lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir
MAIDAM Peruntuk Dana Baiki Rumah Mangsa Banjir
KUALA TERENGGANU, 18 November - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan peruntukan membaik pulih kerosakan kediaman mangsa banjir, terutama membabitkan golongan asnaf. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M. Rozi Bidin berkata, golongan asnaf yang mengalami masalah kerosakan rumah disebabkan ditenggelami air diminta mengemukakan permohonan. Katanya, bantuan akan diberikan bergantung kepada penilaian kerosakan kediaman dialami mangsa.  "MAIDAM ada menyediakan peruntukan dibawah kategori bencana kepada golongan asnaf yang menghadapi kerosakan kediaman disebabkan ditenggelami air, " katanya. M. Rozi berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengagihan Silinder Komposit Gas Petroleum Cecair (LPG) di Kampung Beladau Kolam, di sini, hari ini.  Turut hadir, Pengurus Besar MAIDAM Property Sdn Bhd, Wan Farid Imran Wan A Latif dan Ketua Penolong Setiausaha (Pengurusan Zakat), Nazli Amiiri Ngah.  M Rozi berkata, bantuan membaik pulih kerosakan kediaman bukan sahaja terhad kepada golongan asnaf, sebaliknya semua mangsa banjir boleh mengemukakan permohonan melalui dalam talian.  Sementara itu, mengulas mengenai kutipan zakat, M Rozi mengakui berlaku kemerosotan sebanyak RM2 juta kutipan, terutama zakat perniagaan berikutan banyak pihak yang terkesan berikutan pandemik COVID-19.  "Sehingga semalam, hanya RM135 juta berjaya dikutip berbanding RM137 juta dalam tempoh sama tahun lalu," katanya.
18 Nov 20
959
Waspada Keselamatan Musim Banjir
Waspada Keselamatan Musim Banjir
SETIU, 18 November - Fenomena banjir di daerah ini sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah penduduk, namun faktor keselamatan tidak wajar dipandang mudah. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, penduduk perlu waspada dengan banjir yang bila-bila masa boleh berlaku pada musim ini dengan faktor penerimaan taburan hujan yang tinggi. "Kawasan yang rendah dan berisiko berlaku banjir perlu diberikan perhatian khusus mengenai keselamatan diri, keluarga dan harta benda," katanya. Beliau berkata demikian ketika meninjau situasi banjir di Kampung Padang, Mukim Hulu Setiu yang mengakibatkan laluan Bandar Permaisuri ke Kampung Seladang tidak dapat dilalui sejak malam tadi. Turut bersama Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Padang, Azizan Abdul Rahman. Zul Bhari turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan lebih-lebih lagi dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.  
18 Nov 20
461
Buka Peluang Orang Ramai Hulur Sumbangan
Buka Peluang Orang Ramai Hulur Sumbangan
DUNGUN, 18 November- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) Cawangan Taman Indah telah mewujudkan pusat pengumpulan barang bantuan bencana bagi memberi peluang kepada masyarakat serta para dermawan untuk menyumbang kepada pihak yang memerlukan sekiranya berlaku bencana banjir. Pengerusi MPKK cawangan berkenaan, Zakiah Alias berkata, pusat tersebut telah beroperasi bermula 15 November lepas. "Kita membuka peluang kepada orang ramai untuk menyumbang barangan dapur seperti beras, gula, gandum, minyak masak serta pelbagai barang bekalan boleh disumbangkan disamping turut menerima pakaian terpakai, air minuman, tuala wanita serta lampin pakai buang. "Pusat ini bertempat di Bilik Gerakan MPKK Taman Indah bagi memastikan segala keperluan dan bekalan tidak terputus sepanjang berlaku bencana banjir," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, baru-baru ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata kewujudan pusat berkenaan dilihat sangat efektif dalam memastikan kebajikan mangsa banjir terbela. "Ini adalah salah satu usaha murni, justeru saya mencadangkan agar MPKK lain turut mengikuti apa yang diusahakan ini," ujarnya.
18 Nov 20
283
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
Musim Tengkujuh : Penoreh Getah Perlu Bantuan
SETIU, 18 November – Musim tengkujuh yang melanda beberapa negeri di Pantai Timur memberi impak kepada penoreh getah dan nelayan yang tidak dapat bekerja seperti biasa. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkara itu perlu ditangani dengan baik kerana ia boleh menjejaskan kehidupan golongan tersebut terutamanya melibatkan bekalan asas. "Alhamdulillah, sebahagian stok makanan ruji persiapan musim banjir sudah tiba. Beras dari sawah padi Terengganu dan dikilangkan di Terengganu. Walau susah macam mana sekalipun, wajib kita kena pastikan setiap rumah di Jabi ada beras, "Tengkujuh adalah musim sukar untuk penoreh terutama penyandang jawatan 'noreh getah orang'. Dari tangga ke tangga kita kunjungi dalam program ziarah cakna penoreh sekitar Kampung Tok Dor, Kampung Bahagia, Kampung Padang Lengkuas, Kampung Tasik Nibong, Kampung Bukit Jeruk, Kampung Kerandang, Kampung Pondok Paku, Kampung Gong Dasar dan Kampung Matlain Badrin. "Alhamdulillah, sempat 60 buah rumah sahaja hari ni. Insya-Allah akan disusuli lagi di beberapa lokaliti lain yang masih berbaki," katanya selepas menyerahkan sumbangan kepada penoreh getah di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi, baru-baru ini. Mengulas tentang banjir, beliau yang juga ADUN Jabi memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan keperluan untuk mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS). "Di Jabi yang berpindah ke PPS tak berapa ramai. Majoritinya tak berpindah tetapi mereka adalah mangsa musim banjir terutamanya penoreh getah. Inilah yang perlu kita selesaikan dan disantuni. Tentunya bantuan ini tak akan sampai ke setiap rumah di Jabi sebagaimana agihan masa Perintah Kawalan pergerakan (PKP) dulu. ‘’Biarlah berat sama dipikul, susah sama dirasa dan kepayahan sama diringankan. Ternyata beban yang perlu dipikul atas dunia terlalu ringan berbanding beratnya bebanan amanah yang perlu kita jawab di hadapan Allah. ‘’Kami bukan yang terbaik. Tetapi kami berusaha untuk sentiasa hadir ketika rakyat dalam kesukaran," tambah beliau.
18 Nov 20
430
Asnaf Terima Food Bank YaPEIM
Asnaf Terima Food Bank YaPEIM
BESUT, 18 November- Seramai tiga keluarga asnaf di setiap kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima bantuan barangan keperluan melalui Program Food Bank daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Bantuan ini diberikan bagi meringankan beban gologan asnaf yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan pandemik COVID-19. Bantuan telah disampaikan oleh Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut,  Azbi Salleh bersama pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Kuala Besut, semalam Sementara itu, Azbi mengucapkan terima kasih kepada YaPEIM yang turut membantu penduduk terkesan akibat COVID-19. “Kami pihak Pusat Khidmat DUN Kuala Besut membantu penduduk dengan menyalurkan banyak bantuan kepada penduduk yang terjejas termasuk yang disumbangkan oleh pihak- pihak yang prihatin. “Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pihak YaPEIM kerana turut menyumbang kepada penduduk DUN Kuala Besut," ujarnya.
17 Nov 20
176
Amaran Cuaca Buruk Berterusan Di Terengganu
Amaran Cuaca Buruk Berterusan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 November - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan notis amaran cuaca buruk dengan hujan lebat di hampir kesemua kawasan di Terengganu. Kenyataan itu memaklumkan, hujan lebat dijangka berterusan sehingga esok di daerah Kuala Terengganu, Marang, Hulu Terengganu, Dungun, Kuala Nerus, Besut dan Setiu. Manakala di Kelantan, daerah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh juga mengalami cuaca sama.  Kenyataan terbabit turut mengeluarkan amaran cuaca peringkat waspada bagi Kemaman, Jeli, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai. Amaran cuaca peringkat waspada itu turut membabitkan beberapa daerah di Pahang iaitu, Maran, Bera, Kuantan, Pekan dan Rompin.  
17 Nov 20
5435
Keselesaan Peniaga, Pengunjung Pulau Warisan Dapat Perhatian ADUN
Keselesaan Peniaga, Pengunjung Pulau Warisan Dapat Perhatian ADUN
KUALA TERENGGANU, 17 November - Keadaan kurang selesa kepada peniaga dan para pengunjung Pulau Warisan terutama lokasinya yang penuh dengan lopak-lopak air mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed. Beliau berkata, keadaan lokasi tapak niaga sangat tidak menyenangkan pandangan, apatah lagi kepada para peniaga yang mencari rezeki di situ. "Alhamdulillah, kami dapat banyak aduan dalam bentuk pandangan dan cadangan untuk mengatasi masalah tersebut. Insya-Allah semua pandangan orang ramai sudah dalam perhatian kami dan akan dibawa ke pihak yang sepatutnya. Ahmad Shah di Pulau Warisan sebelum proses tambungan pasir batu "Crusher Run". "Cuma untuk peringkat awal dan segera ini, kami ambil inisiatif meratakan pasir batu crusher run dahulu," katanya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui sewaktu meninjau kerja-kerja pembaikan di tapak niaga Pulau Warisan baru-baru ini.  Ahmad Shah Muhamed yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar berharap dengan usaha segera yang dilakukan ini memberi sedikit keselesaan buat  para pengunjung dan peniaga juga dapat menjalankan aktiviti perniagaan dengan lebih baik. Proses tambungan "Crusher Run" sedang giat dijalankan. "Terima kasih juga kepada pihak Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Terengganu kerana telah mengambil inisiatif membina surau sementara di sini,"jelasnya.  
16 Nov 20
737
Sepakat Tiga Tuan Tanah, Selesai Masalah Banjir
Sepakat Tiga Tuan Tanah, Selesai Masalah Banjir
MARANG, 16 November - Persetujuan tiga pemilik tanah di Kampung Kijing di sini yang membenarkan tanah mereka dibuat laluan air ke longkang utama bakal menyelesaikan masalah banjir dan air bertakung di kawasan terbabit. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah banjir itu perlu diselesaikan dengan menggali alur yang tidak pernah digali sejak sekian lama. "Bagi menggali alur ini, pihak jabatan perlu memohon kebenaran daripada beberapa orang tuan tanah kerana terpaksa melalui tanah miliknya. "Sebelum ini, pihak kerajaan negeri telah berusaha menyelesaikan masalah banjir ini dengan membina longkang yang dibina oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Marang di sekitar sini. "Namun, ketiadaan saluran air untuk ke longkang utama yang dibina tersebut, menyebabkan sebuah rumah dimasuki air dengan teruk setiap kali hujan turun, lebih-lebih lagi pada musim tengkujuh," katanya. Beliau berkata ketika hadir bersama-sama meninjau kerja menggali alur air di Kampung Kijing baru-baru ini. Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Nelang Abd Rahman, Penghulu Mukim Rusila, Mohd Sukri A. Ghani dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kijing. Menurutnya lagi, usaha ini tidak akan terhenti setakat itu dan usaha tersebut juga telah bermula sejak mendapat aduan daripada MPKK. "Usaha seperti proses mengenalpasti tuan tanah, pembinaan longkang di kawasan sekitar dan mendapatkan persetujuan laluan air di atas tanah pemilik dijalankan. "Setinggi penghargaan diucapkan kepada beberapa pemilik tanah yang sanggup hadir berbincang walaupun ada yang keadaannya agak uzur," tambahnya lagi.
16 Nov 20
1752
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
Kesedaran dan Kerjasama Penduduk, Atasi Masalah Banjir
HULU TERENGGANU, 16 November - "Kesedaran dan kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama menyelenggara sistem saliran adalah penting dalam usaha mengatasi masalah banjir," demikian kata Timbalan Pengerusi Pertanian, Industeri Makanan, Peladangan Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Tambahnya, longkang berhampiran rumah, pastikannya bersih dan tidak tersumbat kerana sampah yang dibuang sewenang-wenangnya ke dalam longkang akan dibawa air saliran utama. “Memang tidak dinafikan, kegagalan sistem saliran air sedia ada untuk menampung pengaliran air menjadi antara faktor utama banjir kerap melanda terutama kawasan penempatan lama atau tanah rendah," ujar beliau. Ustaz Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir berkata demikian kepada media selepas melawat gotong-royong pemasangan ‘culvert’ saliran air banjir di kampung Pulau Manis anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), semalam. “Hampir setiap MPKK diberi peruntukan baik pulih atau bina baharu saliran air hasil peruntukan daripada pelbagai agensi seperti Majlis Badaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Daerah dan Pusat Khidmat Masyarakat PKM ADUN Manir” “Justeru, sangat perlu mengukuhkan mekanisme menggabungkan antara agensi dan pentadbiran secara menyeluruh, selain mempertingkat kesedaran masyarakat dalam usaha mengekang banjir,"ujarnya.
15 Nov 20
687
12 Penternak Ikan Sangkar Rugi Ratusan Ribu
12 Penternak Ikan Sangkar Rugi Ratusan Ribu
MARANG, 16 November - Seramai 12 penternak ikan sangkar air payau di sekitar Sungai Marang mengalami kerugian ratusan ribu ringgit setelah hasil ternakan mereka mati mengejut beberapa hari lalu. Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Daerah Marang sehingga 14 November lalu, sekitar 21,300 ekor ikan  mati mengakibatkan kerugian sekitar lebih RM262,000. Kes itu adalah yang paling teruk dilaporkan berlaku dan punca sebenar masih dalam siasatan pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan Daerah Marang. Menurut seorang penternak, Ahmad Zulkamal Md Arif, 32, kejadian seperti ini belum pernah berlaku sejak sepuluh tahun lalu menyebabkannya kerugian hampir RM 80,000. “Kejadian mengejut ini berlaku semenjak beberapa hari lepas dan kematian ikan meningkat secara mendadak di mana boleh dikatakan hari ini adalah hari kemuncak," katanya ketika dikunjungi oleh Pihak Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang. Sementara itu, Ketua Jabatan Perikanan Daerah Marang, Nor Hafizah Ngah ketika dihubungi berkata kes kematian pada 15 November semakin meningkat dan lebih banyak berbanding hari sebelumnya. “Dianggarkan kematian ikan yang berlaku melibatkan spesis Kerapu, Siakap Merah dan Siakap Putih terjadi di antara satu sehingga tiga minit bagi setiap penternak. “Pihak kami juga sedang berhubung dan menunggu keputusan sampel air daripada pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Terengganu. “Sampel air itu diambil di tiga lokasi berbeza iaitu di Jambatan Alor Pak Bang, Perairan Air Gong Tepah, dan Kawasan Perairan Tempat Pelupusan Sampah. “Keputusan sampel tersebut mengambil sedikit masa bagi mengetahui status sebenar serta kaitan kes ini sama ada berpunca daripada pencemaran sungai. Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng menjelaskan, aduan telah dibuat sebaik sahaja menerima berita malang tersebut dan telah dimaklumkan kepada pihak berwajib. “Kita sentiasa berhubung dengan dua jabatan terbabit dan mengharapkan agar semua penternak bersabar diatas ujian besar yang menimpa mereka. “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Penghulu Mukim Pulau Kerengga serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Desa Permai yang menyediakan jentera untuk menanam bangkai ikan-ikan tersebut,” katanya ketika melawat ke beberapa lokasi sangkar ikan tersebut. Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang, Mohamad Embong dan Ahli Majlis Daerah Marang, Wan Nelang Abd Rahman.  
15 Nov 20
2265