Artikel "Komuniti" Terkini
1,050 JPKK Terengganu Terima Watikah Lantikan
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Sebanyak 1,050 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dijenamakan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri Terengganu hari ini menerima watikah pelantikan daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim menyatakan bilangan JPKK menyaksikan pertambahan berbanding 1,046 MPKK sebelum ini.
"Bagaimanapun, saya telah meneliti senarai yang ada dan mendapati sebahagian besarnya masih mengekalkan kepimpinan sebelum ini. Kalau diikutkan pengiktirafan yang diperolehi sebelum ini, MPKK Terengganu dikatakan antara yang terbaik dalam negara.
"Jadi, dari segi pengurusan dan juga khidmat, kita harap kesinambungan ini berterusan. Sebagaimana kita telah melalui proses belajar selama dua tahun tujuh bulan dengan ilmu berkaitan pentadbiran, kita tentu mampu pergi lebih jauh ke hadapan sebagai jentera kerajaan di peringkat bawah sekali," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas majlis penyampaian watikah pelantikan JPKK yang disempurnakan Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, di Wisma Darul Iman, hari ini.
Jelasnya, watikah itu disampaikan kerajaan negeri kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai penyelaras DUN di seluruh Terengganu dalam satu majlis ringkas.
"Pihak pentadbiran juga akan mengangkat permohonan geran JPKK dalam masa terdekat dengan nilai sama seperti tahun lalu iaitu RM10,000. Ini kerana, tahun lepas kita luluskan tetapi kerana kekangan COVID-19 kita cuma bagi one-off RM4,000 bagi setiap MPKK.
"Oleh itu, tahun ini kita mohon jumlah yang sama sebagai ganti kepada geran yang telah dihentikan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum daripada ini," katanya.
ADUN Jabi itu turut menambah, kuota keanggotaan JPKK turut dibuka kepada rakan-rakan parti Perikatan Nasional sebagaimana yang dipersetujui.
Menurutnya, setakat ini lima keanggotaan dibuka dan telah diisi oleh rakan-rakan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di 114 JPKK beberapa DUN terutama Besut dan Setiu.
"Rakan Muafakat Nasional (MN) iaitu UMNO telah menolak untuk menganggotainya dan kita hormati pendirian mereka.
"Kita juga telah longgarkan syarat yang ditetapkan untuk parti PPBM. Walaupun KPLB menetapkan hanya parti yang mempunyai cawangan sah di kampung berkenaan sahaja yang boleh menyertai, kita longgarkan syarat asalkan ada wakil kita berikan kerana kita ambil cakna untuk menguruskan kampung secara keseluruhan," katanya.
14 Jan 21
2758
PKPB : MAIDAM Terengganu Salur Bantuan Khas RM9.6 Juta
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan bantuan khas sebanyak RM9.6 juta untuk membantu meringankan beban golongan asnaf yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang berkuat kuasa hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, M Rozi Bidin memberitahu, seramai 24,000 golongan asnaf yang terkesan susulan PKPB akan menerima bantuan khas antara RM300 dan RM500 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).
Katanya, pengagihan bantuan khas itu akan dimasukkan terus ke akaun KIR selewat-lewatnya Rabu depan.
"Bantuan khas yang akan disalurkan tidak membabitkan pemotongan bantuan bulanan dan bantuan sara hidup.
"Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang turut terkesan berikutan bencana banjir dan PKPB seperti diumumkan kerajaan, kelmarin," katanya ketika mewakili Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda pada sidang media di pejabatnya, hari ini.
Hadir sama, Ketua Penolong Setiausaha Pengurusan Zakat, Nazli Amirri Ngah.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kaedah pengagihan bergantung kepada jumlah tanggungan.
"Mereka yang mempunyai tanggungan melebihi tiga orang akan menerima sebanyak RM500 manakala kurang dari tiga tanggungan menerima RM300.
"Ahli majlis mesyuarat MAIDAM memutuskan meluluskan bantuan khas selepas mengambil kira bebanan yang terpaksa dihadapi golongan asnaf yang terkesan susulan bencana banjir dan terbaharu PKPB diumumkan kerajaan membuat persiapan membeli kelengkapan sekolah," katanya.
13 Jan 21
3658
PKMD Bukit Besi Jaga Kebajikan Anak Yatim
DUNGUN, 13 Januari- Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (PKMD) Bukit Besi sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan anak yatim di kawasan berkenaan.
Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya sentiasa memikirkan cara serta kaedah terbaik meringankan sedikit bebanan kehidupan terutamanya di kalangan keluarga yang kurang berkemampuan.
"Pada setiap tahun kita raikan mereka, pada kebiasaannya menjelang hari raya kita adakan program berbuka puasa bersama anak yatim supaya dapat mengembirakan mereka, pada kali ini kita berhasrat untuk menyampaikan bantuan awal persekolahan.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program makan tengahari bersama anak yatim, di sini, semalam.
Katanya, seramai 20 orang anak yatim berusia bawah 12 tahun yang telah dikenal pasti di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengikut beberapa kriteria tertentu telah terpilih untuk menerima bantuan berkenaan.
"Insya Allah jika diikutkan masih ada lagi anak yatim yang akan kita fikirkan cara untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka, cuma pada hari ini kita memilih untuk meraikan dahulu anak-anak yatim terpilih ini untuk bersama makan tengahari.
"Bagi menzahirkan di peringkat kita selalu cakna dan prihatin kepada mereka dengan perasaan penuh empati dengan nasib yang mereka alami dan juga berperanan menjadi perantaraan untuk pelbagai pihak yang berhasrat membantu anak-anak yatim ini," ujarnya.
13 Jan 21
180
Nelayan Terjejas Tengkujuh Tarik Nafas Lega
KUALA NERUS, 12 Januari – Nelayan terjejas tengkujuh di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir di sini menarik lega selepas menerima bantuan kewangan dan barangan dapur daripada kerajaan negeri.
Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Haji Mohd Fadhil Wahab berkata, sumbangan khas nelayan itu diwujudkan bagi membantu golongan itu yang tidak dapat turun ke laut sehingga dibebani beberapa masalah.
“Seperti kebiasaan, di pantai timur akan mengalami tengkujuh pada bulan November sehingga Mac.
“Pada waktu ini, mereka tidak dapat keluar menangkap ikan dan ianya menjejaskan pendapatan mereka pada tempoh itu.
“Situasi sebegitu mengakibatkan mereka tidak meraih pendapatan pada musim tersebut untuk menyara hidup,” katanya selepas ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Takir, Hamdan Mamat ketika ditemui mengucapkan terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Nerus dan Seberang Takir atas bantuan yang diberikan kepada golongan nelayan.
“Pada musim sebegini, kami memang tidak dapat turun ke laut.
“Jadi, dengan adanya bantuan RM100 dan barangan dapur, kami bagi pihak Persatuan Nelayan Seberang Takir mengucapkan berbanyak terima kasih atas kesudian pimpinan setempat memberi bantuan ini,” katanya
Sementara itu, tekong bot, Azahari Azhar ketika ditemu ramah berkata, beliau terharu dan melahirkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas bantuan ini.
“Terima kasih kepada Pusat Khidmat dan kerajaan negeri kerana mewujudkan bantuan ini khususnya nelayan Seberang Takir.
“Bantuan berupa wang tunai dan barang keperluan ini cukup bermakna buat kami yang tidak dapat ke laut menangkap ikan dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” ujarnya.
12 Jan 21
88
Pelbagai Pihak Tampil Hulur Bantuan Pasca Banjir
DUNGUN, 12 Januari- Bencana banjir yang menjejaskan kehidupan ribuan penduduk daerah ini terutamanya di Hulu Dungun terus mendapat perhatian pelbagai pihak yang tampil menghulurkan pelbagai bentuk bantuan dan sumbangan untuk mereka.
Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi Ghazali Sulaiman berkata, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi (PKMD) telah bertindak menjadi perantaraan dalam menyampaikan sumbangan daripada pihak yang berhasrat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.
"Sejak semalam, saya telah dihubungi pelbagai pihak yang ingin menghulurkan bantuan samada berupa sumbangan tenaga kerja untuk melakukan kerja-kerja pembersihan, menghulurkan kit bantuan banjir dan sebagainya kepada penduduk di sini.
"Kita sangat alu-alukan serta berterima kasih kepada pihak yang sudi membantu meringankan bebanan mangsa banjir," ujarnya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya, misi bantuan pasca banjir DUN Bukit Besi telah dimulakan secara rasminya semalam dengan penglibatan anggota Jabatan Amal Malaysia Kawasan Dungun dan 'Alternative Riding Club' (ARC).
"Juga menerima penyertaan daripada Jabatan Amal Kawasan Marang yang turut singgah membantu ketika perjalanan mereka untuk menjalankan misi banjir di daerah Kemaman.
"Antara yang kita lakukan termasuk membersihkan rumah penduduk terkesan banjir, surau, masjid dan segala kerja yang berkaitan," ujarnya.
Selain itu Ghazali berkata, pihaknya juga telah menjadikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang tidak terlibat banjir sebagai 'bapa angkat' kepada kawasan yang terkesan banjir.
"Dimana kita telah selaraskan kaedah demikian bagi memastikan timbulnya sifat saling bertanggungjawab serta melancarkan lagi aktiviti pasca banjir secara menyeluruh tanpa ada komuniti yang tertinggal didalam memastikan segala gerak kerja pasca banjir dapat diselesaikan dengan baik.
"Juga bertujuan memastikan terjalinnya hubungan yang baik diantara kesemua 23 cawangan MPKK yang ada di sini, dimana akan mewujudkan permuafakatan yang baik, bak kata pepatah 'berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing', "ujarnya.
12 Jan 21
278
GLC Terengganu Hulur Sumbangan Bantu Mangsa Banjir
KEMAMAN, 12 Januari – Seramai 150 orang kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC),Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) dan anak-anak syarikatnya menghulurkan bantuan kewangan bagi mengurangkan beban yang dihadapi mangsa banjir.
Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc, Suridah Supian berkata, selain Epic Berhad yang menyumbang dana sebanyak RM150,000, tenaga sukarelawan bagi mencuci rumah mangsa banjir turut digerakkan anak-anak syarikat lain.
“Di bawah pimpinan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Terengganu Inc dan EPIC Berhad, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kami telah gerakkan kerja kebajikan sejak mulanya banjir.
"Antaranya seperti bantuan Kewangan oleh SATU sebanyak RM300,000 melalui Tabung Darul Iman.
"Tambah lagi, bantuan air mineral kepada kawasan terjejas, bekalan sumber air bersih dan air mineral oleh Syarikat Air Terengganu (SATU), serta penyerahan 500 pasang kasut but kepada anggota penyelamat dan sukarelawan semasa banjir di Teladas, November lalu.
“100 orang bersama-sama dengan EPIC Berhad turut dihantar membersihkan kawasan di sekitar Bandar Baru Bukit Mentok sejak semalam. Usaha ini dilihat dapat membawa kakitangan kami untuk dekat bersama masyarakat dan memahami keperitan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis ringkas penyerahan bantuan kepada mangsa banjir di Jalan Alamanda, Bandar Baru Bukit Mentok, Kemaman.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Strategik EPIC Berhad, Noor Tuah Jaafar.
Sementara itu, Noor Tuah berkata, pihaknya turut melaksanakan beberapa langkah lain seperti menyediakan tenaga pembersihan seramai 70 orang bersama jentera dan peralatan agar kesan banjir dapat dihapuskan dengan cepat.
"Kolaborasi berterusan sentiasa diadakan dengan DUN Chukai sekiranya ada keperluan usaha bantuan banjir di kawasan lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hanafiah Mat menyatakan, kira-kira RM100,000 telah dimanfaatkan untuk membeli barangan keperluan bagi lebih 1,000 buah rumah di Kemaman.
"Secara keseluruhan di Chukai, lebih 20 kawasan perumahan terdiri daripada hampir 2,000 rumah terjejas, pihak kami akan cuba sedaya upaya bermula dengan pembersihan 500 buah rumah pada hari ini
"Jutaan terima kasih kepada semua pihak sukarelawan GLC yang terlibat dalam usaha ini membersihkan Bandar Baru Bukit Mentok, Taman Seri Nilam, Pengkalan Pandan dan kawasan lain di sini,” katanya.
Prgram semalam disertai kakitangan Terengganu Inc, EPIC Berhad, SATU, TDM Berhad, Ladang Rakyat Terengganu, Golden Pharos Berhad, TI Properties, Primula Beach Hotel dan Permai Hotel.
11 Jan 21
905
150 Pelajar Sertai Kem Motivasi Dan Smart Al-Quran
BESUT, 11 Januari - Seramai 150 pelajar menyertai Kem Motivasi dan Smart Al-Quran 2021 yang diadakan selama lima hari bermula 9 Januari lalu bertempat di Kompleks Tahfiz An Nur Besut, Kampung Alor Belanga, Jerteh.
Penyelaras Parlimen Besut, Dr. Riduan Mohamad Nor berkata, program anjuran Pejabat Penyelaras Parlimen Besut itu merupakan inisiatif pihaknya bagi mengisi waktu cuti hujung tahun pelajar agar lebih bermanfaat.
"Kita sedia maklum, usia remaja 10 hingga 17 tahun ini merupakan peringkat umur yang paling kritikal kerana pada usia sebegini mereka mula mencari identiti diri, suka mencuba sesuatu dan mudah terpengaruh dengan budaya negatif," ujarnya kepada pemberita.
Katanya, pogram ini juga dapat menyuburkan kecintaan kepada al-Quran dan hadis Nabi dalam jiwa pelajar.
"Generasi hari ini yang dikenali sebagai "generasi android" sangat terdedah dengan kerosakan akhlak kerana terlalu mudah dalam mengakses media sosial.
"Atas dasar tanggungjawab sebagai pemegang amanah saya akan menyebarkan kebaikan kepada seluruh masyarakat, maka program ini diinspirasikan," ujarnya.
Katanya, dengan adanya program sebegini diharap dapat membentuk pelajar yang mempunyai matlamat hidup dan bermotivasi tinggi.
11 Jan 21
594
100 Sukarelawan Besut Bantu Mangsa Banjir Maran
BESUT, 11 Januari - Seramai 100 orang sukarelawan dari daerah Besut menyertai misi bantuan banjir di Maran, Pahang.
Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, sukarelawan berkenaan terdiri dari pelbagai agensi tanpa mengira usia itu bersama-sama berganding bahu meringankan beban mangsa banjir.
“Usaha ini diadakan bagi membantu rakyat terutamanya mangsa banjir yang baru diuji dengan satu musibah besar.
"Saya berharap para sukarelawan dapat berkerjasama antara satu sama lain agar misi bantuan ini tercapai dengan jayanya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelepasan misi bantuan banjir ke Pahang, semalam.
Katanya, sukarelawan Besut ditugaskan bagi membersihkan rumah yang ditenggelami banjir dan menyediakan juadah untuk mangsa.
Beliau juga berharap agar usaha ini diteruskan bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat dapat dikekalkan.
11 Jan 21
221
"Ia Adalah Satu Hadiah Tidak Ternilai"
HULU TERENGGANU, 10 Januari – "Selepas hampir 12 tahun menunggu, impian memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai juga," kata Mohd Azhar Ali, 42, seorang penerima Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diluluskan di negeri ini.
Bapa kepada empat anak itu berkata, dia yang membuat permohonan sebelas tahun yang lalu gembira apabila terpilih menerima bantuan berkenaan.
"Saya sudah lama menyewa rumah. Bantuan datang tepat pada masanya dan ini ialah hadiah dan kesenangan untuk isteri dan anak - anak saya.
“Saya sebagai suami dan ketua keluarga kini boleh menarik nafas lega kerana dapat menyediakan sebuah rumah yang selesa untuk didiami bersama isteri dan empat anak tersayang walaupun tidak sebesar mana.
"Bantuan ini meringankan beban dan memberi kemudahan kepada saya yang bekerja sebagai penghantar barang di sebuah Syarikat Kurier," katanya yang ditemui selepas menerima bantuan berkenaan baru-baru ini.
Beliau menerima replika kunci rumah yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman kassim di majlis penyerahan di Kampung Bukit Ara, Ajil di sini.
Sementara itu, Maliaman berkata, sebanyak 3 unit Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah dilulus dan ditawarkan kepada pemohon di Dun Ajil pada tahun 2020.
“Kerajaan negeri melancarkan program PPTS ini bagi membantu lebih ramai golongan kurang berkemampuan mempunyai kediaman sendiri dan sentiasa memberikan keutamaan kepada pembekalan rumah mampu milik termasuk rumah kos rendah dan sederhana rendah kepada penduduk di negeri ini.
“Kerajaan negeri juga sentiasa komited membantu menyelesaikan isu kemiskinan di Terengganu dengan melaksanakan pelbagai program termasuk bantuan seperti PPTS.
“Kita berharap lebih banyak bantuan seperti ini dapat diberikan kerana Kerajaan Negeri komited dalam usaha membantu menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya.
10 Jan 21
676
Pelajar Perlu Manfaatkan Tuisyen Rakyat
DUNGUN, 9 Januari - Para pelajar perlu manfaatkan Tuisyen Rakyat sebagai persiapan untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, tuisyen secara percuma itu diadakan sebagai pecutan akhir sebelum bermulanya peperiksaan SPM Februari nanti.
"Beri tumpuan sepenuhnya kepada kelas tuisyen ini, belajar bersungguh-sungguh jangan culas, mesti tanamkan azam berjaya dalam SPM dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana kerajaan Negeri Terengganu berhasrat untuk melahirkan rakyat yang berilmu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Tuisyen Rakyat yang diadakan di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini.
Menurut Alias, seramai 122 orang pelajar Tingkatan Lima daripada empat buah sekolah terpilih di DUN Rantau Abang untuk menyertai tuisyen anjuran kerajaan negeri itu.
"Sekolah - sekolah itu ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Pulut, Sekolah Menengah Kebangsaan Balai Besar, Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Rantau Abang dan Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Serai," ujarnya.
Disamping itu, beliau turut berharap agar ibu bapa dan calon-calon SPM juga sentiasa melakukan solat hajat memohon pertolongan Allah SWT supaya kejayaan yang dicita-ciatakan tercapai.
"Sekuat manapun usaha kita kalau tanpa pertolongan Allah, kita tidak berjaya begitu juga kalau langsung tidak 'study' tapi solat hajat, tidak jadi juga. Kita mestilah berusaha diikuti doa dan kemudian tawakal iaitu berserah kepada Allah SWT," ujarnya.
09 Jan 21
185