Artikel "Komuniti" Terkini
Rakyat Besut Dirayu Duduk Di Rumah
BESUT, 24 Mei - Seluruh rakyat Besut dirayu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk kekal berada di rumah jika tiada keperluan keluar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha itu amat penting bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 yang semakin mengganas.
"Saya jarang keluarkan rayuan atau kenyataan minta kita semua duduk di rumah, namun terpaksa dirayu ramai orang kita sendiri tak duduk diam di rumah.
"Sekali ini sahaja nak minta tolong jangan keluar rumah jika tiada keperluan. Biarlah tak nak duduk di rumah pun asalkan jangan keluar rumah.
"Kes COVID-9 di Besut belum menampakkan trend penurunan. Kerajaan dah bagi beberapa ruang kelonggaran dalam SOP PKPD demi kelangsungan kehidupan rakyat. Manfaatkan sebaiknya dan jangan salah guna," katanya dalam satu kenyataan melalui laman sosial rasminya hari ini.
Sementara itu menurut Dr Azman, dalam menghadapi situasi yang sukar sekarang ini, pihaknya juga adalah bertanggungjawab berada di barisan hadapan bagi menyelesaikan pelbagai isu rakyat.
"Sebab itu kami diberikan kebenaran pergerakan untuk rentas daerah dan negeri dalam keadaan rakyat dinasihatkan supaya duduk di rumah. Ia bukan keistimewaan, tapi merupakan pelaksanaan tanggungjawab.
"Tanggungjawab kami tidak sempurna dilaksanakan secara atas talian (online). Tambah-tambah lagi apabila sektor yang dijaga adalah Senarai Perkhidmatan Perlu yang melibatkan rakyat umum terbanyak yang tidak berapa ambil tahu apa itu ‘online’.
"Janganlah anggap keistimewaan apabila kami boleh ke kebun, ladang, sawah, jeti nelayan dan sebagainya kerana kami juga sebagai manusia kalau boleh tentulah kami pilih untuk duduk bersama keluarga, anak dan isteri," jelasnya lagi.
24 May 21
320
PKP 3.0: Suasana Suram Di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 23 Mei – Suasana sekitar Bandar Kuala Berang dan Pekan Ajil di sini kelihatan sedikit suram susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun 2021.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati premis perniagaan beroperasi seperti biasa namun pengunjung bagi mendapatkan barangan keperluan kini agak sunyi berbanding sebelum ini.
Manakala di Sekatan Jalan Raya (SJR) Pekan Ajil menghala ke pusat bandar ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, jumlah kenderaan yang dilihat di daerah ini berkurangan berikutan ramai penduduk memilih untuk mematuhi arahan dengan duduk di rumah masing-masing.
Ia jauh berbeza dengan keadaan sebelum ini, yang mana daerah ini sentiasa sibuk dengan jumlah kenderaan yang banyak terutama pada hari bekerja.
Peniaga pakaian, Nor Azila Elias, 34 berkata, jualannya agak merosot sebelum hari raya Aidilfitri lagi berbanding tahun lepas dan berikutan kekurangan pelanggan.
"Sebelum ini, jualan agak baik namun mula berkurangan apabila PKP dilaksanakan kerana prosedur operasi standard (SOP) tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis hari raya dan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri.
"Kebanyakan pengunjung Bandar Kuala Berang pada musim tibanya perayaan adalah anak anak perantau yang pulang berhari raya untuk mendapatkan pelbagai barangan raya masing-masing," ujarnya.
Dia berkata, kini pelanggan dari luar tidak dapat merentas daerah susulan PKP dilaksanakan di seluruh negara menyebabkan perniagaan di Kuala berang hanya bergantung kepada penduduk Hulu Terengganu sahaja.
"Bayangkan, banyak pakaian tidak terjual apabila hanya tiga ke empat pelanggan sahaja yang datang dalam sehari sejak PKP dikuatkuasakan berbanding ramai pelanggan setiap hari sebelum ini," katanya.
Bagi peniaga ayam, Abd Razak Omar, 45 pula berkata, peniaga barangan basah sepertinya turut menerima nasib sama sebelum hari raya lagi.
"Jualan agak merosot dan tidak sebanyak dahulu namun nasib saya agak baik sedikit berbanding peniaga pakaian disebabkan barangan basah ini tidak hanya khusus untuk Aidilfitri sahaja," katanya.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, dia turut mendapati suasana Pekan Ajil yang agak suram apabila masyarakat tidak keluar melakukan aktiviti seperti sebelum ini kerana pematuhan PKP yang dilaksanakan.
Jelas beliau, situasi yang berlaku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) usaha tersebut tidak lain bertujuan untuk memastikan keselamatan rakyat di negara ini.
"Kita semua kena faham bukan tujuan kerajaan untuk menyusahkan. Segala yang diputuskan oleh kerajaan ada hikmah di sebaliknya dan sudah tentu untuk kebaikan rakyat keseluruhannya.
“Oleh itu apa yang perlu kita lakukan adalah mematuhi setiap arahan serta perlaksanaan PKP ini bagi membolehkan apa yang dirancang kerajaan berjaya dan semestinya untuk kepentingan semua,” katanya
23 May 21
2528
'Kami Juga Penat, Rindu Keluarga'
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Di kala netizen mula meluahkan rasa penat kerana terpaksa menjalani hidup dengan penuh kesukaran termasuk beberapa Perintah Kawalan Pergerakan berbeza, petugas kesihatan turut mengakui perkara sama namun menganggap ia sebagai pengorbanan untuk 'memerdekakan' negara.
Doktor Pakar Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Nurul Ashikin Adnan berkata, letih tidak patut dijadikan alasan ketika ini sebaliknya semua pihak perlu bekerjasama dan cekal dalam membendung pandemik COVID-19.
"Rakyat merasa letih kerana tidak boleh melakukan perkara yang mereka selalu buat sebelum ini seperti tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri.
"Kami juga tidak boleh lari daripada perasaan demikian, namun perlu teruskan juga kerana ia merupakan amanah dan jalan untuk kita selamatkan negara, walaupun jelas kepenatan pada setiap petugas, malah berisiko lebih tinggi untuk menjangkiti ahli keluarga apabila pulang ke rumah.
"Sebagai manusia biasa sebahagian kami juga turut merindui ahli keluarga masing-masing, kerana kebanyakan bukan orang Terengganu, ada yang dah dua tahun tidak menemui keluarga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di HSNZ, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pesakit COVID-19, Dr Nurul Ashikin berkata, merawat individu positif pandemik merupakan detik yang sangat sukar dan mencabar dalam hidup terutama apabila berhadapan dengan mereka yang berada di ambang kematian.
"Terutama di waktu kita hendak memaklumkan kepada ahli keluarga pesakit bahawa keadaan dah semakin teruk, ia bukan mudah buat kami.
"Jika mereka boleh diselamatkan itu merupakan perkara yang sanggat mengembirakan. Tetapi perlu diingat virus ini bukan sesuatu yang biasa dan tidak mudah," ujarnya.
Oleh kerana itu katanya sangat wajar untuk setiap anggota masyarakat mengikuti saranan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Dr Noor Hisham Abdullah agar setiap rakyat melakukan 'self lockdown'.
"Bantulah kami petugas kesihatan, kalau tidak ada keperluan jangan keluar terus mematuhi SOP, serta pemakaian topeng dan penjarakkan sosial perlu diamalkan jika perlu keluar untuk menyelesaikan perkara penting.
"Kerana itu merupakan langkah yang terbaik untuk dihentikan penularan wabak ini," jelasnya.
23 May 21
4296
Lebih 400 Pelita Terangi Malam Raya Keluarga Zamani
KUALA NERUS, 13 Mei – Budaya malam pelita raya bagi menghidupkan suasana Aidilfitri diteruskan dengan rekaan tersendiri oleh sebuah keluarga di Kampung Padang Air.
Menurut Mohammad Zamani Harun, 45, lebih 400 pelita digunakan dengan reka bentuk unik menerangi kawasan rumahnya.
“Kos minyak kira-kira RM80 sehari, ia digunakan kerana harganya lebih murah berbanding minyak tanah.
“Setakat ini kami membelanjakan lebih RM500 untuk minyak diesel, pelita besi dan menggunakan kayu buluh untuk dijadikan pelita.
“Dengan adik beradik yang tinggal berdekatan disini, jadi ia memeriahkan dan memudahkan aktiviti menghiaskan sekeliling kediaman,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Tambahnya, penggunaan buluh sebagai pelita raya turut menjimatkan kos berbanding membeli pelita biasa namun cabarannya datang daripada mencari saiz yang sesuai.
Sementara itu, Zamani turut mencetuskan idea untuk membina replika kapal selam KRI Nanggala 402 yang karam di Indonesia baru-baru ini sebagai tanda mengingati pengorbanan mereka.
“Untuk memasang rekaan kapal selam itu pula memakan masa sehari, namun usaha itu berbaloi kerana ramai datang berkunjung untuk bergambar.
“Tahun lepas juga kita jadikan kereta using sebagai tarikan, ini adalah amalan tradisi keluarga yang diteruskan walaupun dalam norma baharu serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Walaupun hari raya disambut secara sederhana, aktiviti sebegini menaikkan semangat Aidilfitri dan eratkan hubungan kami sekeluarga," jelas Zamani.
13 May 21
752
PSMZA Sedia Lapan Bas Untuk Pelajar Balik Kampung Sempena Aidilfitri
DUNGUN, 9 Mei- Bersempena cuti semester dan Aidilfitri tidak lama lagi, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) menyediakan lapan buah bas untuk membawa pelajarnya pulang ke kampung halaman masing-masing.
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA, bas tersebut adalah daripada PSMZA dan turut disewa bagi melancarkan proses menghantar pulang pelajar seramai 200 orang.
"Mereka yang merentas negeri akan menaiki bas untuk pulang ke kampung dengan seorang pensyarah pengiring, manakala yang tinggal dalam Negeri Terengganu, ibu bapa akan datang untuk membawa pulang anak-anak mereka," jelasnya ketika dihubungi di sini.
Sementara itu Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail turut meluangkan masa meninjau kepulangan pelajar menaiki bas dan mengucapkan selamat jalan.
"Semua pelajar hendaklah sentiasa menjaga keselamatan dan patuh dengan arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak COVID-19,” pesannya.
09 May 21
1353
PKP Besut : Semua Pihak Digesa Patuhi SOP
BESUT, 8 Mei – Semua pihak digesa untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar penularan COVID-19 di daerah ini dapat dibendung dengan segera.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pengisytiharan PKP di seluruh Besut kecuali di Mukim Hulu Besut menggambarkan situasi yang agak cemas.
Yang Dipertua PAS Kawasan Besut itu, peningkatan ketara kes positif pandemik berkenaan adalah sesuatu yang merisaukan rakyat.
“PAS Kawasan Besut sangat berharap agar rakyat di parlimen Besut mengikuti dan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari semasa ke semasa.
“Pematuhan terhadap SOP harus dijaga oleh semua pihak. Kawalan pergerakan dan penjarakan sosial sangat mustahak di samping penggunaan ‘hand sanitizer’ dan pelitup muka,” katanya kepada UPDI hari ini.
Menurutnya, jika penetapan angka oleh pihak KKM tidak berubah dan meningkat maka Besut akan kekal dengan zon merah.
“Bagi zon merah (41 kes dan ke atas), Zon Jingga (20-40 kes), Zon Kuning (1-19 kes) dan Zon Hijau (0 kes), maka di hari pertama PKP di Besut kita berada di zon merah dengan 47 kes baharu di samping kes aktif (229), jumlah sembuh (948), jumlah kematian (8) dan kumulatif kes (1,185).
“Saya menyeru semua pihak mengambil berat soal pematuhan SOP. Kita bimbang peningkatan kes ini semakin memuncak.
“Tidak mustahil jika keadaan semakin serius beberapa kemudahan akan ditarik balik termasuk keizinan untuk solat Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.
08 May 21
285
530 Keluarga Sekitar Paka Terima Bantuan Beras
DUNGUN, 8 Mei – Seramai 530 keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menerima 10 kilogram beras sempena Program Sekampit Beras Satu keluarga.
Pengerusi Masjid Taman Hadhari Paka, Tengku Amran Tengku Awang berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi membantu keluarga yang kurang berkemampuan.
“Program ini kita buat untuk menyasarkan seramai 300 keluarga sahaja, tetapi sumbangan yang diterima melebihi daripada sasaran sehingga mencapai 530 keluarga.”
“Keluarga tersebut terdiri dikalangan fakir miskin, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan Mualaf,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media usai program berkenaan.
Program anjuran Masjid Hadhari Paka itu diadakan saban tahun bagi membantu masyarakat di sekitar Paka ini.
Di samping itu kata Tengku Amran, pengagihan yang dibuat pada kali ini sedikit berbeza dari tahun sebelum – sebelum ini bagi mematuhi SOP COVID-19.
“Bagi melancarkan pengagihan, pihak masjid menyalurkan beras tersebut kepada 12 Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Paka untuk agihan iaitu lapan di Zon B dan 4 do Zon A,” jelasnya.
Menurutnya lagi, pengagihan sekampit beras tersebut akan mendarat di kawasan Felda pula selepas ini.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua masyarat yang membeli dan menyumbang beras kepada masjid.
“Harapan saya, dengan sumbangan ini dapat meringankan bagi golongan memerlukan bagi menyambut Hari Raya Aidilfiri,” ujarnya lagi.
08 May 21
665
Lagi Serahan Suratan Hak Milik Tanah Terkilan Di Kijal
KEMAMAN, 8 Mei - Penyerahan geran dan borang 5A tanah Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan 2004 terus berjalan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal.
Kelmarin seramai 215 orang lagi menerima suratan hak milik dan borang 5A yang melibatkan RTB kategori kediaman di Bukit Panjang, Beris Meraga, Teluk Kalong, Pondok Pasir dan RTB kategori pertanian iaitu di Sungai Mekelok.
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid ketika berucap di majlis perasmian bersyukur kerana diberikan nikmat di bulan yang mulia ini.
"Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah kerana pada bulan Ramadan bulan yang mulia ini kita semua dianugerahkan nikmat setelah 17 tahun kita nantikan iaitu semenjak tahun 2004.
Ustaz Che Alias Hamid sedang berucap.
"Ini adalah salah satu janji Kerajaan PAS Negeri Terengganu yang telah berjaya ditunaikan dengan kerjasama Pejabat Tanah iaitu menyelesaikan masalah tanah rakyat yang dinafikan di negeri Terengganu," ucapnya.
Che Alias juga mengingatkan peserta yang menerima borang 5A supaya dapat menjelaskan bayaran premium tanah yang dianugerahkan.
"Saya mengharapkan agar semua yang menerima tanah ini dapat menjelaskan bayaran premium tanahnya secepat mungkin.
Salah seorang penerima geran hakmilik RTB Terkilan 2004.
"Jika tidak mampu untuk melunaskan kesemuanya dalam satu masa, ianya juga boleh dilakukan secara berperingkat di Pejabat Tanah," katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh, Ketua Penolong Pentadbir Tanah Kemaman, Wan Saifullizam Wan Jusoh@Wan Ali, Ahli Majlis Perbandaran Kemaman, Zabidin Awang serta kakitangan Pejabat DUN Kijal dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman yang terlibat.
Majlis tersebut berlangsung di Dewan Sivik Kijal dengan mengikut peraturan pencegahan penularan wabak Covid-19 yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Di akhir ucapannya, Ahli Parlimen Kemaman itu juga menyeru agar semua rakyat Kemaman mendaftarkan diri untuk divaksinasikan dengan vaksin anti Covid-19 oleh kerajaan.
06 May 21
1467
1,370 Keluarga Di Rantau Abang Terima Sumbangan Bakul Makanan
DUNGUN, 6 Mei- Seramai 1,370 keluarga yang terdiri daripada penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menerima sumbangan bantuan Bakul Makanan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, sumbangan tersebut adalah inisiatif agensi kerajaan itu di dalam usaha membantu kerajaan negeri bagi menjayakan Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 2021 dan kerajaan Persekutuan, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat (PERMAI) 2021.
"Terimakasih kepada JKM dan tahniah kepada penerima yang mungkin sebelum ini tertanya - tanya sebab apa tidak menerima sumbangan seperti RM100 kepada pekerja kedai makan, tukang gunting dan sebagainya, dan inilah rezeki tuan puan, Bantuan Bakul Makanan untuk penerima JKM yang juga bernilai RM100 ,"katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Bakul Makanan JKM di Balai Raya Kampung Che Lijah di sini.
Katanya, jumlah penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang itu merupakan yang teramai dalam DUN, Parlimen Dungun.
"Ini menunjukkan penduduk di DUN Rantau Abang merupakan penerima teramai bantuan bulanan daripada JKM seperti bantuan warga emas, ibu tunggal ataupun Orang Kelainan Upaya (OKU)dan banyak lagi kategori yang lain," ujarnya.
05 May 21
565
40 Pelajar Asnaf PSMZA Terima Sumbangan Aidilfitri
DUNGUN, 5 Mei- Seramai 40 pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang digolongkan sebagai asnaf dari kalangan anak yatim dan fakir miskin menerima sumbangan sempena Ramadan kali ini.
Di majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) itu setiap pelajar menerima wang tunai hasil sumbangan kakitangan PSMZA untuk digunakan sebagai persiapan menyambut hari raya yang akan tiba tidak lama lagi.
Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail berkata, beliau merakamkan ucapan terima kasih diatas sumbangan hasil daripada kutipan para pensyarah dan kakitangan pusat pengajian tersebut yang prihatin.
Beliau juga berpesan agar pelajar yang menerima sumbangan berbelanja dengan berhemah.
"Disamping itu, tekun dalam mengulangkaji pelajaran memandangkan peperiksaan akan bermula selepas raya nanti," ujarnya dalam ucapan ringkas di majlis yang diadakan di Pusat Islam PSMZA.
05 May 21
393