lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

YB Amzad Sumbang ‘Chainsaw’, Mesin Rumput kepada MPKK
YB Amzad Sumbang ‘Chainsaw’, Mesin Rumput kepada MPKK
KUALA TERENGGANU: 2 Disember - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim melalui pusat khidmat kawasannya, mengagihkan mesin ‘chain saw’ (gergaji rantai) dan ‘grass machine’ (mesin rumput) kepada beberapa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi membantu memudahkan urusan pentadbiran peringkat kampung. Pengerusi MPKK Kubang Jambu, Ibrahim Mat Zaki Mat Rani, 58, yang turut menerima bantuan tersebut berkata, pihaknya amat memerlukan gergaji rantai itu bagi kerja-kerja menebang pokok tumbang. Ini kerana, musim tengkujuh yang sedang melanda negeri-negeri pantai timur terutama Terengganu, bukan sahaja menyebabkan hujan lebat dan banjir, tetapi juga masalah pokok tumbang. “Alhamdulillah, dengan adanya mesin ‘chain saw’ ini lebih mudah untuk pihak MPKK (DUN Wakaf Mempelam) melaksanakan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang. “Kita (MPKK) juga perlu kepada mesin rumput untuk kerja-kerja pembersihan rumput di kawasan tumpuan awam,” katanya selepas menerima sumbangan  di Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu, semalam Sumbangan disampaikan oleh Pegawai Perhubungan dan  Kemasyarakatan Parlimen Kuala Terengganu, Haji Zulkifli Wahab mewakili Ahli Parlimennya, Ahmad Amzad Hashim kini bertugas di Dewan Rakyat. Manakala, Mohamad Yasin Muda, 57, dari Kampung Ladang Titian menjadi salah seorang dari dua penerima individu bantuan tersebut. “Saya pembuat sarung keris dan kraftangan, jadi saya perlu kepada mesin ‘chain saw’ ini untuk buat kerja-kerja tebang pokok dan kayu. Alhamdulillah, dengan sumbangan ini lebih memudahkan kerja saya, terima kasih. Bagi Daud Muda, 66, dari Kampung Tiong Jalan Banggol (DUN Bandar) pula, sumbangan mesin rumput memudahkannya memperolehi kerja-kerja memotong rumput di kawasan perkuburan Lorong Kemunting, Kuala Terengganu. “Saya guna mesin ini untuk buat kerja-kerja memesin rumput di kawasan tanah perkuburan dan rumah-rumah penduduk di kawasan ini,” jelasnya.  
02 Dec 20
599
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
Pasar Nelayan Baharu Dibuka Di Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 2 Disember – Pembukaan Pasar Nelayan di Pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Chendering, sejak semalam mendapat sambutan yang menggalakkan. Timbalan Pengarah LKIM Terengganu, Haslin Marlina Hashim memaklumkan, pasar terbabit diwujudkan bagi menjaga kebajikan para nelayan disamping menawarkan harga jualan yang berpatutan kepada pembeli. “Hari ini merupakan percubaan  untuk melihat sambutan masyarakat setempat. Sekiranya sambutan yang menggalakkan ini berterusan, pihak LKIM akan perluaskan lagi pemasaran dan akan menambahkan lagi infrastruktur di sini," katanya.   Dalam pada itu, Pengurus Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu), Zahan bin Mamat menyifatkan, dengan adanya pasar tersebut diharapkan agar suasana di Pelabuhan LKIM Chendering ini akan kembali meriah setelah sekian lama menjadi suram. “Alhamdulillah kita lihat sambutan yang memberangsangkan dan kita juga ada membuat perkhidmatan penghantaran kepada pembeli di sekitar Kuala Terengganu ini,” katanya kepada pemberita sewaktu kunjungan di lokasi tersebut, semalam. Disamping itu, rata-rata peniaga memberikan respon yang positif kerana kemudahan yang disediakan sangat baik dan mesra pengguna.   Pembukaan Pasar Nelayan ini turut menarik perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang turut hadir bagi meninjau dan beramah mesra bersama para peniaga di situ. Sebagai makluman, Pasar Nelayan ini akan dibuka setiap hari bermula jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.
01 Dec 20
4601
12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
12 Tahun Hidup Tanpa Elektrik, Air
SETIU, 1 Disember - Fatimah Ismail, 54, terpaksa mendiami rumah usang bersama dua lagi anaknya tanpa bekalan elektrik dan air sejak 12 tahun lalu akibat kesempitan hidup. Lebih menyedihkan apabila rumah berusia 25 tahun di Kampung Pandu, Wakaf Chagak itu sering mengalami kebocoran atap dan berkeadaan sangat kotor. Fatimah berkata, selepas bercerai dengan suaminya pada 2010, kehidupan dia bersama dua lagi anaknya semakin tidak terurus. "Muhamad Shahmil Yahaya, 18, baru mendapat kerja melalui bapa saudaranya dengan menjadi nelayan di Tanjung Dawai, Kedah, manakala Muhamad Farid Yahaya, 21, pula baru hilang kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini dan menyebabkan pendapatan kami tidak menentu. "Pendapatan Shahmil dan saya hanya kerja pembantu di Kedai Roti Canai tidak seberapa namun cukup untuk kami makan minum, kini kami hanya bergantung harap kepada anak bongsu saya Shahmil. "Tiga orang tinggal di rumah buruk dan sempit ini. Kami hanya mampu menagih simpati daripada beberapa individu prihatin yang ada memberi sumbangan makanan," katanya ketika ditemui di kampung Pantai Batu Rakit baru-baru ini. Sementara itu, Shahmil turut berkongsi keperitan hidup mereka membesar dengan serba daif serta terpinggir daripada masyarakat. "Ketika bersekolah saya membuat ulang kaji dan kerja sekolah hanya bercahayakan pelita. Sejak lahir saya dibesarkan di dalam 'kegelapan' dengan kehidupan yang daif di rumah ini tetapi saya bersabar kerana inilah syurga saya. "Saya tidak akan meninggalkan ibu saya yang kini sering jatuh sakit dan tua. Saya akan jaga mereka sehingga akhir hayat saya. Menyedari penderitaan mereka sekeluarga, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kesukaran keluarga terbabit telah diselesaikan segera. “Syukur Alhamdulillah mereka tiga beranak telah berpindah ke rumah sewa di Pantai Batu Rakit, saya dan team akan bayar sewa rumah setiap bulan dan kami membeli tilam, rak baju, rak pinggang, tong gas, barangan harian dapur dan sedikit sumbangan duit,” katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Orang ramai yang ingin membantu boleh menziarah rumah mereka di Pantai Batu Rakit, Kuala Nerus atau menghubungi saudara Fadol di talian 019-9569913 (bahagian pengurusan bayaran sewa rumah) atau boleh salurkan sumbangan melalui Kelab Sahabat Cakna (1301-0006296-71-2) Bank Muamalat.
01 Dec 20
937
Dapur Rakyat Ringan Beban Mangsa Banjir
Dapur Rakyat Ringan Beban Mangsa Banjir
KEMAMAN, 1 Disember - Program Dapur Rakyat yang diusahakan kerajaan negeri berjaya meringankan beban mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim yang mengambil inisiatif dan bertindak cepat bagi membantu mangsa banjir. "Saya difahamkan lebih RM5,000 dibelanjakan bagi menyediakan makan tengah hari untuk diagihkan kepada mangsa banjir, semalam. Setiap rumah di Kampung Teladas dan Kampung Air Putih menerima lima bungkus nasi putih berlauk gulai daging. "Ia diadakan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk dan masih belum sempat untuk memasak. Kebanyakan daripada mereka terpaksa menumpukan pada proses membersihkan rumah. Insya-Allah, hari ini pula sekali lagi kita akan adakan dapur rakyat ini dan akan diagihkan kepada mangsa banjir di Felda Seberang Tayor. "Mereka yang terjejas juga menerima sumbangan beras dan barangan dapur. Segala bentuk bantuan dan sumbangan akan disalurkan secara berperingkat mengikut keadaan dan situasi semasa," ujarnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Dalam perkembangan sama, Hanafiah turut melahirkan rasa gembira dan terima kasih kepada semua pihak termasuk seluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) ataupun sebagainya yang turut sama menyumbang sama ada berbentuk tenaga, barangan ataupun kewangan. "Namun begitu, cuaca masih tidak menentu. Saya mengharapkan semua pihak terus berada dalam siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang mungkin boleh berlaku di musim tengkujuh ini," ujarnya yang juga merupakan Pengerusi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu.      
01 Dec 20
294
Ahli Parlimen Kemaman Sumbang Van Jenazah
Ahli Parlimen Kemaman Sumbang Van Jenazah
KEMAMAN, 30 November - Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid menyumbangkan dua buah van jenazah kepada Surau Padang Lalang, Neram Air Putih dan Surau Al-Huda Kemasik di sini. Katanya, kenderaan bernilai RM150,000 adalah untuk kemudahan ahli kariah masjid dan surau di dua tempat utama berkenaan. "Mengambil kira kemudahan yang ada apabila mempunyai van jenazah sendiri mempercepatkan urusan pengebumian," katanya kepada pemberita. Majlis penyerahan van itu telah di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman di Chukai. Gimik penyerahan dijayakan wakil syarikat Weststar Global Komited Sdn. Bhd. kepada Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu (PPNT), Dato' Indera Nik Nasaruddin seterusnya kepada Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid. Hadir sama Pengerusi Surau Padang Lalang Neram, Nik Awang dan Pengerusi Surau Al-Huda Kemasik, Ismawi Ahmad menerima replika kunci berhadapan Van Jenazah daripada Ahli Parlimen Kemaman. Jelas Nik Awang, beliau menghargai keprihatinan Che Alias dalam memudahkan pengurusan jenazah ahli kariah. "Terima kasih yang tidak terhingga kepada Yang Berhormat Ahli Parlimen Kemaman atas sumbangan van tersebut, sememangnya pihak surau amat memerlukan" ujar Nik Awang ketika ditemui selepas majlis penyerahan. Turut bersama dalam majlis penyerahan Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh dan Wakil-wakil DUN.
30 Nov 20
1337
JKM Pertimbang Tambah 8,000 Peluang Kerja
JKM Pertimbang Tambah 8,000 Peluang Kerja
MARANG, 30 November -  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat Malaysia sedang mempertimbangkan kewajaran pertambahan sekurang-kurangnya 8,000 peluang pekerjaan dalam usaha pengstrukturan semula Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Timbalan Menteri kementerian itu, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, pertambahan itu bertujuan  memenuhi keperluan terdesak  terutama ketika berdepan dengan musim tengkujuh  di mana-mana negeri yang sering dilanda banjir, termasuk Terengganu.. "Melalui belanjawan yang dibentangkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia baru-baru ini, kerajaan bercadang untuk meluluskan 50,000 jawatan secara kontrak melalui Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak kementerian kami juga telah memohon sebanyak 8,000 jawatan untuk keperluan masyarakat. "Itu juga mungkin perlu ditambah lagi kerana saya melihat banyak isu-isu yang memerlukan tambahan tenaga kerja yang melibatkan kumpulan sasar di bawah Kementeria Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat,"katanya Lawatan bersama di Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang Menurut Siti Zailah, pihaknya  juga memahami bahawa tenaga JKM kini agak terhad di mana mereka bukan sahaja menguruskan permohonan dan kerja di pejabat, tetapi mereka juga perlu membuat siasatan terhadap kes aduan dan menjaga keperluan di pusat-pusat perpindahan sementara. "Oleh itu, kita juga sangat mengharapkan kerjasama dalam kerajaan dan juga sokongan daripada sukarelawan-sukarelawan serta daripada semua pihak untuk bersama-sama kita memastikan keperluan terutama di musim bencana dapat diberikan secara terbaik kepada rakyat yang memerlukan,"katanya.. Beliau berkata ketika hadir melawat Depoh Simpanan Keperluan Bencana Marang bersempena pelancaran program Kembara Perihatin Negara peringkat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, semalam. Turut hadir adalah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional, Alias Harun, ADUN Wanita Terengganu, YB Zuraida Md Noor, dan Pengarah JKM Negeri Terengganu, Zuhaimi Omar. Ziarah dan penyerahan kerusi roda kepada penduduk setempat yang uzur Sementara itu, dalam aktiviti ziarah yang dilakukan di beberapa rumah penduduk sekitar, beliau menjelaskan bahawa tujuan program turun padang ini adalah bertujuan untuk melihat sendiri keadaan dan perkembangan semasa klien di bawah JKM. "Setinggi penghargaan kepada kakitangan JKM, sukarelawan dan semua pihak yang bergitu tekun serta perihatin terhadap kebajikan rakyat terutama golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan terlantar khususnya yang perlu dibantu sepanjang masa. "Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang di mana saya dimaklumkan bahawa satu inisiatif telah diambil untuk membaik pulih rumah seorang penduduk yang merupakan penerima bantuan JKM."
30 Nov 20
357
65 Orang Terima Bantuan Cermin Mata
65 Orang Terima Bantuan Cermin Mata
BESUT, 30 November - Seramai 65 orang menerima bantuan cermin mata peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh. Pegawai Penyelaras Dun Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, cermin mata merupakan satu keperluan yang penting bagi mereka yang mengalami masalah penglihatan. "Bantuan ini merupakan usaha kerajaan negeri bagi membantu serta meringkan kos yang dihadapi oleh masyarakat. Saya berharap bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh penerima untuk melakukan seberapa banyak kebaikan,' ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Bantuan Cermin Mata di Kampung Padang Luas, Jerteh. Beliau juga berharap agar bantuan ini diteruskan bagi memberi kemudahan kepada masyarakat yang memerlukan.
30 Nov 20
336
Mangsa Ribut Terharu Rumah Dibaik Pulih
Mangsa Ribut Terharu Rumah Dibaik Pulih
KUALA NERUS, 30 November - Seorang penduduk di Kampung Banggol Donas menlahirkan rasa terharu selepas kediamannya yang rosak teruk dibadai ribut pada 17 Oktober lalu selesai dibaik pulih. Pemilik rumah tersebut, Kamaruddin Muda, 50, berkata kecaknaan pemimpin setempat terhadap permasalahan penduduk memberinya banyak kelegaan. “Terima kasih YB dan juga pengurusan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Buluh Gading atas pembaikan ini. Jumlah kerosakan tersebut sangat tinggi dan sememangnya tidak mampu untuk saya tanggung,” jelas beliau semasa ditemui media di kediamannya semalam. Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banggol Donas, Rosli Bidin. Sementara itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim, pembaikan kediaman tersebut dimulakan seawal hari ketiga selepas berlakunya ribut tersebut. Beginilah keadaan rumah Kamaruddin yang rosak dibadai ribut, 17 oktober lalu “Pembaikan rumah tersebut bermula agak lambat kerana kita bersihkan pokok yang tumbang dahulu yang menimpa rumah tersebut. “Alhamdulillah kita berjaya membaik pulih rumah tersebut dalam masa empat hari dengan melibatkan kos sebanyak RM5,000,“ ujar beliau lagi. Beliau juga menyatakan pembaikan tersebut melibatkan penukaran atap, kayu dan juga struktur-struktur yang rosak pada rumah tersebut.   
29 Nov 20
182
200 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana
200 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana
BESUT, 30 November- Seramai 200 orang kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Besut yang diadakan di Kompleks Tahfiz Annur. Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, seramai tujuh orang doktor menawarkan khodmat pada program yang berlangsung selama dua hari itu. "Alhamdulillah,dalam keadaan serba kekurangan dan kekangan akibat COVID-19 kami dari Pejabat Penyelaras Parlimen Besut berjaya menganjurkan Khatan Perdana Peringkat Parlimen. "Terima kasih buat semua yang telah menjayakan program ini terutama para medik dari Papisma,MediCom dan agensi bukan kerajaan (NGO) yang bertungkus lumus memandangkan program kali ini tidak mudah seperti sebelumnya kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," ujarnya. Katanya,prgram khatan perdana diadakan setiap tahun bertujuan untuk menolong warga Besut khususnya yang kurang berkemampuan ditambah pula sekarang ramai yang terkesan dengan COVID-19. "Program ini juga diselitkan dengan rawatan kesihatan dan rawatan pergigian untuk kanak-kanak secara percuma bagi peserta dan pengiring yang hadir. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat membantu masyarakat yang terjejas," ujarnya.
29 Nov 20
254
'Banjir Kepala Air' Di Air Putih
'Banjir Kepala Air' Di Air Putih
KEMAMAN, 30 November - Banjir yang melanda Kampung Air Putih dan sekitarnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih dikatakan sebagai 'banjir kepala air' kerana ianya naik secara mendadak selepas hujan lebat seharian baru-baru ini. Seorang mangsa yang ditemui, Abdulmin Ambing, 49, memberitahu, air bercampur lumpur yang naik secara tiba-tiba membuatkan beliau dan keluarganya tergamam. "Air mengalir dengan laju dan memenuhi ruang dapur dengan cepat sekali. "Keadaan menjadi kelam kabut, saya dan keluarga terus keluar dari rumah dan pergi ke tempat yang lebih tinggi untuk menyelamatkan diri. "Nasib baik ianya berlaku pada siang hari kalau malam hari tak tahu lah macam mana," katanya. Abdulmin Ambing. Abdulmin berkongsi pengalamannya ketika ditemui oleh Urusetia Penerangan Darul Iman di Kampung Air Putih kelmarin. Sehingga kini hanya tinggal lima orang mangsa banjir daripada jumlah keseluruhan iaitu 1,380 orang mangsa di 11 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kelmarin yang masih tidak dibenarkan pulang iaitu di PPS Kampung Pasir Gajah di atas faktor keselamatan. Operasi pembersihan rumah yang terkesan melibatkan kira-kira 300 buah rumah mangsa sedang giat dijalankan dengan bantuan agensi kerajaan iaitu bomba, Anggota Penyelamat Malaysia (APAM), Pejabat Daerah, Pejabat Kesihatan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dari Jabatan Amal Kemaman.
29 Nov 20
892