lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

50 Batang Jalan Kampung Baharu Dibina
50 Batang Jalan Kampung Baharu Dibina
KUALA TERENGGANU, 2 November - Dalam tempoh tujuh bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih kerajaan Persekutuan, lebih RM 3 juta peruntukan diagihkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim kepada masyarakat setempat. Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inivasi (MOSTI) menjelaskan, pelbagai bantuan telah disalurkan mengikut keperluan semasa rakyat. “Di peringkat Parlimen Kuala Terengganu, kita belanja lebih RM1 juta untuk bahagian perbekalan makanan sahaja dengan pembelian pelbagai keperluan asas seperti beras dan sebagainya. “Apa yang kita pesan kepada petugas kita, semua ini untuk rakyat kita tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” tegasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Dakwah 2020 i-Khidmat Cuci-Cuci Masjid dan Musa’adah Covid-19 Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu, baru-baru ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok, Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Penolong Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin. Jelasnya, selain itu sebanyak RM1 juta juga diperuntukkan bagi membina jalan-jalan kampung yang baharu. Selaku Ahli Parlimen, beliau memaklumkan bahawa dalam tempoh dua bulan terakhir ini, sebanyak 50 batang jalan kampung yang baharu telah berjaya disiapkan. “Insya-Allah, doakan supaya selepas ini lebih banyak peruntukan dapat kita sediakan daripada kerajaan Pusat untuk bantuan dan kemudahan rakyat di negeri ini,” ujarnya.      
03 Nov 20
427
37 Terima Kad Skim Permata
37 Terima Kad Skim Permata
BESUT, 4 November - Seramai 37 orang menerima Kad Skim Permata 2020 bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh. Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, sumbangan tersebut merupakan usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan ibu bapa menabung untuk pendidikan anak-anak. "Skim ini diadakan bagi menggalakkan tabungan pembelajaran bermula dari awal kelahiran lagi. "Sumbangan ini diberikan dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) bagi kemudahan untuk para penerima," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan penyerahan kad skim permata di Pejabat Penyelaras, Kampung Padang Luas. Katanya, permohonan masih lagi dibuka sehingga akhir tahun melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu. "Saya berharap para ibu bapa dapat memanfaatkan sepenuhnya tabung ini bagi menjamin pembelajaran masa hadapan anak-anak," ujarnya
03 Nov 20
209
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
UMNO, Bersatu Anggota Baharu JPKK Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 November – Penjenamaan semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di seluruh negeri akan bermula pada 1 Januari 2021 dan dianggotai ahli UMNO serta Bersatu. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, sebahagian negeri sedang dalam proses pelaksanaan, MPKK sedia ada akan tamat tempoh pada 31 Disember 2020 dengan penjenamaan semula tersebut. “Buat masa sekarang di Terengganu, terdapat 1,047 buah MPKK di serata negeri diikuti tiga MPKK di Kampung Baru Cina yang ditadbir urus oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), menjadikan kesemua cawangan sebanyak 1,050 MPKK dari Kemaman sehingga Besut. “Pihak berkuasa negeri bersetuju untuk menjemput rakan-rakan parti dalam Perikatan Nasional seperti UMNO dan Bersatu dalam menganggotai JPKK menjelang tahun hadapan dengan tambahan lima kuota lantikan bersama 15 anggota jawatankuasa lain. “Komponen tiga parti akan memenuhi jawatankuasa tersebut bagi memupuk lagi semangat muafakat dalam menjaga kampung dan sebagai pelaksana dasar kerajaan serta berperanan dalam pembangunan dan keselamatan di peringkat tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas mesyuarat pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut mengenai langkah yang diambil kerajaan itu, beliau berkata, kajian dan pemutihan semula akan dijalankan kerana sebahagian MPKK mempunyai bilangan rumah yang terlalu banyak dan kurang daripada minima 100 buah rumah. “Pejabat Bahagian Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan (SUK) sedang membuat kajian tentang perkara ini dan insya-Allah akan mencadangkan kerajaan dengan data dan maklumat. Ini supaya JPKK dapat berfungsi dengan lebih efisyen. “Proses lantikan akan bermula dengan makluman tamat tempoh dan kekosongan MPKK sedia ada yang dimaklumkan oleh kerajaan negeri melalui pejabat SUK kepada Pejabat Daerah. Kemudian, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri dan Pusat Khidmat Masyarakat akan mencadangkan nama-nama melalui borang yang disediakan untuk angkat ke Jawatankuasa Panel Penilaian Anggota setiap daerah. “Peringkat daerah akan mengesahkan nama tersebut seterusnya diangkat kepada pihak berkuasa yang melantik iaitu Menteri besar. Proses ini tidak rumit,” ulasnya lagi. Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah memberhentikan bayaran geran kepada MPKK buat tahun 2020. “Sebelum ini pada tahun 2019, RM10,000 disalurkan kepada setiap MPKK. Tahun ini, kerajaan negeri mengambil alih penyaluran geran dan memutuskan bantuan secara ‘one-off’ RM4,000 disebabkan COVID-19. Insya-Allah tahun hadapan kerajaan akan beri komitmen dalam isu ini dan akan diputuskan tahun depan,” katanya lagi.
02 Nov 20
3900
100 Penduduk Terima Bantuan Kaca Mata Percuma
100 Penduduk Terima Bantuan Kaca Mata Percuma
Hulu Besut, 2 November - Seramai 100 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut yang kurang berkemampuan menerima bantuan kaca mata percuma. Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, bantuan yang disumbangkan kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu menyasarkan golongan warga emas serta kategori B40.  "Alhamdulillah program sumbangan seperti perlu diteruskan untuk membantu bagi mereka yang memerlukan. "Ianya nampak biasa tetapi besar bagi mereka yang kurang berkemampuan serta dapat meringankan beban mereka terutamanya golongan warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi pemeriksaan mata bertempat di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Hulu Besut. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha murni tersebut. "Terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang mengenal pasti mereka yang layak serta mereka yang memerlukan," jarnya.
01 Nov 20
541
Kubur Usia Lebih 100 Tahun Dibina Pagar
Kubur Usia Lebih 100 Tahun Dibina Pagar
KEMAMAN, 1 November - Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Tengah Chukai yang berusia melebihi 100 tahun telah dibina pagar yang baharu. Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Chukai, Muhammad Azizi Zakaria memanjat kesyukuran ke hadrat Ilahi di atas pembinaan pagar kubur itu. "Terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat kerana memberikan sumbangan sekali gus menjayakan pembinaan pagar di tanah perkuburan di sini. "Terima kasih juga kepada Abdul Halim Embong (Pak Wang Che Ta) dan Mohamad Kolid Abu Bakar (Timbalan Pengerusi MPKK) yang telah banyak berjasa menjaga kubur ini secara sukarela," ujarnya. Katanya lagi, walaupun kubur berkenaan tidak digunakan lagi untuk pengebumian, namun kebersihan di kawasan itu perlu dijaga dengan sebaiknya. "Harapan saya semoga dengan pembinaan pagar ini dapat menjamin kebersihan kawasan kubur ini daripada pembuangan sampah, laluan motosikal dan sebagainya," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Pembinaan pagar itu telah menelan belanja sebanyak RM20,000. Beliau yang juga Setiausaha Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah Chukai turut mengharapkan sumbangan daripada orang ramai untuk memasang beberapa papan tanda berkaitan tanah perkuburan yang dianggarkan berjumlah hampir RM3,000. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Muamalat Bank 13020000043713 (Kelab Anak Muda Prihatin Kampung Tengah) atau terus hubungi 01119313317 (Isa Abdullah) dan 01114952408 (Muhammad Azizi Zakaria).
01 Nov 20
1625
i-MiTS Bukit Besi Santuni Anak Muda
i-MiTS Bukit Besi Santuni Anak Muda
DUNGUN, 2 November- Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi sentiasa menyantuni anak muda bagi memastikan kebajikan golongan berkenaan terbela. Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia i-MiTS DUN berkenaan, Che Wan Mohd Fikri Che Wan Mubin berkata, pihaknya mengadakan program ziarah mengikut beberapa kriteria dan kategori "Dimana keutamaan kita adalah menziarahi anak muda yang dikategorikan sebagai kurang berkemampuan, sakit , hilang punca pendapatan disebabkan pandemik COVID-19, mempunyai tangunggan yang ramai dan sebagainya yang kita fikir wajar untuk kita ziarahi. "Dengan cara berkenaan kita dapat menyelami keperitan mereka yang dikategorikan sebagai generasi kedua untuk kita caknai dan cuba memberi bantuan serta memberikan maklumat atau saluran yang mereka boleh manfaatkan daripada Kerajaan Negeri Terengganu, kita bertindak sebagai pemudahcara untuk membantu mereka samada ingin mendapat bantuan bulanan, memulakan perniagaan dan sebagainya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, ketika menziarahi generasi kedua, Felda Jerangau baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman "Semoga dengan kecaknaan dan keprihatinan ini membantu kerajaan bagi memastikan setiap agenda kebajikan kearah memastikan Terengganu mencapai sebagai sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera dengan mana seluruh penduduk dapat diberikan perhatian,"ujarnya.
01 Nov 20
306
Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal
Gara-Gara Kritikan, Faiz Kini Kuasai Pasaran Dim Sum Halal
Foto : Atika Hussin BESUT, 1 November - Walaupun berdepan pelbagai dugaan, dan pernah dikatakan melakukan kerja  'gila' ketika memulakan perniagaan dim sum di sebuah kampung dalam Daerah Besut Che Faiz Man kini menguasai pasaran dim sum halal. Pemilik LeBest Dim Sum itu berkata hasil yang dikecapinya hari ini memerlukan usaha keras dan pengorbanan yang memakan masa hampir tiga tahun. Beliau yang bermula dengan menjual dim sum frozen (sejuk beku), menerima kritikan daripada rakan-rakannya yang mengatakan makanan tersebut hanya sesuai untuk orang-orang di bandar besar dan ditambah pula dengan harganya yang agak mahal berbanding dengan makanan biasa. Bekas pelajar kejururawatan ini sebaliknya menjadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangatnya dan selepas yakin dengan sambutan yang diterima, beliau mengorak langkah dengan mula membuka kedai kecil di tepi jalan raya dan pada 2019,  membuka premis di Dataran Limbongan, Kampung Raja. “Saya asalnya bekerja di sebuah training company (syarikat latihan) di Shah Alam kemudian pulang ke Besut dan rasa mahu mengusahakan sebuah kedai makanan tetapi masalah saya pada masa itu, di Besut sudah banyak kedai makanan. “Pada masa yang sama kedai makan ini banyak masalah, nak kena ada tukang masak dan sebagainya lagi pula, saya bukan daripada bidang makanan. Jadi saya boleh kata, saya ni terjebak secara tidak sengajalah. “Saya lihat dim sum ini satu benda yang tak ada orang buat lagi di Besut, jadi pada masa itu saya fikir mahu jadi perintis dan biasanya market (pasaran) tu lagi luas lah apabila benda baru cuma atas berani atau tidak sahaja untuk ambil risiko,” ujarnya. Che Faiz berkata demikian ketika ditemui oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di premisnya di Dataran Limbongan, baru-baru ini. Anak jati Besut itu turut mengakui bahawa dia tidak percaya dengan sambutan yang diterimanya dan apa yang telah diperolehinya hari ini, selepas mengharungi detik sukar untuk bertahan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, awal tahun lalu.  “Pesanan saya untuk anak muda yang mahu memulakan perniagaan, paling utama kita kena ada ilmu sebab kita tak boleh semata-mata nak ikut orang, orang boleh arah kita untuk buat begini, begini tetapi kadang-kadang tahap pemahaman berbeza. “Jadi sebelum kita nak terjun sesuatu bidang tu kita kena ada ilmu dalam bidang tersebut, saya sendiri bila saya nak masuk bidang makanan, saya memang tanya orang dulu, belajar, tanya, apabila kita dapat maklumat yang cukup baru kita buat. “Kemudian satu lagi kita kena rancang, bila kita tidak merancang, kita tak tahu perniagaan kita nak pergi sampai ke tahap mana dan yang paling penting, kena berani ambil risiko serta kena pandai urus risiko jangan ambil risiko saja tapi tak pandai urus,” katanya. Perniagaan ini turut menerima suntikan dana daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga Nasional (TEKUN Nasional) pada tahun 2009 dan telah terpilih untuk Program Dana Usahawan Belia Sejahtera (UBES) di bawah kendalian Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU). LeBest Dim Sum pernah tular dalam kalangan penduduk sekitar Besut kira-kira dua tahun yang lalu sebelum melangkau jauh dan mampu menyewa sebuah premis khas di Dataran Limbongan, bersebelahan dengan Masjid Al-Islah, Limbongan. Dim sum merupakan makanan yang berasal daripada masyarakat Cina, iaitu sejenis makanan yang menggunakan tepung sebagai kulitnya dan diisi dengan ayam, daging atau bahan-bahan lain dan kemudian dimasak dengan cara kukus atau goreng.
01 Nov 20
6404
Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama
Cegah Jenayah Tanggungjawab Bersama
BESUT, 2 November - Orang ramai perlu menjadi 'mata dan telinga' polis dalam usaha mencegah jenayah yang berlaku di sekitar kawasan mereka. Pegawai Penyelaras Dun Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, tidak dinafikan tanggungjawab memerangi jenayah adalah tugas utama PDRM, namun tanpa kerjasama dan sokongan masyarakat, usaha itu sukar dipenuhi. "Setiap kelompok masyarakat harus bertanggungjawab mengatasi masalah jenayah ditempat sendiri kerana tanggungjawab bagi membendung masalah jenayah yang berlaku adalah tanggungjawab bersama. "Masyarakat juga bertanggungjawab untuk menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat dimana mereka perlu bergerak bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang fokus membantu mencegah jenayah dan tampil ke hadapan dalam pelbagai kaedah ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Bekas Polis Malaysia Daerah Besut yang berlangsung di Dewan Sivik Gong Nering, Jerteh, baru-baru ini. Sementara itu, Wan Azhar berharap persatuan itu terus maju ke hadapan dan saling berdaya saing bagi membentuk persekitaran yang harmoni.    
31 Oct 20
1118
Peti Sejuk Beku Pemangkin Semangat
Peti Sejuk Beku Pemangkin Semangat
DUNGUN, 31 Oktober -Peti sejuk beku  menjadi pemangkin semangat kepada seorang pengusaha makanan barat secara atas talian untuk mempelbagaikan lagi produk dan mengambil lebih banyak tempahan.  Nurul Syuhada Abdu Rahim, 33 telah menerima peti sejuk beku hasil sumbangan bersama Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di dalam satu upacara ringkas di Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang, baru-baru ini.  "Saya tidak menyangka permohonan saya untuk mendapatkan peti sejuk beku berjaya, saya cuba minta akhir bulan September lepas, alhamdulillah cepat dapat, akhir bulan Oktober dapat, syukur  sangat - sangat," ujarnya ketika dihubungi pemberita. Spaghetti Chicken Grill, antara menu yang ditawarkan  Menurut ibu muda kepada dua orang anak itu, dia pernah mengikuti kelas Pengajian Jarak Jauh(PJJ) Makanan Barat dan mula menceburi perniagaan secara kecil-kecilan sahaja memandangkan berdepan masalah tiada tempat untuk menyimpan bahan mentah.  "Saya mula 'open order' dengan menu 'prosperity burger' dan mendapatkan bahan-bahan keluaran Ramly, sebab saya nak 'customer' saya makan macamana saya makan, dijamin bersih serta halal," jelasnya yang kini menawarkan lima menu iaitu Spaghetti Chicken Grill, Prosperity Burger, Swedish Meatball, Meatball ala IKEA, Butter Rice Chicken Grill dan Hungry Set Mix Grill. 
31 Oct 20
499
Terengganu Dan Norma Baru
Terengganu Dan Norma Baru
HULU TERENGGANU, 1 November - Masyarakat di Terengganu mulai terbiasa dengan pengamalan norma baharu yang diarah oleh kerajaan dalam setiap aktiviti harian. Dalam tinjauan baru-baru ini di lokasi Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman, Ajil, boleh dikatakan semua pengunjung mengenakan pelitup muka sebagai usaha mengurangkan keberjangkitan virus COVID-19. Pengunjung Pasar Pagi Jumaat di Kampung Bukit Diman. Seorang pengunjung yang ditemui, Wan Fauziah Wan Ali 48, berkata, ianya perlu dilakukan walaupun pada mulanya agak merimaskan bila ditanya tentang norma baharu ini. "Ianya perlu dilakukan dan diamalkan walaupun sedikit merimaskan demi mengurangkan jangkitan virus ini. "Kalau kita tengok pada pagi ini semua orang memakai pelitup muka, ini bermakna kesedaran oleh masyarakat sudah di tahap terbaik. "Tapi yang masih meresahkan saya adalah jarak selamat iaitu jarak satu meter di antara setiap pengunjung masih belum dapat diamalkan," katanya. Wan Fauziah mengharapkan agar perkara ini dapat diberi sedikit perhatian oleh pihak berkuasa dalam memerangi virus ini dan juga berharap agar pandemik itu segera berakhir. "Kalau kita sama-sama menjaga dan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan insya-Allah ianya dapat diatasi dan perbanyakkan doa semoga ianya cepat berakhir, kita jaga kita," ujarnya.
31 Oct 20
1522