Artikel "Komuniti" Terkini
JPKK Sedia Internet Percuma Untuk Pelajar PdPR
BESUT, 8 Februari - Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memasang kemudahan internet percuma untuk penduduk Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Kampung Padang Luas bagi kemudahan pembelajaran atas talian.
Menurut salah seorang penduduk, Abd Rahim Mat Zin, 47, berkata usaha itu merupakan kerjasama antara penduduk taman dan JPKK Padang Luas bagi memberi kemudahan kepada para pelajar.
"Akibat penularan wabak penyakit menyebabkan sekolah ditutup, pembelajaran atas talian merupakan kaedah terbaik bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam apa jua bidang.
"Kemudahan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban yang dihadapi oleh keluarga pelajar akibat ekonomi yang tidak menentu," katanya ketika ditemubual di Surau RAKR Kampung Padang Luas, Jerteh, baru-baru ini.
Pihak pengurusan juga telah menyediakan beberapa kemudahan infrastruktur seperti meja dan kerusi untuk keselesaan para pelajar dan berharap agar kemudahan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk taman.
08 Feb 21
1024
Legasi Dan Keunikan Cina Peranakan Terengganu Sejak Tujuh Abad
KUALA TERENGGANU, 8 Februari – Legasi sejarah dan budaya yang diamalkan masyarakat Cina Peranakan Terengganu membawa pelbagai keunikan hasil asimilasi sejak kedatangannya pada abad ke-14 hingga ke-17.
Dekan Fakulti Farmasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Lua Pei Lin berkata, keturunannya yang berasal dari daerah Fujian, China, merupakan hasil adaptasi dan asimilasi dengan budaya gaya pakaian, makanan dan percakapan komuniti Melayu Terengganu.
“Ramai bertapak di Kampung Tiruk, Kampung Banggol Kemang (17Km dari bandaraya Kuala Terengganu), Wakaf Tapai serta di kawasan Sungai Nerus, berdekatan dengan tempat asal saya di Kampung Batu Enam.
“Sejak itu, kami menerima, menghayati dan mengamalkan budaya seperti masyarakat Melayu, contohnya seperti pemakanan di mana keturunan kami makan ikan singgang, budu, petai dan sambal belacan. Makan nasi pun boleh dengan tangan.
“Dari segi percakapan pula, kita mahir guna loghat atau dialek Terengganu seperti ‘guane gamok’, ’dokrok cetong’,” katanya ketika bersiaran langsung menerusi sesi Sembang Pagi UniSZA, semalam.
Tambahnya yang juga generasi kelima keturunan tersebut, budaya pemakaian juga menerima pengaruh Terengganu seperti perempuan kebaya potong kot ikonik dengan Masyarakat Cina Peranakan Terengganu, manakala lelaki menyarung kain pelikat.
Sementara itu, beliau turut menyuarakan kebimbangan jika gagal mewarisi legasi identiti Cina Peranakan menghadapi peredaran masa kerana ramai yang berhijrah ke luar Terengganu berikutan tuntutan kerja.
“Namun begitu, salah satu usaha bagi mengekalkan khazanah tersebut melalui Persatuan Peranakan Cina Terengganu bagi mengeratkan silaturahim antara golongan peranakan di dalam negeri.
“Setiap tahun juga ada Festival Cina Peranakan yang diadakan di Kampung Cina, Kuala Terengganu di mana pameran dan persembahan budaya dianjurkan sebagai tanda meraikan warna-warni budaya ini.
Jelas Dr Lua berkenaan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2021, walaupun dalam keadaan pandemik dan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), perayaan tersebut akan diraikan secara sederhana meneruskan adat budaya dan bangsa.
Sumber foto : Prof Dr. Lua Pei Lin, Dekan Fakulti Farmasi UniSZA
08 Feb 21
4089
Kakitangan MDI Terima Sumbangan Barangan Dapur
MARANG, 7 Februari – Persatuan Kebajikan Bukit Payong (PEKA) mengagihkan 100 barangan keperluan dapur kepada guru dan kakitangan Madrasah Darul Iman (MDI), Bukit Payong.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Bukit Payong (PEKA), Asri Abdul Aziz berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk mengagih bantuan itu kerana memahami golongan itu turut terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.
“Ini kerana pendapatan bulanan guru dan kakitangan MDI bergantung kepada yuran bulanan pelajar, jika tidak bersekolah, pastinya pendapatan mereka terjejas,”katanya.
"Kami sangat berharap dengan sumbangan ini dapat meringankan beban." Katanya.
Pengetua MDI, Mazlan Ibrahim juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PEKA yang telah membantu semua staf dan kakitangan madrasah.
"Ucapan terima kasih kepada pihak PEKA yang telah bersusah payah membantu semua guru-gu dan staf disini. Semoga dengan usaha ini, PEKA terus diberikan kesenangan dan kemudahan oleh Allah s.w.t." katanya.
PEKA yang juga sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bertempat bersebelahan dangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong ll, Kampung Titian Baru, Kedai Buloh telah dinaungi oleh Yang Berhormat Ustaz Mohd Nor Hamzah.
07 Feb 21
326
PKM BANDAR TERUS BERKHIDMAT PADA PKP2.0
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar telah mengagihkan sumbangan berupa barang keperluan dapur melalui Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) untuk diedarkan kepada warga komuniti yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, berikutan lanjutan PKP, ramai rakyat yang terkesan terutamanya dari sudut ekonomi. Justeru, kebajikan mereka sangat perlu diutamakan.
"Hari ini sebagai langkah awal, kita telah mengagihkan sebanyak 200 pek barang-barang keperluan harian melalui 17 JPKK untuk seluruh DUN Bandar.
"Jumlah bantuan akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan berpandukan rekod yang ada pada JPKK masing-masing," masing-masing," katanya.
Sumbangan tersebut adalah hasil dari kempen kesedaran yang dilancarkan akhir Januari lalu oleh Khidmat Malaysia Kuala Terengganu dengan kerjasama DUN masing-masing.
Menurut Ahmad Shah, selain dari pihak PKM sendiri, banyak pihak yang turut menghulurkan sumbangan termasuklah daripada syarikat GLC serta individu perseorangan.
"Terima kasih kepada para penyumbang yang sama-sama meringankan bebanan masyarakat. Ini merupakan tanggungjawab sosial yang sangat baik dalam membentuk persekitaran komuniti yang sihat," katanya.
07 Feb 21
279
Kerajaan Negeri Alukan NGO Jalankan Kebajikan
SETIU, 7 Februari – Kerajaan Negeri Terengganu amat terbuka malah mengalu-alukan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat dalam aktiviti kebajikan dan dakwah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, berlumba-lumba melakukan kebaikan sama ada oleh individu, NGO dan kerajaan amat digalakkan dalam Islam.
"Bidang ini terlalu luas dan golongan sasar kita sangat ramai. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua aktivis-aktivis NGO yang aktif membantu rakyat. Jasa dan sumbangan dihargai.
"Walaupun begitu, tanggungjawab sebagai pemimpin kerajaan tidaklah serupa dengan tanggungjawab NGO kerana di samping menyantuni rakyat di lapangan, kerajaan juga perlu fokus kepada usaha untuk merangka dasar yang baik.
"Selain itu, kerajaan perlu menumpukan kerja-kerja urus tadbir negeri, memastikan semua jentera kerajaan berjalan dengan baik dan seterusnya perlaksanaan dasar-dasar kerajaan sampai kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mala katanya lagi, kerajaan juga perlu melaksanakan agenda dan program yang mungkin tidak dilihat oleh rakyat pada hari ini tetapi hasilnya memanfaatkan mereka dalam tempoh jangka masa lebih panjang,
"Kalau ada sesuatu masalah atau isu yang timbul, kita turun untuk selesaikan. Pendekatan ini sangat penting tapi sebagai kerajaan terutamanya kita harus memikir jauh lebih jauh daripada itu,
"Begitu juga penyaluran wang kerajaan ada tatacara kewangan yang perlu dipatuhi. Ia tak semudah a, b, c sebagaimana kita nak salurkan dana daripada NGO," jelasnya lagi.
Menurut Dr Azman, sebelum menjadi anggota kerajaan beliau juga pernah menjadi aktivis NGO.
"Bukan setakat dalam negara bahkan aktiviti kebajikan kita sampai ke Mindanao, Palestin, Sudan, Indonesia, India dan perbatasan Jordan-Syria. Lantaran kerana latar belakang ini membolehkan kita merasai pengalaman dan cabaran berbeza dengan matlamat yang sama iaitu nak menyumbang bakti kepada sesama hamba Allah," tambahnya.
07 Feb 21
146
150 Orang Kategori B40 Terima Bantuan
DUNGUN, 4 Februari - Seramai 150 penerima golongan B40 dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura dan Rantau Abang terpilih untuk menerima bantuan menerusi Program GANU ECO-Charity.
Menurut jurucakap Politeknik Sultan Mizan Zainal (PSMZA) yang juga Jawatankuasa Pelaksana program berkenaan, bantuan makanan dan kit kebersihan dihantar ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun.
"Kerja-kerja pemungahan barangan dilakukan secara bergotong royong oleh kakitangan dan pelajar-pelajar PSMZA.
"Program ini adalah hasil kolaborasi PSMZA bersama badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Udara Bersih Malaysia (MyCas), Yayasan Hasanah, Pertubuhan IKRAM Malaysia dan beberapa NGO lain termasuklah JKM sendiri," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail melahir rasa bangganya, PSMZA dapat bekerjasama dengan NGO-NGO lain dalam usaha memberi bantuan kepada komuniti yang terjejas semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 akibat daripada penularan pandemik COVID-19 di Negeri Terengganu.
"Semoga usaha ini dapat meringankan beban golongan yang memerlukan yang terpaksa dilalui pada waktu yang sukar sekarang ini," ujarnya.
04 Feb 21
426
Operasi Pasar Malam Ikut SOP
DUNGUN, 3 Februari - Pasar Malam di daerah Dungun dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dengan terhad kepada gerai menjual makanan, minuman dan barangan basah sahaja.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pasar Minggu Dan Pasar Malam Daerah Dungun (KEPPAMIN), Hassan Abdul Aziz berkata, pembukaan pasar malam berkenaaan telah mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Pejabat Kesihatan Dungun dan Polis Daerah Dungun.
"Pihak berkuasa akan sentiasa memantau.
"Kita akan pastikan SOP dipatuhi, jarak dari satu kanopi ke satu kanopi lima kaki, menyediakan pelitup muka, tempat pemeriksaan suhu di kedua-dua pintu masuk pasar malam di samping ada petugas yang ditugaskan untuk mengendalikan tempat berkenaan.
"Jika ada pengunjung yang datang tidak pakai pelitup muka kita akan tegur atau beri pelitup mula kepada mereka, kita berharap pengunjung akan mematuhi SOP," katanya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran dalam rancangan Dimensi Manis, membincangkan tajuk 'Peniaga Pasar Malam Terjejas : Apakah Solusinya' di radio Manis.fm.
Menurut Hassan, pihaknya juga menerima banyak rungutan agar perniagaan pakaian dan barangan lain turut diberi peluang untuk berniaga tetapi masih tidak boleh memandangkan ianya belum mendapat kebenaran daripada pihak yang berautoriti.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan wakil-wakil rakyat dalam parlimen tersebut yang sentiasa membantu para peniaga sejak dari PKP 1.0 lagi.
"Memang wakil-wakil rakyat kita sangat mengambil berat, apa-apa masalah yang kita hadapi akan cuba diselesaikan," katanya.
03 Feb 21
2193
Rakyat Terjejas Sepanjang PKP 2.0 Terima Bantuan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk menyumbang sebanyak 360 pek makanan untuk fasa pertama agihan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dijalankan.
Program agihan sumbangan bantuan ini merupakan kerjasama antara PKM ADUN Batu Buruk dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Khidmat Malaysia Kuala Terengganu.
Khidmat Malaysia Kuala Terengganu telah mengambil inisiatif membuka Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan di hadapan Pejabat PKM ADUN Batu Buruk bermula 26 Januari lalu untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi turut sama menghulurkan sumbangan.
“Fasa kedua agihan nanti, kita akan kumpulkan semua barang sumbangan dan pihak DUN akan cukupkan bilangan barang agihan tersebut menjadi 360 pek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Beliau berkata ketika meninjau kerja-kerja agihan barangan sumbangan bagi fasa pertama kepada pihak Jawatankuasa Pembangunan Kampung dan Keselamatan (JPKK) dijalankan di Dewan Dato’ Wan Abdul Muttalib Embong, Kuala Ibai, semalam.
“Insya Allah, sekiranya ada rezeki lagi pada masa akan datang kita akan adakan lagi agihan ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penyumbang yang turut sama-sama ingin membantu mereka yang terjejas pendapatan sepanjang PKP ini,” tambahnya lagi.
Pusat Pengumpulan Barangan Sumbangan masih lagi dibuka hingga 4 Februari (Khamis) ini.
03 Feb 21
279
Tukang Gunting Rambut Diraikan
KEMAMAN, 3 Februari - Seramai hampir 150 orang yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai diraikan apabila menerima sumbangan berbentuk wang tunai, beras dan barangan dapur, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat berkata, mereka juga antara golongan yang terjejas pendapatan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ketika ini.
"Saya memahami situasi yang sedang mereka hadapi. Sebahagian besar daripada mereka adalah golongan anak muda yang berusia sekitar 22 hingga 28 tahun.
"Ada di antara mereka yang baru berkahwin dan membina kehidupan yang baru. Apabila berlaku PKP, bukan sahaja pendapatan harian terjejas, bahkan mereka terpaksa menyelesaikan bayaran sewa kedai, bil api, bil air dan sebagainya.
"Oleh yang demikian, saya sebagai orang yang diberikan tanggungjawab di DUN Chukai ini sudah tentu berasa simpati dengan nasib mereka.
"Sebab itu hari ini, kita sampaikan sumbangan ini agar sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan mereka. Insya-Allah, semoga keadaan ini akan pulih tidak lama lagi agar kita semua dapat menjalani semula kehidupan seperti sediakala," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai majlis.
Program yang dianjurkan itu berlangsung dalam keadaan yang baik apabila mereka yang layak menerima sumbangan hanya mengambilnya secara pandu lalu di pekarangan Pejabat ADUN Chukai.
02 Feb 21
322
‘Derita’ Tukang Gunting Rambut Dapat Pembelaan
SETIU, 2 Februari – ‘Derita’ yang dialami tukang gunting rambut susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang tidak membenarkan perniagaan itu dijalankan akhirnya terbela.
Seramai 15 tukang gunting rambut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima bantuan berbentuk sekampit beras dan barangan dapur.
Mereka menerima sumbangan tersebut daripada Pegawai Belia (DUN) Batu Rakit, Azuan Azmi dalam satu majlis ringkas yang diadakan di sekitar Batu Rakit baru-baru ini.
Pemilik Abu Barbershop, Engku Abu Hazwan Che Ku Yusuf yang mewakili semua penerima berkata, pihaknya sangat menghargai usaha Pusat Khidmat Masyarakat Dun Batu Rakit dan kerajaan negeri yang prihatin terhadap mereka.
"Alhamdulillah, dengan bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang dihadapi oleh kami dalam menghadapi PKP yang dilaksanakan di negara kita pada ketika ini.
“Sudah tentu kehidupan kami banyak terjejas selepas kedai gunting rambut tidak dibenar beroperasi, ia menjejaskan pendapatan kami," ujarnya kepada UPDI.
Kata Abu Hazwan lagi, ramai antara mereka yang mengharapkan agar iniasiatif itu diteruskan di samping ia ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Kami tidak minta banyak, cuma mengharapkan perhatian yang berterusan daripada kerajaan negeri pada masa akan datang untuk membela nasib kami,” jelasnya.
02 Feb 21
306