lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

5,000 Ribu Kampit Beras Asnaf Empat DUN
5,000 Ribu Kampit Beras Asnaf Empat DUN
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 21 November - Sebanyak 5,000 kampit beras disalurkan kepada asnaf yang terjejas di empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Besut. Penyelaras Parlimen Besut, Ustaz Dr Riduan Mohamad Nor berkata, ia adalah bagi meringankan beban mereka yang menghadapi musibah berganda iaitu COVID-19 dan juga musim banjir. "Kami akan mengagihkan di keempat-empat dun, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih dan Hulu Besut, di seluruh 147 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk serahan beras Asnaf musim banjir. "Untuk minggu ini kita laksanakan untuk siri satu, pada minggu depan siri dua dan insya Allah kita akan agihkan sempena dengan musim tengkujuh ini," jelasnya. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian ketika dihubungi media semalam. Menurut Dr Riduan, rata-rata asnaf ini berpendapan kurang daripada RM1,000 hanya mereka bergantung harap kepada pertanian, getah dan juga hasil tangkapan ikan di laut. "Jadi dengan sedikit sebanyak sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka. "insya-Allah bagi pihak Pejabat Penyelaras Parlimen Besut akan berusaha lagi untuk agihkan selain daripada beras pada minggu akan datang, insya Allah," ujarnya. Beliau menambah, beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) terlibat antaranya, Jabatan Amal Malaysia, daripada Muslim Care Malaysia, PAPISMA dan MediCOM, sama-sama berkolaborasi dalam membantu mangsa banjir. "Setiap hari kita memantau paras air sungai dan memantau paras air empangan di dua buah empangan di daerah Besut iaitu Empangar Jajar dan Paya Peda," tambah beliau.
21 Nov 20
459
1,000 Pemuda Kijal Disantuni
1,000 Pemuda Kijal Disantuni
KEMAMAN, 21 November - Seramai 1,000 orang warga muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal telah disantuni sepanjang dua tahun ini. Pembantu Penyelia Hal Ehwal Belia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Mohamad Roslan Ab Rahman berkata selain sumbangan barangan keperluan yang dihulurkan mereka juga menerima wang tunai. "Sebanyak kira-kira RM50 ribu telah dibelanjakan bagi membantu para belia golongan B40 ini. "Peruntukan itu banyak tertumpu kepada bantuan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh Kerajaan pada bulan Mac tempohari," katanya. Program Minyak Motor Percuma (foto sebelum PKP). "Disamping itu banyak program yang telah dijalankan bagi menyantun golongan ini seperti program minyak motor percuma, ziarah mereka yang sakit, program sukan, program ilmiah dan sebagainya," ujarnya. Roslan ditemui oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Pejabat i-MiTS DUN Kijal di Bukit Kuang baru-baru ini. Mohamad Roslan Ab Rahman Dia turut menjawab soalan yang diajukan berkaitan menifesto Kerajaan bahawa setiap individu 21 tahun keatas yang layak berhak memiliki satu lot tanah perumahan atau sebuah rumah. "Berkenaan perkara ini diharapkan Pemuda harus banyak bersabar kerana Kerajaan telah bergerak kearah itu semenjak awal pengambilalihan kerajaan itu hari. "Cuma memerlukan sedikit masa lagi untuk direalisasikan apa yang dijanjikan ini. Insya-Allah sabar sebahagian daripada Iman," katanya.
20 Nov 20
670
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
Lebih 1,000 Kapit Beras Diagihkan Kepada Penduduk
KUALA NERUS, 20 November - Lebih 1000 kampit beras telah diagihkan kepada golongan terkandas akibat banjir dan Covid-19 sejak awal bulan Oktober yang lepas.  Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, beras itu dikumpulkan hasil sumbangan pelbagai pihak menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus bagi menjaga kebajikan mereka yang berada dalam kesusahan. Katanya, program itu akan dilaksanakan setiap masa sehingga berakhirnya musim tengkujuh dan wabak Covid-19.  “Kita sentiasa mengambil berat terhadap golongan kurang bernasib baik dan hidup dalam kesusahan dengan memberi bantuan samaada dalam bentuk barang keperluan atau kewangan. “Saya mahu rezeki ini dikongsi bersama golongan miskin untuk membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya ketika dihubungi. Beliau yang diwakili Setiausaha Politiknya, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin, mengagihkan beras dan keperluan dapur yang lain pada satu majlis di Surau Kampung Banggol Tok Esah, di sini, pagi tadi. Sementara itu, Ustaz Kamal Nazmi berkata, dianggarkan lebih daripada 2000 asnaf yang tinggal di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Buluh Gading, Tepoh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir. “Ini adalah salah satu usaha dari Dato' Dr Khairuddin yang julung kali  diadakan tahun ini bagi memberi sinar harapan kepada golongan asnaf supaya kehidupan mereka mendapat pembelaan. "Dari masa ke semasa pihak kami akan menambah bilangan beras dan yang terbaru kita akan usahakan juga agihan minyak kelapa sawit kepada golongan yang memerlukan,"ujarnya.
20 Nov 20
752
PAPKET Bantu Golongan Fakir Miskin, Anak Yatim
PAPKET Bantu Golongan Fakir Miskin, Anak Yatim
KEMAMAN, 21 November - Pertubuhan Amal Prihatin Kemaman (PAPKET) telah menganjurkan program memberi sumbangan sekampit beras dan sekilo daging kepada golongan fakir miskin dan anak yatim, hari ini. Pengerusi PAPKET, Muhammad Faisal Kamarudin, 34, berkata sumbangan ini diagihkan pada sebahagian golongan sasaran melalui wakil mereka di seluruh Kemaman melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Kemasik, Kijal, Cukai dan Air Putih. "Dua ekor lembu ditumbang melibatkan daging seberat 160 kilogram bagi melaksanakan program kami kali ini, ujarnya. Katanya lagi, kerja-kerja pengagihan ini juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang terlibat. "Saya mengharapkan PAPKET akan terus dapat menganjurkan program seumpama ini di masa akan datang. Program ini merupakan sebahagian program besar yang kami adakan. Selain daripada itu, kami akan adakan program Back To School pada Januari, tahun depan. Jika ada mana-mana individu dan badan korporat yang ingin turut menyumbang, boleh terus hubungi kami," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas selesai majlis tersebut. Penaung PAPKET yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim turut hadir dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut kepada wakil untuk diagihkan ke kawasan masing-masing. PAPKET merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2018. Ia berperanan dalam melaksanakan kerja-kerja kebajikan dengan memberikan tumpuan pada golongan fakir miskin, ibu tunggal, anak-anak yatim dan golongan sasaran yang memerlukan bantuan.  PAPKET juga sentiasa membuka peluang kepada mana-mana pihak yang ingin bekerjasama dalam melakukan kebaikan dan menjayakan sesuatu misi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat.
20 Nov 20
697
Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
Tandas Awam Rantau Abang Terima Pengiktirafan Tandas Bersih
KUALA TERENGGANU, 20 November- Tandas Awam Rantau Abang, Dungun dinobatkan sebagai juara Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan Tahun 2019 bagi Kategori Kawasan Pelancongan bersempena dengan Sambutan Hari Tandas Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020. Menurut kenyataan Majlis Perbandaran Dungun (MPD), ianya bukan kejayaan kali pertama kerana pelbagai anugerah telah berjaya dibawa pulang oleh MPD sebelum ini.  "Antaranya pernah dinobatkan sebagai Tandas Terbaik sempena ASEAN Public Toilet Standard 2019 — 2021 dan naib juara Kategori Pelancongan Peringkat Kebangsaan 2019 di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak ," ujarnya seperti yang dipetik dalam laman Facebook rasmi MPD. Kenyataan tersebut turut memaklumkan, Tandas Awam Rantau Abang yang terletak sebelah kawasan pelancongan Pusat Informasi Penyu Rantau Abang juga diiktiraf sebagai Tandas Pelancongan dan merangkul Anugerah Perak bagi Kategori Tandas Awam milik Pihak Berkuasa Tempatan (Bandaraya/Perbandaran) oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan, dan Kerajaan Tempatan. 
20 Nov 20
1472
DUN Air Putih Serah 481 Cermin Mata
DUN Air Putih Serah 481 Cermin Mata
KEMAMAN, 21 November - Seramai 481 orang peserta daripada DUN Air Putih menerima bantuan sumbangan cermin mata daripada kerajaan negeri Terengganu baru-baru ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan  Air Putih, Ab.Razak Ibrahim berkata, program bantuan cermin mata itu bertujuan meringankan beban golongan sasaran seperti warga emas, mereka yang berpendapatan RM 1050 ke bawah dan lain-lain, memandangkan harga cermin mata yang semakin mahal. “Bagi golongan kurang berkemampuan, saya yakin usaha ini sangat bermanfaat selain membantu  mengurangkan bebanan mereka kerana dapat menjimatkan wang untuk membeli cermin mata yang baharu,” katanya, ketika ditemuramah oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman selepas selesai agihan cermin mata kepada wakil Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dun Air Putih. “Bagi golongan pelajar pula, kita tidak mahu mereka tercicir daripada mendapat manfaat pendidikan dan diharapkan mereka dapat menggunakan cermin mata dengan sebaiknya dan menjadi pencetus kepada semangat untuk berjaya,” tambah beliau lagi. Ab.Razak Ibrahim turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Haji Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga & Perpaduan Nasional kerana memberikan kuota untuk rakyat Dun Air Putih serta tidak dilupakan kepada anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat Kemaman yang bertungkus lumus menguruskan proses sumbangan cermin mata ini.
20 Nov 20
364
Dapur Rakyat Dinikmati Warga Air Putih
Dapur Rakyat Dinikmati Warga Air Putih
KEMAMAN, 21 November - Sebanyak 280 bekas gulai daging telah berjaya diagihkan kepada penduduk Kampung Seberang Tayor Hulu dan Hilir di dalam Program Dapur Rakyat baru-baru ini. ADUN Air Putih, Ab.Razak Ibrahim telah menyumbangkan seekor lembu bagi menjayakan program tersebut. Bermula seawal 8.00 pagi di hadapan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Ab.Razak sendiri telah turun padang menyembelih lembu. Proses melapah dan memasak gulai daging  dilakukan secara bergotong- royong oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seberang Tayor Hulu dan Hilir bekerjasama dengan AJK PAS Cawangan Seberang Tayor. Gulai daging yang siap dimasak kemudiannya dibungkus dan diagihkan dari rumah ke rumah penduduk kampung selepas Solat Jumaat. Rata-rata penerima bungkusan gulai daging berasa gembira dan berterima kasih di atas agihan tersebut. Menurut Ab.Razak, program Dapur Rakyat merupakan antara program ADUN Air Putih yang akan berlangsung di beberapa buah kampung di sekitar Dun Air Putih mengikut jadual yang diatur bagi meraikan masyarakat setempat. “Saya  berharap dengan pemberian ini warga Air Putih dapat menikmati gulai daging serta sedikit sebanyak meringankan beban keluarga ibu tunggal dan fakir miskin," ujar beliau.
19 Nov 20
239
Mesin Adun Tepung Tingkat Jualan Kuih Pau
Mesin Adun Tepung Tingkat Jualan Kuih Pau
BESUT, 19 November- Warga emas, Minah Awang,70, amat berterima kasih dan bersyukur kepada kerajaan negeri dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ekoran sumbangan mesin pengadun tepung bagi membolehkannya meningkatkan pendapatan keluarga. "Makcik sangat bersyukur dengan bantuan mesin ini. Terima kasih atas keprihatinan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung disini yang sentiasa cakna akan penduduk yang memerlukan bantuan. "Harap-harap lepas nie dapatlah tambah jualan kuih pau pelbagai inti yang makcik usahakan," ujarnya yang merupakan salah seorang daripada empat usahawan kecil di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera yang menerima sumbangan mesin. Majlis sumbangan tersebut telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ke semua kediaman penerima dimana lokasi penyerahan terakhir adalah di Kampung Sentosa. Sementara itu, Mohd Nurkhuzaini yang juga merangkap ADUN Kota Putera berkata, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif daripada YPU untuk membantu usahawan mengembangkan lagi produk atau hasil jualan mereka.  "Bantuan ini selaras dengan hasrat kerajaan negeri dalam membantu meningkatkan hasil jualan peniaga. Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada para peniaga untuk terus maju dalam perniagaan yang diusahakan "Sebenarnya bantuan yang mereka terima ini adalah melalui permohonan yang dibuat kepada YPU. Selain dari mesin penguli tepung, kita turut menyerahkan mesin 'steamer' dan juga mesin jahit kepada peniaga yang memenuhi syarat," ujarnya.   
19 Nov 20
957
Turun Padang Dengar Luahan Penjaja
Turun Padang Dengar Luahan Penjaja
KUALA TERENGGANU, 19 November- “Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada mereka. Lawatan ini banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kesukaran penjaja makanan mencari rezeki dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini. "Memandangkan bilangan pengunjung ke Pantai Batu Burok berkurangan mendadak, ianya sedikit sebanyak menjejaskan pendapatan peniaga disini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kepada pemberita semasa turun padang menyantuni penjaja makanan di sekitar Pantai Batu Burok. Katanya, mewakili kerajaan negeri beliau turun ke bawah bagi mendapat maklumat dan mengenal pasti masalah peniaga. "Selaku Exco Usahawan Negeri Terengganu, saya akan cuba membantu semampu mungkin untuk menjadi pemudah cara kepada peniaga kecil. Banyak cadangan yang diutarakan oleh peniaga-peniaga yang disantuni bertanyakan berkenaan apa yang kerajaan negeri boleh bantu. Sempat saya jelaskan beberapa perkara mengenai bantuan kerajaan negeri yang sedia ada. "Rata-rata peniaga yang saya temui di sekitar bandar ini melahirkan gembira apabila dapat meluahkan pendapat dan cadangan kepada pihak kerajaan negeri." katanya. Dalam pada itu, beliau turut mendoakan para peniaga yang berjuang mencari nafkah demi keluarga dimurahkan rezeki dan dilimpahkan rahmat daripada Allah SWT.  
19 Nov 20
1386
350 Fakir Miskin Terima Sumbangan
350 Fakir Miskin Terima Sumbangan
KEMAMAN, 19 November - Seramai 350 orang fakir miskin menerima sumbangan berbentuk beras dan barangan dapur dalam Program Hatiku Bersamamu yang berlangsung di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai, kelmarin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata majlis tersebut diadakan bagi memastikan sumbangn yang diberikan dapat meringankan bebanan sebahagian fakir miskin yang tinggal di kawasannya itu. "Saya memahami keadaan yang sedang dialami oleh rakyat ketika ini. Apatah lagi kita sekarang berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan ditambah pula dengan tibanya musim tengkujuh. Sudah tentu sedikit sebanyak ia menjejaskan pendapatan sebahagian daripada mereka ini. Oleh yang demikian, kita mengadakan program ini pada hari ini," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu turut menjelaskan, majlis itu diadakan secara ringkas serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, penjarakan sosial dan tidak bersentuhan. "Penyerahan sumbangan pula berlangsung secara berperingkat dimana kita mula mengagihkannya sejak pagi sehingga selesai pada waktu tengahari. Ia dilaksanakan sedemikian bagi memastikan penerima sumbangan tidak berkumpul di sini dalam jumlah yang sangat ramai," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas selesai majlis tersebut.
18 Nov 20
297