lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Minat Dari Kecil, Syarafina Kini Pelihara 40 Kucing Terbiar
Minat Dari Kecil, Syarafina Kini Pelihara 40 Kucing Terbiar
KEMAMAN, 23 Januari - Minat yang mendalam terhadap haiwan peliharaan kucing membuatkan Nur Syarafina Jaafar, 37, kini memelihara hampir 40 ekor kucing terbiar di rumahnya di Taman Geliga Besar. Syarafina berkata, minat tersebut hadir dalam dirinya yang mengikuti jejak bapanya dan beberapa orang ahli keluarga yang juga meminati haiwan peliharaan itu. "Kami mengutip kucing sakit atau terbiar yang dijumpai di jalanan. Oleh kerana tidak sanggup melihat keadaan kucing yang terbiar di jalanan, jadi kami mengambil keputusan untuk memeliharanya. Bermula daripada 2 ekor, kini jumlahnya semakin bertambah sehingga hampir 40 ekor. "Kami menyediakan beberapa sangkar di mana semua kelengkapan seperti makanan, minuman, pasir dan sebagainya disediakan sebaiknya. Seminggu sekali kita akan melepaskan kucing ini bermain di sekitar halaman rumah. Ia bagi memastikan kehidupan jiran-jiran tidak terganggu memandangkan kami tinggal di kawasan perumahan," ujarnya. Beliau yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Kemaman juga memaklumkan, lebih RM2,000 dibelanjakan setiap bulan bagi menanggung segala kos rawatan, makanan dan sebagainya untuk semua kucingnya itu. "Walaupun banyak yang perlu dibelanjakan setiap bulan, namun begitu kami sangat gembira dan berpuas hati dengan apa yang dilakukan ini. "Seperti mana yang kita tahu, kucing ini merupakan haiwan kesayangan Rasullah SAW. Insya-Allah, kami percaya kalau kita buat baik, akan ada kebaikan yang Allah SWT akan berikan kepada kita," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman, baru-baru ini. Dalam pada itu, seekor kucing yang mereka sangat sayangi diberi nama "Comel". Kucing itu telah dipelihara sejak kecil sehingga kini berusia 18 tahun. Syarafina tidak menolak kemungkinan jumlah kucing yang dipelihara oleh mereka sekeluarga akan bertambah pada masa akan datang. Beliau turut mengharapkan suatu hari nanti akan ada satu tempat khas yang diwujudkan di Kemaman bagi memelihara kucing-kucing yang terbiar seperti itu. Jika wujudnya tempat khas sedemikian, tiada lagi kucing terbiar yang dibuang oleh sesetengah pihak di pasar, kedai makan dan sebagainya. Syarafina dan keluarga juga turut menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat yang mengunjunginya menyampaikan sumbangan berbentuk beras dan barangan dapur kepada penduduk yang terkena banjir, baru-baru ini. Dalam kunjungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri itu sempat meluangkan masa melihat kucing-kucing peliharaan mereka dan turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1000 bagi menanggung sedikit sebanyak kos yang perlu dibelanjakan pada kucing mereka itu.    
22 Jan 21
1497
Covid-19: Bandar Jerteh Lengang
Covid-19: Bandar Jerteh Lengang
BESUT, 22 Januari - Suasana sekitar bandar Jerteh lengang pada hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi Negeri Terengganu. Tinjauan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di beberapa jalan utama bandar Jertih mendapati sunyi dan bilangan kenderaan sangat berkurangan apabila PKP dikuatkuasa bermula 22 Januari sehingga 4 Februari. Seorang penduduk yang ditemui, Wan Kadir Wan Abd Ghani, 60, berkata, dia menyambut baik penguatkuasaan PKP oleh pihak kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19. "Lebih baik berada di rumah kalau tidak ada perkara penting untuk dibuat. Kita perlu memberi kerjasama kepada para petugas kerana wabak ini tidak mengenal mangsa. "Saya berharap agar seluruh masyarakat dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan tidak kira dimana pun berada," katanya ketika ditemubual di Kampung Belakang Gudang, Besut. Sekatan jalanraya di beberapa laluan masuk utama bandar Jerteh telah dikuatkuasa sejak pagi tadi bagi mengawal kemasukan kenderaan yang berlebihan. Rata-rata masyarakat yang berada disekitar bandar Jerteh masih lagi mematuhi arahan oleh pihak berkuasa bagi sama-sama mengatasi masalah yang dihadapi sekarang.
22 Jan 21
1785
Masjid Di Terengganu Akur PKP, Kembali Hadkan Bilangan Jemaah
Masjid Di Terengganu Akur PKP, Kembali Hadkan Bilangan Jemaah
KUALA TERENGGANU, 22 Januari- Berikutan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak yang bermula hari ini, masjid-masjid di Terengganu mula melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan bagi Solat Jumaat di seluruh negeri, hari ini. Pengurus Eksekutif Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu, Amir Sabri Abd Ghani berkata, pengalaman sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan lalu banyak memudahkan pihak masjid. "Kita memang ikut SOP daripada Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu (MAIDAM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) seratus peratus, kalau dilihat hari ini ada juga penguatkuasa, RELA dan pihak Polis membantu. "Bagi solat fardu pula, hanya akan dihadiri oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid sepanjang PKP dan perkara ini telah dimaklumkan kepada qariah berdekatan," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di masjid berkenaan hari ini. Jelasnya, pihak masjid berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP ditetapkan sebagai sebahagian usaha mengawal penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini. Senarai jemaah hari ini kita dapatkan dari Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sekitar dan mereka akan buat penggiliran sepanjang tempoh ini. "Memang kita tidak dapat lari daripada rungutan, jadi kita cuba menampung setakat mampu, namun kita tidak akan berkompromi dari segi SOP," katanya. Pegawai masjid memeriksa nama jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat.  
22 Jan 21
759
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
Jemaah Hadir Solat Jumaat Seawal Jam 11.30
KUALA NERUS, 22 Januari - Jemaah Masjid Mengabang Telipot hari ini hadir untuk solat Jumaat seawal jam 11.30 pagi.  Hal ini berlaku akibat daripada peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) yang menghadkan jumlah jemaah kepada 40 orang tidak termasuk Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid.  Timbalan Pengerusi Masjid Mengabang Telipot, Mohd Irwami Abdul Wahab memaklumkan, ketika pintu pagar masjid dibuka sudah ada jemaah yang beratur untuk masuk. "Kami bagi pihak Masjid Mengabang Telipot hanya mengikut 'Standard Operation Procedure' (SOP) yang dikeluarkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 ini," tambahnya. Menurut beliau lagi, jemaah yang hadir telah cukup had 40 orang sekitar jam 12.20 tengahari tadi.  "Selain itu, SOP lain seperti kewajipan untuk memakai pelitup separuh muka, membawa sejadah dan memeriksa suhu telah menjadi amalan normal baharu bagi kami di sini. "InsyaAllah, bagi mereka yang tidak sempat untuk memenuhi kuota 40 tersebut, niat dan usaha mereka  hadir ke masjid pasti akan diterima sebagai amalan oleh Allah S.W.T.," katanya.  
22 Jan 21
906
Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP
Ubah Cara Berniaga Sepanjang Tempoh PKP
KUALA NERUS, 22 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula hari ini bukan penghalang bagi pengusaha Kedai Kopi Ngabang yang terletak di Kg. Wakaf Tengah untuk kekal beroperasi.  Pengusahanya, Sharifah Nur Aqilah Syed Mohd Zaris mengambil pendekatan perkhidmatan 'take away' dan penghantaran terus kepada pelanggan sepanjang tempoh PKP dijalankan ekoran keputusan tidak membenarkan pelanggan untuk makan di dalam premis bagi tempoh tersebut. "Sekiranya kedai ini ditutup terus sepanjang PKP ini, sudah pasti akan menjejaskan pendapatan kami sepenuhnya. "Jadi, sejurus pengumuman PKP tersebut kami terus membuat persiapan untuk mengubah cara perniagaan kami dari 'dine in' kepada bungkus dan perkhidmatan penghantaran terus kepada pelanggan," jelasnya. Menurutnya, para peniaga hari ini perlu lebih kreatif dan perlu menggunakan segala kemudahan yang ada untuk menghadapi cabaran masa hadapan yang tidak menentu.  "Kita tidak tahu lagi bila akan berakhirnya penularan wabak Covid-19 ini, jadi kita perlu fikirkan beberapa 'back up plan' untuk keberlangsungan perniagaan kita," ujarnya lagi.  Kedai Kopi Ngabang yang baru sahaja mula beroperasi pada tahun ini mengenakan tema kedai kopi ala tradisional dengan juadah seperti nasi dagang, pulut nyiur dan lain-lain lagi. Iklan yang disiarkan dalam laman sosial  
22 Jan 21
1914
Hadapi PKP Secara Positif
Hadapi PKP Secara Positif
DUNGUN, 21 Januari- Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa 22 Januari sehingga 4 Februari ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh setiap ketua keluarga untuk menghidupkan kembali aktiviti kekeluargaan masing-masing. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tempoh berkenaan seharusnya digunakan untuk mendekatkan lagi ahli keluarga terhadap ilmu agama. "Diantara aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga sepanjang PKP ini ialah mendirikan solat jemaah, menyampaikan kuliah agama dalam keluarga, dan juga boleh mewujudkan pertandingan mengaji bagi membaiki bacaan anak-anak dan sebagainya. "InsyaAllah ianya akan mengukuhkan hubungan kekeluargaan disamping itu amat diharapkan agar setiap keluarga melakukan solat hajat dan berdoa pada setiap hari agar pandemik COVID-19 ini dapat diputuskan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita, ketika mengulas mengenai arahan PKP yang akan mula dikuatkuasakan mulai esok. Katanya, langkah kerajaan mengenakan PKP adalah langkah tepat dan wajar. "Kita terpaksa akur dengan langkah yang telah diambil oleh kerajaan kerana peningkatan kes positif berada pada paras membimbangkan dengan angka yang dicatatkan setakat semalam di Malaysia 4,008 kes dan bagi Negeri Terengganu 81 kes. "Semoga dengan doa daripada seluruh rakyat, maka pandemik ini akan berakhir dan kita akan kembali menjalani kehidupan yang normal," ujarnya.
21 Jan 21
250
76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Sumbangan
76 Keluarga Mangsa Banjir Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 21 Januari – Nasib mangsa banjir di daerah ini terus mendapat perhatian daripada luar membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Syarikat Swasta bagi meringankan kesukaran mereka berdepan kehilangan dan kerosakan harta benda. Syarikat AHT Norlan United & Carriage Sdn. Bhd turut tidak ketinggalan membantu mangsa banjir di negeri ini dengan memberikan sumbangan 76 pek makanan di beberapa buah Kampung di Hulu Terengganu di sini semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, sumbangan itu menunjukkan keprihatinan pihak luar dan merupakan tanggungjawab sosial untuk membantu golongan yang terjejas akibat banjir melalui bantuan makanan.  “Kerjasama erat dengan pihak badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta, seperti itu dapat dijalankan dengan jayanya. Kepedulian dan keprihatinan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial ini sangat terpuji dan saya amat hargai. “Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang menyumbang dan badan korporat yang tampil memberikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa banjir di seluruh Malaysia.Semoga kerjasama ini wajar menjadi titik permulaan untuk berganding bahu dan meneruskan inisiatif projek-projek bantuan kemanusiaan kepada mangsa banjir di masa akan datang,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian sumbangan tersebut di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Pengkalan Ajal, semalam. Sementara itu, Penyelia Norlan United Terengganu State Road Care Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fauzi Ramli berkata, beliau berharap sumbangan tersebut dapat membantu meringankan mangsa banjir. "Atas dasar kemanusiaan. ia telah menggamit perhatian pihak kami untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan." katanya.  
21 Jan 21
481
JAM Kumpul 5,351 Beg Darah, Bantu Pesakit Seluruh Negara
JAM Kumpul 5,351 Beg Darah, Bantu Pesakit Seluruh Negara
MARANG, 20 Januari – Kejayaan Jabatan Amal Malaysia (JAM) mengumpul 5,351 beg darah melalui  penganjuran Amal Mega Blood Donation 2021 di 58 lokasi di seluruh negara sewajarnya dipuji. Jumlah itu dikumpulkan dalam tempoh hanya  tiga hari program bermula, 15 sehingga 17 Januari lalu bagi menampung  keperluan pesakit di seluruh hospital dalam negara. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata apa yang diusahakan anggota JAM  itu perlu dijadikan contoh oleh semua pihak kerana jumlah yang dikumpul itu  pastinya dapat menyelamatkan ribuan pesakit.   “Dengan satu bag darah yang dikumpul, akan dapat digunakan oleh tiga orang penerima, maka program AMBD2021 ini telah berjaya menyumbang bekalan darah kepada 16,053 pesakit,” katanya  dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman ‘Facebook’ rasmi miliknya hari ini.   Menurutnya lagi, terdapat beberapa golongan yang tidak boleh menderma darah, selain daripada faktor kesihatan yang diketahui umum seperti penyakit kronik, mengandung dan sebagainya. “Mereka yang menggunakan hormon tumbesaran juga tidak dibenarkan menderma darah. Sesiapa yang layak menderma, boleh mengambil peluang berbuat demikian pada 23 Januari ini yang akan diadakan di Dewan Serbaguna PPR Hiliran, Kuala Terengganu. “Semoga penderma yang menyumbang ini dikurniakan pahala berpanjangan,” tambah yang juga merupakan Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS),” katanya.  
20 Jan 21
225
Nelayan, Penoreh Getah Terjejas Terima 'One-Off'
Nelayan, Penoreh Getah Terjejas Terima 'One-Off'
SETIU, 14 Januari -  Nelayan dan penoreh getah di Parlimen Setiu yang terkesan dengan musibah banjir dan COVID-19 menerima bantuan khas baru-baru ini. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, bantuan secara 'one-off' diberikan kepada golongan terbabit agar kehidupan seharian mereka tidak dibebani dengan masalah lain. "Penerima bantuan ini tergolong dalam kalangan B40 yang terjejas mata pencarian dalam tempoh yang sukar dan mencabar ini. "Kita telah memperuntukkan sejumlah wang bagi diagihkan bukan sahaja kepada golongan penoreh dan nelayan, malah kepada anak yatim dan pelajar-pelajar yang dapat menyambung pelajaran mereka ke menara gading," ujar beliau kepada wartawan UPDI di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Setiu, Sungai Tarom. Tambahnya lagi, bantuan tersebu telah selesai diagihkan kepada DUN Batu Rakit dan Langkap. "Manakala DUN Permaisuri dan Jabi pula akan menyusul selepas ini. "Memandangkan ini telah dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Negeri Terengganu, kita terpaksa menangguhkan dahulu program pengagihan ini. "Walaupun begitu, kita akan datangkan satu cara yang komprehensif dan sesuai agar seluruh rakyat Setiu yang layak dapat menerima bantuan ini dengan segera," katanya. Beliau juga berterima kasih kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Setiu kerana turut sama membantu dengan memberikan Bakul Makanan kepada golongan ibu tunggal  Hampir 4,000 rakyat Setiu dari golongan B40 menerima bantuan ini yang dijangka pengagihan akan diterima selewatnya awal bulan Februari.
18 Jan 21
305
RM328 Ribu Bantuan Mangsa Banjir DUN Cukai Diperuntukkan
RM328 Ribu Bantuan Mangsa Banjir DUN Cukai Diperuntukkan
KEMAMAN, 18 Januari - Sejumlah lebih RM328,300 diperuntukkan bagi menyediakan bantuan berbentuk beras dan barangan dapur untuk kira-kira 3,283 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan hampir 15,000 mangsa banjir yang terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, proses pengagihan bantuan untuk setiap KIR bernilai RM100 itu telah bermula sejak beberapa hari yang lalu. "Kami mengagihkan bantuan tersebut kepada 14 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN ini yang terlibat dengan banjir. "JPKK masing-masing akan memainkan peranan mengagihkan kepada mereka mengikut bilangan KIR yang telah direkodkan setakat ini. Insya-Allah, semua mangsa banjir di DUN ini akan mendapat bantuan ini," jelasnya. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada sukarelawan Khidmat Malaysia, badan bukan kerajaan (NGO) serta semua pihak yang telah membantu melancarkan misi agihan bantuan tersebut dan sebagainya. "Mereka semua tidak mengira peringkat umur dan latar belakang telah sama-sama mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit bagi turut sama menjayakan misi ini. "Mereka telah bekerja siang dan malam bagi memastikan segala bentuk bantuan ini akan sampai dan diterima dengan sebaiknya kepada mereka yang memerlukan," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.  
18 Jan 21
399