Artikel "Komuniti" Terkini
Kaunter Aduan Rakyat Terima Sambutan Menggalakkan
SETIU, 31 Mac - Program Kaunter Aduan Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit dan Langkap mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat selepas sekitar 20 aduan diterima.
Ahli parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, aduan-aduan tersebut sangat penting bagi memastikan fungsi wakil rakyat dapat dioptimakan sebaik mungkin.
"Apa yang lebih penting ialah masalah orang ramai melibatkan pelbagai hal dapat diselesaikan supaya beban rakyat dirungkaikan.
“Di DUN Batu Rakit kita ada menerima aduan tentang jalan berlubang, selekoh tajam, isu paip air dan tiang lampu Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dibina di atas tanah milik penduduk. Segala aduan yang kita terima akan kita lanjutkan kepada pihak yang berwajib.
"Di DUN Langkap pula kebanyakkanya melibatkan masalah jalan yang rosak. Walau bagaimanapun, kita juga ada menerima aduan di Kampung Tayor tentang kerosakan paip yang mana paip tersebut menyalurkan air bukit ke kediaman penduduk dan kita telah meluluskan sejumlah bajet untuk membaiki kerosakan itu. Insya-Allah kita akan cuba selesaikan.” katanya selepas program tersebut baru-baru ini.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras bagi DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan DUN Langkap, Azmi Maarof.
Jelasnya, program itu akan diadakan di setiap DUN bertujuan untuk mendengar lebih dekat tentang permasalahan yang rakyat. hadapi.
“Insya-Allah selepas ini Program Kaunter Aduan Rakyat akan diadakan pula di DUN Jabi dan diakhiri dengan Dun Permaisuri.”
31 Mar 21
212
RMM Bukit Gasing Catat Unit Rumah Tertinggi
MARANG, 1 April - Rumah Mampu Milik (RMM) Bukit Gasing mencatat rekod tersendiri apabila menjadi projek pembinaan unit rumah tertinggi iaitu sebanyak 238 buah rumah berbanding RMM di kawasan lain.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, RMM Bukit Gasing yang berkeluasan 23 ekar merangkumi 238 unit rumah dengan kos pembinaan sebanyak RM34 juta yang ditanggung oleh kerajaan negeri.
“Di negeri Terengganu ini kita melancarkan konsep perumahan patuh syariah yang kita namakan sebagai Rumah Darul Iman yang dikenali sebagai RAHMAN. Di mana semua rumah di Terengganu diharapkan dapat mengikuti ciri-ciri dan spesifikasi RAHMAN yang telah ditetapkan kerajaan negeri,” ucapnya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek RMM Bukit Gasing II, Marang.
Untuk rekod, sebelum ini, kerajaan negeri telah melancarkan empat projek RMM iaitu RMM Tajin Hulu Terengganu sebanyak 250 unit, RMM Tok Jembal Kuala Nerus sebanyak 160 unit, RMM Tempinis Jabi Besut sebanyak 100 unit dan RMM Gong Cengal Kertih Kemaman sebanyak 200 unit.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof, Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri, Wan Adnan Wan Derahman.
31 Mar 21
880
Gunting Rambut Percuma Ringan Beban Ibu Bapa
KUALA NERUS, 1 April - Program Kembali Ke Sekolah, Gunting Rambut Percuma merupakan program kolaboratif antara Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam usaha membantu meringankan bebanan masyarakat di luar bandar.
Program dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menyasarkan 100 orang pelajar yang dipilih oleh pihak sekolah mengikut kelayakan yang ditetapkan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ketika dihubungi berkata, pihaknya sedar aktiviti seumpama itu dapat memberi manfaat kepada masyarakat yang berpendapatan rendah di samping mengurangkan perbelanjaan yang ditanggung bagi menyediakan kelengkapan sekolah yang bakal bermula.
Menurutnya, harga menggunting rambut kini boleh mencecah sehingga RM10 seorang dan ia agak membebankan bagi keluarga yang mempunyai anak ramai.
“Pendekatan ini walaupun nampak tidak sebesar mana, tetapi bagi golongan ibu bapa berpendapatan rendah dan mempunyai anak yang ramai, ia sangat bermakna.
“Bayangkan jika sesebuah keluarga ada 3 orang anak lelaki yang bersekolah, sudah tentu mereka dapat berjimat dan menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan sekolah yang lain,” katanya.
Program yang berlangsung di Giatmara Kuala Nerus itu disempurnakan oleh Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i mewakili Mohd Khairuddin dengan mematuhi prosedur operasi standard.
Hadir sama, Pengurus Pusat Giatmara Kuala Nerus, Abd. Wahab Salleh dan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Hamid Yahya, .
31 Mar 21
1239
Tambah Tong Sampah, Elak Persekitaran Tercemar
KUALA NERUS, 31 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh mengambil inisiatif menambah sejumlah tong sampah bagi mengelakkan persekitaran tercemar dengan bahan terbuang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, inisiatif itu juga dibuat bagi menjayakan lagi Kempen Tepoh Ceria yang telah dilancarkan sebelum ini.
"Saya juga mengharapkan tanggungjawab daripada penduduk untuk bersama-sama menjaga kebersihan dengan tidak melakukan perkara yang boleh merosakkan kemudahan awam tersebut seperti membakar dan memecahkanya," katanya selepas penambahan tong sampah tersebut.
Jelas beliau, sebanyak 60 unit tong sampah telah dibeli dan diagihkan kepada pengguna yang memerlukan penambahan kemudahan awam tersebut.
'Mobile Garage Bin' yang berkapasiti 660 Liter itu akan diletakkan dalam kawasan yang mempunyai kadar penyerahan sampah yang tinggi.
"Sebelum ini, sebanyak 30 unit tong sampah berkapasiti sama telah berjaya diagihkan untuk kegunaan pengguna dalam kawasan DUN Tepoh.
"Jumlah tong sampah yang telah berjaya diagihkan oleh PKM adalah sebanyak 90 unit keseluruhannya. Jumlah tersebut akan menyokong fasiliti tong sedia ada yang telah dibekalkan oleh Majlis Perbandaran Kuala Terengganu," ujarnya.
Kempen kebersihan Tepoh Ceria yang telah bermula sejak Julai 2019 lalu telah digerakkan dan terus diperkasakan dari semasa ke semasa.
Inisiatif penambahan itu juga adalah sebahagian daripada fokus utama untuk menjayakan lagi kempen tersebut.
30 Mar 21
1473
Pasar Baharu Gong Parit Beroperasi 1 April
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Pasar baharu di Kampung Gong Parit akan beroperasi bermula 1 April ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, pasar baharu itu bakal memuatkan 57 tapak perniagaan berbanding 19 tapak di pasar sedia ada.
“Kerajaan negeri sentiasa komited dalam membantu dan memberikan kebajikan kepada rakyat khususnya para peniaga untuk terus berdikari dalam menjana pendapatan.
“Saya berharap dengan pembinaan tapak baharu yang lebih selesa ini akan dapat memajukan lagi perniagaan semua yang berniaga di sini,” katanya dalam ucapan perasmian majlis perasmian tapak itu di lokasi berkenaan, baru-baru ini.
Jelasnya, pembukaan pasar baharu tersebut memastikan keselesaan peniaga serta pembeli terjaga selain menggantikan tapak lama yang lebih kecil bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk berniaga.
"Konsep yang sebenar dalam memberikan kebajikan kepada rakyat ialah dengan memberikan kail dan bukannya memberikan ikan.
“Sekiranya kita berikan ikan kepada rakyat, ikan tersebut akan habis dimakan, namun sekiranya kita memberikan kail, maka rakyat akan berdikari dalam mendapatkan mata pencarian," katanya.
Tapak pasar lama yang sempit dan mengancam keselamatan pengguna
29 Mar 21
2483
Kehebatan Orang Terengganu Rentas Samudera Jadi Pameran
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri merungkai sejarah kehebatan generasi terdahulu dalam ilmu pelayaran merentasi samudera dengan kapal yang diciptakan melalui pameran yang diadakan.
Ahli Lembaga Pengarah PSKT, Zuraida Md. Noor berkata, pameran yang diadakan dengan gabung jalin dua jabatan itu merupakan usaha mendidik generasi kini agar mengenali sejarah sekali gus memupuk perasaan cinta terhadap nilai sejarah yang dimiliki.
“Pada zaman Revolusi Industri 4.0, sudah tentu tidak semua orang mengetahui bahawa Terengganu terkenal dengan ilmu pelayaran yang cukup dikagumi oleh pelayar-pelayar dunia suatu ketika dahulu.
“Terengganu juga telah berjaya membina kapal-kapal besar seperti Perahu Besar Pinis Gobel dan juga terkenal dalam penciptaan perahu sama ada secara tradisional mahupun moden.
“Terutamanya penduduk Pulau Duyong telah menggunakan bidang sains dan teknologi ini semenjak dahulu sekali gus membuktikan kepakaran dan kemahiran orang Terengganu dalam bidang ini sehingga dipandang hebat di mata dunia,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Pameran Bertema Samudera : Pelayaran Merentas Lautan Biru di PSKT, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif PSKT, Johan Ibrahim dan wakil Muzium Negeri Terengganu, Saberi Muda.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, justeru hasrat tersebut perlu disambut baik oleh semua pihak serta perlu dihebahkan di semua peringkat.
“Agar ia diberi perhatian, khususnya anak-anak pelajar agar nilai-nilai sejarah dihargai oleh seluruh rakyat Terengganu secara umumnya.
“Supaya status penting mengenai sejarah ini akan diketahui serta diterokai, juga mengetahui bagaimana Islam itu bertapak melalui hubungan perdagangan yang telah dirintis melalui samudera,” ujarnya.
Melalui galeri pameran itu pengunjung akan merasai suasana pembelajaran tentang cara pembuatan kapal dengan gabungan konsep sains dan teknologi secara santai bermula bulan April sehingga Jun.
Kesemua jenis perahu warisan negeri seperti Kolek Lincang, Bedar, Haluan Katup, Jalur, Kajangan, Payang, Sekoci dan Perahu Besar Pinis Gopel serta Bot Belakang Potong dipamerkan dalam galeri pameran berkenaan.
29 Mar 21
1502
MBKT Sedia 20 Tapak Bazar Ramadan, Tiga Tapak Bazar Raya
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyediakan 20 lokasi bazar ramadan dan tiga kawasan bazar raya tahun ini.
Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok memberitahu, semua bazar ramadan itu akan mula beroperasi pada hari pertama bulan puasa yang dijangka 13 April depan.
Jelasnya, MBKT menetapkan waktu operasi bazar ramadan adalah mulai jam 3 petang hingga 7 petang setiap hari.
"Jarak lokasi bazar ramadan tahun ini berdekatan antara satu sama lain terpaksa disediakan sebagai memenuhi permintaan peniaga selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
"Pertambahan lokasi bazar ramadan juga dilakukan berikutan kedudukan gerai jualan perlu dijarakkan sepanjang 1.5 meter antara satu sama lain," ujarnya pada sidang media hari ini.
Tambah Shahidan, penambahan lokasi dilakukan bagi mengelakkan keadaan bersesak selain membantu kerajaan mengurangkan penularan pandemik COVID-19.
"MBKT juga sudah mengeluarkan garis panduan pematuhan SOP iaitu hanya satu laluan masuk dan satu laluan keluar disediakan di semua tapak bazar ramadan.
"Jumlah pengunjung juga turut dihadkan berdasarkan keluasan tapak bazar ramadan dan peniaga serta pengunjung perlu melalui proses ujian suhu badan selain diwajipkan sentiasa memakai pelitup muka," katanya.
Mengulas mengenai bazar raya, menurutnya, tiga lokasi tapak bazar raya disediakan di sekitar kawasan bandaraya Kuala Terengganu.
Katanya, tiga lokasi bazar raya adalah di Dataran Shah Bandar, Jalan Paya Keladi dan di tapak stesen teksi.
"Bazar raya di Dataran Shah Bandar akan beroperasi mulai 13 April, manakala di Jalan Paya Keladi dan tapak stesen teksi pada 27 April.
"Pematuhan SOP di lokasi tapak bazar raya juga sama seperti ditetapkan di rapak bazar ramadan," katanya.
29 Mar 21
2567
ADUN Batu Buruk Ziarah Ahmad Izz
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama isterinya, Dr Farhaana Husainy Hasbullah hadir menziarahi kanak-kanak berusia 4 tahun, Ahmad Izz Danish Abdul Muhaimin yang menderita kanser saraf tahap empat dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), baru-baru ini.
Pertemuan dengan kanak-kanak berkenaan dan ibunya Noraisah Abdul Aziz, 36, sekadar bertanya khabar di samping menghulurkan sumbangan dari pihaknya.
“Alhamdulillah, saya dimaklumkan permohonan bantuan daripada Tabung Darul Iman bagi adik Ahmad Izz telah diluluskan.
“Kita harap semoga bantuan ini dapat menampung kos rawatannya serta kos perbelanjaan harian Puan Noraisah dan keluarga," katanya.
Menurut ibunya, penyakit kanser tersebut disedarinya setelah di'diagnose' oleh doktor pada November 2020 yang lalu.
"Ahmad Izz Danish kini sedang mendapatkan rawatan kimoterapi di HSNZ setelah menjalani pembedahan membuang ibu kanser yang berada di belakang perutnya," jelas Noraisah yang turut memaklumkan, anaknya itu akan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi rawatan pemindahan sumsum tulang, pada Mei nanti.
Noraisah merupakan ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai, kini tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga anaknya sepenuh masa di hospital.
29 Mar 21
737
'Jaga Sumber Air, Tanggungjawab Bersama' - Shaharizukirnain
SETIU, 29 Mac - Penjagaan sumber air adalah tanggungjawab semua pihak dan bukannya terletak pada satu badan atau jabatan semata-mata.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, air adalah sumber penting dalam urusan kehidupan manusia dan makhluk lain.
"Hari ini serentak di seluruh negeri Terengganu mengadakan gotong-royong dengan bertujuan bagi menjaga kawasan persekitaran sumber air bebas daripada tercemar.
"Saya harap usaha ini dimainkan sebaik mungkin setiap daripada kita dan usaha ini dilakukan berterusan".
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di tapak gotong-royong peringkat daerah Setiu, Lata Cangkah, Hulu Setiu sempena sambutan Hari Air Sedunia 2021 kelmarin.
Sambutan Hari Air Sedunia yang disambut pada 22 Mac setiap tahun membawa tema "Valuing Water" (Hargai Air) dilihat bertepatan,.
Dalam program itu, turut diadakan penanaman anak pokok dan pelepasan anak ikan spesis baung sebanyak 750 ekor ke sungai.
Program yang melibatkan agensi kerajaan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mukim Hulu Setiu itu diadakan dalam keadaan norma baharu dengan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
28 Mar 21
222
TDM Dekati Komuniti, Hulur Bantuan
SETIU, 28 Mac - Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad bersama TDM Plantation meneroka ruang baharu untuk mendekati masyarakat yang terkesan dengan wabak pandemik COVID-19 selepas mengadakan program 'TDM Prihatin Komuniti' semalam.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, inisiatif tersebut juga merupakan Tanggungjawab Korporat Sosial (CSR) bagi menjalin hubungan dengan komuniti di Sungai Tong, khususnya di kawasan Ladang Bukit Bidong, Ladang Fikri, Ladang Jaya, Ladang Pelung, Ladang Tayor dan Kilang Kelapa Sawit Sungai Tong.
"Selaras dengan misi syarikat untuk menzahirkan 'Corporate Citizenship' sebagai sebuah organisasi yang sentiasa memberikan nilai tambah yang positif kepada masyarakat.
"Secara tidak langsung turut berperanan dalam memupuk dan menyemai semangat kekitaan didalam komuniti berteraskan konsep perpaduan melalui saling bekerjasama serta sentiasa mengamalkan sikap toleransi antara satu sama lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian, pada program tersebut, di kompleks Sungai Tong, di akademi TDM, di sini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah.
Najman berkata, selain daripada pelbagai aktiviti syarikat bersama komuniti, sumbangan kepada 61 keluarga terpilih turut disampaikan.
"Program ini akan diteruskan pula di tempat yang lain dimana syarikat ini beroperasi iaitu Kompleks Sungai Besi dan kompleks Kemaman menjadi lokasi pilihan untuk bersama -sama dengan komuniti di sana,"katanya.
Sementara itu, Mohd Nor berkata kerajaan negeri sentiasa mencari inisiatif bagi mengadakan program atas tujuan serta hasrat yang murni di dalam memastikan komuniti sentiasa berada dalam keadaan sejahtera.
"Sebagaimana program pada hari ini dapatlah difahami ianya mengandungi objektif yang jelas.
"Secara tidak langsung menjadi diantara salah satu agenda dalam menterjemahkan moto kerajaan iaitu Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera (TMBS)," ujarnya.
28 Mar 21
608