Artikel "Komuniti" Terkini
Wakil Rakyat Suatu Amanah
KUALA TERENGGANU, 27 September - Memikul tugas sebagai wakil rakyat adalah suatu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan tanpa sebarang alasan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah mengakui tidak terkecuali untuk turut bersama rakyat, mengambil tahu denyut kehidupan mereka di DUN tersebut.
"Seminggu sekali iaitu Khamis adalah hari 'YB bersama rakyat', sakit pening, susah senang rakyat perlu dijenguk, saya tolong sekadar mampu, selebihnya mesti ada caranya untuk kita bantu melalui saluran yang ada seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM), Tabung Darul Iman(TDI), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan banyak lagi agensi lainnya yang berkaitan. " ujarnya.
Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu ditemui ketika program ziarah bersama 'Team Ziarah Yang Berhormat (YB) Wan Sukairi' di DUN tersebut, baru-baru ini.
'Team' tersebut diketuai oleh Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN, Radzali A. Ghani.
Menurut Radzali, program ziarah bersama Wan Sukairi diadakan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
"Jika YB ada lapang akan jadi dua atau tiga kali seminggu dan 'team' kami kena sentiasa bersedia dengan nama-nama dan rumah yang perlu kami ziarah," jelasnya.
26 Sep 20
191
TDM Berhad Berbasikal Rentasi Lokasi Bersejarah
KUALA TERENGGANU, 27 September – TDM Berhad meneruskan aktiviti berbasikal dengan menjelajah pelbagai tempat bersejarah dalam Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua di Kuala Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM Berhad, Zainal Abidin Shariff berkata, program itu merupakan kesinambungan daripada siri pertama di Kuala Berang dengan menggunakan format berbasikal sambil menjejaki lokasi dan bangunan yang mempunyai nilai tersendiri.
"Selain menumpukan kepada perniagaan teras di bahagian perladangan dan penjagaan kesihatan, TDM turut menitikberatkan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) berbentuk ilmiah dengan memberi fokus kepada tiga sudut iaitu sejarah, budaya dan bahasa dalam mengolah dan mempelbagaikan aktiviti untuk program CSR TDM.
“Program ini turut diadakan secara rombongan berbasikal kerana ia lebih praktikal untuk menjejaki kawasan bersejarah sepanjang laluan serta menggalakkan nilai riadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan Program Gateh Jejak Sejarah siri kedua sempena bulan Kemerdekaan di Taman Tamadun Islam (TTI), pagi semalam.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah TDM Berhad, Mohd Kamaruzaman A Wahab.
Acara itu bermula pada pukul 8.30 pagi di TTI melibatkan jarak 25 kilometer, melalui Masjid Tokku Paloh, Masjid Tokku Chabang Tiga, Masjid Hiliran, Masjid Abidin, Bukit Puteri, Bukit Keledang, Rumah Tele, Rumah Tengku Ngah Aisyah dan Rumah Berdinding.
Menurut Zainal Abidin, penyertaan dalam siri pertama mendapat sambutan yang tinggi seramai 100 orang staf TDM Berhad.
"Tetapi pada siri kedua hanya 50 orang yang terlibat di mana pergerakan adalah mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Untuk siri seterusnya, lokasi pilihan seperti Dungun, Setiu dan Kemaman akan dikaji untuk kesesuaian supaya tempat-tempat bersejarah yang kurang diketahui umum dapat dikunjungi dan dipelajari," tambah beliau.
26 Sep 20
583
Penduduk Bimbang Binatang Liar Berkeliaran
DUNGUN, 26 September - Kehadiran pelbagai binatang liar yang berkeliaran tanpa mengira masa membimbangkan penduduk di Taman Rakyat Jaya, di sini.
Seorang penduduk, Jafri Jaafar bimbang kerana kelibat babi yang kelihatan jinak tetapi sebenarnya membahayakan.
"Budak-budak tak tahu pasal resmi babi ni... nampok jinak... kan (nanti) bila dia marah jadi cerita lain pula," katanya dengan nada serius.
Manakala seorang ibu, Rohaida Ghani yang tinggal di Jalan Intan juga bimbang dengan anjing yang kadang-kadang masuk ke dalam kawasan rumahnya dan jiran walaupun berpagar.
"Aduan sudah dibuat dan sudah dalam pengetahuan agensi berkaitan," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Rakyat Jaya, Hisham Aziz memberitahu, pihaknya sudah membuat laporan kepada pihak berwajib.
"Kita sudah adukan kepada pihak berkuasa, itu sudah dalam pengetahuan mereka," katanya.
26 Sep 20
909
Gotong-royong Bersih Kubur Terbitkan Keinsafan
DUNGUN, 26 September - Aktiviti membersih kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Kerteh 4A, Mohd Norizan Othman berkata, atas rasa tanggungjawab Pemuda PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menganjurkan program gotong-royong membersih kubur yang sekali gus berjaya menarik golongan muda untuk menyertai program ini.
"Di samping mereka (pemuda) dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat, pada masa sama keterujaan dan terbit keinsafan sepanjang membersihkan kubur ini.
“Tugas ini menerbitkan kesedaran tinggi bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti Gotong-royong Membersih Kubur Tanah Perkuburan Felda Kerteh 4, hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS DUN Paka, Fauzan Ramli menggesa agar masyarakat meneruskan program sebegini pada masa-masa akan datang.
"Hari ini kita berganding bahu bersama MPKK, Jabatan Amal, agensi-agensi dan masyarakat menganjurkan program ini," ujarnya.
Fauzan berkata, program ini dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain walau di mana-mana.
"Teruslah melakukan amal kebaikan sekalipun bukan waris mahupun saudara sendiri tanpa mengira tempat termasuk di tanah perkuburan," ujarnya.
26 Sep 20
2310
Impian Ibu Tunggal Miliki Rumah Jadi Kenyataan
DUNGUN, 26 September - Impian seorang ibu tunggal untuk memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan.
Siti Diwi Musa, 46, berkata selama ini tiada yang lain diimpikan hanya ingin memiliki rumah sendiri.
"Terima kasih banyak-banyak pada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Pejabat Daerah Dungun, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Taman Rakyat Jaya dan kerajaan negeri kerana menyediakan sebuah rumah untuk saya dan keluarga," ujar ibu kepada lima orang anak itu.
Alias memasang plak nama rumah sambil diperhatikan Siti Diwi
Siti Diwi yang dihubungi pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin(PPRT) di Kampung Pinang Baru di sini sangat terharu dengan bantuan tersebut.
Dia yang sebelum ini menyewa di Taman Rakyat Jaya terpaksa melakukan dua kerja untuk meneruskan kehidupan.
Sementara itu, Alias berharap dengan penyerahan sebuah rumah PPRT di atas tanah pemilik, Siti Diwi di Kampung Pinang Baru ini, dapat meringankan beban yang terpaksa menyewa sebelum ini.
"Alhamdulillah rumah di bawah Projek Perumahan Ku Sayang, yang diseliakan di bawah Pejabat Daerah ini siap dibina dalam masa lebih kurang enam bulan," ujarnya.
26 Sep 20
608
Giatkan Program Sasar Besut Sifar Dadah
BESUT, 26 September - Pegawai Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor meletakkan sasaran untuk menjadi kawasan sifar dadah hasil selepas melakukan pelbagai usaha untuk memerangi aktiviti penyalahgunaan dadah secara berterusan.
Ia termasuk mengadakan aktivitii berbasikal Besut Cinta Malaysia yang melibatkan kira-kira 200 Belia Besut.
"Tahniah kepada semua peserta terutama Belia Besut berjaya menganjurkan program seperti ini.
"Saya berharap lebih ramai lagi menyertai program-program budaya sihat seumpama ini sekali gus slogan 'Besut Sifar Dadah' yang dirasmikan bulan Oktober lepas tercapai," ujarnya semasa program berkenaan di baru-baru ini.
Beliau yang kini aktif bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Besut turut bergerak ke pelbagai tempat termasuk forum di masjid dan surau bagi memberi penerangan bahaya dadah.
"Insya-Allah selepas ini kita akan santai bersama komuniti di kedai kopi, makan pagi sambil bercerita bahayanya dadah kepada diri dan masyarakat," tambah beliau.
26 Sep 20
151
Ahli Majlis Wanita Sebagai Semak Dan Imbang Kerajaan Tempatan - Dr. Alias
KUALA TERENGGANU, 25 September - Kerajaan negeri mengiktiraf peranan ahli majlis wanita sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan kerajaan dapat dicapai dengan jayanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, usaha mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang terbaik untuk rakyat memerlukan sentuhan wanita di semua peringkat termasuk penggubalan undang-undang dan polisi serta pelaksanaan.
"Kerajaan tempatan adalah kerajaan yang paling hampir dengan rakyat kerana ia mengandungi bidang kuasa berkaitan perancangan bandar termasuk pengurusan sampah, sisa pepejal, parit, longkang, penyelenggaran bangunan dan sebagainya.
"Isu-isu ini sememangnya dekat di hati rakyat kerana melingkari kehidupan seharian mereka. Sangat penting ahli majlis wanita berperanan sebagai semak dan imbang kepada setiap majlis perbandaran agar setiap dasar dan perancangan sebagai sebuah kerajaan Islam serta hasrat rakyat dapat dicapai dengan jayanya.
"Kita juga masih ada banyak isu berkaitan wanita di peringkat kerajaan tempatan iaitu bagaimana ingin mewujudkan sebuah kerajaan tempatan yang mesra wanita, kanak-kanak dan keluarga," katanya.
Dr. Alias Razak.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pemerkasaan Penggubal Undang-Undang Wanita Peringkat Negeri Terengganu di Paya Bunga Hotel (PB Hotel) di sini semalam.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed, Ahli Dewan Negara (Terengganu), Nuridah Salleh, Ahli Dewan Negara (Kelantan), Asmak Husin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor.
Seramai kira-kira 60 orang ahli majlis wanita dari tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Perak menghadiri seminar berkenaan.
Dalam pada itu, tambah Alias, isu perancangan bandar termasuk penyelenggaran kebersihan dan sisa pepejal sememangnya memerlukan sentuhan wanita.
"Sebagai ahli majlis wanita, sangat penting pemerkasaan hari ini dilakukan agar memahami peranan masing-masing sehingga mampu menjadi penyampai perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat.
"Justeru besar hasrat saya untuk memastikan wanita diperlengkapkan dengan asas kemahiran dan latihan yang sistematik ke arah menjadi ahli majlis yang berdaya saing.
"Serta dalam masa yang sama berusaha dan menggunakan bidang kuasa yang ada untuk merealisasikan dasar-dasar Islam khususnya menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera difahami dan dirasai oleh rakyat jelata," jelasnya.
25 Sep 20
1013
Pantai Penarik Lokasi Program 'Kempen Bersih Pantai' Setiu
SETIU, 25 September - Pantai Penarik dipilih sebagai lokasi bagi program 'Kempen Bersih Pantai' peringkat daerah Setiu yang akan diadakan pada 3 Oktober ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, program yang melibatkan jabatan kerajaan dan komuniti setempat itu penting dalam memastikan pantai di Setiu sentiasa bersih daripada sampah sarap.
Katanya, program tersebut turut berlangsung di secara serentak di daerah-daerah lain.
Gambar hiasan.
"Kita menyambut baik hasrat penganjur iaitu Urus Setia Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (UBSNT) dalam menggerakkan kempen ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa pentingnya menjaga kebersihan pantai.
"Pantai Penarik juga terkenal dengan aktiviti nelayan yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang mendapatkan hasil laut yang segar," katanya.
Beliau berkata ketika ditemui oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) semalam.
Sehubungan dengan itu, beliau berharap orang ramai dapat hadir dan meluangkan masa bersama-sama dalam menjayakan program tersebut.
Program anjuran bersama UBSNT dengan kerjasama Pejabat Daerah, Pusat Khidmat Masyarakat dan pelbagai Agensi Kerajaan, Swasta serta NGO dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang berpusat di Pantai Batu Buruk, Kuala Terengganu.
24 Sep 20
1192
210 Imam, Bilal Dimantapkan
KEMAMAN, 26 September - Seramai 210 peserta melibatkan imam dan bilal di daerah ini menjalani Seminar Tahsin Imam dan Bilal Peringkat Daerah Kemaman yang berlangsung di Dewan Darul Iman Terengganu Centre (DITC), kelmarin.
Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkiply Muda melihat seminar yang diadakan ini mempunyai tujuan yang tersendiri dan ianya penting bagi seseorang yang bergelar imam dan bilal.
"Seminar ini lebih membincangkan kepada soal peranan imam dan bilal kerana sebenarnya mereka ini merupakan salah satu yang tergolong dalam kalangan pemimpin masyarakat.
Seminar ini juga dapat meningkatkan ilmu pengetahuan berkaitan soal hukum dan sebagainya," ujarnya.
Katanya lagi, selain daripada itu, seminar ini dapat meningkatkan kefahaman berkaitan Al-Quran.
Beliau yang dijemput sebagai salah seorang penceramah turut berterima kasih kepada penganjur yang sudi menjemputnya bagi berkongsi ilmu dan sebagainya kepada peserta yang hadir.
"Semoga apa yang dikongsi pada hari ini membuahkan hasilnya," ujarnya ketika ditemui pemberita.
Seminar anjuran Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu itu turut menjemput Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Dr. Azizul Hassan sebagai penceramah.
Seminar itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Turut bersama, Pegawai Hal Ehwal Agama Pejabat Menteri Besar Terengganu, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek.
24 Sep 20
725
Program ‘Ziarah Kasih’ Dekati Golongan Memerlukan
HULU TERENGGANU, 24 September - Program ‘Ziarah Kasih’ anjuran Skuad Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat PKM bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun menjadi langkah proaktif yang diambil bagi mendekati golongan yang memerlukan dengan lebih dekat.
Hilmi berkata, kunjungan Skuad kebajikan PKM sentiasa diadakan dari semasa ke semasa bagi menziarahi pesakit yang terlantar sakit dan sebagainya.
Tambahnya lagi, kunjungan tersebut untuk bertanya khabar mengenai kesihatan pesakit dan dapat merapatkan hubungan silaturahim dengan keluarga mereka.
“Tiap-tiap minggu, dihari terluang, kita akan pergi ke beberapa buah rumah sasaran dimana kita akan menziarahi pesakit-pesakit, warga emas, sakit ditimpa bencana atau lain-lain penyakit yang menimpa dalam masa terdekat.
“Selalunya kita ambil tiga atau empat buah rumah melalui nama-nama yang telah dijadualkan Skuad Kebajikan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media setelah selesai mengziarahi 2 buah rumah warganya dikampung Pulau Bahagia dan Tualang yang turut dihadiri Jawatankuasa Kebajikan PKM Abdul Kadir Abdullah pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Skuad Kebajikan PKM, Encik Rozali Mamat berkata, Kebajikan PKM turut mensasarkan sebanyak 80 peratus masalah rakyat dapat diselesaikan.
Tambah beliau, menurutnya juga pada kunjungan itu skuad tersebut turut memberi sedikit buah tangan dan saguhati bagi membolehkan mereka membeli keperluan perubatan.
“Kalau ada warga emas atau pesakit terlantar, ada di antara mereka yang tak tahu nak minta bantuan macam mana, jadi kita ambil butiran mereka untuk mintak bantuan agensi kebajikan kerajaan dan buat tindakan susulan.
“Sekiranya kita dapati ada rumah yang terlalu uzur dalam lawatan tersebut juga, kita akan usahakan untuk membantu dibawah peruntukan ADUN,” tambah beliau.
“Dengan program ini, kebajikan dan Wakil Rakyat Manir akan sentiasa dekat bersama-sama rakyat.” Katanya lagi.
24 Sep 20
1543