lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
Rumah Usia Lebih 30 Tahun Hampir Runtuh
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Keadaan sebuah rumah yang berusia lebih 30 tahun di Kampung Raja Chendering telah uzur dan hampir runtuh akibat dimakan anai-anai. Pemiliknya, Che Ku Sanuwa Che Ku Man, 52, memaklumkan, keadaan lantai rumah tersebut yang rapuh telah mengancam keselamatan beliau sekeluarga. Beliau yang bekerja sebagai tukang rumah pernah menerima bantuan tahunan sebanyak RM600 daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu untuk menampung kos sara hidup. Ahli Dewan Undagan Negeri (ADUN) Batu Burok, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi telah turun merasmikan gimik penyerahan rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa hari ini. Menurut beliau, kos bagi membaikpulih rumah yang uzur tersebut sangat tinggi dan hampir sama nilainya dengan pembinaan rumah yang baharu. Oleh itu, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk telah membuat permohonan bagi membina rumah baharu untuk Che Ku Sanuwa.   “Rumah merupakan keperluan asas bagi seseorang manusia walau di mana sekalipun mereka berada. “Justeru, pihak kami terus berhubung dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan pihak Parlimen Kuala Terengganu untuk mempermudahkan kelulusan permohonan rumah baharu ini,” katanya. Kos pembinaan rumah tersebut telah ditanggung oleh Kementerian Pembangungan Luar Bandar dan agensi Giat Mara yang telah mengambil perjalanan dalam membina rumah tersebut. “Semoga pembinaan rumah baharu ini dapat menghilangkan kegusaran dan memberikan keselesaan kepada tuan rumah sekeluarga. “Saya ucapkan terima kasih semua pihak dan agensi yang terlibat dalam pembinaan rumah ini,” tambahnya lagi.
22 Mar 21
1835
Khairunnisa' Beri Suntikan Semangat Kepada Calon STPM
Khairunnisa' Beri Suntikan Semangat Kepada Calon STPM
DUNGUN, 22 Mac- Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') menemui calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) bagi memberi suntikan semangat kepada mereka. Wakil Khairunnisa', Rugayah Mahmood berkata, memandangkan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) disebabkan pandemik COVID-19, sebahagian besar pelajar yang tinggal di asrama tidak dapat bertemu ibu bapa masing-masing seperti kebiasaan tahun-tahun sebelum ini.  "Kalau sebelum ini, ibubapa dapat hadir bertemu anak-anak mereka sebelum peperiksaan bermula tetapi kali ini tidak, jadi dengan kehadiran kami sedikit sebanyak dapat memberi semangat dan dorongan untuk mereka terus mencipta kejayaan dalam peperiksaan tersebut," katanya.  Rugayah yang juga isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata demikian ketika ditemui sewaktu hadir ke salah sebuah sekolah untuk menyampaikan sumbangan kit makanan yang mengandungi roti dan air mineral.  Sebelum ini Khairunnisa' telah menyumbang kit yang serupa kepada calon SPM 2020 di enam buah sekolah menengah di DUN itu.   
22 Mar 21
226
558 Orang Terima Manfaat Kad Sejahtera Di Rantau Abang
558 Orang Terima Manfaat Kad Sejahtera Di Rantau Abang
DUNGUN, 22 Mac- Seramai 558 orang terpilih menerima manfaat Kad Sejahtera di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, inisiatif pemberian kad Sejahtera oleh kerajaan negeri itu bagi membolehkan rakyat yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta terpilih. "Bersyukurlah kerana terpilih, ini adalah rezeki dari Allah SWT, kita hanya menyampaikan," katanya.  Alias berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Kad Sejahtera kepada 21 penerima di Dewan PASTI Gong Pasir di sini, baru-baru ini.  Beliau berkata, kerajaan yang ada hari ini sedaya upaya berusaha meringankan bebanan yang ditanggung rakyat.  "Baru-baru ini Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) bantu rakyat yang tidak boleh bekerja disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan nanti bantuan baju sekolah, semua ini jika sudah rezeki kita, dapatlah," ujarnya.   
22 Mar 21
260
Dr Khairuddin Cakna Peniaga Pasar Batu Enam
Dr Khairuddin Cakna Peniaga Pasar Batu Enam
KUALA NERUS, 22 Mac - Golongan peniaga pasar merupakan antara yang terkesan pendapatan bulanan mahupun harian sepanjang pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lepas. Melalui beberapa aduan peniaga di Pasar Batu Enam mengenai keadaan tersebut, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus menyampaikan sumbangan khas bagi membantu golongan itu memulakan kembali perniagaan. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah menyempurnakan sumbangan tersebut ketika pertemuan santai bersama peniaga di Pasar Batu Enam, di sini pagi semalam. “Saya harap dengan bantuan dan peruntukan ini dapat membantu sedikit sebanyak para peniaga untuk memulakan kembali perniagaan yang terjejas,” kata beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.  Menurutnya lagi, peruntukan tersebut diusahakan pihaknya kepada 350 peniaga yang telah berdaftar di bawah Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Nerus. Pengerusinya, Mustafa Ismail memberitahu, pihaknya turut menerima bantuan sejumlah RM26,000 khusus untuk peniaga di Dataran Wakaf Tembesu yang juga diserahkan dalam program tersebut. Ketika ditemui pemberita, salah seorang penerima bantuan, Sheikh Jaafar, atau dikenali sebagai 'Pak Seh' berkata, perniagaan beliau sangat terjejas disebabkan kurang sambutan daripada pembeli sejak Covid-19 melanda tahun lalu. Walaubagaimanapun, beliau meluahkan rasa syukur dan gembira serta berbesar hati dengan peruntukan itu dan berharap inisiatif tersebut dapat diteruskan bagi membantu nasib peniaga terjejas.
21 Mar 21
237
Berkerusi Roda Tidak Menghalang Tamatkan Ijazah
Berkerusi Roda Tidak Menghalang Tamatkan Ijazah
MARANG, 21 Mac - "Saya bertekad untuk menamatkan pengajian ijazah saya dalam bidang Syariah Islamiyah di Kaherah, Mesir. Itu impian saya", Begitulah ungkapan yang tidak putus-putus keluar daripada bibir adik Nurul Aisyah Romzi, 22 dari Kampung Bukit Rhu Rendang. Nasib pelajar syariah tahun 3 itu kurang baik apabila beliau terjatuh dalam bilik air ketika berada di Mesir baru-baru ini.   Berikutan impian besar Nurul Aisyah untuk menamatkan pengajian dalam masa terdekat, ayahnya Romzi Ramlee, 52, bertekad menerbangkan anaknya ke Malaysia kerana ingin melakukan rawatan di sini. Beliau sekeluarga ditemui pemberita ketika program ziarah mingguan isteri ahli Parlimen Marang, To Puan Hajah Zainab Awang.  Ziarah ini diadakan setiap minggu bersama Halwa peringkat parlimen Marang dengan menumpukan keempat-empat DUN di kawasan ini yang melibatkan ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.
18 Mar 21
474
Terengganu Tambah Bekalan 100 Juta Liter Air Sebelum Raya Ini
Terengganu Tambah Bekalan 100 Juta Liter Air Sebelum Raya Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Mac - Jangkaan saluran bekalan air bersih pada minggu ini melalui sebuah lagi loji baharu benar-benar berlaku apabila air telah mula dilepaskan dari Loji Air Pulau Bahagia, Manir di sini hari ini. Pelepasan bekalan air tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh, pagi tadi. Dr Mamad Puteh. Menurut Dr Mamad, pihaknya bersama Syarikat Air Terengganu (SATU) menjangkakan akan membekalkan sebanyak 100 juta liter air sehari (MLD) untuk kegunaan 100,000 penduduk sebelum raya ini sebagai tambahan. “Hari ini kita melawat Loji Air Pulau Bahagia yang merupakan salah satu antara tiga loji baharu, dua lagi loji iaitu Loji Air Bukit Berapit, Kuala Nerus dan Loji Air Losong (tambahan) masih sedang dalam pembinaan. “Di Pulau Bahagia kapasitinya 20 MLD untuk bekalan air di Mukim Manir dan sekitar Telemong. Kemudian di Bukit Berapit yang mana dalam pelaksanaan oleh pihak KAJV, insya-Allah akan siap sebelum raya nanti. “Ini bermakna ada kira-kira satu bulan setengah hingga dua bulan tempoh untuk menyiapkan dua lagi loji baharu untuk mengatasi masalah air di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus. Untuk loji di Bukit Berapit kapasitinya agak besar iaitu 120 MLD. “Tetapi kita cuba siapkan secepat mungkin sebelum raya nanti sebanyak 60 MLD dahulu untuk kegunaan orang ramai. Satu lagi di Losong dengan kapasiti 40 MLD, tetapi untuk sebelum raya ini kita cuba siapkan sebanyak 20 MLD iaitu separuh. “Jadi keseluruhan sebelum raya ini, kita akan cuba siapkan 100 MLD sebagai tambahan untuk keperluan penduduk di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu,” katanya ketika ditemui pemberita dalam tinjauannya ke Loji Air Pulau Bahagia di sini hari ini.  Hadir sama dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong. Dalam perkembangan sama, jelasnya, Loji Air Pulau Bahagia yang dilancarkan hari ini akan dapat mengatasi sebahagian masalah air di Kuala Terengganu kerana kapasiti yang ada adalah sebanyak 20 MLD. “20 MLD ini, bekalannya sebelum ini menggunakan sistem air di Loji Air Kepong 1 dan 2. Jadi dengan siapnya loji air ini akan mengurangkan penggunaan air di Loji Kepong 1 dan 2,” ujarnya. Tambah beliau, banyak proses perlu dilakukan sebelum loji mula beroperasi termasuklah memastikan air yang dipam di muka sauk adalah air yang bersih, tidak ada raksa dan arsenik serta bebas dari kuman yang berbahaya dan berisiko kepada kesihatan pengguna. Ketiga-tiga loji berkenaan berupaya menambah bekalan sebanyak 184 MLD berbanding hanya 282 MLD yang mampu dibekalkan oleh loji air sedia ada iaitu Loji Air Losong, Loji Air Kepong 1 dan Kepong 2 ketika ini.
18 Mar 21
4736
'Jemari' Emas Mampu Tambah Pendapatan
'Jemari' Emas Mampu Tambah Pendapatan
MARANG, 18 Mac - Kelas jahitan 'Bengkel Jemari Emas' yang disertai golongan wanita, terutama suri rumah dan ibu tunggal  boleh diaplikasikan sebagai 'Benchmark' atau sempadan yang mampu menambah pendapatan keluarga. Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Ab Rahman berkata, dia  harap peserta ambil peluang ini, kerana daripada kemahiran itu, peserta pastinya  boleh menjana pendapatan yang tinggi lebih-lebih lagi jika berupaya mengeluarkan jenama dan produk sendiri. "Walaupun kita mungkin tidak sama seperti pereka fesyen di luar sana, guna sempadan ini untuk kita jana pendapatan sendiri di samping membantu kehidupan masing-masing. "Ambil lah ilmu ini untuk menghasilkan produk sendiri dan jika boleh dipasarkan, itu adalah usaha yang sangat baik. Khairunnisa' juga boleh menawarkan khidmat untuk memasarkan produk tersebut melalui jualan atas talian seperti 'Shopee', tambahnya. Beliau berkata ketika merasmikan program Bengkel Jemari Emas Parlimen Marang, di Balairaya Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Pengkalan Berangan, semalam. Bengkel yang diadakan itu adalah salah satu program di bawah kluster ekonomi dan keusahawanan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'). Turut hadir adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN), Sulaiman Sulong, dan isteri-isteri wakil rakyat dalam parlimen Marang. To' Puan Seri Tuan Faizah turut memberitahu golongan wanita sebenarnya sangat istimewa di mana dalam al-quran juga disebut dalam satu surah iaitu surah an-nisa, malah ibarat kata pepatah 'Tangan Yang Menghayun Buaian, Mampu Mengoncangkan Dunia' serta tema hari wanita tahun ini juga, adalah 'wanita bangkit menghadapi cabaran'. "'Oleh itu rebutlah peluang yang ada, tambahan pula sekarang ini pelbagai bantuan kerajaan ditawarkan semata-mata mahu membantu rakyat menambah sumber pendapatan,"katanya.              
18 Mar 21
239
Surau Ar-Rayyan Bukit Merah Siap Dibina
Surau Ar-Rayyan Bukit Merah Siap Dibina
DUNGUN, 18 Mac -Penduduk di sekitar kawasan Kampung Bukit Merah, Jalan Santong, Paka disini menarik nafas lega apabila sebuah surau baharu siap dibina. Surau Ar-Rayyan yang tersergam indah itu menelan kos hampir RM800,000 termasuk hasil sumbangan derma orang ramai. Pengerusi Surau Ar-Rayyan, Kholid Mahmud berkata,surau yang berkeluasan 250 kaki persegi itu berjaya disiapkan sebelum Ramadhan. "Alhamdulillah, jangkaan surau ini siap sebelum Ramadhan mencapai sasaran bahkan awal sebulan siap. "Perbelanjaan untuk membina surau ini kita perolehi daripada sumbangan orang ramai setelah kita membuka tabung derma. Semoga Allah menjadikan amal jariah setiap derma yang kita terima itu," katanya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media selepas Majlis Perasmian Surau Ar-Rayyan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat usai kuliah jemputan khas. Sementara itu, Satiful mengharapkan selari dengan kebenaran solat terawih, masyarakat dapat menghidupkan surau ini pada bulan Ramadhan yang akan tiba.  "Saya sempat menyampaikan kuliah disini semalam dan sempat merasai kedinginan kipas gergasi yang mana akan memberi keselesaan kepada para jemaah untuk beribadat terutama bulan Ramadhan nanti," ujarnya.
17 Mar 21
665
Dari Rusila Ke Litar Antarabangsa Sepang
Dari Rusila Ke Litar Antarabangsa Sepang
MARANG, 17 Mac - Seorang anak muda kelahiran Kampung Rusila telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Musc-Sic Sepang Drag Battle Drag Bike Test pada 12 Mac lalu  di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur. Bermula daripada suka-suka membaiki motosikal hanya di rumahnya di Kampung Rusila. Lama-kelamaan beliau membuka sebuah bengkel membaiki motosikal. Beliau yang dimaksudkan ialah Abdul Hadi Haris. Hadi, 23 tahun menetap di Kampung Rusila, Marang Terengganu.   Baru-baru ini Abdul Hadi telah memenangi tempat kedua dalam pertandingan Musc-Sic Sepang Drag Battle Drag Bike Test pada 12 Mac 2021 di Litar Antarabangsa Sepang. Sementara itu, Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Marang, Yusuf Abdul Hadi mengadakan lawatan ke bengkel beliau di Kampung Rusila. Sedikit sumbangan diberikan kepada anak muda ini bagi meraikan dan menghargai jasa mengharumkan nama kampung dalam Kawasan Marang.
17 Mar 21
14710
Kerisauan Penduduk Adalah Kerisauan Hazri
Kerisauan Penduduk Adalah Kerisauan Hazri
KEMAMAN, 17 Mac - Kerisauan komuniti setempat terutama tuan rumah akibat tanah yang runtuh turut merisaukan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh selaku wakil kerajaan di Kijal. Tanah runtuh akibat hakisan air. Usaha menyelesaikan masalah tersebut akan dilakukan dengan membuat penilaian terlebih dahulu sebelum menjalankan kerja membaikpulih dalam masa yang terdekat dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS). "Insya-Allah kita akan usahakan supaya perparitan ini dibaiki secepat mungkin dengan membina dinding penahan 'gabion' yang baharu mengikut pandangan teknikal daripada pihak JPS. "Ia melibatkan sebuah rumah penduduk di sini di mana tanah yang runtuh semakin menghampiri belakang rumahnya," katanya. Hazri bersama pegawai dari JPS Kemaman semalam meninjau tahap kerosakan struktur tembok penahan tanah 'gabion' yang runtuh akibat daripada hakisan banjir tempoh hari di Kampung Darat, Kijal. Hazri (kiri) bersama pegawai JPS meninjau tahap kerosakan 'gabion'. Terdahulu, aduan kejadian ini telah dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Darat Kijal, Zabidin Awang kepada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kijal untuk diambil tindakan sewajarnya.
16 Mar 21
558