Artikel "Komuniti" Terkini
352 Mangsa Banjir Ditempatkan Di Tujuh PPS Di Rantau Abang
DUNGUN, 21 Disember - Tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang menempatkan 352 mangsa banjir sehingga pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias harun berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laporan Bilik Gerakan Banjir DUN Rantau Abang menunjukkan peningkatan mangsa banjir.
"Petang semalam seramai 230 mangsa dan lima PPS dibuka dan dijangka air dari Hulu Sungai akan turun dan menyebabkan air akan naik dan akan berlaku pemindahan mangsa lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat PPS dan kawasan banjir dalam DUN Rantau Abang iaitu PPS Bukit Merah, Balai Raya Padang Pulut, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, Balai Raya Pinang Emas, Ladang Pinang Mas dan Kampung Pinang Baru, hari ini.
Sementara itu berdasarkan tinjauan dibuat, rata-rata mangsa banjir meluahkan rasa syukur dengan keselesaan PPS yang disediakan.
Bagi Muhammad Afiq Mohd Nizam,5 menganggap PPS Balai Raya Bukit Merah sebagai rumah baharunya.
"Seronok tinggal di sini, kat bawah ada perpustakaan, ada barang permainan," kata anak keempat daripada lima beradik itu.
Manakala Mohd Wafi Abdullah, 8, gembira dapat tinggal sementara di PPS Balai RAYA MPKK Ladang Pinang Emas.
"Kat sini boleh tidur dalam khemah, boleh main dengan kawan-kawan, " katanya.
21 Dec 20
398
Kediaman Terbakar, ADUN Manir Sumbang Bantuan Segera
HULU TERENGGANU, 21 Disember - Nasib 13 mangsa kebakaran melibatkan dua kediaman di kampung Beladau Kolam Manir semalam, mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Harun.
Mangsa, Razman Razak, 45, dan Abdul Halim Mahmud, 40, menerima sumbangan wang tunai bantuan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Manir ketika turun diziarahi selepas kejadian itu.
Ustaz Hilmi berkata, sumbangan tersebut adalah tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin pihaknya kepada warga DUN.
“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” jelasnya ketika ditemui pihak media semalam.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.
Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Manir, Ustaz Syuqiman Tahar berkata, pembinaan rumah baharu akan dilakukan secepat mungkin sebaik sahaja pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selesai menjalankan siasatan.
“Agensi kerajaan negeri iaitu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan PKM DUN Manir bertanggungjawab membantu mendirikan balik rumah yang musnah dalam kebakaran ini," katanya.
Dilaporkan semasa kejadian, tuan rumah Razman berada di sangkar ternakan ikannya dan ketika kejadian juga anak-anak bermain di luar rumah namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran tersebut.
21 Dec 20
507
Ular Sawa Peliharaan Antara 'Mangsa' Banjir Teluk Kalong
KEMAMAN, 21 Disember – Seekor ular antara 'mangsa banjir' yang dipindahkan daripada perumahan Teluk Kalong selepas kawasan itu dinaiki air baru-baru ini.
Pemilik haiwan berlesen itu, Muhammad Afendi Khalid berkata, haiwan peliharan eksotiknya itu diletakkan di dalam akuarium ketika berlakunya banjir seawal 11 pagi kelmarin.
Menurut Afendi, 35, ular sawa spesis ‘Ball Phython’ tersebut kemudiannya dipindahkan ke sangkar rumah keluarganya sekitar jam 3.30 petang semalam selepas air mulai surut.
“Sebelum berpindah semalam, air naik hampir tiga kaki, sejengkal lagi nak sampai tingkat.
“Namun begitu, dua ekor ular betina yang saya ada selamat di dalam akuarium yang tinggi dan tidak dihanyut banjir.
Afendi yang mendiami rumah tersebut bersama isterinya, mengatakan bahawa ular tersebut selamat dan tidak berbisa.
“Jiran sekeliling juga sudah biasa dengan minat saya ini, ada hari biasa ada budak-budak sekeliling teruja datang ke rumah. Lesen pemeliharan haiwan reptilian dibayar setiap tahun dan ada sijil kelulusan,"ujarnya yang juga pekerja di Zoo Kemaman.
Afendi adalah diantara lebih 2,000 mangsa banjir besar di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM), Teluk Kalong yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Universiti Kolej TATI.
20 Dec 20
667
Nilai RM100, Tetapi Cukup Bermakna Buat Nelayan
MARANG, 21 Disember - Walaupun nilaian barangan keperluan dapur hanya RM100 dan diagihkan kepada golongan nelayan yang terjejas di daerah ini, ianya cukup bermakna kerana sekurang-kurang dapat meringgankan beban perbelanjaan untuk bulan berkenaan
Barangan itu diagihkan Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Musim Tengkujuh di Dewan Tok Guru, Rusila, kelmarin.
Dalam majlis iru seramai 250 nelayan di daerah Marang menerima bantuan berbentuk hamper bernilai RM100 setiap seorang.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata bantuan seumpama itu sangat diperlukan golongan nelayan kerana difahamkan golongan itu tidak dapat keluar mencari rezeki hampir sebulan, hanya mengharap duit simpanan untuk mebeli barangan dapur.
"Walaubagaimanapun, pihak Parlimen Marang, khususnya ‘Tok Guru’ akan sentiasa memantau keadaan nelayan. Sekiranya mereka tidak dapat pergi ke laut kita akan terus membantu mereka-mereka yang daif. Kita agih bantuan ini kepada mereka-mereka yang layak.
"Pun begitu tambahnya lagi, kadang-kadang ada juga nelayan yang tuhan beri rezeki dia lebih. Mereka ini tidak diberi dan hanya diberi kepada nelayan yang betul-betul memerlukan.
"Kalau nak agih kepada semua. Ini tidak adil, Orang kaya-kaya kita tidak agihlah. Kita agih kepada nelayan yang miskin. Yang memang keadaannya amat memerlukan bantuan,"katanya.,
Menurutnya, oleh itu, dia sebagai pegawai parlimen Marang mencari jalan bersama kakitangan saya bagaimana ingin memberi bantuan ini. Jadi. Hari ini kita berkumpul. Dapat peserta seramai 250 orang,
"Dan nilaian kita agih bantuan kepada setiap peserta ini dapat bertahan selama sebulan. Sekiranya cuaca baik akan datang. Maka mereka boleh pergi ke laut," ujarnya.
Menurutnya lagi, pihaknya juga akan adakan lagi bantuan sebegini dari masa ke masa bergantung kepada keadaan semasa. Setakat ini, bantuan diberikan untuk nelayan di peringkat DUN Rhu Rendang dahulu dan berkemungkinan akan diadakan juga untuk DUN Pengkalan Berangan.
Untuk makluman, penduduk DUN Bukit Payung dan DUN Alur Limbat tidak terlibat dengan kegiatan-kegiatan menangkap ikan (nelayan). Namun, pihaknya akan meneliti juga pengusaha dalam bidang pertanian yang terkesan dengan musim tengkujuh jika ada.
20 Dec 20
99
Khatan Bersasar Ringankan Beban Ibu Bapa
DUNGUN, 20 Disember- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (PKMD) Bukit Besi telah menganjurkan program berkatan secara bersasar bagi membantu meringankan beban ibu bapa.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata program tersebut diadakan dengan menyasarkan anak-anak yang berumur 11 tahun ke atas.
"Mereka sudah hampir kepada usia sepatutnya untuk berkhatan, dimana kita hanya mengenakan sedikit bayaran sebanyak RM50 lebih murah berbanding harga biasa. Manakala bagi anak yatim kita tidak mengenakan sebarang bayaran.
"Tahun ini merupakan tahun ketiga kita adakan, cuma berlaku perbezaan dimana tahun ini kita menghadapi norma baru maka penyertaan hanya dihadkan kepada 18 peserta sahaja tidak sebagaimana tahun-tahun sebelum ini yang kita adakan secara perdana," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media ketika hadir pada program berkenaan, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam.
Mengulas lanjut katanya bagi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi, pelaksaan program berkenaan tidak mengambil masa yang lama.
"Sedikit taklimat diberikan kepada anak-anak dan ibu bapa, kemudian tanpa membuang masa setelah diadakan sedikit bacaan doa terus masuk ke bilik untuk dilakukan proses berkhatan. Alhamdulillah, berjaya diadakan dengan jayanya," ujarnya.
Sementara itu ibu kepada seorang peserta, Maznah Md Nor, 39 sangat berterima kasih diatas penganjuran berkenaan.
"Sangat berbaloi sebab kalau hendak diikutkan kosnya memang agak tinggi, jadi dengan program sebegini dapatlah menjimatkan sedikit kos perbelanjan keluarga bagi orang yang kurang mampu.
"Macam saya ini anak pula kembar, kalau hendak pergi ke tempat lain memang rasanya besar jugalah belanja, sangat bersyukurlah dengan insiatif yang diadakan ini. Program ini kalau boleh patut diadakan pada setiap tahun bagi membantu masyarakat di sini, ini merupakan kali ketiga dah saya sertai semenjak tahun 2018 diadakan, memang tiap-tiap tahun saya ikuti program dianjurkan oleh PKMD ini ," ujarnya.
20 Dec 20
704
360 Nelayan Terima Bantuan
DUNGUN, 20 Disember- Seramai 360 nelayan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan dapur melibatkan peruntukan sebanyak RM40,000.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, bantuan berkenaan bagi meringankan beban golongan nelayan yang tidak dapat mencari rezeki di musim tengkujuh.
"Bantuan ini diberi setiap tahun bila tiba musim tengkujuh, sejak tujuh tahun yang lalu kerana kita sedar nelayan sangat terkesan bila tiada pendapatan kerana tidak boleh pergi menangkap ikan untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Bantuan Nelayan Musim Tengkujuh di Dewan Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini.
Alias turut mengingatkan agar golongan nelayan sentiasa taat perintah Allah agar rezeki yang diperoleh sentiasa diberkati.
"Sentiasa buat kerja, turun ke laut, solat perlu dilaksanakan, jangan tinggal solat kerana solat dapat mencegah mungkar dan kerja buat kita akan diberkati," ujarnya.
20 Dec 20
200
80 Kakitangan PSMZA Terima Sumbangan YaPEIM
DUNGUN, 19 Disember - Seramai 80 kakitangan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang dikategorikan B40 telah menerima sumbangan daripada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, mereka yang menerima sumbangan tersebut terdiri daripada kakitangan sokongan dan pengawal keselamatan.
"Saya bersyukur, gembira dan amat berterima kasih kepada pihak YaPIEM dan kerajaan di atas keprihatinan untuk menghulur bantuan kepada golongan B40 dalam kalangan kakitangan PSMZA," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas di Majlis Penyerahan Musaadah COVID-19 YaPIEM kepada kakitangan B40 PSMZA di Bilik Mesyuarat Utama, PSMZA.
Sementara itu, Pengurus YaPIEM Negeri Terengganu, Kartina Ahmad berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM21,200 untuk membantu golongan tersebut.
"Sumbangan ini merupakan sumbangan barang dapur dan daging segar," ujarnya.
18 Dec 20
544
30 Tahun Menumpang, Kini Miliki Rumah Sendiri
DUNGUN ,17 Disember- Impian Daud Jusoh untuk memiliki rumah sendiri setelah 30 tahun menumpang di atas tanah orang akhirnya menjadi kenyataan apabila terpilih untuk menerima bantuan rumah melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS).
Daud yang sebelum ini seorang nelayan tetapi kini sudah tidak bekerja memandang kesihatannya tidak mengizinkan menyifatkan rezeki dari Allah itu sangat tepat pada masanya.
"Saya bersyukur kerana rumah ini siap dan diserahkan kepada saya masa tuan tanah dah nak ambil tanah miliknya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Projek Perumahan Terengganu Sejahtera oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Kampung Rhu Batil di sini.
Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan berkenaan yang bekerja sebagai tukang rumah Mohd Suhaimie Wahab, 37, berterima kasih kepada kerajaan negeri yang cakna dengan keperluan rakyat.
"Saya sudah menyewa banyak rumah dan kali terakhir saya menumpang di rumah tok ki saya, alhamdulillah hari ini saya memiliki rumah sendiri di atas tanah sendiri, terimakasih YB Cikgu Alias," ujar ayah kepada tiga orang anak itu.
Sementara itu , Alias Harun memberitahu, kerajaan Terengganu telah menambah peruntukan untuk PPTS di dalam menyediakan rumah patuh syariah.
"Sebelum ini RM40, 000 seunit tetapi sekarang kerajaan tambah kepada RM56 000, sebelum ini dua bilik tidur tetapi rumah patuh syariah ada tiga bilik tidur, satu bilik mandi dan satu bilik air," jelasnya.
17 Dec 20
725
Kerajaan Negeri Komited Tunai Janji Manifesto
DUNGUN, 18 Disember -Kerajaan negeri dibawah pimpinan PAS komited menunaikan janji manifesto ketika Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sehingga kini antara manifesto yang telah dilaksanakan termasuk pemberian lesen motosikal percuma, mengembalikan tanah terkilan, kad sejahtera, serta pusat jagaan kanak- kanak di jabatan kerajaan.
"Manakala manifesto yang sedang dalam proses untuk dilaksanakan antaranya ialah menyediakan pinjaman perumahan berjumlah RM50 juta yang telah diumumkan oleh Menteri Besar Terengganu ketika pembentangan Bajet 2021 dan juga Pusat Pemulihan Dadah Secara Holistik yang akan beroperasi pada Januari depan.
"Dalam pada itu, kerajaan Terengganu juga sedang merancang untuk membina Pusat Pengajian Tinggi milik kerajaan negeri dan Bandar Baharu Lestari," ujarnya.
Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyampaian Sumbangan Cermin Mata kepada 170 penerima di Dewan Darul Ansor di Kampung Alor Mal Bah di sini.
Katanya, kerajaan negeri tidak pernah berhenti daripada bekerja keras selepas diberi kepercayaan oleh rakyat untuk memerintah Terengganu dan sedaya mungkin menunaikan janji.
Justeru katanya, diharapkan setiap manifesto yang dilaksanakan untuk kebaikan rakyat digunakan sebaik.
"Misalnya, kad sejahtera yang diberikan kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta, gunakanlah sebaik mungkin," ujar Alias.
17 Dec 20
197
Hasrat Nelayan Miliki Tanah Akhirnya Tertunai
KEMAMAN, 16 Disember – “Umur sudah mencecah 66 tahun, saya yang tidak pernah dapat tanah, tetapi setelah tunggu lebih 20 tahun, alhamdullilah Kerajaan Negeri telah realisasikan hasrat ini,” luah seorang nelayan, Abd Ghani Ismail, setelah menerima Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Sivik, Kemasik, Kemaman, pagi tadi.
Abd Ghani atau lebih mesra disapa Pok Ya, berkata sangat menghargai usaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili dan kerajaan Terengganu atas pemberian hak milik tanah tersebut.
“Sekarang saya tinggal di Kampung Baru Kiri, insya-Allah harapan supaya dimurahkan rezeki bagi mendirikan rumah ini memandangkan saya seorang nelayan, tapi sekali lagi saya nak berterima kasih kepada ADUN Kemasik dan Majlis Daerah Kemaman,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi penerima dari Kampung Baru Kemasik, Suriyani Abdullah, 43, yang mewakili suaminya, Mat Zawan Muhammad, mengakui gembira dan tidak percaya kerana mendapat hak milik tanah sendiri.
“Inilah satu tanah pertama yang pernah dapat, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan Terengganu.
“Selama ini pun tiada rumah tetap, tapi dengan tanah ini akhirnya dapat dirikan rumah sendiri. Hasil manifesto ini boleh dikatakan sebagai jadi sungguh,” ujar Suriyani yang juga ibu kepada empat orang anak.
Sementara itu, Saiful Azmi berkata, penghargaan diberikan kepada Pegawai Daerah dan seluruh kakitangan Pejabat Daerah atas usaha dalam memastikan hasrat kerajaan disempurnakan secepat mungkin.
“Kerajaan negeri telah menjanjikan 20 manifesto, sehingga sekarang sebahagian daripada 18 manifesto telah dilaksanakan atau sedang berjalan, usaha RTB ini adalah bukti proses merealisasikan sedang diteruskan.
“Bagi DUN Kemasik terdapat tujuh RTB bagi tapak kediaman, dan hari ini adalah RTB keenam yang dapat disempurnakan. Harapan supaya baki satu lagi akan dapat direalisaiskan pada suku pertama tahun hadapan," katanya ketika ditemubual pemberita.
16 Dec 20
397