lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma
Terengganu Inc Agih 3,000 Bubur Lambuk Percuma
KUALA TERENGGANU, 14 April – Kumpulan Terengganu Inc meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial (CSR) di bulan Ramadan dengan mengagihkan 3,000 bekas bubur lambuk di Masjid Negeri, Kuala Terengganu semalam. Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, agihan bubur lambuk menjadi salah satu aktiviti penghubung antara pihaknya bersama penduduk setempat sekaligus menjalinkan ikatan silaturahim secara terus bersama masyarakat. “Terengganu Inc dan anak-anak syarikat Kumpulan meneruskan CSR Ramadhan bagi agihan bubur pada tahun ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.  “Kami berharap, usaha ini dapat membantu mereka yang tiada juadah untuk berbuka atau bagi mereka yang tiada kesempatan untuk menyediakan juadah berbuka puasa menikmati keenakan bubur lambuk Terengganu," katanya dalam satu kenyataan, semalam. Turut hadir Yang Dipertua Maidam, Dato’ Hj Osman Muda dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Masjid Abidin, YM Dato’ Dr Syed Mohammad Salleh bin Syed Yusof Al Zawawi dan Pengurusan Terengganu Inc. Tambah Burhanuddin, usaha itu diharap mampu mengekalkan tradisi pengagihan bubur lambuk di sekitar kawasan masjid, sekali gus dapat mengekalkan jalinan kerjasama antara kumpulan Terengganu Inc sendiri. Menurut beliau, program pengagihan makanan tradisi bulan Ramadan itu merupakan aktiviti tahunan Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan bersama komuniti masjid dan sekitarnya.  "Agihan bubur lambuk bermula pada jam 2 petang sehingga selesai mulai 13 April sehingga 15 April 2021 bertempat di Masjid Negeri, Kuala Terengganu. Sebanyak 1,000 bekas diperuntukkan untuk agihan pada setiap hari. "Bubur lambuk merupakan makanan tradisi Terengganu yang biasanya disediakan pada bulan Ramadan untuk juadah berbuka puasa. Antara bahan asas yang digunakan termasuk beras, pucuk midin, pucuk paku, ikan, ubi keledek, lada hitam dan rempah ratus," jelasnya lagi.  
13 Apr 21
1548
Rezeki Sempena Ramadan
Rezeki Sempena Ramadan
KEMAMAN, 13 April - Seramai 85 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih kini tersenyum lebar setelah menerima suratan hak milik. Jumlah tersebut melibatkan seramai 22 penerima dari RTB (lot tapak rumah) Kampung Ban Ho Cherul, 43 penerima RTB (lot tapak rumah) Kampung Lot Sri Jaya dan 20 penerima RTB Paloh Jenang Terkilan (lot pertanian). Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Air Putih, Ab.Razak Ibrahim, memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman. "Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah RTB suatu ketika dulu yang belum selesai. "Dengan komitmen yang tinggi daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman membolehkan majlis serahan hak milik RTB tersebut dapat disempurnakan pada hari ini. "Saya sebagai wakil rakyat DUN Air Putih mengucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah kepada semua," katanya. Dalam waktu yang sama, Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milik tanah RTB hari ini supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.  "Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual," katanya.
12 Apr 21
817
"Dulu 'Lecoh', 'Lening' Beres Dah"
"Dulu 'Lecoh', 'Lening' Beres Dah"
KEMAMAN, 12 April - "Alhamdulillah lening (sekarang), dulu tapak pasar malam ini memang lecoh (berselut) kalau hujan, orang nak membeli memang tak boleh nak masuk," luah Salehuddin. Salehuddin Abdul Halim, 34, peniaga selipar di Pasar Malam Kampung Bukit Kuang, Kijal berkongsi rasa syukur apabila ditanya tentang keadaan sekarang di pasar malam tersebut yang telah dinaiktaraf. Salehuddin yang hampir 20 tahun berniaga di sini setelah mewarisi perniagaan ayahnya berterima kasih kepada pihak pengurusan pasar malam serta kerajaan setelah apa yang dilakukan sekarang. Haji Zilani Awang. Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) di Bukit Kuang, Haji Zilani Awang yang ditemui di tapak tersebut tempoh hari menyatakan, ia telah dinaiktarafkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB). "KPLB telah membelanjakan sebahagian peruntukannya bagi membina dataran kejat ini melalui pelaksanaan Program Ameniti Sosial kementerian tersebut. "Sepatutnya ia telah disiapkan pada penghujung tahun lepas tetapi tertangguh akibat musim tengkujuh," katanya. "Sebelum ini, tapak pasar malam ini berlantaikan batu kerikir besar yang tidak diturap menyebabkan para pengunjung sukar untuk berjalan dengan batu yang berselerak. Tapak pasar malam setelah dinaiktarafkan. "Tapi sekarang alhamdulillah ia telah kemas diturap dan tiada lagi lopak-lopak air seperti sebelumnya," jelasnya. JPKK RAKR Bukit Kuang menguruskan pasar malam tersebut dengan mengutip yuran daripada setiap peniaga sebanyak RM3 sebagai kos pengurusan.
11 Apr 21
2430
Skuad Ehsan Cakna Wanita Luar Bandar
Skuad Ehsan Cakna Wanita Luar Bandar
DUNGUN, 11 April- Badan Bukan Kerajaan (NGO) Skuad Ehsan sangat mengambil berat wanita luar bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang yang sememang memerlukan perhatian.  Isteri Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood berkata, pihaknya menyedari kepayahan wanita hari ini terutamanya ibu tunggal yang terpaksa mengalas tanggungjawab keluarga seorang diri.  "Bilangan sangat ramai di DUN ini yang memerlukan satu NGO untuk berperanan membela mereka, jadi dengan program yang diatur, kami cuba meringankan beban mereka, bukan sahaja beban material tetapi juga spiritual," jelasnya.  Beliau yang dihubungi pemberita turut menjelaskan tentang program terbaharu NGO yang berlangsung di Dewan Serbaguna  Kampung Paya Kemudi.  Program Ambang Ramadan itu telah mengumpulkan 37 orang penerima yang terdiri daripada wanita yang tergolong dalam asnaf.  Majlis turut diserikan dengan ceramah agama yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Munif Mohd Amin sebelum penyampaian sumbangan yang berupa telekung sembahyang dan juga barangan keperluan harian.  ADUN Rantau Abang yang telah merasmi dan menyampaikan sumbangan tersebut turut berharap agar kehadiran Ramadan kali ini dapat diimarahkan dengan sebaik mungkin.  "Rebutlah peluang untuk menunaikan solat terawih dan latih anak-anak agar berpuasa yang sebenar," ujarnya. 
09 Apr 21
209
Gelanggang Baharu Suntik Semangat Si Perejam
Gelanggang Baharu Suntik Semangat Si Perejam
KEMAMAN, 9 April - Dengan siapnya gelanggang sepak takraw yang baharu di Kampung Pengkalan Cicar, Kijal ianya menaikkan lagi semangat si perejam bola gajah emas untuk meneruskan warisan sukan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Cicar, Razali Awang berterima kasih dan bersyukur kerana apa yang diidam oleh pemain sepak takraw di kampung dibawah pengurusannya akhirnya tercapai. Razali Awang "Alhamdulillah dan terima kasih kepada Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman yang telah menyokong dan meluluskan permohonan kami sebelum ini. "Mungkin kerana kesungguhan dan semangat anak-anak muda yang turut dirasai oleh kami dalam merancang dan mengurus sehingga gelanggang baharu ini dapat disiapkan dalam masa yang agak singkat," katanya. "Sebanyak RM10 ribu telah dibelanjakan bagi menyiapkan gelanggang kedua ini bagi mengurangkan masa menunggu regu takraw yang turun pada setiap petang," ujarnya. Razali ketika ditemui digelanggang tersebut tempohari mengharapkan agar dengan ini dapat mengurangkan kecenderongan anak-anak muda dikampungnya kearah aktiviti yang tidak sihat. Ustaz Hazri Jusoh (tiga dari kiri) menghulurkan bola takraw. Terdahulu, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh turut bersemangat walaupun sentiasa sibuk tapi sempat juga turun padang menjenguk si perejam ini dengan menghulurkan beberapa biji bola sebagai tanda sokongan bagi mereka meneruskan sukan warisan ini.
09 Apr 21
338
Setiap Keluarga Perlu Dambakan Syurga Allah
Setiap Keluarga Perlu Dambakan Syurga Allah
DUNGUN, 9 April - Setiap keluarga muslim perlu mendambakan syurga Allah dengan berusaha mencari kebahagiaan di muka bumi ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun berkata,  kebahagiaan hanya dapat diraih jika rumah tangga dikemudi dengan  kasih sayang kerana Allah SWT. "Kerukunan rumah tangga akan terancam jika suami atau isteri gagal menjalankan amanah yang diikat ketika akad nikah, jangan ambil mudah perkara ini, kerana ianya satu perjanjian, laksanakanlah amanah dalam rumahtangga antaranya suami kena keluar bekerja menanggung nafkah keluarga," katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang itu berkata demikian ketika merasmikan Program Forum Bicara Keluarga Jannah, Indahnya Hidup Berkeluarga di Dewan Perpustakaan Dungun baru - baru ini. Program  anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu(YPKT) Dungun ini, turut dihadiri oleh  Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan Keluarga)YPKT , Fauzi Abdul Ghani, Ketua Penolong Pengarah ( Komuniti)YPKT, Abdul Ghafar Mamat dan Pegawai YPKT Dungun  Wan Nor Hidayati Wan Ismail. Forum tersebut adalah kesinambungan dari Program Walimatulurus Perdana yang dilaksanakan sebelum ini oleh kerajaan Negeri Terengganu.  "Menjadi hasrat kerajaan yang prihatin dan cakna dalam memastikan rakyat Negeri Terengganu ini mendapat pendedahan ilmu yang bermanfaat untuk menjalani kehidupan berkeluarga yang penuh cabaran," jelasnya. 
08 Apr 21
125
Malam Perpaduan Terengganu Satukan Rakyat Majmuk
Malam Perpaduan Terengganu Satukan Rakyat Majmuk
KUALA TERENGGANU, 8 April - Dengan menjadi model terbaik negara masyarakat majmuk kepada dunia dan model terbaik kepada negara Islam lain di seluruh dunia, kerajaan negeri mengeratkan lagi hubungan komuniti Terengganu dalam satu Majlis Makan Malam Perpaduan, Peringkat Negeri Tahun 2021 di sini semalam. Dato' Yahaya Ali. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, usaha penganjuran majlis berkenaan sangat murni dengan kerjasama Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional di samping Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional. "Perpaduan ini terhasil kerana wujudnya hubungan yang sangat erat di kalangan masyarakat majmuk di negara ini. Inilah kehebatan dan keunikan negara kita Malaysia, walaupun kita mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari segi bangsa, agama, kebudayaan malah pegangan ideologi. "Atas kematangan dan rasa jati diri yang sangat tinggi yang ada di kalangan rakyat di negara ini telah membolehkan negara membangun dalam suasana keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup di sebuah negara yang bebas, merdeka dan berdaulat ini, iaitu Malaysia yang tercinta. "Inilah kehebatan dan keunikan negara kita Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Perpaduan, Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Duyong Marina Resort malam tadi. Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Dalam perkembangan sama, Yahaya menyeru agar masyarakat dapat terus memperkasakan lagi semangat perpaduan, kerjasama serta bersangka baik bagi membolehkan negara dapat terus mengekalkan keamanan serta kedaulatan yang dinikmati pada hari ini. "Saya yakin dan percaya program seumpama ini akan mampu menjadi platform terbaik bagi usaha-usaha mengekalkan keamanan serta kemakmuran di negeri ini khususnya. Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur program. "Sebagai sebuah negara, Malaysia dan seluruh warganya kini berada di persimpangan jalan. Pilihan yang kita putuskan hari ini akan menentukan nasib serta mencorakkan rupa bentuk Malaysia pada masa hadapan," jelasnya. Tambah beliau, amat malang dan dukacita, jika ada pihak-pihak yang cuba mengkhianati dan menodai perpaduan ini kerana kepentingan peribadi, kepentingan kumpulan tertentu. "Di atas segalanya dalam hal ini, kita perlu memahami dan menghayati 5 prinsip Rukun Negara dalam kehidupan harian kita. "Penghayatan dan pengamalan yang jelas tentang Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara perlulah dihayati oleh setiap individu rakyat di negara ini agar semangat perpaduan dan keharmonian negara terus dipertahankan," ujarnya.
08 Apr 21
503
Belia Sambut Baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
Belia Sambut Baik Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 8 April - Pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menerima pelbagai respon daripada masyarakat termasuk golongan belia. Rata-rata golongan itu menyambut baik dan bersedia menerima suntikan vaksin melalui PICK yang dilaksanakan kerajaan. Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Nornadia Zainudin, 22, menyifatkan tahap kesedaran golongan pelajar sepertinya untuk mendaftar sebagai penerima vaksin berada pada tahap yang bagus. “Generasi muda lebih berfikiran terbuka berbanding golongan berusia, justeru kami merasakan perlu menerima suntikan vaksin tersebut kerana itu adalah langkah terbaik untuk melindungi diri daripada wabak COVID-19,” ujarnya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini. Bagi Mohd Idham Nasrin, 23, dari Marang pula berkata, langkah kerajaan negeri membuka kaunter pendaftaran di tempat tumpuan awam dapat menggalakkan lagi orang ramai mendaftarkan diri dalam PICK. “Saya sangat bersetuju dengan inisiatif ini kerana selain dapat menyemarakkan kempen daftar vaksin ia sekali gus membantu kerajaan meningkatkan kadar pendaftaran vaksin COVID-19 di negeri ini yang masih rendah,” jelasnya. Manakala, Mohd Syahmi Ghazali, 41, dari Kuala Ibai pula berpendapat, tiada alasan untuk seseorang itu tidak mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. “Bagi menyedarkan masyarakat, apa yang dilakukan kerajaan negeri termasuk bergerak dari rumah ke rumah dan membuka kaunter pendaftaran PICK di tempat tumpuan awam merupakan langkah murni supaya rakyat Terengganu lebih ke hadapan untuk menerima suntikan vaksinasi ini. “Malah sukarelawan bertugas juga sangat membantu mendaftar dan memberi kefahaman kepada pengunjung dan orang ramai mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin ini terutamanya kepada golongan tua,” katanya.  
08 Apr 21
164
Usahawan Perlu Cakna Masalah Dalam Masyarakat
Usahawan Perlu Cakna Masalah Dalam Masyarakat
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 7 April- Golongan usahawan yang berkemampuan dari segi kewangan hendaklah mengambil cakna masalah yang dihadapi dalam masyarakat di sekelilingnya. Yang Dipertua Dewan Undangan negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia adalah tanggungjawab tidak langsung yang perlu dipikul bersama seperti mana menjalankan program tanggungjawab sosial (CSR). “Golongan usahawan yang berada, yang diberikan rezeki lebih mereka ambil cakna yang mana golongan seumpama ini memberi kesan yang sangat baik kepada masyarakat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ‘Reunion SMTIZ, Dungun di Paya Bunga Hotel, baru-baru ini. Mengulas lanjut berkenaan program tersebut, Dato' Yahaya memaklumkan, pertemuan sahabat Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah (SMTIZ), Dungun batch 77/78 itu dapat membina kembali ukhuwah yang terputus sekian lama dan dapat menjalinkan hubungan dengan pelbagai kepentingan. “Kalau kita sebagai sebuah Alumni NGO, kita juga mempunyai kepentingan kepada kerajaan negeri.   “Oleh kerana itu barangkali ada di kalangan kawan-kawan kita dalam bidang kemahiran masing-masing, boleh mengambil inisiatif  untuk berbincang dengan mana-mana pihak, samaada Menteri Besar, Exco dan pelbagai jabatan kerajaan untuk mengambil manfaat  daripada kemahiran dan pengalaman yang ada pada kawan-kawan kita,” ujarnya. Dato Yahaya menambah, tanggungjawab sebenar bukan sekadar kepada diri sendiri, keluarga tetapi kita punyai  kewajipan sosial pada masyaarakat. “Sebab kekuatan yang ada pada masyarakat ini adalah penting untuk kita bina. "Yang pertama kekuatan dari segi ukhuwah, kedua, nak melahirkan pemimpin yang adil samada pemimpin dari segi politik, pentadbiran, pemimpin keluarga  supaya kekuatan yang ada pada kepimpinan itu boleh memberikan manfaat yang besar dalam kepimpinan kita.  “Yang ketiga dalam kehidupan kita perlu berdamping bukan sahaja kita nak berdamping dengan orang berilmu dan pelbagai profesion sahaja tetapi harus dengan ulamak pewaris nabi sebagai  pembimbing dalam kehidupan dengan peringatan daripada Al Quran dan Hadis,” tambah Dato Yahaya.
07 Apr 21
277
Permohonan 20 Tahun Kini Lulus
Permohonan 20 Tahun Kini Lulus
KEMAMAN, 7 April - Sistem pencahayaan di laluan masuk ke tanah perkuburan Kampung Pondok Pasir, Kijal yang pernah dimohon oleh penduduk 20 tahun lepas kini telah diluluskan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed bersyukur dengan pemasangan lampu jalan tersebut. Zawawi Mohamed. "Alhamdulillah, akhirnya terang juga jalan ke tanah perkuburan ini setelah sekian lama menjadi rungutan penduduk kampung. "Seingat saya sudah 20 tahun laluan ini gelap dan amat menyulitkan komuniti di kampung ini bagi menguruskan pengkebumian jenazah terutama pada waktu malam," katanya. Zawawi yang ditemui di kediamannya di Kampung Pondok Pasir, Ibok tempoh hari oleh pemberita juga berkata, wakaf di kubur tersebut yang dulunya agak usang kini telah dinaiktaraf dengan struktur batu. Struktur baru wakaf di tanah perkuburan Kampung Pondok Pasir. "Wakaf di kubur telah dinaiktaraf dengan struktur batu dan insya-Allah kami dalam proses membuat permohonan untuk adakan lampu limpah di situ bagi kemudahan bila ada kematian yang perlu disegerakan pada waktu malam," katanya. Zawawi juga berterima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat dalam menyejahterakan komuniti kampungnya, dia juga berharap agar tanah kubur seluas 4 ekar tersebut mendapat kelulusan dari kerajaan bagi mendirikan pagar.
07 Apr 21
1739