lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Kagum Ketokohan Duta Khas Perdana Menteri
Kagum Ketokohan Duta Khas Perdana Menteri
DUNGUN, 5 November- Mat Sam @ Mat Hassan Mat Adam, 82, atau lebih dikenali sebagai 'Pok Hassan' dari Kampung Tepus, amat mengkagumi ketokohan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato' Seri Abdul Hadi Awang. Walaupun berada di Hulu Dungun dan tidak mahir menggunakan media sosial namun tidak menghalang dirinya untuk mengetahui perkembangan semasa mengenai tokoh berkenaan melalui akhbar dan juga majalah Warta Darul Iman yang diterbitkan oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). "Saya tidak pandai nak menggunakan media sosial namun sebagai warga emas saya tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan politik didalam negara melalui akhbar, dan sudah tentu saya mengikut rapat perkembangan beliau. "Ketokohan Ahli Parlimen Marang itu tidak dapat dipertikaikan lagi termasuk kepetahannya berucap, dan bagaimana menyelesaikan segala konflik yang berlaku didalam negara, malah menjadi rujukan di luar negara serta pernah menyelesaikan konflik yang pernah berlaku di Timur Tengah suatu ketika dahulu, jadi jawatan itu memang bertepatan dengan beliau," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan daripada Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN ) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ke kediamannya, hari ini. Baginya alasan tidak menguasai media sosial bukan menjadi halangan untuk dirinya tidak mengikuti perkembangan semasa mengenai tokoh yang pernah tersenarai sebagai 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan. "Saya juga mengucapkan terima kasih jugalah kepada kerajaan negeri kerana mengedarkan Warta Darul Iman secara percuma, sudah tentu yang paling saya sukai yang memaparkan wajah tokoh yang saya kagumi ini. "Dengan adanya Warta Darul Iman maka apa jua perkembangan yang berlaku didalam Negeri Terengganu dapat diikuti oleh seluruh rakyat tidak ketinggalan pada mereka yang berada di kawasan pedalaman," ujarnya.  
05 Nov 20
400
DUAT Dekati Masyarakat Melalui Street Dakwah
DUAT Dekati Masyarakat Melalui Street Dakwah
BESUT, 5 Oktober - Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) mendekati masyarakat melalui program street dakwah. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, program seperti itu perlu diadakan dari semasa ke semasa untuk memberi manfaat kepada semua. "Dalam mengembangkan ilmu agama bukan sahaja di masjid tetapi di tempat awam, seperti pasar malam dan sebagainya boleh di dilakukan. "Untuk berdakwah, kita perlu mendekati mereka yang bermasalah, bukannya menunggu mereka mencari kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika Program Street Dakwah Bersama Daie bertemakan "Dadah Pembunuh Kebahagiaan "di tapak Pasar malam Kampung Pasir Akar,kelmarin. Turut hadir, Penyelaras Parlimen Besut Dr Ridwan Mohd Nor selaku Daie.
05 Nov 20
262
Tak Pasti Jangan Kongsi
Tak Pasti Jangan Kongsi
SETIU, 5 November - Orang ramai diingatkan menyemak kesahihan sesuatu berita yang diterima sebelum menyebarkannya kepada masyarakat. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, penyebaran berita atau maklumat yang tidak tepat hanya akan menimbulkan huru-hara dalam kalangan masyarakat. "Jangan mudah terpengaruh dan terperdaya dengan berita yang tidak benar.  "Semak dahulu maklumat yang kita terima melalui portal atau laman sesawang yang disahkan," ujarnya. Shafizi berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas mengagihkan Warta Darul Iman di sekitar Batu Rakit di sini kelmarin. Katanya dalam konteks negeri Terengganu, kerajaan telah menyediakan portal TV Darul Iman dan TRDI News sebagai medium terbaharu  penyampaian maklumat rasmi berkenaan kerajaan  negeri kepada masyarakat. “Oleh itu, kerajaan melalui UPDI giat turun padang dengan mengedarkan risalah bagi memastikan masyarakat setempat mendapat maklumat yang tepat. “Seperti hari ini (kelmarin), kita mengedarkan risalah mengenai kejayaan kerajaan Terengganu kepada peniaga dan penduduk di Batu Rakit," tambah beliau.
04 Nov 20
308
Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas
Air Sungai Melimpah, Tiga Rumah Terjejas
  HULU TERENGGANU, 4 November - Tiga buah rumah di Kampung Pelandan di sini mula digenangi air selepas hujan lebat sejak pagi tadi. Hasil tinjauan mendapati, lokasi rumah-rumah berkenaan berada hampir dengan sungai dan kawasan itu merupakan laluan air jika ia melimpah. Menurut salah seorang penduduk yang terlibat, Hassan Jusoh, 66, berkata hujan berterusan hampir tiga jam pagi tadi menyebabkan rumahnya dinaiki air hampir 0.5 meter. Dia yang tinggal bersama isterinya, Saadiah Abdullah, 56, dan anak lelaki, Mohd Hanif Azizi, 30 menyifatkan ia perkara biasa sejak menetap di situ lebih dari 30 tahun. "Hujan tidak berhenti sejak semalam dan semakin lebat pagi tadi menyebabkan Sungai Kepar melimpah secara tiba-tiba. "Biasanya pak cik akan pindah jika air hampir satu meter bagi keselamatan kami sekeluarga,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, hari ini. Hassan berkata, dia pernah mempunyai impian untuk mencari penempatan lain tetapi tidak mampu kerana kekangan kewangan. Sementara itu, seorang lagi penduduk, Dariah Abdullah, 43 yang tinggal bersama empat orang anaknya menyifatkan suasana itu perlu dilaluinya sejak tinggal di rumah berkenaan. "Kawasan rumah kami merupakan kawasan terawal dinaiki air pada musim tengkujuh. "Dah lalui hampir 30 tahun tapi setiap kali air naik, memang ada rasa takut.Sebab itu, kami sekeluarga tetap akan pindah ke pusat pemindahan untuk keselamatan anak-anak," katanya yang menumpang di tanah bekas bapa mertuanya.
04 Nov 20
17879
11 Rumah Terjejas Akibat Banjir
11 Rumah Terjejas Akibat Banjir
KUALA TERENGGANU, 4 November – Kira-kira 11 rumah terjejas dalam kejadian banjir di Kampung Binjai, Chendering malam semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebelum ini kawasan tersebut sudah dikenalpasti sebagai lokasi berpontensi dinaiki air kerana ia berdekatan dengan bukit. Berikutan itu katanya, tindakan awal telah dilakukan bagi mengelakkan keadaan lebih bertambah teruk. “Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Binjai telah mengambil beberapa langkah seperti kerja pembersihan longkang sedia ada, mendalamkan kawasan yang cetek dan mengutarakan isu ini dalam perhatian peringkat atasan. “Buat masa sekarang juga kerja pembinaan longkang baharu sedang giat dijalankan bagi menyelesaikan masalah ini. “Air melimpah dari bukit Cerun Binjai tertumpu di sini (Kampung Binjai) kemudian mengalir ke muara Kuala Ibai. Tahun-tahun sebelum ini kira-kira 18 keluarga dipindahkan apabila datang musim banjir,” ujarnya ketika ditemubual pemberita selepas melawat keadaan di Kampung Binjai hari ini. Dalam perkembangan sama, Sekretariat Bencana Daerah Kuala Terengganu melaporkan anggaran mangsa terjejas adalah seramai 51 orang. "Namun, hanya satu keluarga telah dipindahkan di rumah penginapan ‘Homestay’ berdekatan," kata kenyataan itu.
04 Nov 20
871
20 Keluarga Jalani Kuarantin Terima Sumbangan
20 Keluarga Jalani Kuarantin Terima Sumbangan
DUNGUN, 4 November- 20 buah keluarga yang menjalani kuarantin kendiri dirumah masing-masing dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah menerima sumbangan dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi, semalam. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata kesemua mereka menerima sumbangan beras dan juga keperluan asas yang lain. "Apa yang kita berikan ini diharapkan mampu meringankan sedikit bebanan mereka kerana sudah tentu mereka mengalami kesukaran bagi mendapatkan bekalan makanan serta keperluan yang lain sepanjang menjalani kuarantin. "Sumbangan ini juga sebagai tanda kecaknaan serta keprihatinan daripada pihak kita terhadap penduduk termasuk kakitangan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang diarah agar menjalani kuarantin dan perlu bekerja dari rumah," ujarnya ketika ditemui pihak media, semalam. Dengan tempoh 14 hari menjalani kuarantin berkenaan, Ghazali berharap agar semua mereka memanfaatkan masa dengan sebaiknya bersama keluarga. "Disamping menyiapkan kerja-kerja yang terpaksa dilakukan di pejabat mungkin inilah masanya bersama keluarga untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat secara bersama dan mungkin dengan cara ini dapat mengeratkan hubungan kasih sayang diantara keluarga yang sebelum ini sibuk dengan tugas seharian. "Saya harap agar semuanya akan kembali kepada kehidupan normal selepas ini," katanya.
04 Nov 20
464
Bina Baru Surau Terbiar Sejak Lebih 14 Tahun Lalu
Bina Baru Surau Terbiar Sejak Lebih 14 Tahun Lalu
KEMAMAN, 4 November - Surau Kampung Pengkalan Pandan yang telah terbiar sejak lebih 14 tahun lalu kini telah dibina baharu. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pengkalan Pandan, Mohd Sharidin Abd Aziz, 50, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, para dermawan dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pembinaan surau ini. "Kami pada asalnya melihat kewujudan kembali surau ini amat diperlukan kerana menjadi kawasan tumpuan bagi penduduk kampung, para pemancing di jeti dan pelanggan restoran yang berhampiran dengan kawasan surau ini. "Kami bertemu dengan ADUN Cukai, Hanafiah Mat bagi membincangkan perkara ini dan mendapat respon yang positif daripadanya. Kami hanya mencadangkan untuk baik pulih kembali surau berkenaan, namun beliau (Hanafiah) inginkan surau itu dibina baharu sepenuhnya," ujarnya. Beliau berkata lagi, dengan bantuan Hanafiah yang mendapatkan sebahagian peruntukan serta sumbangan daripada orang ramai, kini pembinaan surau ini hampir siap sepenuhnya. "Kerja-kerja pembinaan ini bermula sejak bulan Jun yang lalu dan dijangka siap pada pertengahan bulan ini (November) insya-Allah. Manakala struktur surau ini yang dulunya diperbuat daripada kayu, kini diganti sepenuhnya dengan batu," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Pembinaan Surau Kampung Pengkalan Pandan yang baharu ini melibatkan kos sebanyak RM60,000.00.     
04 Nov 20
1380
Tambun Tanah Perlu Ikut Prosedur
Tambun Tanah Perlu Ikut Prosedur
MARANG, 3 November - Masyarakat setempat sewajarnya mengikut prosedur tertentu  sekiranya mahu menambun dan meratakan tanah milik masing-masing bagi mengelak berlakunya kejadian banjir dan air bertakung. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata,, masalah air bertakung disebabkan punca tambunan tanah yang tiada aliran air kini menjadi satu permasalahan yang sangat besar lebih-lebih lagi ketika menjelang musim tengkujuh. Katanya, terdapat beberapa aduan daripada penduduk berkenaan masalah air bertakung, banjir, air melimpah ke dalam rumah dan sebagainya kerana tambunan tanah daripada tuan tanah. "Sebagai seorang jiran yang hidup dalam komuniti, kita perlulah lah mengambil berat isu seperti ini bagi mengelakkan timbulnya sebarang pertelingkahan di antara satu sama lain. "Rata-rata tanah yang ditambung tidak mengikuti prosedur yang betul, ketiadaan saliran air, longkang dan sebagainya mendatangkan musibah kepada orang lain jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab. "Baru-baru ini, satu tinjauan telah diadakan di Kampung Bukit Rhu Rendang bersama-sama Majlis Daerah Marang bagi melihat keadaan tanah yang ditambung yang dipercayai tidak mengikuti prosedur yang betul kerana menutup saliran serta laluan air, "katanya. Menurutnya lagi, keadaan yang menyebabkan beberapa buah rumah mengalami masalah banjir sehingga air melimpah ke dalam ruang rumah dan sebagainya telah diserahkan kepada pihak MDM untuk melakukan perbincangan diantara tuan tanah bagi menyelesaikan masalah tersebut. "Orang ramai juga dinasihatkan supaya melaporkan terus kepada MDM dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) jika terdapat sebarang aktiviti tambunan tanah yang dilihat tidak menepati ketetapan yang betul, tambahnya lagi.        
03 Nov 20
4219
Anak Perlu Berbakti Kepada Ibu Bapa
Anak Perlu Berbakti Kepada Ibu Bapa
DUNGUN, 4 November- Setiap anak perlu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan mentaati mereka selagi mana perkara yang diperintahkan tidak bercanggah dengan syarak. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, jasa kedua orang tua tidak mampu dibalas dengan wang ringgit atau emas permata. "Ibu bapa telah mencurahkan jasa bakti yang amat besar kepada anak-anak, justeru dimasa mereka tualah ditambah dengan keuzuran, menuntut setiap anak-anak menjaga mereka dengan penuh kesabaran," ujarnya. Alias berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi seorang warga emas dan sekaligus menyampaikan sumbangan  daripada Tabung Darul Iman semalam.  Menurutnya, memang tidak dinafikan anak-anak terpaksa menghadapi pelbagai karenah tetapi menerima seadanya itulah yang terbaik. "Sebagai anak kita ambil tanggungjawab menjaga mereka bergilir - gilir, jangan amalkan sikap lepas tangan, ingat.. kita akan disoal nanti di akhirat dan di duniapun kadang-kadang Allah dah balas balik, anak-anak kita buat balik ke kita," katanya. 
03 Nov 20
500
Banduan Bertani, Menternak Di Penjara
Banduan Bertani, Menternak Di Penjara
KUALA TERENGGANU, 2 November – Seringkali kita melihat sektor pertanian diceburi oleh golongan B40 di kawasan pedalaman dan bandar, namun tiada siapa menduga bahawa banduan turut berkecimpung dalam bidang tersebut semasa berada di dalam tahanan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan ada tahanan di Penjara Marang mengusahakan sektor tersebut "Topik kita tetap hal pertanian walau dalam penjara. Menarik sekali apabila dimaklumkan, di Penjara Marang ada diusahakan penternakan ikan keli dan pertanian kontan. Hasilnya pula mampu menampung keperluan banduan penghuni penjara serta boleh dijual juga kepada masyarakat sekitar.’  "Di samping wang hasil jualan akan disimpan dalam akaun amanah bagi kegunaan banduan bila dibebaskan nanti, ia juga mempersiapkan banduan dengan kemahiran pertanian untuk berhadapan dengan dunia luar nanti," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan daripada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisional Nik Robidin Ab Rahman serta rombongan di Wisma Darul Iman hari ini.   Sementara itu, beliau berkata telah bersedia untuk memberikan komitmen untuk kerajaan negeri menunaikan hasrat pihak penjara memiliki sebuah ‘cool room’ agar bahan mentah pertanian boleh disimpan dengan lebih sempurna.  "Malah, jabatan-jabatan di bawah Portfolio Pertanian Negeri juga akan diminta memberikan sokongan fizikal dan teknikal untuk merancakkan lagi aktiviti pertanian dalam penjara. "Kita sentiasa membuka tangan seluas-luasnya bagi mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk berada di bidang ini bagi mengembangkan industri pertanian," tambah beliau
03 Nov 20
1591