Artikel "Komuniti" Terkini
PKM Rhu Rendang Buka Kaunter Bergerak, Tingkatkan Kesedaran Pendaftaran Vaksin
MARANG, 27 Mac - Bagi meningkatkan kesedaran kepentingan vaksin, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah membuka kaunter bergerak di beberapa tempat.
Perkhidmatan ini mula dibuka di perkarangan Pasar Marang, semalam bermula jam 9.00 pagi sehingga 11.00 pagi dengan dibantu petugas daripada Institu Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Rhu Rendang.
Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, usaha ini adalah bagi meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat bagi membendung penularan wabak covid-19.
“Seperti masa seruan kerajaan, vaksin ini merupakan satu ikhtiar yang boleh diambil dan telah mendapat kelulusan dari pihak kesihatan dan dari segi syarak, "
“Untuk pengetahuan, peratus pendafataran vaksin di Marang masih lagi rendah di kalangan masyarakat, jadi kita harap dengan usaha ini dapat membuka mata masyarakat,',"kàtanya.
Menurutnya, kaunter yang dibuka ini mampu memudahkan urusan pendaftaran lebih-lebih lagi melibatkan orang ramai yang kurang arif untuk mengisi atau mendaftar.
“Mungkin ada yang tidak tahu, tidak pandai atau tidak mempunyai kemudahan asas capaian internet, sekaligus membantu golongan seperti ini,"katanya.
Katanya kauter ini akan dibuka di empat kawasan berlainan pada 26 Mac iaitu hari ini, dan tiga kawasan lagi sebelum menjelang ramadhan.
“Antaranya pada 4 Mac di Pasar Malam Sungai Kerak, 8 April di Pasar Gong Merawang dan terakhir pada 10 April 2021 di Pantai Pulau Kekabu.
"PKM juga mendapat kerjasama baik daripasa pihak Majlis Daerah Marang. Seramai hampir 100 orang telah mendaftar di kaunter bergerak tersebut," tambahnya lagi.
27 Mar 21
507
Peka Persekitaran, Elak Tragedi Samun Berulang
HULU TERENGGANU, 27 Mac - Orang ramai diseru agar cakna dan waspada terhadap segala aktiviti di kawasan persekitaran termasuk kediaman bagi mengelakkan jenayah terus berleluasa.
Pegawai Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid berkata, kes taska diceroboh pada 23 Mac lalu patut dijadikan sebagai iktibar oleh semua pihak.
Muhyidin juga menegaskan, aspek keselamatan juga mesti diambil perhatian oleh semua pengusaha premis penjagaan dan asuhan kanak-kanak agar kejadian seumpama itu tidak berulang lagi.
"Dalam kejadian itu Khatijah Ali dan anaknya diuji dengan kejadian yang tidak diingini apabila taska yang diusahakan mereka dicerobohi oleh seorang penjenayah sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM8,000.
"Saya turut merasa kebimbangan terhadap perkara ini apabila kejadian sebegini turut melibatkan nyawa anak kecil, khususnya di premis asuhan kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ketika bersama Pusat Khidmat Masyarakat Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu mengziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit baru-baru ini.
Sementara itu, menurut Khatijah Ali, dia bersyukur apabila terselamat daripada kejadian itu walaupun berdepan dan bergelut dengan penyamun bersendirian.
“Saya melihat senjata berada di tangan suspek dan suspek turut melepaskan tembakan ketika bergelut.
"Akhirnya, saya akur dengan tindakan suspek tersebut agar menyerahkan wang dan barang kemas walaupun saya merasakan mampu menumpaskan suspek tersebut,” ujarnya.
Ujarnya lagi, suspek sempat memberi isyarat tangan kepada cucunya dengan agar cucunya tidak bersuara jika tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku
“Saya bersangka baik dengan Allah S.W.T, mungkin dengan ujian tersebut dapat menambahkan lagi keimanan dan kekuatan buat saya,” katanya.
26 Mar 21
311
YPU Prihatin, Peniaga Tekad Majukan Perniagaan
DUNGUN, 25 Mac- Melihat kepada kecaknaan dan keprihatinan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) membantu usahahawan dalam segala aspek termasuk bersedia membekalkan barnagan yang diperlukan ternyata menyuntik semangat peniaga untuk terus memajukan perniagaan mereka.
Seorang pengusaha kedai makan, Mohd Zaki Abu Bakar, 39, berkata, dia membuat permohonan untuk mendapatkan dapur dan payung meja makan pada akhir tahun lepas.
" Kalau dikira sebelum ini, memang tidak cukup dapur, sebab isteri saya masak semua menu yang kami jual di kedai kami, jadi dengan adanya tambahan dapur ini cepatlah sikit dapat disediakan dan dapatlah kami menambah menu," katanya yang mula berniaga bersama isterinya sejak 2008.
Mohd Zaki yang ditemui pemberita selepas majlis penyerahan barangan tersebut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun di Balai Raya Alor Tempoyak di sini, baru-baru ini.
Pada majlis itu, seramai lima orang pengusaha kecil turut menerima sumbangan barangan daripada YPU di bawah Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri Terengganu yang telah banyak membantu peniaga - peniaga di Terengganu untuk berjaya.
Sementara itu, seorang pengusaha kek atas talian, Junainah Adam, 38 bersyukur kerana selepas ini dapat menyediakan stok kek untuk ditempah tanpa mengira masa.
"Sebelum ini, saya hanya ambil 'order' dua, tiga hari, sebelum tutup 'order' dan sehari suntuk saya akan buat kek dan buat 'cod', ini amat memenatkan,
"Jadi dengan adanya peti sejuk ini, bolehlah saya buat simpan kek dan boleh terima order pada bila-bila masa," ujarnya yang memohon peti sejuk bertingkat.
Sementara itu Alias mengingatkan agar penerima-penerima tidak mengsia-siakan pemberian kerajaan negeri untuk melihat rakyatnya maju di dalam perniagaan.
" Saya sangat harapkan agar barang - barang yang kita dapat ini tidak kita jual untuk nak duit tunai, gunakannya sebaiknya," ujarnya.
25 Mar 21
314
81 Penerima Fasa Pertama Geran RTB Pinang Merah
DUNGUN, 26 Mac – Seramai 81 orang peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang terkilan menerima geran RTB Pinang Merah.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, mereka terdiri daripada 41 peserta dari RTB terkilan Cherong Melintang dan 40 orang peserta dari RTB terkilan Beril.
“Ini merupakan program pertama yang melibatkan pemberian geran bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka dan baki-baki yang tinggal tu kita akan selesaikan sedikit demi sedikit dengan segera,” katanya.
Jelasnya, perkara ini melalui proses secara berperingkat dan ramai peserta kerana ia melibatkan empat DUN iaitu di DUN Paka, DUN Sura, DUN Rantau Abang dan DUN Bukit Besi.
“Proses untuk bagi mengeluarkan sekeping geran terpaksa melalui banyak proses sebelum diserahkan kepada peserta.
“Tetapi beruntunglah bagi mereka yang tergolong peserta terkilan ini kerana termasuk di dalam keputusan khas kerajaan negeri yang dikatogerikan peserta terkilan 1999 – 2004, maka proses tidak begitu panjang,” jelasnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Geran RTB Tanah Terkilan DUN Paka.
Katanya, walaupun kerajaan tidak boleh membantu secara terus kerugian mereka yang dihadapi pada 20 tahun yang lalu, tetapi mereka sudah menerima kembali hak tanah pada masa sekarang dengan bayaran premium mengikut harga semasa pada 20 tahun yang lalu.
“Banyak duit mereka dihabiskan pada 20 tahun lalu tetapi hasilnya tidak ada.
“Jadi kita berbincang dengan kerajaan untuk mengekalkan bayaran premium tanah mengikut harga semasa dahulu iaitu dalah sekitar RM1100 lebih sahaja,” tegasnya.
Sehubungan dengan itu, beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, mengingatkan agar mereka yang telah menerima geran ini, dapat bekerjasama bersama untuk membersih kawasan, ukur batu lot dan sebagainya.
“Kita taknak orang yang terima geran tetapi kawasan lotnya tidak terurus dan akhirnya naik semak kembali,”
“Sebab itu diingatkan agar mereka perlu menubuhkan jawatankuasa dan berpakat sesama mereka agar dapat sama rata,” ujanya.
25 Mar 21
348
“The Benang Menari” Perkasa Ibu APS Cari Sumber Pendapatan
Oleh : Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 25 Mac – Projek “The Benang Menari” adalah koloborasi di antara Fakulti Sains Sosial Gunaan UniSZA dan Kolej Komuniti Terengganu yang melibatkan lima ibu-ibu Anak Permata Syurga (APS) bagi memperkasakan mereka mencari sumber pendapatan sendiri.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, selama lapan minggu mereka belajar berkaitan jahitan baju kurung, telekung dan langsir.
“Saya percaya bahawa keluarga yang mempunyai anak Cerebral Palsy juga perlu dibantu dari sudut pemerkasaan ekonomi, agar kita tidak terlalu bergantung kepada bantuan kewangan daripada Kerajaan.
“Saya amat tertarik dan akan berusaha untuk memastikan projek –projek pemerkasaan ekonomi keluarga APS seperti jahitan, tanaman sayur, dan kerepek akan terus berkembang ke peringkat yang lebih berjaya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika merasmikan Majlis Perasmian Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu Dan Penyampaian Sijil Jahitan di Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu, Kampung Gelugor Kedai, pada hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To’ Puan Zarani Othman yang juga Pengerusi Mawaddah Terengganu, To' Puan Nurul Izzati Mat Jusoh, Dekan Fakulti Sosial Sains Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Norizan Abdul Ghani, Pengarah Kolej Komuniti Terengganu, Ali Mamat, Ketua Inspektor Penjara Marang, Wan Shamsul dan Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kubang Durian, Razali Mohd.
Menurutnya, usaha murni ini akan lebih signifikan apabila mendapat kerjasama padu daripada agensi – agensi kerajaan, pimpinan kerajaan Negeri dan pihak swasta.
Sementara itu, beliau merasa gembira apabila dimaklumkan tentang kewujudan Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu (APS) yang menaungi anak – anak Cerebral Palsy di negeri Terengganu.
“Penubuhan NGO ini adalah satu langkah yang sangat mulia, dan patut disokong oleh semua pihak.
“Saya difahamkan, APS telah mengorak selangkah lagi dengan penubuhan Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu yang menjadi pusat sehenti kepada pelbagai aktiviti terapi, pemulihan cara kerja, ekonomi dan sokongan psikologi kepada keluarga – keluarga yang mempunyai anak OKU Cerebral Palsy,” jelas Dato Yahaya.
Justeru itu, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi APS, Puan Azita dan semua AJK yang berkorban masa, tenaga dan wang ringgit menyantuni anak –anak Cerebral Palsy dan keluarga mereka.
“Saya juga mengucapkan syabas kepada pengurusan Kolej Komuniti Kuala Terengganu kerana turut sama memenuhi tanggungjawab sosial korporat.
“Semoga semua usaha ini dibalas dengan ganjaran Syurga oleh Allah SWT,” tambah Yahaya lagi.
25 Mar 21
548
Keluhan Dari Hospital, Cetuskan Rumah Terapi
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Siapa sangka hanya bermula dengan cetusan kumpulan whatsapp daripada perkenalan dan pertemuan yang tidak dirancang di hospital dan klinik pakar, ibu-ibu yang mempunyai anak penghidap Cerebral Palsy (CP) kini bakal menikmati kemudahan rumah terapi untuk anak-anak syurga berkenaan.
Mereka kini bukan hanya dapat berkongsi rasa yang sama, bahkan dapat berkongsi kemahiran serta meluangkan masa melatih anak-anak istimewa mereka. Bertempat di Kampung Kubang Durian, Gelugor Kedai, istimewanya rumah terapi ini adalah ia merupakan hasil gabungan dan kerjasama banyak pihak.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali menyifatkan, program hari ini sangat bermakna buatnya lebih-lebih lagi semua perhatian tertumpu kepada anak-anak syurga tersebut, mengingatkan manusia agar menerima takdir Allah dan meraikan mereka agar menjadi saham buat semua khususnya ibu bapa.
“Apa yang istimewa dalam program ini bagi saya adalah melihat gabungan pelbagai pihak termasuk ahli akademik, komuniti, NGO (badan bukan kerajaan), agensi kerajaan dan banyak lagi pihak yang terlibat dalam usaha yang sangat mulia ini.
“Kesemuanya memberikan perhatian khusus kepada anak istimewa ini. Ibu bapa anak-anak ini justeru adalah ibu bapa yang hebat, mencari solusi dalam kesulitan dan ujian yang mereka alami,” katanya ketika berucap merasmikan Rumah Terapi Seni Anak Permata Syurga Terengganu anjuran Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To’ Puan Zarani Othman yang juga Pengerusi Mawaddah Terengganu, To' Puan Nurul Izzati Mat Jusoh, Dekan Fakulti Sosial Sains Gunaan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Norizan Abdul Ghani, Pengarah Kolej Komuniti Terengganu, Ali Mamat, Ketua Inspektor Penjara Marang, Wan Shamsul dan Pengerusi Jabatan Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Kubang Durian, Razali Mohd.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, CP adalah suatu penyakit yang sukar ditangani dan lebih kritikal berbanding penyakit kurang upaya kanak-kanak yang lain, justeru beliau kagum dengan kesungguhan pihak persatuan menjadikan hasrat rumah terapi mereka benar-benar direalisasikan.
“Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan usaha yang sangat baik ini. Kerajaan negeri juga sehingga kini menyediakan bantuan bagi golongan kurang upaya ini demi membina rakyat Terengganu yang sejahtera.
“Apa yang penting ialah kita tidak mahu ada masyarakat kita yang terpinggir dan pemulihan kepada mereka yang bermasalah sentiasa berjalan,” ujarnya.
Yahaya turut menyumbangkan RM3,000 bagi membangunkan rumah terapi tersebut serta menyampaikan sijil tamat belajar menjahit kepada ibu-ibu anak permata syurga.
Tambah beliau, harapannya adalah usaha ini dapat dikembangkan lagi dari semasa ke semasa.
25 Mar 21
643
Tiga Beradik OKU, Main Game Jana Duit
MARANG, 25 Mac - Tiga adik beradik Orang Kelainan Upaya (OKU) yang menghidap sakit lumpuh, mampu menjana pendapatan sendiri dengan menceburi bidang e-Sport Gaming walaupun keadan fizikal mereka tidak seperti orang lain yang normal.
Dikhabarkan, ketua keluarga ini Omar Salleh, yang tinggal di kampung Paya, kehilangan isterinya kira-kira enam tahun lepas.
Dia mempunyai tujuh orang anak di mana empat daripada mereka menghidapi penyakit saraf dan lumpuh anggota badan.
Mohd. Adnan Omar, 35 berkata, dia bersama dengan abang, Osmanna Aziz, 53, serta kakak perempuannya, Nor Aini, 51 mampu meraih pendapatan sampingan sebanyak RM1,000 dalam permainan secara atas talian.
"Kebiasaannya kami bermain permainan yang hanya menggunakan tetikus, kerana tidak mampu menggunakan papan kekunci disebabkan keadaan fizikal yang tidak mengizinkan.
"Di kalangan peminat permainan secara atas talian 'Crusader', terdapat beberapa perkara yang melibatkan aliran wang dan jual beli untuk mendapatkan sesuatu dalam permainan tersebut, jadi di situ lah kami meraih sumber pendapatan.
Menurutnya, peralatan komputer dibelinya secara sedikit demi sedikit untuk mencapai spesifikasi yang diperlukan bagi menceburi bidang tersebut.
Katanya ketika menerima satu kunjungan daripada pihak agensi dalam program Mobile Team bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dan menyalurkan bantuan di Dun Rhu Rendang.
Antara agensi yang turut hadir adalah Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Jabatan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Tabung Darul Iman (TDI) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya memuji inisiatif yang dilakukan bagi mencari sumber pendapatan buat keluarga ini.
"Walaupun mereka tidak dapat bergerak secara sempurna seperti orang lain, mereka tetap berusaha mencari jalan untuk melakukan sesuatu apatah lagi dalam hal seperti ini.
"Untuk pengetahuan, salah seorang daripada mereka yang lumpuh mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah. Salah seorang daripada mereka mula menderita penyakit ini hampir 15 tahun yang lalu."
"Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Omar, iaitu Osmana Osman, Nor Aini, Osmanna Aziz dan Mohd. Adnan masing-masing lumpuh ketika berusia 28, 24, 21 dan 43 tahun.
"Yang paling menyedihkan sekarang ini, Pak Omar sekarang ini juga memerlukan pampers kerana turut diserang penyakit lumpuh, tambahnya lagi.
Sebelum ini, keluarga ini telah menerima bantuan daripada agensi tertentu seperti bantuan baik pulih rumah, bantuan am bulanan, pamper dan susu di samping pernah dikunjungi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff.
25 Mar 21
1079
Pelajar Ceria Terima Bantuan Persekolahan TNB
KUALA NERUS, 24 Mac - Keceriaan jelas tergambar di wajah 200 orang pelajar dari empat buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Nerus apabila menerima sumbangan set kelengkapan ke sekolah daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Pelajar berkenaan yang terdiri daripada kumpulan B40 menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 daripada TNB dan juga sagu hati.
Mereka yang terpilih diraikan dalam satu Majlis Ceria Ke Sekolah TNB di Duyong Marina Resort, bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Salah seorang penerima, Mohd Anuar Rusni, pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri meluahkan rasa gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima.
"Saya terharu dengan sumbangan yang diberi oleh TNB dan insya-Allah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan saya. Terima kasih TNB dan YB (Yang Berhormat) Dr Khairuddin," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, Dr. Khairuddin berharap bantuan itu dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan terharu atas kerjasama yang diberikan oleh TNB dalam menyalurkan sumbangan kepada sebahagian pelajar di Kuala Nerus yang dikategorikan sebagai kurang kemampuan.
"Program sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa keluarga bahkan membina semangat yang akan melahirkan insan cemerlang di masa hadapan," katanya dalam majlis tersebut.
TNB perlu dicontohi oleh syarikat lain untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu rakyat dalam bentuk apa sahaja keperluan.
23 Mar 21
353
PASTI Menjadi Lubuk Pahala Usahawan Marang
MARANG, 18 Mac - Pusat cucian layan diri (Dobi Nofa Laundry) bersebelahan Pizza Kapas dan Turtle Art Studio di Kampung Rhu Muda bermurah hati memberi sumbangan tetap kepada PASTI Al-Munir.
Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Munir, Bukit Gasing menjadi lubuk bercucuk tanam di dunia untuk di jual di akhirat kelak bagi pusat cucian layan diri yang dikenali sebagai Dobi Nofa Laundry.
"Saya akan pastikan sumbangan tetap ini akan disalurkan kepada pengurusan PASTI Al-Munir untuk meringankan beban pengurusan dan sesi pembelajaran mereka", kata pemilik kedai pusat cucian layan diri tersebut, Abd. Rahman, 31.
Pusat cucian itu telah mula operasi selama dua bulan yang lepas dan dibuka 24 jam yang menawarkan perkhidmatan mesin basuh (washer) dua biji 28kg satu biji 16kg dan satu biji 14kg serta mesin pemanas (dryer) 4 biji semuanya 28kg.
Sekalipun dibadai pandemik Covid-19, kerja yang tidak menentu dek kerana mempunyai simpanan sebelum-sebelum ini. Anak muda ini nekad untuk memulakan perniagaan ini.
Ulasnya lagi yang berasal dari Bukit Gasing, menetap di gong chempedak, Marang itu, pelbagai kerja telah dijalankan demi mencari sesuap nasi dan menyara kehidupan yang sebelum ini bekerja sebagai staf TNB berstatus kontrak.
"Gigih memajukan perniagaan ini bukanlah untuk diri sendiri semata-mata tetapi untuk mengubah hidup orang lain di sekeliling juga," ucapnya.
23 Mar 21
2004
'The Fits Virtual Run' Tawar Hadiah Menarik Untuk Peserta
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Kerajaan Terengganu menyeru belia dan beliawanis di negeri ini menyertai 'The Fits Virtual Run' yang akan bermula pada 1 April sehingga 31 Mei di mana pendaftarannya kini telah mula dibuka.
Program yang julung-julung kali dianjurkan Urus Setia Belia, Sukan dan NGO negeri dengan kerjasama Terengganu Runner Club (TRC) itu mempertandingkan dua kategori iaitu larian sejauh 21 kilometer (KM) yang menawarkan hadiah utama wang tunai sebanyak RM500 dan larian 12 KM dengan hadiah wang tunai sehingga RM300.
Selain itu, 500 peserta yang menamatkan larian akan mendapat sijil penyertaan dan juga medal.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia ,Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pendaftaran bagi program itu telah dibuka, justeru rakyat negeri ini diharap tidak melepaskan peluang menyertainya.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak UBSNT kerana yang telah melaksanakan program ini,n ia sangat bersesuaian dengan keadaan semasa, .
"Dalam keadaan kita masih berada di dalam fasa-fasa pemulihan untuk memastikan negara dan negeri kita ini bebas daripada pandemik tersebut, fokus terhadap kesihatan tubuh badan masih perlu diteruskan agar sentiasa berada dalam keadaan sihat dan cergas," ujarnya ketika melancarkan program itu melalui siaran langsung di Facebook rasmi UBSNT, semalam.
Untuk keterangan lanjut, rakyat Terengganu boleh mendapatkan maklumat menerusi Facebook rasmi UBSNT.
23 Mar 21
1258