lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
80 JPKK Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 15 Jun - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) daerah Setiu menerima watikah pelantikan dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu (MDS), Sungai Tarom. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato’ Dr Azman Ibrahim berkata JPKK seharusnya memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di bawah lebih-lebih lagi mereka yang memerlukan dan juga sebagai pemudah cara. "Di negeri Terengganu sebanyak 1,050 JPKK, dan kita semua adalah sebahagian daripada itu, cari titik persamaan dalam semua perkara dan menyelesaikan dengan kebijaksanan. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Daerah Setiu. JPKK daerah Setiu melibatkan Dewan Undangan Negeri kawasan Langkap dan Permaisuri masing-masing terdiri sebanyak 34 dan 46. Terdahulu disampaikan taklimat daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Terengganu. "Saya ingin berkongsi beberapa tips dan panduan bekerja dalam JPKK, kita hendaklah biasakan menyenarai kerja yang nak dibuat supaya semuanya teratur, tingkatkan disiplin dalam organisasi dan menilai daripada segi keutamaan dalam membuat keputusan,"ujarnya lagi.  
15 Jun 25
41
Nahas Pelajar UPSI: DUN Jabi Sumbang RM1,000 Buat Keluarga Mangsa
Nahas Pelajar UPSI: DUN Jabi Sumbang RM1,000 Buat Keluarga Mangsa
SETIU, 9 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM1,000 kepada empat keluarga mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di DUN berkenaan. Empat mangsa nahas dari DUN itu ialah Allahyarhamah Fatin Nasrien dari Kampung Kerandang, Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali (Kg Anak Ikan), Allahyarhamah Nur Dalila Farhana Mohamad Isma (Kg Bharu Tok Dor) dan Allahyarhamah Nurly Shahirah Azman (Kg Gong Pasir). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, sumbangan tunai tersebut merupakan inisiatif bantuan bagi meringankan beban keluarga mangsa dalam menyempurnakan urusan kepulangan jenazah anak-anak mereka. "Di Jabi, memang ada tabung khairat kematian yang apabila berlaku kematian kita bagi RM1,200 kepada ahli dan juga RM1,000 kepada tanggungan. "Tetapi, apabila mangsa yang terlibat ini bukan ahli, kita salurkan (ia sebagai) bantuan segera bagi meringankan bebanan mereka," katanya ketika ditemui di Kampung Kerandang, hari ini. Tambahnya, bantuan itu boleh salurkan bila-bila masa, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana semua waris kini berada di Ipoh menguruskan kepulangan jenazah. Dr. Azman sempat menziarahi keluarga mangsa di rumah masing-masing serta meninjau persiapan kariah kampung menyambut kepulangan jenazah mahasiswa-mahasiswi terbabit, petang tadi turut meluahkan kesediaan pihaknya membantu. "Di Kg Kerandang kita sudah siapkan liang lahad dari tadi lagi, di Kg Anak Ikan pun. Maknanya, sekadar yang kita boleh bantu bagi meringankan urusan mereka. "Ia bukan hanya bantuan secara 'One-off', kita akan bantu apa yang perlu secara berperingkat pada kadar kemampuan kita.  Dato' Dr Azman bertemu Haziq, adik Allahyarhamah Nur Ainul Qistina Mat Ali di Kg Anak Ikan, petang tadi. "Alhamdulillah, semua membantu dari kerajaan negeri, UPSI, pejabat ADUN dan badan bukan kerajaan (NGO) juga banyak membantu. "Bagi pihak DUN Jabi, kami mengucapkan takziah dengan sangat mendalam dan simpati, bukan hanya keluarga tetapi kami juga merasa kehilangan," ujarnya.
09 Jun 25
224
240 Lembu, Kambing Dikorbankan Di Maahad Darul Quran Rusila
240 Lembu, Kambing Dikorbankan Di Maahad Darul Quran Rusila
MARANG, 9 Jun - Maahad Darul Quran Rusila sekali lagi mencatat sejarah apabila berjaya melaksanakan Program Korban Perdana sempena Aidiladha tahun ini dengan penyertaan luar biasa, melibatkan 240 ekor haiwan korban terdiri daripada 70 ekor lembu dan 170 ekor kambing. Program tahunan yang menjadi tradisi institusi itu mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat dan luar, dengan penyertaan peserta dari pelbagai latar belakang yang ingin menunaikan ibadah korban sambil menyumbang kepada kebajikan pelajar dan komuniti. Menurut Mudir Maahad tersebut, Ismail Osman berkata, daging korban yang diperoleh akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar-pelajar Maahad sepanjang tahun, selain diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar kawasan Marang dan sekitarnya. “Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh peserta yang menyertai korban tahun ini. Dagingnya akan disimpan untuk kegunaan pelajar dan sebahagiannya disumbangkan kepada yang memerlukan,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua petugas yang datang dari pelbagai kampung dan kawasan, yang bertungkus-lumus menjayakan program besar ini. “Mudah-mudahan ibadah kita diterima Allah SWT dan diberi keberkatan untuk kita semua,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan. Katanya, program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan semangat ukhuwah dalam kalangan masyarakat, malah menjadi platform pendidikan praktikal kepada pelajar dalam memahami dan menghayati erti pengorbanan serta kepentingan berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan. "Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, Maahad Darul Quran Rusila terus membuktikan komitmennya dalam mendidik generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama, tetapi juga peka terhadap tanggungjawab sosial dan kebajikan masyarakat," ujarnya.
09 Jun 25
37
Rumah Musnah Terbakar, Enam Sekeluarga Hilang Tempat Berteduh Sehari Sebelum Aidiladha
Rumah Musnah Terbakar, Enam Sekeluarga Hilang Tempat Berteduh Sehari Sebelum Aidiladha
HULU TERENGGANU, 6 Jun - Sebuah rumah separuh kekal musnah dalam kebakaran di Kampung Jerlan, Ajil, di sini, pada Khamis. Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I KUP) Khairul Anuar Bidin berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.26 petang. “Seramai 16 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dengan bantuan BBP Wakaf Tapai dikejarkan ke lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya, setibanya pasukan bomba di lokasi pada jam 3.42 petang, didapati sebuah rumah jenis separuh kekal berkeluasan kira-kira 60x80 kaki sedang terbakar hampir 80 hingga 90 peratus. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden ini kerana kesemua enam ahli keluarga tidak berada di rumah ketika kejadian,” katanya. Difahamkan, pemilik rumah, Mohd Zaini atau lebih dikenali sebagai Jenin, sedang bekerja ketika kejadian, manakala isterinya berada di Kampung Machang membantu ibunya berniaga di warung pisang goreng. Tiga anak mereka juga tidak berada di rumah. Kebakaran itu disedari jiran mangsa yang segera bergegas ke lokasi dan hanya sempat menyelamatkan sebuah kereta milik mangsa. Menurut Khairul Anuar, jentera dari BBP Wakaf Tapai tidak dapat sampai ke lokasi kerana halangan pokok tumbang di laluan masuk. Anggota kemudian diarahkan melakukan kerja pembersihan. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 4.12 petang dan operasi masih diteruskan untuk proses pemadaman sepenuhnya,” katanya. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim yang turun padang menziarahi keluarga mangsa berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. “Saya sendiri sangat terkesan melihat keadaan rumah yang hampir musnah sepenuhnya. Ketika orang lain sedang membuat persiapan raya, mereka diuji dengan kehilangan tempat berteduh,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. “Insya-Allah, pihak kami sedang berusaha secepat mungkin untuk membantu membina kediaman baharu buat keluarga ini. Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama meringankan beban mereka,” tambah beliau. Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh berhubung dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Jerlan atau Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.
06 Jun 25
360
Santuni Orang Asli Kuala Sayap
Santuni Orang Asli Kuala Sayap
BESUT, 5 Jun– Program “Menyantuni Komuniti Orang Asli dan Gotong-Royong” yang berlangsung di Kampung Kuala Sayap telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, program tersebut dianjurkan dengan matlamat utama bagi mengukuhkan ukhwah dan mempererat silaturahim antara komuniti luar dan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut. “Sesungguhnya, dengan saling mengenali, menghormati dan memahami budaya serta cara hidup masing-masing, kita mampu membina sebuah masyarakat yang lebih harmoni, inklusif dan bersatu padu,” ujar beliau ketika berucap di Majlis tersebut, di sini, hari ini.  Katanya, antara pengisian utama program adalah aktiviti sukaneka dan gotong-royong yang turut disertai oleh komuniti tempatan. "Aktiviti ini selaras dengan aspirasi untuk memastikan persekitaran kampung kekal bersih dan sihat, seiring dengan slogan “Hulu Besut Bersih”," katanya.  Atas kejayaan pelaksanaan program tersebut  Mohd Husaimi  merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, khususnya komuniti Orang Asli Kampung Kuala Sayap yang menyambut baik kehadiran rombongan, serta pasukan Ameerah Kawasan Besut yang turun padang memberikan sokongan padu. “Semoga segala usaha murni ini menjadi amal jariah buat kita semua dan menjadi titik tolak kepada lebih banyak program yang menghubungkan hati dan menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang,” tambah beliau. Menurut beliau, program seumpama itu akan diteruskan pada masa akan datang demi mewujudkan masyarakat yang saling memahami, bersatu dan makmur bersama.  
05 Jun 25
73
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
Keluarga Mat Nasir Penerima Bantuan MAIDAM, Bakal Dapat Rumah Baharu
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh mengambil perhatian serius termasuk dengan membina rumah baharu bagi membela nasib Mat Nasir Islam, 48, serta isterinya, Mazilah Mansor. Mereka dikatakan tinggal di sebuah pondok usang bersama anak dan cucu, tiga daripada mereka masih bersekolah termasuk seorang anak yang dikategorikan Orang Kelainan Upaya (OKU). Dr. Mamad berkata, pada Khamis lalu pihaknya melalui pegawai khas dan kakitangan Pejabat DUN serta Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Hulu Terengganu telah menziarahi mereka dan mengambil maklum keadaan yang dialami oleh keluarga yang mengalami kesempitan hidup terbabit. "Meskipun serba terbatas, mereka tetap tabah meneruskan kehidupan dengan bergantung kepada bantuan bulanan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sudah lama disalurkan. "Hari ini (kelmarin) saya bersama pihak Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan MAIDAM turut turun  sekali lagi bagi menilai keadaan semasa. "Pihak kami juga cuba untuk mengenal pasti bentuk bantuan tambahan yang boleh disalurkan demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup keluarga ini," ujarnya menerusi satu hantaran di facebook rasminya, semalam. Terdahulu Mazilah memaklumkan masalah dialami mereka telah lama mendapat perhatian MAIDAM yang menyumbang zakat sebanyak RM3,000 setahun. Selain itu, dia memaklumkan juga turut menerima bantuan khas untuk anak OKU sebanyak RM1,800 daripada JKM. Dalam pada itu, Pegawai Khas ADUN, Arif Azlan memaklumkan Dr Mamad berusaha bagi memastikan sebuah rumah baru akan dapat didirikan untuk keluarga terbabit. "Pihak DUN telah bertemu dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Prihatin, cuma sekarang ini kalau menurut Mazilah tanah ini telah diusahakan sudah 20 tahun. "Apabila kita semak dengan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, tanah ini baru dipohon oleh keluarga ini pada April yang lalu, jadi kita tunggu kelulusan untuk mendirikan rumah yang lebih baik untuk didiami oleh keluarga ini," ujarnya.
03 Jun 25
1107
Peniaga Kecil Rayu Kelonggaran: Kenaikan Kos LPG Cengkam Sumber Rezeki
Peniaga Kecil Rayu Kelonggaran: Kenaikan Kos LPG Cengkam Sumber Rezeki
HULU TERENGGANU, 2 Jun – Penguatkuasaan mengejut penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik 14 kilogram komersial mula menimbulkan keresahan dalam kalangan peniaga kecil dan penjaja makanan di sekitar daerah ini. Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, berkata hasil tinjauan petang semalam mendapati rata-rata peniaga mengakui terkesan dengan langkah tersebut yang dianggap dilaksanakan secara mendadak tanpa pelan sokongan sewajarnya. Menurut beliau, walaupun peraturan berhubung penggunaan LPG komersial sudah lama digubal, pelaksanaannya secara agresif ketika rakyat sedang berdepan tekanan kos sara hidup yang tinggi boleh disifatkan sebagai tidak peka terhadap realiti semasa. “Peniaga kecil kini perlu menggunakan tong LPG komersial 14 kilogram yang berharga sekitar RM70 setong, menggantikan tong subsidi 14 kilogram pada harga kira-kira RM26. Ini satu lonjakan kos yang besar bagi mereka,” katanya selepas meninjau beberapa premis di kawasan Kuala Berang dan Ajil. Kerajaan sebelum ini menjelaskan hanya peniaga yang menggunakan lebih tiga tong gas subsidi akan dikenakan tindakan, namun menurut Rosol, ramai peniaga kecil sebenarnya termasuk dalam kategori tersebut. Beberapa peniaga yang ditemui menyuarakan pelbagai kekhuatiran terhadap pelaksanaan ini, malah menggesa kerajaan tampil dengan penyelesaian yang lebih mesra rakyat. Pengusaha masakan panas di Pekan Ajil, Ayu Azlina Mat Nor, 45, berkata kos operasi harian terus meningkat sejak akhir-akhir ini, ditambah pula dengan tekanan baharu akibat harga gas yang melonjak hampir tiga kali ganda. “Dulu, tiga tong subsidi sekitar RM78. Sekarang kalau tukar ke tong komersial, boleh cecah RM210 sebulan. Untung pun makin sikit, sebab pelanggan pun tak mampu kalau harga makanan naik,” katanya. Seorang lagi peniaga makanan bergoreng di Kuala Berang, Muhamed Junoh, 55, pula menyifatkan pelaksanaan mendadak ini sebagai tidak sensitif terhadap keadaan semasa peniaga mikro. “Kami bukan kilang besar, meniaga pun cukup-cukup makan. Sekurang-kurangnya beri tempoh bertenang atau bantuan khas. Ini tidak, terus dikuatkuasa tanpa timbang rasa,” luahnya. Sementara itu, Norlaila Sulong, 63, yang mengusahakan gerai masakan harian di Kampung Butut pula mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam melindungi kebajikan peniaga kecil. “Banyak benda naik harga sekarang. Minyak, ayam, sayur semua mahal. Sekarang gas pula jadi beban. Kalau kerajaan tak bantu, siapa lagi?” soalnya dengan nada kecewa. Susulan aduan yang diterima, Rosol menggesa kerajaan agar menilai semula pendekatan penguatkuasaan tersebut dan mempertimbangkan mekanisme bantuan bersasar kepada golongan peniaga kecil. “Kita bukan tolak undang-undang, tapi mesti ada pertimbangan. Jangan tekan rakyat kecil yang sedang berusaha mencari rezeki. "Berikan pelan insentif atau subsidi peralihan agar mereka tidak terjejas secara mendadak,” katanya. Beliau menegaskan, suara dan keluhan rakyat di peringkat akar umbi perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkaitan sebelum sesuatu dasar dilaksanakan sepenuhnya.  
01 Jun 25
924
Projek Ternakan Ayam Kampung Organik Jana RM3,600 Dalam 36 Hari
Projek Ternakan Ayam Kampung Organik Jana RM3,600 Dalam 36 Hari
HULU TERENGGANU, 2 Jun – Usaha menternak ayam kampung organik di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) membuktikan potensi ekonomi luar bandar apabila mampu menjana pendapatan sehingga RM3,600 bagi setiap pusingan ternakan dalam tempoh hanya 36 hari. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Paloh Nyor, Mohd Sharif Jusoh, 65, berkata komuniti kampung itu menerima geran sebanyak RM100,000 di bawah inisiatif tersebut. Menurutnya, projek yang bermula sejak November tahun lalu kini memasuki pusingan kelima, dengan setiap pusingan melibatkan penternakan sekitar 1,500 ekor ayam. “Tiga blok reban dibina, masing-masing menempatkan 500 ekor ayam. Ternakan dilakukan secara berperingkat dan ayam dijual pada harga RM10 sekilogram. “Daripada 500 ekor ayam, pulangan sekitar RM1,200 dapat diperoleh, manakala satu pusingan penuh dengan 1,500 ekor ayam boleh menjana sekitar RM3,600,” jelasnya. Tambah beliau, hasil jualan digunakan untuk pengurusan operasi ternakan dan sebahagian lagi disalurkan kepada pengurusan kampung bagi pelaksanaan program yang memberi manfaat kepada penduduk. Mohd Sharif berkata, projek itu memberi impak besar kepada ekonomi setempat kerana hasilnya turut memperkukuh kewangan kampung serta mewujudkan peluang pekerjaan. Beliau turut memaklumkan bahawa bekalan makanan ternakan dan anak ayam dibekalkan oleh syarikat yang sama, sekali gus memastikan ayam yang mencapai saiz piawaian akan dibeli semula tanpa berlaku lambakan. “Selain itu, projek ini turut dipantau oleh Jabatan Veterinar yang membuat lawatan berkala bagi memastikan tahap kesihatan ternakan sentiasa berada dalam keadaan baik,” katanya lagi. Menurutnya, ayam kampung organik berpotensi memberikan pulangan lumayan memandangkan tempoh pembesarannya yang singkat dan kaedah penjagaannya yang tidak terlalu rumit. “Alhamdulillah, pelaksanaan projek SejaTi MADANI ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi, malah memberi pendedahan kepada penduduk untuk mengusahakan ternakan sendiri pada masa akan datang,” ujar beliau. Katanya lagi, beliau berharap kerajaan akan terus memberikan sokongan dan bantuan agar lebih banyak peluang dapat diwujudkan, khususnya untuk komuniti luar bandar dan pedalaman.
01 Jun 25
433
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
42 Pelajar Cemerlang SPM Diraikan
HULU BESUT, 27 Mei – Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 diraikan dalam Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang DUN Hulu Besut yang berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna. Majlis yang diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar yang memperoleh keputusan 7A hingga 12A ini turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan dan wang saguhati sebagai tanda pengiktirafan atas kecemerlangan mereka. Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin merakamkan ucapan tahniah kepada semua pelajar cemerlang yang selama ini telah berusaha gigih, menunjukkan ketekunan serta semangat juang yang tinggi sehingga mencapai kejayaan yang membanggakan. "Saya amat berbangga dengan pencapaian adik-adik kita ini, kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara pelajar, ibu bapa, guru dan seluruh warga sekolah yang tidak pernah berputus asa memberikan sokongan,"katanya ketika berucap di majlis tersebut yang diadakan di Dewan Warung Ramai, Alor Keladi, di sini. Dalam pada itu,penghargaan khas turut diberikan kepada pelajar istimewa, Surya Aidil Zawawi dari kelas Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) SMK Putra, yang mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya memperoleh 4A dalam peperiksaan tersebut. "Pencapaian adik Surya Aidil adalah luar biasa dan wajar dijadikan inspirasi kepada kita semua,"ujar beliau. Dalam pada itu, Husaimi turut menyeru para pelajar agar terus berusaha dan berdoa untuk mencapai kejayaan lebih besar di masa hadapan, sambil menekankan pentingnya menjadi insan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga berakhlak mulia serta memberi manfaat kepada masyarakat.    
27 May 25
2406
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
Lebih 100 Sukarelawan Sertai Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita
KUALA TERENGGANU, 20 Mei - Seramai lebih 100 orang peserta terlibat dalam Program Gotong-Royong Bersih Pantai Tok Kita anjuran EPIC Berhad dengan kerjasama Pertubuhan Cakna Kebajikan Kuala Terengganu (KT Care), beberapa hari yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah menghargai usaha EPIC dan KT Care atas kejayaan menganjurkan program yang berjaya mengumpulkan lebih 100 peserta dan mengutip sejumlah besar sampah yang mencemari kawasan pantai. Menurutnya, pantai merupakan salah satu aset pelancongan utama negeri Terengganu dan perlu sentiasa dijaga kebersihannya melalui penyertaan aktif masyarakat. "Alam ini amanah kita. Bersama kita lestarikan keindahannya. Teruskan usaha menjaga keindahan dan kecantikan pantai kita. "Setiap daripada kita memainkan peranan penting sama ada besar atau kecil dalam memastikan pantai kekal bersih, indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan akan datang. "Kalau orang Terengganu nak 'healing', mereka akan ke pantai. Maka, tanggungjawab untuk memastikan pantai kekal bersih adalah milik bersama. Usaha seperti ini perlu diteruskan tanpa perlu tunggu kempen besar-besaran," kata beliau melalui hantaran di laman media sosial rasminya. Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi itu menyaksikan kehadiran pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.  Antara yang turut serta ialah wakil Pejabat Parlimen Kuala Terengganu, Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Ladang, DUN Batu Buruk, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS), serta pelajar-pelajar cilik daripada PASTI dan Tadika Syaz. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed@Hashim, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor. Dalam pada itu, satu sesi penyerahan sumbangan kepada KT Care turut diadakan yang disampaikan oleh Pengurus Besar Undang-Undang dan Kesetiausahaan EPIC Berhad, Fairuz Idris kepada Dato' Wan Sukairi. EPIC berkata, Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) EPIC Berhad, yang menekankan kepentingan penjagaan alam sekitar dan memperkukuh hubungan bersama komuniti tempatan.
21 May 25
106