lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Penduduk Tok Jembal Terjejas PKP Terima Bantuan Kewangan
Penduduk Tok Jembal Terjejas PKP Terima Bantuan Kewangan
KUALA NERUS, 28 Februari – Seramai 100 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) PKP 2.0 di semalam. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Mohd Fadhil Wahab berkata, agihan keseluruhan berjumlah RM10,000 itu disalurkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). "Kesemua 19 JPKK sudah mengenalpasti mereka yang layak menerima bantuan ini dan saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada JPKK Tok Jembal kerana menjadi yang pertama mengagihkan bantuan ini,” katanya ketika ditemuramah selepas penyampaian BERKAT PKP 2.0 di sini semalam. Menurut beliau lagi, sumbangan tersebut diberi tanpa mengira fahaman politik. Sementara itu, seorang penerima bantuan, Syarifah Mohd Nor, 47, yang mewakili suaminya terharu dengan sumbangan itu berikutan suaminya yang tidak dapat bekerja akibat pelaksanaan PKP 2.0. "Terima kasih JPKK Tok Jembal kerana memberi sumbangan ini dan terima kasih kerajaan,” katanya. Sementara itu, seorang lagi penerima bantuan, Muhammad Syahiran Adha, 25, berkata dia tidak menyangka terpilih menerima bantuan itu memandangkan umurnya masih muda. "Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terpilih. Ini juga membuktikan JPKK tidak melihat faktor umur. "Walaupun terkesan PKP baru-baru ini, saya fikir kerajaan mesti memilih orang yang lebih berusia daripada saya," katanya.
28 Feb 21
398
THD 2021 Melabuhkan Tirai
THD 2021 Melabuhkan Tirai
KUALA TERENGGANU, 28 Februari – Setelah sebulan Kempen Terengganu Hijab Day (THD) 2021 berlangsung, hari ini merupakan hari terakhir perjalanan kempen tersebut bagi tahun ini. THD merupakan acara tahunan yang dianjurkan bermula 2019 oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, mewakili Kerajaan Negeri Terengganu di samping melibatkan kolaborasi Badan Bukan Kerajaan (NGO) wanita dalam Negeri Terengganu. Menurut ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor, tahun ini adalah tahun ketiga penganjuran meskipun dalam norma baharu berbanding kempen-kempen tahun sebelumnya, ianya masih berlangsung dengan meriah. “Program Terengganu Hijab Day tahun 2021 bertemakan ‘Sempurnakan Auratmu’ berlangsung selama satu bulan bermula 1 Feb 2021 sempena sambutan World Hijab Day. “Program ini adalah anjuran ADUN Wanita Terengganu dengan kerjasama NISA’ Terengganu (Pertubuhan Kasih Nur Insani Terengganu), HANEES Terengganu (Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu) dan SETIA Terengganu (Persatuan Kebajikan Sedia Setia Terengganu)," katanya. Zuraida berkata demikian pada majlis penutup Terengganu Hijab Day 2021 yang diadakan secara atas talian, baru-baru ini. Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam dalam menjayakan sambutan bulan tersebut. “Kita mahu mendidik masyarakat, mengikis streotaip bahawa bertudung dengan mengikut syariat (labuh sehingga menutup dada) bukan semata-mata untuk mereka yang bergelar ustazah sahaja tetapi wajib bagi semua muslimat. “Kita juga mahu mempamerkan imej Islam di negeri Terengganu sekaligus menjadi benteng kepada penularan budaya kuning barat. Hal ini penting bagi mencapai misi Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera," ujarnya.
28 Feb 21
205
YADIM Santuni Masyarakat Asli Kuala Sayap
YADIM Santuni Masyarakat Asli Kuala Sayap
BESUT 28, Februari - seramai 10 keluarga orang asli di kampung Kuala sayap,menerima sumbangan kit ibadah Dan barangan keperluan asas, menerusi program musawadah COVID-19 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah ( YADIM) Terengganu. Pengarah YADIM Terengganu, Ustaz Nasrul Hadi Saiadin berkata, program yang diadakan itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan penghayatan menunaikan solat dikalangan warga orang asli. "Masyarakat orang asli perlu mendapat sokongan supaya mereka dapat menyesuaikan diri dengan cara hidup Islam yang syumul dan juga membantu mereka supaya lebih berminat untuk belajar tentang Islam disamping dapat meningkatkan lagi ibadah dengan sempurna disamping meringankan tekanan kehidupan," ujarnya. Beliau turut menasihatkan agar mereka menunaikan ibadah dengan lebih bersungguh kerana Allah tidak menilai seseorang hamba dari segi kekayaan dan kedudukan tetapi menilai sejauh mana ketakwaan hambanya. "Solat itu tiang agama serta kunci kejayaan dunia mahupun akhirat," ujarnya. Katanya, semua masyarakat diharap dapat bersama YADIM dalam berdakwah dan berlumba kearah kebaikan. "Kepada mereka yang ingin membantu golongan yang memerlukan boleh menghubungi YADIM untuk menghulurkan bantuan dan sebagainya," ujar beliau.  
28 Feb 21
58
Abang Mati Lemas Depan Mata Adik
Abang Mati Lemas Depan Mata Adik
KUALA NERUS, 27 Februari – Seorang adik tidak menyangka ajakan memukat ikan beberapa hari lepas menjadi petanda bahawa abangnya itu akan pergi buat selama-lamanya akibat lemas di Pantai Teluk Ketapang pagi tadi. Harun Mahmud, 62, berkata, sudah beberapa hari arwah abangnya, Mohd Mahmud mengajak memukat ikan di pantai tetapi tidak dihiraukan kerana masalah mabuk laut. “Akhirnya, saya menuruti juga ajakannya, tetapi saya biarkan dia memukat seorang diri sambil saya memancing bersama dua orang lagi adik saya di tepi pantai. “Tiba-tiba saya melihat bot kecil yang abang saya naik tengelam dan melihat keadaan dia terkapai-kapai sambil memegang pendayung. “Saya terus menggunakan bot yang ada berhampiran untuk pergi menyelamatkannya," ujarnya selepas kejadian lemas menimpa abangnya. Katanya, sebaik sahaja dibawa ke darat, adiknya melakukan tekanan dada tetapi Mohd, 72, tidak memberi sebarang tindak balas. Sementara itu, Pegawai Polis Balai Polis Gong Badak, Salleh Kabul berkata, pihaknya menerima laporan kejadian lemas itu pada 11 pagi. "Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk siasatan dan sedang menunggu laporan daripada doktor," katanya.
27 Feb 21
1243
Pasca Banjir - Tiada Lagi Igauan Mahassan
Pasca Banjir - Tiada Lagi Igauan Mahassan
KEMAMAN, 26 Februari - Kebimbangan keluarga Mahassan Yaakub, 36, yang tinggal berhampiran dengan anak sungai di Kampung Sungai Timah, Kijal kini lenyap setelah hakisan tebing anak sungai tersebut dibaikpulih oleh kerajaan. Hakisan tanah itu disebabkan oleh air deras yang mengalir masuk melalui anak sungai tersebut akibat hujan lebat yang turun sebelum ini dan hampir meruntuhkan rumah mereka. Mahassan yang telah menetap selama sepuluh tahun di sini meluahkan perasaan gembiranya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Sungai Timah, semalam. Mahassan Yaakub. "Alhamdulillah kerja membaikpulih anak sungai ini telah pun siap maka hilanglah kebimbangan kami. "Setiap tahun apabila tibanya musim tengkujuh tidak lena tidur kami dibuatnya. Pemantauan pergerakan tanah di belakang rumah perlu dilakukan setiap masa, bimbang rumah ini akan runtuh," katanya. "Kami amat gembira dan berterima kasih kepada Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan pasukannya yang bersusah payah membantu kami sekeluarga," ujarnya lagi. Ustaz Hazri turun padang bersama pegawai yang terlibat. Sebelum ini Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Zabidin Awang dan Penolong Jurutera Pejabat Daerah Kemaman,  Khairul Hisham Endut telah turun padang meninjau permasalahan tersebut setelah mendapat aduan daripada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Padang Kubu (JPKK). Penambakan anak sungai itu telah menelan belanja hampir RM55 ribu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Parit Saliran Kemaman menerusi Tabung Bencana Negeri Terengganu.
26 Feb 21
212
Mak Nik Terharu Terima Rumah Baharu
Mak Nik Terharu Terima Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 25 Februari – Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka, Nik Abdullah atau Mak Nik, 85, menyatakan kesyukuran apabila menerima sumbangan rumah baharu semalam. “Syukur alhamdulillah dan terima kasih banyak-banyak saya ucapkan atas keperihatinan wakil rakyat terhadap nasib kami,” luah Mak Nik ketika ditemui oleh pemberita baru-baru ini. Sumbangan rumah tersebut diberikan susulan tragedi kebakaran yang telah mengakibatkan rumah beliau hangus sepenuhnya pada 7 September lalu.  “Alhamdulillah, rumah ini telah siap sepenuhnya dan hari ini kami serahkan rumah ini kepada Mak Nik. “Insya Allah rumah ini akan memberikan kehidupan baru yang lebih baik kepada Mak Nik sekeluarga,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi yang merasmikan majlis penyerahan rumah tersebut. Rumah tersebut merupakan hasil bantuan dana daripada Tabung Darul Iman dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan diuruskan oleh Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk. Terdahulu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk bersama agensi-agensi kebajikan telah hadir menghulurkan sumbangan secara ‘one-off’ bagi meringankan beban kerugian yang ditanggung oleh Mak Nik.  
25 Feb 21
408
Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
Penderitaan Adik Adam Dapat Perhatian ADUN
HULU TERENGGANU, 25 Februari - Penderitaan adik Adam yang menghidap penyakit saraf, lumpuh serta otak di luar tempurung mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Manir Ustaz Hilmi Dato’ Harun. Adam atau Sayyid Uwais Al-Qarni Lekman yang kini berusia 42 hari disahkan mengalami penyakit saraf, 'myelomeningocele with encephalocoele' akan dirujuk di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu, pada bulan hadapan. Hilmi yang juga Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar berkata, pihaknya akan segera memohon bagi mendapatkan bantuan agensi kerajaan bagi rawatan susulan anak istimewa itu. “kerajaan negeri ada menyediakan peruntukan menerusi Tabung Darul Iman untuk membantu pesakit kronik dan mangsa bencana yang benar-benar memerlukan pembelaan. “Kes ini akan turut segera dipanjangkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk tindakan lanjut,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi adik Adam dan keluarga di kediaman datuk dan neneknya di Kampung Batu Hampar, Manir di sini, semalam. Terdahulu, Timbalan Penyelia Institut Modal Insan I-MiTS Manir, Norhayati Mohd dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Batu Hampar hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan bagi menampung kos pembedahan awal tulang belakang adik Adam. Dalam pada itu, Norhayati berkata,  Pusat Khidmat Masyarakat (PKM)  Manir menampung kos pembedahan awalnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) disamping ditanggung sebahagian besar oleh subsidi kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Sementara itu, ibu Sayyid Uwais Al-Qarni, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 29, berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada ADUN dan bersyukur kerana banyak pihak tampil membantu. "Saya bersyukur kerana penderitaan dialami bayi saya mendapat perhatian. Saya harap ia sedikit sebanyak dapat membantu meringankan bebanan yang ditanggung memandangkan suami saya hanya bekerja kampung dan pendapatan tidak menentu," katanya.
24 Feb 21
433
1,500 Penduduk Bukit Payong Terima Bantuan PKP
1,500 Penduduk Bukit Payong Terima Bantuan PKP
MARANG, 24 Februari – Seramai 1,500 penduduk di  Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima sumbangan RM100. Mereka yang terpilih menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu antaranya penjaja makanan, pekerja kedai gunting, pengusaha salon dan pekerja kedai basuh kereta. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah, berkata walaupun nilaian agihan itu tidak besar, tetapi ia cukup bermakna kepada mereka yang memerlukan, terutama yang terputus punca pendapatan. “Dengan nilaian itu, sekurang-kurang dapat meringankan beban untuk membeli barangan keperluan dapur. "Kita sedar sekarang ini terlalu ramai yang tidak dapat meneruskan pekerjaan mereka terutama bagi peniaga-peniaga yang tidak dapat memeruskan jualan mereka,” katanya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman baru-baru ini. Bantuan itu diagihkan secara berperingkat-peringkat mengikut mukim. Seorang peniaga Kedai Urutan Tradisional (SPA) dari Kampung Surau Haji Daud, Norhayati Mohammed, 39, berkata, bantuan itu sangat bermakna  kerana sepanjang PKP peniagaan mengalami kemerosotan teruk. "Saya sangat bersyukur dengan bantuan yang diberikan dan ucapan terima kasih kepada pihak YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan pihak kerajaan yang telah menyalurkan sumbangan ini kepada saya "Dengan pemberian ini dapatlah saya membeli barangan alatan yang diperlukan lagi dalam kerja SPA ini." katanya ketika ditemui dalam program penyerahan tersebut  
24 Feb 21
2321
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
Rungutan Peniaga Kini Berakhir
KEMAMAN, 24 Februari - Rungutan dan keluhan daripada peniaga di Medan Selera Kampung Pantai Penunjuk, Kijal kini berakhir setelah longkang air kumbahan di medan tersebut dibina. Infrastruktur yang baru dibina. Ianya hasil daripada permohonan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh melalui Ahli Majlis Zon Kijal berserta Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ibai dan Pantai Penunjuk yang telah dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK). Pengerusi JPKK Ibai dan Pantai Penunjuk, Zainal Muda ketika ditemui semalam di medan selera tersebut mengucapkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam pembinaan prasarana tersebut. Zainal Muda. "Alhamdulillah, infrastruktur ini telah hampir siap pembinaannya setelah sekian lama ianya menjadi rungutan oleh peniaga di sini. "Cuma tinggal sedikit sahaja lagi 'finishing' yang perlu diselesaikan oleh kontraktor yang dilantik oleh MPK ini," katanya. "Saya ucapkan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam usaha kerajaan untuk menyejahterakan semua lapisan masyarakat kampung terutama di Kampung Ibai dan Pantai Penunjuk ini," ujarnya lagi. Sebelum ini sisa air buangan itu disalurkan ke dalam lubang yang digali oleh peniaga di tepi medan selera tersebut di mana baunya agak kurang menyenangkan kepada pengunjung yang datang untuk makan di situ.  
24 Feb 21
769
Harmonikan Muafakat Nasional Demi Kebajikan Rakyat
Harmonikan Muafakat Nasional Demi Kebajikan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Semangat Muafakat Nasional diteruskan antara PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk dan UMNO DUN Batu Buruk dengan jalinan kerjasama dalam bentuk agihan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT), semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyifatkan gandingan tersebut adalah penting bagi memastikan kebajikan rakyat terbela secara keseluruhannya. “Tumpuan utama kerajaan negeri Terengganu adalah berkhidmat untuk rakyat, tanpa mengira fahaman parti politik masing-masing. “Perkara ini amat releven terutamanya ketika mendepani cabaran ekonomi yang genting dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," jelasnya. Tambahnya, seramai 100 orang yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP telah menerima sumbangan berupa wang tunai RM100 seorang manakala selebihnya telah disampaikan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat dalam Dun Batu Buruk. Beliau berkata ketika menghadiri majlis serahan Bantuan BERKAT di Dewan Terbuka Balai raya Kg. Padang Gong Pak Maseh, semalam. Turut hadir, Ketua Urusetia UMNO DUN Batu Buruk, Latif Ibrahim serta ahli-ahli Jawatankuasa UMNO DUN Batu Buruk. Sementara itu, Ketua Urusetia UMNO DUN tersebut, Latif Ibrahim, merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur khususnya ADUN Batu Buruk yang telah menjemput pihaknya dalam majlis agihan tersebut. “Saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Batu Buruk atas sumbangan ini dan saya harapkan kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya. Untuk pengetahuan, majlis dijalankan secara sederhana mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan menjaga penjarakan fizikal antara penerima dan mengimbas suhu sebelum membuat pendaftaran.  
23 Feb 21
370