Artikel "Komuniti" Terkini
Jalin Hubungan Akrab Demi Kebaikan Bersama
DUNGUN, 26 Oktober- Kakitangan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Dungun disaran menjalin hubungan akrab dengan agensi kerajaan di daerah tersebut khususnya bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat sahih mengenai sesuatu perkara sebelum disebarkan kepada umum.
Ketua Koordinatornya, Abd. Hamid Ismail berkata, pegawai media terutamanya perlu bijak menggunakan kepakaran dan keupayaan pihak kerajaan bagi memastikan maklumat disampaikan secara lebih berkesan.
Menurut beliau, disebabkan faktor tersebut pihaknya mengambil pendekatan untuk menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan menerusi kunjungan hormat yang sentiasa diadakan dari semasa ke semasa.
"Sebagai contoh, kami telah membuat pertemuan dengan Jabatan Penerangan Daerah Dungun yang bersedia untuk berkolaborasi dengan pihak kita di dalam menganjurkan program - program yang akan diadakan di daerah ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan pertemuan dengan Pegawai Media Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Dungun di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Dungun, di sini baru-baru ini.
Majlis itu juga turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli yang telah menyampaikan pesanan dan harapan beliau agar pegawai - pegawai media yang terlibat meningkatkan lagi mutu tugasan mereka.
Menurut Abd. Hamid, UPDI Daerah Dungun yang mula beroperasi pada 1 September lalu adalah salah satu agensi yang diwujudkan di setiap daerah di Negeri Terengganu bertujuan untuk memperkasakan lagi sebaran maklumat kepada rakyat.
"Kita akan mengadakan pelbagai aktiviti penerangan agar setiap dasar kerajaan negeri demi kebaikan rakyat sampai kepada setiap lapisan masyarakat," katanya.
25 Oct 20
279
ADUN Kota Putera Sedia Bot Bantu Nelayan Musim Tengkujuh
BESUT, 26 Oktober - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyediakan bot bersaiz 32 kaki dengan enjin 300 kuasa kuda bagi membantu nelayan menjelang musim tengkujuh.
Katanya, sebelum ini beliau mendapat aduan daripada para nelayan yang tidak dapat mencari rezeki kerana jentera (bot) mereka kecil dan tidak mampu beroperasi apabila musim tengkujuh tiba.
“Kalau di Terengganu, musim tengkujuh bermula dari bulan November hingga Februari.
“Pada waktu itu, para nelayan terutama nelayan di laut dan pesisir pantai tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu.
"Lantaran itu, satu inisiatif daripada Koperasi Kota Putera adalah membeli sebuah bot untuk diguna pakai secara berjadual kepada nelayan yang berminat sahaja. Kelebihan kepada nelayan kerana bot itu boleh digunakan secara percuma sahaja," ujarnya dalam pertemuan bersama nelayan di Kampung Benting Lintang.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kampung Benting Lintang yang lebih dikenali sebagai "Pak Dor" ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada ADUN Kota Putera di atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan.
“Bantuan sebegini amat bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh empat bulan itu,” ujarnya.
25 Oct 20
1809
Warga Emas Terharu Dapat Rumah Baru
BESUT, 25 Oktober - "Pak cik tidak perlu lagi menumpang di rumah saudara kerana menerima kediaman baru hasil sumbangan kerajaan negeri," kata warga emas, Sulaiman bakar,62, yang kehilangan rumah akibat kebakaran tahun lalu.
Sulaiman berkata, dia begitu terharu dan tidak pernah menduga berpeluang menerima bantuan rumah untuk dia bersama ahli keluarga yang lain berteduh.
"Alhamdulliah, impian untuk memiliki rumah kembali telah tercapai walaupun sedih mengenangkan rumah asal yang habis musnah dalam kebakaran itu.
“Pak cik sangat bersyukur ke hadrat Ilahi atas kurniaan rumah ini dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam membantu merealisasikannya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, Pejabat Daerah Besut serta Majlis Pengurusan Komuniti kampung (MPKK),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah tersebut.
Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini berkata, pembinaan rumah tersebut mengalami sedikit kelewatan disebabkan pandemik COVID-19.
"Ia mengambil masa hampir 5 bulan untuk disiapkan, sepatutnya siap lebih awal tetapi apabila berdepan dengan COVID-19, pembinaan rumah tersebut terpaksa ditangguhkan dan akhirnya ia dapat disiapkan pada awal bulan 10 dengan sempurna," ujarnya.
Katanya, pembinaan rumah tersebut adalah inisiatif daripada Tabung Darul Iman dibawah peruntukan bencana.
"Semoga dengan penyerahan kunci rumah ini dapat membantu mereka mendiami rumah ini dengan lebih selesa disamping meringankan beban menyara anak-anaknya. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan seluruh tenaga kerja dalam pembinaan rumah ini," ujarnya.
25 Oct 20
2004
Sukan Jadi Ejen Perpaduan Masyarakat
HULU TERENGGANU, 25 Oktober - Sukan bukan sahaja untuk dilihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sukan perlu dimartabatkan oleh semua pihak sekali gus merapatkan hubungan sesama kaum dan dapat menghapuskan tembok politik perkauman dan agama.
"Sukan bukan sahaja untuk kita lihat dan nikmati, tetapi jauh lebih besar kerana sukan adalah ejen perpaduan yang akan menyatukan kita dan rakyat perlu bangga dengan ini. Melalui program sukan ini juga, ia akan dapat menjadi platform kepada penduduk untuk berkumpul dan bersatu dalam menjayakan program yang dirancang.
“Sukan jelas menjadi wadah yang dapat mengintegrasikan masyarakat di daerah ini. Apabila bersukan atau beriadah, tiada siapa pun yang akan memikirkan mengenai politik atau warna kulit, sebaliknya mereka hanya memikirkan cara terbaik untuk bermain dalam satu kumpulan.
“Program sukan seperti karnival sukan perlu diteruskan kerana ini merupakan kunci utama untuk memenangi hati masyarakat. Sukan juga merupakan platform penting dalam menggalakkan penyertaan belia dalam kemasyarakatan dan yang lebih penting dapat mengeratkan lagi silaturahim di antara semua lapisan masyarakat,"katanya ketika merasmikan penutupan Explorace anjuran MBFM Felda mengkawang, di Dataran Felda Mengkawang semalam.
Tambah beliau lagi, generasi muda dan belia digesa supaya berusaha mengelak diri daripada terlibat dengan sebarang gejala tidak sihat kerana tiada sebarang kebaikan yang bakal mereka perolehi, tetapi apa yang nyata ialah mereka menghancurkan masa depan diri dan memusnahkan harapan bangsa dan negara.
“Penglibatan golongan belia dalam aktiviti bersukan dapat mengelakkan mereka terlibat dari sebarang gejala yang tidak sihat.Menerusi aktiviti sebegini juga kita dapat berkumpul dan beramah mesra antara satu sama lain.
“Perbezaan politik dan fahaman dapat dikurangkan apabila masyarakat sesuatu tempat itu menyertai aktiviti aktiviti begini dan sekaligus akan memberi kesan yang baik dalam memupuk kehidupan yang lebih baik dalam masyarakat,”ujar Maliaman.
24 Oct 20
1577
Kesan Awal, Nyawa Anda Selamat
Foto : Angah Hanis
KUALA TERENGGANU, 24 Oktober – Kaum wanita perlu tahu bahawa kanser payudara yang dikesan pada tahap awal, mempunyai sinar harapan yang cerah untuk pulih.
Ketua Kluster Perubatan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (KHAIRUNNISA’), Dr Farhaana Husainy Hasbullah berkata kanser payudara adalah kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita.
Menurut beliau lagi, kanser nombor satu tertinggi ini menyumbang kepada 17.7 peratus daripada keseluruhan kanser di Malaysia dan 32.1 peratus daripada keseluruhan kanser yang dialami oleh wanita.
Namun katanya, 43 peratus daripada keseluruhan kanser payudara di Malaysia dikesan pada tahap lewat iaitu tahap tiga dan empat.
“Kanser payudara menjadi penyebab kematian keempat tertinggi dalam kalangan wanita. Pada tahun 2018, terdapat 7598 kes baharu kanser payudara di Malaysia dan 40 peratus dikesan pada tahap yang teruk iaitu tiga dan empat.
“Saya ingin tegaskan bahawa pengesanan awal kanser payudara dan dengan rawatan awal, peluang pulih (5 year survival rate) adalah lebih dari 90 peratus jika dikesan di tahap satu dan dua, malah menghampiri 100 peratus bagi tahap satu.
“Pengesanan awal ialah melalui ujian mammogram dan ini adalah cara yang paling efisien untuk mengesan kanser bagi wanita berumur lebih dari 40 tahun. Wanita juga digalakkan melakukan pemeriksaan sendiri payudara serta pemeriksaan payudara oleh kakitangan kesihatan terlatih,"ujarnya.
Dr Farhaana berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Beliau menambah, bahawa tanda paling kerap bagi kanser payudara ialah benjolan manakala tanda-tanda lain yang boleh dikesan ialah perubahan pada saiz atau bentuk payudara, lelehan dari puting payudara atau perubahan warna dan rupa kulit payudara.
Namun begitu, Dr Farhaana mengingatkan bahawa kadangkala tidak ada sebarang tanda sehinggalah kanser itu telah merebak.
Justeru itu katanya, mammogram adalah wajib dilakukan walaupun tiada simptom, khususnya bagi mereka yang berisiko tinggi.
“Sekiranya terdapat tanda-tanda seperti yang disebutkan, perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut, hal ini demikian kerana, lapan daripada 10 benjolan yang dikesan adalah bukan kanser.
“Setiap wanita perlu mengenali payudaranya dengan terperinci dan perlu melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan untuk mengesan sebarang perubahan,” jelasnya.
24 Oct 20
620
Kerajaan Tidak Pernah Berhenti Bantu Rakyat
DUNGUN, 25 Oktober - Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak pernah berhenti membantu rakyat melalui pelbagai sektor.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, dalam bidang pertanian contohnya, kerajaan menyediakan Tabung Bencana Pertanian khusus untuk membantu para petani, nelayan dan penternak apabila ditimpa musibah.
"Mudah kita sebut, kita tidak pernah berhenti cakna kepada masyarakat tani, nelayan dan penternak sepanjang tahun dan tidak bermusim," ujarnya.
Beliau ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Penyerahan Alat Menangkap Ikan (Kawat Bubu) Kepada Nelayan Negeri Terengganu di Pengkalan Bot, Kampung Balik Bukit, di sini.
Seramai lapan orang nelayan bubu di Dungun telah menerima sebanyak dua gulung kawat bubu setiap seorang di dalam majlis yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan Ketua Daerah Perikanan Dungun, Maidatul Suhana Mohd.
Menurut Azman lagi, pihaknya sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan di musim tengkujuh yang bakal tiba nanti.
"Kita sememangnya 'reserve' daripada Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu untuk persiapan musim tengkujuh yang kebiasaannya sektor pertanian, perikanan, akuakultur, penternakan menghadapi banyak kerugian disebabkan perubahan cuaca.
" InsyaAllah disamping bantuan - bantuan kerajaan negeri, kita juga berkabolarasi dengan kerajaan Persekutuan untuk menyantuni rakyat," jelasnya lagi.
23 Oct 20
333
Tuan Faizah Bawa Pulang Baka Strawberi 'Rare'
MARANG, 23 Oktober - Galeri Madu Big Bee yang diusahakan Nor Ehsan Abd Rahman @ Draman, 42 dan dibantu anaknya Nor Alya Syamimi Nor Ehsan, 18, di kampung Jambu Bongkok mendapat perhatian Isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman baru-baru ini.
Menurut Tuan Faizah, beberapa baka tanaman strawberi yang unik dan tidak terdapat di Pusat Informasi Pertanian Bandar Kediaman Seri Setia mengundang beliau untuk hadir ke galeri terbabit.
"Di samping menambah koleksi tanaman dan jenis baka yang unik di Seri Setia, pelbagai ilmu dan maklumat berkaitan pertanian yang dikongsikan bersama boleh dimanfaatkan sebaik mungkin.
"Antara spesis yang dibawa pulang adalah jenis Snow Rabbit dan Kabarla," jelasnya selepas kunjungan tersebut.
Buah Strawberi spesis Japanese Sweet Charlie' (JSC) yang terdapat di Galeri Madu Big Bee
Sementara itu, Nor Ehsan berkata perniagaan itu ditubuhkan bermula 17 tahun lalu iaitu pada tahun 2003 ketika masih di bawah syarikat 'Four NJaya Trading'.
Kemudian katanya, pada 2008, beliau memutuskan untuk bertukar kepada Big Bee Honey Sdn Bhd dan mengusahakan penternakan lebah serta lebah kelulut.
"Di galeri ada lima jenis madu iaitu Madu Lebah Akasia, Madu Lebah Tualang (Manis), Madu Lebah Tualang (Pahit), Madu Kelulut Akasia, dan Madu Kelulut Hutan.
"Manakala pokok Strawberry yang pernah diusahakan pula sebanyak 27 spesis, antaranya adalah Japanese Sweet Charlie' (JSC), Shogun, Snow Rabbit, Sweet Charlie, Ruby Gem, Kabarla, Kamilla dan lain-lain.
"Pelanggan atau pelancong boleh mempelajari ilmu penternakan dan kehidupan lebah dan lebah kelulut. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk merasai sendiri pelbagai jenis madu.
"Mereka juga dapat mengetahui kaedah pertanian bandar dan pelbagai jenis tanaman lain seperti salah satunya ialah tanaman strawberi tanah rendah," tambahnya lagi.
Minat Nor Ehsan dalam bidang berkenaan sangat mendalam sehingga melayakkannya menjadi ikon pelancongan di negeri Terengganu.
Nor Ehsan juga dapat menjayakan konsep ladang kontrak dan dalam masa yang sama memudahkan transformasi perkongsian ilmu.
23 Oct 20
1110
Kawat Bubu RM100 Ribu Diagih, Bantu Nelayan Pantai
KUALA NERUS, 22 Oktober - Kerajaan Terengganu memperuntukkan dana sebanyak RM100,000 melalui Jabatan Perikanan Malaysia Terengganu untuk mengagihkan bantuan peralatan kepada nelayan di negeri tersebut, khususnya nelayan pantai bagi membantu peningkatan hasil tangakapan perikanan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, sebanyak 123 nelayan terdiri daripada golongan berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri menjadi penerima pertama program tersebut.
"Kita agihkan kawat bubu, pukat dan juga kit keselamatan. Pada musim tengkujuh, biasanya nelayan akan isi masa dengan jahit pukat buat bubu, jadi pemberian ini kena pada masanya dan walaupun tak banyak, tetapi membantu menyelesaikan beberapa perkara.
"Kita juga berharap kerajaan dapat memberikan peruntukan lebih besar pada tahun depan untuk memperbanyakkan lagi program bantuan semua sektor pertanian di mana, hasrat kita untuk memudahkan dari segi birokrasi dan sampai kepada kelompok sasar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Agihan Bubu Kepada Nelayan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Batu Rakit, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Perikanan Terengganu, Rusman Rusdy.
Jelas Dr. Azman, program bantuan itu merupakan peringkat ketiga bantuan kepada nelayan Terengganu.
"Program ini baru dilancarkan tahun ini. Semasa dua tahun pertama, kita kenal pasti masalah sebenar nelayan terutama nelayan pantai iaitu kurangnya sumber perikanan dan pencerobohan.
"Jadi, pada dua tahun pertama, Terengganu menjadi negeri paling aktif melabuhkan tukun dan unjam serta jadi satu-satunya negeri yang melaburkan dana untuk program ini. Manakala, tahun ini kita fokus beri bantuan, sesuai dengan susur galur permasalahan mereka," katanya.
Tambahnya lagi, nelayan-nelayan di negeri itu turut berdepan masalah perlesenan bagi mencari hasil perikanan di perairan Terengganu.
"Bagi isu perlesenan, kerajaan negeri telah menubuhkan pasukan petugas (task force) untuk kenal pasti jumlah dan kita telah angkat nama dan pemilik sampan belum berlesen di Terengganu dengan jumlah sekitar 800 buah sampan.
"Alhamdulillah, ia telah diluluskan, cuma tinggal urusan adminisasi serta dokumentasi dan kita jangkakan dalam masa terdekat nelayan-nelayan kita akan dapat lesen," jelasnya.
Sebanyak 123 penerima kawat bubu terdiri daripada 47 orang dari daerah Besut, Setiu (12 penerima), Marang (12), Dungun (8) dan Kemaman (26) dalam agihan secara terus, hari ini termasuk nelayan-nelayan di Kuala Terengganu iaitu seramai dua orang dan Kuala Nerus (16 penerima).
22 Oct 20
980
Penantian Satu Penyeksaan
KEMAMAN, 23 Oktober - "Penantian itu satu penyeksaan," itu antara luahan hati Abdul Rasid Abdullah, 50, setelah gembira menerima hak milik tanah dalam satu Majlis Penyerahan Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Berenjut dan Teluk Nyiur serta Borang 5A RTB di kawasan Kampung Fikri (Mukim Banggol) yang berlangsung di Dewan Badminton, Pejabat Daerah & Tanah Kemaman, baru-baru ini.
"Terima kasih diucapkan kepada kepimpinan kerajaan negeri serta Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman," ujarnya.
Beliau yang menanti selama hampir 20 tahun untuk memiliki tanah sendiri berakhir apabila menerima hak milik tanah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat.
"Saya sangat gembira kerana menanti sangat lama untuk memiliki tanah ini," katanya lagi ketika ditemui pemberita.
Apabila ditanya perancangannya setelah menerima hak milik tanah berkenaan, katanya, beliau akan membina sebuah rumah di atas tanah berkenaan.
"Modal untuk buat rumah memang dah lama ada, hanya menunggu tanah. Sekarang modal itu masih ada lagi. InsyaAllah, saya akan bina pagar dan seterusnya membina sebuah rumah," katanya yang menerima tanah RTB Berenjut seluas 607 meter persegi.
Dalam majlis tersebut seramai 68 orang menerima hak milik tanah bagi kawasan RTB Berenjut dan RTB Teluk Nyiur. Manakala 56 orang lagi menerima Borang 5A RTB bagi kawasan Kampung Fikri.
22 Oct 20
347
Penduduk Tarik Nafas Lega
MARANG, 22 Oktober - Setelah bertahun-tahun terpaksa melalui jalan rosak teruk akhirnya pengguna dan penduduk Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong di sini lega apabila jalan baharu siap untuk digunakan.
Sebelum ini, pengguna dan penduduk kampung berkenaan tiada pilihan dan terpaksa menempuh jalan berlubang besar dan rosak itu kerana ia merupakan laluan keluar terdekat yang menghubungkan dengan kawasan luar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya bersyukur kerana proses pembaikian jalan sejauh sekitar dua kilometer itu berjalan lancar dan orang ramai tidak perlu lagi menempuh jalan rosak setiap hari.
Menurutnya, tekanan dialami penduduk kampung berkurangan apabila laluan baharu lebih selesa itu mula dibuka.
"Jalan yang menghubungkan antara jalan utama ke perkampungan dan tanah lot itu telah boleh digunakan sepenuhnya dan bakal dinikmati oleh warga setempat dengan penuh selesa dan selamat.
"Pembinaan jalan dan penurapan ini adalah sebahagian daripada keperluan rakyat dan sememangnya kerja-kerja ini akan dapat dimanfaatkan oleh semua," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Mohd Nor berharap agar segala aktiviti harian masyarakat akan menjadi lebih teratur dengan adanya jalan baharu berkenaan.
"Bermula daripada awal lagi kerja ini semua dalam proses pembikinan dan sekarang rakyat semua boleh menggunakan jalan ini dengan sebaiknya," tambah beliau.
22 Oct 20
765