lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
125 Asnaf Dirai, Terima Sumbangan
BESUT, 24 Mac – Seramai 125 golongan asnaf menerima sumbangan dalam Majlis Iftar Perdana Parlimen Besut yang berlangsung di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah baru-baru ini. Program itu dianjurkan bagi membantu mereka yang memerlukan serta mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan masyarakat setempat. Sumbangan disampaikan oleh Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh, bersama Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman. Menurut Che Mohamad Zulkifly, inisiatif tersebut merupakan tanda keprihatinan kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. “Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka serta membawa kegembiraan dalam menyambut Ramadan,” katanya. Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan kepada asnaf, diikuti tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Adam Said bagi memberikan peringatan rohani kepada para hadirin. Acara diteruskan dengan bacaan tahlil dan doa, sebelum majlis berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan majlis tersebut. “Kehadiran ramai penduduk menyemarakkan lagi majlis ini. Terima kasih kepada semua petugas dan sukarelawan yang bekerja keras. Semoga usaha ini diberkati,” katanya.  
22 Mar 25
47
ADUN Agih 1,800 Bekas Bubur Lambuk di Kijal
ADUN Agih 1,800 Bekas Bubur Lambuk di Kijal
KEMAMAN, 21 Mac – Sebanyak 1,800 bekas bubur lambuk telah diagihkan dalam Program Gotong-Royong Memasak Bubur Lambuk Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir, semalam. Pengarah program, Aliy Zainal Abidin Hazri, berkata, program itu melibatkan penyertaan daripada pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh DUN Kijal, agensi kerajaan serta sukarelawan tempatan.   "Bubur lambuk yang dimasak secara bergotong-royong ini diagihkan ke 26 JPKK yang dibahagikan mengikut lima zon utama.   "Insya-Allah, pada sebelah petang ini akan diedarkan kepada penduduk di setiap JPKK masing-masing.Semoga usaha ini memberi manfaat kepada semua," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Sementara itu, ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, turut hadir memeriahkan program tersebut dan beramah mesra dengan para peserta.   Razali berkata program gotong-royong dan memasak bubur lambuk ini bukan sahaja mengeratkan hubungan masyarakat tetapi juga mengekalkan tradisi memasak bubur lambuk sebagai simbol perpaduan di bulan Ramadan.   "Program ini yang juga merupakan acara tahunan sentiasa mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai setiap kali diadakan. "Semangat kerjasama seperti ini wajar diteruskan kerana ia mencerminkan budaya masyarakat kita yang saling membantu dan berkongsi rezeki.  
21 Mar 25
151
100 Anak Yatim Terima Sumbangan Kasih Sempena Ramadan
100 Anak Yatim Terima Sumbangan Kasih Sempena Ramadan
HULU TERENGGANU, 20 Mac – Dalam menyemarakkan keberkatan akhir Ramadan dan syawal yang bakal tiba, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir melaksanakan amanah menyantuni 100 anak yatim melalui program agihan 'Sumbangan Kasih'. ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, menyantuni anak yatim adalah amalan mulia yang sangat dituntut dalam Islam. "Memberi kegembiraan kepada anak yatim adalah amalan yang sangat besar pahalanya. Semoga sumbangan ini mampu mengukir senyuman di wajah mereka dan memberi keceriaan dalam menyambut Aidilfitri," ujar beliau ketika berucap menyempurnakan majlis tersebut di Dewan Al-Kawthar Kubang Lembek, di sini, baru-baru ini. Beliau turut mengajak masyarakat agar sentiasa mengambil peluang untuk berbuat kebaikan, lebih-lebih lagi di bulan yang penuh berkat ini.  Majlis yang diadakan dengan penuh sederhana namun bermakna itu menyaksikan anak-anak yatim menerima sumbangan berupa keperluan asas dan duit raya sebagai persiapan keluarga mereka menyambut Aidilfitri. Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan sumbangan bergambar serta jamuan berbuka puasa bersama, simbolik kepada jalinan ukhuwah yang terjalin antara masyarakat dan anak-anak bertuah itu. "Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menyemai kasih sayang, keprihatinan, dan empati terhadap golongan yang memerlukan, seiring dengan tuntutan Islam untuk memelihara dan menyantuni anak yatim," ujarnya.
19 Mar 25
121
Nikmati Kemeriahan Moreh Secara Beradab
Nikmati Kemeriahan Moreh Secara Beradab
Oleh: Mohamad Farhan Anam KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Umat Islam yang mengunjungi lokasi moreh yang tumbuh bak cendawan di negeri ini diingatkan agar memelihara adab dan menjaga kesopanan sepanjang bulan Ramadan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mengakui, sokongan terhadap aktiviti moreh bukan sahaja membantu meningkatkan ekonomi rakyat tetapi juga mampu menarik pelancong ke Terengganu. "Kak Da sangat berharap agar suasana moreh ini dihiasi dengan adab yang baik.  “Tidak perlu hiburan keterlaluan, hormatilah kemuliaan Ramadan. Jagalah aurat dan batas pergaulan agar program yang baik ini tidak tercemar dengan perkara yang merosakkan keindahan bulan yang penuh berkah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas turun padang mengimarahkan suasana disamping mengadakan program dakwah di salah satu lokasi moreh dengan pengisian ‘Chit Chat Ramadan’ bersama penceramah tersohor negara, Datuk Dr. Norhafizah Musa. Mengulas lanjut, dengan berbaki kurang dua minggu sebelum Ramadan melabuhkan tirai, beliau menyeru orang ramai agar terus memanfaatkan bulan penuh kemuliaan ini dengan memperbanyakkan ibadah dan menikmati kemeriahan moreh secara beradab serta bermaruah. "Alhamdulillah, ramai yang hadir bukan sekadar untuk membeli juadah, tetapi juga untuk menadah ilmu. Dalam masa yang sama, mereka turut menyokong para peniaga tempatan," ujarnya. Katanya, keunikan suasana moreh di Terengganu dapat dilihat apabila kawasan jualan menjadi tumpuan selepas solat tarawih, malah ada dalam kalangan wanita yang masih mengenakan telekung solat ketika membeli juadah untuk mengalas perut selepas beribadah.  
19 Mar 25
174
Peranan Wanita Dalam Menyokong Golongan OKU
Peranan Wanita Dalam Menyokong Golongan OKU
KUALA TERENGGANU, 19 Mac – Wanita memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang lebih inklusif dan mesra orang kurang upaya (OKU), sama ada sebagai ibu, pendidik, pemimpin, atau penyokong utama dalam kehidupan seharian. Atlet Parasukma Terengganu, Norhaslina Suria Mohamed berkata, wanita, khususnya ibu kepada anak-anak OKU, bukan sahaja menjadi penjaga tetapi juga guru dan penghubung utama antara anak mereka dan dunia luar.  “Ramai ibu sanggup mengorbankan kerjaya demi memberi tumpuan penuh kepada anak-anak bagi memastikan mereka mendapat akses kepada pendidikan serta perkembangan yang sepatutnya,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Bual Bicara Peranan wanita kepada OKU di perkarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah, baru-baru ini. Selain itu, wanita juga sering menjadi penyokong utama kepada suami, anak, atau ahli keluarga yang menjadi OKU akibat kemalangan atau penyakit.  Katanya, golongan wanita  berperanan sebagai motivator, membantu OKU menerima keadaan mereka dan meneruskan kehidupan dengan lebih bermakna. Dalam bidang profesional, ramai wanita terlibat sebagai pendidik, ahli terapi pertuturan, fisioterapi, dan aktivis hak OKU.  Tambahnya, mereka berjuang untuk memastikan golongan ini mendapat peluang pendidikan dan pekerjaan yang lebih baik. “Jika lebih ramai wanita berada dalam kepimpinan, lebih banyak dasar mesra OKU boleh diperjuangkan. “Wanita mempunyai empati dan keprihatinan yang tinggi, menjadikan mereka pemimpin yang sesuai untuk membawa perubahan dalam dasar dan perundangan berkaitan OKU," ujarnya. Selain itu, wanita juga semakin aktif dalam bidang keusahawanan sosial dengan membuka peluang pekerjaan kepada OKU.  "Usaha ini bukan sahaja membantu meningkatkan taraf hidup mereka tetapi juga menggalakkan penerimaan masyarakat terhadap keupayaan golongan ini. "Sebagaimana kata pepatah, jika ingin berjalan jauh, berjalanlah bersama-sama," tambah beliau. Justeru itu, katanya, dengan sokongan dan usaha kolektif, masyarakat yang lebih adil dan inklusif dapat direalisasikan.
19 Mar 25
49
140 Golongan Asnaf Kampung Tengah Terima Agihan Zakat
140 Golongan Asnaf Kampung Tengah Terima Agihan Zakat
BESUT, 19 MARCH 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Azbi Salleh yang juga  pemilik Kedai Emas Sri Ayu, telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sumbangan zakat kepada 140 golongan asnaf dalam satu majlis yang diadakan di Surau Al-Amin, Kampung Tengah. Menurut beliau, agihan zakat ini melibatkan tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terdiri daripada Kampung Tengah, Kampung Pantai, Kampung Pengkalan Atap, Kampung Teluk Bayu, Kampung Pekan Lama, Kampung Pekan Baru, dan Kampung Nail.  Azbi berkata, zakat merupakan platform yang tepat untuk membantu golongan yang memerlukan sebagaimana yang dituntut di dalam ajaran Islam, terutamanya menjelang bulan Ramadan yang penuh keberkatan. “Zakat adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik. Saya berharap sumbangan ini dapat meringankan beban mereka dan memberikan sedikit kegembiraan dalam menyambut bulan yang mulia ini,” ujarnya ketika ditemui. Setiap penerima zakat menerima bantuan kewangan yang diharapkan dapat digunakan untuk mendapatkan keperluan harian dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. "Penerima sumbangan, terdiri daripada kalangan ibu tunggal dan keluarga yang terjejas serta mereka yang tergolong sebagai golongan asnaf. "Majlis ini juga disertai oleh Pengerusi-Pengerusi dari JPPK yang terlibat, yang turut membantu dalam proses pengagihan zakat,"ujarnya.
18 Mar 25
211
Jadikan Al-Quran Sebagai Peneman Setia
Jadikan Al-Quran Sebagai Peneman Setia
DUNGUN, 20 Mac - Umat Islam diseru untuk menjadikan Al-Quran sebagai peneman setia dalam kehidupan seharian, bukan sekadar bahan bacaan tetapi sebagai panduan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kepentingan Al-Quran sebagai sahabat sejati yang akan menemani umat Islam di dunia dan Akhirat. “Di dunia ini, kita sibuk mencari peneman setia. Tetapi jangan lupa bahawa di Akhirat kelak, Al-Quran lah sahabat sejati yang akan menemani kita,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perasmian Madinah Ramadan dan Majlis Khatam Al-Quran peringkat Dungun yang berlangsung di Masjid Jamek Paka baru-baru ini. Beliau turut mengingatkan bahawa Al-Quran bukan sekadar bacaan harian, tetapi menjadi hujah dalam setiap amalan yang dilakukan oleh umat Islam. “Jika kita berpegang teguh padanya, ia akan menjadi peguam bela yang membela kita di hadapan Allah. Namun, jika kita mengabaikannya, ia boleh menjadi saksi yang menuntut kita atas kelalaian sendiri,” tambahnya lagi. Majlis yang penuh bermakna itu dihadiri oleh para qari, qariah, serta masyarakat setempat yang turut mengambil bahagian dalam sesi khatam Al-Quran. Program ini bertujuan untuk menyemarakkan budaya membaca dan memahami Al-Quran dalam kalangan umat Islam, khususnya di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini. Selain itu, beliau turut mengajak semua pihak untuk menjadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kehidupan seharian. “Pilihan di tangan kita sama ada menjadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi kehidupan atau membiarkannya menjadi bukti kealpaan kita. Semoga kita tergolong dalam golongan yang mencintai, memahami, dan mengamalkan ajarannya,” ujarnya.  
18 Mar 25
110
200 Asnaf Terima Zakat Perniagaan Emas Dimiliki ADUN
200 Asnaf Terima Zakat Perniagaan Emas Dimiliki ADUN
BESUT 18Mac –  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut,Azbi Saleh telah melaksanakan tanggungjawab sosialnya dengan memberikan sumbangan zakat dari Kedai Emas Sri Ayu dimilikinya kepada 200 orang golongan asnaf. Majlis agihan sumbangan tersebu telah diadakan semalam di Masjid Haji Daud, Alor Teratai, dan melibatkan 10 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang terlibat. Penerima terdiri daripada penduduk Kampung Alor Teratai, Kampung Alor Jejawi, Kampung Tok Saboh, Kampung Sri Kemunting, Kampung Taman Sri Seratus, Kampung Pachakan, Kampung Gertak Seratus, Kampung Kayu Kelat, Kampung Alor Pisang, dan Kampung Taman Tasik.  Menurut Azbi penerima terdiri daripada pelbagai latar belakang, termasuk ibu tunggal, warga emas dan keluarga yang kurang berkemampuan. "Setiap penerima menerima bantuan kewangan yang diharapkan dapat meringankan beban mereka menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.  “Sumbangan ini adalah salah satu cara untuk kita membantu golongan yang memerlukan. Saya berharap bantuan ini dapat memberikan sedikit kegembiraan dan meringankan beban mereka dalam persiapan menyambut hari raya,"ujarnya. Tambah beliau, melihatkan penduduk menerimanya dengan perasaan penuh syukur dan memahami ramai yang berharap agar agar lebih banyak inisiatif seperti itu akan terus dilaksanakan pada masa akan datang. "Semoga majlis seumpama ini akan menggalakkan pelbagai pihak untuk tampil membantu dalam kalangan penduduk setempat serta melahirkan semangat kebersamaan,"ujarnya.  
18 Mar 25
328
Ladang Rakyat Salur Zakat kepada Asnaf, Sekolah
Ladang Rakyat Salur Zakat kepada Asnaf, Sekolah
KEMAMAN, 17 Mac – Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd (LRTSB) terus komited membantu masyarakat dengan meningkatkan sumbangan zakat tahunan kepada golongan asnaf dan institusi pendidikan, selaras dengan prestasi kewangan syarikat yang semakin kukuh. Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafeez Che Ku Denang berkata, pendapatan syarikat meningkat daripada RM9.58 juta pada tahun 2023 kepada RM37.18 juta pada tahun 2024, membolehkan syarikat menyalurkan zakat sebanyak RM1,373,332 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), termasuk RM343,333 yang diperuntukkan kepada golongan memerlukan. “LRTSB turut memperluaskan bantuan kepada lebih banyak sekolah dalam usaha menyokong sistem pendidikan dan kebajikan pelajar. "Pada tahun 2023, sebanyak 10 sekolah dengan 1,524 pelajar menerima bantuan, lebih membanggakan jumlah ini meningkat kepada 14 sekolah yang melibatkan 1,584 pelajar pada tahun 2024,” ujarnya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyampaian Zakat Kepada Asnaf & Sumbangan Aidilfitri Kepada Pekerja LRTSB 2025 di Cheneh Recreation & Resort. Katanya, sekolah-sekolah yang menerima bantuan ini terdiri daripada institusi pendidikan di sekitar kawasan operasi syarikat, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ceneh Baru, SMK Cerul, SMK Seri Ceneh, SMK Durian Mas, Sekolah Kebangsaan (SK) Cheneh Baru, SK Felda Cherul, SK Pecah Rotan, SK Simpang Rawai, SK Pagar Besi, SK Bukit Wan, SK Durian Mas 1, SK Durian Mas 2, dan SK Lembah Bidong. Selain itu, LRTSB turut mengagihkan zakat kepada beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk DUN Wakaf Mempelam, DUN Air Putih, DUN Chukai, DUN Kemasik dan DUN Batu Rakit sebagai sebahagian daripada usaha memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai penerima yang layak. Che Ku Hafeez turut berharap sumbangan ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta membantu sekolah dalam menyediakan pendidikan yang lebih baik kepada pelajar. Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah LRTSB, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pemberian zakat ini bukan sekadar memenuhi kewajipan, tetapi turut menjadi bukti keprihatinan syarikat dalam membantu mereka yang kurang berkemampuan, terutama dalam menyambut Syawal yang bakal tiba. “Saya percaya bahawa setiap rezeki yang dikongsi akan membawa keberkatan, bukan sahaja kepada penerima, tetapi juga kepada seluruh organisasi. "Semoga bantuan ini dapat meringankan beban golongan asnaf serta kakitangan LRTSB sempena Aidilfitri ini,” katanya. Beliau yang hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan ini turut menyeru semua pihak bersama-sama mendoakan agar LRTSB terus maju, berkembang dan mencapai keuntungan lebih besar supaya syarikat dapat terus menyalurkan lebih banyak sumbangan serta berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.
17 Mar 25
292
Pelita Raya: Terima Kasih Atas Teguran Rakyat
Pelita Raya: Terima Kasih Atas Teguran Rakyat
KUALA TERENGGANU, 17 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menzahirkan rasa terima kasih atas teguran dan pandangan yang diberikan oleh rakyat Terengganu berkaitan program Pelita Raya dan Pesta Moreh di negeri tersebut. Menurutnya, kerajaan negeri menghargai setiap maklum balas yang diberikan demi memastikan keharmonian serta keberkatan bulan Ramadan dan agenda Indahnya Hidup Bersyariah terus terpelihara. "Pelita Raya, yang bertujuan untuk memeriahkan suasana Ramadan dan mengangkat budaya warisan Melayu Islam Malaysia, menerima aduan berkaitan persembahan yang dikatakan kurang sesuai dengan sensitiviti bulan yang mulia ini. "Kami mengambil serius perkara ini dan akan memperhalusinya agar sebarang pengisian serta perjalanan acara selari dengan nilai-nilai Islam serta budaya masyarakat. Ini juga seiring dengan usaha kerajaan negeri yang sedang dalam proses menambah baik garis panduan kebudayaan dan hiburan. "Bagi Pesta Moreh pula, kami menyedari peranannya dalam membantu ekonomi peniaga serta menambah pendapatan rakyat. Walau bagaimanapun, aduan mengenai lambakan lokasi moreh yang menimbulkan kegusaran sehingga ada yang merasakan Ramadan lebih dilihat sebagai pesta makanan berbanding pesta ibadah. "Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan berbincang bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mencari pendekatan terbaik untuk menambah baik pengisian di kawasan moreh," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan di Facebook miliknya, sebentar tadi. Dr. Khalil menjelaskan, antara cadangan yang sedang diteliti adalah menambah slot keagamaan seperti tazkirah pendek atau aktiviti kerohanian di lokasi moreh agar keseimbangan antara keperluan fizikal dan spiritual dapat dicapai. "Ini sebenarnya telah dilaksanakan di beberapa lokasi moreh di Terengganu. Kami komited untuk memastikan setiap program yang dianjurkan sepanjang Ramadan bukan sahaja memberi manfaat kepada ekonomi rakyat tetapi juga memperkukuh nilai-nilai Islam dalam masyarakat. "Di kesempatan ini, saya mengajak seluruh rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan yang sedang berlangsung di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Terengganu. "Semoga segala usaha ini mendapat keberkatan dan menjadikan Ramadan di Terengganu lebih bermakna buat semua. Terima kasih sekali lagi atas keprihatinan seluruh masyarakat," tambahnya.  
17 Mar 25
174