Artikel "Komuniti" Terkini
Madinah Ramadan Semarak Program Keislaman Di Terengganu
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 17 Mac - Program Madinah Ramadan yang dianjurkan kerajaan Negeri Terengganu telah menyemarakkan lagi bulan yang penuh barakah itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, secara tidak langsung, program - program agenda pelaksanaan syariat Islam negeri telah berjaya menjadi tarikan pelancong.
"Kita laksana bukan nak tunjuk pada orang tapi kerana itu adalah suatu tanggungjawab dan mendapat respon yang begitu baik daripada masyarakat," ujarnya
Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Madinah Ramadan peringkat Daerah Marang di Masjid Sultanah Nur Zahirah Bandar Marang di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri telah mengeluarkan perancangan untuk sepanjang tahun menjadikan Terengganu terus subur dengan pelbagai program keagamaan.
17 Mar 25
150
400 Asnaf Terima Bakul Makanan Sumbangan Ahli Parlimen Marang
MARANG, 17 Mac - Seramai 400 asnaf fakir dan miskin di sini menerima sumbangan bakul makanan sempena Program Sentuhan Kasih Ramadhan Ahli Parlimen Marang.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Yusof berkata, penyerahan bakul makanan berkenaan bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan pada bulan yang penuh keberkatan ini.
Beliau menyatakan bahawa sumbangan yang diberikan mungkin tidaklah sebesar mana, tetapi ia sedikit sebanyak dapat membantu golongan asnaf dalam memenuhi keperluan harian mereka.
“Ini adalah keprihatinan Ahli Parlimen Marang terhadap rakyat yang memerlukan.
"Meskipun jumlahnya tidak banyak, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban mereka pada bulan Ramadan yang penuh berkah ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berwajib yang memberi sokongan dan kerjasama dalam menjayakan program ini.
"Semoga segala amal kebajikan kita diterima oleh Allah SWT, dan memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Program ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan pihak Ahli Parlimen Marang dalam memastikan kesejahteraan rakyat di kawasannya, terutama dalam tempoh yang penuh cabaran ini, " ujarnya.
17 Mar 25
214
Cabaran OKU : Masyarakat Perlu Ubah Persepsi
KUALA TERENGGANU, 17 Mac – Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) masih berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian, termasuk stigma masyarakat yang agak negatif kepada golongan ini.
Menurut Atlet Parasukma Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed berkata, stigma dan persepsi yang salah terhadap golongan OKU masih menebal dalam masyarakat.
“Ada yang menganggap mereka sebagai beban dan tidak mampu berdikari, walhal realitinya ramai dalam kalangan mereka mempunyai pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi serta sosial negara.
“OKU bukan beban tetapi anugerah yang perlu dihargai," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan wanita kepada OKU di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini.
Selain itu, akses kepada pendidikan dan pekerjaan juga menjadi cabaran utama yang mana tidak semua sekolah dan universiti di Malaysia menyediakan kemudahan pembelajaran inklusif untuk OKU.
Katanya, di dunia pekerjaan, masih ada majikan yang takut untuk mengambil pekerja OKU kerana beranggapan mereka memerlukan bantuan khas dan hakikatnya, ramai pekerja OKU menunjukkan prestasi lebih tekun dan cekap berbanding pekerja biasa.
”Dari segi infrastruktur, kemudahan awam yang tidak mesra OKU turut menyukarkan pergerakan mereka.
“Bayangkan berjalan di kaki lima yang tidak rata atau menaiki pengangkutan awam dengan tongkat.
"Jika orang biasa pun boleh jatuh, apatah lagi individu yang bergantung kepada kerusi roda,” ujarnya.
Selain itujelasnya, cabaran lain dihadapi oleh golongan ini ialah kurangnya sokongan sosial, terutamanya dalam kalangan keluarga sendiri di mana ada ibu bapa yang malu untuk mengakui bahawa anak mereka adalah OKU.
“Kesedaran dan pendidikan masyarakat juga perlu dipertingkatkan. Ramai yang masih kurang ilmu mengenai keperluan dan hak OKU serta menganggap semua OKU memerlukan bantuan sama, sedangkan keperluan mereka berbeza mengikut kategori,” kata Norhaslina.
Justeru itu, beliau berharap agar masyarakat dapat membina sebuah komuniti lebih inklusif dan prihatin dengan menghargai keunikan serta bakat yang dimiliki oleh golongan ini.
“Golongan OKU bukan untuk dikasihani, tetapi mahu difahami dan diberikan peluang yang adil dalam kehidupan.
“Dengan kesedaran dan empati yang lebih tinggi, masyarakat boleh memainkan peranan dalam memperkaya kehidupan semua lapisan dengan kepelbagaian bakat dan potensi,” tambahnya lagi.
17 Mar 25
135
Pelita Raya: Terima Kasih Pilih Seberang Takir
KUALA NERUS, 14 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat menzahirkan kegembiraan dalam pemilihan perkarangan Stadium Tertutup Gong Badak sebagai tuan rumah Pelita Raya 2025.
"Saya ucap terima kasih apabila pihak Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu) yang pilih Seberang Takir sebagai tuan rumah Pelita Raya kali ini.
"Secara peribadi, saya lihat kawasan ini sesuai sebagaimana exco maklumkan, kawasannya luas dengan parkir yang banyak.
"Saya rasa ini menyenangkan pengunjung dan memudah mereka ke sini," katanya ketika ditemui selepas meninjau pelaksanaan program berkenaan bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, malam tadi.
Hadir sama ialah Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN)Terengganu, Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri (Tourism Terengganu), Ahmad Ridzwan Abd Rahman dan Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abdul Ghani.
Beliau yang turut berharap lebih ramai pengunjung akan hadir sepanjang empat hari program tersebut yang akan berakhir pada Ahad.
Sebagai rekod, pertandingan pelita raya ini hanya diadakan di kampung-kampung tertentu.
Kemudian, ia dibawa ke Kampung Budaya Terengganu (KBT) dan seterusnya Taman Tamadun Islam (TTI) dengan diperluaskan skop dengan pertandingan antara daerah.
Pelita Raya 2025 turut disertai negeri Perlis dan Kelantan serta pameran pelbagai kaum di Terengganu selain penglibatan kali pertama negara luar iaitu Myanmar, Bangladesh, Thailand dan Indonesia.
16 Mar 25
1397
Sumbangan Di Dunia 'Ikat' Pahala Berterusan Di Akhirat
DUNGUN, 16 Mac – Setiap sumbangan yang diberikan untuk perjuangan agama dan pendidikan Islam bukan sahaja memberi manfaat di dunia, tetapi juga menjanjikan pahala yang berterusan di akhirat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat menekankan tentang kepentingan membantu agama Allah SWT dan yakin bahawa setiap usaha ini akan dipermudahkan oleh-Nya.
“Kita nak tolong agama Allah SWT ni, Insya-Allah Allah SWT akan tolong kita. Allah SWT akan buka ruang peluang dan permudahkan sehingga berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Dana Kolej Islam Darul Iman (KIDI) yang berlangsung di Tapak KIDI, disini semalam.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa perjuangan membangunkan institusi pendidikan Islam mungkin tidak dapat disempurnakan dalam waktu terdekat, tetapi generasi akan datang pasti akan meneruskan usaha ini.
“Walaupun tidak boleh siap masa sekarang, generasi-generasi lainlah yang akan sambung perjuangan ini hingga wujudnya kompleks pendidikan yang beri manfaat kepada masyarakat.
“Terima kasih kepada para pewakaf yang menyumbang sebahagian harta dan wang ringgit untuk kolej ini."
"Semoga pahala berterusan sentiasa mengalir dan inilah bekalan kita di hari akhirat akan datang,” katanya turut merakamkan penghargaan kepada para pewakaf yang telah menyumbangkan harta dan wang ringgit untuk pembangunan KIDI.
Di samping itu juga, beliau turut menyatakan harapan agar lebih ramai pihak tampil memberikan sokongan demi memastikan perkembangan pendidikan Islam yang lebih kukuh.
“Harapan kita agar mendapat sokongan dan dokongan semua sehingga suatu hari nanti kita dapat menyaksikan para ilmuan akan bertambah di negeri kita khususnya,” tambahnya.
16 Mar 25
76
Majlis Berbuka Bersama Perantau Meriah, Eratkan Pemimpin dan Rakyat
SERDANG, 16 Mac - Majlis berbuka puasa bersama anak-anak Terengganu di perantauan berlangsung dengan penuh kemeriahan dan bermakna, sekali gus menjadi platform untuk kepimpinan negeri mendekati rakyat walau di mana mereka berada.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program itu telah menjadi acara tahunan setiap kali Ramadan bagi merapatkan hubungan antara kerajaan negeri dan perantau.
"Ia memberi ruang kepada kita untuk berinteraksi secara langsung dengan anak-anak Terengganu yang berada di luar negeri, bertanya khabar serta mengeratkan hubungan silaturahim.
"Selain itu, mereka juga berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan kepimpinan kerajaan negeri, sekali gus memperkukuhkan jalinan ukhuwah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri Terengganu, yang diadakan di Dewan D, MAEPS Serdang, semalam.
Dalam pada itu, Dr. Ahmad Samsuri turut berpesan kepada para perantau yang bakal pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri supaya berhati-hati ketika memandu.
"Pastikan perjalanan pulang disertai dengan kegembiraan dan kembali semula ke ibu kota dengan penuh semangat," ujarnya.
16 Mar 25
417
180 Asnaf Hulu Besut Gembira Terima Pakaian Raya
HULU BESUT, 15 Mac – Seramai 180 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut rata-ratanya gembira menerima sumbangan pakaian raya menerusi Program Sinar Aidilfitri yang berlangsung selama dua hari.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin, berkata inisiatif ini dilaksanakan bagi membantu persiapan Aidilfitri melalui pemberian baucar bernilai RM150 bagi setiap satu, membolehkan penerima memilih pakaian yang sesuai untuk anak-anak mereka di Pasaraya Econjaya dan Pusat Pakaian Hari-Hari.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha saya sendiri untuk memastikan keperluan mereka dapat dipenuhi dengan lebih sempurna dan sesuai bagi menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui dalam majlis tersebut, di sini, semalam.
Beliau turut berharap sumbangan kecil ini dapat membawa kegembiraan kepada penerima serta menjadi simbol kasih sayang dan keprihatinan terhadap komuniti setempat.
“Saya mendoakan agar semua diberikan keberkatan, kesihatan, dan kebahagiaan dalam menyambut bulan Syawal yang bakal tiba,” tambahnya.
Program ini mendapat sambutan baik daripada penerima yang berterima kasih atas keprihatinan dan bantuan yang diberikan bagi meringankan beban mereka menjelang Hari Raya.
16 Mar 25
131
Rebut Peluang Ramadan, Gandakan Amal Ibadah
DUNGUN, 17 Mac - Dalam bulan Ramadan yang masih berbaki lebih kurang 15 hari lagi ini, umat Islam digalakkan supaya terus meningkatkan amal ibadah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat menyeru umat Islam agar memanfaatkan sepenuhnya bulan penuh keberkatan ini dengan mempelbgaikan amal ibadah.
“Sedar 'dok' sedar, dekat separuh Ramadan 'doh'. Jadi, pakat-pakatlah rebut peluang bulan ini untuk perbanyakkan amal.
"Waktu sekarang rasa sekejap sahaja dalam sehari-hari. Pagi tadi baru sahur, pitas-pitas garib buka puasa pulok doh,” katanya ketika menyampaikan Tazkirah Ramadan di Surau Limbong Pak, baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut menegaskan tentang kelebihan solat berjemaah, khususnya di bulan Ramadan.
“Kita sembahyang di rumah empat rakaat dapat satu pahala. Sembahyang di surau atau masjid, empat rakaat jugok tapi dapat 27 pahala, bahkan lebih lipat ganda lagi di bulan Ramadan.”
"Pilihan untuk meraih ganjaran besar ini terletak di tangan setiap individu. Oleh itu, beliau mengajak masyarakat untuk memperbanyakkan amalan kebajikan dan meningkatkan kualiti ibadah sepanjang Ramadan ini," jelasnya.
15 Mar 25
34
Giliran OKU Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Seramai 50 orang golongan orang kurang upaya (OKU) menerima bantuan kewangan dan barangan keperluan asas dalam usaha berterusan kerajaan negeri memastikan kebajikan mereka terpelihara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, bantuan itu bukan sekadar memenuhi keperluan harian tetapi juga sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap golongan ini.
"Alhamdulillah, seramai 50 orang OKU menerima bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan dapur.
"Ini adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak terpinggir dan terus mendapat sokongan sewajarnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program Bual Bicara Peranan Wanita Kepada OKU di Perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, pada semalam.
Zuraida turut memperakui bahawa kewujudan golongan OKU adalah sebahagian daripada kekuasaan Allah sebagai ujian dan anugerah kepada manusia.
Malah, menurutnya, Mantan Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyifatkan OKU sebagai 'golongan pelindung umat' menjadi perisai daripada azab Allah akibat maksiat yang dilakukan manusia lain.
Dalam usaha memperkasa kehidupan OKU, kerajaan Terengganu telah menubuhkan Majlis Tindakan Orang OKU negeri Terengganu (MTOT) yang dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan, pakar perubatan, akademik serta pihak berkaitan.
Menurut Zuraida, MTOT berperanan menyelia pelaksanaan dasar negara dan negeri dan memantau aktiviti jabatan, agensi serta badan bukan kerajaan (NGO) dalam memastikan pelan tindakan kebajikan OKU dapat dilaksanakan dengan baik.
"Kita sedar golongan OKU memerlukan perkhidmatan istimewa yang membolehkan mereka hidup berdikari.
"Orang cacat penglihatan perlu kepada kemahiran membaca dan menulis braille sebelum mereka menggunakan kemahiran tersebut untuk mereka berdikari.
"Serta cacat pendengaran mereka perlukan kemahiran untuk memahami dan menggunakan bahasa isyarat sebelum boleh menggunakannya berinteraksi dengan orang lain," ujarnya.
Tambah beliau, komitmen kerajaan negeri dalam membela nasib golongan ini akan terus diperkukuhkan dengan dua agenda utama, iaitu memastikan sokongan yang mencukupi kepada OKU serta mengubah persepsi masyarakat terhadap mereka.
"Pertama kita menengahkan orang kurang upaya ini kepada masyarakat dengan dicukupkan sistem sokongan yang semampu dan sewajarnya.
"Kedua mendorong dan mendidik masyarakat umum untuk menerima keberadaan orang kurang upaya tanpa sebarang halangan," katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri amat cakna dan komited dalam memastikan kebajikan golongan OKU terus terjamin.
"Kami mahu mereka menjalani kehidupan sejahtera serta mampu berdikari seperti individu lain," katanya.
Ujar Zuraida lagi, inisiatif ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk OKU, mendapat hak dan peluang yang sama dalam arus pembangunan negeri.
15 Mar 25
722
“Syukur, Bantuan Ini Sangat Bermakna Buat Kami” – Asnaf Terharu
KEMAMAN, 15 Mac – Seramai 571 asnaf di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima sumbangan berupa wang tunai dan beras dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Paya Lasir pagi semalam.
Seorang penerima, Kamariah Ibrahim, 40, meluahkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan menyifatkan sumbangan tersebut amat bermakna bagi golongan asnaf sepertinya.
”Saya sangat bersyukur kerana sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam menyediakan keperluan harian, terutamanya ketika Ramadan hampir tiba.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Sumbangan Asnaf DUN Kijal di Dewan Kompleks Paya Lasir di sini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh serta Ahli-Ahli Majlis DUN Kijal.
Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, berkata program tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan di kawasan tersebut.
”Kita sentiasa berusaha memastikan kebajikan rakyat terjaga, lebih-lebih lagi golongan asnaf yang memerlukan perhatian khusus.
"Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Insya-Allah, pelbagai lagi inisiatif akan terus diusahakan bagi membantu masyarakat di DUN Kijal,” katanya.
15 Mar 25
298