lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Pendapatan Pemandu Teksi Terjejas, Dr Khairuddin Salur Bantuan Keperluan Harian
Pendapatan Pemandu Teksi Terjejas, Dr Khairuddin Salur Bantuan Keperluan Harian
KUALA NERUS, 3 Jun - Prihatin dengan nasib pemandu teksi yang terkesan dengan pandemik Covid-19, Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus mengambil inisiatif membantu seramai 60 pemandu daripada Persatuan Pemandu Teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, baru-baru ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali ketika dihubungi berkata, pihaknya terpanggil membantu golongan tersebut setelah mengambil maklum kesukaran yang dialami mereka setelah sektor tersebut kurang mendapat sambutan ekoran pandemik Covid-19. “Sejak menganjurkan program bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ini kali kedua pihak kami berikan sumbangan kepada pemandu teksi,” katanya. Terdahulu, kesemua pemandu teksi menerima bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan makanan asas yang lain berserta wang tunai dalam Majlis Sumbangan Kasih Ramadan dan Hari Raya awal Mei baru-baru ini. Sementara itu, pemandu teksi, Rostam Mokhtar, 48, berkata, situasi pada ketika ini amat menyukarkannya untuk mendapat penumpang, malah ada hari tiada penumpang yang menaiki teksinya. “Kebiasaannya, saya meraih pendapatan sekitar RM50 hingga RM100 sehari. Sekarang, nak dapat RM20 sehari pun sukar. Hampir 60 peratus pendapatan saya menurun. “Dengan pendapatan yang sangat sedikit, hendak beli barang keperluan agak sukar, namun dengan adanya bantuan ini saya bersyukur dan ianya amat membantu,” ujarnya. Pegawai Penyelaras Parlimen DUN Seberang Takir, Azmi Mokhtar menyampaikan bekalan beras dan minyak kepada wakil persatuan untuk diagihkan kepada ahli-ahli yang memerlukan. "Yakinlah, setiap ujian itu akan hadir bersamanya hikmah yang besar sekiranya dilalui dengan sabar dan berikhtiar menyelesaikannya.  "Sama-samalah kita berdoa semoga wabak Covid-19 ini diangkat oleh Allah SWT dengan segera," ujar beliau menyampaikan pesanan Dr. Khairuddin.
31 May 21
181
Peniaga Sambut Baik Pengumuman SOP 'Lockdown'
Peniaga Sambut Baik Pengumuman SOP 'Lockdown'
KUALA NERUS, 30 Mei – Rata-rata peniaga meluahkan rasa gembira dengan pengumuman prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) yang diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) petang tadi. Peniaga nasi bajet, Fadhil Asyraf, 32, bersyukur apabila kerajaan membenarkan sektor makanan seperti kedainya dapat beroperasi walaupun syarat yang ketat. “Memang rasa lega apabila dibolehkan berniaga seperti biasa walaupun mungkin kehadiran pelanggan berkurang cuma kerana hanya dibenarkan bungkus. “Tambahan pula kaedah serahan semasa (COD) juga dibenarkan, jadi saya memanfaatkan apa yang dibenarkan walaupaun tak semeriah jual di gerai,” ujarnya ketika dihubungi Urusetia Penerangan Darul Iman selepas pengumumam petang tadi. Bagi peniaga santan, Afiq Jafni Amran, 31, pula berkata keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu sudah dijangka kerana telah tular di media sosial SOP yang dibenarkan sebelum pengumuman lagi tetapi beliau ingin lebih kepastian. “Dulu PKP pertama memang sektor saya dibenarkan, kawalan pun sangat ketat, alhamdulillah kali ini kerajaan faham denyut nadi rakyat dan membenarkan sektor makanan," katanya. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, beliau menyambut baik dengan pengumuman tersebut dan berterima kasih kepada kerajaan Perikatan Nasional berikutan banyak rungutan peniaga. “Saya banyak menerima aduan peniaga terutama peniaga dalam Seberang Takir sendiri yang mahu supaya berbuat sesuatu jika perniagaan tidak dapat dibenarkan. “Dengan pengumuman MKN petang tadi ternyata melegakan peniaga-peniaga dan saya menasihatkan jagalah SOP yang ditetapkan supaya tidak ada kes seterusnya boleh menyebabkan sektor ekonomi ditutup,” ujarnya lagi. Petang tadi, kerajaan mengumumkan 17 sektor yang dibenarkan beroperasi termasuk sektor perniagaan makanan.
30 May 21
542
40 Tahun Hidup Bersumberkan Air Telaga
40 Tahun Hidup Bersumberkan Air Telaga
SETIU, 29 Mei - Penantian kira-kira 40 tahun penduduk Kampung Wakaf Tengah, Gong Awang Lib dan Mengabang Lekor di sini untuk mendapatkan bekalan air bersih secara terus ke rumah berakhir selepas pemasangan paip utama mula berjalan. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar memberi manfaat kepada lebih 30 buah keluarga. Katanya, selama ini keluarga terbabit bergantung hidup kepada air telaga sepenuhnya. "Kos bagi sambungan baru amat tinggi dan dikhuatiri menjadi beban kepada penduduk yang baru membuat permohonan.  "Jadi saya mewakili pihak DUN mengucapkan terima kasih kepada pihak Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir yang selama ini begitu cakna untuk  menyelesaikan masalah ini. "Selama ini kediaman penduduk yang berada di jalan utama tidak menghadapi masalah, namun penduduk yang tinggal jauh sedikit dari jalan besar sebaliknya. "Alhamdulillah sangat bersyukur apabila masalah ini telah diatasi, dan sekarang ini projek pemasangan paip ini sedang dijalankan lebih 50 peratus, seluruh penduduk menyambut gembira," ujarnya kepada pemberita semalam. Dalam pada itu, Shafizi mengharapkan agar penduduk Kampung Wakaf Tengah, Gong Awang Lib dan Mengabang Lekor akan dapat melakukan aktiviti harian seperti kawasan lain. "Bekalan air yang diterima akan membantu penduduk memenuhi keperluan harian. "Juga diharapkan anak-anak muda yang berhajat untuk mendirikan rumah di kampung ini dapat diteruskan, selama ini alasan mereka disebabkan ketiadaan bekalan air, semoga kawasan ini selepas ini akan pesat membangun dan akan membantu penduduk bagi melakukan pelbagai kegiatan ekonomi," ujarnya. Sementara itu, bagi penduduk kampung, kemudahan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan mereka. Anuar Ngah, 51, berkata khabar terbaru itu sangat mengembirakan dirinya setelah sekian lama tinggal di kampung terbabit. "Selama ini saya terpaksa bergantung dengan air telaga. Kalau hujan adalah air kalau tidak telaga akan jadi kering, untuk air minum pula kita ambil air dari surau.  "Sekarang ini rasa suka sangat alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat termasuk Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)," ujarnya.
29 May 21
351
JPKK Bantu Orang Ramai Suntik Vaksin
JPKK Bantu Orang Ramai Suntik Vaksin
KUALA TERENGGANU, 27 Mei-  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) terus memainkan peranan proaktif dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk mengambil suntikan vaksin COVID-19. Bendahari JPKK Lorong Tekukur, Adnan Sulong berkata pihaknya melakukan pelbagai cara untuk menjadikan masyarakat bersikap positif terhadap kepentingan mendapatkan suntikan vaksin. "Antaranya dengan menggerakkan grup 'WhatsApp' komuniti Lorong Tekukur, seterusnya kepada grup 'WhatsApp' taman-taman dengan mewar-warkan kepentingan vaksinasi ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman. Dengan itu kata beliau, pihaknya dapat mengenal pasti dan seterusnya membantu mereka yang menghadapi masalah untuk membuat pendaftaran suntikan vaksin COVID-19.  Sementara itu, Pengerusi JPKK Bukit Bayas, Wan Mokhtar Wan Kadir pula berkata, hebahan-hebahan melalui masjid  juga diadakan dengan pengedaran risalah tentang kepentingan mengambil suntikan vaksin COVID-19.  "Di samping itu kita juga mengadakan lawatan dari rumah ke rumah yang diketahui ada warga emas, di mana kebanyakan mereka tidak mendaftar MySejahtera, jadi kita tolong mendaftarkan mereka yang layak dengan menyediakan borang-borang pendaftaran.  "Kita juga mengharapkan anak-anak, saudara mara dan juga jiran tetangga dapat membantu warga emas di dalam memberi kesedaran dan seterusnya mengambil suntikan vaksin," ujarnya lagi.
27 May 21
489
Lockdown Diri Sendiri Putuskan Rantaian COVID-19
Lockdown Diri Sendiri Putuskan Rantaian COVID-19
Oleh: Faizal Ghani Al Medaniey KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Masyarakat digesa untuk sama-sama berganding bahu membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi merayu agar rakyat negeri ini dapat mengikuti kempen yang disarankan oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT).  "Saya menyeru dan merayu agar kita semua rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk di dalam kawasan DUN Batu Buruk agar melakukan "Lockdown Diri Sendiri" sebagaimana pesanan dari JKNT bagi membantu memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negeri kita," katanya dalam satu status Facebook miliknya, semalam. Tambahnya lagi, melihat keadaan kes harian yang makin meningkat, amat wajar pada waktu ini rakyat menyahut seruan JKNT untuk menyekat penularan virus tersebut. Beliau juga mengingatkan bahawa ini bukan masa untuk masyarakat bertelingkah sebaliknya semua pihak perlu bersatu bagi menghadapi musuh COVID-19. "Bukan masanya kita menuding jari dan berbalah menuduh kepada sesiapa sebaliknya kita tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, perlu bersatu memerangi musuh yang tidak kelihatan ini," jelasnya.  
27 May 21
194
Punca Rezeki Nelayan Lenyap Sekelip Mata
Punca Rezeki Nelayan Lenyap Sekelip Mata
Oleh: Naim Fadhilah Kamaruddin DUNGUN, 26 Mei - Bot Kelas B yang digunakan oleh seorang nelayan untuk menangkap ikan musnah terbakar sekelip mata di Pengkalan Sungai Buaya, pagi kelmarin. Mangsa, Ab Rashid Isa, 48, berkata, dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, dia sedang membaiki bot rakannya tidak jauh dari lokasi botnya terbakar.  "Sewaktu kejadian saya tengah baiki bot kawan saya dekat sahaja dengan bot saya itu, tiba-tiba diberitahu ada kepulan asap dan tak sangka asap itu berpunca daripada bot saya sendiri. "Saya redha perkara yang terjadi, Allah baru ambil harta, belum nyawa saya. Saya bersyukur tiada kemalangan jiwa yang berlaku", ujarnya kepada pemberita.  Ab Rashid berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api pada bateri enjin bot.  Dalam kejadian itu, pihak Bomba dan Penyelamat Dungun berjaya mengawal api daripada terus merebak. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, beliau akan cuba bantu dari sudut kewangan memandangkan punca pendapatan bagi nelayan tersebut telah terjejas. "Saya akan cuba bantu menampung sedikit kos baik pulih bot tersebut dan menghulurkan wang perbelanjaan memandangkan punca pendapatannya terjejas," ujarnya.
26 May 21
738
927 Penduduk Di Seberang Takir Terima Bakul Makanan
927 Penduduk Di Seberang Takir Terima Bakul Makanan
KUALA NERUS, 25 Mei – Seramai 927 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang terkesan akibat pandemik COVID-9 menerima bakul makanan bernilai RM100 baru-baru ini. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan (DUN) Negeri Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, Program Bakul Makanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengandungi semua barang keperluan harian. “Mereka yang layak menerima dan memohon bakul makanan adalah penerima bantuan bulanan sedia ada di bawah JKM mengikut data penerima. “Peruntukan yang terlibat dalam pemberian bantuan bakul makanan ini ialah sebanyak RM50 juta,” ujarnya lagi. Seorang penerima, Anan Abd. Rahman, 66, dari Seberang Takir menzahirkan rasa syukur kerana mendapat bantuan itu tepat pada masanya berikutan keadaan pandemik COVID-19. “Sebelum ini saya memang penerima JKM tetapi kali ini sedikit berbeza daripada bantuan sebelum ini,” katanya. Seorang lagi, Che Senik Che Embong, 54, berterima kasih kepada semua yang terlibat memandangkan beliau warga emas dan hadir memerlukan pertolongan daripada adik-beradik. “Terima kasih kepada kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat Seberang Takir kerana memudahkan saya menerima bantuan ini”, Selain itu, kerajaan negeri juga akan meneruskan pelbagai insentif bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat COVID-19.
25 May 21
425
Maidam Peruntuk RM219 Ribu Bantu Asnaf PKPD
Maidam Peruntuk RM219 Ribu Bantu Asnaf PKPD
KUALA TERENGGANU, 25 Mei - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) memperuntukkan sebanyak RM219,600 bagi membantu golongan asnaf yang terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Besut. Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin memberitahu, setiap Ketua Isi Rumah (KIR) golongan itu akan menerima bantuan sebanyak RM200. Jelasnya, seramai 1,098 golongan asnaf tinggal di 15 buah mukim yang terbabit dengan pelaksanaan PKPD dikuatkuasakan kerajaan bermula Sabtu lalu hingga 4 Jun depan. "Pembayaran bantuan khas sebanyak RM200 setiap KIR golongan asnaf itu akan dimasukkan terus ke akaun penerima mulai Ahad depan. "Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Osman Muda ketika mempengerusikan mesyuarat khas hari ini bersetuju meluluskan peruntukan bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf yang tinggal di 15 mukim yang dikenakan PKPD seperti diumumkan kerajaan," ujarnya ketika dihubungi, hari ini. Mengulas lanjut, M Rozi berkata, bantuan khas itu diluluskan bagi meringankan bebanan dan kesulitan yang terpaksa dilalui KIR golongan asnaf yang tinggal di 15 mukim di daerah Besut. "KIR golongan asnaf diminta menggunakan bantuan itu sebaik mungkin dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan," tambahnya.
25 May 21
332
Rantau Abang Kumpul RM122, 585 Untuk Dana Palestin
Rantau Abang Kumpul RM122, 585 Untuk Dana Palestin
DUNGUN, 25 Mei- Sebanyak RM122, 585 telah berjaya dipunggut di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, hasil sumbangan pelbagai kelompok masyarakat yang bersimpati dan prihatin dengan kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata,  punggutan yang dikumpulkan tidak sampai dua minggu itu mengambarkan mereka juga mempunyai rasa tanggungjawab untuk bersama-sama rakyat Palestin melawan Yahudi Zionis Laknatullah dengan menyumbangkan harta yang mereka ada.  "Terima kasih kepada penyumbang di DUN Rantau Abang yang terdiri daripada pelbagai kelompok bukan sahaja daripada PAS cawangan-cawangan tetapi juga masyarakat awam yang terpanggil apabila melihat dari media - media sosial, kekejaman Yahudi Zionis Laknatullah itu tiada berkesudahan, berpanjangan sekian lama.   "Sehingga bayi yang baru lahirpun, seawal kelahiranpun sudah mendengar bedilan dan tembakan peluru - peluru," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi ziarah beliau di Kampung Kuala Abang di dino, baru- baru ini. Alias turut memaklumkan bahawa sumbangan masih diterima daripada orang ramai dan pihaknya akan terus mengumpulkan untuk fasa kedua dan seterusnya.  "Saya menyeru agar masyarakat ambil peluang untuk menyumbang kerana menjadi tanggungjawab umat Islam untuk membela rakyat Palestin dan seterusnya membebaskan bumi Palestin kembali semula ke tangan orang-orang Islam," katanya lagi. 
24 May 21
330
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
JPKK Dun Jabi Bantu Golongan Terjejas PKPD
BESUT, 24 Mei – Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi bersiap sedia membantu golongan yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, PKPD selama dua minggu di kawasan terbabit menyebabkan ada golongan yang terputus bekalan makanan. "Beras MyGAP Ganu akan disalurkan untuk warga Jabi yang kehabisan bekalan dalam tempoh dua minggu PKPD. "Ada orang kita yang berkemampuan dan boleh manfaatkan kelonggaran ‘Standard Operating Procedures’ (SOP) PKPD untuk keluar beli barangan keperluan harian. "Tetapi ada orang kita yang walaupun diberi kelonggaran keluar cari bekalan, mereka tak dapat bekerja dan tiada duit, mereka inilah yang kita nak bantu dan wajib dibantu. Bukan beras saja, ada lagi barangan harian lain diberi," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengagihkan bekalan bantuan makanan kepada semua JPKK DUN Jabi, hari ini. Dr Azman turut menegaskan kepada semua Pengerusi JPKK agar meningkatkan lagi tahap kecaknaan terhadap keadaan rakyat di bawah dalam menghadapi hari-hari sukar ini. "Kepada yang memerlukan, jangan segan dan malu untuk beritahu kepada 'Tok Ngulu' kita di kampung masing-masing. Beritahu terus kepada saya pun tak mengapa. "Untuk keluarga yang sedang dikuarantin memang ada dalam senarai kita dan sudah dibantu. Jiran-jiran pun tolong prihatin tentang sesama kita  Biar kita bersatu hati sama lapar dan sama kenyang dalam keadaan susah ketika ini" katanya lagi.
24 May 21
3669