lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

82 Asnaf Taman Indah Terima Sumbangan
82 Asnaf Taman Indah Terima Sumbangan
DUNGUN, 6 Disember- 82 asnaf di Komuniti Taman Indah, Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) menerima sumbangan berupa ayam dan bekalan asas makanan melalui program yang diadakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan. Pengerusi MPKK Taman Indah, Zakiah Alias berkata, pihaknya bertindak sebagai perantaraan hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada mereka yang dipilih dari golongan asnaf di komuniti berkenaan. "Penyumbang ini merupakan ahli dari komuniti Taman Indah sendiri, dimana kita gerakkan usaha untuk memberikan galakkan kepada mereka yang mempunyai lebihan rezeki supaya prihatin dan cakna kepada mereka yang kurang berkemampuan. "Dilihat ianya mampu mendidik ahli komuniti untuk mengamalkan apa yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui sifat pemurah baginda, serta Islam juga mengajar agar anggota masyarakat saling sayang menyayangi diantara satu sama lain sehingga Rasulullah bersabda mukmin yang baik tidak akan membiarkan jirannya berada didalam keadaan lapar," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika dihubungi pihak media selepas mengagihkan sumbangan berkenaan di bilik gerakan MPKK, semalam. Mengulas lanjut katanya, program berkenaan telah diadakan dengan dipastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) telah dipatuhi dengan sebaik-sebaiknya. "Terima kasih kepada semua penyumbang, insya Allah program ini kita akan teruskan lagi pada masa yang lain. Semoga Allah jua yang membalas jasa baik setiap penyumbang. Akhirnya harapan kita agar suasana harmoni serta perasaan kebersamaan serta sama-sama bertanggungjawab dapat dipupuk serta dikekalkan didalam komuniti ini," ujarnya.
06 Dec 20
483
Ibu Tunggal Puji Unit Amal Cekap
Ibu Tunggal Puji Unit Amal Cekap
DUNGUN, 6 Disember - Seorang ibu tunggal memuji kecekapan anggota Unit Amal atau Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun membersih rumahnya yang tidak sampai dua jam selepas kediamannya itu dinaiki air ketika banjir baru-baru ini. Mariam Ibrahim, 70, berkata mereka dibahagikan tugasan masing-masing dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh sehingga selesai.  "Mak cik bersyukurlah Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tubuh JAM boleh minta tolong cuci rumah, puas hatilah 'budak-budak' ni buat kerja, tak banyak cakap, " ujarnya. Seramai 20 orang anggota JAM Dungun turun membantu membersihkan kediaman yang dihuni Mariam bersama dua orang anaknya bersama cucu yang masih kecil.  " Memang pening juga memikirkan, macam mana nak bersihkan rumah, nak angkat barang - barang berat sebab rumah ni tak ada orang lelaki, Alhamdulillah dapat tahu Unit Amal sediakan khidmat ini, jadi melalui Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang, kita minta tolong datang," ujarnya. Sementara itu, salah seorang anak Mariam, Haslina Zahari,37, berkata, dia yang tinggal bersama ibu dan adiknya sudah lama tinggal di rumah tersebut. dan kali terakhir dinaiki air pada tahun 2013. "Memang tak sangkalah, masa hujan lebat tu, pukul 1.30 pagi tak banyak lagi air, tapi jam 3 pagi tu air sampai kat tayar kereta, jadi saya kalut bawa naik kereta ke atas jalan, sebelum air naik tinggi lagi dalam rumah, kitapun berpindah," katanya yang berpindah ke rumah tumpangan ibu saudaranya, tidak jauh dari situ. 
06 Dec 20
871
Turun Padang Dengar Luahan Peniaga Burger
Turun Padang Dengar Luahan Peniaga Burger
BESUT, 7 Disember -“Banyak cerita dan luahan yang saya dengar daripada peniaga burger. Pertemuan dengan lima gerai peniaga burger di sekitar kampung Pengkalan Nyireh dan Seberang Kastam banyak memberi maklumat kepada saya mengenai kesukaran mereka mencari rezeki ketika ini," ujar Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Katanya, beliau turun ke bawah bagi mendapat maklumat dan mengenal pasti masalah peniaga supaya dapat dapat bantu untuk meningkatkan hasil jualan mereka. "Banyak cadangan yang saya terima oleh peniaga-peniaga yang kita santuni itu. Tambahan pula ramai yang memberikan komen positif dalam siaran langsung yang dibuat dilaman sosial saya dengan hasrat saya dapat teruskan lagi santuni peniaga lain di kampung-kampung lain. "Pihak kerajaan negeri sentiasa membantu serta memberikan perkhidmatan terbaik bagi memastikan keselesaan dan keperluan rakyat diutamakan disaat peniaga memerlukan bantuan. Sempat saya jelaskan beberapa perkara mengenai bantuan kerajaan negeri yang sedia ada," ujarnya. Dalam pada itu, beliau turut mendoakan para peniaga yang berjuang mencari nafkah demi keluarga dimurahkan rezeki dan dilimpahkan rahmat daripada Allah SWT.   "Terima kasih kepada rombongan bermotor yang turut terlibat bagi menjayakan program santuni peniaga burger," ujarnya.  
06 Dec 20
207
27 Tahun Jaga Isteri Lumpuh Demi Cinta Sejati
27 Tahun Jaga Isteri Lumpuh Demi Cinta Sejati
HULU TERENGGANU, 5 Disember - Setia hujung nyawa, itu lah ungkapan yang sangat sesuai menggambarkan situasi seorang suami yang menjaga isterinya terlantar lumpuh sejak 27 tahun lalu. Kisah ini mampu menjadi satu sumber inspirasi agar tetap bersama-sama pasangan dalam mengharungi susah senang. Ramli Hassan, 55, berkata, dia lebih suka menempuhi saat manis dan sukar bersama, bukan hanya memerlukan dikala sihat dan ditinggalkan ketika sakit. Bapa kepada dua anak itu berkata dia tidak akan sesekali meninggalkan surihatinya, Normah Mamat, 53, yang memerlukan penjagaan sepanjang masa kerana tidak mampu makan mahupun membersihkan diri sendiri. Ketika ditemui, Ramli tetap tenang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dengan menjaga Normah dengan penuh kasih sayang. "Isteri saya mengalami komplikasi selepas bersalin anak kedua kami apabila seluruh badannya menggigil kesejukan.Selepas dibawa ke hospital dan menerima rawatan, keadaannya semakin parah sehingga tidak mampu berjalan dan bercakap. "Tinggi harapan saya untuk melihat isteri saya sembuh seperti sedia kala walaupun ia agak sukar tetapi harapan itu tetap ada," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pantai Ali, di sini hari ini. Ramli yang bekerja sebagai tukang rumah berkata jika dia keluar bekerja, isterinya sanggup berlapar. dan menunggunya pulang untuk menyuapkan makanan serta memandikannya.     Menurutnya lagi, kira-kira RM500 diperlukan sebulan untuk membeli keperluan isterinya termasuk lampin pakai buang dan ubat-ubatan.         "Setakat ini kami hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500, selain duit hasil pendapatan sebagai tukang rumah," katanya. Katanya, ada pihak yang ingin menghulurkan bantuan tetapi ditolaknya secara baik dengan alasan ada ramai yang diluar sana yang memerlukan bantuan dan dia masih mampu menyara isterinya dengan sempurna dengan sumber yang ada.    
06 Dec 20
2298
'Allah Pilih Saya Jaga Dia'
'Allah Pilih Saya Jaga Dia'
DUNGUN, 6 Disember- Walaupun tiada pertalian darah, naluri Mazlan Osman, 60, sebagai insan melebihi segalanya yang setia mencurahkan kasih dan menjaga anak angkatnya yang disahkan doktor menghidap barah otak. Menurut Mazlan, Muhammad Syahmi Mazlan Abdullah, 27, terlantar sejak Ogos lalu dan memerlukan penjagaan rapi. " Cantik sekali, dia yang saya ambil masa kecil lagi jatuh sakit ketika saya dah pencen, maknanya Allah nak suruh saya isi masa pencen saya jaga dia.  "Itulah, apabila kita merancang, Allah juga merancang dan sudah tentu perancangan Allah yang terbaik," ujarnya. Mazlan ditemui pemberita ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkunjung ke rumahnya untuk menyampaikan susu sumbangan Tabung Darul Iman (TDI) baru-baru ini.  Bekas pemandu Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu tidak pernah jemu biarpun terpaksa menguruskan Muhammad Syahmi saban hari dan tidak putus berdoa mengharapkannya kembali sihat suatu hari nanti. "Sebelum subuh saya beri susu, salin pamper, bersihkan badan dia, tambah pula kahaknya sentiasa kena sedut kalau tidak susah nak bernafas," ujarnya.  Sebelum itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang telah menyumbangkan katil untuk keselesaan dan memudahkan ayahnya menguruskan Muhammad Syahmi.  
05 Dec 20
712
Aku Ibu, Aku Juga Ayah
Aku Ibu, Aku Juga Ayah
  HULU TERENGGANU, 6 Disember - Menguruskan dua anak dan seorang anak istimewa bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Mohd Hasrul Muda, 44  tanggungjawab itu digalas sejak berpisah dengan isterinya dua tahun lalu. Menurut bapa tunggal yang menetap di Kampung Pantai Ali, Kuala Berang, sejak itu tugasnya bukan sekadar mencari nafkah bagi membiayai keperluan dua anaknya termasuk perubatan anak kurang upaya, malah mengisi kekosongan ditinggalkan si ibu. Hasrul yang bekerja sendiri berkata, dia kini hanya mampu keluar bekerja jika ada pekerjaan kerana perlu memberi sepenuh tumpuan kepada tiga permata hatinya, Ahmad Brayyan, 7, Ahmad Firrayyan, 5 dan Ahmad Daffaad, 3. "Anak istimewa saya, Firrayyan tidak boleh menguruskan diri sendiri memandangkan keadaannya yang lumpuh dan memerlukan penjagaan rapi. "Sebab itu, saya terpaksa memilih pekerjaan di sekitar kampung sahaja malah terpaksa membawa  ketiga-tiganya bersama jika bekerja sebab bimbang keselamatan mereka jika dibiarkan di rumah,"ujarnya ketika ditemui pemberita di rumahnya, di sini hari ini. Bagaimanapun, menurut Hasrul yang pernah berkhidmat di bahagian pemasaran di Sarawak berkata, demi anak, dia akan terus berusaha melakukan yang terbaik. Jelasnya, dia bersyukur nasibnya mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) yang membantu membayar sewa rumah mereka. Tambah bapa cekal ini lagi, kini dia cuma berharap ada pihak yang boleh membantu menawarkan pekerjaan buatnya untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga tanpa menyusahkan orang lain.  
05 Dec 20
1609
Belia Santuni Asnaf
Belia Santuni Asnaf
KUALA TERENGGANU, 5 Disember – Walaupun terbatas kepada skala kecil dalam suasana COVID-19, warga belia tetap meneruskan inisiatif memberi bantuan dari rumah ke rumah kepada golongan yang memerlukan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, bersesuaian dengan Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia Peringkat Negeri Terengganu 2020, pelbagai latar belakang anak muda terlibat menjayakan aktiviti itu. “Alhamdullilah, hasil usaha sama agensi seperti sukarelawan Rakan Muda Kuala Terengganu dan Pasukan Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam ini telah menyantuni 30 orang asnaf di 30 buah rumah. “Lokasi tumpuan kita bermula di Kampung Gong Pauh kemudian ke Kampung Kuala Bekah dan diakhiri di Kampung Sungai Rengas selepas Solat Jumaat,” katanya kepada pemberita selepas program Hari Kesukarelawanan Belia peringkat Kuala Terengganu, pagi semalam. Turut hadir, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Mohd Izwandy Ismail dan Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Anas Hazizul. Wan Sukairi yang juga ADUN Wakaf Mempelam menyatakan rasa terima kasih kepada sukarelawan yang terlibat dalam memberi kesedaran dan mengalakkan aktiviti kesukarelawanan dan kemanusiaan di dalam negeri. Sementara itu, menurut Izwandy, program tersebut merupakan usaha daripada Kementerian Belia dan Sukan  serta kerajaan negeri bagi menggalakkan dan melahirkan sukarelawan di kalangan belia bersama komuniti. “Sebagai mana sedia maklum, 5 Disember ialah Hari Kesukarelawanan Belia Malaysia dan di peringkat negeri kita telah merangka usaha ini bersama Exco dan agensi-agensi pelaksana lain Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Majlis Belia Terengganu dan sukarelawan di dalam Kelab Rakan Muda Kuala Terengganu. “Program menyantuni melibatkan 25 sukarelawan belia ini adalah usaha peringkat akar umbi dalam menanam semangat sukarelawan yang jitu di kalangan anak muda supaya semangat ini dapat kita kekalkan dalam usaha berbakti dari semasa ke semasa,” katanya. Seorang penerima, Saudah Ngah,60, yang juga nenek kepada 15 cucu menyifatkan usaha belia ini sesuatu yang amat baik terutamanya mendidik orang muda berbakti kepada masyarakat setempat.
05 Dec 20
442
Warga Emas Terselamat Daripada Mendapan Tanah
Warga Emas Terselamat Daripada Mendapan Tanah
HULU TERENGGANU, 5 Disember - Gara-gara terlewat beberapa minit kerana mengambil ubat-ubatan, seorang warga emas terselamat dari menjadi mangsa mendapan tanah di bahagian bilik mandi di rumahnya di Felda Mengkawang . Zainab Ismail, 65, kebiasaannya akan mandi terlebih dahulu dan sebaik sahaja selesai, dia akan mengambil ubat untuk penyakit kencing manis, darah tinggi serta saraf sebelum meneruskan rutinnya seharian. Menurut anak lelakinya,  Mohd Haslim Mohd Nasir, 33, sebelum kejadian tanah mendap itu berlaku, dia baru sahaja selesai mandi dan dan kebiasaannya akan disusuli oleh ibunya. "Namun pada hari kejadian, mak ambil ubatnya dahulu sebelum mandi dan ketika itulah bunyi dentuman kuat kedengaran dan apabila saya pergi melihat rupanya sebahagian bilik mandi dah runtuh. "Terdapat banyak kesan retakan pada dinding dapur dan lantai menyebabkan saya menghalang mak pergi ke belakang rumah kerana bimbang berlaku lagi mendapan tanah,"ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Felda Mengkawang, Ajil baru-baru ini. Katanya, ia berpunca dari air atas bukit yang turun melalui laluan rumahnya dan merupakan kejadian yang sering berlaku setiap hujan lebat. "Ia turun ikut laluan luar rumah keluarga saya sebab tidak ada saluran khusus untuk mengalir.Cuma kali ini, air terlalu deras dan kuat menyebabkan berlaku tanah mendap seterusnya meruntuhkan sebahagian belakang rumah,"jelasnya lagi. Haslim yang tinggal di Kampung Langgar, Kuala Berang berkata sejak kejadian itu, dia terpaksa berulang setiap hari ke rumah ibu bapanya walaupun jaraknya jauh tetapi demi keselamatan, dia sanggup melakukannya. "Jiwa saya tak tenang memikirkan keadaan mak lebih-lebih lagi ayah pun sakit terlantar jadi apa salahnya saya berulang alik demi mereka. "Adik beradik saya ramai tetapi mereka duduk berjauhan cuma saya yang dekat dan ia menjadi tanggungjawab saya sekarang,"kata anak ketujuh dari lapan beradik ini. Kejadian tersebut mendapat perhatian pihak pengurusan Felda dengan menghantar bantuan segera dengan menggorek longkang sementara sepanjang enam meter bagi membolehkan air mengalir dengan sempurna. "Terima kasih kepada pihak Felda kerana cepat bertindak dengan menghantar jengkaut selepas kejadian berkenaan, semoga rumah ibu bapa saya selamat jika berlaku lagi hujan lebat,"ujarnya.  
05 Dec 20
720
Food Bank Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat
Food Bank Ringankan Kos Sara Hidup Rakyat
MARANG, 5 Disember - Masjid Bukit Payung menjadi masjid pertama di daerah Marang yang mempunyai 'Food Bank' bagi membantu masyarakat setempat yang kurang berkemampuan. Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata, inisiatif tersebut dilakukan di masjid sejajar dengan makna sebenar memakmurkan masjid.  "Memakmurkan masjid bukan hanya mendirikan solat tetapi juga menunaikan zakat. Diambil harta mereka yang senang disalurkan kepada mereka yang memerlukan, dihidupkan di masjid,  "Masjid menjadi tempat kegiatan masyarakat, bukan sahaja solat, zikir, kuliah tetapi termasuk kegiatan masyarakat menolong masyarakat sekeliling dengan bantuan dan pertolongan," ucapnya ketika merasmikan Food Bank di Masjid Bukit Payung, dekat sini semalam. Tambahnya lagi, budaya gah akan bangunan masjid yang besar tidak sepatutnya tidak menjadi keutamaan. "Sebaliknya kita harus memikirkan cara untuk mengimarahkan masjid bukan saja dengan 'mengimarahkan' bangunan-bangunannya tetapi imarahkannya dengan kegiatan ibadah, ilmu dan kebajikan," jelasnya. Beliau yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah turut menyumbang kepada dana Food Bank tersebut dan gimik pemberian disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri Terengganu.,Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga ADUN Bukit. Sementara itu, AJK Masjid, Nasir Mamat berkata idea mengadakan Food Bank itu timbul hasil mesyuarat  jawatankuasa masjid dengan matlamat komuniti sekitarnya 'zero lapar' dan ia tidak hanya terhad kepada asnaf tetapi terbuka juga golongan B40 yang memerlukan bantuan.  "Berbeza dengan Food Bank lain, Food Bank Masjid Bukit Payung terbuka kepada mereka yang memerlukan ataupun yang telah terputus bekalan makanan di rumah, jadi mereka boleh terus ambil di masjid yang menjadi lokasi tumpuan komuniti,  "Orang ramai yang terbabit bolehlah mengambil sendiri, selain pihak masjid memberikan secara terus kepada isi rumah yang dikenalpasti berdasarkan rekod yang ada. Tanpa mengira siapa. Tidak kira mereka miskin ataupun mereka yang memerlukan atas ujian hidup lebih-lebih lagi selepas pandemik Covid-19 yang melanda. Ramai yang jatuh miskin, tiada pekerjaan," katanya Pihak Masjid Bukit Payung turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai. Mereka yang ingin berbuat demikian boleh berhubung dengan pegawai masjid tersebut di talian 011-11985956.
05 Dec 20
865
Kerjasama Semua Pihak Atasi Banjir
Kerjasama Semua Pihak Atasi Banjir
DUNGUN, 4 Disember - Kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan, swasta, serta masyarakat adalah penting dalam usaha mengatasi masalah banjir. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sebelum sesuatu pembangunan dilakukan untuk kemudahan bersama, sepatutnya perancangan yang teliti perlu dibuat terlebih dahulu. "Semua pihak harus bekerjasama dengan mengambil pendekatan holistik untuk menyelesaikan masalah banjir yang saban tahun membelenggu komuniti kampung. "Termasuklah sistem perparitan seperti longkang, parit-parit tali air sepatutnya dinaik taraf agar penduduk setempat tidak jadi mangsa pembangunan.  Rakyat juga perlulah tidak bersikap pentingkan diri dengan sewenang-wenangnya menjadikan longkang dan parit  sebagai tempat pembuangan sampah yang akhirnya menyebabkan tersumbat," ujarnya.  Alias berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan banjir di sekitar Tanjung Jara di sini.  Menurutnya, tinjauan tersebut adalah untuk mengetahui sambil bertukar pandangan dengan agensi terlibat seperti wakil Tanjong Jara Resort, Pejabat Daerah Dungun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya(JKR).
05 Dec 20
281