Artikel "Komuniti" Terkini
COVID-19 : Kes Baharu Di Terengganu Kembali Satu Digit
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - [Dikemaskini] Angka harian kes baharu COVID-19 di Terengganu kembali kepada satu digit dengan empat jangkitan dilaporkan, hari ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi bilangan kes positif baharu di Malaysia adalah 2,192 dan enam kes kematian .
“Manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 pula 32,076.
“Kes sembuh pula 3,414,” ujar kenyataan itu.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) berkata, empat kes positif dan 44 kes sembuh baharu yang dicatatkan hari ini menjadikan terdapat 382 kes COVID-19 aktif di Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 3,135 kes.
“380 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa. Dua kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan satu daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” ujar JKNT.
Kata JKNT, bilangan kluster aktif pula adalah sebanyak 21 kluster.
“Kluster dengan tambahan kes baharu hari ini iaitu Kluster Bukit Petiti tiga kes dan Kluster Pulau Rusa satu kes,” jelas kenyataan itu lagi.
JKNT turut memaklumkan, kes yang dicatatkan hari ini melibatkan tiga di Kuala Terengganu dan satu di Marang.
22 Feb 21
2894
Masjid Seberang Takir Wujudkan ‘Ghobok Rezeki’ Bantu Ahli Kariah
KUALA NERUS, 22 Februari - Ahli Jawatankuasa Masjid Seberang Takir di sini mewujudkan ‘Ghobok Rezeki’ bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan dan hilang sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19.
Pengerusi Masjid itu, Zakaria Dagang berkata, program tersebut akan memberi manfaat kepada golongan asnaf, individu, keluarga serta mereka yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"'Ghobok Rezeki' adalah hasil sumbangan orang ramai yang berbentuk barangan mahupun duit untuk membeli bahan-bahan berkenaan yang akan diletakkan di almari di sini.
“Mana-mana ahli kariah yang memerlukan atau terputus bekalan boleh datang ke masjid dan berjumpa dengan jawatankuasa untuk kita agihkan," katanya.
Tambah Zakaria lagi, selain kaedah meminta mereka datang ke masjid untuk mengambil barang tersebut, pihak masjid akan menghantar ke rumah masing-masing bagi yang layak.
Terdahulu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab menyempurnakan majlis perasmian program berkenaan.
“Saya megucapkan tahniah dan syabas kepada seluruh jawatankuasa masjid kerana inisiatif yang baik kepada masyarakat.
“Dalam masa yang sama, ia membuka peluang kepada masyarakat turut sama-sama menyumbang bagi menjayakan program ini,” ujarnya lagi.
Seorang penerima yang juga jemaah tetap, Haji Yusof, 83, dia gembira apabila pihak masjid memilihnya menjadi penerima pertama program berkenaan.
"Saya amat berterima kasih kerana semua pihak termasuk penyumbang kerana ia banyak memberi manfaat kepada golongan asnaf dan miskin, malah siapa sahaja yang terputus barangan keperluan," katanya.
22 Feb 21
801
Kit Peperiksaan Suntik Semangat Pelajar
KUALA NERUS, 22 Februari - Lebih 450 unit kit peperiksaan disedia dan diagihkan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2020) bagi menyuntik semangat mereka.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, suntikan semangat adalah penting kerana mereka telah berdepan dengan pelbagai cabaran susulan penularan pandemik COVID-19.
“Kita agihkan kit ini dari rumah ke rumah kepada mereka sendiri, bagi menyuntik semangat secara langsung kepada mereka,
“Semangat ini sangat penting, bagi mempersiapkan diri untuk menjawab peperiksaan nanti di samping ilmu yang dipelajari daripada guru-guru,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan kit peperiksaan dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Teluk Pasu, semalam.
Isteri ADUN Buluh Gading, Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman menyerahkan kit peperiksaan kepada ibu bapa pelajar
Beliau juga memaklumkan, kit telah diagihkan kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Buluh Gading untuk diserahkan kepada semua calon SPM 2020 dalam kampung masing-masing.
“Dalam setiap kit, kita sediakan beberapa set alat tulis, set mekanikal geometri dan juga air solat hajat dan bacaan yasin.
“Kita berharap dengan adanya kit ini, dapat meringankan sedikit beban pelajar serta memberi motivasi kepada mereka dalam menduduki peperiksaan mulai esok (hari ini),” tambah beliau lagi.
Ustaz Ridzuan juga menegaskan tumpuan dan perhatian kepada keperluan para pelajar seperti ini adalah penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti secara konsisten.
“Kita tidak mahu disebabkan pandemik COVID-19 ini, persiapan modal insan menjadi terbantut, yang akan memberi kesan kepada pembangunan negara pada masa akan datang,” tegas beliau.
21 Feb 21
325
BERKAT Insiatif Kerajaan Bantu Golongan Terjejas
DUNGUN, 19 Februari- Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) merupakan inisiatif diperkenalkan kerajaan negeri bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bantuan tersebut telah memberi manfaat kepada 1,500 penduduk di sini yang dikenal pasti merupakan golongan terjejas.
"Dengan peruntukkan sebanyak RM150,000 kita telah memilih 1,500 penduduk melalui 23 cawangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan tukang gunting, pengusaha 'car wash', pekerja kantin sekolah serta peniaga pasar malam.
"Juga pusat asuhan kanak-kanak samada swasta atau kerajaan, tukang bekam, dan beberapa golongan lagi yang bekerja di sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sewaktu PKP termasuk ketua rumah yang menjalani kuarantin serta pekerja yang direhatkan tanpa gaji, "ujarnya kepada pemberita, semalam.
Beliau berkata, sumbangan berupa wang tunai itu telah disampaikan kepada setiap pengerusi JPKK untuk diserahkan kepada mereka yang layak.
Ghazali berkata, insiatif tanda keprihatinan kerajaan yang sedar mengenai keadaan rakyatnya sewaktu PKP dikuatkuasakan.
"Semoga melalui bantuan berkenaan dapat meringankan beban yang dialami rakyat," ujar beliau.
Dalam pada itu, Ghazali berkata apa jua dilakukan kerajaan dalam membendung wabak COVID-19 sewajarnya disokong.
"Termasuk pemberian vaksin secara bersasar, apa yang kita harapkan agar semangat dan kehidupan rakyat akan kembali pulih seperti sediakala.
"Semoga usaha dilakukan kerajaan akan menemui kejayaan. Teruskan berdoa, insya Allah kita pasti menang," ujar Ghazali.
19 Feb 21
578
Pejabat Parlimen Marang Agih Laptop Percuma
MARANG, 18 Februari - Khabar gembira buat pelajar yang terbaik bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Marang apabila mereka bakal menerima laptop percuma hasil pemberian Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang.
Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, pihaknya memandang serius akan keperluann semasa pelajar lebih-lebih lagi dalam sesi pembelajaran norma baru.
"Dalam masa yang sama inisiatif ini akan memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dalam talian dengan bersungguh-sungguh sekalipun dalam keadaan serba mencabar.
"Sebagai 'hadiah' atas usaha gigih belajar ketika norma baru, laptop percuma kita akan berikan kepada pelajar yang terbaik di peringkat Dun dan terkini 32 unit telefon pintar turut diagih buat pelajar yang kurang kemampuan terutamanya golongan keluarga yang kategori B40.
"Terdahulu, kita telah mengagihkan telefon pintar menerusi program yang dianjurkan oleh pejabat daerah iaitu program Cakna Didik Marang Hebak yang bertujuan membantu pelajar miskin mengakses sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai acara ringkas penyerapan sumbangan kepada pihak Pejabat Daerah Marang, dekat sini, semalam.
Turut Hadir Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak dan wakil-wakil Majlis Daerah Marang serta Permint Granite Sdn. Bhd. yang juga sama-sama menyumbang dalam program itu
Tambahnya lagi, agihan bantuan yang telah memasuki Fasa 3 ini dapat membantu seramai 32 pelajar yang merangkumi sekolah-sekolah di DUN Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payung dan Alur Limbat.
Dalam masa yang sama, Haron berkata, Pusat Khidmat Parlimen Marang mengambil cakna bukan sahaja pelajar, tetapi setiap isi rumah yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Pihak kami sebagai wakil Ahli Parlimen Marang terus menerusi menyalurkan bantuan demi bantuan kepada semua peringkat golongan yang kita kenalpasti kesusahan mereka," ujarnya.
18 Feb 21
811
Bantuan Bakul Makanan Rakyat Terjejas PKP Diagih
BESUT, 18 Februari - Ratusan bungkusan makanan diagihkan kepada setiap isi rumah melibatkan 500 buah keluarga terjejas di DUN Kota Putera semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, bantuan tersebut adalah insentif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumumkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini.
"500 bungkusan insentif bakul makanan berjaya diedarkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Benting Lintang, Pengkalan Kubur, Pekan Sari, Pak Mentosa dan Gong Jelutong.
"Setiap JPKK diberikan sebanyak 100 bungkusan makanan untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang terjejas teruk berikutan PKP 2.0 di kawasan mereka," katanya kepada UPDI.
Tambah beliau, proses pengagihan akan diteruskan lagi untuk JPKK seterusnya sehingga selesai pengagihan kepada semua 37 JPKK dalam Dun Kota Putera.
Mohd Nurkhuzaini memaklumkan sumbangan adalah berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula dan gandum.
Dalam masa yang sama, beliau menziarahi beberapa keluarga yang sakit kronik bagi menyampaikan bantuan wang saku bagi meringankan beban keluarga mereka untuk pembelian ubat-ubatan.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam gerak kerja kali ini," katanya.
18 Feb 21
504
Hotel Primula Bantu Golongan Asnaf
MARANG, 19 Februari - Seramai 72 orang asnaf dan penduduk kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima bungkusan makanan daripada Hotel Primula..
Pengurus Operasi F&B Primula Beach Hotel, Muhammad Amdam Nordin, berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan.
“Kita membuka ruang kepada ramai pihak, sama ada Badan Bukan Kerajaan (NGO), individu persendirian, dan penyumbang untuk menyumbang kepada kami untuk diagihkan melalui bentuk pek makanan seperti ini.
“Program ini juga diadakan setiap kali menerima hasil sumbangan orang ramai kepada kami, bagi menjaga kebajikan masyarakat memerlukan." katanya
Katanya ketika hadir menyerahkan sumbangan bungkusan makanan kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang untuk diagihkan, baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan ini telah diagihkan kepada penduduk sekitar kawasan ini melalui JPKK sekitar.
“Kami sentiasa mengalu-alukan pihak yang ingin memberikan sumbangan atau khidmat kepada asnaf atau mereka yang memerlukan.
"Lebih-lebih lagi, dalam keadaan kita menempuhi kesukaran berdepan dengan pandemik covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tambahnya lagi.
18 Feb 21
64
Zikir Mathurat, Rutin Pagi Warga Dungun
DUNGUN, 18 Februari - Menjadi rutin setiap pagi kepada kebanyakan warga Dungun untuk membasah lidah dengan berzikir Al-Mathurat sebagai satu usaha untuk membendung penularan sekali gus membebas bumi ini daripada pandemik COVID-19.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Parlimen Dungun, Jamaluddin Jusoh berharap, usaha yang dirasakan kecil itu dapat mendidik warga Dungun mendekatkan diri kepada Allah dan menjinakkan hati agar takut melakukan maksiat.
"Virus Corona adalah makhluk Allah, yang Allah jadikan untuk memberi ingatan kerana maksiat sedang subur di dalam masyarakat, jadi tidak dapat tidak untuk mengatasinya, kita kembali kepada Allah," ujarnya.
Jamaluddin berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah pendek sebelum dan selepas zikir Al-Mathurat dibaca beramai-ramai menerusi maya bermula 1 Februari lalu yang dianjurkan oleh i-MiTS Dungun.
Menurutnya, Al-Mathurat merupakan himpunan doa dan zikir yang menjadi amalan Baginda SAW dan sewajarnya menjadi amalan setiap orang Islam.
"Setiap jam 8.15pagi program ini bermula di saluran Google Meet yang kini sudah mencecah penyertaan lebih 100 orang, sebab itu kita buka pula ke saluran 'facebook'," katanya.
17 Feb 21
214
Pembantu Kedai Terharu Rumah Usang Dibaik Pulih
SETIU, 17 Februari - Perasaan ceria jelas terpancar pada wajah Mazuan Ahmad, 46, selepas rumahya dibaik pulih menerusi Projek Perumahan Terengganuku Sejahtera (PPTS) kelmarin.
Rumah Mazuan adalah antara ratusan kediaman yang dipilih untuk dibaik pulih di sekitar Batu Rakit di sini.
Ayah kepada dua anak itu berkata, kediaman yang mempunyai dapur bersekali dengan ruang tamu menjadi tempat berteduh untuk mereka sekeluarga lebih enam dekad.
"Ini peninggalan keluarga yang sudah berusia lebih 60 tahun.
"Apabila sudah berusia sudah pasti banyak masalah akan timbul seperti kebocoran dan keretakan di sana sini.
"Meskipun tidak sempurna seperti rumah keluarga lain tetapi inilah syurga untuk keluarga saya.
"Kami hanya mempunyai rumah ini untuk berteduh dan hari ini kami sudah dapat baik pulih rumah dengan segera," katanya kepada pemberita di rumahnya di Kampung Lingai semalam.
Jelasnya, kesusahan keluarga mereka mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (Batu Rakit) yang mengunjungi keluarganya baru-baru ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata bantuan tersebut diberikan kepada keluarga terbanit kerana bahagian lantai sudah runtuh dan bilik air rumahnya sangat usang.
"Mereka layak dapat bantuan PPTS bagi DUN Batu Rakit.
"Mazuan mempunyai dua orang anak dan anak sulungnya baru berusia 5 tahun, isterinya, Nor Azila Mohamad, 25, tidak bekerja kerana masih mempunyai anak kecil yang masih umur 1 tahun 7 bulan.
“Alhamdulillah, bilik air dan ruang tamu luar keluarga Mazuan sudah dirobohkan dan dibina semula di tapak yang sama," jelasnya.
Tambah Mohd Shafizi, inisiatif itu merupakan bantuan awal membaiki rumah penduduk yang mengalami kerosakan supaya mereka boleh terus tinggal di kediaman mereka.
“Ada puluhan buah rumah lagi yang perlu dibaiki segera. Ada yang rosak dinding, lantai dan atap serta beberapa bahagian lain,” ujarnya.
17 Feb 21
530
Walaupun PKP, Sambutan Tetap Meriah
Oleh: Qatadah Zakaria/Shahida Mohd
KUALA NERUS, 17 Februari - Meskipun Tahun Baru Cina dilihat suram ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berharap rakyat Malaysia tetap menyambut meriah setiap perayaan yang datang.
"Saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Tionghua dan semoga perayaan kali ini memberi kebaikan dan kejayaan walaupun terpaksa disambut dalam keadaan sederhana.
"Ekoran prosedur operasi standard (SOP) yang ketat diperkenalkan sepanjang PKP, tiada sebarang majlis jamuan diadakan sempena Tahun Baru Cina. Namun, mudah-mudahan perayaan tetap dapat disambut meriah,' katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sewaktu melawat ke sekitar 30 buah rumah warga Tionghua sempena sambutan perayaan itu di Taman Perumahan Wakaf Tembesu, baru-baru ini.
Turut hadir, Setiausaha Politiknya, Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin serta Timbalan Ketua Sekretariat Parlimen Kuala Nerus, Mohd Harme Aman Razali.
Dalam kunjungan tersebut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut mengagihkan cenderahati berupa hamper dan makanan kepada penduduk terlibat.
"Apa yang penting, dalam keadaan pandemik ini kita perlu sama-sama menjaga SOP dan sentiasa mengamalkan norma baharu bagi mengelakkan penularan Covid-19 ini," katanya.
Sementara itu, menurut seorang penduduk, Khairi Khom berkata, program seperti ini wajar diadakan bagi mendekatkan komuniti Cina dengan para pimpinan negeri.
"Program seperti ini sangat baik dan saya mewakili penduduk kaum Cina di sini mengucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan Dr Khairuddin terhadap rakyatnya tanpa mengira bangsa dan agama," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, seramai 514 keluarga kaum Cina turut diraikan sempena Tahun Baru Cina di seluruh Kuala Nerus melibatkan pemimpin kawasan DUN masing-masing.
17 Feb 21
110