lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Redah Banjir Hadir Akad Nikah
Redah Banjir Hadir Akad Nikah
DUNGUN, 7 Januari - Perasaan gembira dan redha jelas di muka bakal pengantin lelaki, Mohd Al Hafiz Razilah, 32, ketika meredah banjir di Kampung Rantau Panjang di sini bagi menghadiri majlis ijab kabulnya, pagi tadi.  Hafiz yang juga kakitangan awam berkata, rumahnya tidak dinaiki air, namun jalan menghubungkan kampungnya ke luar Bukit Besi digenangi air paras pinggang. "Persiapan kahwin telah lama buat tapi bila ditimpa musibah ini, ia suatu pengalaman besar yang tidak boleh dilupakan terutamanya dengan banjir besar sebegini.  "Barang hantaran semua selamat setelah dipindahkan ke rumah kakak, sekarang ini dengan baju pengantin di tangan akan bertukar pakaian di masjid berdekatan. "Sekarang saya bersama ibu saya akan ke rumah pengantin perempuan, Nur Fatihah Hashim, 30, di Kampung Nyior Paka," katanya ketika ditemu bual pemberita hari ini. Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kampung Rantau Panjang. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut berada di tempat kejadian berkata, pihaknya sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga bagi memudahkan urusan rakyat. "Hari ini kami dalam bagi pengagihan bantuan keperluan harian kepada mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Kampung Rantau Panjang," jelasnya Menurut laporan banjir terkini sehingga jam 2.00 petang, situasi banjir di Dungun merekodkan dua PPS baharu dibuka menjadikan keseluruhan kepada 11, melibatkan 336 keluarga terjejas terdiri daripada 1159 orang mangsa.  
07 Jan 21
513
Mualaf Bersyukur Sudah Tidak Perlu Menyewa
Mualaf Bersyukur Sudah Tidak Perlu Menyewa
DUNGUN, 6 Januari - Seorang saudara baru (muallaf) melahirkan rasa syukur kerana tidak perlu lagi menyewa apabila terpilih menjadi penerima rumah Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS). Iskandar Rawi, 37, yang juga orang kelainan upaya (OKU) memberitahu, dia bersama isteri dan anak sebelum ini tinggal menyewa dengan kadar RM350 sebulan. Iskandar Rawi bersama isterinya, Norizan Lizam dan anak  mereka.  "Saya memang tak mampu nak bayar dengan bekerja di stesen minyak sebagai tukang sapu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di tapak Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Kampung Gong Pasir baru-baru ini.  Di majlis yang turut dihadiri Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang itu juga, seramai lapan orang penerima telah menerima kunci rumah masing-masing.  Menurut Iskandar, dia akan mencari kerja lain berhampiran tempat tinggalnya sekarang.  "Tempat kerja lama jauh, masa tinggal di rumah lamapun saya terpaksa berjalan sejauh tiga kilometer memandangkan saya tidak dapat menunggang basikal ataupun motosikal dengan keadaan saya ini," katanya. Sementara itu seorang ibu tunggal, Suzana Ismail, 35, berkata dia seolah-olah bermimpi, akhirnya terpilih sebagai peserta PPTS.  " Tak kisahlah 'rumah transit' pun asalkan tidak menyewa dan saya serta anak-anak dapat berteduh, duduk rumah sewa sebulan RM250, memang tak mampulah dengan kerja saya sebagai membantu kakak di kedai makan," cerita ibu kepada tiga orang anak itu. 
06 Jan 21
244
Solat Hajat Dijauhi Banjir Besar
Solat Hajat Dijauhi Banjir Besar
DUNGUN, 6 Januari - Penduduk Hulu Dungun diseru untuk melakukan solat hajat dan berdoa ketika ini agar daerah itu dijauhi daripada banjir besar. Seruan itu dibuat Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang mengharapkan solat hajat dapat diadakan di seluruh masjid di kawasan berkenaan bagi memastikan bencana banjir yang berlaku ketika ini tidak berterusan dan bertambah buruk. "Paras air semakin meningkat dan menyebabkan penduduk yang telah dibenarkan pulang tetapi kini terpaksa kembali semula ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)," ujarnya kepada pemberita selepas meninjau PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja dan Dewan Serbaguna Kampung Shukor, hari ini.  Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli. Selain itu, Ghazali turut mengharapkan seluruh mangsa banjir tidak mengambil mudah setiap arahan pihak berkuasa. "Apabila arahan berpindah dikeluarkan, semua pihak hendaklah mengambil langkah segera agar berpindah," ujarnya. Difahamkan, sehingga pukul 4 petang tadi, seramai 247 mangsa daripada 78 keluarga di tempatkan di tiga PPS di Dungun iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Gewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.          
06 Jan 21
363
WARISAN Lancar Van Jenazah Percuma
WARISAN Lancar Van Jenazah Percuma
KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Pertubuhan Kebajikan Warisan Melayu Islam Malaysia (WARISAN) Terengganu melancarkan sebuah van bersama pemandu melalui program Van Jenazah Warisan Terengganu bagi kegunaan para asnaf di negeri itu khususnya di Kuala Terengganu. Pengerusinya, Che Mohd Ibrahim Che Ghani (Ayah Mat Marang) menjelaskan bahawa perkhidmatan van jenazah secara percuma itu dilakukan bagi meringankan beban fakir miskin terutamanya dalam menguruskan kematian ahli keluarga. "Kami mengambil pendekatan ini untuk sama-sama membantu fakir miskin bagi meringankan beban kesedihan mereka jika ada kematian ahli keluarga. "Insya-Allah, ini adalah permulaan di Kuala Terengganu dan akan perluaskan hingga ke seluruh negeri ini pada masa akan datang. Sehubungan itu, kami juga melancarkan tabung derma bagi mencari dana agar cita-cita murni ini dapat dijayakan bersama masyarakat," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas pelancaran program itu, semalam.  Sebuah tabung dana bagi program itu turut dilancarkan bersama dalam majlis yang berlangsung di Pasarnita itu. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed ketika merasmikan majlis tersebut menyeru mana-mana pihak khasnya badan bukan kerajaan (NGO) untuk tampil sama-sama membantu warga komuniti dalam skala yang termampu. Ahmad Shah ketika sedang memberi ucapan perasmian di Pasarnita. "Kita hidup bermasyarakat dan keharmonian masyarakat hanya akan wujud apabila kita sama ada dari pihak kerajaan mahu pun siapa sahaja tampil melaksanakan tanggungjawab sosial, bantu-membantu sesama kita sekadar yang mampu. "Tularkan usaha ini seluasnya, biar orang ramai tahu. Masyarakat kita ramai yang pemurah, tapi mereka kurang pendedahan info-info gerak kerja badan-badan kebajikan. Semoga Allah SWT permudahkan usaha murni ini insya-Allah," katanya. Majlis perasmian yang diadakan secara santai di ruang legar Pasarnita, Tanjung malam tadi turut dihadiri oleh para pimpinan serta penggerak WARISAN Terengganu. Ahmad Shah Muhamed yang juga Timbalan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan, dan Alam Sekitar juga menaruh harapan agar usaha tersebut mendapat perhatian natizen untuk turut menghulurkan sumbangan. Ahmad Shah sempat bergurau dengan pelakon watak jenazah ketika gimik perasmian. Bagi mendapatkan perkhidmatan Van Jenazah Warisan Terengganu, masyarakat boleh menghubungi pertubuhan terbabit melalui talian 24 jam WARISAN iaitu 016-9860433 ataupun dengan cara melayari laman Facebook NGO Warisan Terengganu.
04 Jan 21
1110
50 Mangsa Banjir DUN Bukit Besi Terima Bantuan
50 Mangsa Banjir DUN Bukit Besi Terima Bantuan
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seramai 50 orang mangsa yang terjejas dalam bencana banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi baru-baru ini menerima bantuan berupa wang tunai dan keperluan asas.  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia bagi meringankan beban mereka yang ditimpa musibah. “Walaupun bantuan yang diberikan ini tidak besar sangat  tetapi atas dasar tanggungjawab kita sebagai seorang Islam, apabila menghadapi masalah dan musibah banjir seumpama  ini, maka kita perlu bekerjasama membantu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Misi Bantuan Banjir di Jerangau Sungai dan Rantau Panjang di DUN Bukit Besi, kelmarin. Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Katanya, sumbangan tersebut adalah daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Muafakat Sejahtera dan Syarikat Norlan United. “Di peringkat kerajaan negeri isu yang berkait dengan kebajikan  rakyat menjadi perhatian kita dan berhubung dengan musibah termasuk  banjir itu antara perkara yang diberikan perhatian oleh kerajaan. “Kita digalakkan dan dituntut  untuk bertolong-tolongan dengan perkara kebajikan dan  perkara yang membawa  kepada kebaikan,” ujarnya. Justeru itu, beliau menyeru kepada rakyat negeri ini agar sentiasa berhati-hati dan berwaspada kemungkinan ada berlaku lagi gelombang seterusnya.
04 Jan 21
431
Penduduk Hulu Dungun Diminta Ambil Langkah Berjaga-jaga
Penduduk Hulu Dungun Diminta Ambil Langkah Berjaga-jaga
DUNGUN, 4 Januari - Penduduk di beberapa kampung di Hulu Dungun, di sini diminta mengambil langkah berjaga-jaga termasuk patuh kepada arahan pihak berkuasa untuk berpindah sekiranya diminta berbuat demikian. Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Minda, Wan Zawawi Wan Ahmad, berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan agar penduduk yang berada di kawasan rendah agar sentiasa bersiap siaga. "Penduduk sentiasa diberi peringatan melalui masjid, juga melalui sebaran media sosial. "Sehingga kini setiap kali berlakunya bencana banjir semuanya dapat ditangani dengan baik," ujarnya ketika dihubungi pihak media, hari ini. Mengulas lanjut katanya, walaupun jumlah mangsa yang berpindah tidak melibatkan jumlah yang besar namun ramai yang terkesan. "Ini kerana sejumlah besar penduduk di sini terkepung dengan banjir, keadaan tersebut mengakibatkan kesukaran untuk pergerakkan keluar masuk disebabkan jalan kampung serta jalan utama untuk keluar ke bandar  ditenggelami air. "Dari segi bantuan sepanjang terlibat dengan banjir adalah mencukupi dimana kita mendapat bekalan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), agensi kerajaan dan swasta serta badan bukan kerajaan  (NGO). "Sedikit sebanyak ianya sangat membantu kerana apabila berhadapan dengan situasi seperti ini ianya sangat memberi kesan kepada penduduk yang rata-ratanya terlibat dengan pertanian," ujarnya. Untuk rekod bermula semalam tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka melibatkan Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor dan juga Kampung Minda dengan menempatkan 60 buah keluarga iaitu seramai 195 mangsa banjir.  
04 Jan 21
490
Food Bank Bantu 50 Penduduk Terjejas Banjir
Food Bank Bantu 50 Penduduk Terjejas Banjir
DUNGUN, 3 Januari - Seramai 50 penduduk di Kampung Serdang mendapat manfaat daripada Program Misi Bantuan 'Food Bank'  Pasca Banjir Zon Pantai Timur hasil sumbangan pelbagai syarikat yang dermawan.  Ketua Penolong Pengarah Sekretariat Perdagangan, Pengedaran dan Industri Perkhidmatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) , Muslihun Yusof berkata 'Food Bank' Malaysia adalah inisiatif KPDNHEP yang telah bermula sejak dua tahun lalu.  "Inisiatif ini diambil untuk meringankan beban kos sara hidup kumpulan sasar dengan mengagihkan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia,"  katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap Program Misi Bantuan 'Food Bank' Pasca Banjir Zon Pantai Timur yang diadakan di perkarangan Masjid Kampung Serdang di sini, baru-baru ini. Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu turut dihadiri Timbalan Pengarah, KPDNHEP Negeri Terengganu, Nor Azmi Lasmiza. Seorang warga emas, Wan Nik Wan Ahmad, 78, melahirkan rasa syukur kerana dipilih untuk menerima bantuan berkenaan.  "Rumah mak cik dah tiga kali banjir, tapi tidak dapat bantuan sebab mak cik tak mahu berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sebab biasa yang dapat orang yang berpindah je, Alhamdulillah, MPKK masukkan nama mak cik, dapatlah mak cik merasa," kata Mak Cik Wan yang kediamannya sering dinaiki air bila hujan lebat. 
03 Jan 21
262
Pasar Buku Besut Galak Rakyat Membaca
Pasar Buku Besut Galak Rakyat Membaca
BESUT, 31 Disember - Parlimen Besut terus mengorak langkah dalam menanam minat membaca dalam kalangan rakyat selepas memperkenalkan program Pasar Buku Besut 2021. Penyelaras Parlimennya, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Terengganu berkata, program itu akan berlangsung pada 21 hingga 28 Februari 2021. Katanya, program selama lapan hari itu bertempat di Perpustakaan Awam Daerah Besut di Kampung Raja. "Objektif kita mengadakan program ini adalah untuk menanam budaya membaca ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan, pemikir dan kreatif". "Tujuan program ini juga dapat memberi peluang kepada penerbit kecil untuk menyertai jualan buku murah dengan harga berpatutan buat masyarakat Besut. "Di samping itu juga dapat mempertingkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berkaitan pembacaan dan keilmuan sekali gus dapat mempromosikan Perpustakaan Awam Daerah Besut khususnya kepada masyarakat sekitar," ujarnya lagi. Ini kerana jelasnya, kadar celik huruf rakyat Malaysia hampir ke angka 94.94 peratus mengikut laporan Adult and Youth Literacy Nasional Ragional and Global Trends 1985-2015. "Kajian terbitan Unesco Institute for Stastistic pula mendedahkan secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun," katanya Oleh itu, pihaknya menyasarkan program itu akan disertai 5,000 orang awam daripada pelbagai peringkat masyarakat, kanak-kanak hingga pelajar universiti, pekerja sektor kerajaan dan swasta.
31 Dec 20
224
Bukit Besi Undang Keberkatan Dengan Berselawat
Bukit Besi Undang Keberkatan Dengan Berselawat
DUNGUN, 30 Disember- Bagi mengundang keberkatan dengan ketibaan tahun baru 2021 Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi akan mengadakan program 'Bukit Besi Berselawat'. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, program tersebut akan dijadikan sebagai acara tahunan setiap kali menjelangnya ketibaan tahun baru. "Tahun 2021 akan menjadi 'pilot' projek dengan mengundang semua penduduk kampung untuk sama-sama berselawat. "Program ini akan dimulakan pada waktu pagi, berkebetulan 1 Januari tahun 2021 jatuh pada hari Jumaat, yang mana umat Islam disarankan agar banyakkan berselawat sebagai tanda mencintai Rasulullah SAW, kita pandu masyarakat di ambang tahun baru dengan memperingati Rasulullah dengan sebanyak-sebanyaknya," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media mengulas mengenai program tersebut,hari ini. Katanya, program berkenaan akan turut diserikan dengan jamuan rakyat. "Lebih bermakna program ini akan dirasmikan oleh Yang Dipertua (Speaker) DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali dan juga dengan kehadiran Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli sudah pastinya akan menjadi salah satu program yang sangat dinanti-nantikan oleh seluruh penduduk," ujarnya. Selain itu katanya, pada sebelah petangnya pula akan diadakan Majlis Apresiasi. "Iaitu bagi menghargai 23 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang selama ini telah berkhidmat dengan cemerlang didalam memastikan setiap agenda serta perancangan dari kerajaan negeri dapat dijayakan dengan baik didalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin. "Insya Allah pengakhiran program sambutan tahun baru itu, kita akan adakah kuliah maghrib surau dan masjid yang terpilih didalam DUN Bukit Besi dan juga akan diadakan solat hajat agar tahun 2021 lebih mendatangkan kebaikan kepada seluruh rakyat, serta memohon keselamatan agar terhindar daripada wabak COVID-19 daripada terus menular," katanya. Katanya, Prosedur Operasi Standard dengan memakai pelitup muka, penjarakkan fizikal serta mencuci tangan akan dititikberatkan agar majlis tersebut dapat dijayakan dengan sebaik-baiknya.
30 Dec 20
473
Sembilan Pusat Asuhan Terima Sumbangan Komputer Riba
Sembilan Pusat Asuhan Terima Sumbangan Komputer Riba
BESUT, 28 Disember - Sebanyak sembilan buah pusat asuhan disini menerima sumbangan komputer riba dari Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh. Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Wan Azhar Wan Ahmad berkata sumbangan ini merupakan inisiatif pehaknya bagi memberi kemudahan kepada pentadbiran pusat asuhan. “Pemberiaan ini harus dimanfaatkan sepenuhnya bagi melancarkan proses pembelajaran dan pengurusan pusat asuhan. "Komputer riba merupakan satu keperluan seiring dengan arus kemodenan ketika ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sumbangan Komputer Riba di Kampung Padang Luas, Jerteh. Katanya, sumbangan komputer riba itersebut diharap dapat menyuntik semangat para petugas untuk terus menabur bakti dan tenaga bagi menjaga anak-anak asuhan.
30 Dec 20
53