Artikel "Komuniti" Terkini
Miliki Anak Celebral Palsy Tidak Halang Suri Rumah Jadi Agen Kosmetik
DUNGUN, 12 Oktober - Walaupun mempunyai anak istimewa yang memerlukan penjagaan rapi ianya tidak pernah menghalang seorang suri rumah untuk menjadi agen kosmetik bagi menambah pendapatan Keluarga.
Muriati Abu Bakar, 33 ibu kepada Siti Nurzulaikha Mohd Zul Azri, 6, kanak-kanak yang menghidap 'Celebral Palsy' mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap permata hatinya.
Bekas guru tadika itu terpaksa berjauhan dengan suami yang bertugas di Setiu dan membuat keputusan tinggal bersama ibu bapanya memandangkan kediaman keluarga berdekatan dengan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Kampung Baru, tempat Zulaikha bersekolah dan memudahkannya untuk berulang alik ke Hospital Dungun.
"Alhamdulillah sekarang Zulaikha tidak lagi mengalami sakit dan sawan, hanya ke hospital untuk fisioterapi sahaja," jelas ibu muda yang turut dibantu oleh kedua orang tuanya menjaga anak syurga itu.
Berkongsi cerita bagaimana dia boleh menjadi agen kosmetik, Muriati berkata, pada mulanya dia hanya menggunakan kosmetik jenama Nuraisya itu untuk kegunaan sendiri.
"Mula-mula saya beli barang untuk pakai, lepas tu 'promote-promote' saya jadi 'dropship'. Bila sudah ada modal sikit-sikit, saya 'up' jadi agen," katanya.
Muriati ditemui pemberita ketika ziarah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun yang menghantar bantuan Tabung Darul Iman (TDI) berupa susu dan lampin pakai buang di rumahnya di Kampung Rhu Batil dekat sini semalam.
Menurutnya, dia mula berjinak-jiinak dengan berniaga dari rumah sejak anak tunggalnya itu berusia dua tahun.
"Alhamdulilah, berkat kesabaran, rezeki sentiasa masuk walaupun tidak banyak," ujarnya yang sememangnya minat berniaga.
12 Oct 20
298
DUN Air Putih Sumbang Mesin Pam Air Dan Paip Poly Kepada Peserta Tanaman Berkelompok
KEMAMAN, 12 Oktober - Seramai 25 orang peserta tanaman berkelompok dari Kampung Seberang Tayur Hulu telah menerima sumbangan berupa 5 buah mesin pam air dan 2 gulung paip poly daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih baru-baru ini.
Penerima sumbangan terdiri daripada peserta projek tanaman jagung, kacang dan timun halus di tapak Tanaman Berkelompok, Teluk Romania, Kampung Seberang Tayur. Mesin pam air yang berfungsi untuk menyedut air sungai ini akan menyalur dan menyiram air ke atas tanaman di tapak projek tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Air Putih, Ab Razak Ibrahim turut turun padang ke tapak projek berkenaan bagi menyampaikan sumbangan kepada para peserta.
“Diharapkan dengan adanya tambahan mesin pam air ini, hasil tanaman dapat dipertingkatkan memandangkan sebelum ini para peserta perlu bergilir-gilir menggunakan mesin pam air yang sedia ada dan terhad” ujar beliau sewaktu menyerahkan sumbangan.
“Semoga beban para peserta sedikit sebanyak dapat diringankan kerana mesin ini juga dapat membekalkan air yang mencukupi kepada tanaman untuk bertahan lebih lama dan tidak mudah rosak,” tambah beliau lagi.
Beliau juga berpeluang melihat sendiri bagaimana mesin-mesin ini berfungsi di samping mendapat serba sedikit penerangan daripada para peserta.
Rata-rata para peserta menzahirkan rasa terharu atas kecaknaan YB Razak terhadap petani seperti mereka yang mana bercucuk tanam merupakan sumber rezeki mereka bagi menyara keluarga masing-masing terutama di dalam keadaan pandemik covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia.
12 Oct 20
760
187 Keluarga Terima Bantuan Baiki Rumah Di Paka
DUNGUN, 12 Oktober - Sebanyak 187 keluarga telah menerima bantuan baiki rumah menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka sejak pertukaran kerajaan dahulu.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Mohd Wirdan Shahidan berkata, kebanyakan yang menerima bantuan itu adalah mereka yang ditimpa musibah seperti ribut, angin kencang dan kebakaran.
"Mereka yang dalam kesusahan menjadi keutamaan kita kerana mereka berhak mendapatkannya,"ujarnya kepada pemberita.
Wirdan mengucapkan terima kasih atas kesabaran dan keutamaan masyarakat memberi ruang kepada yang lebih layak dalam mendapat peruntukan pembaikan rumah ini.
Katanya, syarat yang diutamakan adalah terhadap golongan yang tersenarai dalam sistem e-Kasih.
"Pihak kami (Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Paka) sentiasa menerima borang permohonan yang dihantar melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
"Peruntukkan ini diagihkan setiap DUN dengan jumlah yang terhad tetapi permohonan terlalu banyak.
"Atas faktor ini pihak Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Paka akan melihat keutamaan yang lebih memerlukan," ujarnya.
12 Oct 20
1965
Semarak Hubungan Antara Pelbagai Kaum
DUNGUN, 12 Oktober - Amalan berbuat baik terhadap bangsa lain yang terdapat di negara kita seharusnya dijadikan sebagai satu budaya yang perlu dipraktikkan agar hubungan antara kaum lebih erat.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, kepelbagaian agama, etnik dan budaya di Malaysia yang unik menuntut rakyatnya agar sentiasa berbuat baik dikalangan satu sama lain bagi menjamin keharmonian negara ini selain dapat mencerminkan keperibadian Islam terhadap penganut agama lain.
"Berbuat baik adalah satu daripada dasar Islam dalam hubungan etnik. Islam mengajar kita untuk berbuat baik sesama manusia kerana semuanya berasal daripada manusia pertama iaitu Nabi Adam.
"Islam juga memerintahkan manusia untuk berbuat baik dan adil kerana ia menjadi dasar utama dalam berinteraksi antara seorang muslim dengan orang bukan Islam yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi warga Tionghua di sekitar Kuala Dungun.
Program ziarah yang diatur oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Penaga itu turut disertakan dengan sumbangan kewangan selain beramah mesra bertanyakan status kesihatan para penduduk Cina yang diziarah.
Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa keunikan masyarakat majmuk yang ada di negara kita turut menyebabkan kita tidak terkecuali daripada menjadi tarikan para pelancong untuk mempelajari budaya rakyat di sini.
" Oleh itu, memang tidak dinafikan bahawa perpaduan antara kaum adalah satu faktor yang amat penting untuk Malaysia bagi mencapai status negara maju selain memacu kepada kepesatan pembangunan dan ekonomi negara," ujarnya lagi.
12 Oct 20
406
Kek Untuk Warga Pos
Foto oleh: Muhammad Azizi Zakaria
KEMAMAN, 12 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat memberikan hadiah berupa kek kepada kakitangan Pejabat Pos di DUN berkenaan sempena Hari Pos Sedunia 2020, semalam.
"Tidak terlambat lagi rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Pos Sedunia 2020 kepada mereka dan menyampaikan kek sebagai tanda menghargai jasa-jasa warga pos, kourier dan penghantaran.
Segala dokumen dan keperluan penting harian kita bergantung kepada mereka. Apatah lagi ketika musim wabak COVID-19 yang melanda kini, sudah tentu sedikit sebanyak tugasnya makin sukar dan mencabar," ujarnya.
Katanya lagi, tanpa mereka, kita tidak mungkin boleh meneruskan kehidupan seharian dengan lancar.
"Mereka bermandi peluh, meredah hujan dan menghadapi segala risiko demi urusan kita," ujarnya kepada pemberita ketika dihubungi.
Serahan kek tersebut disampaikan oleh isterinya, Zahiyah Rahman mewakili Hanafiah yang hadir bersama kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.
Tiga tempat yang menerima kek tersebut iaitu Pejabat Pos Cawangan Chukai, Pejabat Pos Laju Chukai dan Pejabat Pos Cawangan Serahan Chukai.
Hari Pos Sedunia disambut 9 Oktober di seluruh dunia sejak 1969, sebagai peristiwa penting bagi perkhidmatan pos di seluruh dunia untuk mengetengahkan kepentingan dan sumbangan perkhidmatan itu kepada masyarakat global selain mengiktiraf tenaga kerja pos sedunia.
12 Oct 20
836
23 Jemaah Masjid Ulul Albab Disahkan Negatif COVID-19
BESUT, 12 Oktober - Seramai 23 jemaah Masjid Ulul Albab, Kampung Seberang Jerteh disahkan negatif COVID-19 melalui hasil dua ujian pengesanan yang dilakukan terhadap mereka.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Jerteh, Mohd Hanis Abas berkata, mereka sebelum ini telah menjalani kuarantin di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai di Marang sejak Selasa lalu.
"Kesemua 23 jemaah telah menjalani kuarantin dan sepanjang tempoh saringan tidak ada satu orang pun yang menunjukkan tanda-tanda positif.
"Mereka telah pun dibenarkan pulang dan selamat sampai ke rumah masing-masing," ujarnya kepada pemberita di Kampung Seberang Jerteh, semalam.
Mohd Hanis berkata, para jemaah tersebut diarahkan menjalani kuarantin setelah masjid itu baru-baru ini dilawati Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri yang disahkan positif COVID-19.
Katanya, Masjid Ulul Albab juga ditutup sementara selama tiga hari bagi melancarkan kerja-kerja proses nyahkuman.
12 Oct 20
2165
Perlu Berbaik Dengan Jiran Tanpa Kira Agama, Bangsa
MARANG, 12 Oktober - Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu.
Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang.
Penyelia iMiTS Parlimen Marang, Ahmad Maarof Ismail berkata, "dalam sepotong hadis yang berbunyi, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran",
"Malaikat sentiasa datang. Lalu menyebut, berbuat baiklah kepada jiran,
Tambahnya lagi, "jika jiran kita datang menyewa di hadapan rumah kita adalah jiran bukan Islam, maka hendaklah kita melayannya dengan baik dan penyayang",
"Berbuat baik kepada jiran seolah-olah, kalau kamu mati, kamu boleh beri faraidh pada jiran walaupun harta pusaka hanya untuk anak beranak sahaja", ujarnya dengan senyuman.
Begitulah perumpamaan yang diberi supaya berbuat baik pada jiran tetangga.
Kuliah dhuha itu disampaikan selepas selesai solat dhuha pada setiap hari ahad di Pejabat Parti Islam Semalaysia (PAS) Kampung Rusila.
11 Oct 20
266
Pesakit Kanser Terima Bantuan Katil
HULU TERENGGANU, 12 Oktober– Kelegaan jelas terpancar di wajah seorang pesakit kanser, Mustafa Ismail, 70, dari Kampung Pasir Dula apabila menerima bantuan set katil boleh laras yang disumbangkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, baru-baru ini.
Sumbangan hasil kerjasama antara PKM DUN Telemong dan Majlis Tindakan DUN Telemong itu untuk membantu mengurangkan bebanan dan kesusahan pesakit kronik di sekitar DUN ini.
Mustafa yang tidak mampu bergerak dari aras pinggang ke bahagian kaki selepas didapati menghidap kanser tulang pada awal tahun ini menyifatkan, bantuan katil itu memberi sedikit kelegaan buatnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu berkata, selain sumbangan katil, pihaknya juga berusaha agar pesakit dapat menerima bantuan dari Tabung Darul Iman, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ataupun MAIDAM bagi meringankan bebanan pesakit.
“Besar harapan kita agar sumbangan hari ini akan mengembirakan mereka sekeluarga dan kami akan terus komited untuk terus membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika menyerahkan katil di kediamannya di Kampung Pasir Dula, di sini khamis lalu.
11 Oct 20
771
COVID-19 : Terus Berdisiplin, Patuhi SOP
SETIU, 11 Oktober - Masyarakat diingatkan untuk terus berdisiplin dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam menghadapi situasi pandemik COVID-19.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, pada ketika ini semua pihak harus memainkan peranan semaksima mungkin kerana negara dilanda gelombang ketiga COVID-19.
"Saya sangat berharap masyarakat semua patuh pada arahan dan perkembangan semasa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
"Amalkan pemakaian pelitup muka, sentiasa basuh tangan atau penggunaan 'hand sanitizer' dan kepada pengguna telefon pintar untuk muat turun aplikasi My Sejahtera," tambahnya ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Untuk rekod sehingga semalam daerah Setiu kekal dengan 8 kes dan tiada kes baru dilaporkan. Sehingga kini di negeri Terengganu mempunyai sebanyak 154 kes dan satu kematian.
11 Oct 20
213
Ziarah Kebajikan Medium Dekati Rakyat
BESUT, 11 Oktober - Aktiviti ziarah kebajikan dengan mengunjungi dan memberi sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan berupaya menjadi medium untuk mendekati rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, disebabkan itu aktiviti ziarah tetap menjadi rutin mingguan kepada Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kota Putera dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) walaupun dalam norma baharu.
“Tiap-tiap minggu, kita akan pergi ke satu kampung dimana kita akan menziarahi pesakit-pesakit yang memang sakit uzur, warga emas, sakit ditimpa bencana atau lain-lain dengan mematuhi SOP untuk mengekang penularan COVID-19.
“Selalunya kita ambil lima atau enam buah rumah sehari melalui nama yang diberikan oleh ketua kampung.
“Sekiranya kita dapati ada rumah yang terlalu uzur dalam lawatan tersebut juga, kita akan usahakan untuk membantu,” ujarnya kepada pemberita.
Katanya, kerja-kerja turun padang menyantuni masyarakat sampai ke akar umbi amat penting bagi mengetahui sendiri masalah mereka yang sudah lama ditanggung tetapi tiada penyelesaianya.
11 Oct 20
257