Artikel "Komuniti" Terkini
Aktiviti Gotong Royong Bersih Kubur Beri Keinsafan
MARANG, 6 Mac - Aktiviti membersih kubur bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim, bahkan mampu menerbitkan rasa keinsafan di kalangan umat Islam yang masih hidup.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, kebersihan itu separuh daripada iman. Apatah lagi kubur ialah tempat manusia akan kembali selepas dijemput Ilahi pada suatu hari nanti.
"Kebersihan ini adalah amalan yang harus dilakukan oleh setiap masyarakat bagi menjaga kebersihan diri dan tempat sekeliling. Malah, dengan adanya aktiviti seperti ini dapat menarik golongan muda untuk turut serta dalam gotong-royong ini.
"Di samping itu, aktiviti ini juga dapat mengeratkan ukhuwah bersama masyarakat, pada masa sama terbit keterujaan dan keinsafan sepanjang membersihkan kubur ini," katanya.
Tambah beliau lagi, tugas itu menerbitkan kesedaran tinggi bahawa setiap yang hidup pasti akan meninggal dunia.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas aktiviti Gotong-royong Membersih Kubur Tanah Perkuburan Besar, Kampung Atas Tol, Bukit Payong, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Atas Tol, Ishak Che Lebar, menggesa agar masyarakat meneruskan program sebegini pada masa akan datang.
"Hari ini kita berganding bahu bersama masyarakat bagi menganjurkan program ini di samping dapat mendidik jiwa untuk sentiasa berbakti dan menolong orang lain walau di mana berada.
"Teruslah melakukan amal kebaikan sekalipun bukan waris mahupun saudara sendiri tanpa mengira tempat terutama di tanah perkuburan," ujarnya.
07 Mar 21
3229
Golongan Berpendapatan Rendah, Miskin Tegar Terima Kad Sejahtera
KUALA NERUS, 6 Mac – Golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar antara 41 penduduk di Bukit Tok Beng yang menerima kad rawatan percuma di klinik swasta terpilih baru-baru ini.
Pegawai DUN Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, penerima bakal menerima bantuan perubatan bernilai RM500 setahun menerusi Kad Sejahtera membabitkan peruntukan RM10.9 juta setahun.
“Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) akan mengenalpasti mereka yang layak menerima skim ini khususnya yang mempunyai ahli keluarga kesihatan bermasalah," katanya kepada UPDI selepas menyampaikan Kad Sejahtera kepada penduduk yang layak.
Kata Fazil lagi, syarat untuk mendapatkan skim itu ialah wajib mengisi borang Profail Rakyat Terengganu (PRT) dan permohonan hendaklah melalui pejabat DUN masing-masing.
Dalam pada itu, Pengerusi JPKK Bukit Tok Beng, Rozi Sakiman berkata, seramai 41 penerima dari Bukit Tok Beng itu telah dipilih dengan prosedur yang teliti.
“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir kerana sudi hadir menyerahkan Kad Sejahtera bagi tahun 2021,” Ujarnya.
Seorang wakil penerima, Siti Zulaikha berkata, dia mewakili bapa saudaranya Che Ismail Chik yang tidak dapat hadir kerana masalah cacat penglihatan dan pendengaran mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.
“Sebelum ini bapa saudara sudah memohon Kad Sejahtera selain menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana memang berulang-alik ke klinik dan memakai alat pendengaran," katanya.
06 Mar 21
451
Lebih 1000 Penerima BERKAT 2.0 Di Rantau Abang
DUNGUN, 5 Mac - Seramai 1,051 orang menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 2.0) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang rata-ratanya adalah golongan wanita.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, kebanyakkan mereka terdiri daripada pekerja kedai makan yang tidak dapat bekerja memandangkan premis perniagaan tersebut hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan baru- baru ini.
"Manakala penerima lelaki terdiri daripada tukang gunting dan pemandu bas, walaupun hanya RM100, tidak banyak mana, itu adalah tanda kerajaan Terengganu amat mengambil berat kesusahan rakyat, " katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap dalam satu majlis ringkas di Balai Raya Kampung Rantau Abang di sini semalam.
Beliau turut mengingatkan agar penerima berbelanja dengan berhemah kerana situasi negara belum lagi stabil dengan pandemik COVID-19.
"Berfikir sebelum berbelanja, beli apa yang benar-benar perlu sahaja bukan bila tengok orang ada, kitapun hendak beli juga," ujarnya.
Sementara itu, seorang penerima Azimah Abd Ghani, 56, bersyukur dan gembira diatas keprihatinan kerajaan yang sentiasa ingin membantu rakyat.
"Kita tidak memandang nilai tu, kitapun tahu kerajaanpun susah jugak, yang penting kerajaan cakna kesusahan rakyat," katanya yang merupakan seorang guru Al-Quran.
06 Mar 21
406
Masalah Petani Bukit Panjang Diselesaikan
KEMAMAN, 6 Mac - Pembinaan 'culvert' di tanah pertanian Bukit Panjang, Kijal kini hampir menyelesaikan masalah banjir dikawasan tersebut.
Kawasan pertanian Bukit Panjang
Banjir pada tahun lepas telah menenggelamkan sebahagian besar tanaman yang diusahakan oleh 25 orang petani dikawasan ini.
Oleh itu, inisiatif telah diambil oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerusi ahli majlisnya dalam menangani perkara tersebut.
Ahli Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Zabidin Awang berusaha untuk menangani masalah tersebut dengan membesarkan laluan air dikawasan seluas 30 ekar.
Zabidin Awang
"Dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, Jabatan Parit Saliran Kemaman dan Pejabat Petronas Wilayah Timur kita telah membesar dan mendalamkan laluan air ini.
"Ianya bagi mengelakkan air yang bertakung akibat hujan dimusim monsun timur laut dan menengelamkan tanaman yang diusahakan oleh petani dikawasan ini," katanya.
Zabidin bersama pemberita yang meredah jalan berbatu dengan pacuan empat roda sejauh tiga kilometer dari jalan utama ke kawasan pertanian Bukit Panjang tempohari berharap agar masalah tersebut tidak berulang lagi.
Memantau kerja-kerja pembinaan.
"InsyAllah, mudah-mudahan apa yang dilakukan ini dapat melegakan para petani disini menjelang musim tengkujuh yang akan datang," ujarnya.
06 Mar 21
516
Menteri Hal Ehwal Agama Kunjungi KODIM
BESUT, 5 Mac- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkesempatan berkunjung ke Kompleks Pendidikan Dakwah dan Islamiah Malaysia (KODIM), Besut, baru-baru ini.
KODIM kini mempunyai seramai 130 orang pelajar lelaki.
Beliau terlebih dahulu menyempurnakan solat jumaat di Masjid Kampung Padang Luas sebelum memulakan sesi lawatan kerja ke KODIM.
Katanya, pihaknya akan cuba meneliti serta berusaha mencari bantuan mengikut kemampuan bagi perkembangan pendidikan KODIM.
Beliau juga melahirkan rasa seronok dapat melihat perkembangan terkini kompleks pendidikan yang berteraskan islam itu.
Beliau juga sempat berpesan kepada para pelajar agar belajar dengan bersungguh-sungguh.
“Anak-anak, belajar betul-betul jangan main-main jadilah manusia yang paling hebat," ujarnya.
05 Mar 21
588
Padang Ragut Rakyat Bukit Lebam Siap Tahun Ini
MARANG, 5 Mac - Padang ragut rakyat di Bukit Lebam di sini yang dalam proses pembersihan bakal disiapkan dalam tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, pihaknya bersama badan-badan terlibat kini sedang menyelesaikan beberapa perkara berbagkit terutamanya sistem perparitan.
"Kita akan selesaikan beberapa perkara daripada sudut perparitan, pembangunan yang dibuat pejabat daerah sebelum ini akan disambung.
"Begitu juga dengan jalan atau laluan di padang ragut terbabit, jadi saya mohon semua yang terlibat sebagai peserta untuk ambil tanggungjawab pula nampak bersih kawasan itu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program CSR Tani Gotong Royong Pondok Tani dan 'Ngetang Padi' di Kampung Tuman kelmarin.
Dalam perkembangan berbeza, beliau turut memohon agar orang ramai terutamanya penduduk di DUN Pengkalan Berangan untuk mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
"Muat turun aplikasi MySejahtera dan daftar segera untuk pemvaksinan, para petani juga adalah 'frontliners', maka ia penting bagi memastikan semua antara kita selamat.
"Bagi yang tiada telefon bimbit, mintalah bantuan anak-anak untuk mendaftar secara sukarela," tambah beliau
05 Mar 21
821
Naluri Orang Muda Tidak Ketinggalan
KEMAMAN, 5 Mac - Kehendak orang muda yang sukakan aktiviti bersukan tidak dilupakan oleh kerajaan negeri setelah gelanggang futsal di Kampung Batu 9 Ibok, Kijal kini telah siap dibaikpulih.
Seorang pemuda, Muhamad Shahrin Mohd Sani, 19, meluahkan rasa gembiranya dapat bermain di gelanggang baharu.
Gelanggang baharu.
"Saya seronok dapat meluangkan masa lapang bersama kawan-kawan dengan bermain futsal di gelanggang ini.
"Sebelum ini memang gelanggang ini agak uzur kerana banyak jaringnya yang rosak dan lantai getahnya banyak yang sudah pecah," katanya.
Shahrin yang ditemui di Kampung Batu 9 ketika tinjauan mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana sudi mendengar keluhan daripada mereka.
Gelanggang Futsal Kampung Batu 9, Ibok.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Batu 9, Rasli Hussin berterima kasih kepada kerajaan terutama Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Hamid yang sentiasa prihatin dan peka dengan masalah rakyatnya.
"Saya bersyukur kerana gelanggang ini dapat disiapkan dengan segera kerana sudah lama kami menerima rungutan dari pemuda di kampung tentang masalah ini.
"Saya juga berterima kasih kepada semua yang terlibat terutama Ahli Parlimen Kemaman, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan Majlis Perbandaran Kemaman," katanya.
Rasli Hussin (kiri) dan Salbani Ismail.
Rasli hadir bersama timbalannya, Salbani Ismail ketika tinjauan dibuat di gelanggang futsal Kampung Batu 9 semalam dan memberitahu kos baik pulih gelanggang tersebut menelan perbelanjaan sebanyak RM20 ribu.
04 Mar 21
490
Penduduk Kampung Padang Paloh Terima Manfaat BERKAT
Besut, 4 Mac - Penduduk yang kurang berkemampuan dari Kampung Padang Baloh disini telah menerima manfaat menerusi Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Anuar Yaacob berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana tidak putus menyalurkan sumbangan kepada penduduk yang terkesan ekoran pandemik COVID-19.
" Alhamdulillah, sebanyak 30 bungkusan bantuan 'BERKAT' telah diagih kepada penduduk yang terpilih serta 100 kampit beras yang disumbangkan oleh Penyelaras Parlimen Besut, Dr Riduan Mohd Nor telah diberikan kepada semua penduduk Kampung Padang Baloh yang memerlukan," ujarnya kepada pemberita.
Katanya, pelbagai bentuk bantuan daripada Kerajaan Negeri terus disalurkan kepada penduduk bagi membantu meringankan beban yang di alami mereka sejak penularan wabak COVID-19.
Terima kasih juga kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Hulu Besut kerana memudahkan urusan dalam mengagihkan sumbangan ini," ujarnya.
04 Mar 21
487
Aspek Kebersihan Harus Berada Di Tahap Terbaik
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 4 Mac - Aspek kebersihan di setiap tempat pelancongan harus dipertingkatkan pada tahap terbaik agar imej pelancongan negeri dipandang positif oleh para pengunjung.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, nilai kebersihan adalah salah satu tarikan dan menjadi satu usaha supaya negeri ini terus menjadi destinasi pilihan pelancong untuk datang ke Terengganu.
"Tarikan pelancongan bukan semata-mata kerana keindahan semula jadi seperti Pulau Kapas serta perkhidmatan memuaskan yang diberikan oleh pihak pemain sektor ini.
"Namun ia juga melibatkan aspek kelestarian dan kebersihan yang menjadikan negeri kita sebagai pilihan utama pelancong," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program 'Gotong Royong Bersih Pulau Kapas, semalam.
Turut hadir ialah Yang DiPertua Majlis Daerah Marang, Fadli Yusof Zakaria dan Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat Dan Bekas Wakil Rakyat Negeri Terengganu (Khairunnisa), To' Puan Hajah Zarani Othman.
Menurutnya, beliau seronok dapat terlibat sama dengan program tersebut, yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Marang dengan kerjasama beberapa jabatan dan agensi yang lain termasuk Pejabat Daerah Marang, Jabatan Pelancongan dan Permint.
"Saya (juga) menekankan Daerah Marang perlu merancang dan memperkasakan sektor pelancongan ke tahap yang boleh dibanggakan dengan memanfaatkan segala potensi dan sumber yang ada," ujar Dato' Yahaya.
Mengulas lanjut berkenaan usaha terkini di daerah Marang, beliau memaklumkan kerajaan pusat juga akan melaksanakan projek menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu.
'Pembinaan jambatan baharu di Sungai Marang yang telah dimasukkan dalam bajet 2021 Kerajaan Persekutuan," katanya.
04 Mar 21
258
Penyebaran Dakwah Perlu Pelbagai Saluran
DUNGUN, 4 Mac - Penyebaran dakwah perlu menggunakan pelbagai saluran dan bukan hanya tertumpu kepada masjid atau surau sahaja.
Penyelia Institusi Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-Mits) Parlimen Dungun, Jamaluddin Al-Hafiz Jusoh berkata, pendakwah perlu berkolaborasi bersama agensi luar agar dapat menyampaikan dakwah dengan lebih meluas.
“Kita sebagai pendakwah hendaklah keluar melibatkan diri dengan program bersama kerajaan atau persatuan-persatuan luar agar lebih berkembang maju,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Simposium Daie Amilin Paka di Dewan Besar Darul Bayan.
Katanya, pendakwah perlu menjadi Daie Haraki yang sentiasa nampak perkara yang positif.
“Jadilah seperti Daie Haraki yang mana pengajaran ilmu dakwah itu membawa kepada pemerkasaan jemaah dan memahami denyut nadi perjuangan.
“Dan bukan menjadi Daie yang akhirnya menentang perjuangan Islam,” ujarnya lagi.
Jamaluddin menjelaskan lagi, kerja dakwah ini adalah kerja yang mulia walaupun bergaji kecil ataupun tidak bergaji.
"Bagi orang yang hidupnya buat kerja dakwah ini, tidak taksub kepada nilaian yang orang beri kerana mereka yakin kerja dakwah lebih mencapai matlamat di akhirat kerana mereka meneruskan perjuangan Rasulullah SAW,” ujarnya.
04 Mar 21
403