Artikel "Komuniti" Terkini
30 Kucing Diselamatkan Petugas Banjir
Oleh: Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 4 Disember- Dalam kekalutan membantu mangsa banjir di Jalan Terkukur di sini, petugas banjir daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sempat menyelamatkan 30 ekor kucing terbiar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, kesemua kucing yang terperangkap di dalam air itu telah dipindahkan ke tempat yang selamat.
"Termasuk juga ikan-ikan hiasan milik penduduk turut diselamatkan dan ditempatkan sementara di pusat pemindahan di Balai Raya Jalan Tekukur," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah Dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Khidmat Banjir DUN Ladang di Balai Raya Jalan Tekukur, semalam.
Dalam lawatan itu, Tengku Hassan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) kepada mangsa banjir di pusat berkenaan.
Katanya, pusat berkenaan yang beroperasi 24 jam itu dibuka untuk membantu mangsa-mangsa banjir dan dikendalikan oleh MPKK di DUN tersebut.
"Mangsa banjir yang memerlukan bantuan makanan boleh mendapatkannya di pusat ini," ujarnya.
04 Dec 20
346
Penulis Otai Hadiahkan Buku Tanda 'Terima Kasih'
MARANG, 5 Disember - Seorang penulis otai menghadiahkan beberapa buah buku yang ditulisnya kepada jawatankuasa banjir dan sukarelawan sebagai tanda penghargaan kerana membantu membersihkan rumah akibat banjir kilat.
Rahimah Latif, 68, yang dilahirkan di Kuala Terengganu mula menulis pada awal tahun 1969 dengan bimbingan Allahyarham Harun Hassan dan Sukby Latif.
Beliau juga pernah berkerja sebagai wartawan sambilan di Utusan Malaysia dan BERNAMA, malah Cerpen, sajak, rencana beliau banyak tersiar dalam Utusan Malaysia dan Utusan Zaman.
Rahimah berkata, buku bertajuk Diari Ummi Untuk Rafiqah merakamkan catatan dan kisah berkaitan perjalanan seorang ibu yang bersemangat kental dalam membesarkan anak yang disahkan menghidap 'Brain Tumor'.
"Sebelum ini, hasil kutipan dan jualan buku daripada kisah benar ini juga turut disumbangkan kepada jabatan dan agensi tertentu," katanya.
Beliau berkata ketika kerja-kerja gotong royong membersihkan rumahnya oleh Jawatankuasa Bencana Banjir Dun Rhu Rendang dan Jabatan Amal Marang, semalam.
Dalam masa yang sama, satu jawatankuasa banjir Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang juga telah ditubuhkan bagi membantu mangsa yang terjejas banjir di mana Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat telah menjadi pusat sebagai bilik gerakan dan operasi.
Inisiatif ini ditubuhkan khas bagi membantu penduduk sekitar dan mangsa-mangsa di Pusat Perpindahan Sementara (PPS) ekoran pertambahan jumlah mangsa secara mendadak.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, dalam masa menghadapi banjir gelombang ketiga ini, jawatankuasa banjir telah memberi bantuan sokongan seperti membersihkan rumah kepada mereka yang memerlukan.
"Rumah puan Rahimah agak teruk terjejas, tambahan lagi beliau merupakan warga mas, dan mempunyai anak yang sakit dan Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Semalam, kita menghantar bekalan makanan, seperti roti dan air pada peringkat awal ke beberapa buah PPS, kemudian kita menghantar bungkusan nasi yang disediakan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung setempat
"Jawatankuasa ini tetap bersedia setiap masa dalam usaha membantu mangsa dan agensi yang terlibat dalam menguruskan bencana ini di sekitar Dun Rhu Rendang," tambahnya lagi.
04 Dec 20
422
Waspada Air Pasang Besar
DUNGUN, 4 Disember -Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harus mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah agar sentiasa berwaspada apabila hujan berterusan kerana ketika ini berlakunya fenomena air pasang besar.
Katanya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) telah mengeluarkan amaran akan berlaku air pasang besar bermula 1 Disember hingga 8 Disember ini.
"Hari ini baru 4 Disember, bila hujan tambah lagi air pasang, air sungai akan masuk ke parit dan boleh menyebabkan banjir.
"Justeru penduduk di Kampung Kubang Putat, Temiang, Baru Tiong dan Rantau Abang terutamanya diharap sentiasa bersedia untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian.
"Macam berlaku satu kes di Batu Tiong semalam, mangsa tersekat tidak boleh keluar, terpaksa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Tiong meminta bantuan Angkatan Pertahanan Awam untuk ambil dengan bot," ujarnya.
Alias berkata demikian selepas meninjau kawasan yang dinaiki air dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di beberapa tempat di DUN Rantau Abang, hari ini.
Beliau turut berharap agar ibu bapa tidak membiar anak-anak keluar bermain air dan sentiasa mengawasi mereka untuk mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Sementara itu, Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak tujuh PPS telah dibuka iaitu PPS Dewan Sivik Seberang Pintasan, Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, Sekolah Kebangsaan Balai Besar, Balai Raya Kampung Rantau Abang, Balai Raya Kampung Batu Tiong, Sekolah Kebangsaan Tok Kah dan Sekolah Kebangsaan Kuala Abang dengan seramai 197 orang mangsa banjir sehingga pagi tadi.
04 Dec 20
301
Bonjovi Bantu Bersih Rumah Mangsa Banjir
MARANG, 4 Disember - Sekumpulan 'Bonjovi' dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berpadu tenaga membersih dan mencuci rumah mangsa yang terlibat dalam banjir kilat di Taman Bukit Indah, Rhu Renggeh.
Kumpulan remaja yang terdiri daripada 15 sehingga 20 orang itu, merupakan sukarelawan yang sering terlibat dalam operasi membantu penduduk sekitar sekiranya memerlukan bantuan.
Pegawai Akademik Didik Ulamak Amilin Terengganu Dun Rhu Rendang, Mohd Fakhruddin Zakaria berkata, asalnya kumpulan itu ditubuhkan bagi memumpuk semangat dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan di kalangan remaja serta penduduk kampung.
Gotong royong menukar atap rumah penduduk yang rosak
"Mereka ini terdiri daripada remaja setempat yang sangat komited dalam memberikan khidmat kepada penduduk kampung dan masyarakat sekitar.
"Hari ini, mereka menawarkan diri untuk bersama-sama membersih, dan mencuci rumah yang dimasuki air dan banjir kilat ekoran daripada hujan lebat selama dua hari.
Beliau berkata sebaik sahaja selesai kerja-kerja membersihkan rumah mangsa banjir kilat bersama-sama Jabatan Amal Marang, dan Jawatankuasa Banjir Dun Rhu Rendang.
Turut hadir membersihkan kawasan rumah mangsa banjir kilat adalah Jabatan Amal Marang, Ahli Jawatankuasa Bencana Banjir Dun Rhu Rendang dan Muslimat Dun Rhu Rendang.
Menurutnya lagi, kumpulan ini juga adalah remaja kampung yang pada awalnya berkumpul untuk mengikuti kelas Al-Quran dan fardhu ain yang dilaksanakan di bawah gabungan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kijing dan paya.
"Banyak aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang telah dilakukan seperti membantu menukar atap rumah yang terlibat kebakaran, membersihkan kedai penduduk, membina gerai dan pondok mengaji, serta membersihkan rumah pesakit lumpuh," tahmbahnya lagi.
04 Dec 20
563
'Air Naik Dengan Cepat'
MARANG, 3 Disember - Hujan berterusan dan air pasang besar bermula semalam menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini dinaiki air dengan cepat.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, banjir besar ini berlaku hanya dalam masa beberapa jam.
Malah katanya, kejadian seperti ini belum pernah berlaku dalam tempoh 20 tahun seperti yang dimaklumkan oleh seorang penduduk terjejas yang kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
"Ada di kalangan mereka di sini (PPS) bersama-sama anak kecil, bayi yang baru berusia beberapa bulan, dan ada juga kanak-kanak yang baru sahaja berkhatan.
"Walau bagaimanapun kita mengucapkan terima kasih di atas kerjasama pihak jabatan dan agensi yang terlibat seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba, Angkatan Pertahanan Awam, RELA, dan Polis Diraja Malaysia dalam memastikan keselamatan penduduk terjamin.
"Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada 'Tentera Merah' iaitu Jabatan Amal yang turun serta merta membantu urusan perpindahan walaupun tidak dibayar sebarang imbuhan atau gaji," katanya.
Beliau berkata setelah hadir menziarahi mangsa banjir di PPS bersama-sama Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Sabri Zakaria, dan Ketua Lajnah Penerangan Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Najmuddin Rani.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerja-kerja membantu mangsa banjir akan terus dilakukan sehingga keadaan kembali normal.
"Pihak PKM bersama-sama Jabatan Amal Marang dan MPKK telah turun ke beberapa lokasi yang terjejas teruk untuk membantu urusan perpindahan, mengangkat barang dan membersihkan rumah.
"Kerja-kerja membantu telah dilakukan serta merta pada jam 8.30 malam, di antara lokasi awal adalah mangsa banjir kilat di Taman Bukit Indah.
"Hampir jam 12 malam, seorang wanita warga emas yang menghidap penyakit lumpuh juga turut dipindahkan segera ke PPS setelah ianya dibuka di Rusila dengan bantuan Jabatan Amal Marang dan penduduk setempat," ujar beliau.
Untuk rekod, empat PPS dibuka di daerah ini kepada mangsa banjir yang terjejas ekoran daripada hujan lebat dan air pasang yang bermula semalam.
Seramai 372 mangsa yang terdiri daripada 98 keluarga telah ditempatkan di empat buah PPS ini iaitu Sekolah Kebangsaan Rusila, Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing, Sekolah Kebangsaan Marang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Payong setakat dikemaskini pada jam 6.07 petang.
Jumlah terkini merekodkan bilangan mangsa tertinggi di Marang dari seluruh negeri Terengganu bermula semalam di mana tiga PPS yang dibuka adalah di dalam kawasan DUN Rhu Rendang dan satu di Bukit Payong.
03 Dec 20
395
Dua PPS Dibuka Di Kuala Besut
BESUT, 3 Disember - Dua Pusat Perpindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut hari ini.
Hujan lebat yang berterusan sejak semalam menyebabkan air naik dengan mendadak.
Dua PPS yang dibuka ialah bertempat di Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu dan Balairaya Kampung Lay Out Tok Has telah menempatkan lima buah keluarga.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh ketika menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Air Terjun menasihati supaya penduduk sentiasa berjaga-jaga.
“Saya berharap penduduk yang tinggal di kawasan rendah patuh dengan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.
“Insya-Allah kita sentiasa berdoa agar musibah ini tidak teruk”, ujar beliau.
03 Dec 20
133
Marang Catat Mangsa Banjir Tertinggi
MARANG, 3 Disember - Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu melaporkan daerah Marang mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 660 orang mangsa setakat jam 8.43 malam hari ini.
Sekretariat tersebut dalam satu laporan berkata, daripada jumlah tersebut, pusat pemindahan di SK Rusila mencatat angka paling tinggi iaitu seramai 186 orang daripada 49 keluarga.
Selain itu, sebanyak empat pusat pemindahan baharu dibuka hari ini iaitu di SMK Merchang, SK Tasek, SMK Seri Payong dan Dewan Sivik Pekan Wakaf Tapai yang turut mendorong peningkatan kes di daerah ini.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, sumbangan segera telah diberikan kepada semua mangsa banjir di daerah ini
"Alhamdulillah, kita (Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang) baru selesai membuat lawatan pusat pemindahan di SK Rusila pada hari ini dan di sini mangsa banjir ni agak ramai iaitu berjumlah 186 orang.
"Saya mewakili parlimen Marang turun melawat dan juga memberi sumbangan kewangan pada mangsa-mangsa banjir ini untuk meringankan beban yang dialami mereka," katanya kepada wakil wartawan UPDI sejurus selesai agihan bantuan bertempat di SK Rusila, dekat sini, hari ini.
Beliau turut mengulas berkenaan kesiapsiagaan jentera penyelamat dalam menghadapi apa-apa kemungkinan di luar jangka.
"Di samping itu, kita turut melihat dan meninjau perkembangan persediaan pihak berkuasa dalam misi bencana banjir ini. Alhamdulillah nampaknya sangat bagus," katanya
Berdasarkan tinjauan semasa yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air semasa di Sungai Marang mencatat bacaan 1.39m dan dalam trend menaik, namun belum memasuki zon waspada atau amaran.
03 Dec 20
693
Banjir Gelombang Ketiga Landa Terengganu
Oleh : Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 3 Disember - Fasa ketiga banjir bermula semalam berikutan hujan lebat serta berlakunya air pasang besar di Terengganu yang menyebabkan bandar raya Kuala Terengganu terjejas teruk.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Jabatan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memaklumkan julat hujan 200mm sebulan tetapi hari ini mencatatkan bacaan antara 180mm hingga 190mm.
"Jadi julat hujan yang begitu banyak menyebabkan paras air meningkat dan faktor lain, kita rekodkan hari ini berlakunya air pasang besar di laut yang menyebabkan aliran air hujan lebat menyebabkan takungan-takungan air agak lambat untuk turun ke laut," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) awal pagi tadi ketika meninjau situasi banjir di sini.
Che Adam
Menurutnya lagi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat Monsun Timur Laut bermula lewat petang hari rabu 2 Disember dengan hujan lebat yang berterusan selama enam jam, dan disertai juga dengan ribut petir.
"Tinjauan kita bahawa beberapa tempat di tengah-tengah bandaraya Kuala Terengganu dinaiki air yang agak banyak proses pemindahan berlaku di beberapa kawasan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.
"Jika awal pagi ini masih turun begini akan berlaku juga pemindahan di daerah Kemaman, yang mana data-data masih dalam pengumpulan lagi. Air pasang juga kita jangkakan akan berlaku pada jam 2.00 pagi akan mengalami proses surut di peringkat laut," katanya lagi.
Beliau turut memberitahu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana di setiap daerah berada dalam keadaan bersiap siaga rentetan gelombang kedua minggu lalu.
"Pada tengah malam tadi, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan amaran cuaca buruk di kawasan utara Terengganu melibatkan Setiu dan juga Besut, jadi implikasi hujan lebat boleh mengakibatkan hujan lebat boleh mengakibatkan hujan lebat di kawasan utara Terengganu hari ini," ujarnya.
Katanya, sebahagian penduduk masih lagi agak terkejut daengan implikasi hujan yang agak lebat itu termasuklah kawasan-kawasan yang tidak pernah mengalami banjir sebelum ini dan ataupun sudah lama tidak mengalami banjir.
"Insya-Allah jika hujan reda dalam tempoh 24 jam atau 48 jam lagi kebarangkalian untuk kawasan mereka pulih, jadi apabila mereka balik nanti diminta berhati-hati proses pencucian di tempat mereka untuk lebih dari aspek keselamatan, mungkin objek-objek yang tajam ataupun binatang berbisa boleh keluar daripada kawasan tersebut," tambah beliau.
03 Dec 20
874
Nadia Terima Alat Bernafas Baharu
KEMAMAN, 2 Disember - Sebanyak RM19,500 telah diperuntukan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu kepada adik Nurul Nadia Nahyuddin, 28, bagi pembelian sebuah alat bantuan pernafasan mudah alih.
Nadia yang mengalami pendarahan paru-paru dan telah menggunakan alat bantuan pernafasan sejak berusia 12 tahun.
Nadia ketika ditemui media bersyukur ke hadrat Ilahi serta mengucapkan terima kasih kepada pihak JKM serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang membantu beliau mendapatkan bantuan itu.
"Ia dapat memudahkan urusan saya untuk menggunakannya jika ingin ke hospital untuk menerima rawatan susulan," katanya.
Dia berkata demikian selepas menerima sumbangan alat bantuan pernafasan mudah alih yang disampaikan oleh ADUN Cukai yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat di rumahnya di Kampung Gong Pauh, semalam.
Turut bersama dalam penyerahan sumbangan itu ialah Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd Noorhadi Mohd Yusof.
Dia sebelum ini mengalami kesukaran untuk ke hospital kerana perlu bergantung pada alat bantuan pernafasan, namun mempunyai alat bantuan bantuan pernafasan elektrik yang hanya boleh digunakan di rumah.
"Saya sebelum ini juga mempunyai beberapa alat bantuan pernafasan ini namun ianya telah rosak," ujarnya.
Dalam pada itu, Nadia memaklumkan turut menerima sumbangan kewangan daripada orang ramai yang bersimpati dengan nasibnya.
Sumbangan yang diberikan itu akan digunakan untuk kos penyelenggaraan mesin dan juga kos perubatan.
02 Dec 20
110
Peniaga Pasar Marang Kembali Ke Tempat Berniaga Asal
MARANG, 2 Disember - Puluhan peniaga Pasar Marang mula kembali berniaga di tempat asal selepas beberapa minggu dipindahkan ke tempat baru kerana arahan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
Perpindahan ke tempat baru menyebabkan aktiviti jual beli sedikit perlahan kerana agak jauh dari bangunan utama pasar sehingga menimbulkan keluhan daripada peniaga-peniaga sekitar yang terjejas.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata isu keluhan peniaga ini telah mendapat perhatian dan telah beberapa kali dibawa ke dalam mesyuarat untuk diambil tindakan.
Katanya, rundingan yang diadakan bersama pihak Majlis Daerah Marang, Ahli Majlis Daerah dan peniaga pasar telah diadakan ke arah mencapai penyelesaian bersama di samping mengelakkan penularan wabak pandemik Covid-19.
"Hari ini, kita bersama-sama turun bagi melihat aktiviti perniagaan setelah diambil tindakan untuk balik semula ke tempat asal dengan pematuhan SOP baru yang ditetapkan.
"Sebanyak empat pintu atau laluan masuk akan dibuka kepada pembeli serta orang awam dan akan dikawal ketat oleh pihak penguatkuasa MDM yang dibantu oleh persatuan penjaja secara bergilir," katanya.
Menurutnya lagi, pihak terlibat memahami masalah yang mungkin dialami oleh peniaga namun dalam keadaan semasa, masyarakat dan jabatan perlu mengambil berat masalah penularan wabak yang sedang meningkat.
"Lebih-lebih lagi, kes-kes yang berlaku melibatkan kawasan sekitar menambah kegelisahan kita dari sudut penjagaan SOP dan aktiviti sosial yang dijalankan.
"Sebarang keputusan atau perubahan melibatkan keselamatan dan masalah penularan wabak ini perlu diteliti secara berhati-hati bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini.
"Namun, pihak terlibat akan sentiasa memantau dan meninjau isu-isu berbangkit yang melibatkan masyarakat dengan membuat keputusan yang terbaik demi kesejahteraan bersama," ucapnya lagi.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Ahli Majlis Daerah Marang, Yusuf Abdul Hadi, Penolong Pegawai Penilaian Kanan, Mohd Khalid Awang, Ketua Penguatkuasa MDM, Mohd Azam Arsad, MPKK Batu Merah dan wakil persatuan penjaja.
02 Dec 20
3694