Artikel "Komuniti" Terkini
COVID-19 Kembali Menular, Rakyat Terus Dibantu
SETIU, 6 Oktober - Penularan pandemik COVID-19 sejak akhir-akhir ini tidak menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi untuk turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat kurang berkemampuan.
Dr Azman Ibrahim berkata, rentetan penangguhan program rasmi kerajaan membuka peluang untuk menumpukan perkhidmatan sepenuhnya di DUN tanpa meminggirkan tanggungjawab sebagai Exco kerajaan negeri.
"Setakat ini, program rasmi kerajaan yang melibatkan rakyat umum ditangguhkan untuk suatu tarikh yang ditentukan kerana penularan kembali pandemik COVID-19. Namun, perkhidmatan kita kepada rakyat tetap berjalan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya.
"Program menyantuni kebajikan rakyat tidak boleh tertangguh. Apa pun situasi yang berlaku, rakyat adalah keutamaan," katanya selepas menziarahi penduduk di beberapa kampung sekitar DUN Jabi, semalam.
Menurutnya, hasil turun padang itu terdapat beberapa orang telah dikenalpasti tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana agensi.
Ujarnya, tindakan segera untuk membuat permohonan telah dijalankan bagi membantu mereka terutama warga emas, orang berpenyakit dan Orang Kurang Upaya (OKU).
"Untuk berjumpa dengan rakyat kita, pergilah ke tempat di mana mereka berada. Secara umumnya, tidak sampai 10 peratus pun orang yang akan cari wakil rakyat untuk sesuatu urusan.
"Andai kita tunggu rakyat mari pejabat, itulah lebih kurang gambarannya. Fungsi dan peranan kita tak akan menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, melahirkan rasa bibang atas peningkatan kes COVID-19 yang berlaku di seluruh Negara.
"Saya sangat bimbang dan berdoa agar pergerakan rakyat untuk cari rezeki tidak kembali tersekat seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu. Saya memahami dalam situasi sekarang ramai rakyat marahkan pemimpin lantaran penularan semula COVID-19. Itu hak rakyat dan inilah harga yang perlu dibayar atas apa sahaja tindakan kita sebagai pemimpin.
"Saya akur dan memohon maaf atas sebarang kekhilafan yang berlaku walau saya tak termasuk dalam senarai pemimpin politik yang balik dari Sabah. Teruskan mematuhi SOP bagi mengekang penularan ini," tambah beliau.
06 Oct 20
359
Katil Hospital, Kerusi Roda Ringan Beban Rakyat DUN Cukai
KEMAMAN, 6 Oktober - Rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) berterusan mendapat manfaat daripada kerajaan negeri dengan bantuan katil hospital dan kerusi roda bagi mereka yang memerlukan.
Bantuan tersebut bertujuan untuk memudahkan urusan bagi mereka yang sakit terlantar di rumah, sukar bergerak serta membantu melancarkan atau melakukan aktiviti harian.
Dengan harga pasaran bagi sebuah katil hospital mencecah RM1,600 atas manakala sebuah kerusi roda pula sekitar harga RM250 ke atas, ianya sudah tentu sukar diperolehi bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Rakyat DUN Cukai yang memerlukan bantuan itu boleh memohon di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing.
Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Cukai, Abdul Hafiz Ghazali berkata, sehingga bulan September bagi tahun ini, pihaknya telah menyerahkan sebanyak 17 buah katil hospital dan 32 buah kerusi roda kepada mereka yang memerlukannya.
"Atas arahan Yang Berhormat (YB) Hanafiah Mat, kami sentiasa mengutamakan permasalahan yang dialami oleh mereka yang memerlukan bantuan seperti ini.
Kebiasaaannya, dalam setiap bulan sudah tentu ada kes mereka yang memerlukan bantuan ini. Menerima maklumat daripada MPKK, dan mendapat kelulusan daripada YB Hanafiah, kita akan segera menghantar bantuan ini kepada mereka yang memerlukannya," ujarnya.
Kata Hafiz lagi, jika berkelapangan, Hanafiah sendiri akan turun padang bertemu dan menghantar kepada mereka yang menerima bantuan ini.
"Seperti kita tahu, YB Hanafiah Mat juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, sudah tentu ianya mempunyai jadual aktiviti harian yang padat.
Jika tidak berkesempatan bersama, beliau tetap akan mengarahkan kami untuk menghantar segera kepada mereka (penerima) ini," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan kerusi roda kepada seorang pesakit saraf, Chik Embong, 72 tahun yang tinggal di Rumah Murah Fikri, semalam.
Sumbangan tersebut diterima oleh suaminya, Zakari Mohammed. Beliau (Zakari) turut menerima sumbangan beras dan barangan dapur. Turut bersama, Pengerusi MPKK Kampung Fikri, Mahmood Bakar.
05 Oct 20
987
Ikan 'Sekila' Semakin Digilai Ramai
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Kanak-kanak di era 80an dahulu sudah sinonim dengan ikan 'sekila' atau nama komersialnya ikan Betta. Ikan ini terdapat dalam pelbagai jenis dan sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ikan hiasan.
Menurut pengusaha ternakan itu, Shaifullah Azaha, 39, antara jenis ikan betta yang menjadi kegilaan sekarang ialah Avatar, Blue Rim, Koi Galaxy, Tiger Nemo, dan betta Multicolour.
"Saya banyak biakkan Koi Galaxy, Blue Rim, Multicolour, dan Marble. Sekarang sedang usahakan projek membiakkan betta jenis Samurai, Tiger Nemo, dan Half Moon Dumbo.
"Perniagaan ini amat menggalakkan kerana masyarakat sekarang semakin meminati keunikkan ikan betta. Namun, kerana kurangnya kelengkapan untuk pembiakan, banyak permintaan pelanggan terpaksa ditolak," jelasnya.
Tambahnya lagi, harga pasaran ikan berkenaan bermula dari RM20 hingga mencecah kepada RM500 seekor bergantung kepada jenis dan bentuk serta ciri-ciri fizikalnya.
Beliau yang mula menceburi dunia perniagaan ikan betta bersama adiknya, Muhammad Azizi Azaha pada akhir tahun 2019 memaklumkan, segala-galanya bermula hanyalah kerana hobi.
"Apabila ada kawan-kawan yang mula berminat dan sedia membeli, saya cuba tularkannya melalui aplikasi Telegram. Alhamdulillah, ia semakin mendapat sambutan.
"Peminat ikan ini bukan sahaja ada di Terengganu, bahkan dari seluruh Semenanjung Malaysia. Malah, ada pelanggan kami yang menjadi johan dalam Johor Betta Challenge," tambahnya.
Perniagaan beliau turut menarik minat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed untuk mengunjungi kedainya yang terletak di Kampung Tanjung.
"Saya kagum dengan semangat anak muda yang berani mencuba nasib untuk berniaga. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh berserta tawakkal yang tinggi, tiada apa yang mustahil untuk menggapai kejayaan," katanya.
Kepada peminat ikan betta, boleh hubungi pengusaha ikan ini melalui aplikasi Telegram dan Facebook 'TanjungBettaOurFarm'.
04 Oct 20
2592
Jangan Ambil Mudah Anak Enggan Ke Sekolah
DUNGUN, 4 Oktober - Ibu bapa dinasihatkan tidak mengambil mudah apabila anak-anak enggan hadir ke sekolah tanpa sebarang sebab dan alasan munasabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menegur sikap ibu bapa yang 'tidak kisah' jika anak-anak malas ke sekolah kerana perkara itu boleh menjejaskan masa depan mereka.
"Ia wajar diberi perhatian oleh ibu bapa dan penjaga, kecualilah jika keluarga dan anak-anak ini mempunyai masalah lain melibatkan kesihatan seperti COVID-19 yang melanda negara ketika ini, masalah itu boleh diterima sebagai alasan yang wajar dan kita akan membantu mencari jalan.
"Kalau mereka tidak berminat untuk belajar, ibu bapa boleh memohon bidang kemahiran yang mereka minati, ini dapat membantu mereka menggunakan kemahiran untuk masa depan mereka," katanya.
Alias berkata demikian ketika menyertai ziarah 'mobile team' yang terdiri daripada wakil Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rantau Abang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU) di sini baru-baru ini.
Alias turut melahirkan kebimbangannya kerana sikap segelintir pelajar 'ikut kawan' tanpa berfikir baik buruk menyebabkan mereka akan mudah terjebak ke kancah tidak sihat.
"Saya harap ibu, bapa tidak bersikap lepas tangan jika mempunyai anak-anak sedemikian, tindakan segera dapat menyelamatkan mereka agar mereka juga berjaya di dalam hidup," ujarnya.
02 Oct 20
630
'Mobile Team' Terus Aktif Jejak, Bantu Rakyat Miskin
KUALA NERUS, 2 Oktober – 'Mobile Team' terus bergerak aktif dalam mencari dan membantu rakyat yang kurang berkemampuan dari segi kewangan di negeri ini.
Pegawai Penyelaras (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, program ziarah sentiasa diatur pihaknya berpandukan data penerima daripada senarai e-kasih.
"Bentuk sumbangan yang diberikan adalah bantuan sara hidup, persekolahan, kanak-kanak, bantuan am bulanan negeri, dan bantuan modal perniagaan,” katanya selepas ditemui wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa program ziarah 'Mobile Team' baru-baru ini.
Turut bersama program ini beberapa agensi seperti Pusat Khidmat Masyarakat (DUN) Seberang Takir, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM).
Sementara itu, menurut wakil Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu(PPNT), Mohd Ridwan Omar, program itu merupakan program berkala dengan kerjasama Pejabat Daerah.
"Yang mana 'Mobile Team' PPNT akan turun ke setiap daerah bagi menyantuni dan menghulurkan bantuan kepada penerima sumbangan," ujarnya.
01 Oct 20
359
Khairunnisa' Dekati Ibu Tunggal
KEMAMAN, 1 Oktober - Persatuan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO) telah mengadakan pelbagai program termasuklah Ramah Mesra Bersama Ibu Tunggal Peringkat DUN (Dewan Undangan Negeri) Cukai yang diadakan di Restoran Cahaya Mesra, Kampung Besut, hari ini.
Ahli Jawatankuasa Khairunnisa' Terengganu, Zahiyah Rahman berkata program tersebut diadakan untuk mendekati golongan ini serta merapatkan ukhwah di antara satu sama lain.
"Saya faham, meneruskan kehidupan dan membesarkan anak bersendirian tanpa suami bukanlah satu pilihan. Namun ianya satu takdir yang telah diatur oleh Allah SWT untuk dijalani. Ibulah yang menjadi ibu, ibu jualah yang menjadi bapa," ujarnya.
Katanya lagi, membesar anak sendirian bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Ianya memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang cukup kuat.
"Saya memahaminya, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Namun saya yakin muslimat sekalian sangat kuat dan tabah dalam menghadapi perkara ini," katanya.
Beliau turut mengingatkan agar golongan ibu tunggal ini haruslah meletakkan sepenuhnya keyakinan dan meminta pertolongan kepada Allah S.W.T.
"Janganlah berputus harap dan sentiasalah berdoa meminta kekuatan serta kesabaran terutama ketika dalam setiap solat kita."
Beliau yang juga merupakan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata demikian ketika berucap di hadapan 80 orang ibu tunggal yang hadir dalam majlis itu.
Mereka yang hadir turut dijamu makanan dan minuman serta setiap seorang menerima cenderahati sebelum bersurai.
Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Cukai, Fainah Mat dan Pengerusi Kelab Ibu Tunggal DUN Cukai, Norhamiza Mohd Nor.
Khairunnisa' Terengganu merupakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu.
01 Oct 20
686
‘Barisan Hadapan’ Komuniti Dun Batu Buruk Diraikan
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober – Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan, jawatankuasa samada di peringkat cawangan mahupun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) adalah barisan hadapan masyarakat yang menjadi mata dan telinga bagi menyalurkan kebajikan kepada rakyat sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19 yang lalu.
“Alhamdulillah, kita berjaya mengadakan majlis makan malam ini bagi memberikan penghargaan kepada tuan-tuan dan puan-puan walaupun mungkin ia tidak mampu membalas jasa dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, namun anggaplah ia sebagai tanda ingatan.
“Kalau dilihat bangunan yang kukuh dan besar, tidak akan terjadi tanpa pasir-pasir yang halus dan paku-paku yang kecil. Begitulah jika dilihat kerajaan Negeri Terengganu ini, kejayaan tidak akan terhasil tanpa jasa dan pengorbanan daripada pimpinan di peringkat komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Azman Ibrahim yang diadakan di Hotel Primula, semalam.
Turut hadir dalam majlis yang melibatkan 36 MPKK dalam Dun Batu Buruk tersebut ialah mantan ADUN Batu Buruk, Dato’ Hj Wan Abdul Mutalib Embong.
01 Oct 20
507
Raikan Budaya Masyarakat Majmuk
DUNGUN, 1 Oktober - Parti Islam SeMalaysia(PAS) sentiasa meraikan budaya masyarakat majmuk pelbagai agama yang tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Dungun, Serena Lim Abdullah berkata pendekatan tersebut berjaya menghilangkan rasa kurang selesa di kalangan mereka terhadap parti tersebut.
"Kali ini Lembaga Perpaduan Nasional dengan kerjasama Ahli Parlimen Dungun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penyelaras DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) di Daerah Dungun bersama-sama mengedarkan kuih bulan ke setiap rumah dan kedai milik kaum Tionghua di sini," katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Menurut beliau yang juga berbangsa cina itu, pihaknya juga turut mengedarkan tanglung ke tiga buah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina yang terdapat di Dungun.
" Hampir 300 lebih tanglung kita edarkan kepada setiap orang murid di sekolah rendah cina dan kita serahkan kepada pihak sekolah untuk diedarkan kepada mereka kerana kita mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP)," katanya lagi.
01 Oct 20
401
Terengganu Naikkan Jumlah Bantuan Mangsa Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Bantuan musibah mangsa kebakaran rumah dinaikkan daripada jumlah asalnya bagi membantu meringankan beban mereka yang kehilangan tempat tinggal dalam negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jumlah asal bagi sebuah rumah berbentuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibiayai oleh Tabung Darul Iman (TDI) adalah sebanyak RM40,000.
“Jumlah terbaharu yang telah diluluskan adalah sebanyak RM56,000 bagi bantuan sebuah rumah PPRT. Proses pengisian borang pemohonan juga sudah tidak memerlukan pengesahan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di mana proses lama mengambil masa 12 bulan untuk disiapkan rumah baharu berkenaan.
“Terkini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang bertindak sebagai urusetia bencana akan terus menyediakan laporan dan pengesyoran kepada TDI bagi mempercepatkan proses bantuan.
“Turut dijanjikan, tempoh penyiapan pembinaan rumah baharu bagi mangsa kebakaran dalam tempoh 3 hingga 4 bulan, di mana bermula tahun 2019 sehingga sekarang hampir 20 buah rumah bagi mangsa terbabit siap dibina," katanya dalam sesi dialog maya bersama penonton secara langsung melalui Tv Darul Iman, semalam.
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) juga terlibat dalam pembiayaan sewa rumah sementara selama enam bulan bagi mangsa miskin sehingga rumah baharu dibina siap.
”Syarat bagi mendapat bantuan ini hanya tertakluk kepada tuan rumah yang terkena kebakaran di tanah sendiri.
“Bagi mereka yang ditimpa bencana tersebut di rumah sewa, kerajaan akan memberi imbuhan bantuan keperluan asas seperti peralatan rumah dan dapur untuk mulakan hidup baru," tambahnya lagi.
30 Sep 20
4649
TNB Galak Eko Pelancongan Di Sungai Yak Yah
KEMAMAN, 1 Oktober - Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui Bahagian Hal Ehwal Korporatnya memperuntukkan sejumlah dana bagi menggalakkan eko pelancongan di Kampung Yak Yah, Ibok terutama di sungainya yang kaya dengan pelbagai habitat.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat TNB Datuk Omar Sidek berucap didalam lawatan kerjanya di kampung berkenaan kelmarin mengharapkan limpahan dari pembangunan eko pelancongan ini nanti bukan sahaja bakal dinikmati oleh kerajaan negeri malah boleh juga dirasai oleh komuniti setempat.
Tapak semaian Pokok Berembang
"Tujuan kita adalah untuk memulihkan ekosistem di sungai kampung ini yang ditelan arus pembangunan terutama pemuliharaan habitat kelip-kelip yang menjadi ikon TNB," katanya.
"Sebagai contohnya Kampung Kuantan di Kuala Selangor yang dijadi kampung angkat oleh TNB, kini telah menjadi satu pusat eko pelancongan yang utama di Selangor," ujarnya lagi.
Ketua Pengawalseliaan dan Alam Sekitar TNB Research Shahril Mod Husin yang turut berucap dimajlis tersebut menjelaskan bahawa program kelip-kelip ini juga boleh menjana kewangan yang agak besar dan boleh memperkasakan ekonomi masyarakat diradius ini.
"Satu kejayaan TNB yang telah dikecapi adalah kita telah berjaya memperkasakan komuniti di Kampung Kuantan itu untuk berdikari, disamping pemuliharaan ekosistem sungainya mereka juga berjaya menjana ekonomi mereka sendiri," ucapnya.
"Di Kinabatangan, Koperasi Pelancongan Kampung Batu Putih berjaya menjana kira-kira RM1.6 juta pendapatan setahun dengan menanam semula sejenis pokok dimana buahnya menjadi makanan Monyet Belanda. Ianya boleh menjadi contoh kepada komuniti disini," jelasnya.
Datuk Omar dan deligasinya dibawa melawat tapak semaian habitat kelip-kelip iaitu Pokok Berembang di Balai Raya Kampung Yak Yah. Gimik menanam pokok tersebut juga dilakukan oleh pengurus besar itu dan pada sebelah malamnya pula mereka turut dibawa menyusuri Sungai Yak Yah untuk melihat kelip-kelip
.
30 Sep 20
818