Artikel "Komuniti" Terkini
Bantuan Khas Diteruskan Walaupun Sesi Persekolahan Tangguh
KUALA TERENGGANU, 18 Januari - Bantuan khas bagi meringankan bebanan golongan asnaf menyediakan pakaian dan peralatan sekolah akan diteruskan walaupun sesi persekolahan ditangguhkan berikutan peningkatan kes COVID-19.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Osman Muda berkata, pengagihan bantuan khas berjumlah RM9.6 juta itu akan dimasukkan terus ke akaun Ketua Isi Rumah (KIR) selewat-lewatnya Rabu depan.
"Bantuan khas itu diluluskan bagi membantu meringankan beban golongan asnaf menyediakan pakaian dan peralatan sekolah susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), diumumkan kerajaan Selasa lalu," jelasnya pada sidang media di pejabatnya di Terengganu Equestrian Resort (TER) di Kuala Ibai, di sini, hari ini.
Osman berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kementerian Pendidikan (KPM) yang memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan Rabu ini ditangguh berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19, di seluruh negara.
Tambahnya, pengumpulan data dan jumlah tanggungan terutama membabitkan murid dan pelajar setiap KIR golongan asnaf sedang diproses.
"Setiap KIR yang mempunyai tanggungan tiga orang ke atas akan menerima bantuan khas sebanyak RM500 dan tiga ke bawah RM300," ujarnya.
18 Jan 21
4983
Dr Khairuddin Serah Sumbangan Tilam Kenaf Kepada Mangsa Banjir Temerloh
Oleh : Syahida Mohd / Qatadah Zakaria
KUALA NERUS, 17 Januari - Musibah banjir yang melanda di Temerloh, Pahang mendapat perhatian ramai termasuk Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.
Beliau menerusi Misi Bantuan Prihatin Mangsa Banjir Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyampaikan 230 unit tilam termasuk yang berasaskan kenaf serta pelbagai barangan keperluan lain di Kampung Mempateh, Lanchang di Temerloh, Pahang, baru-baru ini.
Majlis ringkas penyampaian bantuan banjir Temerloh itu diadakan di Darul Ansar, Lanchang.
Turut hadir, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang, Hasanuddin Salim.
Dalam majlis tersebut, Dr. Khairuddin berkata, KPKK telah melaksanakan misi turun padang pada peringkat awalnya di Raub dan seterusnya di Chenor.
"Alhamdulillah, hari ini kita sampai ke Temerloh dan kita akan cuba bantu semampu yang boleh mangsa-mangsa banjir di sini.
"Kita juga berharap usaha ini dapat melegakan sedikit sebanyak beban rakyat Temerloh," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Hazari Muhamad Apandi, 40, berkata, sungai yang kecil di kawasan Temerloh telah menyumbang kenaikan air secara mendadak dan menyebabkan orang kampung tidak sempat mengalihkan barang mereka ke tempat yang selamat.
"Air sungai naik deras di kawasan kami. Tak sampai beberapa jam, air sudah naik sehingga ke paras atap rumah. Apa barang pun tak sempat kami selamatkan.
"Tapi alhamdulillah, kami bersyukur kerana bantuan sampai tak henti-henti pada kami,"katanya,
17 Jan 21
345
128 Beg Darah Berjaya Dikumpul
KEMAMAN, 17 Januari - Sebanyak 128 beg darah berjaya dikumpulkan di 'Amal Mega Blood Donation 2021' di sini kelmarin.
Program derma darah itu dianjurkan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang dikendalikan oleh JAM Kawasan Kemaman dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Kemaman dan Jawatankuasa Masjid Sultan Ahmad.
Wan Mohd Faisal Wan Abdullah.
Timbalan Ketua Pegawai Tadbir JAM Pusat, Wan Mohd Faisal Wan Abdullah bersyukur kerana program tersebut berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada warga Kemaman yang sudi hadir memberi sokongan kepada kami dan kehadiran peserta amat memberangsangkan.
"Kami meletakkan sasaran sebanyak 120 beg darah yang perlu dikumpulkan pada program ini, alhamdulillah ianya berjaya melepasi sasaran iaitu sebanyak 128 beg selama dua hari kami di sini," katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Ahmad, kelmarin.
Program yang diadakan selama dua hari itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh.
Antara peserta Amal Mega Blood Donation 2021.
Wan Mohd Faisal yang juga Timbalan Pengarah II JAM Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
"Saya sebagai wakil JAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama Hospital Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Kemaman, anggota Bomba Kemaman, semua Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak masjid, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan semua anggota Amal Kemaman," ucapnya.
Ketika ditanya mengapa program tersebut diadakan, Wan Mohd Faisal menyatakan, ianya bertujuan untuk mengisi tabung darah negara bagi mereka yang memerlukannya untuk tujuan rawatan.
"Untuk makluman, program ini diadakan serentak di seluruh negara bagi mengisi tabung darah negara yang sentiasa memerlukan darah," ujarnya.
17 Jan 21
480
Lagi RM30,000 Disalur Untuk Keperluan Mangsa Banjir
KEMAMAN, 16 Januari – Bantuan bagi meringankan beban mangsa banjir terus berjalan termasuk sumbangan terbaharu sebanyak RM30,000 melalui inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman.
Menurut Ariffin, sumbangan untuk mangsa di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai dan Bukit Besi itu turut dicetuskan personaliti media sosial, Nurfarahin Romli atau Farah Lee dengan kerjasama Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM).
“Rombongan 50 orang ini telah mengagihkan berbentuk barangan harian, bantal dan gandum di Kampung Jongok Batu, Kampung Belimbing, Kampung Shukor dan Kampung Fikri.
“Bantuan bernilai RM30,000 merupakan sumbangan pihak DUN Alur Limbat berjaya diagihkan pasukan kami mengikut Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya selepas Misi Kemanusiaan Pasca Banjir di Kampung Fikri, petang kelmarin.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat dan Setiausaha BPTM SUK, Zuwislan Awang.
Sementara itu, Farah Lee berkata, beliau berjaya meraih lebih RM100,000 dana banjir hasil sumbangan orang ramai di media sosial dan kesemuanya diagihkan kepada mangsa banjir di Kemaman serta Dungun.
“Sebelum memulakan projek ini, saya membuat undian idea di sosial media untuk pendapat pengikut, kebanyakan mereka sudah cukup bahan makanan tetapi keselesaan beribadah perlu ditambah baik lagi.
“Sumbangan bagi ‘#FLbanjirAID1.0’ ini sebanyak RM53,640 diagihkan dalam bentuk 1,000 kit solat (telekung, sejadah, kain pelikat, kain batik dan tuala) supaya mereka yang terkesan boleh beribadah dengan selesa.
“Kita juga agih baju muslimah sebanyak 200 helai, bantal (200), di samping tajaan lain seperti anak tudung dan barangan kebersihan diri,” katanya.
Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya ADUN Alur Limbat, Pusat Khidmat DUN Bukit Besi dan BPTM SUK dalam membantu dari segi operasi, logistik dan tenaga kerja dalam melancarkan urusan pengagihan efektif.
“Lebihan bantuan yang diraih akan disalurkan dalam misi seterusnya,” katanya lagi.
16 Jan 21
1028
Pengalaman Disondol Babi Sewaktu Banjir Menjadi Igauan Ngeri
DUNGUN, 14 Januari - Pengalaman disondol seekor babi hutan sewaktu banjir menjadi igauan ngeri yang sukar dilupakan oleh seorang penduduk di Kampung Batu Sawar, Bukit Besi.
Noor Rila Wati Othman, 54, berkata, kejadian berlaku ketika dirinya ke reban ayam bagi mengambil telur untuk dijadikan lauk sewaktu terkepung banjir.
"Rumah saya tidak dinaiki air, tetapi tidak boleh ke mana-mana kerana terputus hubungan apabila jalan utama yang menghubungkan ke Bukit Besi dan juga ke Dungun tidak boleh dilalui.
"Semasa pergi ke reban hendak mengambil telur ayam tidak sangka babi tersebut ada di bawah rumah, saya panik apabila terlihat babi yang begitu besar dan tidak tahu berbuat apa-apa apabila haiwan tersebut meluru menyondol perut saya dan dengan pantas cuba mengelak yang mengakibatkan saya mengalami luka di pergelangan tangan," ujarnya kepada pemberita ketika diziarahi oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediamannya, baru-baru ini.
Noor Rila Wati berkata, dia kemudiannya segera menelefon Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu Sawar, Khaziman Khalik bagi mendapatkan bantuan membawanya dengan pacuan empat roda bagi mendapatkan rawatan segera di Klinik Felda Jerangau.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Telemong, Mohd Safari Abu yang turut menyantuni mangsa banjir di sini.
Walau bagaimanapun, Noor Rila bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar sahaja pada kejadian yang menimpa dirinya 10 Januari lalu.
Sementara itu, Nur Zahariah Hasan, 45, yang juga merupakan penduduk Kampung Batu Sawar berkata, sepanjang musibah berkenaan melanda Bukit Besi, dia tidak dapat tidur dengan lena.
"Saya terfikir keselamatan saya dan anak-anak, tambahan pula suami bekerja di luar Terengganu, tapi saya bersyukur kerana banjir pada kali ini di kampung ini tidak sebagaimana tahun 2014 di mana air tidak sampai ke rumah saya.
"Saya ambil langkah berjaga-jaga apabila mengetahui keadaan banjir di Hulu Dungun sangat teruk, jadi sukar hendak lelapkan mata pada setiap malam. Namun begitu, semua jalan tidak boleh dilalui menjadikan saya terperangkap dalam banjir, dan terima kasih kepada pimpinan setempat yang ambil cakna dan prihatin kepada penduduk di sini sepanjang berhadapan banjir," ujarnya.
14 Jan 21
1071
JPKK Ejen Kesejahteraan Rakyat
DUNGUN, 14 Januari - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) merupakan ejen kesejahteraan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang mereka berikan.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, pengorbanan barisan hadapan dalam masyarakat itu tiada berbelah bahagi.
"Melalui mereka lah setiap agenda dan perancangan Kerajaan Negeri Terengganu menjadi mudah dan lancar, sudah menjadi lumrah setiap perkara kebaikan yang dilakukan mesti ada yang suka ataupun tidak suka.
"Kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, apa yang penting terus berkhidmat menjadi mata rantai kepada kerajaan serta terus menghulurkan khidmat bakti," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, mengulas mengenai Watikah Pelantikan JPKK, semalam.
Mengenai kenaikan gaji dari RM 900 ketika Majlis Pengurusan Komuniti Kampung kepada RM 1,000 selepas dijenamakan semula sebagai JPKK memang relevan.
"Walaupun mereka tidak mengambil kisah pun mengenai gaji tetapi apa yang diputuskan oleh kerajaan itu merupakan satu pengiktirafan kepada mereka.
"Insya Allah 23 MPKK dalam DUN Bukit Besi ini sedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan iltizam baru pada tahun 2021," ujarnya.
14 Jan 21
254
80 Sukarelawan UniSZA Bersedia Bantu Mangsa Banjir Di Kemaman
KUALA NERUS, 14 Januari - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memulakan inisiatif membersihkan kawasan terjejas banjir dengan menghantar 80 sukarelawan bagi membantu operasi pasca banjir di Daerah Kemaman yang dilanda musibah itu.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr Mohd Afandi berkata, pihaknya menumpukan kepada membersih dan membaiki kediaman penduduk yang rosak akibat banjir baru-baru ini.
"Alhamdulillah, sebanyak 25 buah rumah, tadika, balai raya serta surau telah dibersihkan oleh sukarelawan UniSZA dalam masa satu hari"
"Penduduk kampung juga turun padang membantu sukarelawan ini selain dapat mengeratkan silaturrahim," katanya yang juga turut serta dalam Misi Bantuan Banjir UniSZA-KPT 2021.
Sementara itu, menurut Mohd Afandi lagi, misi itu akan turut dilaksanakan di beberapa negeri yang dilanda banjir antaranya Johor, Perak, Pahang dan Kelantan.
"Kita sudah pun ada pasukan Hero Komuniti di setiap negeri terbabit dan insyaAllah mereka akan melaksanakan misi masing-masing dengan membersih rumah yang dilanda banjir selain memberi sumbangan bantuan keperluan asas.
"Setakat ini pun dah ada beberapa tempat yang telah melaksanakan misi tersebut walaupun tanpa peralatan dan pengangkutan yang cukup tapi mereka tetap meneruskan misi berkenaan dengan jayanya,”ujarnya.
14 Jan 21
353
Peniaga Lega Premis Dibenar Beroperasi Sehingga 12 Malam
KUALA TERENGGANU, 14 Januari - Rata-rata peniaga di negeri ini berasa lega apabila premis perniagaan mereka dibenarkan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pemilik gerai Arzam Burger, Ahmad Arzam Zakaria berkata, kelonggaran itu memberinya peluang untuk berniaga seperti biasa.
"Legalah apabila diberi kebenaran berniaga sampai pukul 12 tengah malam. Kerana saya peniaga gerai burger sahaja, mula berniaga pada jam 6 petang. Jika dibenarkan beroperasi sampai jam 6 petang tak berniagalah saya.
"Jika dibenarkan sampai pukul 8 malam atau pukul 10 malam, maka pendapatan saya tidak seberapa," ujarnya ketika ditemui pemberita di gerai burger miliknya, semalam.
Arzam mengakui, semenjak pandemik COVID-19 melanda negara, sangat memberi kesan terutama kepada peniaga sepertinya.
"Bagi memastikan ekonomi setiap rakyat pulih kembali maka sebagai peniaga yang bergantung harap kepada pendapatan harian, kami menyambut baik apa jua langkah yang dilakukan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19," ujarnya.
Sementara itu, pemilik Bobby's Kitchen, Abdul Hakim Abdul Halim berkata, impak daripada penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu sangat memberi kesan kepada perniagaan kedai makan diusahakannya.
"Sehinggakan Bobby's Kitchen cawangan Kuala Terengganu dihentikan operasi dan yang tinggal hanya di Paka, saya melahirkan perasaan syukur apabila PKPB yang dikuatkuasakan semalam membenarkan operasi perniagaan sehingga jam 12 malam kerana baru hendak tarik nafas lega dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini, kini terpaksa akur kembali kerana menyedari kes yang begitu tinggi saban hari.
"InsyaAllah saya menyambut baik apa jua langkah kerajaan dalam memastikan rakyat kembali hidup seperti biasa.
"Segala syarat yang telah ditetapkan termasuk mengamalkan penjarakan dan juga mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) akan diikuti dengan sebaik-baiknya," ujarnya.
14 Jan 21
1127
Kerjasama NGO Dan JPKK Ringankan Beban Mangsa Banjir
DUNGUN, 14 Januari - Kerjasama erat antara Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berjaya meringankan beban mangsa banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, selepas surutnya air banjir sememangnya mangsa-mangsa banjir amat memerlukan bantuan dan pertolongan.
"Termasuk pertolongan membersih rumah dan juga bantuan dari segi barangan dapur serta peralatan rumah yang rosak," katanya.
Alias berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kerja-kerja pembersihan di Kampung Rantau Panjang, DUN Bukit Besi.
Alias yang juga merangkap Pengerusi Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana (KHIDMAT) Malaysia, Dungun menzahirkan ucapan terima kasih kepada JPKK Rantau Panjang yang dipengerusikan oleh Mohd Zaid Jaafar dan juga JPKK-JPKK yang kampung terlibat dengan banjir di Dungun atas kerjasama menyalurkan maklumat yang berterusan.
Menurutnya, KHIDMAT menerusi entitinya seperti Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun, Muslimat, Ameerah, Pemuda dan Kelab Kebajikan Dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda
Dungun (PADAT) belum berhenti lagi dalam membantu mangsa banjir bermula dari banjir fasa satu melanda sehinggalah selepas banjir fasa kelima ini.
"Adakala mereka turun sekali dan ada waktunya secara berasingan untuk memastikan mangsa-mangsa banjir benar-benar dibantu.
"Malah bukan hanya tenaga-tenaga dari Dungun sahaja tetapi juga daripada luar turut datang membantu," katanya
Salah seorang anggota JAM Marang yang sempat ditemui, Azmi Osman, 26, berkata, dia bersama rakan-rakannya seramai lapan orang menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir KHIDMAT Malaysia Dungun kerana kerjasama yang erat antara sesama anggota KHIDMAT tanpa ada sempadan kawasan.
"Dalam JAM, kami memang diasuh untuk bersiap terima arahan, walaupun di mana sahaja diarahkan," ujarnya.
14 Jan 21
595
65 Rumah Berjaya Baik Pulih, Enam Bina Baru Di DUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 14 Januari – Sebanyak 65 buah rumah berjaya dibaik pulih manakala 6 buah sedang dalam pembinaan dan dijangka siap dalam masa terdekat di Dewan Undangan Negeri(DUN) Seberang Takir.
Pegawai Penyelaras DUN, Mohd Fadhil Wahab berkata ia dibawah skop Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) terbahagi kepada dua kategori iaitu Baik Pulih dan Bina Baharu.
Tambahnya, spesifikasi pembinaan baharu ialah rumah batu dan patuh syariah iaitu bilik.
"Rumah batu bata berukuran 22x30 kaki iaitu 660 kaki persegi (201.1 meter persegi) manakala rumah panjang ialah 17.72x40 kaki iaitu 713 kaki persegi (217.3 meter persegi).
“Bantuan Bina Baharu kepada pemohon yang belum mempunyai rumah atau rumah terlalu uzur dan tidak selamat untuk diduduki manakala Baik Pulih Pula melibatkan 3 elemen iaitu Penyelenggaraan, Penambahbaikan dan Permintaan,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Menurut, Mohd Fadhil, objektif utama penyediaan kediaman baharu adalah memberi tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir.
Sementara itu salah seorang penerima, Maizom Ambak, 53, berkata dia gembira dengan pemberian baik pulih ini memandangkan dirinya dan suami tidak mempunyai pekerjaan yang tetap tambahan keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara.
.
14 Jan 21
223