lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

PSMZA Ramadan 'Free Market' Platform Raih Pahala
PSMZA Ramadan 'Free Market' Platform Raih Pahala
DUNGUN, 29 April - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun mengadakan Ramadan Free Market sebagai platform untuk kakitangannya meraih pahala di bulan yang dijanjikan Allah SWT ganjaran berganda kepada yang bersedekah. Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail berkata, ia merupakan program yang mengumpulkan pakaian dan barangan serta peralatan rumah untuk disumbangkan kepada golongan yang memerlukan. "Selain daripada pakaian, sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai juga turut diagihkan kepada golongan B40 yang memerlukan," ujarnya. Fikri berkata demikian selepas meninjau program yang diadakan di Dewan Dagang, PSMZA dan dianjurkan Kelab  Kakitangan  PSMZA (S-Club) dan Persatuan Suri dan Anggota Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) baru-baru ini. Menurutnya, program kebajikan berkenaan merupakan tahun kedua diadakan dan mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kehadiran golongan B40 yang datang dari sekitar pusat pengajian itu.  "Pihak pengurusan PSMZA menyambut baik program yang dianjurkan oleh kelab kakitangan dan program sebegini menunjukkan kita sebagai penjawat awam sentiasa prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik," ujarnya. 
29 Apr 21
888
RTB Terkilan Beris Meraga Dan Telok Kalong Diundi
RTB Terkilan Beris Meraga Dan Telok Kalong Diundi
KEMAMAN, 29 April - Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Kawasan Beris Meraga dan Telok Kalong, Kijal diatur penyelesaiannya dengan majlis pengundian lot yang berlangsung kelmarin. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap di majlis tersebut bersyukur dan berterima kasih kepada semua kakitangan yang terlibat dan dengan kesabaran peserta, ianya hampir diselesaikan. Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap. "Alhamdulillah dengan kerja keras oleh semua kakitangan Pejabat Tanah Kemaman, RTB ini akan diselesaikan sehingga ke proses pembahagian geran dengan secepat mungkin. "Berkat kesabaran dan doa dari peserta RTB setelah belasan tahun menunggu saat ini, akhirnya ia berjaya diuruskan walaupun terdapat sedikit kesukaran di situ," ucapnya. Sebelum itu, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh@Wan Ali yang turut berucap berkata, tanah tersebut akan diselesaikan dalam masa terdekat ini. Acara pengundian lot RTB Terkilan. "Insya-Allah, RTB Terkilan di Kijal akan kami selesaikan tahun ini juga walaupun terdapat sedikit kerumitan yang timbul kerana ada sesetengah peserta yang telah meninggal dunia. "Bukan kami sahaja yang bekerja keras, malah ini semua juga hasil dari kerjasama daripada pihak Penyelaras DUN Kijal yang turut memainkan peranannya," katanya. Majlis yang diadakan di Dewan Sivik Kijal itu dihadiri oleh baki peserta seramai 56 orang dari kedua RTB yang dinafikan haknya pada tahun 2004 bagi menentukan lot kediaman masing-masing.  Peserta bergambar sebagai kenangan. Turut hadir ialah Ketua Penolong Pembangunan Tanah Kemaman, Mohamad Hafiz Che Awang, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang, Penghulu Mukim Tebak, Mohd Azlan Ibrahim dan kakitangan Pejabat Tanah yang terlibat serta kakitangan Pejabat Penyelaras DUN Kijal.
28 Apr 21
765
860 Kurang Mampu Dan Anak Yatim Terima Sumbangan Ramadan
860 Kurang Mampu Dan Anak Yatim Terima Sumbangan Ramadan
DUNGUN, 29 April - Seramai 860 orang yang terdiri daripada 560 orang fakir miskin dan 300 anak yatim telah menerima Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang 2021. ADUN Rantau Abang, Alias Harun berkata, sumbangan tahunan yang telah diadakan sekian lama itu terpaksa diadakan di beberapa tempat berasingan mengikut Unit Daerah Mengundi (UDM) untuk mengelakkan perhimpunan yang ramai sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard(SOP). "Bagi UDM Pulau Serai yang terdiri daripada cawangan Batu Tiong, Batu Putih, Pelandang, Bemban dan Pulau Serai diadakan setempat dengan UDM Tok Kah yang  hanya mengandungi Cawangan Tok Kah," katanya. Alias berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sumbangan Ramadan 2021 di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini.  Di majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli itu setiap penerima yang kurang berkemampuan menerima barangan dapur serta wang ringgit manakala anak yatim mendapat duit raya. Katanya, sumbangan itu merupakan acara saban tahun untuk menceriakan mereka yang kurang berkemampuan dan anak yatim dalam membuat persiapan menyambut hari raya.  Dalam pada itu, Alias turut mengingatkan agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka yang cukup 21 tahun mendaftar sebagai pemilih.  "Kalau ibu bapa sendiri belum lagi mendaftar, segeralah berbuat demikian, rugi kalau tidak mendaftar kerana akan menafikan hak untuk kita mengundi memilih wakil kita di Dewan Undangan Negeri dan di Parlimen," katanya lagi.   
28 Apr 21
279
Warga Dungun Diseru Daftar Suntikan Vaksin COVID-19
Warga Dungun Diseru Daftar Suntikan Vaksin COVID-19
DUNGUN, 27 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyeru warga Dungun agar segera mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera. Katanya, orang ramai sepatutnya tidak menolak untuk mendapatkan suntikan ini yang merupakan salah satu usaha bagi mengekang penularan wabak COVID-19. "Saya dimaklumkan sebelum ini, bilangan penduduk Dungun yang mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 ini ditangga keempat daripada lapan daerah di Negeri Terengganu, tetapi dalam sehari dua ini, bilangannya merudum, jatuh tempat kedua tercorot, ini bermakna ramai yang takut-takut untuk mendapatkan suntikan berkenaan," katanya.  Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sumbangan Ramadan DUN Rantau Abang yang diadakan di Dewan Al-Husna, Darul Ansor Kampung Alor Mak Bah di sini, baru-baru ini.  Dalam majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli itu seramai 150 orang fakir miskin dan 33 orang anak yatim telah menerima sumbangan.  Katanya , beliau sendiri telah selesai mendapatkan dua dos suntikan vaksin dan alhamdulillah tiada apa yang tidak diingini berlaku.  "Saya berharap janganlah kita mempercayai pelbagai khabar angin yang disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan tolonglah daftar sebagai ikhtiar kita mengelak daripada dijangkiti wabak ini," ujarnya.
27 Apr 21
507
Perkasa Kebajikan Ramadan, Lebarkan Senyuman
Perkasa Kebajikan Ramadan, Lebarkan Senyuman
Oleh : Amiruddin Zamri DUNGUN, 29 April - Kerajaan negeri menggerakkan usaha kebajikan pada bulan Ramadan dengan menyasarkan golongan anak yatim, Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan lain-lain lagi sehingga ke kawasan pedalaman di Hulu Dungun. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, antara inisiatif diambil adalah melalui sumbangan hamper dan wang tunai kepada 141 orang anak yatim melalui Program Titip Kasih Ramadan 2021. “Program anjuran dan kerjasama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Terengganu dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi. "Semoga sedikit sebanyak meringankan beban serta memberi kegembiraan kepada mereka semua,” katanya yang juga merangkap Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN). Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program tersebut yang berlangsung di Balora Bandar Al Muktafi Billah Shah, baru-baru ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman memaklumkan, Program Agihan Bakul Makanan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah membantu. Tambahnya, Bukit Besi dan Rantau Abang juga, seramai 961 orang penerima bantuan JKM terdiri daripada warga emas, gelandangan dan OKU turut dibantu pada bulan ini. “Sama ada melalui Program Agihan Bakul Makanan oleh JKM serta pelbagai insiatif serta program-program tertentu bagi meringankan beban yang dihadapi bagi mendepani pandemik yang melanda ketika ini,” katanya.
27 Apr 21
148
91 Orang Golongan Sasar Terima Sumbangan Bakul Ramadan
91 Orang Golongan Sasar Terima Sumbangan Bakul Ramadan
DUNGUN, 26 April - Seramai 91 penerima yang terdiri dari golongan fakir miskin menerima sumbangan 'Bakul Ramadan' daripada Masjid Taman Hadhari Paka. Pengerusi Masjid Taman Hadhari Paka, Tengku Amran Tengku Awang berkata, sumbangan bantuan makanan itu diagihkan di kawasan sekitar masjid berkenaan. "Kita bagi Bakul Ramadan ini melalui wakil Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) yang berdekatan dengan masjid. "Antaranya JPKK Kuala Paka oleh Haji Marzuki dan JPKK Cacar Baru oleh Ustaz Azman Ali ," katanya ketika dihubungi pemberita. Menurutnya lagi, pihak JPKK akan mengagihkan batuan tersebut kepada golongan sasar mengikut senarai nama yang ada padanya. "Setiap penerima akan dapat barangan dapur dengan nilaian RM100 yang dikeluarkan daripada kewangan masjid." "InsyaAllah pemberian ini dapat menampung serba sedikit bebanan yang ditanggung oleh mereka," ujarnya.
26 Apr 21
324
Edar Bubur Lambuk Rapatkan Ukhwah
Edar Bubur Lambuk Rapatkan Ukhwah
Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 25 April - Setiap kali menjelang Ramadan pelbagai pihak akan menjadikan program edaran bubur lambuk sebagai amalan tradisi yang diyakini mampu mengeratkan hubungan masyarakat setempat. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, komuniti di sini juga turut mengadakan program sedemikian secara gotong-royong. "Kami adakan edaran bubur lambuk secara gotong-royong melibatkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan penduduk setempat. "Aplikasi kaedah agihan adalah secara pandu lalu, namun ia mengikut kesesuaian di mana setiap JPKK akan mengagihkannya di kawasan tumpuan yang berlainan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Agihan Bubur Lambuk Perdana di Surau Seren di sini semalam. Program yang diadakan itu melibatkan JPKK Bukit Besi, Besol dan Perumahan Bukit Besi. "Kita adakan program ini mengikut giliran mukim, insya-Allah semoga ia akan menjadi antara program yang dapat mengembirakan semua pihak dalam menghayati Ramadan pada kali ini. "Di samping program-program yang kita adakan sepanjang Ramadan ini insya Allah," ujar Ghazali.  
25 Apr 21
375
200 Asnaf dan Anak Yatim Dirai Sempena Ramadan
200 Asnaf dan Anak Yatim Dirai Sempena Ramadan
KUALA NERUS, 25 April - Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak yatim dan asnaf dari Kuala Nerus apabila menerima sumbangan Infaq Ramadan serta bakul barangan asas yang telah disampaikan oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali. Seramai 200 orang anak yatim dan asnaf dari Kuala Nerus yang merangkumi 25 orang anak yatim dan 25 orang asnaf dari setiap empat buah Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Kuala Nerus telah menghadiri majlis penyerahan sumbangan dan majlis berbuka puasa berkenaan. Diadakan di Duyong Marina, majlis itu turut dihadiri wakil Malaysian Palm Oil Association (MPOC) dan Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM) ybagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf serta dalam masa yang sama mempromosikan kecemerlangan industri minyak sawit di Malaysia. Menurut Dr Khairuddin, sumbangan itu turut disumbangkan oleh MPOC dan PORAM . "Kita berharap sumbangan yang diadakan hari ini dapat meningkatkan lagi siri-siri infaq Ramadan kerana sememangnya Ramadhan terkenal dengan bulan infaq," katanya. Dalam pada masa yang sama, majlis turut meraikan seorang pelajar cemerlang dari Felda Tengkawan Kuala Berang, Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, yang telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik Malaysia serta ketujuh terbaik dunia dalam Peperiksaan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dalam subjek Laporan Perniagaan Strategik.  Nurul Fatin Nabihah ketika ditemubual turut menyatakan rasa terima kasih atas saguhati yang diberikan. “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dr Khairuddin atas saguhati yang diberikan dan berharap semoga generasi kini mampu berusaha bersungguh-sungguh dan sentiasa dekatkan diri kepada Allah bagi mencapai kejayaan," ujarnya. Beliau telah menerima saguhati sebanyak RM2,000 dari Dr Khairuddin atas kejayaan yang telah diperoleh serta telah mengharumkan nama sebagai seorang anak kelahiran felda dan Malaysia.
24 Apr 21
355
Mangsa Banjir Di Seberang Takir Terima Bantuan RM1,000
Mangsa Banjir Di Seberang Takir Terima Bantuan RM1,000
KUALA NERUS, 22 April – Seramai 145 mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima bantuan sekali bayaran berjumlah RM1,000 kelmarin. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, bantuan itu diberikan kepada mereka yang menjadi mangsa banjir November tahun lalu. “Sumbangan RM500 masing-masing daripada Pejabat Daerah Kuala Nerus dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) diharap mampu meringankan beban keluarga terlibat. “Ini adalah usaha kita dalam membantu mereka selepas ujian yang menimpa mereka penghujung tahun lalu. “Ada juga mangsa banjir yang tak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi turut menerima bantuan ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Mangsa Banjir Tahun 2020 DUN Seberang Takir yang diadakan di Dewan Serbaguna Tok Jembal di sini. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Masyarakat), Muhd Azman Shukri, serta Penghulu Mukim Seberang Takir, Mohd Khairi Ghazali. Terdahulu, Mohd Khairi berkata, beliau lega selepas bantuan itu dapat diagihkan kepada mangsa banjir yang terjejas. “Alhamdulillah, kita berjaya selesai dan mempercepatkan agihan bantuan ini dan kebetulan kita akan menyambut syawal tak lama lagi, bolehlah gunakan sumbangan ini,” ujarnya. Seorang penerima, Zaini Mat Ali, 55, berkata, ketika banjir baru-baru ini, dia mengalami banyak kerugian kerana tidak dapat mengangkat barang-barang sehingga menyebabkan ia rosak. “Ketika banjir melanda, saya hanya bersama empat orang anak perempuan manakala suami bekerja di Sabah. “Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri cakna kepada saya dan saya memohon supaya pihak bertanggungjawab meneliti keadaan kampung saya memandangkan banjir setiap tahun,” katanya.  
22 Apr 21
339
Pembangunan Infra Bukit Besi Terus Diberi Perhatian
Pembangunan Infra Bukit Besi Terus Diberi Perhatian
Oleh: Amiruddin Zamri DUNGUN, 25 April - Pembangunan infrastruktur seperti kerja-kerja menaik taraf serta membaik pulih jalan kampung, penyelenggaran longkang bermasalah serta kerja-kerja berkaitan terus diberikan perhatian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi secara menyeluruh. Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman berkata, ia perlu dipastikan tetap berjalan dengan lancar walaupun di bulan Ramadan bagi memastikan keselesaan serta kebajikan rakyat tetap terpelihara. "Kerja ini berjalan melalui peranan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang telah bertindak sebagai perantara menyalurkan maklumat mengenai aduan yang dibuat oleh setiap penduduk kepada pihak saya kemudian dipanjangkan kepada pihak berkaitan. "Maka tindakan sewajarnya telah diambil untuk memastikan setiap masalah dihadapi rakyat dapat diatasi secara berperingkat," ujarnya ketika ditemui pemberita, di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, dengan tumpuan secara menyeluruh akan meminimakan beban yang dialami rakyat di DUN tersebut. "Agar tiada yang terlepas pandang, malah secara tidak langsung ia memfokuskan kesejahteraan rakyat yang tetap menjadi keutamaan. "Serta menzahirkan sikap bahawa kita sangat komited untuk terus memajukan serta membangunkan DUN ini, dengan setiap penyelesaian kepada masalah-masalah ini akan menjadi di antara sebahagian perkara yang mengembirakan rakyat di sini," ujar Ghazali.
22 Apr 21
306