Artikel "Komuniti" Terkini
Golongan OKU Perlu Terus Disantuni- Zuraida
MARANG, 2 Julai - Golongan Orang Kelaianan Upaya (OKU) perlu terus disantuni agar mereka tidak merasa terpinggir malah terus dihargai dan diberi ruang selayaknya dalam masyarakat.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Zuraida Md Noor berkata, dengan sokongan berterusan dan ruang yang inklusif, mereka bukan sekadar dilihat tetapi juga perlu diberi peranan dalam pembangunan negeri.
Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa cakna terhadap keperluan dan kebajikan OKU khususnya melalui Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Negeri Terengganu (MTOT) yang telah diwujudkan pada 6 Mac 2024, selaras dengan Dasar Orang Kurang Upaya dan Pelan Tindakan OKU 2016–2022.
"MTOT berperanan menyelaras pelaksanaan dasar berkaitan OKU, selain membuat syor kepada kerajaan dalam aspek penjagaan, pembangunan, perlindungan dan kesejahteraan golongan ini di negeri Terengganu," ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Persatuan Spinal Pantai Timur (PSPT) yang berlangsung di Pusat Khidmat Setempat Bahagian OKU, Marang.
Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Zuraida yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata, ia bukan sekadar rutin pengurusan persatuan, bahkan menjadi simbol semangat kesatuan dan perjuangan luar biasa ahli PSPT dalam memperjuangkan hak dan kebajikan golongan yang mengalami kecederaan saraf tunjang (spinal cord injury).
02 Jul 25
47
Program YB Cakna Komuniti Sejahtera Medan Dekati Rakyat
MARANG, 2 Julai - Penganjuran Program YB Cakna Komuniti Sejahtera di setiap Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) mampu menghubungkan Yang berhormat (YB) dengan rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, siri pertama program YB Cakna Komuniti Sejahtera yang dilaksanakan selama satu hari di peringkat JPKK Sungai Serai dan Gondang itu diharapkan menjadi jambatan penghubung antaranya dan rakyat.
“Dengan penganjuran program sebegini, saya nak berjumpa dan mendengar respon langsung daripada rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Bual Bicara Maal Hijrah di Surau Kampung Gondang, di sini.
Menurut beliau, YB Cakna Komuniti Sejahtera adalah program bersiri yang diadakan di setiap Unit Daerah Mengundi (UDM).
"Program biasanya bermula dengan sarapan pagi, munajat, ziarah, rawatan syifa, Mahabbah, sukan belia/beliawanis dan bual bicara atau chit chat," ujarnya.
02 Jul 25
87
Jemaah Paka 'Banjiri' Kuliah Dhuha Ustaz Abdul Somad
DUNGUN, 2 Julai - Ratusan jemaah membanjiri Masjid Taman Hadhari, Paka sempena Kuliah Dhuha istimewa bersama pendakwah tersohor Nusantara, Ustaz Abdul Somad (UAS), yang singgah ke bumi Terengganu dalam rangka siri jelajah dakwahnya baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat melahirkan rasa syukur dan kagumnya atas sambutan luar biasa dari masyarakat setempat terhadap kuliah tersebut.
"Alhamdulillah pagi ini Paka dibanjiri dengan limpahan jemaah.
"Kehadiran Ustaz Abdul Somad bukan sahaja menggamit ramai orang, bahkan membuka hati-hati kita untuk kembali menghayati erti kehidupan beragama dengan lebih mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Kuliah Dhuha Khas Ustaz Abdul Somad di Masjid Taman Hadhari Paka.
Menurutnya lagi, majlis ilmu sebegini bukan sekadar medan untuk mendengar ceramah, tetapi adalah suntikan semangat bagi umat Islam agar terus memperbaiki diri dan mendekatkan diri kepada Allah.
“Cahaya ilmu itu penyembuh hati umat. Dalam dunia yang penuh cabaran ini, tazkirah seperti ini amat diperlukan agar kita tidak hanyut dalam arus duniawi.
“Terima kasih kepada Ustaz Abdul Somad kerana sudi singgah dan menyirami bumi Paka dengan cahaya ilmu.
Moga Allah panjangkan usia dan keberkatan untuk beliau agar terus menyebar dakwah dan cahaya Islam ke serata pelusuk dunia,” katanya lagi.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak masjid, jawatankuasa penganjur serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut, termasuk para petugas Jabatan Amal Paka dan Keselamatan yang memastikan kelancaran majlis.
02 Jul 25
60
Seminggu Tanpa Petunjuk, Operasi Carilamat Dihentikan
KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Terengganu mengumumkan operasi carilamat warga emas yang dilaporkan hilang ketika keluar mencandat sotong di perairan Pulau Bidong sejak 25 Jun lalu, ditamatkan pada jam 7.00 malam tadi.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, operasi itu ditamatkan setelah memasuki hari ketujuh pencarian tanpa sebarang petunjuk baharu.
"Pencarian difokuskan di kawasan seluas 148.95 batu nautika sekitar perairan Pulau Kapas, namun tiada penemuan signifikan ditemukan sehingga operasi ditamatkan.
"Operasi terakhir hari ini melibatkan Kapal Maritim (KM) RAWA dan Bot PENGAWAL 16 yang digerakkan seawal 7.00 pagi," katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan Maritim Terengganu, malam ini.
Terdahulu mangsa, Mohd Noor Abdullah, 54, dipercayai ke laut seorang diri dan gagal pulang ke rumahnya, mencetuskan pencarian berskala besar melibatkan pihak Maritim Terengganu dan komuniti nelayan sejak seminggu lalu.
01 Jul 25
487
Sambutan Ambang Maal Hijrah Peringkat Daerah Marang Disambut Penuh Penghayatan
MARANG, 29 Jun - Sekitar 400 jemaah hadir memeriahkan Majlis Sambutan Ambang Maal Hijrah peringkat daerah Marang 1447 Hijrah (H) yang berlangsung di Masjid Haji Ahmad Ibrahim, Rhu Rendang, baru-baru ini.
Majlis bermula seawal jam 6.30 petang dengan bacaan Surah Yasin dan doa akhir tahun yang dipimpin oleh Pegawai Agama Daerah Marang dan bacaan yasin oleh Juara Tilawah Al Quran peringkat daerah Marang 1446H, Ahmad Syahir Yahya, sebelum para jemaah menunaikan solat Maghrib secara berjemaah.
Sambutan diteruskan dengan sesi utama iaitu perutusan khas Maal Hijrah Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, yang dibacakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail.
Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan pentingnya umat Islam menghayati semangat hijrah secara menyeluruh dengan melakukan anjakan minda, sikap dan tindakan ke arah kehidupan yang lebih progresif dan diberkati.
“Pendekatan ini jugalah yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membawa perubahan di Terengganu, terutamanya dalam merubah minda atau mentaliti kita melalui agenda Terengganu Maju Berkat Sejahtera,” ujarnya ketika membacakan teks perutusan tersebut.
Majlis berkenaan turut dihadiri pemimpin masyarakat, pegawai kerajaan, ahli jawatankuasa masjid dan penduduk setempat yang rata-ratanya menyambut baik pengisian majlis berkenaan yang dianggap mampu menyemarakkan lagi semangat hijrah dalam kalangan masyarakat.
Program ditutup dengan doa awal tahun sebagai tanda permulaan kalendar baharu Islam yang membawa harapan kepada kehidupan lebih berkat dan dirahmati.
29 Jun 25
86
Permainan Sepak Raga, Motor Lambat, Semai Ukhuwah ADUN dan Masyarakat
DUNGUN – Program Yang Berhormat (YB) Bersama Rakyat di UDM Gong Pasir, semalam berlangsung dengan penuh kemeriahan, sekaligus berjaya merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat setempat.
Program yang dimulakan dengan solat subuh berjemaah dan kuliah subuh bersama penduduk kampung ini diikuti dengan sesi minum pagi, memberi ruang untuk kepimpinan setempat beramah mesra sambil mendengar sendiri pandangan serta keluhan masyarakat.
Selain pengisian rohani, pelbagai aktiviti santai turut diadakan antaranya pertandingan motor lambat, permainan sepak raga, bola beracun serta khidmat tukar minyak hitam motosikal secara percuma yang mendapat sambutan sangat baik daripada penduduk Gong Pasir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata program seumpama ini bukan sahaja mendekatkan kepimpinan dengan rakyat, bahkan menjadi salah satu platform penting untuk membina hubungan baik dan kefahaman antara satu sama lain.
“Program seperti ini akan diteruskan di kesemua kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang. Ia menjadi peluang untuk saya bertemu dengan seluruh komuniti setempat dengan lebih dekat lagi, memahami keperluan mereka dan berkongsi rezeki serta kegembiraan bersama,” ujarnya.
Suasana harmoni dan mesra sepanjang program ini jelas menunjukkan betapa pendekatan turun padang mampu memperkukuhkan ukhuwah dan menyemai rasa kebersamaan dalam membina sebuah komuniti yang progresif dan sejahtera.
29 Jun 25
53
Labuh 12 Tukun Konservasi, Pujuk Ikan 'Berkampung' Di Terengganu
SETIU, 23 Jun - Sebanyak 12 tukun konservasi dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Redang, hari ini sebagai usaha memperkaya pembiakan ikan dan hidupan laut.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dato' Dr. Azman Ibrahim berkata, program yang dimulakan sejak tahun 2006 itu dipertingkatkan kuantitinya sejak tahun 2018 dan ke atas bagi memastikan keterjaminan hasil laut negeri tersebut.
"Tahun ni selain 12 yang dilabuhkan tadi, kita ada 80 tukun rekreasi yang akan dilabuhkan di beberapa daerah termasuk Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang akan dapat 16 unit bagi setiap lokasi.
"Insya-Allah akan bermula mungkin pertengahan atau minggu keempat bulan Ogos bergantung kepada proses pembuatan tukun itu.
"Alhamdulillah, setakat ini berdasarkan data dan kajian, tukun kita memberi impak positif terhadap peningkatan hasil tangkapan nelayan pantai dan dalam masa sama berfungsi sebagai penampan bagi pukat tunda," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program melabuh tukun tiruan kuboid juvenil penghalang pukat tunda (konservasi) bersama Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang, yang berakhir tengahari tadi.
Menurut Dr. Azman, usaha itu semakin memperlihatkan hasil dengan peningkatan hasil tangkapan sebanyak 39 peratus, daripada 33,000 metrik tan kepada 46,000 metrik tan.
"Data untuk tahun 2024 masih menunggu, Insya-Allah (keluar) Julai ini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu. Berdasarkan maklum balas di lapangan ini, kita yakin hasil tangkapan meningkat.
"Kita (kerajaan negeri) mahu wujudkan garis sempadan tukun dari Kemaman ke Besut sejauh 245 kilometer dengan setiap kilometer kita sasarkan ada satu kelompok tukun.
"Sekarang, telah ada 1,600 unit tukun dari Besut ke Kemaman dan apabila program garisan tukun berjalan lancar, hasrat kita ialah ingin melindungi zon tangkapan nelayan pantai dalam jarak lima batu nautika dari pantai, daripada pencerobohan terutamanya pencerobohan pukat tunda," jelasnya.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan negeri melalui portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi menyasarkan sebanyak 80 ke 100 tukun rekreasi akan dilabuhkan setiap tahun.
23 Jun 25
442
13,000 Anak Keli Dilepaskan di Dengir Perkasa Ekonomi Komuniti Luar Bandar
Oleh : Tengku Mohd Anwar.
BESUT, 23 Jun - Sebanyak 13,000 ekor anak ikan keli dilepaskan di Kampung Dengir sebagai inisiatif memperkasakan komuniti luar bandar menerusi projek akuakultur berskala kecil.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Dengir, Mohd Samsul Bahari Daud berkata, projek itu melibatkan 10 buah kolam dengan setiap satu berkeluasan 700 meter dan diisi dengan 2,000 ekor anak tersebut.
"Langkah ini diambil bagi membuka ruang kepada masyarakat kampung khususnya generasi muda untuk menceburi bidang penternakan akuakultur.
"Ia bukan sahaja menjana sumber pendapatan, bahkan mengalakkan kerjasama komuniti serta peningkatan kemahiran,"katanya ketika ditemui di majlis pelepasan anak ikan yang telah disempurnakan perasmiannya oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, di sini, semalam.
Dalam pada itu, Azbi ketika berucap menyatakan bahawa usaha yang dilakukan itu adalah selaras dan bertepatan dengan fokus pembangunan luar bandar yang dilaksanakan oleh Kerajaan Terengganu.
23 Jun 25
100
Program Cakna Komuniti Eratkan Masyarakat, Wakil Rakyat
Oleh : Syahida Mohd/Safwan Syakir
KUALA NERUS, 22 Jun – Program YB Cakna Komuniti Sejahtera di lokaliti Duyong dan Pulau Ketam berjaya dianjurkan dengan sambutan luar jangka, menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana santai dan mesra komuniti.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Tunggal dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat itu bermula seawal jam 5.45 pagi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Zaharudin Zahid berkata, program seumpama itu akan diperluas ke lokasi lain secara berkala bagi memastikan setiap komuniti dalam DUN Bukit Tunggal mendapat manfaat.
“Kita rancang untuk adakan program YB Cakna Komuniti ini di setiap lokaliti, dua atau tiga bulan sekali. Ini usaha kita untuk lebih dekat dengan rakyat dan mendengar sendiri permasalahan mereka,” katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah pertandingan mewarna.
Antara pengisian utama sepanjang program termasuk gotong-royong di Kubur Cengal, pemeriksaan kesihatan percuma, sukaneka di Hujung Tanjung Pulau Ketam, pertandingan memasak, serta aktiviti ziarah komuniti dua sesi (pagi dan petang).
Turut menarik perhatian adalah inisiatif penukaran minyak hitam secara percuma untuk penduduk Pulau Sekati sebagai tanda cakna terhadap kesejahteraan rakyat.
Seorang penduduk, Zahawi Puteh, 60, dari Kampung Duyong Kelab Aya menyambut baik penganjuran program sebegini yang menurutnya mampu merapatkan jurang antara wakil rakyat dan golongan yang jarang keluar rumah akibat keuzuran.
“Memang perlu program macam ni dibuat selalu. Ada orang tak mampu nak keluar rumah kerana sakit atau kekangan lain. Jadi bila wakil rakyat datang jumpa, barulah kita tahu masalah sebenar mereka,” ujarnya.
22 Jun 25
172
Zuraida Kagum Dengan Ketabahan Mangsa Nahas UPSI
IPOH, 16 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mezahirkan rasa kagum dengan ketabahan tiga mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Taiping.
Dalam masa yang sama, beliau mendoakan agar mereka terus kuat serta dipermudahkan segala urusan rawatan dan pemulihan.
Menurut Zuraida, ziarah ini amat menyentuh hati memandangkan beliau ketika kejadian berada di Kemboja atas misi kemanusiaan.
“Hati saya amat sayu, sebak dan rasa ingin segera pulang apabila mendapat berita kemalangan itu. Alhamdulillah hari ini Allah beri kesempatan untuk bersama-sama memberi sokongan dan doa buat adik-adik mangsa,” ujar beliau kepada pemberita selepas menziarahi mangsa di sini, semalam.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mengetuai sesi ziarah berkenaan yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor, ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
Mangsa-mangsa yang diziarahi ialah Lili Suzana dan Nor Erika Elysha yang kini dirawat di HRPB, Ipoh serta Nur Liyana di Hospital Taiping.
Dalam pada itu, Zuraida juga merakam penghargaan kepada semua petugas kesihatan di HRPB dan Hospital Taiping atas komitmen dan keprihatinan tinggi dalam memberikan rawatan terbaik kepada para mangsa, serta kepada semua pihak yang tidak putus-putus menghulurkan doa dan bantuan.
“Ujian ini sungguh berat, namun doa dan sokongan kita semua adalah kekuatan buat mereka dan keluarga," ujarnya.
Terdahulu, seramai 15 pelajar UPSI telah terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, Perak, baru-baru ini.
15 Jun 25
53