berkata, untuk serahan pertama, pihaknya menyalurkan terus supaya dapat bertemu dan melihat sendiri situasi pesakit serta masalah yang dihadapi.
"Kita juga berharap dengan adanya sumbangan yang berupa wang ringgit sebegini akan memudahkan lagi pengurusan kewangan terhadap keluarga tersebut," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Insan Dakwah Dan Penerangan negeri itu berkata ketika ditemui dalam program penyerahan sumbangan tersebut di Kampung Sena Rendang, Bukit Payong, Marang baru-baru ini.
Turut sama dalam program tersebut Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Shahrizal Ali dan pegawainya serta Pegawai-pegawai dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong.
28 Sep 20
342
Lega Terima Katil Wakaf
DUNGUN, 28 September- Tindakan segera Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi menghantar katil khusus untuk pesakit melegakan sebuah keluarga dari Kampung Dendang, disini.
Mohd Khairul Asyraf Ahmad berkata, ibunya Nor Madiah Seman yang baru keluar dari menjalani rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kini hanya mampu terlantar dikatil kerana mengalami penyakit 'minor stroke' dan juga kencing manis.
"Dengan bantuan ini dapatlah memudahkan kami adik- beradik untuk menjaga emak serta meringankan sedikit beban.
"Memang perkhidmatan yang dihulurkan sangat cepat, sebaik emak keluar dari hospital, katil pun telah sampai," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menerima kunjungan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya, semalam.
Dalam pada itu Ghazali berkata, pihaknya sentiasa mencaknai dan prihatin terhadap setiap rakyat di DUN Bukit Besi.
"Sentiasa saya mendoakan agar setiap rakyat disini sentiasa berada didalam keadaan sejahtera, aktiviti ziarah ini merupakan amalan biasa yang kita lakukan secara berkala, walau sesibuk manapun kita akan tetap cari ruang masa untuk mencaknai seluruh rakyat disini terutama kepada mereka yang diuji masalah kesihatan," ujarnya.
28 Sep 20
243