Artikel "Komuniti" Terkini
3.8 Tan Bantuan Makanan Dihantar Ke Pulau Redang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Sebanyak 3.8 tan bantuan beras dan barangan dapur dihantar kerajaan negeri ke pangkalan hadapan di Pulau Redang, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan itu adalah persediaan awal bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.
"Kita akan menghantar bantuan ini di semua pulau yang ada di Terengganu memandangkan operasi keluar masuk di pulau-pulau telah ditutup.
"Bantuan ini akan disimpan di pangkalan hadapan dan ianya akan diagihkan kepada semua penduduk di sana pada masa yang sesuai," ujarnya.
Kerajaan Negeri Terengganu melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu telah memulakan proses penghantaran bantuan kepada 152 pangkalan hadapan melibatkan seluruh negeri sejak minggu lalu.
Jelas Hanafiah, ia bagi memastikan setiap kawasan akan menerima bantuan jika terputus bekalan makanan dan sebagainya akibat bencana banjir.
"Kita mengharapkan tidak berlaku banjir besar pada tahun ini. Namun begitu, kerajaan negeri bersama agensi kerajaan yang terlibat sentiasa bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang boleh berlaku," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu.
Proses penghantaran bantuan hari ini turut mendapat kerjasama daripada APMM yang menyediakan pengangkutan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Turut hadir ketika tinjauan tersebut, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.
21 Oct 20
1278
Bekas Pramugari Kongsi Pengalaman Bawa Jemaah Haji
KUALA TERENGGANU, 21 Oktober- Bekas pramugari, Wan Najwa Baharom cukup bersyukur diberikan peluang untuk menjadi salah seorang anak kapal sebuah syarikat penerbangan yang membawa jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia ke Kota Mekah.
Ketika diminta berkongsi pengalamannya yang tidak lagi bertugas sebagai kru kabin syarikat penerbangan selepas kontraknya tidak disambung majikan disebabkan pandemik COVID-19, antara yang tidak dapat dilupakan anak jati Kampung Batas Baru, Kuala Terengganu itu adalah pengorbanan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu oleh jemaah haji dari benua Afrika yang cukup menyentuh hatinya.
“Pernah dengar ke nama tempat macam Maiduguri? Freetown Lungi? Addis Abba? Djamena atau Abuja?, kalau bawa jemaah haji dari tempat ni macam-macam akan kami lalui sepanjang penerbangan.
"Kebanyakan jemaah dari tempat tersebut hidup mereka sukar bukan bertuah seperti kita di bumi Malaysia.
“Sebelum berangkat ke tanah suci segala harta, rumah, tanah digadai dan dijual atas niat dan kesungguhan hendak menunaikan ibadat haji, dan sebaik sampai ditanah suci, ada yang hanya tidur di masjid dan bukannya hotel yang selesa," ujarnya ketika dihubungi wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Selain itu katanya, lapangan terbang di tempat-tempat berkenaan tidak sebagaimana negara maju yang dilengkapi sistem serta kemudahan yang lebih baik dan moden.
"Sangat menyentuh hati semasa melihat mereka menerima hidangan yang disediakan diatas kapal, mereka sangat berbudi pekerti malah hanya tunduk dan senyum kepada kami,” ujarnya.
Katanya, sepanjang enam tahun berkhidmat, pelbagai pengalaman pahit manis telah ditempuhinya di awan biru dan detik itu tidak akan sesekali dilupakan.
"Antara perkara yang paling tidak dapat dilupakan ketika menjadi kru penerbangan adalah sebaik tiba di kota suci Mekah. Bilamana jemaah ucap terima kasih bersama doa adalah detik yang sangat indah.
“Pada saya doa adalah hadiah yang paling berharga dari mereka, sebab mereka ini tetamu Allah. Saya percaya kebaikan yang saya terima sekarang pun ada kaitan dari doa mereka," kongsinya.
21 Oct 20
2553
Santai Bertemu Rakyat
DUNGUN, 21 Oktober- Rutin harian menemui rakyat secara santai menjadi pilihan kepada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Katanya, cara berkenaan menjadikan penduduk lebih selesa serta dapat merapatkan lagi hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat setempat..
"Dengan cara demikian menjadikan rakyat tidak segan untuk bertemu dengan kita bagi merujuk permasalahan yang mereka hadapi," ujarnya ketika dihubungi pemberita, semalam.
Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi juga sentiasa mengalu-alukan dan sentiasa bersedia untuk didatangi oleh rakyat mengadu pelbagai permasalahan yang mereka hadapi.
"Saya juga mempunyai kakitangan yang sentiasa bersedia untuk memberikan penerangan yang baik mengenai setiap apa jua masalah yang hendak dirujuk.
"Selain itu, sebarang permasalahan rakyat turut diperolehi melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) malah saya tidak membataskan pertemuan dengan melalui keadaan tertentu sahaja, malah turut menemui rakyat di kedai kopi atau mana-mana tempat yang menjadi tumpuan ramai, dan juga mengadakan ziarah bulanan bagi menyelami kehidupan setiap penduduk yang ditimpa nasib kurang baik agar tiada terlepas pandang bagi diberikan perhatian,"ujarnya.
21 Oct 20
199
Setiu Siap Siaga Hadapi Bencana Banjir
SETIU, 21 Oktober - Pelbagai persiapan awal dilakukan daerah ini bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, persediaan itu termasuk bekalan keperluan harian mencukupi bagi membantu seluruh rakyat dalam parlimen beliau.
"Sebagaimana kita tahu, Parlimen Setiu ini merupakan tempat 'hotspot' berlakunya banjir.
"Respon positif dari pihak kerajaan negeri ini amat melegakan saya dan rakyat," ujar semasa ditemubual media hari in ketikai hadir ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia di Pulau Kambing untuk meninjau barang keperluan harian yang akan dihantar ke Pulau Redang.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat
Dalam masa yang sama, beliau memohon agar seluruh rakyat Terengganu mendoakan Terengganu bebas daripada bencana alam.
"Solat hajat perlu dilaksanakan bagi memohon dari Allah agar kita tidak terkena bencana alam ini," tambah beliau.
21 Oct 20
308
36 Asnaf Diberi Bantuan Barangan Dapur
MARANG, 19 Oktober – Seramai 36 golongan asnaf di daerah ini menerima sumbangan berupa barangan dapur daripada Pejabat Head (Grid MaintenanceTimur) Bahagian Grid, Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Agihan berupa beras, susu, minyak, tepung, biskut, kicap dan sos itu pasti membantu meringankan beban golongan itu yang kebanyakannya terjejas pendapatan akibat penularan wabak Covid-19.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya menitikberatkan keperluan mereka, sekurang-kurang mampu menampung perbelajaan harian.
"Sewajarnya penerima bersyukur kerana terpilih sebagai penerima bantuan ini kerana diluar sana masih ramai lagi yang masih memerlukan sumbangan ini." Katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pembangunan Insan Dakwah Dan Penerangan Negeri berucap ketika merasmikan Program Penyerahan Bantuan di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang, Bukit Payong, semalam.
Turut serta dalam Program tersebut, Head (Grid Maintenance - Timur) Jabatan Grid Maintenance Bahagian Grid TNB, Mohamad Mohydin Mohamed Nor, Ketua Penolong Pegawai Daerah Marang, Ahmad Ridwan Abdul Rahman dan Penghulu Mukim Bukit Payung, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki
20 Oct 20
520
Ibu Tunggal Terkejut
KEMAMAN, 19 Oktober - Seorang ibu tunggal tidak menyangka permohonannya untuk mendapatkan sebuah peti sejuk beku daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menjadi kenyataan.
Fauziah Mamat, 52, berterima kasih kepada Hanafiah dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang memberi sumbangan tersebut kepadanya.
"Saya ada meminta sumbangan ini kepada isteri beliau (Hanafiah) yang datang menziarahi saya, baru-baru ini.
"Saya tidak menyangka ia menjadi kenyataan dan sumbangan tersebut diterima dalam masa yang begitu cepat," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menerima peti sejuk itu di rumahnya di Kampung Gong Limau hari ini.
Ibu kepada enam orang anak itu menghadapi dugaan yang sukar selepas suaminya meninggal dunia lima bulan lalu akibat penyakit buah pinggang dan jantung.
Fauziah menjalankan perniagaan menjual makanan sejuk beku seperti roti canai, karipap dan sebagainya.
"Alhamdulillah, sumbangan ini dapat membantu saya dalam mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan ini," ujarnya.
Sumbangan peti sejuk beku tersebut disampaikan sendiri oleh Hanafiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri.
19 Oct 20
582
'Terima kasih Setiu' - Sophian
SETIU, 19 Oktober - Tiada kata-kata yang dapat dilafazkan oleh Pegawai Daerah Setiu, Mohd Sophian Abu Bakar selain ucapan terima kasih dalam majlis perpisahan beliau semalam.
Mohd Sophian bakal menjawat jawatan sama di Daerah Kemaman dan dijadual melaporkan diri pada 22 Oktober ini.
Beliau yang memulakan tugas sebagai Pegawai Daerah Setiu pada pertengahan Januari tahun lalu dilihat sedih ketika ucapan ringkas majis yang dijalankan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Pantai di Kampung Padang Saujana.
"Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang saya berada di Setiu, tentunya satu pengalaman yang amat bermakna bagi saya berada di Setiu.
"Insya-Allah kalau ada kesempatan saya akan datang lagi ke Setiu dan saya mohon maaf banyak-banyak kalau ada perkara-perkara yang menyinggung perasaan tuan-tuan semua sebelum ni," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam ucapan ringkas pada majlis jamuan makan tengah hari hari dan perpisahan yang diadakan di rumah Pengerusi MPKK Kampung Padang Saujana.
Beliau turut berpesan supaya para pemimpin masyarakat terus memberikan komitmen yang jitu terhadap amanah yang dipegang.
19 Oct 20
859
32 Jalan Kampung Di Kuala Terengganu Dinaik Taraf
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Sebanyak 32 projek naik taraf jalan-jalan kampung sedang dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan DUN Wakaf Mempelam, dalam Parlimen Kuala Terengganu di bawah peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Pegawai Pembantu Khas Parlimen Kuala Terengganu (DUN Batu Buruk), Tuan Ngah Tuan Ahmad berkata, sebanyak 15 projek naik taraf jalan kampung di kawasan itu melibatkan 11 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam bagi kemudahan rakyat.
"Antara yang terlibat adalah MPKK Kampung Raja Barang iaitu tiga projek naik taraf jalan, MPKK Pantai Pandak (2), MPKK Chendering Pantai (1), MPKK Batu Enam Chendering (1), MPKK Kubang Ikan (1), MPKK Mengabang Tengah (1), MPKK Batu Buruk (1), MPKK Gong Pak Maseh (1) dan MPKK Nibong Atas dua projek,” jelasnya.
Manakala, di DUN Wakaf Mempelam pula terdapat 17 projek naik taraf jalan-jalan kampung di bawah peruntukan sama.
Pegawai Pembantu Khas Parlimen Kuala Terengganu (Wakaf Memepelam), Encik Mohd Azmi Ali memaklumkan projek tersebut akan dilaksanakan di MPKK Teluk Paku (2), MPKK Gelugor Raja (2), MPKK Wakaf Mempelam (1), MPKK Kubang Parit (2), MPKK Paloh Sungai Kiat (3), MPKK Sungai Rengas (1), MPKK Kuala Bekah (1) dan MPKK Kampung Durian Burung (5).
Kesemua pelaksanaan kemudahan berkenaan diselia secara terperinci oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi dan ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.
19 Oct 20
1246
Badan Korporat Diseru Giat Sumbang Face Mask, Sanitizer
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim merakamkan ucapan terima kasih atas usaha Paloh Resources Sdn Bhd menyumbang sebanyak 200 keping Face Mask dan 50 unit Hand Sanitizer kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Bestari Al-Ikhlas di Durian Burung sebagai satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan.
“Ini adalah satu sumbangan yang sangat besar maknanya. Khususnya, kepada PASTI-PASTI yang sangat memerlukannya.
“Kita sentiasa mengharapkan anak-anak dalam keadaan yang terbaik, dan dengan adanya sumbangan seperti ini sangat membantu dalam aspek pematuhan SOP. Saya mengharapkan lebih ramai lagi warga korporat sama-sama menjayakan tanggungjawab sosial (CSR) seperti ini,” katanya.
Sementara itu, pengarah urusan Paloh Resource, Haji Mohd Shukri Ismail memaklumkan, sumbangan Face Mask dan Sanitizer itu sedikit sebanyak akan meringankan bebanan penjaga, ibu dan bapa pelajar.
“Ini (sumbangan) supaya sama-sama kita dapat mematuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa (kerajaan).
“Sebelum ini, kita ada buat program CSR di Masjid Jeram Hilir dan ini program kedua CSR kami antara bulan September dan Oktober,” ujarnya.
19 Oct 20
332
Anak Syurga Terima Penghawa Dingin
KEMAMAN, 19 Oktober - Anak-anak syurga di pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Felda Seberang Tayor atau nama baharunya, Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Felda Seberang Tayor menerima sumbangan dua buah penghawa dingin daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih.
Pengerusinya, Safidal Shamsudin berkata, PPDK di sini mula beroperasi pada 2006 dan kini mempunyai 11 orang pelajar yang terdiri daripada Orang Kurang Upaya (OKU).
“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada ADUN Air Putih, Ab. Razak Ibrahim kerana menerima permohonan daripada kami untuk membeli dua buah penghawa dingin ini," katanya.
Sementara itu, menurut Penyelia PPDK Felda Seberang Tayor, Marinirma Malika, penghawa dingin itu akan digunakan dengan sebaiknya dengan sedikit sebanyak memberi keselesaan kepada pelatih-pelatih PDK ini.
Ab. Razak Ibrahim juga berkata, pihaknya di DUN Air Putih akan terus membantu golongan OKU sedaya upaya. Beliau mengharapkan agar sumbangan itu dapat memberikan keselesaan kepada pelatih-pelatih PPDK.
Untuk rekod, PPDK adalah strategi dalam pembangunan komuniti setempat bagi pemulihan, latihan, pendidikan, penyamaan peluang dan integrasi sosial OKU.
18 Oct 20
458