Artikel "Komuniti" Terkini
Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu
HULU TERENGGANU, 9 Disember - Di kala remaja seusianya masih mencari identiti diri, Nur Hidayu Rosli, 20, tidak kisah bergelumang dengan najis lembu malah pernah digelar gadis lembu kerana menguruskan ternakan itu yang menjadi minatnya sejak kecil.
Anak bongsu daripada lima beradik itu menganggap 10 ekor lembu peliharaannya sebagai teman terbaik sejak kecil lagi dan pernah terluka ketika menyelamat salah seekor lembunya yang terbelit tali di bawah rumah.
“Saya tak kisah tanggapan orang ramai malah bangga menceburi bidang ini.Memang ada yang kata saya berkawan dengan lembu dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan kesayangan tapi ada juga yang memuji.
"Saya tidak kekok melakukan kerja menguruskan lembu seperti memberi makan dan membersihkan najis malah sanggup mencerut rumput untuk memberi makan tanpa rasa penat atau segan.
“Rutin setiap hari, jam 10 pagi akan mengheret lembu-lembu ini ke padang rumput sejauh 200 meter dan akan jenguk dua kali sebelum membawa pulang pada lewat petang,”katanya yang lebih mesra denggan panggilan Ayu ketika ditemui di kampung Pantai Ali, Kuala Berang.
Dia yang turut dibantu oleh abang, Muhammad Faizal, 27, berkata bidang penternakan lembu sudah sebati dengannya sejak berusia enam tahun kerana selalu mengikut arwah ayah dan setelah kehilangan tonggak keluarganya akibat kanser hati pada bulan Mac 2020, dia mengambil alih tugas berkenaan dengan rela hati.
“Soal jantina tidak menjadi penghalang, apa yang penting minat dan kesanggupan untuk bergelumang dengan najis dan bau busuk lembu.
“Keluarga tidak pernah memaksa melakukan kerja menguruskan lembu termasuk memberi makan dan membersihkan najis di kandang sebaliknya ia dilakukan kerana minat sebelum keluarga memberi kepercayaan kepada saya menguruskan ternakan,”ujarnya lagi.
Setiap lembunya mempunyai nama tersendiri seperti Kembang, Jantan, Merah, Siti dan Sor merupakan kesayangan Ayu sejak kecil malah pernah menangis apabila Sor kemalangan ketika berusia tiga bulan yang mengakibatkan rahang patah.
“Setelah pihak klinik mengatakan Sor tidak ada harapan untuk pulih, saya dan mak mula merawatnya dengan mengikat kain di sekeliling rahang dan memberikan daun kayu untuk di makan.
“Syukur Alhamdulillah, akhirnya Sor sudah normal seperti biasa dan kami cukup gembira melihatnya,”katanya yang bercita-cita menjadi penternak wanita berjaya satu hari nanti.
Sementara itu, Zaini berkata, dia bangga dengan kecekapan anak perempuan bongsunya menguruskan lembu di ladang seperti orang lelaki.
Jelasnya lagi, dia tidak kisah dengan cemuhan dan tanggapan masyarakat sekeliling terhadap Ayu kerana sebagai ibu, dia lebih mengenali anak sendiri.
“Ayu merupakan anak yang baik, dia buat semua untuk saya dan tidak semua orang seusianya yang sanggup mengurus lembu di ladang, cukup lasak namun anak saya mampu melakukannya dengan baik dan ia sesuatu yang membanggakan.
“Dia sanggup korbankan cita-citanya dan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Senibina di UiTM Machang dengan alasan kalau dia tiada siapa yang nak uruskan ternakan, mak kan tak sihat.
“Hatinya cukup penyayang terutama kepada binatang, dan sekarang Ayu turut membela 13 ekor kucing di rumah termasuk binantang lain,”ujar Zaini lagi.
Sebagai ibu, Zaini yakin Ayu mampu pergi jauh dalam bidang ini selain berharap pembabitan anaknya itu dapat membuka mata masyarakat terutama golongan wanita untuk turut sama menceburi bidang ini.
“Saya bangga dengan kesanggupan anak menguruskan lembu di kandang kerana saya sedia maklum dengan cabaran yang ada walaupun dia masih remaja.
“Bukan semua wanita mampu dan sanggup menguruskan lembu di kandang tetapi apabila dia mampu melakukannya dengan baik, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.
09 Dec 20
4998
Abdul Hadi Ronda Empat Dun Agih Bantuan Banjir
MARANG, 8 Disember - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turun ke semua kawasan dalam daerah ini bagi mengagihkan bantuan banjir kepada semua mangsa yang terjejas.
Ahli Parlimen Marang itu berkata, bantuan yang disalurkan kepada golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payung dan Alur Limbat tidak mengira latar belakang ideologi.
"Kita sudah berada di dalam kerajaan. Ini kurnia daripada Allah SWT. Sudah tentu kita ada peranan dan jentera kita berjalan dengan elok. Cuma kita kena baiki beberapa kesilapan yang berlaku. Kalau dulu, pemberian bantuan ini ambil kira parti-parti. Parti dia beri bantuan, bukan parti dia tidak diberi bantuan. Kita tidak boleh buat begitu.
"Tuhan ajar kepada kita untuk adil kepada semua. Tuhan yang Maha Berkuasa itu memberi rezeki kepada semua hamba-Nya, hamba yang beriman, hamba yang kafir, hamba yang munafik, hamba yang baik, hamba yang jahat, yang macam-macam hal, tuhan bagi rezeki belaka.
"Biarlah serahkan kepada tuhan hukum di hari akhirat. Itu rahmat tuhan dan kita ikut petunjuk tuhan," ucapnya ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan peringkat DUN Alur Limbat di Masjid Tasek, di sini baru-baru ini.
Menurutnya, semua rakyat yang terlibat dengan bencana banjir yang melanda Terengganu baru-baru ini dibantu secara adil tanpa kompromi iaitu tidak memihak mana-mana pihak atau individu tertentu sahaja.
"Kita mengarahkan jentera-jentera kerajaan turun ke bawah. Sekadar kemampuan yang ada pada kita. Tolong semua orang yang berhajat. Bukan yang tidak berhajat. Kalau orang tu yang ada kemampuan sendiri dia tidak berhajat kepada bantuan, tidak kena dia mengambil bantuan. Hendaklah beri kepada orang yang berhajat. Orang yang sungguh-sungguh memerlukan pertolongan.
"Namun mereka yang berhajat pertolongan ini pun mungkin tak cukup, kena cari selalu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah banyak pihak yang tolong menyumbang, tolong beri sekadar kemampuan," tambahnya lagi.
Untuk rekod, keempat-empat DUN di parlimen Marang ini telah diagihkan bantuan yang disampaikan sendiri oleh Ahli Parlimen Marang masing-masing bertempat di Bukit Gasing (DUN Rhu Rendang), Pengkalan Berangan, Atas Tol (DUN Bukit Payung) dan Tasek (DUN Alur Limbat).
08 Dec 20
527
Komik Dan Buku Lama Jadi Buruan
DUNGUN, 8 Disember- Komik atau buku lama berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pemiliknya kerana ianya mula menjadi buruan akhir-akhir ini.
Pengumpul komik dan buku lama, Mohd Sallehuddin Ismail, 35, berkata komik dari Jepun dan Hong kong yang diterjemahkan dalam Bahasa Melayu dipasarkan sekitar hujung 80-an sehingga awal tahun 2000 begitu menjadi buruan.
"Harga sesebuah buku lama dan komik lama bergantung kepada kemasyuran penulis dan pelukisnya seperti buku karya sasterawan negara seperti Abdullah Hussein, Azizi Abdullah, Zaharah Nawawi sebagai contoh.
"Untuk komik-komik dari Negara Hong Kong dan Jepun pula seperti Tony Wong, Wan Yat Leung, Akira Toriyama dimana nilai buku lama boleh mencecah ribuan ringgit dan komik lama pula boleh mencecah ratusan ringgit bagi sebiji buku. Tiada harga tetap namun nilainya pasti akan diketahui oleh mereka yang minta mengumpul buku-buku lama ini, hanya 'jauhari yang mengenal manikam'," ujarnya.
Salleh berkata demikian ketika dihubungi pihak media, di sini, semalam.
Katanya, nilainya mungkin tidak terlalu tinggi sepertimana barang antik yang lain tetapi jauh lebih baik daripada ianya dilupuskan begitu sahaja atau dikitar semula.
"Kita perlu mendidik masyarakat agar tidak sewenang-wenangnya melupuskan buku-buku lama termasuk komik hanya kerana tidak memerlukannya lagi.
"Malah ada yang bertindak membakar komik-komik lama kerana ada kerosakan padanya walhal ada yang menawarkan khidmat membaik pulih buku-buku lama,"ujarnya.
Koleksi buku dan komik berkenaan katanya boleh dijual kepada orang persendirian atau syarikat.
"Tapi lebih baik dijual kepada individu yang tahu dan minat dengan koleksi buku atau komik lama ini, kerana mudah untuk tawar menawar. Malah kepada yang baru menjadikannya hobi, atau kembali mengumpul boleh tukar menukar sesama mereka bagi melengkapkan judul yang diinginkan," ujarnya lagi.
Salleh berharap agar masyarakat peka dengan perkara berkenaan.
"Kerana mungkin masih ada simpanan didalam rumah yang terbiar begitu sahaja lebih baik ianya dijual boleh menampung sedikit sebanyak keperluan terutama kepada mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia hari ini.
"Jika ingin menjual di media sosial atau laman sesawang pastikan tidak tertipu.
"Ramai yang mengambil kesempatan menipu pembeli-pembeli dan penjual buku dan komik yang dikesan berleluasa. Jadi berhati-hati ketika melakukan apa-apa transaksi. Sebaiknya bertanyalah kepada mereka yang lebih tahu dan arif mengenai hobi ini," ujarnya.
08 Dec 20
517
Penternak Siakap Sangkar Kerugian RM50,000
KUALA TERENGGANU, 8 Disember – Banjir kilat yang melanda pada 2 Disember baru-baru ini telah mengakibatkan seorang pengusaha ternakan ikan siakap sangkar kerugian kira-kira RM50,000.
Pengusahanya, Talib Manap, 61, berkata kejadian tersebut berlaku kerana terdapat kayu yang hanyut di Sungai Kuala Ibai dan melanggar sangkar ikan miliknya.
Keadaan sangkar ikan yang pecah
“Apabila kayu itu hanyut dan melanggar sangkar ikan saya, maka sangkar itu pecah dan ikan-ikan dalam sangkar tersebut semua terlepas.
“5 buah sangkar telah pecah dan menyebabkan kira-kira 3,500 ekor ikan telah terlepas,” kata Talib ketika ditemu bual oleh pemberita.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi turut hadir ke lokasi, semalam bagi meninjau keadaan sangkar ikan itu.
Muhammad Khalil menemui pengusaha sangkar ikan
“Kami di pihak Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan dan Pembangunan Desa, Dr. Azman Ibrahim berkenaan perkara ini.
“Insya-Allah tindakan selanjutnya akan diambil untuk sekurang-kurangnya dapat meringan bebanan kerugian yang ditanggung oleh pengusaha,” kata Muhammad Khalil.
Dimaklumkan, kira-kira 40 peratus kadar kerugian yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha melibatkan sebanyak 20 buah sangkar ikan secara keseluruhannya.
Talib menunjukkan paras air ketika banjir berlaku
08 Dec 20
1041
40 Tahun Menanti Jalan Berturap
BESUT, 8 Disember - Kesulitan penduduk Kampung Bukit Mali di sini yang terpaksa menggunakan jalan raya rosak dan berlubang selama ini berakhir apabila jalan tersebut selesai diturap dan dibuka kepada orang ramai baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Mali, Mohd Nor Samat berkata, walaupun jalan yang diturap sepanjang 300 meter sahaja, tetapi ia amat bermakna buat penduduk kerana memudahkan pergerakkan mereka ke kawasan sekitar.
Katanya, keselamatan orang ramai juga akan lebih terjamin selepas jalan tersebut dibaiki.
"Alhamdullilah, penantian penduduk lebih 40 tahun untuk mendapatkan jalan berturap akhirnya tertunai.
"Jalan yang sedia ada sebelum ini amat menyedihkan dengan keadaannya yang becak membuatkan penduduk berdepan kesukaran untuk keluar masuk," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.
Katanya, beliau yang mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat.
07 Dec 20
2477
250 Warga India Dirai
KEMAMAN, 7 Disember - Seramai 250 orang warga India diraikan dalam satu majlis yang berlangsung di Gelanggang Futsal Jabor Perasing semalam.
Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran G Krishnan gembira atas pelaksanaan program itu yang mampu mengukuhkan perpaduan pelbagai kaum di daerah ini.
"Sebelum ini kita terpaksa menangguhkan program ini kerana patuh arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan di negeri ini. Namun hari ini kita dapat bersama-sama meraikan Deepavali.
"Kita mengharapkan usaha kerajaan negeri ini dapat memupuk lagi integrasi perpaduan antara kaum dan menunjukkan kepada satu malaysia bahawa kerajaan negeri Terengganu dapat melaksanakan seperti apa yang dikatakan iaitu memimpin perpaduan dan memperkukuhkan perpaduan seluruh kaum dalam konteks meraikan Deepavali tahun ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program terbabit.
Turut hadir mengiringi Hanafiah iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab.Razak Ibrahim.
Dalam majlis itu, semua hadirin yang hadir menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat yang juga selaku perasmi program itu.
Dr Balachandran turut mengharapkan seluruh warga India di negeri Terengganu terus akur dengan memupuk perpaduan dalam memastikan semua dapat bersama-sama mengambil iktibar untuk menjadikan Terengganu maju, berkat dan sejahtera.
07 Dec 20
406
KPKKT Salur Sumbangan Kepada Mangsa Banjir
DUNGUN, 8 Disember - Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) menyalurkan sumbangan barangan makanan keperluan kering bernilai kira-kira RM 6,500 kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi untuk diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan berhampiran konsesi pembalakan itu.
Pengurus Besar syarikat berkenaan, Suhairi Sulong berkata, sumbangan itu merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya bagi membantu PKMD Bukit Besi menggerakkan misi bantuan banjir kepada penduduk yang terkesan.
"Program CSR membantu mangsa banjir ini telah menjadi rutin kita saban tahun dan kali ini melibatkan 13 Majlis pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di tiga buah mukim iaitu Mukim Besol, Mukim Jerangau dan Mukim Jengal.
"Cuma agihan kita pada tahun ini tidak sebagaiman biasa kerana kita telah menjadikan PKMD Bukit Besi perantaraan untuk mengagihkan sumbangan berkenaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di PKMD Bukit Besi, semalam.
Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya berbesar hati menerima amanah bagi mengagihkan sumbangan berkenaan kepada mukim-mukim yang terlibat.
"Saban tahun KPKKT membantu mangsa banjir. Semoga ini akan terus maju serta mencapai keuntungan bagi memastikan penduduk kampung turut sama mendapat manfaat.
"Kita juga mengharapkan agar kolaborasi di peringkat DUN dengan agensi, jabatan atau syarikat-syarikat korporat akan lebih akrab supaya dapat terus menjalin kerjasama bagi membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan," ujarnya.
07 Dec 20
776
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Lemah
DUNGUN, 7 Disember- Tuisyen Rakyat yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah diwujudkan bagi membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata dengan melibatkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Jerangau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengadakan tuisyen berkenaan.
"Dimana semua pihak berkenaan telah berkolaborasi dengan pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, telah mencari jalan bagi membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dengan mana kita telah melantik pengajar luar bagi memberi tumpuan kepada tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan juga Matematik.
"Dimana SPM ini sangat penting untuk mereka perolehi bagi menentukan langkah seterusnya selepas ini, paling tidak pun bagi mereka yang lemah didalam pelajaran perlu lulus didalam dua subjek teras iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah perlu mereka lulus. Jika hendak memasuki institusi kemahiran atau pusat latihan kemahiran sekarang ini melihat kepada kelulusan SPM," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika hadir ke KelasTuisyen Rakyat, yang telah diadakan di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri, hari ini.
Katanya, kelas tuisyen berkenaan telah bermula pada semalam 6 Disember akan berakhir 17 Disember melibatkan 57 pelajar bagi pelajar yang berada di Mukim Jerangau serta bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau (SMKJ).
"Bagi memastikan kelas ini berjaya, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memaikan peranan penting serta mempunyai kesedaran bagi memastikan anak-anak mereka hadir ke tuisyen yang telah kita adakan ini.
"Kita sedia maklum bahawa pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menjadi satu cabaran baru, dimana sekolah terpaksa ditutup dalam jangka waktu yang lama, namun Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah melalui kelas secara maya.
"Menjadi satu masalah kepada pelajar kita yang berada di luar bandar ini, ramai tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan kaedah demikian, seperti terpaksa menggunakan peranti ibu bapa, capaian rendah dan lemah dengan data kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak ada, dimana hasil dapatan kita melalui Pejabat Pendidikan Daerah Dungun menyatakan ramai pelajar tidak mengikuti kelas berkenaan," ujarnya.
Selain itu juga, Ghazali berkata faktor terlalu lama bercuti mengakibatkan ketika dibuka pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan ramai pelajar tidak hadir ke sekolah.
"Sehingga akhirnya sekolah ditutup kembali kerana berlakunya penularan semula. Diatas kesedaran semua pihak maka kita harapkan kelas ini akan berjaya diadakan dengan sebaik-baiknya," tambah Ghazali.
07 Dec 20
732
155 Buah Rumah 'Usang' Dibaik Pulih
SETIU, 7 Disember - Sebanyak 155 rumah telah disiapkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera.
Pegawai Penyelarasnya, Mohd Shafizi Ismail berkata, ia membabitkan sejumlah RM1.875 juta bagi membina dan membaik pulih rumah, sejak Mei 2018 hingga Oktober 2020.
“RM375,000 diterima pada 2018 dan masing-masing RM750,000 untuk tahun 2019 dan 2020 yang disediakan kerajaan negeri untuk memberikan keselesaan kepada hidup rakyat di kawasan ini khususnya golongan yang memerlukan.
“Ia bertujuan bagi membantu mereka yang tidak mampu mendirikan kediaman yang sempurna malah permohonan melibatkan bantuan baik pulih, juga menjadi keutamaan kami kerana ramai penduduk yang mengharapkan bantuan membaiki rumah mereka yang uzur,” ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Shafizi meninjau rumah usang seorang penduduk yang dibaiki pulih.
Menurutnya, bagi memantau pelaksanaan dengan lebih berkesan, beliau telah turun ke setiap lokasi dan individu yang dipilih.
“Rumah yang sudah siap dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik turut ditinjau.
“Ini bagi menentukan kos yang diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja membaik pulih rumah dan projek yang sudah diselesaikan menjadi lebih sempurna,” ujarnya.
Mohd Shafizi memaklumkan, antara lokaliti projek terbabit ialah Kampung Hilir Maras, Darat Hilir, Bukit Cempaka, Pasir Puteh dan perkampungan lain.
Katanya, keluarga yang layak untuk mendapatkan bantuan itu, dinilai secara rapi oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
“Ia berjalan dengan begitu baik sekali dan rumah-rumah yang tidak sesuai untuk dibaik pulih, maka kita akan buat rumah baru asalkan mereka ada tanah.
“Memang banyak juga antara mereka yang akan dibina baru. Kita nilai dahulu mana yang harus diberi keutamaan, mana yang akan dibaik pulih atau dibina baru,” tambahnya.
07 Dec 20
1063
Ahmad Amzad Santuni Mangsa Pasca Banjir
KUALA TERENGGANU, 8 Disember - Banjir kilat yang dibawa oleh hujan lebat luar biasa minggu lalu mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim dan isterinya, Dr Nur Diana At-Takri.
Menurut Ahmad Amzad, banjir kilat itu menjejaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan DUN Ladang serta beberapa kawasan lan dalam daerah ini.
"Saya dan isteri menyantuni rakyat di samping memberi beberapa keperluan kepada mangsa yang terjejas banjir itu dari rumah ke rumah.
“Melalui aktiviti ini kita dapat merasai kesusahan mereka (mangsa banjir) yang terpaksa berpindah dan duduk di PPS kerana rumah dinaiki air.
“Saya harap mereka semua dapat bersabar dan kami akan bantu semampu yang boleh mengikut keperluan, Insya’Allah,” ujarnya kepada pemberita baru-baru ini.
Sementara itu, mangsa banjir pertama, Puan Maimun Ali, 53, di Kampung Padang Luar, Kuala Ibai yang tinggal bersama anak dan cucu seramai 10 orang besyukur kerana masih selamat.
“Kami sekeluarga terpaksa bermalam dua hari di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) S.K Chendering. Alhamdulillah, semua selamat kecuali harta benda yang rosak,” ujarnya.
Di samping itu, seorang lagi manga banjir, Siti Assiah Razali, 31, yang ditemui di Kampung Mengabang Tengah Hilir, Batu Buruk berkata, banjir yang berlaku di sekitar rumah menyebabkan keluarganya tidak merasa selesa.
“Alhamdulillah, walaupun berlaku banjir tetapi rumah saya ini tidak dinaiki air, cuma keadaan tidak selesa kerana beranak kecil,” ujarnya.
06 Dec 20
775