Artikel "Komuniti" Terkini
72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah
KEMAMAN, 10 Disember – Seramai 72 penduduk Kampung Bujal di sini kembali mendapat tanah mereka selepas proses penyerahan hak milik tertangguh lebih 16 tahun.
Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah pelbagai peristiwa pahit dilalui para penerima terbabit kini dapat memajukan kembali tanah yang diperolehi.
"Terima kasih kepada para pemohon kerana bersabar, diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit.
“Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini kerajaan Terengganu dapat memberi geran tanah terkilan kepada 72 orang di Kijal pada majlis fasa pertama ini.
“Bagi Fasa kedua, sebahagian kecil lagi masih berada di Pejabat tanah disini dalam proses melengkapkan maklumat untuk dibawa kepada PTG dan terus ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN), saya harap dalam tiga atau empat bulan insya-Allah dapat menyerahkan kepada 62 permohonan berbaki ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok Terkilan Bagi Tapak Bangunan Kediaman di Desa Makmur Bujal, Kijal, Kemaman hari ini.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.
Menurut seorang penerima, Zaitun Che Ku Abdul, 59, dia menyuarakan rasa syukur dan lega atas pengembalian hak tanah yang ditunggu sejak 16 tahun lalu.
"Terima kasih kepada Yang Berhormat dan kerajaan dalam usaha ini. Dulu rumah diruntuh tapi sekarang ini rumah baharu akan dibina untuk keluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Sementara itu, Samsudin Abdullah, 71, berkata, dia gembira setelah hak yang dinafikan kini dikembalikan dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan perkara tersebut.
“Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri, belum pernah saya miliki tanah sebelum ini, walaupun sudah berusia tua, diharapkan supaya masjid dapat didirikan kembali di Kampung Bujal bagi kegunaan bakal penduduk di sini.
"Insya-Allah tanah akan dimanfaatkan untuk membina rumah bagi kemudahan anak-anak saya," tambahnya.
10 Dec 20
656
Bot Karam, Tiga Nelayan Hilang Sumber Pendapatan
KEMAMAN, 10 Disember - Tiga nelayan di Chukai di sini hilang sumber pendapatan selepas bot mereka karam dalam sekelip mata.
Juragan bot, Rozak Mohd, 64, berkata mereka sebelum ini bergantung pada pekerjaan itu bagi menyara keluarga.
Namun kini katanya, ia memberi beban kerana mereka tidak lagi dapat turun ke laut bagi mencari rezeki.
"Kami bertiga mempunyai tanggungan sendiri. Kami tiada duit untuk menampung perbelanjaan untuk keluarga.
"Tambahan pula musim begini, bulan Januari nanti pula anak-anak akan ke sekolah, sudah tentu ia memerlukan kewangan yang secukupnya untuk itu," ujarnya ketika ditemui pemberita baru-baru ini di Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai.
Rozak yang tinggal di Kampung Paya Berenjut mengharapkan agar ada jalan atau bentuk bantuan daripada kerajaan negeri bagi membantu meringankan beban yang sedang mereka hadapi
Dalam kejadian pada 29 November lalu itu, Rozak bagaimanapun berkata dia bersama dua lagi rakannya Hamzah Bakar, 67, dan Mohd Rodi Ibrahim, 51 terselamat.
"Kejadian malang itu berlaku pada jam 9.40 pagi ketika kami sedang leka mencari rezeki.
"Kejadian berlaku sekelip mata, kami tidak sempat berbuat apa-apa. Ketika itu kami memakai jaket keselamatan mengambil keputusan terjun ke laut.
"Setengah jam menunggu akhirnya kami diselamatkan oleh bot nelayan lain yang lalu di kawasan itu," jelasnya.
Bot dinaiki mereka dikatakan tenggelam di Laut Kepala Geliga yang dianggarkan sejauh dua batu nautika daripada darat.
10 Dec 20
254
Pok Usop Sedia 'Makan', Tarik Anak Muda Ke Surau
DUNGUN, 10 Disember - Menyedari tidak ramai golongan muda ke masjid atau surau untuk menunaikan solat berjemaah, Mohd Yusof Abdul Ghani, 58, mengambil inisiatif melakukan aktiviti 'makan-makan' selepas waktu solat.
Mohd Yusof yang lebih dikenali Sebagai Pok Usop berkata, kebiasaannya dia dan isteri menyediakan juadah ringan untuk para jemaah seusai solat Isyak.
"Saya sedih melihat anak-anak muda yang sering menghabiskan masa melepak sehingga terlupa untuk mendirikan solat.
"Jadi saya suruh isteri saya masak apa yang ada untuk dibawa ke surau, tidak semestinya makanan mahal, cekodok ke, roti canai ke, nasi goreng ke, ikut ada, kadang tu kalau kita tidak dapat buat, minta tolong jiran buat, suka tengok orang muda datang ke surau," katanya kepada pemberita selepas lawatan pasukan 'mobile team' ke rumahnya di Kampung Teluk Bidara.
Rombongan 'mobile team' yang terdiri daripada wakil Pusat Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang itu bertujuan melihat dari dekat kehidupan keluarga yang mendaftar dibawah e-kasih.
Pok Usop berkata, walaupun dirinya bukan 'orang senang' dia tidak kisah melakukan perkara sedemikian.
"Diharapkan usaha kecil saya ini sedikit sebanyak dapat menarik minat anak-anak muda untuk bersama-sama mengimarahkan masjid," ujarnya.
Sementara itu, rombongan 'mobile team' tersebut juga turut melawat rumah sepasang suami isteri yang mempunyai tiga orang anak di Kampung Che Lijah.
"Saya mohon untuk siapkan dapur sebab sekarang ni saya masak di bilik anak sebab dapur tidak siap, " ujar ketua keluarga tersebut, Mohd Saifullah Mahmood @ Kasim, 32.
Mohd Saifullah yang berniaga goreng pisang di Pasar Borong Dungun bersama isteri turut mengakui perniagaannya merosot semenjak Perintah Kawalan Pergerakan.
"Saya berniaga hari Jumaat dan Sabtu sahaja, sebab hari lain tidak ramai orang datang ke pasar, jadi hari biasa, saya akan buat kerja-kerja kampung, dan mengail udang, " katanya.
10 Dec 20
782
Waris Pekerja Ladang Terima Faedah PERKESO
DUNGUN, 10 Disember - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Daerah Dungun menyampaikan bayaran faedah kepada waris pekerja Ladang Risda Durian Mas 3 yang meninggal dunia 3 Disember lalu.
Salema Abdul Rahman, 48, meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Jerangau Jabor ketika pulang dari tempat kerja.
Ketika kejadian, motor dibawa Salema telah dilanggar sebuah lori dari arah belakang, dan dia disahkan mati ketika menerima rawatan di hospital Dungun.
Pengurus PERKESO Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, suami arwah, Sahidan Mat, 56, layak untuk menuntut Skim Bencana Pekerjaan.
"Melalui skim berkenaan suami kepada arwah akan menerima pencen bulanan untuk seumur hidup.
"Skuad Prihatin PERKESO telah mengambil tindakan proaktif melakukan siasatan terhadap kes ini, hasil semakan mendapati arwah merupakan pekerja dan pencarum dibawah majikan Ladang Risda Durian Mas 3, justeru warisnya layak menerima faedah dibawah skim ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan faedah pengurusan mayat berjumlah RM 2,000 kepada waris arwah di kediamannya, di Taman Setia Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman serta Pengurus Ladang Risda Durian Mas 3, Zolkipli Mohamad.
Afizah berkata, dua daripada enam orang anak arwah yang masih berusia di bawah 21 tahun turut layak menerima faedah atau pencen bulanan.
"Sehingga masing-masing yang kini berusia 16 tahun dan 9 tahun mencapai umur 21 tahun atau tidak lagi berada di bawah tanggungan bapa mereka," ujarnya.
Sementara itu Ghazali berkata, faedah yang diterima oleh keluarga arwah diharapkan akan dapat digunakan dengan sebaik-baiknya.
"Semoga Shahidan diberi kekuatan serta dipermudahkan segala urusan untuk meneruskan kehidupan bersama anak- anak dengan tidak mengabaikan kebajikan dan pendidikan mereka," ujarnya
10 Dec 20
453
Sukarelawan Banjir Dirai
KEMAMAN, 10 Disember - Seramai 350 sukarelawan banjir membabitkan agensi-agensi kerajaan, Khidmat Malaysia Negeri Terengganu dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) diraikan dalam satu majlis kesyukuran yang berlangsung di Dewan Sri Amar, kelmarin.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, jasa dan pengorbanan para sukarelawan yang membantu mangsa-mangsa banjir baru-baru ini sangat dihargai.
"Bermula daripada operasi pemindahan banjir, agihan sumbangan, dapur rakyat, gotong-royong, program tukar minyak hitam motosikal dan sebagainya sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan ataupun melegakan hati mereka yang dilanda musibah itu.
"Semoga Allah S.W.T jualah yang membalas jasa-jasa yang telah kalian kerjakan," ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai ketika merasmikan program itu.
Turut hadir dalam majlis tersebut, ADUN Air Putih, Ab.Razak Ibrahim, ADUN Kemasik, IR Saiful Azmi Suhaili, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar, Ketua Polis Daerah Kemaman, Hanyan Ramlan.
Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Kemaman, Dr. Anuar Abdul Rahman, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd Zailani Abdullah, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kemaman, Mohd Noorhadi Mohd Yusof dan Pengarah Akademi Didik Ulamak AMILIN Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.
10 Dec 20
143
'Dulu Pakai Cermin Mata Dua Ringgit Je'
DUNGUN, 10 Disember- " Dulu pakai cermin mata harga dua ringgit je buat mengaji, itu yang termampu alhamdulillah kini dapat bantuan cermin mata dari kerajaan, syukur serta gembira sangat," ujar Raja Salemah Raja Daud.
Raja Salemah merupakan salah seorang daripada 158 penerima di Dewan Undanga Negeri (DUN) Bukit Besi yang menerima bantuan yang disumbangkan oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Syukur sangat kerana dapat digunakan untuk mengaji. Kalau hendak beli sendiri tinggi juga harganya, jadi saya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri diatas insiatif ini didalam memastikan kesejahteraan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas menerima bantuan berkenaan yang telah disampaikan oleh Pegawai penyelaras DUN Bukit Besi,Ghazali Sulaiman, semalam.
Yasin Ishak, 76, turut mengucapkan terima kasih diatas kecaknaan serta keprihatinan pihak kerajaan.
"Selepas ini dapatlah saya gunakan untuk membaca kitab, dan memandu motor untuk ke surau, " ujarnya.
Sementara itu, Ghazali berkata, agihan secara terus kepada penerima kesemua 23 kampung adalah bagi memastikan penerima tidak terbeban.
"Jadi kita turun menemui sendiri penerima di semua kampung di DUN Bukit Besi ini dimana Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) tetapkan tempat, ada yang saya serah sendiri ke rumah dan ada yang melalui Pengerusi MPKK.
"Semoga bantuan dari kerajaan negeri ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kesemua penerima, dan memudahkan segala urusan. Alhamdulillah dengan pemberian ini sudah tentu dapat meringankan sedikit bebanan rakyat," ujar Ghazali.
10 Dec 20
169
Baik Pulih Sistem Perparitan Atasi Banjir
DUNGUN, 10 Disember- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun giat mencari mekanisme terbaik bagi menambah baik sistem perparitan di beberapa lokasi yang sering dilanda banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
Katanya, permasalahan yang berlarutan sekian lama di jalan masuk Simpang Tok Kah, kampung-kampung sekitar Tanjung Jara dan Padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai antara lokasi yang diberi perhatian serius.
"Penyelesaian untuk jangka pendek akan dilaksanakan manakala untuk jangka masa panjang peruntukan akan diangkat kepada kerajaan negeri, dan agensi-agensi terlibat sudah membuat lawatan dan melihat dari dekat untuk menyelesaikan masalah ini, "jelasnya.
Alias ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan bersama beberapa agensi berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya, Jabatan Perparitan dan Saliran, Pejabat Daerah Dungun dan Majlis Perbandaran Dungun.
Turut hadir, Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang, Jurutera Daerah Jabatan Perparitan dan Saliran Dungun, Aisyah Abu Bakar, Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya Daerah Dungun, Muhammad Al Azhar Ali dan Penghulu Mukim Abang, Abd. Ghafar Abu Bakar.
Menurut beliau, beberapa solusi turut akan diambil antaranya mengadakan jambatan untuk mengatasi banjir di Tanjung Jara.
"Macam padang Sekolah Kebangsaan Pulau Serai, memang bila hujan lebat, padang tersebut akan ditenggelami air menyebabkan aktiviti - aktiviti yang hendak dijalankan terganggu, itu pun sudah ada dalam cadangan JPS jalan penyelesaiannya, kita doa-doalah ianya dapat disegerakan, " katanya
10 Dec 20
520
Dulu Hobi, Kini Jana Rezeki Lumayan
HULU TERENGGANU, 10 Disember - Bermula sekadar hobi atau suka-suka bagi mengisi masa lapang, kini Mohd Azree Mohd Razali 40, dari Kampung Lubuk Periuk bergelar usahawan ternakan ikan kelah merah yang berjaya.
Pernah berkhidmat di sektor perkilangan dan perkhidmatan perkomputeran di Melaka selama 12 tahun, usahawan akuakultur ini berkata pilihannya tidak menjadi sia-sia setelah memilih untuk pulang ke kampung dan seterusnya berjinak dalam bidang ini.
“Pada mulanya saya kembali ke kampung halaman untuk meneruskan hobi dan minat ayah mencari dan menjual spesis ikan kelah merah kepada pengusaha ikan hiasan atau untuk dijadikan hidangan mewah.
"Akan tetapi apabila saya melihat populasi ikan ini makin berkurangan akibat beberapa faktor terutama pencemaran sungai dan tangkapan berlebihan, saya mula terfikir untuk menternaknya secara serius,"ujarnya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui, baru-baru ini.
Justeru itu katanya, dia mengambil keputusan memulakan perusahaan itu secara serius kira-kira tiga tahun lalu dengan modal serta bantuan kelengkapan hampir RM100,000 selepas menimba ilmu serta teknik pembiakan ikan kelah daripada pihak yang berpengalaman.
“Alhamdullilah projek saya ini mendapat sokongan dan peralatan daripada pihak Jabatan Perikanan seperti mesin pam air dan tangki yang bertujuan mengurangkan kadar kematian khususnya anak ikan yang memerlukan pengaliran air bersih semulajadi selain penjagaannya tersendiri," ujarnya.
Menurut Azree, dia cukup berterima kasih kepada Pusat Penyelidikan Perikanan Air Tawar (FRI Glami Lemi) Negeri Sembilan yang banyak memberi banyak tunjuk ajar dan maklumat terkini sehingga ke hari ini.
Kini, dia memiliki empat kolah kecil serta tangki bersaiz sederhana yang di tambah baik ini juga digunakan untuk menampung sementara induk ikan terpilih ketika proses pengasingan dilaksana.
Tambahnya lagi, peminat peminat kebanyakannya suka membela dari kecil, dan jumlah permintaan sekarang mencecah sehingga 10,000 ekor sebulan. Jumlah induk yang ada sekarang ni aktif sekitar 300 ekor dan dijangka sehingga akhir tahun ni saya ada stok induk sehingga 500 ekor.
"Anak ikan berukuran sekitar tiga inci ini dijual dengan harga RM8 hingga RM9 seekor secara borong,"kata Azree.
Sementara itu , Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, Azree merupakan satu satunya usahawan penternakan ikan kelah di daerah Ajil sentiasa konsisten serta komitted dalam perlaksanaan projeknya.
"Oleh sebab itu, kami di peringkat DUN Ajil melantik dia sebagai ikon belia bagi sektor Akuakultur dan Peladangan bagi memberi semangat pada belia lain menceburi bidang yang sama.
“Nasihat saya kepada belia ialah rebutlah peluang yang disediakan oleh kerajaan dan bayar balik jasa ibu bapa kita,” katanya yang meluangkan masa meninjau perkembangan ternakan ikan kelah tersebut.
10 Dec 20
5462
Minyak Hitam Percuma Untuk Mangsa Banjir
KEMAMAN, 9 Disember - Penduduk di Kampung Air Putih dan Teladas yang terjejas akibat banjir baru-baru ini diberikan minyak hitam secara percuma.
Program yang dianjurkan oleh Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) dan diketuai oleh Alternative Riding Club (ARC) Kemaman itu merupakan salah satu operasi sukarelawan pasca banjir yang menyasarkan penduduk di kawasan sekitar.
Ketua ARC Kemaman, Ab. Rahman Ngah berkata, bermula seawal jam 9.30 pagi, sebanyak 150 botol minyak hitam disediakan untuk program servis tukar minyak hitam motosikal terbabit.
"Sepanjang tiga jam pertama program ini berjalan, ramai orang kampung yang tidak melepaskan peluang dalam program tersebut," katanya ketika ditemui media.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut turun padang ke tapak program berkenaan tidak melepaskan peluang membantu para sukarelawan menukar minyak hitam motosikal.
"Program seumpama ini amat bermanfaat terutama kepada mereka yang baru sahaja ditimpa musibah banjir.
"Diharapkan semoga adanya program ini dapat meringankan bebanan para penduduk memandangkan motosikal merupakan salah satu pengangkutan utama bagi penduduk di kedua-dua buah kampung ini,” tambah beliau lagi.
Sementara itu, rata-rata penduduk kampung yang ditemui mengucapkan ribuan terima kasih kepada ADUN Air Putih dan pihak urusetia kerana memberi peluang kepada penduduk di Kampung Air Putih dan Teladas menukar minyak hitam motosikal secara percuma.
09 Dec 20
453
Kerajaan Bantu Nelayan Miliki Alat Moden
SETIU, 9 Disember – Kerajaan Terengganu terus komited memastikan semua golongan nelayan di negeri ini dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata peralatan moden seperti ‘Global Positioning System’ (GPS) dan alat pencari ikan (fish finder) sudah menjadi keperluan asas yang wajib dimiliki para nelayan.
"Kita perlu berpijak di bumi nyata dan menyedari bahawa kos menyediakan sebuah kapal menangkap ikan berteknologi moden lengkap dengan kemudahan memproses ikan memerlukan belanja yang sangat besar.
"Sekarang kami bekerja untuk mempastikan agar semua nelayan dilengkapi dengan peralatan moden mampu milik seperti GPS dan fishfinder walau mereka hanya kelaut dengan sampan enjin sangkut," ujarnya dalam satu kenyataan, pagi ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat beberapa syarikat telah datang mengemukan cadangan untuk membina bot nelayan berteknologi moden.
"Kita sangat mengalu-alukan dan mereka perlu melalui prosedur yang sepatutnya. Fokus kami sekarang ialah kepada lebih 6,000 orang nelayan berdaftar di Terengganu agar isu-isu serta permasalahan yang berlegar seputar kehidupan mereka dapat ditangani secara berperingkat.
"Mendongak dan mengimpikan untuk mencapai bintang di langit tak sekali-kali melupakan kita kepada rumput di bumi," tambahnya lagi.
09 Dec 20
1186