Artikel "Komuniti" Terkini
310 Keluarga Terima Bantuan Barangan Keperluan Dapur
MARANG, 31 Januari - Sebanyak 310 keluarga di Bukit Payong yang terkesan dengan penularan pandemik wabak Covid-19 telah menerima bantuan barangan keperluan dapur.
Sehingga kini, 14 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terlibat dengan pengagihan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, mana-mana keluarga yang kurang berkemampuan diminta tampil memohon bantuan itu, tidak perlu malu untuk berbuat demikian melalui JPKK kawasan masing-masing.
"Buat masa kini musim Covid-19 yang melanda masih membuatkan ramai masyarakat yang terjejas sehingga tidak mampu untuk menampung kehidupan seharian.
"Kesedaran perlu diambil oleh setiap JPKK dan wakil setiap kampung agar tidak berlaku situasi sehingga ada masyarakat hidup dalam keadaan terlalu susah dan kelaparan." katanyanya baru-baru ini.
Menurut beliau, setiap agihan telah diedarkan dari rumah ke rumah oleh staf-staf Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong dan wakil JPKK setiap kampung.
"Dengan cara tersebut membuatkan lebih mudah kepada masyarakat yang terjejas menerima barangan dalam keadaan baik dan tidak terdedah dengan risiko jangkitan Covid-19 yang kian menular pada hari ini," katanya.
31 Jan 21
418
Jual 'Poyok Viral' Bantu Suami
HULU TERENGGANU, 31 Januari - Niat murni Siti Nasuha Mohamad, 31, menjadi ejen 'Fazzy's Poyok Viral' untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbaloi selepas mendapat keuntungan yang lumayan.
Isteri kepada Ali Hilmi Abdul Halim, 30, berkata, ketika PKP pertama mula dikuatkuasakan pada Mac tahun lalu, dia buntu apabila tidak boleh berniaga pisang goreng di warung seperti biasa.
"Ditambah pula pendapatan suami tidak seberapa bagi menanggung anak-anak yang bersekolah.
"Bermula dari itu saya terdetik untuk menceburi perniagaan atas talian, tetapi tidak tahu hendak menjual apa sehingga suatu hari ditunjuk oleh suami satu perniagaan tempoyak yang cukup tular di media sosial dan menerima permintaan yang tinggi.
"Jadi sejak itu saya mula berniaga secara atas talian, lebih bermakna apabila saya yang bermula sebagai ejen kecil telah berjaya menjadi stokis kepada 'Fazzy's Poyok Viral', dengan pendapatan kini dalam masa dua minggu boleh mencapai keuntungan RM5,000 dan sangat berbaloi bagi meringankan beban suami," ujarnya.
Nasuha berkata demikian ketika dihubungi pihak media, mengulas mengenai perniagaan yang diceburinya itu.
Sementara itu Pemilik Fazzys Global, Azie Fazamilla Awi dari Kuala Nerus berkata, syarikatnya kini memiliki kekuatan 300 orang ejen dan stokis 'Fazzy's Poyok Viral' di seluruh Malaysia.
"Alhamdulillah ia mendapat sambutan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, malah juga menerima permintaan dari negara jiran iaitu Singapura dan melalui ejen kami juga tempoyak ini juga telah sampai ke Vietnam.
"Antara keistimewaan tempoyak kami ini ialah menggunakan Durian D-24 yang bermutu tinggi disamping turut menggunakan Durian Musang King, sebagai contoh didalam 3.8 tan durian yang diterima di dalam 500 kilogram itu ada Durian Musang King, malah kami sangat mementingkan kualiti," ujarnya.
Tambah beliau produknya itu didatangkan dalam empat jenis iaitu Sambal Tempoyak Bilis, Sambal Tempoyak Pedas, Sambal Tempoyak Petai dan Sambal Tempoyak Petai Bilis.
Katanya lagi, produk tempoyaknya itu menerima permintaan yang sangat tinggi kerana peminat durian boleh dikatakan ada di seluruh dunia terutamanya dalam negara sendiri.
31 Jan 21
1169
PKM Batu Buruk Bina Rumah Baharu Untuk Mangsa Kebakaran
KUALA TERENGGANU, 31 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengambil inisiatif untuk membina sebuah Rumah Mampu Milik (RMM) kepada mangsa kebakaran di Kampung Kuala Ibai Pantai, Disember lalu.
ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan pembinaan rumah tersebut adalah bagi membantu meringankan bebanan kerugian yang ditanggung oleh mangsa.
"Insya-Allah menurut kontraktor, rumah ini dijangka akan siap sebelum tiba bulan Ramadan.
"Apabila berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Februari nanti, kerja-kerja pembersihan tapak akan dimulakan dan proses pembinaan rumah mangsa akan terus dijalankan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, baru-baru ini.
Tragedi kebakaran di rumah mangsa, Hasnah Yahya berlaku pada 26 Disember lalu akibat litar pintas.
Keadaan rumah mangsa selepas tragedi kebakaran
Terdahulu, agensi-agensi kebajikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu telah hadir bagi menyampaikan sumbangan secara 'one off'.
31 Jan 21
327
Impian Keluarga Nelayan Milki Rumah Selesa Tercapai
MARANG, 29 Januari- "Kami sekeluarga yang sebelum ini tinggal di rumah uzur sangat bersyukur kerana impian untuk miliki rumah selesa sejak sekian lama akhirnya tercapai.
"Syukur ke hadrat Ilahi dan jutaan terima kasih kepada pihak berkaitan atas pemberian yang sangat berharga ini," kata Muhamad Adafis Zakirai, 30.
Penetap di Kampung Sungai Kerak, beliau antara 19 penerima bantuan rumah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di kawasan Marang.
"Sebelum ini, kami pernah memohon bantuan ini daripada beberapa pihak terlibat, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan malah tiada tindakan sehingga diluluskan permohonan ini," katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan.
Muhamad Adafis mewakili ayahnya Zakirai Kadir, 64, sebagai penerima bantuan mengucapkan jutaan terima kasih atas rumah yang siap dibina tambahan lagi keperluan rumah yang lebih selesa sangat penting kerana menjaga ibunya yang menghidap sakit lumpuh.
Pengarah LKIM Negeri Terengganu, Mastam Nado, berkata, sebanyak 19 buah rumah projek bina baru rumah telah diperuntukkan di kawasan Marang, termasuk dua di DUN Rhu Rendang.
"Kos yang diperuntukkan ini menelan belanja hampir RM247,000 dan pemohon pula terdiri daripada nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan.
"Program ini diharap dapat membantu keluarga Zakirai dimana kita turut dibantu oleh pihak pejabat ADUN," katanya.
Beliau berkata ketika hadir ke majlis penyerahan rumah yang telah siap dalam Projek Bina Baru Rumah LKIM yang turut dihadiri oleh Pengerusi JPKK Sungai Kerak, Muhamad Azahar Adam.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah membantu menampung kos menimbun serta meratakan tanah untuk penstrukturan tanah yang lebih kukuh bagi mengelakkan air bertakung.
"Memandangkan kawasan rumahnya sebelum ini sedikit rendah, kerja-kerja tanah tersebut akan dapat membantu mengelakkan air bertakung, malah kos merobohkan rumah sebelum ini juga turut kita keluarkan,
"Ini adalah usaha kita untuk merealisasikan impian mereka di samping berkerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat untuk bantuan bina baru seperti ini," tambahnya.
28 Jan 21
1744
'Jambatan Rezeki ' Runtuh Akibat Banjir
DUNGUN, 29 Januari- 'Jambatan Rezeki' begitulah perumpamaan kepada sebuah jambatan yang telah mengalami kerosakan dan runtuh akibat banjir baru-baru ini.
Seorang penduduk di Kuala Jengai, Kamarodiah Abdul Wahab, 56, yang sering menggunakan laluan tersebut untuk keluar berniaga bagi meneruskan kelansungan hidup begitu terkesan dengan kerosakan tersebut.
Dia yang berniaga makanan untuk sarapan pada waktu pagi di salah sebuah kedai di sini sangat mengharapkan jambatan atau jalan yang lebih elok dan selamat dapat segera diganti.
"Setiap kali banjir, jambatan ini akan rosak dan runtuh jadi terpaksa lalui juga dan terpaksa bergadai nyawa kerana inilah jalan yang saya termasuk empat buah keluarga lagi sering gunakan bagi menjalani rutin harian.
"Jambatan ini menjadi laluan untuk saya mencari rezeki, memandangkan jalan ini mudah dan dekat untuk saya sampai ke jalan besar.
"Saya ambil insiatif untuk membaikinya sendiri setiap kali ia mengalami kerosakan. Banyak jugalah duit dihabiskan untuk membeli kayu dan sebagainya," ujarnya kepada pemberita ketika diziarahi oleh Pegawai penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, kelmarin.
Sementara itu, Ghazali berkata pihaknya akan berusaha menyelesaikan kesulitan yang dihadapi penduduk berkenaan.
"Memandangkan jambatan ini tidak lagi selamat digunakan dan boleh mendatangkan bahaya. Maka kita akan mengangkat permohonan bagi menggunakan peruntukan daripada pejabat daerah untuk mengadakan infrastruktur jalan baru yang lebih baik dan selamat di atas tanah rezab kerajaan," ujarnya.
Beliau berharap agar penyelesaian masalah berkenaan akan mampu memberi kesejahteraan kepada penduduk di sini.
28 Jan 21
360
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu Buka Peluang Kongsi Rezeki
KUALA TERENGGANU, 27 Januari – Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), Khidmat Malaysia Kuala Terengganu membuka peluang masyarakat untuk saling menjaga dan berkongsi rezeki melalui Pusat Pengumpulan Sumbangan Barangan untuk golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula semalam.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dun Batu Buruk, Nik Rosdi Nik Jusoh memaklumkan, pusat pengumpulan tersebut diadakan berhadapan pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk dan dibuka sepanjang hari bermula jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
“Kami membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang ingin menyumbang kepada mereka yang terkesan ini boleh menghantar sumbangan di Pusat Pengumpulan Sumbangan ini.
"Antara barangan yang boleh disumbangkan ialah beras, minyak masak, gula, gandum, susu, lampin bayi, kicap dan lain-lain lagi," katanya.
Jelasnya, barang sumbangan terkumpul akan diagihkan pada minggu hadapan sekiranya jumlah sumbangan dianggarkan mencukupi.
Sementara itu, wakil NGO Khidmat Malaysia Kuala Terengganu, Tuan Ngah Tuan Ahmad mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi menghulurkan sumbangan.
Menurutnya, selain di Batu Buruk, Pusat Pengumpulan Sumbangan Barangan ini juga dibuka di seluruh DUN dalam Kuala Terengganu iaitu di hadapan Surau Baru Gong Pauh bagi DUN Wakaf Mempelam, Pasar Cabang Tiga bagi DUN Bandar dan Futsal Berek bagi DUN Ladang. Manakala bagi Parlimen Kuala Terengganu pula di hadapan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu.
Sumbangan juga dibuka secara atas talian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun berikut :
BANK ISLAM
BADAN KEBAJIKAN PAS KAWASAN KUALA TERENGGANU
13017010044705
27 Jan 21
702
108 Pek Bantuan Makanan Asas Diagihkan Dalam Dun Batu Buruk
KUALA TERENGGANU, 26 Januari – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Parlimen Kuala Terengganu telah menyumbang sebanyak 108 pek bantuan makanan asas kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk bagi membantu meringankan beban masyarakat setempat yang terjejas akibat Covid-19.
PKM Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah mengambil perjalanan mengagihkan kesemua bantuan tersebut kepada masyarakat yang memerlukan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN berkenaan.
“Kami telah meminta pengerusi JPKK untuk menyenaraikan keluarga yang tergolong dalam kategori fakir miskin sebelum ini supaya proses pengagihan ini dapat berjalan dengan lancar.
“Insya-Allah ada rezeki lagi nanti kita akan adakan lagi agihan bantuan ini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Proses pengagihan pek bantuan tersebut kepada 36 buah JPKK telah diadakan semalam di Dewan Dato’ Hj. Wan Abdul Muttalib, Kuala Ibai.
Sementara itu, orang ramai diminta untuk mengamalkan kehidupan norma baharu dalam usaha untuk memutuskan penularan wabak Covid-19.
26 Jan 21
506
Jangan Pandang Hina Pesakit COVID-19
KUALA TERENGGANU, 25 Januari - Orang ramai dirayu agar tidak menimbulkan persepsi negatif dan menghina pesakit yang didapati positif wabak Covid-19.
Salah seorang daripada golongan tersebut, Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail berkata, pesakit wabak Covid-19 adalah mangsa dan mereka tidak meminta untuk dijangkiti.
“Jangan pandang hina dengan mana-mana pesakit Covid-19, sebaliknya berilah sokongan moral kepada golongan seperti kami melalui pelbagai saluran supaya mereka terus kuat dan tidak berasa tersisih.
“Sokongan paling utama adalah daripada keluarga, majikan dan rakan yang dikenali. Pastinya setiap kata-kata akan menjadi pendorong untuk terus melawan Covid-19,” katanya yang juga penceramah bebas.
Ustaz Wan Ahmad Zuki yang disahkan Positif Covid-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) pada 16 Januari lalu kini masih dirawat di Pusat Kuarantin, Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.
Katanya dalam siaran langsung secara atas talian bersama TV Darul Iman semalam, sebaik mengetahui keputusan ujian saringan Covid-19 miliknya positif, badan beliau secara tiba-tiba berasa gementar.
“Padahal sebelum keputusan ujian itu, tiada langsung tanda atau gejala-gejala adanya Covid-19.
“Pada waktu yang sama, tiada apa yang diingatkan hanya isteri dan anak-anak, tertanya-tanya bagaimanakah nasib mereka,” jelasnya.
Menurut beliau, sepanjang berada di pusat kuarantin, para pesakit mesti berjiwa kental, kuat semangat dan pada masa yang sama perlu sentiasa melakukan amal ibadat.
“Ketika inilah, sokongan daripada insan rapat, majikan dan rakan-rakan cukup penting dan menjadi antara faktor seseorang itu, termasuk saya menjadi lebih kuat dan bersemangat untuk sembuh,“ katanya.
Ustaz Wan Ahmad Zuki turut memberitahu, beliau sebagai pesakit Covid-19 sangat besetuju dengan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan yang menyarankan rakyat di negara ini mendapat suntikan vaksin.
“Dengan cara itu sahaja, kemungkinan Covid-19 dapat dielakkan. Oleh itu, saya berharap bersama-samalah kita membantu kerajaan memutuskan penularan Covid-19 yang masih tiada penghujungnya,” tambahnya.
25 Jan 21
2425
Nasi Padang, Rezeki Anak Muda Di Musim PKP
KUALA NERUS, 25 Januari – Nasi padang menjadi punca rezeki bagi sekumpulan anak muda dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Walaupun berdepan beberapa kekangan seperti pelanggan tidak dibenarkan menjamu di dalam premis, ia tidak menghalang mereka untuk mengaut keuntungan bagi menyara diri dan keluarga.
Pengusaha warung nasi padang tersebut, Muhammad Yusouf Ghazali, 27, berkata, sejak PKP 2.0 dilaksanakan pada 22 Januari lalu, aneka pilihan lauk terpaksa dikurangkan akibat kekangan semasa namun kedatangan pelanggan hanya terjejas kira-kira 30 peratus berbanding hari biasa.
“Nasi padang kami sesuai ketika musim PKP kerana harganya yang murah dan kuantiti banyak iaitu RM6 sebungkus nasi sekali dengan satu pilihan lauk.
“Contohnya, lauk paling terkenal seperti ayam percik atau daging rendang sekali nasi tidak sampai RM7 habis dibeli pelanggan, rata-rata pekerja dari Dataran Austin dan penduduk berdekatan sekitar 10 kilometer yang ingin berjimat.
“Hasilnya jumlah pembeli masih mencecah 300 orang sehari yang datang bungkus mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika ditemu bual pemberita baru-baru ini.
Tambah anak keempat daripada tujuh adik beradik itu, idea bisnes itu dicetuskan bapanya pada tahun 2018.
"Hingga sekarang saya masih mengekalkan lima pekerja yang juga pemuda berumur 20-an," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan tetap dari Bukit Tunggal, Laily Harun, 48, berkata, harga murah dan pelbagai aneka lauk-pauk menjadi sebab dia menjadi pelanggan tetap di situ.
“Sebelum musim PKP pun saya datang dan belikan untuk keluarga di rumah,” ujarnya.
Untuk rekod, Kedai Nasi Padang tersebut terletak di depan pasaraya Sabasun 2 di Wakaf Tembesu dan dibuka bermula jam 10.30 pagi hingga 4 petang bergantung kepada permintaan dan kuantiti lauk.
25 Jan 21
1904
Mangsa Langgar Lari Sebak Terima Katil Wakaf
DUNGUN, 23 Januari - Seorang mangsa langgar lari, Ramlah Omar, 57, sebak apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun hari ini hadir membawa katil untuk kegunaannya.
Ramlah yang dijaga suaminya, Mohamad Osman, 65, kini hanya mampu terlantar selepas tragedi tersebut yang menyebabkan tulang pinggangnya patah.
Dia lerlu memakai penyanga besi keliling pinggang hingga pergelangan kaki sekali gus menyebabkan pergerakannya terbatas.
Menceritakan tragedi malang yang berlaku akhir November tahun lalu, katanya ketika itu dia menunggang motosikal sendirian.
"Masa tu dalam pukul 11 pagi, saya menunggang motosikal hendak masuk simpang menghala ke Jalan Nibong Bawah, tiba-tiba saya dilanggar daripada belakang lalu jatuh dan tak tahu siapa yang langgar, " katanya.
Ujar Ramlah ketika ditemui pemberita semasa Alias dan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Rantau Abang serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menghantar katil (wakaf) ke rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Gong Pasir di sini, kelmarin.
Sementara itu, Mohamad meluahkan rasa lega, dengan ada katil itu memudahkan isterinya untuk menjalani kehidupan seharian yang sangat terbatas.
"Ada katil ni, bolehlah makan dan minum dengan selesa, sebab sebelum ini, dia makan dan minum secara baring, memang kesianlah tengok dia," katanya lagi.
23 Jan 21
161