Artikel "Komuniti" Terkini
Cakna Aduan Sekatan Jalan sempena Berkuat Kuasanya PKPB
KEMAMAN, 11 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili telah menerima pelbagai bentuk aduan berkaitan sekatan pihak berkuasa yang dijalankan di hadapan Masjid Batu Putih, Kertih di sini.
Sekatan itu adalah laluan untuk ke Felda Kerteh dan Ketengah Jaya di mana berlaku kes penularan wabak COVID-19. Orang ramai telah membuat aduan terhadap sekatan itu, mereka mendakwa bahawa berlaku kekangan lalu lintas setelah ianya berkuat kuasa.
OCPD yang berpakaian seragam hitam sedang menyelesaikan urusan saman.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, 50, yang ditemui ketika berkunjung ke pondok polis berhadapan Masjid Batu Putih, berkata, pihaknya bersama Ir Saiful akan menyelesaikan permasalahan yang berlaku serta memberi kadar potongan kompaun saman sebanyak 30 peratus buat mereka yang telah disaman sebelum ini.
Arahan baharu dikeluarkan bagi pengguna jalan itu yang diberi kelonggaran dari jam 6 pagi hingga 9 pagi, sewaktu orang ramai sibuk ke tempat kerja bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.
Sekatan berhadapan Masjid Batu Putih.
Sementara itu, menurut Ir Saiful, objektif utama polis mengadakan sekatan adalah untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 terutamanya di Mukim Rasau, selain mendisiplinkan orang ramai serta memberi pengajaran kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan.
"Orang ramai dinasihati mematuhi arahan yang diberi agar memudahkan kerja-kerja anggota yang bertugas, dengan memakai helmet atau tali pinggang keledar ketika memandu. Biarlah lebih kebaikan daripada keburukan, kerana kita semua tak mahu menyusahkan orang kampung setempat,” katanya.
10 Nov 20
513
Program PPTS Legakan Rakyat Kijal
KEMAMAN, 10 November - Program Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) banyak membantu masyarakat sekali gus melegakan penerimanya di negeri Terengganu khususnya Kijal.
Pegawai Khas Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Muhamad Haiqal Safie memberitahu, sebanyak 135 rumah telah dibaik pulih dan dibina baharu yang menelan belanja sebanyak kira-kira RM2.25 juta sepanjang dua tahun pemerintahan ini.
"Sehingga hari ini sebanyak 107 buah rumah telah dibaik pulih oleh PKM DUN Kijal dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman (PDK) di bawah peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri kepada DUN sebanyak kira-kira RM1.4 juta.
"Dan sebanyak 20 buah rumah yang dibaiki dengan menggunakan peruntukan P02 berjumlah RM400 ribu telah siap dan diserahkan kepada mereka yang memohon dan layak," katanya.
Mohamad Haiqal Safie.
Mohamad Haiqal berkata demikian ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman di pejabat PKM di Bukit Kuang kelmarin.
Beliau juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dengan kerjasama baik yang ditunjukkan bagi menjayakan agenda kerajaan dalam membantu masyarakat menerusi program ini.
"Kami PKM berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama PDK, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan kontraktor yang bersungguh-sungguh dalam menjayakan program PPTS ini," ujarnya.
Dalam masa yang sama, Pegawai Penyelaras DUN Kijal Ustaz Hazri Jusoh, menyatakan, ramai lagi pemohon yang telah dimasukkan di dalam senarai menunggu.
Kerja-kerja baik pulih rumah.
"Kepada pemohon yang rumahnya masih belum dibaiki atau dibina harap bersabar kerana ianya masih di dalam senarai menunggu dan mengikut giliran untuk dilaksanakan.
"Insya-Allah memandangkan rumah kediaman ini adalah keperluan 'dhoruriyat' maka tahun hadapan ianya akan dilaksanakan dalam kadar segera dengan peruntukan baharu yang disediakan oleh kerajaan," ucapnya.
Selain daripada rumah yang dibaik pulih, sebanyak lapan buah rumah bina baru PPTS diluluskan dan telah siap dibina di DUN Kijal dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM448 ribu.
Rumah bina baru PPTS.
10 Nov 20
2125
Seni Diorama : Antara Sejarah Dan Kenangan
KUALA TERENGGANU, 10 November - Pada pandangan pertama, ia mungkin nampak seperti kedai-kedai di tepi jalan yang anda dapat lihat di bandar dan pekan, sekitar Terengganu.
Tetapi lihat lebih dekat, maka anda akan menyedari sebuah model 3D yang dihidupkan dengan tekstur realistik daripada bumbung zink berkarat hingga cat putih yang terkelupas pada rumah kedai.
Karya seni kecil tersebut adalah campuran seni bina dan warisan mengambil inspirasi permandangan di Kampung Cina dan kedai lot di Bandar Besut, moden dan tradisional, dengan kisah dan kenangan tersendiri, dibina dengan tangan Mohd Ihsan Mohd Saidi, 34, minda kreatif di belakangnya.
Berasal dari Besut dan juga seorang ayah kepada tiga anak, Ihsan berkata, hobi sampingan ini bermula empat tahun lalu dengan membina rumah kampung tradisional, dilengkapi suasana persekitaran asal di kampung nelayan sekitar 1990-an.
“Saya bermula dengan membina rumah tradisional kecil dengan hanya bahan murah yang mudah didapati seperti batang aiskrim, lidi sate dan barang dari kedai RM2.
“Kemudian setelah berkongsi gambar projek di Facebook saya, ia mula mendapat perhatian, reaksi dan pertanyaan daripada orang lain kian membakar semangat saya untuk membawa hobi ini ke tahap seterusnya.
"Miniatur bernama Kedai Lot terdiri kedai elektronik, ‘Car Wash’ dan restoran semuanya inspirasi daripada pekerjaan dan memori kehidupan saya di Besut.
“Harga dan masa untuk membina diorama ini bergantung kepada skala dan saiz dikehendaki (1/43, 1/32, 1/64) dan bahan yang digunakan.
“Sebagai contoh, replika liang lahad ini berharga RM40 sementara Lot Kedai dalam lingkungan RM800 kerana bahan berkualiti tinggi seperti putty filler, cat, pvc board dan alat-alat lain,” katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut hobi diorama sebagai perniagaan sambilan, Ihsan mengulas, tawaran dan komisen untuk diorama kediaman tradisional telah datang negeri-negeri di seluruh Malaysia seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan banyak lagi.
"Pelbagai agensi, jabatan kerajaan dan institusi pengajian tinggi (IPT) juga mengupah saya mencipta diorama bagi pameran berskala besar yang terdiri daripada Rumah Kampung mini.
“Projek terbesar yang saya laksanakan adalah komisen daripada sebuah agensi kerajaan dengan harga sekitar RM4000, iaitu persisiran pantai yang dipenuhi pokok bakau untuk menunjukkan kesan kakisan pantai.
“Anggaran pendapatan kasar kira-kira RM2000 sebulan menjual diorama bersaiz sederhana dengan harga RM200 hingga RM300," ceritanya.
Ihsan yang juga kakitangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Terengganu, membincangkan rancangan masa depannya untuk membuka kedai diorama dilengkapi dengan pelbagai alat dan bahan hobi tersebut untuk pendatang baru dan pakar bangunan miniatur di Terengganu.
Bagi mereka yang berminat, boleh menghubungi ‘Sam Diorama & Miniature’ di 013-7146510 atau Facebook di mohd.sam.samsam2710, Instagram di @sam_252252, dan Youtube di ‘Sam diorama Chanel’ untuk maklumat lebih lanjut.
10 Nov 20
3773
40 Pelajar Politeknik Sertai Bengkel Di Kenyir
HULU TERENGGANU, 10 November - Seramai 40 orang pelajar Politeknik seluruh Malaysia berkampung di Tasik Kenyir selama empat hari untuk menyertai Bengkel Kepimpinan Sukarelawan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Malaysia kelmarin.
Pengarah program, Yaswadi Mat Yasim berkata, bengkel tersebut dianjurkan Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar Politeknik & Kolej (BAPP) JPPKK dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar(JHEP) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA).
"Program ini ialah untuk meningkatkan tahap kepimpinan pelajar dalam program sukarelawan dan melahirkan pemimpin pelajar yang mempunyai daya tahan mental dan fizikal yang mantap.
"Di samping mengeratkan ukhuwah dan persefahaman pemimpin mahasiswa dalam kalangan pelajar politeknik," jelasnya.
Yaswadi yang juga Ketua Jabatan HEP, PSMZA berkata demikian di dalam satu kenyataan selepas program berkenaan.
Kata Yaswadi lagi, dalam bengkel tersebut turut diselitkan program 'Corporate Social Responsibility' (CSR) bersama Perbadanan Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
"Kita juga bergotong royong memasang beberapa 'signboard' berkaitan alam sekitar di beberapa lokasi di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir," ujarnya.
10 Nov 20
943
Terus Waspada, Jangan Alpa
KUALA NERUS, 10 November – Orang ramai terutamanya di Seberang Takir diingatkan untuk terus berwaspada dan tidak alpa dalam menjalankan aktiviti seharian selepas wabak COVID-19 kembali meningkat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadil Wahab berkata, peningkatan kes sejak 5 September dengan lonjakan kepada tiga digit adalah sangat membimbangkan.
“Saya merasa terpanggil untuk mengingatkan kepada warga Seberang Takir untuk berwaspada dengan ancaman penyakit ini dan jauh di sudut hati saya, saya tidak mahu jika dikuat kuasakan PKP seluruh negara, ia akan memberi kesan lain terutama ekonomi kepada penduduk, katanya.
“Memandangkan Seberang Takir pernah menjadi zon kuning September lalu, saya mohon agar kita terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berjalan ini,” katanya kepada pemberita.
Dalam pada itu seorang penduduk Seberang Takir, Kahtijah Muda, 65, menyataan kebimbangan terhadap ekonomi keluarganya setelah PKPB dilaksanakan.
“Anak saya bekerja dalam bidang pemasaran kolej, hilangan sumber pendapatan kerana ibu-bapa tidak mahu menghantar anak-anak ke kolej.
“Akibat daripada pelaksanaan PKPB ini ramai yang diberhentikan kerja kerana majikan tidak mampu membayar gaji,” ujarnya.
09 Nov 20
873
Misi Hulur Bantuan COVID-19 Di Felda Kerteh
KEMAMAN, 9 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik dan Chukai turun meninjau keadaan mereka yang terjejas akibat wabak COVID-19 dengan diiringi pegawai-pegawai dari Ketengah dan Pejabat Daerah Kemaman serta Dungun, semalam.
Penularan wabak di Felda Kerteh 1, 4, 5, 6 dan Ketengah Jaya yang kian meningkat sudah masuk ke fasa dua. Sebanyak lima buah kampung berisiko akibat daripada kluster Makekar baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat turun padang memberi bantuan barangan kering dan basah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sebelum ini sebanyak 400 lebih buah keluarga yang menerima bantuan tersebut bagi fasa satu, kali ini fasa dua pula sebanyak 932 buah keluarga. Anggaran kesemua kos berjumlah kira-kira RM130,000 di mana RM100 setiap keluarga.
Di bawah DUN Kemasik yang terlibat iaitu Kerteh 5 dan 6, Ir. Saiful Azmi Suhaili telah menghantar bantuan barangan keperluan kering dan basah juga di mana sebanyak 71 orang untuk Kerteh 5 serta 166 untuk Kerteh 6.
Pihak Ketengah juga turut menghulurkan bantuan barangan basah seperti ayam pada fasa yang kedua ini.
Di Felda Kerteh 1, Dewan Sekolah Kebangsaan Ketengah Jaya 2 dijadikan pusat punggahan barang-barang dapur untuk diagihkan kepada penduduk yang memakai gelang kuarantin di rumah mereka masing-masing.
Barangan akan disusun dan diuruskan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama sukarelawan, selepas itu terus dihantar ke lorong-lorong kampung untuk disambut oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Manakala Pusat Operasi Saringan berada di pekarangan Masjid Felda Kerteh 1. Di sini mereka akan membuat ujian saringan bagi mengetahui keputusan positif atau negatif.
Pesakit positif akan terus dihantar kuaratin di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Kemaman. Kontak rapat pula akan dikuaratin di rumah masing-masing.
"Orang ramai tak perlu panik, kerana barangan mencukupi dan perlu ikut arahan yang diberi oleh kerajaan serta pihak KKM untuk dipatuhinya," kata Hanafiah.
"Dalam masa empat hari sekali, barangan keperluan akan dihantar rumah ke rumah oleh pihak sukarelawan," katanya lagi.
08 Nov 20
2751
Kerjasama Perangi Dadah
DUNGUN, 5 November - Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Dungun sentiasa bersedia menjalin kerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) daerah itu bagi memerangi dadah.
Koordinatornya, Abd. Hamid Ismail berkata, masalah penagihan dadah boleh dianggap sebagai satu isu yang akan sentiasa berulang dan penyelesaian terbaik ialah mencegah daripada mengambilnya.
Katanya, sebagai agensi penerangan kerajaan negeri, pihaknya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan AADK dalam memberi kesedaran kepada semua lapisan masyarakat.
"Kita boleh mengadakan program 'Bual Bicara' dengan menjemput pegawai daripada AADK atau menampilkan ikon yang telah berjaya bebas daripada dadah atau membuat hebahan tentang bahaya dadah," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi kunjung hormat ke pejabat AADK di Pulau Serai di sini.
Kehadiran Hamid dan kakitangan UPDI Daerah Dungun telah disambut oleh Ketua Pegawai AADK Daerah Dungun, Yusri Mohd dan kakitangannya.
Sehubungan itu, Yusri yang mengalu-alukan kesudian UPDI Dungun dan bebesar hati menerima pelawaan tersebut.
"Dadah ini memang suatu isu yang sentiasa tiada kesudahan, menjadi barah di dalam masyarakat," katanya lagi.
06 Nov 20
281
Ziarah MOSWAY Medium Dekati Masyarakat
KEMAMAN, 6 November - Menziarahi mereka yang miskin, Orang Kurang Upaya (OKU), sakit, warga emas, 'armalah' dan anak yatim (MOSWAY) menjadi salah satu medium bagi membantu dan mendekati golongan itu di Kijal.
Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Kijal, Maselah Mohamed berkata, ianya menjadi aktiviti harian kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang diseliakan oleh i-MiTS Kijal.
"Sebanyak 10 hingga 15 buah rumah dalam satu minggu pada setiap bulan disasarkan bagi tujuan itu di bawah seliaan i-MiTS di sekitar DUN Kijal dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
Hazri Jusoh (tiga dari kiri) dan Maselah Mohamed (dua dari kiri).
"Di samping menghulurkan bantuan barangan dapur, kami juga dapat bertanya khabar tentang kesihatan dan masalah yang mereka hadapi," katanya.
Maselah yang juga Ketua Helwa DUN Kijal berkata demikian ketika dihubungi pemberita, kelmarin bagi mendapat gambaran sebenar mengenai MOSWAY.
"Mungkin sumbangan itu tidak seberapa tetapi yang penting ianya juga bertujuan untuk membudayakan amalan ziarah-menziarahi sepertimana yang dianjurkan di dalam Islam," ucapnya.
"Kelmarin kita telah menziarahi tiga buah rumah di Kampung Tersusun Lubuk Lesung bersama MPKK di sana.
"Sebarang maklumat tentang MOSWAY yang mungkin terlepas pandang dan tercicir, saudara mara terdekat bolehlah memaklumkannya kepada MPKK di kampung masing-masing untuk tindakan selanjutnya," ujarnya.
Turut hadir pada ziarah MOSWAY di kampung tersebut, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh bersama beberapa Pegawai i-MiTS dan MPKK kampung itu.
06 Nov 20
714
Segerakan Pembayaran Tanah Premium
DUNGUN, 5 November – Penerima borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Cherong Melintang diharapkan menyegerakan bayaran tanah premium bagi mendapatkan geran kekal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat berkata, Pejabat Tanah Daerah (PTD) Dungun memberi tempoh selama tiga bulan bagi menyelesaikan pembayaran tanah itu dan boleh dibuat rayuan lanjutan tempoh selama tiga bulan lagi.
“Jika tidak mampu juga penama bagi penerima tersebut akan terbatal dan PTD Dungun tidak dapat membuat proses mengeluarkan geran kekal kepada yang gagal membuat pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Borang RTB Terkilan Cherong Melintang.
Jelasnya lagi, harga sesebuah lot pada 20 tahun dahulu tidak sama macam zaman sekarang.
“Bersyukurlah, saudara hanya membuat pembayaran premium tanah yang hanya bernilai RM1,200 untuk satu lot.
“Tetapi sekarang tidak dapat lagi harga tersebut dan ia mungkin mencapai harga dalam RM72,000 satu lot bagi keluasan sebuah banglo ketika ini,” jelasnya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menasihatkan agar wujudkan jawatankuasa sesama komuniti bagi mendapatkan info-info.
“Penerima akan dimasukkan ke dalam ‘group WhatsApp’ untuk berbincang dan bertanya yang dikendalikan oleh Majlis Keselamatan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
“Di samping penerima dapat berpakat untuk mengadakan pembersihan kawasan tanah yang diterima,” katanya.
05 Nov 20
529
Dulunya Berlopak, Sekarang Siap Bertar
KEMAMAN, 5 November - Kawasan laluan Bazar Dataran Kampung Baru Kerteh yang menjadi tempat orang berjual beli namun berlopak sejak sekian lama, kini sudah ada kemudahan jalan yang baharu siap dibina.
Bertahun ianya begitu, dan sekarang hanya dalam masa seminggu sudah siap sepenuhnya. Medan tumpuan orang ramai ini sudah nampak bersih dan cantik.
Projek itu menelan kos sebanyak lebih kurang RM17 ribu, satu lagi jalan tar baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik untuk kemudahan rakyat di sini.
Mat Ripah Hussiain, 55, yang merupakan salah seorang penjual di situ meluahkan rasa syukur dan jutaan terima kasih untuk semua itu.
“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat untuk jalan tar yang baharu ini serta ruangan meletak kenderaan tepi kedai.
“Jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Kemasik), Ir. Saiful Azmi Suhaili yang telah memberi bantuan kemudahan ini,” kata beliau.
05 Nov 20
641