lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Mak Cik Maimun Sebak Kumpulan EPIC Hulur Bantuan
Mak Cik Maimun Sebak Kumpulan EPIC Hulur Bantuan
KUALA NERUS, 14 Oktober – Seorang Ibu Tunggal di Kampung Kubur Timah, Maimun Yunus tidak dapat menahan sebak apabila Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad menyampaikan bantuan keperluan asas beserta wang tunai kepada keluarganya. Maimun, 61, berkata setelah kehilangan suami akibat kanser paru-paru pada tahun lepas, ditambah lagi dengan kehilangan kakinya akibat kencing manis, ujian itu menyukarkan dirinya mencari nafkah buat keluarga. “Nak bergerak pun susah, anak-anak kena dukung naik motosikal, duit untuk baiki kereta pun tidak mampu. Keluarga kami bergantung kepada pekerjaan anak dan bantuan-bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kubur Timah. “Mak cik nak ucapkan banyak-banyak terima kasih kepada kumpulan EPIC, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, MPKK Kampung Kubur Timah dan ramai lagi. Dengan bantuan sebegini, boleh mak cik buat makan untuk anak-anak dan cucu-cucu yang ramai,” katanya. Dia berkata demikian ketika ditemubual pemberita di rumahnya hari ini dalam program EPIC Cakna dan Prihatin 2020 di sini hari ini. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Saabi Wahab berkata, program sesi kelima tersebut bertujuan untuk membantu dan mengurangkan beban golongan yang kurang berkemampuan. “Untuk hari ini, pihak kami telah menyampaikan bantuan katil hospital tiga fungsi kepada seorang penghidap diabetes di Tok Jembal diikuti bantuan keperluan asas serta wang sagu hati kepada Puan Maimun dan keluarga. “Kami sentiasa mengambil berat tentang mereka yang kurang bernasib baik di dalam negeri. Program dalam masa terdekat akan melibatkan 3 hingga 4 kawasan, seperti di Ajil pada pagi esok tetapi ditangguhkan atas sebab pandemik COVID-19,” ujarnya. Dalam pada itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman bersama pihak MPKK turut datang melawat dan mengambil cakna tentang keadaan keluarga Maimun. “Pihak MPKK dan DUN Batu Rakit menganggap mereka seperti keluarga angkat kerana sering melawat dan memberi bantuan keperluan harian dan dapur pada tiap-tiap musim,” katanya.
14 Oct 20
1268
Gajah Air Putih Dapat Perhatian Ahli Parlimen Kemaman
Gajah Air Putih Dapat Perhatian Ahli Parlimen Kemaman
KEMAMAN, 14 OKTOBER - Gajah di Air Putih mendapat perhatian Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid dalam pertemuan bersama Pegawai Perhilitan Negeri Terengganu diwakili Timbalan Pengarah, Shaary Awang Besar. Pertemuan diadakan di Pejabat Ahli Parlimen Kemaman pagi ini membincangkan tindakan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu gajah di Air Putih. Pada Khamis lepas sekumpulan gajah liar masuk ke kawasan tanaman sawit penduduk kampung dan memusnahkan kesemua anak pokok di ladang sawit milik penduduk kampung. Di Kemaman kumpulan gajah liar terbahagi kepada 3 kumpulan dan telah dibagi ‘ID’ oleh Pejabat Perhilitan Negeri iaitu ‘ID’ Hutan Simpanan Cherul, ‘ID’ Bandi dan ‘ID’ Tebak kesemua gajah anggaran 60 ekor atau lebih bercakap Timbalan Pengarah dalam pertemuan bersama Ahli Parlimen Kemaman. Ujarnya lagi aduan gajah untuk di Terengganu, Kemaman adalah daerah terbanyak aduan gajah liar yang meroskkan tanaman. Ini berikutan kemerosotan hutan simpanan atau tempat tinggal habitat ini telah diganggu. Kamarulzaman Mat Seri menunjukkan lokasi hidupan gajah di Kemaman Berikutan pertemuan ini, Che Alias Hamid akan membawa persolan ini di parlimen yang akan mula  bersidang pada 2 November dan akan mengaturkan pertemuan antara jabatan perhilitan dengan penduduk secepat mungkin bagi mendapat kerjasama yang baik. Pihak perhilitan negeri juga telah mengadakan operasi bermula ahad dan berakhir esok  dan sehingga kini belum dapat menjejaki haiwan tersebut. Dari masa kesemasa kerjasama antara penduduk kampung dan pihak jabatan adalah perlu bagi meyelesaikan masalah ini.  “Tangkapan terakhir yang telah dibuat oleh pihak jabatan sekitar Ogos  2018 dan Oktober  2020 isu gajah ini timbul kembali”, ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut bersama dalam pertemuan pagi ini. Kerajaan Negeri Terengganu adalah salah satu negeri yang telah menubuhkan tabung amanah perhilitan bagi membantu Jabatan Perhilitan Terengganu beroperasi di Negeri Terengganu mengikut aduan-aduan yang telah dibuat. Turut bersama dalam pertemuan ini bagi mencari jalan penyelesaian Ketua Perhilitan Daerah Kemaman, Kamrulzaman Mat Seri dan Penyelia Pusat Khidmat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam.
14 Oct 20
634
PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman
PINTAR Catat 4,080 Pengguna Bulanan, Sentiasa Ditambah Baik - Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober - Kerajaan negeri sentiasa menambah baik dan mengesyorkan masyarakat agar memanfaatkan kemudahan akses internet dan perkhidmatan sampingan di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) yang beroperasi di seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, sehingga Julai 2020, 38 pusat sehenti komuniti tersebut telah menerima jumlah pengguna seramai 16,323 orang. “Jumlah dan sambutan pengguna amat baik sekali di mana purata bulanan adalah seramai 4,080 orang, kecuali dalam tempoh penutupan sementara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac sehingga 1 Julai lalu. “Di samping kemudahan internet, PINTAR turut menyediakan perkhidmatan ‘PINTAR Pay’, Ejen Agro Bank serta servis pembayaran bil, tambah nilai kad prabayar dan lain-lain lagi. “Bagi memastikan kualiti prasarana dan perkhidmatan berjalan lancar, pihak kerajaan telah meluluskan bajet kira-kira RM700,000 untuk penyelenggaran prasarana seperti komputer yang rosak di sesetengah pusat PINTAR. Kita turut merancang pembaharuan lain seperti penambahbaikan papan tanda PINTAR. Keperluan penambahbaikan sentiasa akan diteliti dari semasa ke semasa,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, petang semalam. Tambahan lagi, beliau berkata, beberapa PINTAR yang dahulunya mempunyai lokasi kurang strategik dan pengunjung akan dikaji untuk penambahbaikan juga. “Contohnya, sebuah pusat bersebelahan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai adalah kurang kondusif dan sempit dan sekarang dalam proses pemindahan ke lokasi lebih sesuai di kawasan Pekan Chukai,” ujarnya lagi. Untuk rekod, Pengoperasian PINTAR bermula dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
14 Oct 20
310
PKPM Bantu Kontak Rapat Mangsa COVID-19
PKPM Bantu Kontak Rapat Mangsa COVID-19
MARANG, 13 Oktober - Pusat Khidmat Parlimen Marang (PKPM) mengambil inisiatif membantu kontak rapat mangsa COVID-19 yang sedang menjalani perintah kuarantin di dua lokasi berasingan di daerah ini. Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, bantuan wang tunai yang diagihkan melalui Pejabat Daerah Marang itu sedikit sebanyak dapat membantu pihak itu membeli pelbagai barangan keperluan. “Antaranya makanan, barangan kelengkapan diri, naskah al-Quran dan sebagainya,” katanya kepada pemberita. Sementara itu, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata pihaknya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Parlimen Marang yang turut bersama-sama membantu. Katanya, pendekatan itu pastinya dapat mengurangkan beban pihak lain untuk membeli pelbagai keperluan diri bagi kontak rapat mangsa COVID-19. “Setiap penempatan iaitu di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan dan Akademi Bomba Dan Penyelamat Malaysia, Wakaf Tapai mempunyai bilangan kontak rapat yang agak ramai. “Keadaan itu pastinya memerlukan perbelanjaan yang agak besar, terutama bekalan makanan dan barangan keperluan diri,” katanya. Berdasarkan rekod, setakat ini seramai 162 orang kontak-kontak COVID-19 yang sedang dikuarantin. Kebanyakan mereka adalah daripada warganegara Malaysia yang bukan dari daerah Marang.    
14 Oct 20
325
126 Peserta Undi Lot RTB Felcra Darat Datok C Terengganu
126 Peserta Undi Lot RTB Felcra Darat Datok C Terengganu
KEMAMAN, 14 Oktober - Seramai 126 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Pertanian Kelapa Sawit Felcra Darat Datok C hadir dalam majlis pengundian lot tapak tanah tersebut. Tanah pertanian ini dikendalikan sepenuhnya oleh FELCRA BERHAD dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dalam membantu rakyat menjana pendapatan. Hazri Jusoh sedang berucap Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal Ustaz Hazri Jusoh yang merasmikan majlis tersebut menegaskan agar mengsyukuri nikmat dan anugerah yang dikurniakan oleh Allah ini dan jangan mengkufurinya. "Nabi Muhammad S.A.W ada menyebut, wahai umatku aku tidak bimbang kesusahan dan kefakiran keatas umatku, tapi yang aku bimbang adalah bilamana kamu diuji dengan kemenangan, diuji dengan kebendaan, diuji dengan kesenangan. Maka kamu akan berebut, kamu akan berbalah sesama kamu dan kamu akan musnah sebagaimana umat sebelum kamu," ucapnya. Pegawai Pentadbir Tanah Kemaman Muhammad A. Rahman yang turut berucap menerangkan tentang undang-undang tanah negeri dan menasihatkan agar dijaga sebaiknya tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini. "Tanah ini adalah satu eset yang bernilai bagi kita, kerana tanah ini juga adik beradik berpecahbelah. Oleh itu hargailah ia dan jagalah sebaiknya," katanya. "Selagi tanah tersebut tidak didaftarkan diatas nama kita didalam seksyen 78 3, maka ianya masih bukan milik kita walaupun premium telah dikeluarkan," ucapnya lagi. Pengurus Besar Felcra Berhad Wilayah Timur, Zulkifli Sidek yang juga turut berucap menyatakan pihaknya akan membayar dividen sebanyak tiga kali dalam setahun. "Pihak Felcra akan membayar dividen ke dalam akaun tuan puan sebanyak tiga kali setahun iaitu pada awal persekolahan, sebelum Aidil Fitri dan pada akhir tahun," terangnya. Majlis tersebut diadakan di Dewan Badminton Pejabat Daerah Kemaman kelmarin dalam suasana kepatuhan kepada Standard Operating Procedure (SOP) Covid 19 yang ditetapkan oleh kerajaan. Peserta RTB tersebut masing-masing menandatangani perjanjian dengan FELCRA BERHAD diakhir majlis itu.
13 Oct 20
1245
Sasar 300 Sertai Program Derma Darah
Sasar 300 Sertai Program Derma Darah
DUNGUN, 14 Oktober - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menyasarkan seramai 300 orang yang terdiri daripada kakitangan dan pelajarnya menyertai program derma darah yang diadakan selama dua hari, mulai semalam bertempat di Dewan Dagang universiti itu.  Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar(JHEP,) Yaswadi Mat Yasim berkata, program itu bertujuan membantu Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu yang sentiasa memerlukan bekalan darah secara berterusan. "Ini adalah acara rutin setiap semester yang dianjurkan JHEP dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan turut mendapat kerjasama sepenuhnya Unit Transfusi Darah, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. "Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pelajar dan kakitangan kita, inilah bukti menunjukkan warga PSMZA sangat prihatin," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui semasa meninjau perjalanan program tersebut, semalam. Katanya, dengan adanya program tersebut juga ianya memudahkan warga PSMZA untuk menderma darah kerana tidak perlu ke hospital.
13 Oct 20
312
Jalan Utama Ke Kampung Pinang Merah Dinaiktaraf
Jalan Utama Ke Kampung Pinang Merah Dinaiktaraf
DUNGUN, 14 Oktober - Jalan Mempelam yang menghubungkan jalan besar (Jalan Persekutuan) ke Kampung Pinang Merah selesai diturap. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman berkata, jalan itu akhirnya menjadi laluan utama penduduk sekitar setelah  dinaiktaraf.  "Pada asalnya jalan itu hanyalah berpasir tanpa batu kasaran dan tar, kerap kali dilalui lori pengusaha pasir.  "Alhamdulillah, semalam jalan itu siap diturap dan mula digunapakai oleh masyarakat setempat," katanya.   Menurut beliau, jalan utama ini menghubungkan ke Kampung Tebing Tembah, kawasan projek Jabatan Pertanian, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Baru Pinang Merah Sejahtera dan juga ke kawasan penempatan asal Kampung Pinang Merah. Mustaffa berharap agar penduduk kampung memanfaatkan jalan ini sebaiknya.  "Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ahli Parlimen Dungun, Pejabat Daerah Dungun serta seluruh agensi yang terlibat dalam meluluskan projek bagi menaiktaraf Jalan Mempelam ini," katanya. Sementara itu, salah seorang penduduk di situ, Kamal Asri meluahkan rasa syukur kepada Allah dan berterima kasih kepada MPKK setempat.  "Alhamdulillah, kerana ini laluan utama saya setiap hari dan hari ini telah dinaiktaraf dengan berturap tar," ujarnya. 
13 Oct 20
2679
Warga Emas Terharu Terima Sumbangan Katil Wakaf
Warga Emas Terharu Terima Sumbangan Katil Wakaf
DUNGUN, 13 Oktober - Seorang warga emas, Fatimah Abd Rahman, 61, terharu dengan sumbangan katil wakaf yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Fatimah yang menetap di Kampung Sura Tengah, di sini berkata, bantuan itu dapat meringankan bebannya selepas tidak mampu bergerak berikutan menghidapi sakit tulang belakang.  “Alhamdulilah, saya bersyukur, dengan adanya katil ini, ia sedikit sebanyak memudahkan saya dan keluarga untuk melakukan aktiviti harian,” katanya.  Sementara itu, Wan Hapandi memaklumkan, katil tersebut sentiasa bertukar penerima kerana ia menggunakan konsep wakaf.  “Sumbangan katil wakaf ini bertujuan memastikan pesakit selesa dan mudah diuruskan oleh anggota keluarga masing-masing. "Semoga ianya memberi manfaat kepada pesakit dan dapat membantu memudahkan urusan harian mereka,” ujarnya kepada pemberita. Katanya, melalui konsep katil wakaf ini, orang ramai boleh menyumbang dan katil ini akan diserahkan kepada pesakit yang memerlukan. 
13 Oct 20
392
Gotong Royong Pelihara Peninggalan 'Orang Hanyut Vietnam'
Gotong Royong Pelihara Peninggalan 'Orang Hanyut Vietnam'
KUALA NERUS, 13 Oktober - Lebih 100 peserta menjayakan program gotong-royong bagi membersihkan Pulau Bidong dan memelihara khazanah peninggalan Orang Hanyut Vietnam (OHV). Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, terdapat khazanah dan peninggalan berharga yang perlu dijaga selain di sana kerana ia juga mampu menjadi tarikan kepada pengunjung. Katanya, Muzium Negeri diberi tanggungjawab mengawasi dan menjaga warisan bersejarah di pulau itu yang pernah menjadi penempatan pelarian Vietnam pada suata masa dahulu. "Kesedaran ini penting terutama bagi pelancong, mereka bukan sahaja berpeluang melihat pelbagai tinggalan rakyat Vietnam, malah boleh melakukan aktiviti selam untuk melihat kehidupan dalam laut yang terdapat di pulau itu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat Pusat Khidmat (DUN) Seberang Takir di sini kelmarin. Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah memaklumkan program itu melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) dan Pejabat Penyelaras DUN Seberang Takir dan Pejabat Penyelaras (DUN) Batu Rakit. “Khazanah peninggalan Vietnam dan beberapa destinasi orang hanyut Vietnam patut dipelihara untuk generasi akan datang dan wajar dijadikan sebahagian pusat pelancongan sejarah bagi negeri Terengganu,” jelasnya Beliau turut menghargai kerjasama  semua jabatan-jabatan dan pejabat penyelaras dalam menjayakan acara tersebut. "Semoga tujuan murni ini berterusan dari semasa ke semasa supaya khazanah ini dipelihara dan menyemarakkan sektor pelancongan," jelasnya.
13 Oct 20
338
Permai Hotel Lancar Kempen Kesedaran Kanser Payudara
Permai Hotel Lancar Kempen Kesedaran Kanser Payudara
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Permai Hotel Kuala Terengganu, baru-baru ini telah melancarkan Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara #PermaiPinktober 2020. Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang juga dikenali sebagai 'Pink October', bertujuan untuk meningkatkan perhatian dan sokongan bagi kesedaran awal penyakit tersebut. Pengurus Besarnya, Noralizan Abd Rahman berkata, sebagai tanda sokongan, Permai Hotel Kuala Terengganu mengadakan acara pemakaian ‘Pink Ribbon’ kepada pihak pengurusan dan warga kerja hotel. “Kami turut menggalakkan pihak pengurusan untuk memakai pakaian berwarna merah jambu pada setiap hari Rabu sepanjang bulan Oktober ini sebagai tanda sokongan terhadap Bulan Kempen Kesedaran Kanser Payudara 2020. "Penyakit itu adalah musuh nombor satu kepada wanita seluruh dunia. Tanpa wanita, pincanglah sebuah rumah tangga. Wanita perlu kuat melawan penyakit dengan membuat saringan awal,” ujarnya. Meskipun berdepan dengan wabak COVID-19 gelombang ketiga, Permai Hotel bagamaimanapun menyasarkan kempen ini kepada warga kerjanya dan tetamu hotel. Masih mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP), Majlis Pelancaran #PermaiPinktober dimeriahkan lagi dengan acara pembahagian kek cawan kepada para tetamu hotel. 
12 Oct 20
1009