lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

417 Keluarga Mangsa Banjir Terima RM500
417 Keluarga Mangsa Banjir Terima RM500
BESUT, 22 Oktober - Seramai 417 keluarga yang terjejas akibat banjir pada akhir tahun lalu mendapat bantuan wang tunai sebanyak RM500. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Ustaz Mat Daik Mohamad berkata, bantuan tersebut abgi meringankan sedikit bebanan mereka. "Alhamdulillah, semua mangsa yang dipindahkan pada tahun lepas mendapat bantuan, walaupun lambat tetapi dapat juga. "Pada musim ini kita diingatkan supaya berjaga- jaga, kerana hujan yang tidak menentu berkemungkinan akan berlakunya banjir. Kita semua perlulah berdoa agar segala bencana termasuk banjir ini tidak berlaku seperti tahun- tahun  yang sebelumnya," katanya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Mangsa Banjir di Dewan Sivik Kampung Pasir Akar, Hulu Besut semalam. Turut hadir bersama menyampaikan sumbangan itu,Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Wan Ab Rahim Wan Sulaiman. Bantuan ini adalah daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Angensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang kemudiannya disalurkan kepada Pejabat Daerah.    
22 Oct 20
417
TDM Berhad Jejak Kisah Kejayaan Anak Terengganu Pertama Tawan Puncak Everest
TDM Berhad Jejak Kisah Kejayaan Anak Terengganu Pertama Tawan Puncak Everest
KUALA TERENGGANU, 27 Oktober - Kumpulan TDM Berhad dengan jayanya meneruskan siri kesembilan program Menjulang Peradaban secara dalam talian melalui siaran langsung “Facebook Live” di halaman Facebook TDM Berhad baru-baru ini. Sesi Menjulang Perabadan yang bertajuk “Memoir Puncak Everest” ini dibawakan khas oleh Muhamad Rafi Kori dan pasangan beliau, Marina Ahmad yang berkongsi kisah kejayaan dan pengalaman mereka berdua menakluki puncak tertinggi di dunia iaitu puncak Gunung Everest. Muhamad Rafi merupakan anak kelahiran Terengganu pertama yang berjaya ke puncak Gunung Everest. Manakala pasangan beliau, Marina merupakan wanita Malaysia pertama yang berjaya menawan puncak Gunung Everest dan menempa nama dalam Malaysia Book of Records. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Zainal Abidin berkata, pihak syarikat berbesar hati dapat menjemput pasangan tersebut menjadi tetamu program Menjulang Peradaban untuk berkongsi kisah kejayaan mereka. “Topik Menjulang Peradaban siri kesembilan kali ini amat selari dengan objektif program untuk menjadikan peradaban bangsa sebagai medium meningkatkan prestasi dan gaya kerja dalam kalangan kakitangan TDM dan juga masyarakat. "Pihak TDM berbangga menjadi tuan rumah dan bersama menyelami kisah kejayaan mereka yang seharusnya mendapat pengiktirafan pelbagai pihak," katanya. Antara kisah yang dikongsikan oleh pasangan ini adalah tentang bagaimana minat pendakian bermula, persediaan penting yang merangkumi persediaan mental, fizikal dan spiritual diperlukan sebelum membuat pendakian, pengalaman getir sebelum tiba ke puncak Everest dan perasaan apabila tiba di sana. Tambahnya, TDM merasa bertanggungjawab untuk mengetengahkan kisah perjuangan ini agar masyarakat masa kini dapat mengambil tauladan dan semangat atas kejayaan yang telah dicapai oleh mereka berdua. "Perkongsian ini penting bagi memberi dorongan kepada anak muda Terengganu yang lain untuk terus berusaha untuk mencapai kejayaan yang mereka harapkan. "Kegigihan dan ketabahan pasangan itu membuahkan hasil apabila Ekspedisi Merdeka De Everest 2007 anjuran Persatuan Kembara Negara (PKN) telah membawa mereka ke puncak bersalji setinggi 8,848 meter itu pada 21 Mei 2007 sekali gus melakar nama sebagai barisan rakyat Malaysia yang berjaya menakluki Everest. “Kejayaan mereka ini tidak datang bergolek tanpa usaha gigih dan semangat untuk mencapai matlamat meskipun pelbagai pahit getir serta halangan perlu diharungi," jelasnya. Sebagai penghargaan di atas kejayaan dan perkongsian pasangan ini, pihak TDM turut menyampaikan cenderahati berupa sijil penghargaan dan wang tunai di akhir program tersebut. Bahagian kesihatan TDM, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) juga turut menaja pakej-,pakej Pemeriksaan Kesihatan Eksekutif di Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH), salah satu hospital anak syarikat TDM di bawah pengelolaan KMI Healthcare. Untuk rekod ,Menjulang Peradaban adalah program bersiri bulanan ajuran TDM yang memberi fokus kepada tiga elemen iaitu sejarah, bahasa dan budaya. Program itu kebiasaanya bertempat di Kuala Terengganu Specialist Hospital, akan tetapi disebabkan oleh keadaan pandemik COVID-19 yang begitu membimbangkan, program itu dijalankan di atas talian melalui Facebook Live di halaman Facebook TDM Berhad.
22 Oct 20
885
MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan
MBKT Cantas Pokok Rhu Ancam Keselamatan
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah mengambil inisiatif memotong dahan-dahan pokok rhu di bahu Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai yang tinggi dan membahayakan orang awam. Penolong Pegawai Pertanian, Jabatan Landskap MBKT, Hasrol Ferdaus Mahmod yang menyelia kerja tersebut memaklumkan, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan selama tiga hari berakhir hari ini dan melibatkan seramai 40 orang petugas dari pelbagai jabatan di MBKT. “Kami menerima aduan daripada orang ramai berkenaan pokok rhu ini dan beberapa hari lalu, kami telah mulakan kerja-kerja mencantas dahan pokok bagi memastikan ia tidak membahayakan pengguna jalan raya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini. Operasi tersebut dilaksanakan secara berperingkat berikutan terjadi banyak kejadian dahan patah dan pokok tumbang yang membabitkan pengguna laluan itu. Baru-baru ini, sebuah kereta telah terlibat dalam kemalangan di Jalan Sultan Mahmud Kuala Ibai akibat dihempap sebatang pokok rhu yang tumbang ketika ribut melanda kawasan tersebut. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi turut memuat naik satu hantaran dalam laman Facebooknya merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MBKT atas tindakan tersebut.
22 Oct 20
789
72 Penduduk Terima Cermin Mata Percuma
72 Penduduk Terima Cermin Mata Percuma
BESUT, 25 Oktober- Seramai 72 orang penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima sumbangan cermin mata secara percuma yang diadakan di Dewan Sivik kampung baharu, baru-baru ini. Sumbangan ini disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Pusat Khidmat DUN bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.  Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh berkata bantuan ini bagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan kerana kos membuat cermin mata agak mahal. “Pada tahun lepas kita sudah menyampaikan bantuan cermin mata kepada 36 orang, alhamdulillah pada tahun ini kita tambah kepada 72 orang.  “In shaa Allah kita bersama pihak JKM akan terus membantu rakyat yang memerlukan”, katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman. 
22 Oct 20
181
Pondok Berteduh Untuk Penduduk
Pondok Berteduh Untuk Penduduk
MARANG, 23 Oktober - Pucut dicita ulam mendatang, itulah perumpamaan yang dapat dikatakan kepada penduduk Kampung Mak Kemas, Bukit Payong apabila mendapat sumbangan berupa pondoh berteduh daripada Mohd Nor Hamzah. Pondok yang diperbuat daripada kayu itu telah siap dibina dan diletakkan di tempat parking perkarangan masjid Kampung Mak Kemas. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong itu berkata, walaupun pondok berteduh ini hanya diperbuat daripada kayu tetapi ia cukup untuk menjadi tempat berteduh daripada panas dan hujan. "Pondok ini sudah cukup untuk mendapat perlindungan sementara ketika panas dan hujan, selain penduduk juga dapat berbual dan beramah mesra bersama masyarakat. "Ukiran yang terdapat pada pondok itu juga menunjukkan kesenian Islam dan kemajuan pada sejarah terdahulu," ucap beliau ketika membuat kunjungan ke pondok itu kelmarin.
22 Oct 20
327
Jambatan Runtuh Siap Dibina Baru
Jambatan Runtuh Siap Dibina Baru
MARANG, 22 Oktober - Kerisauan penduduk terhadap jambatan yang runtuh pada tahun lalu akibat banjir besar berakhir setelah kemudahan itu telah siap dibina baru sepenuhnya. Jambatan yang menghubungkan antarai Kampung Batu 9 dan Bukit Payong berkenaan menjadi laluan utama penduduk setempat untuk menyeberangi ke kampung terdekat terutama pasar Bukit Payong bagi membeli keperluan harian. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kemudahan tersebut merupakan satu kepentingan untuk rakyat melakukan kerja harian dengan lebih efisyen. "Mungkin ada sedikit kelewatan untuk disiapkan akibat permasalahan yang dihadapi tetapi sekarang sudah pun siap dan boleh digunakan dengan sebaiknya. "Berkat kesabaran penduduk atas ujian yang diterima tahun lalu, jambatan baru telah dibina dan jambatan ini, InsyaAllah akan lebih teguh dan selamat untuk digunakan," katanya ketika ditemui dalam tinjauan ke jambatan tersebut hari ini. Pada masa yang sama beliau juga memaklumkan terdapat sebuah lagi jambatan turut dibina bersebelahan jambatan itu dan dalam prosesnya sedang berjalan. "Bersebelahan jambatan ini juga terdapat sebuah lagi jambatan yang menghubungkan lalu yang sama masih dalam proses pembinaan untuk kemudahan penduduk setempat," tambah beliau.
22 Oct 20
1031
Rumah Terbakar Ketika Menjerang Air
Rumah Terbakar Ketika Menjerang Air
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober – Sebuah rumah di Lorong Hj. Da, Kg. Che Kundur dikatakan terbakar gara-gara pemiliknya terlupa untuk mematikan api di dapur gas ketika menjerang air. Mangsa, Tengku Inong Tengku Ismail, 66, memaklumkan ketika kejadian berlaku beliau bersama dua orang cucunya keluar ke kedai gunting rambut yang berhampiran. “Selepas masak air, saya bawa cucu saya ke kedai untuk gunting rambut. Apabila saya balik ke rumah, saya terkejut melihat api sudah marak,” katanya kepada pemberita. Sebanyak tiga buah keluarga terlibat dalam tragedi kebakaran ini dan membabitkan 17 orang mangsa kesemuanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihak bomba mendapat panggilan pada jam 6.04 petang dan tiba di lokasi kejadian pada 6.12 petang. "Kita mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dengan kebakaran. "Kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah musnah seratus peratus manakala sebuah lagi musnah hampir 30 peratus. Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
22 Oct 20
879
111 'Tok Bidan' Profesional, Program MamaCare Serampang Dua Mata
111 'Tok Bidan' Profesional, Program MamaCare Serampang Dua Mata
KUALA TERENGGANU, 22 Oktober - Perkhidmatan ‘MamaCare’ dan 'myPapaCare’ di Terengganu berpotensi sebagai serampang dua mata dalam menyediakan peluang latihan profesional bagi golongan wanita sasar dan menjana pendapatan sebagai ‘Tok Bidan’ profesional. Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, perkhidmatan MamaCare yang mengkhususkan kepada penjagaan ibu selepas bersalin, sehingga sekarang merekodkan seramai 111 orang ahli sedia berkhidmat dari seluruh daerah. “Dengan latihan yang dijalankan, golongan ibu tunggal dan golongan B40 dapat menyertai dan memperoleh satu cara untuk jana pendapatan sambil berkhidmat kepada wanita selepas bersalin dengan rawatan kesejahteraan. “Manakala myPapaCare diperkenalkan sebagai projek perintis di mana perkhidmatan tersebut memfokuskan terapi kesejahteraan buat golongan lelaki, terbuka juga latihan buat mereka daripada golongan B40 lelaki sahaja,” katanya ketika bersiaran di Studio TVDI, pagi semalam. Sementara itu, beliau berkata, LPPKN turut membangunkan modul pembangunan keluarga lain seperti ‘Smart Start’ yang memfokuskan kepada pasangan bakal berkahwin dalam memberi panduan tentang ilmu alam perkahwinan seperti kewangan, tanggungjawab, seksualiti dan sebagainya. “Selain itu, kepada pasangan yang telah berkahwin tetapi ‘hilang percikan’, modul ‘Smart Start Second Honeymoon’ telah dibangunkan untuk mengimarahkan kembali pasangan lama. “Program pengurusan kewangan keluarga ‘SMARTbelanja@LPPKN’ pula terbuka untuk semua yang berminat meningkatkan kemahiran pengurusan kewangan dalam keluarga. “Bagi mereka yang ingin mempelajari teknik mengimbangi keluarga dan kerjaya serta memperoleh pengetahuan dan kemahiran keibubapaan, boleh menyertai kursus imbangi keluarga dan kerjaya ‘Parenting@Work’. “Ketika waktu COVID-19, rancangan dan perkhidmatan yang disediakan telah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM)," ujarnya lagi. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan perkhidmatan dan program tersebut, boleh menghubungi talian 09-630 5212 ataupun berurusan di pejabat utama berhadapan Pusat Nagoya, Tingkat 1 & 2, Pusat Niaga Paya Keladi, Kuala Terengganu. Sebarang perkembangan terkini juga boleh mengikuti laman Facebook Lppkn Terengganu Kpwkm.
22 Oct 20
713
Sembilan Beranak Besyukur Terima Bekalan Air Bersih
Sembilan Beranak Besyukur Terima Bekalan Air Bersih
DUNGUN, 21 Oktober-"Keluhan kami berhubung kesukaran mendapatkan bekalan air bersih terus ke rumah mendapat perhatian segera Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beting," kata Mohd Nor Hadi Ishak, 36, yang menetap bersama isteri dan tujuh anaknya di kampung itu. Menurutnya, pihak MPKK Gong Beting bersama dengan Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka dan Syarikat Air Terengganu (SATU) telah mengambil inisiatif membina saliran paip air bersih secara bergotong-royong untuk menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu mereka sembilan beranak.  "Alhamdulillah, syukur kepada Allah dan terima kasih kepada Pusat khidmat Masyarakat ADUN Paka, SATU, MPKK Gong Beting dan penduduk kampung  yang turun mengerahkan tenaga bergotong-royong membina saliran air bersih ke rumah saya," ujarnya kepada pemberita. Sebelum ini, mereka sekeluarga terpaksa menggunakan air telaga sejauh 20 meter dari rumah untuk membersihkan diri dan membasuh pakaian. Saya, isteri dan tujuh anak kami yang berusia antara dua hingga 13 tahun terpaksa menggunakan air telaga mandi dan kegunaan lain, hari-hari saya mengangkat air dari telaga itu untuk dibawa balik ke rumah,” katanya. Mohd Nor Hadi berkata, telaga berkenaan akan keruh kekuningan jika airnya berkurangan.  “Air telaga itu saya tidak buat minum kerana risau akan keracunan. Saya akan menadah air tapis mesin di kedai runcit yang berdekatan untuk dibuat minum. "Alhamdulillah, selepas ini kami tidak lagi perlu menggunakan air telaga, terima kasih kepada semua yang membantu," ujarnya.  
21 Oct 20
1099
APM Kemaman Berwajah Baru
APM Kemaman Berwajah Baru
KEMAMAN, 22 Oktober - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kemaman kini berwajah baharu apabila berpindah secara rasmi ke pejabat yang baharu. Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kemaman yang dulunya beroperasi di Kuarters Pegawai Kerajaan, Jalan Batu 2 1/2 Air Putih telah berpindah di Lot 11546, Jalan Dato' (Belakang Majlis Perbandaran Kemaman). Pegawai Kehormat APM Terengganu, Hanafiah Mat bersyukur ke hadrat Ilahi di atas pembukaan premis APM itu. "Saya merasakan dengan adanya pejabat yang lebih selesa beserta dengan kemudahan yang telah diberikan, ianya akan menaikkan lagi semangat yang ada kepada warga APM Kemaman supaya memberikan perkhidmatan yang lebih hebat kepada warga Kemaman," Ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri. Hanafiah sebelum ini turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM40,000.00 kepada APM Kemaman bagi menjalankan dan melancarkan kerja-kerja penambahbaikan premis APM itu.  "Jagalah kemudahan yang ada agar ianya dapat dimanfaatkan bersama bagi kepentingan masyarakat setempat di daerah Kemaman ini," katanya ketika berucap merasmikan Pejabat APM Kemaman itu, kelmarin. Tegas Hanafiah, sudah menjadi tanggungjawab baginya untuk sama-sama membantu mana-mana agensi termasuk APM di dalam menyediakan kemudahan-kemudahan yang sepatutnya mengikut kemampuan.  Katanya lagi, APM adalah salah satu agensi penting dalam pengurusan bencana dan kecemasan serta perkhidmatan penyelamat pantai. Mereka telah menjadi Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri dan Daerah sejak lima tahun (2015) yang lalu. "APM semakin matang dan cekap dalam kerja-kerja mengurus bencana terutama banjir. Malah dengan tercetusnya wabak COVID-19, APM memegang peranan lebih penting. Syabas APM!" Turut hadir dalam majlis tersebut iaitu Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Norhafifi Ismail, Pegawai Daerah Kemaman, Muhamad A. Rahman @ Othman, Pengarah APM Terengganu, Che Adam A Rahman, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kemaman, Jusman Ibrahim, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan, Pengarah CEO, Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS), Professor Madya Dr Mohd Zaki Hamzah dan Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Kolej Universiti TATI, Syahrul Alim Baharuddin.
21 Oct 20
1039