lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih
15 Tahun Menunggu, Akhirnya Dapat Bekalan Air Bersih
SETIU, 9 Oktober - Penantian keluarga Siti Idayu Mohd Ali sejak 15 tahun lalu untuk memiliki air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air tersebut mula dipasang di rumahnya tiga hari lepas. Kata Siti Idayu, 37, sebelum ini mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim kemarau, dia berulang alik ke rumah ibu dan bapanya untuk mendapat keperluan air. “Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya. “Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tujuh beranak yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini. “Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kosnya kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai pengawal keselamatan," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya baru-baru ini. Siti Idayu tinggal bersama lima orang anak, dan empat daripadanya masih bersekolah sementara anak bongsunya baru berusia 40 hari. Kisah Siti Idayu itu mendapat perhatian dan simpati Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail yang terus mengambil beberap langkah proaktif. Kata Shafizi, masalah keluarga itu diberikan keutamaan agar impian mereka untuk mendapat kehidupan yang lebih selesa direalisasikan. “Isu ini mendapat perhatian daripada Pusat Khidmat Masyarakat Batu Rakit supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera, alhamdulillah bekalan air bersih telah disalurkan kepada keluarga terbabit. “Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alor Damat. “Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya lagi.
09 Oct 20
2512
Dua Keluarga Teruja Terima Sumbangan Kelengkapan Rumah
Dua Keluarga Teruja Terima Sumbangan Kelengkapan Rumah
DUNGUN, 9 Oktober - Dua buah keluarga di sini terharu apabila menerima sumbangan berupa kelengkapan rumah dan barangan eletrik.  Salah seorang penerima Abd Halim @ A.Ghofur As'sayaar Mohamad, berkata dia tidak menyangka akan mendapat sumbangan ini.  “Saya dan isteri sangat teruja apabila dapat tahu Yang Berhormat (YB) nak datang dan serah sumbangan.  "Saya sangat berterima kasih kepada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Kubang Miang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan semua pihak yang membantu kami,” katanya.  Sementara itu, Anuar Wan Yahya pula terkejut menerima sumbangan tersebut   “Kami terharu dan sangat berterima kasih kepada semua yang terlibat apabila tahu akan mendapat barang-barang kelengkapan rumah,” ujarnya.  Sementara itu, Wan Hapandi berkata, setiap MPKK perlu telus dalam membuat pemilihan agar hanya mereka yang layak menerima sumbangan. “Kita sudah dapat maklumat berkaitan mereka yang memerlukan sumbangan seperti barang eletrik, tilam, almari dan lain- lain lagi dan berharap nama-nama yang tersenarai ini adalah yang layak sahaja.  "Kita akan turun ke setiap kampung untuk menyampaikan bantuan tersebut” katanya.  Wan Hapandi ditemui pemberita ketika program serahan bantuan barang keperluan rumah di Kampung Kubang Miang.  “Saya berharap dengan sumbangan ini akan meringankan beban atau urusan keluarga serta memudahkan kerja harian mereka,” ujarnya. 
09 Oct 20
116
Patuhi SOP Dan Teruskan Berdoa
Patuhi SOP Dan Teruskan Berdoa
BESUT, 8 Oktober- Orang ramai diharap terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19 memandangkan angka positif jangkitan wabak itu semakin meningkat. Pegawai Penyelaras Dewan Udangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata,sebagai rakyat kita perlulah ikuti peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan dan bersama-sama membendung wabak ini. "Sebagai umat Islam perlulah sentiasa berdoa, memperbanyakkan solat hajat serta menjaga kebersihan diri setiap masa. "Antara langkah pencegahan yang disyorkan termasuk membasuh tangan, memakai pelitup muka apabila berada ditempat awam, mengekalkan jarak dari orang lain, dan pengasingan diri selama 14 hari untuk orang yang disyaki dijangkiti," ujarnya kepada pemberita selepas mengadakan ziarah kebajikan di Kampung Gaung, Hulu Besut, baru-baru ini. Katanya, jika seseorang itu mengalami simptom seperti batuk, sakit tekak dan sebagainya teruslah membuat ujian saringan COVID-19 di hospital berdekatan.
08 Oct 20
97
109 Ketua Isi Rumah Terima Bantuan Mangsa Bencana
109 Ketua Isi Rumah Terima Bantuan Mangsa Bencana
KEMAMAN, 8 Oktober - Seramai 109 Ketua Isi Rumah (KIR) menerima bantuan dalam satu Majlis Penyerahan Wang Ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) Peringkat Daerah Kemaman Tahun 2019/2020 yang berlangsung di Dewan Sivik Kampung Gong Limau, hari ini. Bantuan itu diberikan bertujuan membantu bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang terlibat semasa bencana banjir yang berlaku pada tahun 2019. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan ini diberikan kepada setiap KIR yang mewakili jumlah keseluruhan 503 mangsa banjir yang melibatkan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu DUN Air Putih (14 KIR) dan DUN Kijal (95 KIR). "Peruntukan ini disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selaku sekretariat Pengurusan Bencana Peringkat Daerah untuk diagihkan kepada penerima bantuan mangsa banjir dengan kolaborasi Pejabat Daerah Kemaman," ujarnya. Katanya lagi, jumlah bantuan yang diterima bagi setiap KIR adalah sebanyak RM500 dan melibatkan jumlah keseluruhan RM54,500.00. "InsyaAllah, dalam bulan November nanti saya akan minta seluruh masjid di daerah ini untuk mengadakan solat hajat supaya kita semua dihindarkan daripada bencana banjir besar tahun ini," ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut. Turut bersama dalam majlis tersebut, ADUN Air Putih, Abd Razak Ibrahim, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad A.Rahman @ Othman, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kemaman, Kapt. (PA) Mohd Suhaimi Awang @ Muhammad dan Penolong Pengarah SPRM Cawangan Kemaman, Nurul Hafanah Ahmad.
08 Oct 20
958
Anak ‘Cleaner’ Derita Sakit Saraf Dapat Pembelaan
Anak ‘Cleaner’ Derita Sakit Saraf Dapat Pembelaan
SETIU, 8 Oktober - Derita Nazmi Hazwan Kamal,14, yang mengalami sakit saraf sejak empat tahun lalu mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit apabila menerima bantuan kelmarin. Menurut ayahnya, Kamal Abdullah, 55, menyifatkan tidak ada perkara yang paling membahagiakan selain diberi perhatian oleh kerajaan negeri. Katanya, bantuan yang disalurkan serta kesungguhan kerajaan dalam meneyelesaikan status penerima bantuan Tabung Darul Iman (TDI) dalam kadar segera memberi kelegaan buat mereka sekeluarga. “Kami tidak mempunyai mana-mana punca pendapatan tetap selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM200 sebulan untuk kegunaan mereka sekeluarga termasuk kos perubatan. “Setakat ini hanya menerima bantuan JKM dan dulu pernah dapat bantuan Tabung Darul Iman, kemudian bantuan tersebut dihentikan seketika, sehinggalah pada hari ini, saya mendapat kembali bantuan tersebut,” ujarnya. Dia berkata demikian ketika lawatan dan penyerahan bantuan TDI Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat DUN Batu Rakit, Mohd Fadhol Ismail di Rumahnya Kampung Kubur Timah, semalam. Katanya lagi, bekerja sebagai tukang sapu sekolah dengan gaji RM1,100 sebulan membuatkan keluarganya terbeban dengan kos kehidupan serta rawatan harian. “Alhamdulillah, sudah banyak kali kami menerima bantuan pampers dari TDI, ianya dapat meringankan beban kewangan terutamanya harga pampers yang sangat mahal hari ini. “Terima kasih kepada mewakili Pegawai Penyelaras Batu Rakit yang datang berkunjung ke rumah kami dan menyerahkan bantuan pampers hari ini,” jelasnya. Sementara itu, Mohd Fadhol berkata, sumbangan itu akan memastikan rakyat yang berhak mendapat bantuan berkala atau bulanan sama ada daripada JKM, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Tabung Darul Iman atau bantuan langsung dari Pusat Khidmat Masyarakat. “Hasrat kita ialah untuk memastikan tiada berlaku keciciran bagi yang berhak mendapat sebarang bantuan dan kita akan berusaha gigih ke arah pelaksanaannya,” katanya.
07 Oct 20
260
Hobi Memburu Bertukar Tragedi
Hobi Memburu Bertukar Tragedi
DUNGUN,7 Oktober - Mohd Suhaimi Damuri tidak menyangka hobinya memburu di hutan bertukar menjadi tragedi apabila ditembak rakan sendiri yang menyangkakan dirinya kijang dalam kejadian seminggu lalu di Hutan Besul. Katanya, akibat peristiwa itu dia telah dimasukkan ke hospital selama seminggu bagi menerima rawatan. "Kejadian itu disedari ketika sedang memasang jerat, saya terdengar bunyi tembakan yang sangat hampir dan tiba-tiba saya merasa sakit di badan. "Kejadian itu berlaku pada 25 September yang lalu, seminggu juga saya menerima rawatan di hospital dan mendapat kecederaan di bahagian pinggul dan serpihan peluru terkena di bahagian tulang belakang. "Kini terpaksa kerap juga ke klinik berhampiran bagi mendapatkan rawatan susulan," ujarnya. Mohd Suhaimi berkata demikian ketika diziarahi  Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya semalam. Ghazali berharap Suhaimi akan segera pulih bagi meneruskan kehidupannya seperti biasa dan bersimpati diatas nasib yang menimpa dirinya. Terdahulu Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata kejadian tertembak rakan itu telah membawa kepada penahan dua lelaki bagi membantu kes siasatan. "Kedua-dua suspek penduduk tempatan. Suspek pertama mengaku dia dipanggil suspek kedua ke tempat kejadian untuk membantu mangsa yang cedera ketika memburu dalam Hutan Simpan Besul. Kedua-dua suspek tiada rekod jenayah lampau," katanya. Beliau turut menyatakan bahawa suspek mengaku masuk ke hutan berkenaan adalah untuk memburu kijang di kawasan hutan terbabit tanpa mempunyai niat bagi menembak mangsa, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut.
07 Oct 20
9424
Gelanggang "Al-Battar" Sinar Baru Khazanah Bani Melayu
Gelanggang "Al-Battar" Sinar Baru Khazanah Bani Melayu
KEMAMAN, 8 Oktober - Majlis perasmian pembukaan gelanggang silat seni gayong serantau Al-Battar (Gelanggang Awam Kemasik) yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili menjadi gelanggang baharu sukan silat bagi masyarakat di sini. Tenaga pengajarnya, Wan Ahmad Faiz Wan Razali berkata, idea untuk mewujudkan gelanggang itu adalah susulan daripada permintaan pemuda-pemuda sekitar Kemasik untuk pempelajari ilmu mempertahankan diri. "Kerana ilmu ini, semakin tenggelam dan dilupakan oleh anak-anak muda bangsa kita pada zaman sekarang," katanya. Wan Ahmad Faiz Wan Razali. Oleh itu, beliau telah mengambil satu inisiatif untuk memperkembangkan lagi dan mengajar ilmu-ilmu yang telah diturunkan oleh guru-gurunya sebelum ini. "Dengan mempelajari dan mendalami ilmu mempertahankan diri, ianya akan menjadikan diri kita ini semakin utuh jiwa serta dapat mengeratkan silaturahim sesama kita," katanya. Majlis itu telah diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru Kiri Kemasik. Hadir sama, ketua-ketua kelab seni gayong serantau Terengganu dan pertubuhan seni gayong serantau Malaysia serta orang awam. Sementara itu, Ahli Lembaga Waris Amanah, Ghazali Harun atau dikenali sebagai 'Pok Li' berkata, mereka akan cuba sedaya upaya untuk mengembangkan ilmu bela diri itu di seluruh pelusuk bumi Terengganu. "Kami dididik bagi menanam dan memberi kefahaman kepada anak-anak didik. Supaya menjadikan junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW sebagai idola kita, mereka yakni anak-anak didik diberi pendedahan bahawa Nabi kita adalah seorang panglima perang, seorang pemimpin dan segala-galanya. "Kami cuba mendidik diri dan anak-anak didik supaya kasih akan risalah langit, kasih kepada ulama dan kasih terhadap umarak. Ir Saiful Azmi Suhaili (kiri) dan Ghazali Harun (kanan). "Seseorang akan memiliki bekal untuk menangkis serangan serta mematahkan usaha lawannya sewaktu diacam dengan fizikal, sama-samalah kita berusaha menggali khazanah bani melayu yang sangat tinggi nilainya," ujarnya.
06 Oct 20
1263
70 Warga Kuala Nerus Terima Cermin Mata Percuma
70 Warga Kuala Nerus Terima Cermin Mata Percuma
KUALA NERUS, 6 Oktober – Seramai 70 rakyat daripada 19 MPKK menerima sumbangan cermin mata percuma di Masjid Seberang Takir sempena Karnival Sayangi Kuala Nerus baru-baru ini. Salah seoarang penerima, Mastura Mohd, 45, menzahirkan rasa gembira dengan bantuan tersebut kerana sedikit sebanyak depat meringankan bebannya yang mengalami masalah rabun. “Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kerana menyenaraikan nama saya menjadi salah seorang penerima bantuan ini. “Bantuan ini penting bagi membantu saya yang mempunyai masalah rabun dan mengakibatkan sukar untuk melakukan urusan seharian,” katanya ketika ditemui media selepas majlis pemeriksaan mata dan bantuan cermin mata percuma di ruang legar Masjid Seberang Takir. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab dalam ucapan perasmiannya berkata, kerajaan negeri prihatin dengan golongan yang menghadapi masalah penglihatan terutamanya warga emas. Menurut beliau, isu kerabunan berkenaan boleh disalahtafsirkan sebagai ketidakupayaan melakukan kerja dan boleh menjadi satu sebab yang rutin harian tergendala. “Kebiasaannya pada peringkat umur itu daya penglihatan semakin kurang dan menyukarkan mereka untuk melaksanakan kerja harian,” jelasnya. Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Mohd Rizuan Abdullah memaklumkan bajet yang diperuntukan untuk setiap penerima adalah sebanyak RM245 dan beliau berharap bantuan dapat memberi manfaat kepada penerima.
06 Oct 20
234
PPS Banjir Bakal Perkemas SOP Baharu
PPS Banjir Bakal Perkemas SOP Baharu
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bakal diperkemaskan dengan prosedur operasi standard (SOP) terkini selaras norma baharu yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia, ketika ini. Pengarah Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, perkara tersebut sedang diperkemaskan Sekretariat Pengurusan Bencana di pelbagai peringkat. "Kita juga merancang untuk melakukan latihan pengurusan di PPS dengan cara norma baharu yang dijadualkan pertengahan bulan ini, kerana kita tidak boleh amalkan cara lama seperti gotong-royong menyediakan masakan dan mengadakan solat jemaah secara beramai-ramai. "Setakat ini, jumlah PPS sedia ada yang direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih kekal sama sebagaimana dahulu, cuma kita dalam proses kemas kini kerana kita semua tahu ada PPS yang berskala kecil seperti dewan serbaguna mungkin tidak boleh digunakan lagi disebabkan faktor norma baharu ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Latihan Menyelamat Di Air APM Terengganu bersama Media: Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana (MTL) Tahun 2020/2021 di Pusat Rekreasi Kalang Warisan, Pulau Manis, di sini semalam. Jelasnya, latihan yang bermula sejak pagi tadi itu menerapkan latihan menyelamat di air, latihan balingan menyelamat mangsa lemas, pengendalian bot asas, dan latihan kecemasan asas sebagai kesediaan APM menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).  "Untuk makluman kita buat latihan mengikut SOP ditetapkan dengan penjarakan sosial dan skala kecil sebagaimana disarankan KKM kerana kita masih dalam pengurusan bencana Covid-19 yang mana kebiasaan baharu yang harus diterapkan. "Mengikut Jabatan Metorologi Malaysia (MET Malaysia), sekarang kita berada dalam musim peralihan dan dijangka tamat hujung bulan ini, mungkin permulaan musim tengkujuh akan diumumkan dalam minggu pertama kedua nanti.  Jadi, semoga latihan ini akan mempersiapkan anggota APM serta rakan media untuk menghadapi MTL," katanya. Tambahnya, seramai 350 orang anggota APM di Terengganu kini bersedia dan boleh digerakkan dalam tempoh enam hingga lapan jam jika berlaku banjir.  
06 Oct 20
1177
Terharu Terima Sumbangan Katil
Terharu Terima Sumbangan Katil
DUNGUN, 6 Oktober-“Di dalam keadaan dirinya yang terlantar sekarang, katil khas ini merupakan sumbangan paling bermakna buat adik saya,” kata Misalina Ramli. Dia yang merupakan kakak kepada Muhammad Shafa Ramli,31,berkata pergerakkan adiknya itu terbatas akibat patah tulang belakang selepas terjatuh dari bumbung semasa membaiki sebuah rumah di Manir. "Adik saya tinggal bersendirian di Manir dan bekerja sebagai tukang rumah. Akibat kemalangan itu dia dimasukkan ke hospital pada pertengahan September bagi menjalani rawatan. "Muhammad Shafa terlantar sakit dan terbatas pergerakan setelah keluar dari hospital, pada awalnya saya tidak mengetahui apa yang terjadi kepada dia (Shafa) kerana tinggal bersendirian di Manir setelah kematian ibu bapa sehinggalah saya dimaklumkan mengenai keadaan adik saya itu, terus saya bersedia untuk menjaganya. Terima kasih kepada Ustaz Ghazali kerana datang segera setelah saya mengadu hal tersebut. Sangat-sangat saya hargailah kerana memudahkan setiap orang yang memerlukan bantuan seperti adik saya ini," ujarnya kepada pemberita selepas majlis penyerahan katil berkenaan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi,Ghazali Sulaiman, baru-baru ini. Dalam pada itu, Misalina turut berterima kasih diatas persetujuan pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi bagi menghantar adiknya untuk memenuhi temujanji dengan pihak hospital bagi rawatan susulan. "Dengan keadaan sakit yang dia alami ini risau juga nak bawa sebarangan, kerana melibatkan tulang belakang yang patah jadi memerlukan kenderaan yang sesuai untuk membawanya," ujar Misalina. Sementara itu, Ghazali menzahirkan perasaan simpati diatas nasib yang menimpa Muhammad Shafa. "Semoga bertabah dengan ujian yang dihadapi, apa-apa pun kita perlu yakin dengan kekuasaan Allah SWT yang mampu menyembuhkan penyakit dan derita yang dialami. Memandangkan Shafa ini masih muda Insya Allah akan segera sembuh cuma perlu pada sokongan keluarga, dan Misalina telah menunjukkan keteladanan yang baik dimana sanggup bertanggunjawab menjadi adiknya. "Bagi meringankan lagi bebanan yang dialami saya telah pun melaporkan perkara ini kepada pihak Jabatan Kebajikan Masayakat (JKM) bagi mendapatkan bantuan yang selayaknya juga daripada Tabung Darul Iman (TDI)," ujarnya.
06 Oct 20
360