lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

PPS Bukit Besi Ditutup
PPS Bukit Besi Ditutup
DUNGUN, 29 November- Tiga Pusat Pemindahan sementara (PPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah ditutup kira-kira 12 tengahari, hari ini melibatkan Dewan Serbaguna Kampung Minda, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Pasir Raja. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, PPS yang mula dibuka pada Jumaat lalu dengan menempatkan 105 buah keluarga dengan jumlah 339 mangsa. "Dimana ketiga-tiga PPS berkenaan telah diarahkan tutup memandangkan air telah kembali surut dimana paras sungai di Pasir Raja, Kuala Jengai dan Jambatan Jerangau telah kembali ke paras normal. "Diharapkan cuaca baik ini berterusan. Sekarang ini apabila PPS telah ditutup masing-masing akan pulang ke rumah dalam keadaan rumah sudah tentu didalam keadaan berlumpur, kotor dan sebagainya. "Insya Allah di peringkat kita dibantu badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya akan melakukan kerja-kerja pasca banjir dengan bergotong royong membersihkan rumah penduduk dengan memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan dipatuhi dengan sebaik-baiknya," ujarnya ketika ditemui pihak media, hari ini. Mengulas lanjut katanya, pelbagai pihak telah tampil memberi pelbagai bantuan sepanjang tempoh berkenaan. "Diantara yang telah turun padang menyantuni mangsa-mangsa banjir ialah Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato' Siti Zailah Yusoff yang telah mengadakan kunjungan petang semalam, Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli bersama isteri, Pengerusi KHIDMAT Malaysia Cawangan Dungun, Alias Harun. "Serta semua agensi dan jabatan yang terlibat seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pegawai Daerah Dungun, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatatan Malaysia, Jabatan Amal Malaysia, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, sukarelawan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta seluruh pihak samada terlibat secara lansung atau tidak lansung  yang telah menghulurkan bantuan berupa kit makanan, sokongan dari sudut moral dan sebagainya bagi memastikan kebajikan mangsa-mangsa ini terjaga serta tempoh sepanjang berada di pusat pemindahan ini berada didalam keadaan yang baik " ujar beliau. Katanya, sepanjang tempoh berkenaan tiada berlaku perkara di luar jangka serta tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini, malah bencana berkenaan telah dapat diurusan dengan baik oleh semua pihak yang terlibat.
29 Nov 20
457
Mangsa Banjir Gembira Dibenar Pulang
Mangsa Banjir Gembira Dibenar Pulang
KUALA NERUS, 29 November – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah mangsa-mangsa banjir setelah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Tok Jembal ditutup sepenuhnya pada pagi kelmarin. Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Zainal Lasim, berkata semua kawasan terjejas ditenggelami air sudah pun surut sepenuhnya selepas empat hari beroperasi ekoran cuaca cerah. Katanya, sebelum ini SK Tok Jembal menempatkan seramai 127 mangsa membabitkan 32 keluarga pada hari pertama sebelum ditutup pada jam 10 pagi. “Bagaimanapun, pihak sekretariat terdiri daripada Pusat Khidmat DUN Seberang Takir, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sentiasa bersedia melakukan pemantauan keadaan hujan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab dalam ucapanya selepas penyerahan sumbangan menegaskan, kerajaan negeri sentiasa menitikberatkan kebajikan mangsa-mangsa sepanjang berada di PPS seperti penyediaan makanan, khemah, dan keperluan lain.  
29 Nov 20
348
Tabung Perumahan Zahir Keprihatinan Kerajaan
Tabung Perumahan Zahir Keprihatinan Kerajaan
DUNGUN, 26 November- Tabung Perumahan RM 50 juta yang diumumkan baru-baru ini oleh Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2021 menzahirkan keprihatinan kerajaan dalam membela nasib golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman sendiri. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, sebaik sahaja perkara itu diumumkan rata-rata penduduk di DUN berkenaan memberikan respon yang sangat baik. "Ramai yang merujuk pada saya mengenai perkara ini dan memuji tindakan belajawan pada kali ini yang berasakan lima teras utama. Ini merupakan suatu yang sangat mengembirakan apabila tabung ini disediakan kerana selama ini memohon pinjaman melalui bank yang sedia ada sangat sukar dan memerlukan penyata kewangan. "Jadi insiatif ini dilihat sangat bertepatan dalam membolehkan golongan berpendapatan rendah ini tidak lagi tinggal menyewa, sebaliknya boleh memiliki kediaman sendiri serta boleh mengatur kehidupan yang lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Belajawan 2021 yang telah dibentangkan baru-baru ini, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, secara keseluruhan belanjawan yang dikemukakan itu sangat menjaga kebajikan seluruh golongan rakyat di negeri ini. "Dari penjawat awam sehingga ke petani, peniaga kecil , samada rakyat yang tinggal di bandar mahupun luar bandar, golongan tua mahupun anak muda dari kalangan belia semuanya mendapat manfaat dari belanjawan berkenaan," ujarnya.
26 Nov 20
240
Lapor Segera Jika Kediaman Dinaiki Air
Lapor Segera Jika Kediaman Dinaiki Air
DUNGUN, 26 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun meminta penduduk di kawasan yang sering mengalami banjir segera melaporkan sekiranya kediaman mereka dinaik air agar tindakan pencegahan dapat dilakukan lebih awal. Katanya, laporan boleh dibuat kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) terlebih dahulu. "Bila hujan lebat dan sudah nampak tanda-tanda nak banjir, segeralah lapor kepada MPKK supaya tindakan selanjutnya dapat diambil.  "MPKK akan menghubungi Penghulu Mukim untuk memaklumkan kepada Sekretariat Bencana Daerah untuk tindakan sewajarnya, " katanya ketika dihubungi pemberita selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Pulau Serai, Balai Besar dan Batu Tiong, semalam. Alias menasihatkan, mereka yang ditempatkan di PPS sentiasa menjaga batas pergaulan, menutup aurat dan tidak meninggalkan solat lima waktu. "Walaupun kita tidak duduk di rumah tapi solat kena buat, jangan tinggal sembahyang walaupun kita rasa payah nak sembahyang insya-Allah, Allah tolong kita kalau kita solat dan sabar," ujarnya. Menurut laporan Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang, sehingga tengah malam semalam hanya empat PPS dengan jumlah mangsa seramai 98 orang di DUN Rantau Abang masih dibuka berbanding lima sebelum ini. PPS Seberang Pintasan iaitu di Dewan Sivik Seberang Pintasan telah ditutup pada pukul 5.30 petang semalam.
26 Nov 20
175
Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia
Golden Pharos Terengganu Menang Anugerah CSR Terbaik Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 November - Golden Pharos Bhd (GPB), syarikat pembalakan milik Kerajaan Negeri Terengganu, mengungguli anugerah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Laporan Kelestarian Terbaik anjuran CSR Malaysia. GPB yang memenangi anugerah tersebut bagi kategori pembalakan dan kilang papan berdiri setanding dengan syarikat terkemuka negara seperti Tenaga Nasional Bhd, Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd, Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dan Bank Rakyat. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Nadza Abdul berkata, penganugerahan tersebut merupakan satu lagi kejayaan buat Kumpulan GPB apabila berjaya terpilih dan bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi yang lain. “Kemenangan ini merupakan satu mercu tanda kepada syarikat untuk terus menjalankan CSR selari dengan polisi syarikat yang turut menekankan kelestarian alam semula jadi. “Penganugerahan Laporan Kelestarian 2019 terbaik yang diterima oleh GPB membuktikan bahawa kita komited bagi memastikan alam semula jadi terpelihara dan ia juga satu cabaran yang lebih besar di masa hadapan untuk membuat yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sebelum ini GPB turut mencatatkan sejarah di kalangan anak-anak syarikat milik Kerajaan Negeri Terengganu apabila tercalon sebagai syarikat ketiga terbaik dalam Laporan Kelestarian di seluruh Asia bersama-sama dengan syarikat Sunway Construction Group Bhd, Singapore Exchange Limit dan New World Development Company Limited dari Hong Kong di Majlis Anugerah Asia Sustainability Reporting Awards 2019.
26 Nov 20
894
Pasang Perangkap Kera Dan Khinzir Elak Ganggu Penduduk
Pasang Perangkap Kera Dan Khinzir Elak Ganggu Penduduk
MARANG, 25 November - Perangkap tambahan yang baru diserahkan bagi mengawal dan mencegah populasi kera dan khinzir yang menggangu ketenteraman penduduk akan diletakkan di lokasi secara bergilir-gilir. Sebanyak lima perangkap kera dan khinzir telah dipasang dan diletakkan di beberapa lokasi tumpuan haiwan liar tersebut beberapa hari lepas oleh Jabatan Perhilitian Negeri Terengganu. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria berkata, perangkap ini telah diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu untuk dijaga dan diselenggara dengan baik. "Perangkap tambahan ini merupakan inisiatif bagi membantu masalah kekurangan perangkap di kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang daripada peruntukan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar." katanya. Beliau berkata sebaik sahaja selesai program serahan perangkap kepada Ketua Perhilitan Daerah Kuala Terengganu, Nik Norhafizah Daud, ahad lalu. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, perangkap ini akan sentiasa beralih ke lokasi-lokasi berdasarkan aduan yang diterima daripada Perhilitan dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung. "Setakat ini ada, ada seekor khinzir yang berkeliaran di kawasan bandar Marang dan beberapa ekor kera di lokasi taman perumahan telah berjaya masuk ke dalam perangkap yang dipasang.  "Antara lokasi yang telah dipasang adalah di Kampung Bukit Rhu Rendang, Gong Nangka, Seberang Marang, Darat Pak Chan, Bukit Kemas, Bandar Marang dan Rusila. "Haiwan yang masuk dalam perangkap akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan dan Veterinar untuk beberapa urusan seperti mengambil sampel serta organ", tambahnya lagi.
25 Nov 20
879
Lima Keluarga Gembira Terima Kunci Rumah PPRT
Lima Keluarga Gembira Terima Kunci Rumah PPRT
DUNGUN, 25 November- Lima keluarga yang terpilih bagi mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) gembira setelah menerima kunci kediaman masing-masing. Seorang penerima, Che Wan Jamsari Che Wan Mohamad, 38, berkata detik tersebut telah dinantikan sekian lama kerana selama ini hanya menumpang di rumah ibu bapa bersama isteri, Nosuhaila Ramli, 41, bersama empat orang anak. "Saya sangat bersyukur terima rumah ini, dahulu pernah memohon tapi dimaklumkan tiada kekosongan kemudian melakukan permohonan sekali lagi pada tahun 2018. Alhamdulillah ada rezeki saya pada tahun ini. "Gembiralah sebab dapat mendiami rumah sendiri kerana sebelum ini tinggal dengan emak dan ayah, dalam rumah tersebut ada tiga buah keluarga jadi tidak sesuai kerana semua telah ada anak yang dewasa," ujarnya ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPRT Chemuak yang telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang dan juga Penghulu Mukim Jengai, Yulandee Che Mohd. Sementara itu Ghazali berkata, penyerahan kunci berkenaan amat bermakna buat lima keluarga berkenaan yang selama ini didapati menumpang rumah ibu bapa serta ada yang tinggal menyewa. "Juga disegerakan kerana ada diantara peserta yang mana apabila hujan lebat rumah mudah dinaiki air, jadi paling tidak masalah dihadapi kelima-lima mereka telah selesai. "Harapan saya memandangkan rumah PPRT ini dibina saling berdekatan maka perlu diwujudkan suasana yang harmoni, boleh bertolak ansur dan saling bekerjasama untuk bergotong-royong dan pelbagai aktiviti yang lain untuk manfaat bersama ke arah kesejahteraan," ujarnya.
25 Nov 20
655
'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'
'Kali Pertama Dipindahkan Undang Berbagai Rasa'
KUALA TERENGGANU, 24 November – Penempatan seramai 10 buah keluarga yang berjumlah 25 orang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Chendering mendapat reaksi yang pelbagai. Namun,rata-rata daripada mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut bersyukur dan berterima kasih atas kemudahan asas yang disediakan oleh pihak berkuasa. Seorang mangsa yang tinggal di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai, Maimun Ali, 53 mengatakan perasaannya bercampur baur kerana ini merupakan pengalaman yang pertama kali beliau rasai. “Rasa teruja ada dan rasa bimbang juga ada kerana kita bimbang dengan keselamatan rumah. “Tapi, alhamdulillah barang-barang di rumah semua telah diangkat ke tingkat atas dan saudara yang terdekat ada untuk menjaga rumah tersebut,” katanya. Manakala bagi Tuan Kalsum Abu Bakar, 70 merasa bimbang akan keselamatan keluarga dan rumah yang diitinggalkan. “Di rumah ada cucu yang tidak berpindah ke sini kerana ingin menjaga rumah dan ada yang tumpang tinggal di rumah saudara yang berdekatan," katanya ketika di temu bual oleh wartawan. Turut memeberikan respon sama sepasang suami isteri Mohd Harun Awang, 70 dan Ngah Ali, 74 yang berkongsi pengalaman diselamatkan oleh pihak bomba menaiki bot penyelamat. Sementara itu, pengamal perubatan, Dr. Farhaana Husainy Hasbullah telah datang ke PPS tersebut bagi menemui mangsa banjir di situ. Beliau yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi, turut menghulurkan sumbangan berupa bekalan makanan dan pakaian kepada mangsa. 
24 Nov 20
331
Harapan Nelayan Sungai Bandar Chukai Tertunai
Harapan Nelayan Sungai Bandar Chukai Tertunai
KEMAMAN, 24 November - Hasrat nelayan di Jeti Sungai Bandar Chukai di sini untuk mempunyai bekalan air bersih di kawasan jeti mereka sejak beberapa tahun lalu akhirnya tertunai. Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Tengah Chukai, Sirat Nasam, 63, menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang merealisasikan impian nelayan di sana. Katanya, kesungguhan Hanafiah juga wajar dipuji apabila menaja sepenuhnya kos pemasangan paip air itu. "Sebelum ini mereka terpaksa mendapatkan bekalan air bersih di kawasan yang jauh sedikit daripada jeti. "Oleh yang demikian, mereka inginkan bekalan air bersih di kawasan jeti ini bagi memudahkan urusan mencari rezeki, akhirnya hari ini mereka dapat merasai dan menikmatinya. Ini semua kerana keprihatinan Yang Berhormat (YB) kepada nelayan di sini," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini. Hanafiah Mat yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu sebelum ini turut membelanjakan peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menanggung kos baik pulih Jeti Nelayan Sungai Bandar Chukai itu. Foto oleh - Azizi Zakaria.    
24 Nov 20
326
Rumah Terbakar Gara-Gara Lilin
Rumah Terbakar Gara-Gara Lilin
KEMAMAN, 24 November - Tiga beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang didiami di Kampung Bakau Tinggi di sini musnah dalam kebakaran malam kelmarin. Mohammad Khairul Rizam Ahmad Zainuddin, 27, bersama isterinya Syafiqah Mustafa, 26, serta anak Mohd Adam Rizqi, 2, sedang tidur ketika berlaku kejadian tersebut pada jam 11.00 malam. Menceritakan kejadian itu, Mohammad Khairul berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada sebatang lilin yang dinyalakan di atas almari selepas bekalan elektrik di rumahnya terputus. Dalam kejadian itu, jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai serta Balai Bomba dan Penyelamat Kemaman berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan sekitarnya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat turut hadir pada malam tersebut. "Saya telah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kemaman untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut hadir ke rumah keluarga mangsa di Kampung Pengkalan Sir bagi menyerahkan sedikit sumbangan wang tunai, semalam. Foto oleh - Azizi Zakaria
23 Nov 20
124