lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

'YB Bersamamu Di Aidilfitri' Rai 163 Anak Yatim
'YB Bersamamu Di Aidilfitri' Rai 163 Anak Yatim
KUALA TERENGGANU, 15 Mac – Seramai 163 anak yatim dan golongan asnaf menerima kelengkapan aidilfitri sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menerusi program tahunan 'YB Bersamamu Di Aidilfitri' yang diadakan di Mydin Mall, di sini. Program berkenaan diadakan setiap kali Ramadan bagi membantu golongan yang memerlukan agar mereka dapat menyambut Syawal dengan lebih ceria. Bagi memastikan kelancaran program, tiga buah bas telah disediakan untuk membawa para penerima ke pusat membeli-belah tersebut. Wan Sukairi berkata, beliau dan isteri, To’ Puan Dr. Fadzilah Ismail turut menaiki bas bersama para peserta yang berkumpul di KP Perdana bagi merasai sendiri pengalaman serta kegembiraan bersama anak-anak tersebut. “Program ini bukan sekadar memberikan bantuan kewangan dalam bentuk kelengkapan pakaian raya, tetapi juga memberi kegembiraan kepada golongan yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut hari raya,” katanya kepada pemberita selepas program tersebut, semalam. Beliau turut menyatakan bahawa program ini merupakan tradisi tahunan dalam usaha menggembirakan para penerima agar mereka turut merasai kemeriahan Syawal dengan kelengkapan pakaian baharu. “Tergambar kegembiraan di wajah para penerima serta ibu bapa mereka. Ada dalam kalangan ibu bapa yang hadir juga disini untuk menemani dan membantu anak-anak mereka membuat pilihan pakaian,” tambahnya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Terengganu berkata, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan penerima tetapi juga mencerminkan keprihatinan pemimpin terhadap rakyat serta menyuburkan semangat kasih sayang dan kebersamaan dalam menyambut Syawal. Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang dalam menjayakan inisiatif ini, termasuk pasukan Kebajikan DUN Wakaf Mempelam yang mengelolakan program berkenaan. Salah seorang ibu penerima, Siti Nurhidayati Addnan, 33, dari Kampung Merbau Patah, menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaannya untuk persiapan hari raya. “Saya mempunyai empat orang anak, sekurang-kurangnya seorang daripada mereka sudah mendapat baju raya. Saya tidak perlu terlalu risau untuk belanja keperluan anak yang lain. Anak saya pun sangat teruja kerana dapat datang ke sini dan menerima pakaian raya. Terima kasih kepada YB kerana membantu,” katanya. Sementara itu, rata-rata penerima memilih pakaian seperti baju Melayu, baju kurung, tudung, kurta, sampin, jubah, kasut, dan kemeja bagi melengkapkan persiapan hari raya mereka.
14 Mar 25
157
ADUN Rai 300 Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa
ADUN Rai 300 Pelajar Tahfiz Berbuka Puasa
KEMAMAN, 13 Mac – Seramai 500 pelajar institusi pondok dan tahfiz dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal diraikan dalam satu Majlis Iftar Institusi Pondok dan Tahfiz bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris yang berlangsung di Dewan DITC, Kemaman semalam. Pengarah program, Mohamad Rosli AB Rahman berkata, majlis tersebut bertujuan menghimpunkan pelajar tahfiz untuk mempereratkan ukhuwah selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan pengisian rohani yang bermanfaat. “Majlis bermula pada jam enam petang diawali dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Isma Azim Ismaizam, tenaga pengajar dari Maktab Asy Syarif, yang memberikan peringatan mengenai kelebihan Ramadan serta kepentingan menuntut ilmu sebagai asas kejayaan dunia dan akhirat. “Seramai enam institusi tahfiz terlibat dalam majlis ini, termasuk Raudhatul Hijrah, Maktab Asy Syarif, Madrasah Darul Uloom, Pusat Pengajian Tahfiz Raudhah Ribat Assyafie, Darul Huffaz TATI Skills, dan Madrasah Jamiah Raudhah Al Ilm,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Program yang dirasmikan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Suhaimi Embong, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad dan Pengerusi Jawankuasa Pembangunan dan Keselamatan (JPKK) Teluk Kalong, Mohd Zuki Abdul Ghani.  Sementara itu, Razali berkata program itu bukan sahaja sekadar berbuka puasa bersama, tetapi juga sebagai satu wadah untuk memperkukuhkan jaringan antara institusi tahfiz dan pondok di DUN Kijal.  “Saya berharap program ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai penghargaan kepada pelajar yang gigih menuntut ilmu agama,” katanya.   Majlis diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah sebelum para pelajar dan tetamu menikmati jamuan berbuka puasa yang disediakan.          
13 Mar 25
129
Iftar di Sawah Padi Diteruskan, Pukau Perhatian Ramai
Iftar di Sawah Padi Diteruskan, Pukau Perhatian Ramai
BESUT, 13 Mac - Suasana berbuka puasa dikelilingi kehijauan sawah padi terus menjadi daya tarikan di daerah ini apabila mencipta memori terindah kepada mereka yang hadir  di Majlis Iftar Perdana yang diadakan petang kemarin di Kampung Padang Baloh. Majlis yang diadakan itu telah diadakan selama tiga tahun berturut-turut menjelangnya Ramadan telah dihadiri lebih 600 penduduk kampung Padang Baloh serta mereka yang berada di sekitarnya rata-ratanya merupakan golongan petani dengan lebih 100 hidangan disediakan.   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata pihaknya sangat bersyukur kerana acara itu dapat diteruskan serta telah dijadikan acara tradisi sekali gus majlis itu dapat mengeratkan hubungan antara penduduk setempat serta menghidupkan semangat kebersamaan.   "Majlis seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada kita untuk menikmati juadah berbuka puasa bersama, tetapi juga menjadi wadah mempekukuh ukhwah dalam komuniti. "Saya berharap tradisi ini dapat diteruskan dan menjadi inspirasi kepada penduduk di kampung lain untuk mengadakan program yang menggalakkan perpaduan seumpama ini,"ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, ketika hadir ke majis ini semalam.   Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. Sementara itu, Ketua Tani Kumpulan Pengguna Air (KPA)TPBA, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir turut berkongsi rasa bangga dengan sambutan luar biasa yang diterima. "Sebagai petani, kami sangat terharu melihat sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap majlis ini. "Sawah padi bukan sekadar sumber rezeki, tetapi juga menjadi tempat yang menyatukan kami semua antara petani dan masyarakat akan terus erat,"ujarnya. Dalam pada itu ,Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi menyakannya majlis itu. "Kita berharap agar tradisi tahunan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang,"ujarnya.  
13 Mar 25
3607
'Turun Padang' Bina Imej Prihatin PDRM
'Turun Padang' Bina Imej Prihatin PDRM
DUNGUN, 12 Mac – Polis Daerah Dungun menganjurkan Majlis Iftar Ramadan dalam usaha mengeratkan hubungan antara pihak keselamatan itu dan komuniti di daerah Dungun. Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Maizura Abdul Kadir berkata, selain itu majlis iftar ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim di antara pegawai dan anggota polis serta memperkukuhkan semangat kerjasama antara mereka.  "Majlis ini mencerminkan kepedulian sosial pihak polis terhadap komuniti, terutama pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan dengan tema "Hormati dan patuhi undang-undang agar kesejahteraan tercipta dan ketenteraman terpelihara"." "Harapan saya, program ini dapat mengukuhkan lagi hubungan antara PDRM dan masyarakat setempat. Inisiatif seperti ini membuktikan komitmen PDRM untuk mendekati komuniti sambil menjalankan tanggungjawab sosial, seiring dengan nilai-nilai positif yang ingin disampaikan. Semoga usaha murni ini dapat diteruskan untuk manfaat bersama," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Facebook rasmi Polis Daerah Dungun, hari ini. Majlis tersebut dihadiri oleh Supt. Maizura Abdul Kadir, Ketua Polis Daerah Dungun, bersama DSP Jumaidy Bah Chong Weh, Timbalan Ketua Polis Daerah Dungun serta petugas di lapangan. Dalam majlis yang diadakan di Menara Jam Daerah Dungun, seramai 10 pegawai kanan polis dan 35 pegawai rendah polis turut mengambil bahagian dalam majlis ini. "Selain itu, ia juga menjadi platform untuk mempertingkatkan hubungan dengan masyarakat setempat melalui interaksi langsung," katanya.
12 Mar 25
140
Majlis Berbuka Puasa Mukim Bukit Puteri Bersama ADUN Kuala Besut Meriah
Majlis Berbuka Puasa Mukim Bukit Puteri Bersama ADUN Kuala Besut Meriah
  BESUT, 12 Mac  – Seramai 500 orang telah hadir memeriahkan majlis berbuka puasa bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh yang diadakan di dewan terbuka Kampung Tok Has, Mukim Bukit Puteri, semalam. Menurut Azbi,majlis yang diadakan itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat bagi memastikan kemeriahan Ramadan pada kali ini diraikan bersama "Memperbanyakkan amalan di bulan Ramadan adalah sangat penting saya mengajak semua yang hadir untuk mengambil peluang ini bagi meningkatkan ibadah dan melakukan segala amalan kebaikan. "Serta jangan lupa untuk membantu mereka yang memerlukan kerana Bulan Ramadan adalah waktu yang tepat untuk kita memperbanyakkan amal ibadah dan memperkukuhkan hubungan sesama kita," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut,. Turut hadir, Pegawai Daerah Besut, Ahmad Nazwawi Harun, Ketua Balai Polis Kuala Besut, Mohd Nazi Che Ismail dan Penolong Pegawai Kebajikan Daerah Besut, Mohd Latpi Yusoff. Menurut Azbi majlis berlangsung dalam suasana harmoni dan penuh kegembiraan dengan para penduduk saling bertukar-tukar cerita dan penglaman. "Adalah diharapkan Majlis berbuka puasa ini dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan hubungan antara penduduk serta meningkatkan kesedaran tentang pentingnya amalan kebajikan di bulan Ramadan,"ucap beliau.
12 Mar 25
152
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
'Mimpi' Sambut Aidilfitri di Rumah Baharu Tercapai
Oleh : Mohd Syauqi Harun KUALA TERENGGANU, 11 Mac – Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat dua beranak selepas mereka menerima rumah baharu melalui Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS), hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu itu merupakan salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di kawasan Batu Buruk. “Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat Terengganu di samping menepati syarat-syarat yang ditetap. "Semoga kediaman baharu ini menjadi tempat berteduh yang selesa dan penuh keberkatan buat beliau sekeluarga.  "Usaha ini melambangkan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan," katanya. Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata sedemikian kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyerahan replika kunci rumah PPTS, sebentar tadi. Ibu tunggal kepada seorang anak, Sakirah Mat Yunus, 43, dari Kampung Kolam Kuala Ibai, Batu Buruk mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk meraikan Aidilfitri di kediaman sendiri akhirnya tercapai. “Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada YB Dr. Khalil dan semua pihak yang terlibat atas usaha untuk mendapatkan saya sebuah rumah untuk kami sekeluarga berteduh.  “Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ini hanya dengan menumpang rumah ibu saya,” tambahnya. Kata Sakirah lagi, pemberian itu juga amat bermakna baginya dalam menyediakan ruang yang lebih selesa untuk anaknya yang masih bersekolah. “Selepas ini anak saya dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
11 Mar 25
224
Polis Tahan Tiga Suspek Curi Kabel
Polis Tahan Tiga Suspek Curi Kabel
BESUT, 11 Mac - Tiga lelaki dipercayai suspek kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM) telah ditahan pihak polis dalam satu aksi kejar-mengejar, di sini pada jam 3.30 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Besut, Suptritendan Azamuddin Ahmad berkata, berdasarkan maklumat awam sepasukan anggota dari Balai Polis Jerteh telah melakukan risikan dan rondaan di kawasan Kampung Gerai, sebelum terserempak dengan tiga buah kenderaan pacuan empat roda yang mencurigakan. "Menyedari kehadiran pihak polis, suspek-suspek terbabit melarikan diri menghala ke Pekan Jerteh dan polis berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda itu setelah mengejar kira-kira satu kilometer. "Kita berjaya menahan tiga orang lelaki berumur lingkungan 20an ke 30an dan hasil semakan mendapati kesemua suspek memiliki rekod jenayah lampau. "Sebuah kenderaan pacuan empat roda bermuatan kabel milik TM serta perkakasan digunakan juga berjaya dirampas," katanya melalui satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini. Menurutnya, kesemua mereka telah direman selama empat hari bagi mengenalpasti penglibatan dalam kes-kes berkaitan. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya dan, bagi kesalahan kedua atau kemudiannya, boleh dihukum dengan penjara dan denda atau sebat.  
11 Mar 25
257
Penglibatan Aktif ADUN Belia Perkukuh Hubungan Dengan Masyarakat
Penglibatan Aktif ADUN Belia Perkukuh Hubungan Dengan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 11 Mac –Penglibatan aktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia yang mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dilihat berupaya memperkukuh hubungan dengan golongan belia dan masyarakat setempat. ADUN Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penglibatan ADUN Belia dalam program kemasyarakatan amat penting bagi memastikan potensi kepimpinan mereka dapat diketengahkan. “Keberadaan ADUN Belia ini adalah melalui pelantikan, justeru kita mahu melihat mereka memainkan peranan yang signifikan di peringkat DUN. Jika mereka tidak diberi ruang untuk terlibat dalam program, mungkin bakat dan potensi yang ada tidak dapat diserlahkan sepenuhnya. “Selain itu, mereka juga tidak mempunyai peruntukan khusus untuk menganjurkan program sendiri. Oleh itu, dengan adanya program yang kita laksanakan di DUN, mereka boleh turut serta dan menyumbang tenaga serta idea,” katanya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan turut memaklumkan bahawa DUN Wakaf Mempelam telah merangka beberapa program sepanjang tahun 2025 yang akan melibatkan penyertaan ADUN Belia secara aktif. Sementara itu, ADUN Belia DUN Wakaf Mempelam, Mohd Lokman Hakim Mohd Zol menyatakan rasa teruja apabila diberi peluang menyertai program kemasyarakatan, terutamanya dalam bulan Ramadan. “Saya melihat mesej yang disampaikan melalui program ini sangat baik, khususnya dalam aktiviti penyediaan makanan kepada masyarakat yang memerlukan. “Selain memberi manfaat kepada penerima, ia turut memberi hikmah kepada diri saya sendiri untuk lebih bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat yang dikurniakan,” katanya. Beliau turut hadir bersama-sama ADUN Wakaf Mempelam bagi menyantuni 50 orang penduduk Kampung Seberang Baroh dan berbuka puasa di rumah rakyat, sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan serta mengeratkan hubungan antara pemimpin belia dan masyarakat setempat. Beliau yang aktif dalam program pembangunan belia juga berkongsi hasratnya untuk menjadikan DUN Wakaf Mempelam sebagai pusat pembudayaan ilmu dalam kalangan anak muda. “Saya sering melibatkan diri dalam aktiviti bersama golongan belia, termasuk program pembudayaan ilmu seperti mengajar mengaji di Masjid Merbau Patah, menyampaikan tazkirah dan menjadi imam. Tambahnya lagi, aspek kesukanan juga menjadi teras dalam usaha menarik minat belia untuk terlibat secara aktif dalam komuniti serta menggalakkan gaya hidup sihat. Menurutnya, sukan bukan sahaja menyatukan masyarakat tetapi juga mampu melahirkan pemimpin belia yang berdisiplin, berdaya saing dan berfikiran positif. "Saya percaya bahawa sukan adalah platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah sesama anak muda. Oleh itu, saya turut menyertai serta terlibat dalam penganjuran pelbagai aktiviti sukan di peringkat DUN seperti bola sepak bagi memastikan belia di DUN Wakaf Mempelam sentiasa aktif dan terarah ke arah perkara yang bermanfaat,” jelasnya.
10 Mar 25
202
28 Guru PASTI Kuala Besut Terima Sumbangan
28 Guru PASTI Kuala Besut Terima Sumbangan
BESUT, 10 Mac - Dalam meraikan bulan Ramadan yang diberkati, seramai 28 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut telah menerima sumbangan daripada ADUN setempat, Azbi Salleh. Menurutnya sumbangan itu disampaikan dalam satu majlis iftar yang diadakan di Kedai Makan Rumbia, Kampung Raja, semalam sebagai menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru yang berkhidmat di lapan buah PASTI dalam kawasan terbabit. "Sumbangan yang diberikan ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah berusaha keras dalam mendidik anak-anak di DUN Kuala Besut. "Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk berbuka puasa bersama, tetapi ia juga merupakan ruang untuk berkumpul dan saling bertukar pandangan mengenai perkembangan pendidikan PASTI. "Kita melihat para guru begitu teruja dan bersemangat menerima sumbangan ini, yang diharapkan dapat membantu mereka dalam menjalankan tugas mendidik dengan lebih baik,"katanya. Beliau berkata demikian semasa menghadiri majlis iftar ini  yang turut dihadiri oleh Pegawai Khas ADUN Kuala Besut,Mohd Sulaiman, Pengerusi PASTI Kawasan Besut, Muhammad Himli Hamdan di sini semalam. Dalam pada itu, Azbi mengharapkan agar guru-guru PASTI akan terus bersemangat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi. "Demi mendidik anak-anak bangsa serta memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan pendidik di kawasan ini,"ujar beliau.  
10 Mar 25
266
ADUN Wakaf Mempelam Teruskan Tradisi Berbuka Puasa di Rumah Penduduk
ADUN Wakaf Mempelam Teruskan Tradisi Berbuka Puasa di Rumah Penduduk
KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah meneruskan tradisi berbuka puasa di rumah penduduk dengan memilih kediaman Ahmad Abd Rahman di Kampung Pak Pa sebagai lokasi pertama kunjungannya sempena Ramadan tahun ini. Ahmad, 64, yang mempunyai 12 orang anak, meluahkan rasa terharu kerana ini merupakan kali pertama seorang wakil rakyat datang berbuka puasa di rumahnya. “Saya tidak pernah menyangka Yang Berhormat (YB) sudi datang ke rumah kami untuk berbuka puasa. Bila dimaklumkan tentang perkara ini, saya dan keluarga sangat mengalu-alukan kehadiran beliau. Saya juga terkejut apabila diberitahu bahawa kami tidak perlu menyediakan apa-apa juadah kerana semuanya telah disediakan termasuk makanan dan minuman,” katanya. Dalam kunjungan tersebut, Wan Sukairi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri membawa tiga set nasi beriani untuk dikongsi bersama tuan rumah serta menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan dapur dan wang tunai kepada keluarga Ahmad. Menurut beliau, tradisi berbuka puasa bersama rakyat yang telah diamalkan sejak empat tahun lalu ini bukan sekadar untuk menikmati juadah bersama masyarakat, tetapi juga sebagai usaha untuk mendekati dan memahami kehidupan seharian mereka dengan lebih dekat. “Saya sangat menyukai cara ini kerana ia memberi peluang untuk merasai pengalaman berbuka puasa di rumah rakyat. Ia bukan sahaja satu cara meraikan mereka, tetapi juga meninggalkan kenangan manis buat tuan rumah serta diri saya sendiri,” katanya. “Pengalaman saya sebelum ini bila turun berbuka di rumah penduduk, saya bukan sahaja dapat menikmati juadah bersama mereka, tetapi juga berpeluang melihat sendiri jika ada dalam kalangan ahli keluarga mereka yang kurang sihat dan memerlukan bantuan,” tambahnya. Beliau memaklumkan bahawa sebanyak 12 rumah akan dikunjungi sepanjang bulan Ramadan ini, dengan keutamaan diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dan yang mempunyai anak ramai. Turut mengiringi beliau dalam lawatan tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Pa, Jafri Mohamad. Sebelum berbuka puasa, Wan Sukairi turut meluangkan masa bertemu dengan kira-kira 50 penduduk kampung bagi bertanya khabar dan berkongsi rezeki dengan menyampaikan kuih-muih sebagai juadah berbuka puasa.
09 Mar 25
296