Artikel "Komuniti" Terkini
200 Sukarelawan Sertai Operasi Pasca Banjir
DUNGUN, 27 Disember- Lebih 200 orang sukarelawan menyertai Operasi Pasca Banjir T-Volt Bukit Besi, Dungun bagi bersama-sama mengembeleng tenaga untuk menjayakan gotong-royong di kawasan yang terjejas banjir.
Pengarah program Zakariah Yusof berkata, walaupun perbincangan untuk mengadakan program tersebut hanya beberapa hari lepas diputuskan tetapi sambutan yang diterima amat memberangsangkan.
"Selain Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Daerah Dungun , 30 orang Rakan Muda dan masyarakat kampung juga turut terlibat menjayakan operasi ini," ujarnya yang juga Pengarah KHIDMAT Malaysia Daerah Dungun ketika ditemui pemberita selepas program tersebut.
Mengisi aturcara program anjuran bersama Terengganu Volunteers(T-Volt) ialah Jom Tukor Minyok Hitam, Dapur Rakyat, Bersih, Comel, Cantik Kubur dan Cuci Cuci Banjir.
Program yang diadakan di Kampung Minda Telong di Dewan Undangan Negeri(DUN) Bukit Besi semalam turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd dan ADUN Rantau Abang, Aiias Harun.
Sementara itu, Wan Hassan yang merasmikan majlis itu melahirkan rasa kagumnya kepada sukarelawan walaupun tanpa habuan dan tambahan lagi hujan lebat tetap datang untuk mencurahkan tenaga.
"Dengan semangat dan sifat ringan tulang, hari ini mereka berjaya membersihkan masjid, sekolah, balairaya serta kubur di Kampung Minda Talong demi keselesaan orang kampung selepas ini,"katanya.
26 Dec 20
313
YADIM Agih Bantuan Kepada Mangsa Banjir
KEMAMAN, 26 Disember - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu tidak melepaskan peluang untuk turut sama membantu mangsa banjir yang terjejas di Kemaman.
YADIM hadir ke daerah ini dan telah memilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai untuk mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
Penolong Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saidin bersyukur ke kerana pihaknya dapat membantu dan menyantuni golongan terjejas di daerah ini.
"Alhamdulillah, pagi tadi saya bersama 11 orang anggota berada di DUN Air Putih bersama mangsa banjir di sana.
"Petang ini pula kami berada di DUN Chukai membawa sumbangan 140 kampit beras dan barangan dapur khas untuk warga Cukai yang ditimpa musibah banjir," katanya selepas program kelmarin.
Menurutnya, peluang yang diberikan pihak berautoriti dimanfaatkan sebaik mungkin YADIM dalam meringankan beban mangsa.
"Terima kasih kepada pihak tempatan terutamanya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang membuka peluang kepada kami untuk turun padang bersama-sama menyantuni golongan ini.
"Mudah-mudahan sedikit sebanyak bantuan daripada YADIM hari ini dapat meringankan beban mereka yang ditimpa musibah," ujarnya.
Beliau turut berharap dengan program bersama yang diadakan itu menjadikan hubungan antara pihak kerajaan dan YADIM dapat diperkemaskan lagi pada masa hadapan demi kebaikan rakyat khususnya di Terengganu.
"Sama-sama kita lestarikan dakwah di negeri Terengganu Darul Iman, jom sertai Sukarelawan Fastabiqul Khairat," katanya lagi.
Dalam program itu, YADIM bersama Hanafiah sempat menziarahi dan menyantuni hampir 70 orang mangsa banjir di Kampung kuala kemaman.
Hanafiah turut menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada setiap penerima bantuan tersebut itu.
Kos sebanyak RM13,000.00 diperuntukan bagi keseluruhan sumbangan yang diberikan itu.
Turut bersama dalam program tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
25 Dec 20
206
60 Keluarga Mangsa Banjir Termenung Terima Bantuan
DUNGUN, 23 Disember- Sebanyak 60 keluarga mangsa banjir termenung yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara di Kampung Che Lijah menerima bantuan.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Che Lijah, Ibrahim Senik berkata, pihaknya menyedari kesukaran mereka untuk keluar mendapat bekalan makanan dan barangan dapur akibat rumah mereka terkepung dengan air yang naik sejak empat hari lepas.
"MPKK sudah berusaha memujuk mereka untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara(PPS) tetapi mereka tetap berkeras tidak mahu berpindah, alasan mereka, air masih tidak masuk dalam rumah, sebab rumah kat sini tinggi-tinggi.
"Keadaan begini berlaku setiap tahun bila berlaku musim tengkujuh," katanya.
Beliau yang turut mengiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyampaikan bantuan tersebut semalam.
Sementara itu, Alias mengharapkan sekiranya bencana banjir berulang diharapkan penduduk di kawasan berkenaaan segera berpindah.
"Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya sesuatu yang tidak diingini, kita tidak mahu apa yang berlaku di Serdang, mula-mula tidak mahu pindah, bila keadaan sudah kritikal, air naik dengan cepat, dimana terpaksa dipindahkan juga pada pukul 3 pagi," katanya dengan nada kesal.
23 Dec 20
539
Program Tuisyen Rakyat Untuk Pelajar SPM
KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Tuisyen Rakyat untuk membantu pelajar tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Program tuisyen tersebut menawarkan tiga subjek kepada pelajar iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah.
“Kita jalankan program ini melalui tiga zon iaitu zon pertama buat Mukim Chendering bertempat di Dewan Serbaguna Permin Jaya, zon kedua untuk Mukim Kuala Ibai dan Batu Buruk bertempat di Dewan Darul Syifa’ Kuala Ibai.
“Manakala bagi zon ketiga untuk Mukim Bukit Besar bertempat di Dewan Masjid Gong Tok Nasek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemu bual pemberita.
Tambah beliau, program tuisyen tersebut memanfaatkan tenaga pengajar yang pakar dalam soalan-soalan lazim dalam peperiksaan SPM.
Ketiga-tiga zon tersebut dijadualkan secara berasingan iaitu zon pertama pada 22 hingga 24 Disember 2020, zon kedua pada 27 hingga 29 Disember 2020 dan zon ketiga pada 3 hingga 5 Januari 2021.
Program Tuisyen Rakyat ini yang bermula semalam telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan penuh seramai 32 orang pelajar.
Tambahan pula, program tersebut telah dijalankan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal.
23 Dec 20
606
Peserta RTB Menarik Nafas Lega Setelah 15 Tahun Menunggu
BESUT, 28 Disember- Peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut akhirnya dapat menarik nafas lega setelah 15 tahun menunggu untuk mendapatkan geran tanah.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, seramai 145 peserta RTB Durian Ubi, RTB Penempatan Nelayan Bukit Keluang dan RTB Gong Tengah menerima geran dan borang 5A untuk fasa pertama.
"Majlis ini adalah untuk pembahagian geran bagi fasa pertama dan peserta yang masih menunggu akan diberikan di dalam majlis pada fasa kedua nanti.
“Saya berharap peserta RTB yang belum dipanggil bersabar dan kami pihak Pusat Khidmat DUN Kuala Besut akan berusaha secepat mungkin bagi menyelesaikannya”, ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Geran dan Borang 5A kepada peserta RTB di Dewan Sivik Kampung Baharu, Kuala Besut, baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah Besut, Fakhrol Ruzi Ibrahim.
Seorang peserta RTB Durian Ubi, Aziz Mat Jim, 61, melahirkan rasa bersyukur apabila menerima geran hakmilik kekal setelah 15 tahun menunggu.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu kerana menunaikan manifesto yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, " ujarnya.
23 Dec 20
321
Bayi 26 Hari Antara Penghuni PPS
DUNGUN, 23 Disember - Bayi berusia 26 hari antara mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung Serdang di sini.
Bayi terbabit, Muhammad Adika Rezqi Mohd Aidil yang kelihatan nyenyak tidur ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun bersama NGO KHIDMAT semalam.
Ibunya, Norshamira Johari, 30, memaklumkan, dia bersyukur kerana anaknya itu tidak meragam dan mudah diuruskan.
Norshamira(dua dari kiri) sedang menerima buah tangan daripada Alias sambil diperhatikan oleh anggota KHIDMAT.
"Alhamdulillah penyakit kuningnya pun hilang sebelum berpindah tempoh hari, jadi sekarang tak payah berulang alik ke Klinik Kesihatan Kampung Delong," kata ibu tiga anak itu.
Mereka adalah antara 119 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan tinggal di Kampung Keliyu, Serdang.
Katanya lagi, berpantang di PPS memberinya pengalaman baharu.
"Berpantang di PSS ini, penatlah sedikit berbanding berpantang anak-anak sebelum ini, kena banyak bergerak tetapi mereka yang tinggal bersebelahan khemah banyak membantu, jadi mudahlah sedikit," katanya.
23 Dec 20
235
Pemimpin Perlu Kepada Pembantu Yang Baik- Dato’ Yahaya
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 21 Disember- Kemampuan seseorang pemimpin dalam memikul tanggungjawab mengurus juga terhad dan perlu kepada pasukan kerja secara kolektif.
Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, budaya kerja secara solo atau bekerja dalam komuniti tersendiri wajar diketepikan.
“Apa yang saya kata, pemimpin tidak boleh memikirkan semua perkara. Mereka perlukan pembantu sama ada Personal Assistant (PA), Setiausaha dan apa sahaja orang disekelilingnya itulah yang perlu dibantu untuk memudahkan dia (pemimpin) membuat keputusan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Sijil Kursus Asas Kemahiran Komunikasi Interpersonal di Dewan Dato' Seri Tuan Guru Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong, Kemaman, semalam.
Menurutnya, semua orang mempunyai kelemahan masing-masing dan pemimpin yang baik tidak akan menunding jari kesilapan kepada orang lain.
“Oleh kerana itu, pemimpin yang bagus mestilah mempunyai peribadi yang baik dalam soal berkomunikasi.
“Seorang pemimpin yang banyak kerja tidak sepanjang masa dia bagus dan akan ada silap serta kelemahan tetapi dari segi personaliti ia mesti menggambarkan gaya seorang pemimpin yang mesti dipertahankan.
“Sebab itu, mengadakan susasana yang kondusif sangat penting. Bahkan dari segi peribadi seorang pemimpin itu dapat memberikan satu suasana, orang yang rapat dengan beliau (pemimpin) itu boleh jadi pembantu yang baik,” jelasnya.
Justeru, kata Dato’ Yahaya, jika mempunyai sifat lebih demokratik, bersikap terbuka, boleh menjadi pendengar yang baik dan mudah dibawa berbincang adalah ciri pemimpin yang cemerlang dalam sesebuah organisasi.
“Allah SWT kasih kepada hambanya apabila diberi tanggungjawab dia melaksanakan dengan cemerlang.
“Ini mesti kita bina dan menjadikan tanggungjawab kita itu sebagai satu ibadah. Melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pembantu yang baik pula boleh menjadi penasihat kepada pemimpin itu sebagai orang kepercayaan dalam merunding sesuatu perkara.
“Kadang-kadang apabila ada masalah, tempat meluahkan perasan dan masalah itu kepada orang yang rapat dengannya. Sebab itu tanggungjawab pembantu sangat penting.
“Pemimpin kena buat keputusan untuk nak memajukan negara, jabatan dan untuk mencapai ‘keuntungan’ (kejayaan) pemimpin perlu ada pembantu yang hebat,” tegasnya.
22 Dec 20
311
Peniaga 'Bundle' Berputih Mata Rugi RM5,000
KEMAMAN, 22 Disember – Seorang peniaga ‘bundle' rugi lebih RM5,000 apabila beg-beg jualan ditenggelami air banjir di perumahan Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong, baru-baru ini.
Mangsa, Saiful Mohd, 32, berkata, dia tidak menyangka air naik setinggi paras pinggang pada hari Jumaat lalu.
“Walaupun telah meletakkan barangan ke tempat tinggi, tapi air naik di luar jangkaan dan menyebabkan stok 400 kilogram (kg) atau hampir 1,000 beg bundle terapung atas air.
“Itu tidak termasuk barangan rumah juga yang tidak sempat diselamatkan. Namun begitu, mana-mana beg bundle yang dapat diselamatkan saya akan guna kembali.
“Harap supaya saya dapat meniaga kembali seperti biasa dalam masa terdekat di Padang Astaka, Chukai (khamis), berdekatan Pasar Borong, Dungun (jumaat), ‘Carboot sale’ Taman Tas, Kuantan (Sabtu) dan Pasar Karat, Kuantan (Ahad)," katanya yang juga seorang bapa kepada dua anak.
Mengulas tentang usaha pembersihan Khidmat Malaysia Terengganu di kawasan perumahannya, Saiful berkata, bantuan tersebut meringankan bebannya dalam menghadapi musibah ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata, mereka di perumahan tersebut menghadapi musibah besar buat kali pertama sejak tahun 2015.
“Antara punca paling besar adalah hujan turun di Kemasik hampir 313mm dalam sehari berbanding 200mm sebulan.
“Masalah keberkesanan ‘culvert’ juga antara faktor, oleh itu permohonan sedang diusulkan kepada peringkat kerajaan pusat bagi peruntukan RM 1.6 juta bagi culvert tambahan.
“Kerajaan negeri akan membantu semampu yang mungkin dalam isu ini,” ujarnya.
22 Dec 20
2432
Beri Motivasi Kepada Mangsa Banjir
DUNGUN, 22 Disember- Mangsa banjir perlu diberi suntikan semangat dan motivasi agar tabah menghadapi ujian.
Penolong Pegawai Seranta Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Azman Khidmir Zulakmal berkata, Allah turunkan ujian sebagai tanda kasih Allah kepada hambaNya.
"Apabila datangnya ujian perlu sentiasa berdoa dan bergantung harap kepada Allah agar lebih beriman dan bertakwa, ujian daripada Allah adalah tanda Allah kasih dan sayang , ujian diturunkan oleh Allah untuk menghapuskan dosa-dosa dan kesalahan manusia.
"Di sebalik ujian ini juga akan meraih perasaan simpati untuk saling cakna mencaknai serta membawa kepada saling tolong menolong diantara satu sama lain, yang membawa kepada pertautan kasih dan sayang sesama manusia," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sedikit motivasi kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Tersusun Rantau Panjang, semalam.
Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Tersusun Rantau Panjang, Nor Zakirah Mohd Zaid merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat memastikan kebajikan mangsa banjir di pusat itu terjaga.
"Terima kasih kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Haji Ghazali , semua agensi, jabatan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), yang telah memastikan kebajikan mangsa banjir terjaga dan segala urusan ketika banjir dapat diuruskan dengan baik,serta tidak berlaku sebarang perkara yang tidak diingini," ujarnya.
21 Dec 20
290
“Terima kasih Primula Beach Hotel"
KUALA NERUS, 21 Disember – “Memang saya terharu dan tidak menyangka Pengurus Besar Primula Beach Hotel bersama-sama anak buahnya datang untuk membaiki atap yang rosak akibat ribut baru-baru ini,” ujar Ahmad Ameram Abdullah, 53 yang merupakan salah seorang kakitangan hotel berkenaan.
Bapa kepada tiga orang anak ini yang telah berkhidmat di hotel berkenaan sejak tahun 1991, kelihatan teruja dengan kedatangan pihak majikannya berkata dia cuma dimaklumkan bahawa ada pihak hotel akan datang membantunya membaiki atap yang rosak.
“Bila tengok Puan Suaibah sendiri yang datang, sebagai pekerja memang rasa terharu dengan kecaknaan yang ditunjukkan oleh beliau.
“Terima kasih yang tidak terhingga sebab membantu saya dan keluarga dalam keadaan diri yang masih tidak dapat bekerja buat sementara waktu ini…hanya Tuhan yang dapat membalasnya,”ujarnya yang turut patah tangannya antara siku dan bahu ketika cuba menukarkan atap berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata, pihaknya memperuntukan RM1,000 bagi kerja baik pulih bumbung kediaman pekerjanya yang terjejas susulan hujan lebat baru-baru ini.
“Peruntukan itu adalah bagi menukar sebahagian atap yang sudah pecah dan bocor termasuk membeli kayu dan peralatan lain.
“Saya amat berbesar hati dapat melaksanakan inisiatif mulia ini dengan kerjasama kakitangan-kakitangan lain serta dapat mempamerkan keprihatinan, kasih sayang dan komitmen dalam menangani pelbagai isu yang selaras demi keluarga besar hotel kami,”jelasnya.
Suaibah berkata demikian ketika ditemui selepas melawat rumah Ahmad Ameram di Taman Permint Perdana, Seberang Takir dekat sini, hari ini.
Tambah beliau, program itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana masyarakat mahupun kerajaan akan mengiktiraf usaha tersebut dalam memantapkan dan mengukuhkan lagi sesebuah organisasi melalui pandangan masyarakat yang merupakan pelanggan dan pekerja sebagai pihak berkepentingan paling utama.
21 Dec 20
791