Artikel "Komuniti" Terkini
RM30 Ribu Dana Istimewa Untuk Fakir Miskin
MARANG, 21 April - Seramai 300 penduduk di daerah ini terpilih menerima dana istimewa sempena Ramadan berupa pemberian secara langsung daripada Ahli Parlimen Marang.
Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap agar bantuan tersebut dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.
Katanya selain dana tersebut, turut diagihkan adalah bantuan berupa barangan keperluan hasil sumbangan pelbagai pihak.
“Inilah kelebihan yang ada pada orang Islam yang tak ada pada orang bukan Islam. Yang senang, bersyukur kepada Allah taala dan mendapat pahala syukur. Dan yang susah bersabar menghadapi kesusahan dan mendapat pahala sabar.
“Bagi pihak Parlimen Marang, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi bantuan dan semoga Allah taala menggandakan pahala dan kelebihan kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Sumbangan dan Dana Ramadan Parlimen Marang di Dewan MPKK Rhu Rendang, baru-baru ini.
Abdul Hadi turut menyeru kepada masyarakat agar memanfaatkan bulan mulia ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kuantiti ibadat tetapi juga gerak kerja kebajikan serta jihad.
“Marilah kita melafazkan kesyukuran kerana diberi kesempatan menjadi tetamu Allah SWT pada bulan Ramadan, dihidangkan dengan amal ibadah dan kerja-kerja kebajikan, memberi sumbangan dan tolong menolong antara satu sama lain," tambah beliau.
21 Apr 21
594
Kerajaan Perkemas Strategi Galak Rakyat Daftar Vaksin
KUALA TERENGGANU, 20 April – Kerajaan negeri terus memperhebat tiga strategi utama dalam meningkatkan kesedaran rakyat untuk mendaftar sebagai penerima vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, langkah itu diambil selepas jumlah pendaftaran PICK dalam kalangan rakyat Terengganu berada di tahap yang masih rendah.
Katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan seramai 250,399 rakyat Terengganu atau 29.7 peratus sahaja telah berdaftar dalam MySejahtera berbanding dengan 36.1 peratus untuk seluruh Malaysia.
“Empat daerah telah menunjukkan pencapaian melebihi 30 peratus iaitu Kemaman tertinggi dengan 44,473 orang (33.6 peratus) diikuti dengan Kuala Terengganu seramai 59,713 orang (32.5 peratus).
“Marang seramai 26,017 orang (32.0 peratus) dan Kuala Nerus dengan 33,161 orang (30.8 peratus), daerah yang tidak disebut masing-masing mencatatkan kurang daripada 30 peratus,” katanya semasa berucap dalam Majlis Pelancaran PICK Fasa dua Peringkat Negeri Terengganu di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT), Chendering semalam.
Mengulas lanjut Dr Alias menjelaskan, antara insiaitif yang diperkasakan ialah program bersemuka atau kempen rumah ke rumah oleh Pejabat Daerah masing-masing melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
“Kita pergi ke rumah untuk terangkan kepentingan vaksinasi dan kemudian terus daftar melalui secara langsung melalui pengisian borang atau aplikasi MySejahtera.
“Selain itu, kaunter bergerak juga diadakan di kawasan tumpuan seperti pasar raya, bazar Ramadan dan pasar harian untuk memudahkan mereka yang belum berdaftar melalui pegawai bertugas.
“Manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kita buka pendaftaran statik di 40 buah Pusat Khidmat Masyarakat seluruh negeri di mana mereka boleh datang bila-bila masa untuk daftar,” katanya lagi.
Tambah beliau, imunisasi kelompok mampu diwujudkan pada penghujung tahun ini jika lebih ramai yang berdaftar di dalam MySejahtera.
20 Apr 21
482
Bubur lambuk Permint Plywood Imarahkan Ramadan
DUNGUN, 20 April - Sebanyak 500 bekas bubur lambuk disediakan kakitangan Anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB), Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) kepada orang ramai sempena sambutan Ramadan tahun ini.
Ketua Pegawai PPSB, Ahmad Bazli Razali berkata, ia merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diadakan buat julung kali di bulan Ramadan sejak pembukaan semula PPSB tiga tahun lalu bagi memupuk semangat kerjasama antara kakitangan sertai sifat bersedekah.
Katanya, program tersebut melibatkan 86 kakitangan serta Ahli Lembaga Pengarah PPSB.
"Pengagihan bubur lambuk dan kurma diadakan di dua lokasi iaitu Bazar Ramadan AMBS dan di Petronas AMBS bermula 3 petang selain agihan dari rumah ke rumah.
"Aktiviti memasak bubur lambuk dilakukan secara bergotong-royong dimana turut diselitkan pengisian keagamaan melibatkan semua kakitangan lelaki.
"Manakala kakitangan wanita seawal pukul 9 pagi memulakan tugas masing-masing dari proses penyediaan bahan mentah sehinggalah pembungkusan," ujarnya ketika ditemui selepas pembahagian bubur lambuk kepada orang ramai di Bandar Al-Muktafi Billah Shah, Kampung Pasir Raja dan Bandar Bukit Besi kelmarin
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah PPSB, Maliaman Kassim, hadir sama mengacau bubur tersebut untuk diagihkan
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, program gotong-royong oleh kakitangan Permint Plywood itu menyediakan sebanyak 500 bubur lambuk adalah salah satu amalan bersedekah.
“Ramadan tidak dapat dipisahkan dengan amalan bersedekah. Mudah-mudahan kita mendoakan Ramadan ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam catatan amal kehidupan kita dan dapat kita optimumkan ruang dan peluang untuk memperbanyakkan amal dalam kekangan perintah kawalan pergerakan ini,” katanya.
Jelasnya, program julung kali itu sememangnya mencapai matlamat dengan tujuan mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat dan amalan bersedekah.
"Program ini juga bertujuan mengeratkan lagi hubungan bersama masyarakat setempat selain mengimarahkan bulan Ramadan,” katanya.
20 Apr 21
366
MPP PSMZA Sedia Pikul Tanggungjawab
DUNGUN, 20 April - Seramai 29 ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) sesi 2021/2022 bersedia memikul tanggungjawab dengan memberikan komitmen yang tinggi dalam membantu pihak politeknik untuk menjayakan program-program yang direncanakan.
Yang Dipertuanya, Julia Sabreena Mohd Sobri berkata, sesungguhnya amanah yang diberikan amat berat, namun begitu insya-Allah mereka di pihak barisan kepimpinan akan terus mengorak langkah sedaya upaya melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.
"Kami amat memerlukan sokongan padu serta bantuan rakan-rakan, barisan pensyarah serta pihak pentadbiran dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab dengan baik dan jayanya," katanya.
Julia berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai upacara penerimaan watikah di Majlis Watikah Pelantikan MPP PSMZA sesi 2021/2022 di sini, b aru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, pemimpin pelajar berperanan sebagai pemimpin kecil yang dipilih untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab, membantu pensyarah dan pentadbir agar dapat mewujudkan satu persekitaran politeknik yang kemas dan teratur.
"Galaslah tanggungjawab ini dengan penuh rasa tanggunngjawab kerana anda semua adalah pemimpin dan juga tunjang utama, contoh dan juga tauladan bagi rakan siswa yang lain," ujarnya.
19 Apr 21
818
345 Asnaf Terima Sumbangan Keperluan Sambut Ramadan
Oleh : Muhammad Naim Fadhilah Kamaruddin
DUNGUN, 18 April - Seramai 345 orang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura menerima sumbangan barangan keperluan dapur sempena Ramadan kali ini.
Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik pada Majlis Penyampaian Sumbangan Al-Mustadh'afin DUN Sura di Dewan Arena Merdeka, baru-baru ini.
Menurut Wan Hapandi, sebanyak RM207,000 diperuntukkan untuk perbelanjaan program yang dinamakan sebagai Sumbangan Bulanan Al Mustadh’afin bagi tempoh setahun yang melibatkan 4,140 penerima di kalangan asnaf.
"Alhamdulillah, dengan jumlah ini kita mampu menghulurkan bantuan setiap bulan kepada mereka yang benar-benar memerlukan," katanya ketika berucap di majlis tersebut.
Sementara itu katanya, beliau sentiasa mengingatkan setiap Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) agar mengambil cakna keperluan penduduk.
"Saya selalu ingatkan kepada semua JPKK supaya memantau serta melihat sekitar kampung agar tiada lagi mereka yang hidup dalam keadaan susah, melarat serta keadaan yang sempit disebabkan masalah tanggungan keluarga.
"Terima kasih kepada Pengerusi JPKK yang sentiasa menghubungi saya sekiranya ada masalah yang dihadapi orang kampung dan kita akan berbincang mencari jalan penyelesaian", ujarnya.
18 Apr 21
518
Asiah Sebak Dapat Beraya Di Rumah Baharu
KUALA NERUS, 18 April – Sambutan Aidilfitri kali ini pasti lebih bermakna buat enam beranak selepas mereka menerima rumah baharu dalam Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) baru-baru ini
Asiah Jusoh, 45, dari Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir di sini mengakui sebak dan terharu kerana hasrat untuk beraya di kediaman baharu tercapai.
“Alhamdulillah, rezeki bagi saya insya-Allah, inilah sebuah rumah yang ditunggu-tunggu walaupun tak sehebat rumah orang lain dan yang penting dapat saya duduki pada Ramadan tahun ini seterusnya pada hari raya aidilfitri nanti.
“Sekian lama saya nantikan kerana sebelum ni hanya dengan menyewa,” tambahnya lagi.
Dia berkata demikian ketika ditemui media di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Seberang Takir yang disempurnakan Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, baru-baru ini.
Kata Asiah, pemberian itu juga mengembirakan empat lagi anak-anaknya dan suaminya, Sharim Ismail Mohd Zain yang hanya bekerja sebagai pembantu kedai.
“Selepas ini mereka dapat belajar dan berehat dengan lebih selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” jelasnya.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab berkata, objektif utama penyediaan kediaman baharu adalah memberi tempat tinggal yang selesa kepada asnaf fakir atau miskin sebagai salah satu penyelesaian masalah miskin tegar di Seberang Takir.
“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah sendiri kepada rakyat terengganu disamping menepati syarat-syarat yang ditetap,” ujarnya selepas majlis penyerahan replika kunci rumah.
18 Apr 21
1851
Pelajar Seberang Takir Terima Tablet Percuma
KUALA NERUS, 17 April – Seramai 50 pelajar kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima tablet percuma daripada kerajaan negeri Terengganu melalui anak syarikatnya Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) baru-baru inim
Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, inisiatif dibbawah Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu dilaksanakan bagi memudahkan murid mengikuti pembelajaran secara atas talian.
“Seperti yang kita maklum, pandemik Covid-19 setahun lebih telah berlalu, ini menyebabkan sekolah ditutup atau pembelajaran lebih tertumpu secara atas talian dan ia sedikit menjejaskan pembelajaran mereka
“Atas dasar itu, Menteri Besar telah mengumumkan BERKAT PKP 2.0 membabitkan kos RM19 juta dan salah satunya terkandung bantuan tablet kepada keluarga pelajar yang kurang berkemampuan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Bantuan Tablet di Dewan Sivik Seberang Takir.
Seorang pelajar, Muhammad Umar Hakim, 12, mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana pemberian tablet itu.
“Saya akan gunakan sebaik-baiknya dan pemberian ini saya akan kongsikan dengan adik-adik saya," katanya.
17 Apr 21
618
175 Peniaga Bazar Ramadan Disantuni ADUN Manir
HULU TERENGGANU, 15 April - Keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 175 peniaga Bazar Ramadan Pasar Manir di sini, apabila menerima kunjungan dan sumbangan kurma dan takwim Ramadan daripada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Manir, semalam.
Selain itu, program yang turut mendapat kerjasama daripada Penganjur Bazar, Kelab Kebajikan Sahabat Sejahtera Manir juga mengedarkan apron kepada semua peniaga di pasar ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato’ Harun berkata, agihan tersebut bertujuan merapatkan lagi silaturahim antara masyarakat.
"Selain melakukan agihan sumbangan, kita juga turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peniaga-peniaga di sini yang majoriti daripadanya adalah penduduk di kawasan DUN Manir.
"Rata-rata peniaga ditemui menyambut baik program dilaksanakan ini kerana dengan cara ini dilihat mampu menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita.
Hilmi juga berkata, program sebegini merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.
15 Apr 21
804
Tanggungjawab Dalam Perkahwinan
KEMAMAN, 14 April - "Apabila menyebut tentang perkahwinan, janganlah kita lupa pada satu perkara yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dalam alam perkahwinan, iaitu tanggungjawab.
"Tanggungjawab pada erti kata sebenarnya bermaksud amanah atau bebanan yang harus dipikul seseorang sehingga ianya mesti menanggung sebarang permasalahan yang dihadapi orang yang ditanggungnya.
"Lebih spesifik lagi, ia menangggung kesalahan dan dosa orang di bawah jagaannya dan perlu menjawab di akhirat kelak apabila ditanya oleh Allah S.W.T terhadap tanggungannya," itu antara yang dikatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Beliau turut berkata, tanggungjawab tersebut bukanlah hanya kepada pasangan sahaja, tetapi juga merupakan tanggungjawab kepada ibu bapa, ibu bapa pasangan serta seluruh kaum keluarga.
Justeri intipati kata-kata pesanan yang termaktub di dalam khutbah nikah yang telah dibacakan oleh Qadi kepada para pengantin merupakan suatu garis panduan yang perlu dihayati dan diikuti oleh setiap pasangan yang telah bergelar sebagai pasangan suami isteri.
"Tanggungjawab itu juga perlu kita zahirkan kepada pihak kerajaan negeri yang sangat prihatin dan cakna kepada permasalahan serta denyut nadi rakyat.
"Ini termasuk melaksanakan program-program kekeluargaan demi memperkukuhkan modal insan di kalangan rakyat negeri Terengganu," katanya di hadapan lebih 70 orang peserta ketika merasmikan program Forum Bicara Keluarga Jannah yang berlangsung di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), kelmarin.
Forum Bicara Keluarga Jannah itu merupakan kesinambungan dari Program Walimatulurus Perdana yang dilaksanakan sebelum ini.
Ia merupakan salah satu sasaran kerajaan yang prihatin dan cakna kepada rakyat dalam memastikan rakyat di negeri Terengganu ini mendapat pendedahan dan ilmu yang bermanfaat dalam menjalani hidup berkeluarga yang penuh dengan cabaran dan dugaan.
Program berkenaan merupakan anjuran oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT).
14 Apr 21
1211
'Menara Rezeki' Bantu Penduduk
SETIU, 14 April - Pengurusan Masjid Mengabang Telipot, di sini mengambil pendekatan membantu insan memerlukan dengan mengadakan inisiatif 'menara rezeki'.
Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sebuah bilik menara disediakan di masjid berkenaan bagi menempatkan barangan keperluan harian seperti beras, gula, tepung, garam, minyak masak, kicap dan susu itu yang boleh diambil oleh mereka yang memerlukan.
Katanya, selain golongan asnaf, penduduk dan bukan dalam kariah juga boleh mengambilnya jika memerlukan.
"Dengan keadaan ekonomi tidak menentu, terutamanya dalam kalangan mereka yang terputus bekalan asas boleh mengambilnya tanpa bayaran.
“Tiada syarat khusus kepada yang memerlukan. Mereka hanya perlu mendaftar dalam buku yang disediakan sahaja selain menulis barangan yang ingin diambil.
“Ia mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk setempat. Cuma, apa yang kami harapkan ia menjadi kesinambungan meringankan beban insan kurang bernasib baik samada yang bujang dan berkeluarga,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Shafizi berkata, pengurusan masjid mengeluarkan tabung kewangan bagi membeli keperluan pembelian barangan keperluan itu, selain sumbangan dermawan yang prihatin.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan barangan juga amat dialu-alukan bagi membolehkan lebih ramai yang mendapat faedah dan manfaat daripada proram berkenaan.
"Malah, sambutan yang amat memberansangkan daripada individu dan penduduk amat membanggakan dan menjadi antara faktor kejayaan 'Menara Rezeki’ berkenaan," jelasnya.
14 Apr 21
234