lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Anak Muda Sahut Kempen 'Jom Solat Berjemaah'
Anak Muda Sahut Kempen 'Jom Solat Berjemaah'
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Seruan kerajaan kepada seluruh masyarakat di negeri ini untuk menghidupkan solat  berjemaah sempena Bulan Penghayatan Ibadat Solat (BPIS) perlu disahut semua rakyat terutama anak muda. Bagi seorang pemuda, Shahrul Hanif Osman, 27, berkata kempen jom solat berjemaah merupakan satu program yang sangat baik dalam meningkatkan kesedaran belia di Terengganu. "Sebagaimana yang kita tahu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikenakan, kita dah jarang  ke masjid. "Jadi bila ada program seperti ini sudah tentu ia menyemai semangat untuk anak muda kembali semula ke masjid apabila segala aktiviti keagaamaan telah mula dibenarkan bermula 8 Mac ini. "Saya lihat program ini sangat bagus dan akan memberi impak yang baik serta menunjukkan kerajaan negeri sangat mengambil berat tentang rakyat dari pelbagai sudut termasuk solat yang menjadi tiang serta asas utama," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Edaran Baju Kempen 'Jom Solat Berjemaah' sempena BPIS, di Pantai Batu Burok, semalam. Dalam pada itu, menurut Adun Belia (AB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Amirah Liyana Ahmad Nazli berkata program berkenaan mampu menerapkan nilai-nilai murni di kalangan belia pada masa kini. "Di mana kita tengok para belia dan beliawanis kita pada masa kini ramai yang terlibat dengan permasalahan gejala sosial maka penting untuk diserapkan kesedaran seperti ini. "Kerana kesedaran melalui solat secara berjemaah ini ditambah pula dengan mengikuti kuliah agama, pasti akan dapat mencegah para belia kita ini dari terjebak dengan gejala-gejala negatif," ujarnya ketika ditemui.   
03 Mar 21
1076
Suri Rumah Jahit PPE Petugas Barisan Hadapan
Suri Rumah Jahit PPE Petugas Barisan Hadapan
KUALA TERENGGANU, 3 Mac - Meskipun sibuk dengan urusan keluarga dan rumah tangga, suri rumah di negeri ini tidak ketinggalan menjahit pakaian pelindung diri (PPE) buat petugas barisan hadapan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Mohd Nor berkata, sebanyak 500 PPE yang siap dijahit itu telah diserahkan ke pusat pengumpulan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebelum dihantar ke tempat yang sesuai. "Terdahulu, Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES Terengganu) telah menghantar kain yang belum dijahit kepada 60 suri rumah yang dipilih dari empat buah daerah, iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Hulu Terengganu. "Kita mahu mereka juga berperanan dalam membantu menyediakan segala keperluan 'frontliners'. "Penyumbang utama ialah Badan Bukan Kerajaan (NGO) Iman Care yang mengumpul sumbangan daripada orang ramai dengan memberikan bahan mentah (kain) untuk kami jahit,"ujarnya yang juga penaung kepada pertubuhan berkenaan. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media ketika hadir pada Program Bantuan Kelengkapan Frontliner (Rakan 1.0), di Hospital Sultanah Nur Zahirah hari ini.  Turut hadir, Timbalan Pengarah (Perubatan) III, Dr. Dzawati Amilin Basemin, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Komuniti Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), Pegawai Unit NGO Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Abdul Halim Chik dan Pengurus Pusat pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC), Mohd Isyraf Abd Rahman. Program tersebut juga telah mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA). Mewakili Pihak HANESS, Zuraida berkata pihaknya sangat berterima kasih atas peluang yang diberikan kepada wanita untuk turut menjadi sebahagian daripada tenaga dalam menyediakan sumbangan tersebut. "Jika diperlukan lagi tambahan untuk mencukupkan pakaian perlindungan tersebut kita sentiasa bersedia namun sekarang ini kes pandemik dah semakin berkurangan mungkin penggunaanya akan turut berkurang. "Namun saya yakin penyediaan stok pakaian tersebut perlu sentiasa untuk dipastikan mencukupi," ujarnya. Pengarah UBSNT, Nasir Abdul Razak ketika dihubungi berkata, melalui program berkenaan, 1,700 PPE dan 1,000 pelindung muka telah diagihkan. "Masih sedikit berbaki bagi mencukupkan 2,000 PPE untuk dikumpulkan, selain itu Iman Care turut memberikan kain kepada Penjara Marang untuk dijahit banduan sebelum diberikan kepada petugas barisan hadapan. "UBSNT telah bertanggungjawab bagi menyelaraskan bantuan NGO. Semoga semua barisan hadapan akan terus diberi kekuatan dengan sedikit bantuan daripada kami ini," ujarnya.
03 Mar 21
355
PPTS Medium Bela Nasib Golongan B40
PPTS Medium Bela Nasib Golongan B40
MARANG, 3 Mac - Kerajaan negeri melalui Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) telah banyak membantu masyarakat khasnya golongan B40 di negeri ini dalam memenuhi hasrat mereka bagi memiliki kediaman sendiri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kali ini melalui peruntukkan sebanyak RM250,000 lima unit rumah baru telah dibina serta sebuah rumah telah dibaik pulih bagi memastikan kesejahteraan penerima terlibat. "Alhamdulillah peserta-peserta terpilih daripada golongan B40 yang memiliki kekurangan daripada sudut kewangan, namun dengan peruntukkan tersebut kita dapat membantu mereka untuk mendapatkan rumah sendiri. "Moga-moga Allah SWT merahmati mereka dan memberkati mereka," katanya ketika menyantuni para penerima manfaat PPTS di DUN berkenaan, baru-baru ini. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin bahawa terdapat ramai yang masih memerlukan rumah namun mengakui pihak kerajaan mempunyai peruntukkan yang sangat terhad bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini memiliki kediaman melalui sumbangan kerajaan. "Masih ada saluran lain yang boleh dimohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat melayu (MAIDAM), Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta projek pembangunan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.  
03 Mar 21
233
Usahawan Cili Ajak Anak Muda Jadi Petani
Usahawan Cili Ajak Anak Muda Jadi Petani
BESUT, 3 Mac -"Bidang pertanian ini merupakan satu profesion yang menyediakan peluang yang sangat besar kepada mereka yang menyertainya dan ianya wajib diceburi oleh belia yang inginkan kebebasan hidup," ujar usahawan cili fertigasi di Hulu Besut, Wan Abdullah Wan Abdul Kadir. Wan Abdullah,34, berkata, pada awal permulaan menceburi bidang tersebut tiga tahun lalu, dia hanya menanam sebanyak 1,000 polibag sahaja tetapi kini telah bertambah kepada 7,000 pokok. "Alhamdulillah selama dalam bidang ini, saya mendapat pendapatan yang lumayan tetapi perlulah bersungguh- sungguh bagi membuahkan hasil yang baik" "Saya ingin menyeru kepada belia yang tidak lagi mempunyai pekerjaan, beranikan diri terjun ke  bidang ini kerana dapat menjamin masa depan yang lebih baik, Insyaallah," ujarnya kepada pemberita. Katanya, sektor pertanian kini tidak sama seperti dahulu kerana sekarang ianya menjadi antara profesion pilihan. "Tambahan pula, tahun 2021 merupakan tahun pertanian bagi Negeri Terengganu, justeru rebutlah peluang ini kerana pelbagai bentuk bantuan dana yang disediakan oleh Kerajaan dan sangat rugi jika tidak memafaatkan peluang yang sudah disediakan," ujarnya.
03 Mar 21
123
Surau Haji Daud Dinaik Taraf Kepada Masjid
Surau Haji Daud Dinaik Taraf Kepada Masjid
BESUT, 3 Mac- Surau Haji Daud Kampung Alor Teratai, Kuala Besut yang sudah berusia telah dinaik taraf kepada Masjid Haji Daud yang lebih selesa dan besar. Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Alor Teratai yang dipengerusikan oleh Che Zahari Muda mengambil inisiatif sendiri bagi mengumpul dana untuk menyiapkan pembinaan masjid berkenaan. Che Zahari berkata, kos pembinaan masjid tersebut adalah hasil sumbangan orang ramai yang tidak putus-putus menderma bagi menyiapkan masjid ini. “Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penderma yang pemurah dan semoga Allah dapat membalasnya”, kata Che Zahari. Menurut beliau, kos menaik taraf Masjid Haji Daud menelan belanja sebanyak RM300 ribu. Proses pembinaan masjid ini hampir siap sepenuhnya dan akan dapat digunakan oleh penduduk kampung tidak lama lagi. Pegawai Penyelaras Dun Kuala Besut, Azbi Salleh turut melawat masjid tersebut baru-baru ini bagi melihat kerja-kerja pembinaan.
02 Mar 21
2008
Turun Padang Sampaikan Sumbangan
Turun Padang Sampaikan Sumbangan
BESUT, 3 Mac - Bagi menyampaikan sendiri bantuan kepada penduduk yang terkesan akibat pandemik COVID-19, Pegawai Penyelaras DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Besut, Azbi Salleh turun padang dengan bermotosikal menyampaikan bantuan tersebut. Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM100 seorang kepada penduduk yang terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Beliau bersama Pemuda PAS DUN Kuala Besut berkonvoi masuk ke kampung-kampung untuk menyampaikan sendiri bantuan kepada 40 penduduk terpilih bagi setiap Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Kuala Besut. Katanya, bantuan ini bagi meringakan beban mereka yang terjejas sepanjang tempoh PKP berlangsung. “Walaupun bantuan ini tidak seberapa, tetapi sekurang-kurangnya kerajaan negeri sentiasa prihatin kepada rakyat yang berada dalam kesusahan. “Sebelum ini kita menyampaikan bantuan dalam bentuk makanan keperluan, tetapi kali ini kita menyampaikan dalam bentuk wang ringgit pula”, ujarnya kepada pemberita.
02 Mar 21
114
JPKK Lebih Efektif Dan Efisien Bagi Pembangunan Kampung
JPKK Lebih Efektif Dan Efisien Bagi Pembangunan Kampung
HULU TERENGGANU, 2 Mac-Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Manir disarankan menjadi institusi yang lebih efektif dan efisien dalam pembangunan kampung. Timbalan Pengerusi Pertanian, Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Luar Bandar Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, peranan JPKK amat penting bagi membantu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan menjadi agen penghubung antara rakyat dan kerajaan sehingga ke akar umbi.  “Sebab itu antara fungsi utama JPKK adalah membuat perancangan dan pelaksanaan program di kampung disamping menggerakkan penglibatan komuniti setempat," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK bagi Dewan Undangan Negeri DUN Manir di Bilik Seminar Pusat Khidmat Masyarakat Kubang Lembek, hari ini. Turut hadir dalam majlis tersebut Penghulu Mukim Tanah Lot Manir, Khairul Syahril Othman dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera( I-MiTS )Manir, Zulkifli Abdullah. Hilmi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, turut menyarankan JPKK agar bertindak sebagai ejen transformasi luar bandar yang bertindak membantu kerajaan mengenal pasti keperluan masyarakat di kampung masing-masing. “Jawatankuasa JPKK juga boleh menjadi orang tengah dalam memberi penerangan yang jelas kepada rakyat tentang dasar dan polisi yang dilaksana kerajaan," tambahnya.
02 Mar 21
1023
Suntikan Vaksin Untuk ‘Frontliners’ Bermula
Suntikan Vaksin Untuk ‘Frontliners’ Bermula
KUALA TERENGGANU, 2 Mac – Program suntikan vaksin Covid-19 kepada melibatkan seramai 281 petugas barisan hadapan telah diadakan hari ini di Klinik Kesihatan Chendering. Pakar Perunding Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Chendering, Dr Norhana Yazid memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) telah memilih tarikh yang bersesuaian dengan hari bekerja dan bilangan anggota yang akan disuntik iaitu pada 2, 3, 7, 8, 9 dan 10 Mac. “Di Kuala Terengganu terdapat dua buah pusat yang menjalankan suntikan vaksin iaitu Klinik Kesihatan Chendering dan Klinik Kesihatan Manir. “Frontliner di Klinik Kesihatan Chendering hanya petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan petugas kesihatan manakala di selebihnya seperti anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Klinik Kesihatan Manir,” katanya. Menurutnya lagi, suntikan kedua akan diberikan selepas 21 hari daripada tarikh menerima suntikan. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi hadir ke Klinik Kesihatan Chendering bagi memantau proses suntikan vaksin yang dijalankan. “Saya dimaklumkan bahawa persiapan untuk memulakan suntikan vaksin ini telah dibuat selama dua minggu. “Alhamdulillah, saya lihat hari ini proses suntikan vaksin ini disusun dengan baik dan teratur termasuklah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan sangat memuaskan,” katanya.    
02 Mar 21
871
YADIM Laksana Tanggungjawab Dakwah
YADIM Laksana Tanggungjawab Dakwah
DUNGUN, 1 Mac - Tidak dapat dinafikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik COVID-19 memberi kesan bukan sahaja kepada  ekonomi tetapi juga sosial budaya masyarakat sehingga menyebabkan mereka tertekan.  Menyedari demikian, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melaksanakan tanggungjawab dakwah, turun padang menghulurkan sumbangan disamping menyampaikan nasihat ringkas kepentingan solat di dalam kehidupan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, berlakunya peningkatan pelbagai masalah sosial mutakhir ini disebabkan orang ramai menjauhkan diri dalam melaksanakan rukun Islam kedua itu.  "Dengan kehadiran kami ke rumah-rumah asnaf terpilih, mengingatkan solat wajib didirikan kerana ianya kunci kejayaan di dunia dan di akhirat, kehidupan kita akan sentiasa diberkati," katanya.  Alias berkata demikian ketika menyampaikan Musaadah YADIM kepada salah sebuah rumah warga emas di Kampung Che Lijah di sini.  Seramai 50 orang warga emas telah terpilih di dalam program kerjasama YADIM, badan bukan kerajaan (NGO), IHSAN Cakna dan Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang itu.  Alias (kiri) menyampaikan nasihat kepada seorang warga emas sambil diperhatikan Hadi(kanan)  Sementara itu, Pengarah YADIM Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin berkata, nilai diri manusia di sisi Allah adalah pada ketakwaan, bukan kemiskinan atau juga kekayaan seseorang.  "Golongan kurang berkemampuan perlu juga dibantu kerana bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu meringankan tekanan hidupnya supaya dapat beribadah dengan sempurna," katanya.  Menurutnya, golongan miskin pula seharusnya selalu hati-hati dan waspada terhadap kemiskinannya, keadaannya yang serba kekurangan dapat menggodanya untuk melakukan kemaksiatan untuk memenuhi keperluan hidupnya. "Saya menyeru masyarakat untuk turut  bersama - sama YADIM Terengganu berlumba-lumba mengejar kebaikan. "Boleh hubungi YADIM untuk sertai tabung infaq untuk membantu golongan memerlukan, "ujarnya. 
01 Mar 21
202
3,700 Kilogram Ikan QFish Diagih Kepada Penduduk Kota Putera
3,700 Kilogram Ikan QFish Diagih Kepada Penduduk Kota Putera
BESUT, 2 Mac - Kira-kira 3,700 kilogram ikan QFish diagih kepada golongan terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera.  Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, memahami situasi rakyat yang terkesan, pihaknya turun padang menghantar sumbangan ikan Qfish kepada 37 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) di DUN terbabit. "Setiap JPKK dibekalkan 100 bungkusan yang mana setiap bungkusan itu seberat satu kilogram diagih kepada penduduk yang kurang berkemampuan. "Ikan QFish yang dibekalkan ini merupakan produk dari Persatuan Nelayan Besut. Kita seharusnya berbangga kerana produk QFish ini dikeluarkan oleh Persatuan Nelayan Besut yang memiliki kilang antara yang tercanggih di Malaysia," ujarnya kepada pemberita semasa turun padang menyantuni penduduk kampung. Katanya, sumbangan berkenaan dibuat secara berperingkat mengikut giliran kawasan masing-masing. Alhamdullilah baki 20 JPKK yang belum sempat diagihkan hari khamis lalu selesai diagihkan kelmarin. "Selaku ADUN Kota Putera,berharap sumbangan yang dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kepada mereka yang terjejas dalam tempoh PKPB ini. "Jutaan terima kasih diucapkan kepada petugas yang sentiasa komited dalam membantu Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Putera bagi melancarkan setiap agihan yang kita lakukan. Mudah-mudahan Allah SWT memudahkan segala urusan terutama para asnaf dan memberkati usaha kecil ini," ujarnya.  
01 Mar 21
185